The words you are searching are inside this book. To get more targeted content, please make full-text search by clicking here.
Discover the best professional documents and content resources in AnyFlip Document Base.
Search
Published by anissyahiraazman, 2022-05-18 13:34:04

SKRIP DRAMA

SKRIP DRAMA (2)

DRAMA
BERJUDUL

‘‘KITA SATU MALAYSIA’’

1

SINOPSIS
“Peng peng penggggg!!!” kedengaran bunyi tembakan tiruan yang dibuat oleh Mail ketika bermain
‘perang-perang’ bersama dua lagi rakan baiknya iaitu Lee Jun dan Greeta. Aktiviti mereka untuk
beriadah pada petang itu adalah dengan bermain perang-perangan menggunakan pistol air yang
dibeli daripada kedai runcit Wak Ketari yang terletak di hujung kampung. Tiga sekawan ini sangat
serasi bertemanan meskipun mereka berlainan bangsa dan latar belakang. Perbezaan tersebut
tidak menjadi halangan untuk mereka melakukan aktiviti bersama-sama ketika di sekolah
mahupun setelah tamat waktu persekolahan. Sedang asyik berbalas tembakan menggunakan
pistol air di halaman rumah Mail, mereka tidak perasan akan kehadiran Atuk Kamil yang
kebetulan lalu di hadapan rumah dengan menaiki motosikal. Atuk Kamil menyapa kanak-kanak
tersebut dan mempelawa mereka untuk ke rumahnya kerana beliau telah menyediakan beberapa
makanan masyarakat Melayu dan India daripada resepi baharu yang diciptanya. Pelawaan
tersebut diterima dengan teruja oleh Mail, Lee Jun dan Greeta memandangkan mereka sedia
maklum bahawa Atuk Kamil merupakan seseorang yang pandai memasak dan gerainya sering
dikunjungi oleh penduduk kampung tersebut. Maka, menjadi peluang keemasan bagi mereka
bertiga untuk merasai terlebih dahulu air tangan Atuk Raju sebelum makanan tersebut dijual di
gerai makan. Namun, segalanya bermula setelah tiga sekawan itu tiba di rumah Atuk Kamil.
Apakah kemungkinan yang akan berlaku? Siapakah sebenarnya Atuk Kamil?

2

WATAK DAN PERWATAKAN

WATAK PERWATAKAN
Seorang kanak-kanak berbangsa Melayu
1. Mail yang aktif dan peramah terhadap orang-orang
di sekelilingnya.
2. Lee Jun
Antara teman baik kepada Mail yang sering
3. Greetha menemani Mail kemana-mana. Seorang
4. Atuk Kamil kanak-kanak kaum Cina yang agak nakal dan
gemar mengusik teman-temannya.
Satu-satunya ‘bunga’ atau perempuan yang
berbangsa Sikh dalam ahli kumpulan Mail
yang bersikap lincah dan pintar orangnya.
Merupakan seorang tua di kampung Durian
Emas yang berpengalaman dan telah melalui
pelbagai kenangan pahit sebelum tahun 1957.
Beliau rajin melayani kanak-kanak di
kampung dan tidak lokek berkongsi cerita
bersama orang lain.

3

TAJUK SKRIP DRAMA: KITA SATU MALAYSIA

Babak 1: Beriada di halaman rumah Mail
Latar tempat: Halaman rumah Mail
Latar masa: 4.00 petang

