*TADABBUR RINGKAS JUZUK 7
(SURAH AL-MAIDAH 82-120 & SURAH AL-AN’AM 1-110)*
_15 Points_
*Sumber: Ust Abdullah Bukhari *
1. Juzuk ini mengandungi bahagian hujung Surah Al-Maidah dan sebahagian besarnya adalah Surah Al-An’am.
2. ALLAH SWT menceritakan tentang perbezaan Nasrani, Yahudi dan Musyrikin di awal Juzuk ini (Ayat 82-85)
yang mana Yahudi dan Musyrikin sangat kuat permusuhannya dengan umat ISLAM
manakala Nasrani lebih erat hubungannya. Antara sebab turunnya ayat ini adalah ketika mana para pendeta
dan An-Najasyi mendengar ayat Quran yang dibacakan oleh Ja’far bin Abi Talib
lalu mereka menangis terharu kerana dapat merasakan kebenaran pada ayat Al-Quran.
3. Ayat 87-88 adalah teguran kepada umat ISLAM supaya tidak mengharamkan apa yang dihalalkan
oleh ALLAH SWT. Kisah di sebalik ayat ini adalah berkenaan 3 orang sahabat
yang ingin melakukan sesuatu yang di luar normal manusia iaitu tidak berkahwin,
tidak tidur dan berpuasa tanpa berbuka.
4. Kaffarah (denda) bagi orang yang melanggar sumpah disebut di dalam ayat 89
manakala ayat 90-91 adalah merupakan fasa akhir yang mengharamkan arak dan judi secara mutlak.
Disebut juga bahawa syaitan sangat menyukai perkara yang ALLAH haramkan berdasarkan ayat ini.
5. Mukjizat Nabi Isa A.S. diceritakan di dalam ayat 110-120 surah Al-Maidah.
Di sini juga terdapat kisah golongan Hawariyyun meminta Nabi Isa A.S. berdoa agar
diturunkan makanan daripada langit lalu doa tersebut dimakbulkan.
6. Dinamakan Surah Al-An’am (Binatang Ternak) kerana di dalam surah ini diceritakan
mengenai 4 jenis binatang ternak dan zakat berkaitan dengannya.
Dikatakan surah yang mempunyai 165 ayat ini diturunkan sekaligus kepada NABI SAW di Mekah.
7. Ayat 19 menceritakan tentang persaksian yang paling besar iaitu persaksian ALLAH SWT
terhadap kebenaran RASULULLAH SAW manakala di dalam ayat 20 diceritakan
bahawa ahli kitab mengenali Baginda melalui kitab mereka melebihi mereka mengenali anak-anak mereka sendiri.
8. Ayat 27-30 adalah kisah Akhirat mengenai ahli Neraka yang meminta agar mereka dikembalikan ke dunia
dan sudah pasti ianya ditolak oleh ALLAH SWT kerana tempoh mereka telah pun tamat.
Ini juga boleh dijadikan dalil bahawa roh manusia tidak boleh kembali
ke dunia pada bila-bila masa sekalipun samada bulan Ramadhan, malam Jumaat dan sebagainya.
9. Apa yang menarik, ayat 38 berkaitan dengan ilmu zoologi (Alam Haiwan)
di mana para haiwan turut mempunyai kelompok-kelompok struktur sosial, kehidupan,
bahasa dan budaya seperti manusia tetapi dicipta bersesuaian dengan alam haiwan.
Bahkan kesemua haiwan juga akan dibangkitkan di Mahsyar nanti untuk mendapatkan keadilan,
cumanya tiada pengakhiran samada di Syurga ataupun Neraka kerana di akhirnya mereka akan menjadi tanah.
10. Di dalam surah ini juga dibincangkan berkenaan larangan meminggirkan orang miskin (Ayat 52-54).
Kisah di sebalik ayat ini adalah ketika mana musyrikin Mekah meletakkan syarat kepada RASULULLAH SAW,
untuk mereka beriman, Baginda mestilah meminggirkan para sahabat yang miskin
kerana mereka tidak tahan dengan situasi para sahabat yang miskin.
11. Ayat 59 menceritakan tentang ilmu pengetahuan ALLAH SWT yang sangat luar biasa.
Hanya DIA yang memegang kunci kepada 5 perkara ghaib yang disebut di akhir Surah Luqman.
Betapa hebatnya ilmu ALLAH SWT apabila diumpamakan
tiada sehelai daun yang gugur di bumi melainkan kesemuanya di dalam pengetahuan-NYA.
.
12. Larangan untuk bersama dengan mereka yang mempersendakan Al-Quran dibincangkan di dalam ayat 68.
13. Kisah dakwah Nabi Ibrahim A.S. juga diceritakan di dalam surah ini (Ayat 74-87)
seperti bagaimana Baginda berdakwah kepada ayah sendiri dan kepada kaum
Baginda yang menyembah bulan, bintang dan matahari. Antara keistimewaan
Nabi Ibrahim A.S. adalah mempunyai keturunan yang terdiri dari para Anbiya’ (Ayat 84-87).
14. ALLAH SWT mencela orang-orang seperti Musailamah Al-Kazzab yang berdusta di atas nama ALLAH
dan NABI (Ayat 93). Ini termasuk mereka yang suka menyebarkan sesuatu di atas nama ALLAH
dan RASULNYA tanpa disemak kesahihannya terlebih dahulu.
15. ALLAH SWT juga melarang kita menimbulkan provokasi agama (Ayat 108)
kerana mereka yang diprovok akan bertindak balas dan mencela ALLAH SWT
sedangkan mereka tidak mengenali siapakah ALLAH SWT.
Kita sebagai umat ISLAM perlulah berdakwah secara tenang dan ilmiah.
.