*TADABBUR RINGKAS JUZUK 5
(SURAH AN-NISA’ 24-147)*
_15 Points_
*Sumber: Ust Abdullah Bukhari *
1. ALLAH SWT melarang memakan harta orang lain secara salah (Ayat 29) manakala di dalam ayat 31-32
diceritakan tentang kelebihan meninggalkan dosa besar, antaranya ialah diampunkan segala dosa kecil
dan larangan untuk kita berhasad dengki dengan kelebihan yang diberikan kepada orang lain,
bahkan ALLAH menggalakkan kita meminta dari NYA agar dikurniakan kelebihan tersebut.
2. Ayat 34-35 membincangkan tentang lelaki sebagai pemimpin di dalam rumahtangga.
Dan ALLAH memberi panduan kehidupan berumahtangga
dan cara mendamaikan pasangan yang berkelahi.
3. Ayat 43 pula adalah fasa kedua pengharaman arak sebelum
ianya diharamkan secara mutlak dalam fasa ketiga.
Tambahan pula, di dalam ayat ini juga diceritakan tentang hukum berkaitan tayammum.
4. Apa yang menarik di dalam ayat 56 adalah ALLAH menceritakan tentang fungsi kulit
yang padanya terdapat elemen yang menyebabkan kita boleh merasa kesakitan bilamana
diberitakan tentang balasan neraka bagi orang kafir dan ganjaran syurga bagi orang beriman (Ayat 56-57).
5. Ayat 58 berkaitan amanah yang mesti diserahkan kepada ahlinya. Ayat ini diturunkan di dalam
Kaabah ketika NABI SAW ingin memasuki Kaabah pada Hari Pembukaan Kota Mekah.
Kunci Kaabah dipegang oleh Uthman bin Talhah dari Bani Syaibah.
Dan NABI SAW meminta kunci daripada beliau,
lantas ALLAH menurunkan ayat ini supaya diserahkan kembali kunci Kaabah kepada beliau.
Sehingga ke hari ini. Kunci Kaabah dipegang oleh Bani Syaibah.
6. ALLAH SWT mengajar kita agar sentiasa kembali kepada ALLAH dan RASULULLAH
dalam apa jua perselisihan yang berlaku dalam kalangan kita (Ayat 59) manakala pada
ayat 69 dikisahkan tentang kelebihan orang yang mentaati ALLAH dan RASUL-NYA
akan ditempatkan di Akhirat nanti bersama para Nabi, orang yang benar, para syuhada
dan orang soleh, yang mana tempatnya adalah yang tertinggi di Alam Barzakh (Rafiqul A’la).
Dan ayat 69 merupakan ayat yang terakhir dibaca oleh NABI SAW sebelum baginda wafat.
7. Ayat 74-78 adalah berkenaan dengan jihad dan kenapa perlu berjihad.
ALLAH SWT menegur segelintir kaum muslimin di dalam ayat 77 kerana
mereka dahulunya bersungguh melawan kafir ketika ditindas di Mekah, tetapi menjadi pengecut
selepas berada di zon selesa di Madinah.
8. ALLAH SWT mengajar cara yang sebaiknya untuk menjawab salam dan membalas penghormatan
yang diberikan kepada kita (Ayat 86). Samada kita membalas dengan cara yang lebih baik
atau yang setara dengannya.
9. Ayat 95-96 menceritakan perbezaan di antara orang mukmin yang keluar berjihad dan
yang tidak keluar berjihad tanpa keuzuran yang dibenarkan
(keuzuran ini ditujukan pada orang seperti Abdullah Bin Ummi Maktum, yang buta matanya).
10. Ayat 97-100 mengisahkan berkenaan hijrah, menceritakan tentang segelintir Umat ISLAM di Mekah
yang tidak mahu keluar berhijrah walaupun mereka mampu,
dan akhirnya mereka mati terbunuh di pihak musyrikin di dalam Perang Badar.
Kelak mereka akan dihumban ke neraka.
11. Dalam juzuk ini diceritakan berkenaan solat Qasar yang asalnya dibenarkan ketika perang (Ayat 101)
dan Solat Khouf (Solat ketika berasa takut dan gentar) yang dibuat secara berjemaah ketika perang (Ayat 102).
Berdasarkan ayat ini, para ulama’ meletakkan kewajipan solat berjemaah ketika aman.
12. Terdapat 3 bisikan yang dibenarkan di dalam ISLAM kerana secara umumnya bisikan itu negatif (Ayat 114)
manakala diceritakan juga berkenaan peranan syaitan dan bentuk godaannya seperti menghasut
manusia untuk mengubah ciptaan ALLAH (Ayat 116-121).
13. Ayat 128 menceritakan tentang nusyuz si suami ketika mana dilihat seorang suami itu
semakin tidak menyukai isterinya,
si isteri dibolehkan meminta untuk mengurangkan haknya di dalam rumahtangga
seperti gilirannya dilepaskan (bagi yang berpoligami) dan sebagainya.
14. Ayat 129 pula memberitahu tentang sukarnya seorang suami untuk berlaku adil apabila berpoligami
kerana ianya di luar kawalan manusia. Adil di sini merujuk kepada hati &
perasaan, bukan fizikal kerana secara fizikalnya, suami wajib berlaku adil.
15. Akhir sekali, diceritakan tentang celaan ALLAH SWT kepada orang munafiq.
Kerana Munafiq juga cuba untuk menipu ALLAH SWT
dan ALLAH akan membalas tipudaya mereka di Akhirat kelak (Ayat 137-147).
.