“Peng peng penggg!!” kedengaran bunyi tembakan tiruan yang dibuat oleh Mail ketika bermain
‘perang-perang’ bersama dua lagi rakan baiknya iaitu Lee Jun dan Greeta. Mereka sedang
berseronok bersembunyi di sebalik pokok bagi mengelakkan diri masing-masing ditembak
menggunakan pistol air. Terdengar gelak tawa riang daripada tiga rakan sekawan tersebut pada
petang yang hening itu.
Mail: Peng peng penggg! Lee, kamu sudah kena tembak, cepat menyerah diri sekarang!
Lee Jun: Eh Mail kamu silap! Saya masih belum terkena tembakan air dari pistol kamu, lihat!
Baju saya tidak basuh pun hahaha.
Mail: Jadi kamu tidak jujur ya. Jangan berdolak dalih Lee, saya lihat di lengan kamu sudah basah
terkena air. Berhentilah tersenyum-senyum seperti kerang busuk!
Lee Jun: Ya baiklah, saya sudah terkena tembak pula padahal masih belum puas bermain. Kamu
memang tajam mata Mail, nampak sahaja baju saya yang sudah basah ini.
Greetha: Ish kamu ni Lee, hendak “tegakkan benang yang basah” pula. Sudahlah tidak jujur.
Lee Jun: Ya maaf, saya yang salah. Saya cuma ingin bergurau dengan Mail sahaja. Kamu jangan
garang sangat Greeta, sudah masam seperti cuka muka kamu itu.
Greetha: Pergi ke kedai membeli asam,

Dimakan dengan buah betik,
Rasa manis dan juga masam,
Biar begini tetapi tetap cantik.
Lee Jun: Amboi, angkat bakul sendiri pula dia nampaknya hahaha (bunyi ketawa)
Mail: Eh sudah kamu berdua! Mari sambung bermain, Greeta kamu pula jadi ketua kumpulan ya,
agihnya tugas kita.
Greetha: Baik, jom kita mulakan permainan.

4

Maka, ketiga-tiga kanak-kanak sembilan tahun tersebut kembali menyambung permainan
peperangan yang tergendala sebentar tadi. Mereka yang “bagaikan aur dengan tebing” dan
bersekolah di Sekolah Kebangsaan Melati Indah ini leka bermain sehingga tidak sedar akan
kehadiran Atuk Kamil yang lalu di halaman rumah Mail sambil menaiki motosikal. Atuk Kamil
merupakan seorang tua yang telah lama menetap di kampung Durian Emas itu. Beliau dikenali
oleh penduduk kampung kerana masakannya yang enak terjual di gerai makan miliknya di tepi
sungai kampung tersebut. Bukan itu sahaja, beliau dianggap sebagai orang yang berpengalaman
kerana telah tinggal di kampung tersebut sebelum tanah Melayu mencapai kemerdekaan lagi.
Atuk Kamil kemudiannya memberhentikan motor dan menyapa Mail, Lee Jun dan Greeta.

Atuk Kamil: Amboi, seronoknya bermain sampai atuk lalu pun kamu semua tidak sedar.

Mail: (Sambil berjalan menuju kearah Atuk Kamil dan bersalaman dengan beliau) Eh atuk,
maafkan kami. Leka sangat bermain pistol air baharu ini sehingga seorang pun tidak sedar atuk
sudah berada di sini.

Lee Jun: Betul itu atuk, maafkan kami semua. Atuk sihat ke? Lama kita tidak berjumpa, mesti
atuk sibuk di gerai bukan?

Atuk Kamil: Sihat sahaja Lee, sihat orang tua. Atuk sebenarnya ke sini untuk menjemput kamu
semua ke rumah atuk. Kamu semua mahu tak ke rumah atuk? Atuk ada sediakan beberapa sajian
makanan masyarakat India daripada resepi baharu yang atuk cipta sendiri. Jadi, kamu semualah
yang akan rasa dahulu. Kalau rasanya enak, atuk akan tambah menu ini di gerai atuk nanti.
Setuju?

Greetha: Wah, bagai orang mengantuk disorong bantal! Perut saya memang sedang
berkeroncong, menarik sungguh pelawaan daripada Atuk Kamil. Saya setuju untuk ke rumah
atuk, bagaimana dengan yang lain?

Mail: Pergi sekolah menaiki basikal,
Kayuh perlahan ke arah dituju,
Jawapan mudah diteka dek akal,
Sudah pasti saya setuju.

Lee Jun: Kalau semua bersetuju, marilah kita ke rumah atuk menaiki basikal sekarang.
Janganlah kita membuang masa kerana masa itu emas hahaha (berseloroh)

5

Atuk Kamil: Atuk ingin ke kedai Wak Ketari terlebih dahulu untuk membeli ais, jumpa kamu
semua nanti di rumah atuk ya. Hati-hati menunggang basikal, jangan “sudah terhantuk baru
terngadah”.
Mail dan rakan-rakan: Baik atuk!

Babak 2: Menikmati masakan Atuk Kamil dan sesi perkongsian pengalaman
Latar tempat: Ruang makan di rumah Atuk Kamil
Latar masa: 5.00 petang
Makanan yang disediakan oleh Atuk Kamil telah pun terhidang di atas tikar mengkuang dengan
bantuan Mail, Greeta dan Lee Jun. Mereka turut membantu Atuk Kamil menyediakan air bandung
soda untuk dinikmati bersama nanti. Semasa menjamu selera, Atuk Kamil mula membuka bicara.
Atuk Kamil: Kamu semua makanlah, jangan malu-malu. Ini namanya Pani Puri atau masyarakat
India panggil ‘Phuchka’. Atuk belajar membuat snek ini daripada Pakcik Raju pada minggu lepas.
Apa pendapat kamu semua tentang rasa snek ini?
Mail: Rasanya sangat sedap atuk, kulitnya rapuh dan ada intinya yang sedikit pedas. Ditambah
pula dengan sos yang atuk telah sediakan, memang sangat enak. Saya suka!
Lee Jun: Betul kata Mail tu atuk, saya yang tidak pernah makan snek ini juga dapat menikmati
teksturnya yang rangup di luar, inti yang lembut di dalam dan sos yang agak pedas
membangkitkan lagi rasa Pani Puri ini. (bercakap dalam keadaan tidak senang duduk)
Greeta: Lee, adakah kamu dalam keadaan baik? Mengapa saya lihat kamu seperti cacing
kepanasan dan tidak keruan?
Lee Jun: Saya dalam keadaan baik-baik sahaja tapi sedang cuba menahan kepedasan.
Biasalah, saya jarang makan makanan pedas tapi disebabkan Pani Puri ini sangat sedap jadi
saya tetap menikmatinya.
Mail: Nah, ambil air bandung soda ini dan minumlah (menghulurkan segelas air bandung soda).
Lee Jun: Terima kasih ya Mail (menyambut baik gelas yang dihulur oleh Mail).

6

Atuk Kamil: Baguslah kamu semua ini, sangat prihatin terhadap keadaan rakan yang lain.
Semangat setia kawan inilah yang perlu ada dalam persahabatan, bukit sama didaki, ke lurah
sama dituruni.

Greeta: Baiklah, atuk. Setelah merasai snek yang atuk sediakan, saya juga bersetuju dengan
Mail dan Lee bahawa memang sesuai sangatlah jika atuk hendak menjual snek ini di gerai. Sudah
pasti ramai yang akan membelinya. Betul tak Mail dan Lee?

Mail dan Lee menjawab serentak dan mengiyakan pernyataan yang diutarakan oleh Greeta.

Atuk Kamil: Baguslah jika begitu, nanti atuk tambahkan menu ini di gerai nanti. Atuk ingin juga
memperkenalkan makanan tradisi masyarakat lain selain Melayu di gerai atuk untuk
mempelbagaikan lagi juadah. Bukan itu sahaja, penduduk di kampung ni juga akan lebih
mengenali makanan tradisi masyarakat lain selain dapat bertukar-tukar selera.

Lee Jun: Betul, ini pertama kali saya mencuba snek ini dan sangat teruja untuk mencuba
makanan tradisi kaum lain. Terima kasih atuk kerana menjemput kami ke rumah semasa kami
sedang bermain tadi.

Atuk Kamil: Tidak mengapa, atuk memang hendak menjemput kamu semua ke rumah sambil
bersiar-siar ambil angin menaiki motosikal tadi. Bercerita tentang bermain, apakah permainan
yang kamu bertiga main tadi? Atuk lihat kamu begitu asyik berlari dan ada juga yang berselindung
di sebalik pokok.

Greeta: Kami main perang-perang atuk. Kami beli pistol air di kedai Wak Ketari dan bermain
tembak-menembak antara satu sama lain. Murah sahaja pistol itu atuk, hanya RM4.50 sahaja.

Mail: Betul, seronok sangat tapi lebih seronok jika betul-betul berlaku peperangan di kampung
ini. Dapatlah kita menggunakan pistol betul hahaha! (berseloroh sambil ketawa)

Atuk Kamil: Amboi, pintar kamu berseloroh ya Mail. Jangan kamu minta yang bukan-bukan,
hanya yang hidup pada zaman peperangan sahaja tahu betapa perit getirnya perjuangan untuk
terus hidup pada zaman itu termasuklah atuk. Pada waktu itu, “biar putih tulang jangan putih
mata”, “genggam bara api biar sampai jadi arang” demi menyelamatkan negara, nyawa sendiri
dan ahli keluarga tersayang. Peritnya sukar digambarkan dengan kata-kata.

Mail: Maafkan saya atuk kerana bermulut lancang. Jika tidak keberatan, bolehkah atuk kongsikan
pengalaman atuk semasa zaman peperangan dahulu? Kami ingin tahu dan akan mendengar
dengan baik.

7

Lee Jun: Betul atuk, saya berminat untuk mengetahui tentang pengalaman atuk dahulu. Ayah
saya pernah memberitahu bahawa atuk merupakan salah seorang askar Melayu dalam rejimen
tempatan Angkatan Tentera British. Adakah itu benar Atuk Kamil?

Atuk Kamil: Betul kata ayah kamu itu Lee, atuk dahulu memang bekas askar daripada Angkatan
Tentera Bitish yang dilatih dan diurus oleh Rejimen Tentera British Malaya. Rejimen ini
sebenarnya telah ditubuhkan pada 23 November 1932 oleh Jabatan Perang British semasa
penjajahan Kerajaan Kolonial British di Malaya setelah menerima desakan daripada Raja-Raja
Melayu pada ketika itu misalnya Sultan Alang Iskandar Shah (Sultan Perak), Tuanku Muhamad
Ibni Yam Tuan Antah (Yang DiPertuan Besar Negeri Sembilan) dan Dato Abdullah Haji Dahan
(Undang Luak Rembau).

Lee Jun: Kalau begitu, maksudnya atuk pernah membunuh musuh atau penjajah?

Atuk Kamil: Sudah tentu, kami berjuang sehabis baik demi mempertahankan kesejahteraan
negara kita pada ketika itu lebih-lebih lagi dikala Malaya dijajah oleh tentera Jepun yang
menawan Bukit Chandu. Kawasan tersebut pada ketika itu dipertahankan oleh Batalion Pertama
Askar Melayu yang diketuai oleh Leftenan Adnan bin Saidi. Kamu semua pernah dengar tentang
Leftenan Adnan?

Greetha: Pernah atuk, seingat saya seorang guru pernah bercerita tentang jasa Leftenan Adnan
dalam mempertahankan negara semasa sambutan Hari Kemerdekaan pada tahun lepas.

Mail: Ya, saya juga pernah membaca tentang Leftenan Adnan di sudut bacaan pusat sumber di
sekolah. Kenapa dengan Leftenan Adnan atuk? Apakah yang terjadi?

Atuk Kamil: Pada ketika itu, pasukan Leftenan Adnan menerima serangan dengan kekuatan
yang berlipat ganda daripada tentera Jepun di Bukit Chandu tersebut. Meskipun begitu, mereka
tetap cekal dan tidak berputus asa bahkan Leftenan Adnan sendiri telah mengendalikan senjata
Lewis Machinegun untuk terus mara memberi semangat dan perangsang kepada anak-anak
platunnya. Mereka menentang musuh dengan bersungguh-sungguh sehingga ke titisan darah
yang terakhir kerana semangat cinta akan negara yang tersemat dalam diri mereka. Namun
begitu, seperti yang kita tahu, nyawa askar dalam setiap peperangan bagaikan “telur di hujung
tanduk”. Malangya, Leftenan Adnan telah terkorban setelah ditikam dengan benet malah lebih
parah apabila mayatnya digantung di sebatang pokok dalam keadaan kepalanya berada di
bawah. Terdapat lapan lagi pegawai askar Melayu yang telah ditawan dan dibunuh dek
keengganan mereka menanggalkan pakaian seragam ketenteraan yang tersarung di tubuh

8

mereka. Pendek kata, mereka lebih rela mati daripada menjadi seperti “lembu dicucuk hidung”
dengan hanya menurut kata penjajah demi mempertahankan maruah diri mereka dan negara
walaupun hanya disuruh menanggalkan pakaian seragam yang menjadi jati diri mereka sebagai
askar Melayu.

Lee Jun: Sungguh mengerikan cerita yang atuk sampaikan. Perbuatan dan tindakan penjajah
Jepun itu sangat tidak berperikemanusiaan dan tidak berhati perut. Namun, saya sangat terharu
akan semangat yang ditunjukkan oleh atuk dan rakan-rakan seperjuangan atuk kerana sanggup
berkorban nyawa demi mempertahankan negara.

Mail: Saya setuju dengan pendapat Lee Jun, saya berbangga kerana berpeluang mengenali atuk
secara dekat malah turut dapat mencuba masakan atuk. Satu perkara lagi atuk, adakah benar
semasa penjajahan Jepun dahulu, kaum wanita dan kanak-kanak juga diseksa?

Greetha: Ya, saya juga ada dengar tentang itu atuk. Adakah benar penduduk perlu berkurung di
dalam rumah dan akan diseksa sekiranya melanggar perintah berkurung tersebut?

Atuk Kamil: Betul, sememangnya penduduk akan diperintahkan untuk berkurung di dalam rumah
selama berhari-hari terutamanya ketika lori Jepun masuk membuat rondaan di dalam kampung
untuk mencari pengintip komunis. Sesiapa yang melanggar arahan tersebut akan dipancung atau
ditimpa seksaan lain. Golongan wanita dan kanak-kanak tidak terkecuali apabila turut diseksa
dengan pelbagai seksaan yang sangat kejam. Tak perlulah atuk sebut satu persatu, kamu semua
masih setahun jagung dalam erti kata lain, masih kanak-kanak lagi. Nanti kamu sendiri akan
belajar di sekolah apabila tiba masa yang sesuai.

Mail: Bagaimana dengan kaum lelaki pula atuk? Adakah kaum lelaki pada ketika itu dibenarkan
bekerja atau perlu menjadi hamba kepada tentera Jepun?

Atuk Kamil: Kebanyakan kaum lelaki yang masih muda pada ketika itu dihantar menjadi buruh
paksaan untuk membina landasan kereta api yang dikenali sebagai ‘Landasan Kereta api Maut’.
Landasan tersebut adalah sepanjang 480 batu yang berfungsi menghubungkan negara
Thailand dan Burma. Jumlah buruh paksaan ini adalah dalam kalangan orang Eropah dan warga
Tanah Melayu dari bangsa Melayu, China dan India yang berjumlah 75,000 orang. Setelah
memerintah Tanah Melayu selama tiga tahun lapan bulan, Jepun akhirnya menyerah kalah dan
menyebabkan peperangan terhenti. Namun begitu, buruh-buruh paksaan yang selamat kembali
ke Tanah Melayu hanyalah seramai 35,000 orang. Baki seramai 40,000 orang lagi telah mati

9

akibat penyeksaan yang pelbagai misalnya dipukul, kekurangan sumber makanan dan diserang
pelbagai jenis penyakit tanpa dirawat.

Lee Jun: Berdasarkan kisah yang diceritakan oleh atuk, sangat perit kehidupan orang-orang
yang hidup pada zaman penjajah. Sepatutnya kita semua bersyukur kerana dapat hidup dengan
aman damai dan bukannya meminta untuk berlakunya peperangan lagi. Betul tak Mail?

Mail: Betul, saya hanya berseloroh sahaja tadi. Saya mula sedar akan keberuntungan kita dapat
hidup dalam keadaan tanpa peperangan dan pertumpahan darah. Kita sepatutnya mengambil
contoh semangat wira-wira negara yang terdahulu dalam mempertahankan negara. Semangat
cinta akan negara dalam diri mereka menebal sehingga sanggup menggadai nyawa.

Greetha: Saya juga berfikiran begitu, bukan senang rupanya askar-askar terdahulu hendak
mencapai mencapai kemerdekaan. Patutlah sambutan Hari Kemerdekaan diadakan pada setiap
tahun ya. Lihatlah sekarang, kita dapat hidup bersama dengan aman sentosa walaupun hidup
dalam masyarakat yang berbeza agama, bangsa dan budaya.

Atuk Kamil: Benar Greeta, kita semua adalah satu Malaysia kerana hidup saling menghormati,
menyayangi dan bertoleransi dengan setiap perbezaan yang kita miliki. Memandangkan tarikh 31
Ogos akan menghampiri, apa kata kita buat satu aktiviti sebagai persediaan menyambut hari
kemerdekaan? Aktiviti-aktiviti sebegini sebenarnya dapat membantu memupuk semangat
patriotisme dalam diri seseorang terutamanya bagi kanak-kanak yang masih setahun jagung
seperti kamu semua.

Mail: Aktiviti yang bagaimana atuk? Memasang bendera di hadapan rumah?

Atuk Kamil: Itu sudah biasa atuk lakukan tetapi bendera-bendera itu selalu hilang. Mungkin
diambil oleh kanak-kanak yang ingin bermain. Jadi, kali ini atuk fikir untuk membuat mural
bendera Malaysia di dinding hadapan rumah. Apa pendapat kamu semua?

Lee Jun: Kalau mural, sudah pasti sesiapa tidak dapat ambil dan tidak akan hilang. Kami boleh
sahaja buat bersama-sama dengan atuk untuk siapkan mural itu. Peralatan seperti cat dan berus
sudah dibelikah atuk?

Atuk Kamil: Semuanya sudah dibeli. Cat berwarna biru, merah, kuning dan putih sudah atuk
simpan di bilik simpanan yang terletak di bawah rumah. Bolehlah kamu ambil nanti untuk siapkan
mural itu. Kita akan siapkan sama-sama ya?

10

Mail dan rakan-rakannya bersetuju dan menerima pelawaan Atuk Kamil dengan bersemangat
ketika itu. Maka, proses melukis mural di dinding rumah pun bermula setelah selesai menikmati
juadah-juadah yang disediakan oleh Atuk Kamil.

Babak 3: Proses penyediaan mural bagi sambutan Hari Kemerdekaan.
Latar tempat: Di hadapan rumah Atuk Kamil
Latar masa: 6.00 petang
Mail: Baiklah kita akan memulakan aktiviti mural ini dengan membuat lakaran kemudian kita perlu
warnakannya mengikut warna bendera kebangsaan.
Atuk Kamil: Atuk akan membuat lakaran bendera di dinding bagi memudahkan kamu semua
mewarna nanti, bolehkah begitu?
Mail: Boleh atuk. Selepas membuat lakaran, atuk berehatlah. Biar kami bertiga yang akan
selesaikan tugas lain.
Atuk Kamil: Baiklah, biar atuk buat lakaran terlebih dahulu sebelum kamu semua mewarna ya.
Usai sahaja Atuk Kamil membuat lakaran, maka tiga sekawan itu pun mula mewarna. Mail
membahagikan tugas mewarna mengikut persetujuan Greetha dan Lee Jun.
Greetha: Mail, adakah kamu tahu maksud warna merah dalam bendera yang sedang kamu
warnakan itu?
Mail: Oh, jadi setiap warna dalam bendera kebangsaan kita itu membawa maksud tertentukah
Greetha? Saya kurang pasti akan hal ini.
Lee Jun: Sudah pastilah Mail, setiap warna membawa makna yang tertentu malah bulan dan
bintang yang terdapat pada bendera itu turut memberi makna yang tersendiri.
Mail: Jadi, warna merah dalam bendera tersebut melambangkan apa?
Greetha: Warna merah pada bendera kebangsaan melambangkan keberanian dan bersedia
dalam menghadapi segala rintangan dan cabaran dalam usaha meletakkan Malaysia sebagai
sebuah negara maju.
Mail: Wah, bijak sungguh kamu Greetha! Bagaimana pula dengan warna biru tua?

11

Greetha: Warna biru tua pula melambangkan perpaduan rakyat Malaysia yang berbilang kaum
dan saling berusaha memajukan negara. Contohnya macam sekarang, kita tetap dapat
bekerjasama dengan baik walaupun kamu orang Melayu dan saya berbangsa Sikh.

Mail: Kita memang bersatu padu, namun tidakkah kamu pernah dengar bahawa kadang-kala
timbul isu perkauman dalam kalangan rakyat Malaysia seperti yang saya lihat di buletin Astro
Awani sebelum ini?

Greetha: Tentang apa itu Mail? Saya jarang menonton buletin di televisyen. Ceritakanlah apa
yang kamu tahu soal ini.

Mail: Isu ini timbul apabila seorang pemain badminton perseorangan negara kita yang berbangsa
India iaitu Kisona Selvaduray telah menerima komen rasis di media sosial oleh seorang pengguna
yang tidak bertanggungjawab. Komen yang mencetuskan kemarahanan itu dikeluarkan kerana
tidak dapat menerima kekalahan pemain negara kita dalam menentang pemain badminton dari
Jepun iaitu Akane Yamaguchi dalam aksi separuh akhir Piala Sudirman.

Greetha: Perbuatan itu sangat tidak boleh diterima. Tindakan rasis daripada orang yang tidak
bertanggungjawab itu boleh mendatangkan perbalahan antara kaum jika tidak dikawal. Boleh
huru-hara negara kita jadinya!

Mail: Ya Greetha, jadi kamu rasa apa yang patut masyarakat lakukan terutamanya dalam media
sosial sekiranya berlaku perkara-perkara yang tidak diingini begini?

Greetha: Sudah menjadi adat pertandingan, ada kalah ada yang menang. Sekurang-kurangnya
pemain negara tersebut dapat menyumbang jasa kepada negara tercinta dan berpotensi untuk
menaikkan nama negara. Kita sebagai masyarakat sepatutnya menyokong, menjaga tutur kata
dan beradab sopan dengan semua orang sesuai dengan warna putih yang terdapat dalam
bendera Malaysia itu.

Mail: Pintar benar kamu Greetha, di manakah kamu mendapatkan maklumat yang begitu
lengkap?

Greetha: Saya ada membacanya daripada buku yang terdapat di pusat sumber sekolah kita.
Meskipun kita hanya kanak-kanak tetapi saya rasa kita perlu mencari tahu maklumat tentang
perkara-perkara yang melambangkan identiti negara kita sebagai tanda kita cinta dan mengambil
berat akan negara Malaysia.

12

Mail: Kamu bercakap seperti orang dewasa Greetha, terkesima saya mendengarnya. Sudah,
ayuhlah kita sambung siapkan mural. Eh tapi di mana perginya Lee?

Mail dan Greetha sama-sama melemparkan pandangan ke arah sebuah pangkin di bawah pokok
jambu untuk mencari kelibat Lee Jun. Kemudian, kedua-duanya tersenyum nipis sambil tergelak
kecil.

Setelah dua jam berlalu, Mail memanggil Atuk Kamil dari dalam rumah untuk menunjukkan hasil
mural yang telah disiapkan bersama rakannya.

Mail: Atuk! Marilah keluar! Kami sudah siapkan mural bendera ini.

Atuk Kamil: Wah, cantik sungguh hasil kerja kalian! Kecil-kecil sudah pandai mewarna mural.
Atuk sangat berbangga dengan kreativiti kamu semua.

Greetha: Kreatif sangat atuk, kami juga ada sediakan satu lagi lukisan bendera. Atuk Kamil mahu
lihat?

Soal Greetha kepada Atuk Kamil sambil menunjukkan ke arah Lee Jun yang sedang enak tidur
di pangkin. Pecah tawa Atuk Kamil apabila melihat muka Lee sudah pun dilukis dan diwarnakan
dengan corak jalur gemilang menggunakan cat. Lalu beliau pun membangunkan Lee Jun
daripada tidurnya.

Atuk Kamil: Nampaknya Mail dan Greetha makin mahir melukis bendera ya. Lee, kamu bolehlah
ambil gambar untuk kenang-kenangan setelah dijadikan kanvas oleh kawan-kawan kamu.

Lee Jun yang baru sedar dari tidur masih dalam keadaan mamai dan sukar mentafsir maksud
yang disampaikan oleh Atuk Kamil.

Lee Jun: Apa maksud Atuk Kamil?

Greetha: Nah, ambil cermin ini. Cantik atau tidak hasil kerja kami semasa kamu sedang tidur?
Hahaha

Mail: Itulah, lain kali kita mestilah sepakat dan bekerjasama dalam melaksanakan sesuatu kerana
“bulat air kerana pembentung, bulat manusia kerana muafakat”. Bukannya mencuri tulang ketika
orang lain sedang bekerja.

Lee Jun: Maafkan saya ya semua. Saya berasa sangat mengantuk, mungkin kerana terlalu
kenyang setelah menikmati masakan Atuk Kamil siang tadi. Angin sempoi-sempoi bahasa yang
meniup lembut di wajah juga menyebabkan saya semakin mengantuk.

13

Atuk Kamil: Tidak mengapa Lee, lain kali jangan ulangi lagi ya. Kasihan teman-teman kamu.
Harap kamu dengarlah nasihat ini, atuk tidak mahu menjadi seperti mencurah air ke daun keladi.
Lee Jun: Maaf atuk, saya akan cuba menjadi lebih bertanggungjawab terhadap tugas sendiri dan
saling membantu rakan-rakan.
Atuk Kamil: Cuba ya Lee. Bak kata orang, alah bisa tegal biasa Jadi, Mail dan Greetha apakah
yang kamu dapat berdasarkan aktiviti melukis mural yang kamu buat tadi?
Mail: Bendera yang dilukis itu menjadi satu tanda kita cinta akan negara dan mengenali salah
satu lambang identiti Malaysia.
Greetha: Betul itu, malah aktiviti tadi juga memberi peluang kepada kami untuk berkongsi
pengetahuan tentang maksud-maksud yang dibawa oleh bendera Jalur Gemilang berdasarkan
warna-warna dan bentuk yang terdapat padanya.
Atuk Kamil: Bijak cara kamu berdua berfikir, kedengaran matang pula. Semoga pertemuan kita
hari ini membawa sesuatu dalam diri kamu semua terutamanya semangat patriotisme yang cuba
atuk terapkan dalam diri kamu kerana “melentur buluh biarlah dari rebungnya”. Satu lagi, jika
kamu mahu makan lagi Pani Puri atau makanan lain, singgahlah di gerai atuk ya.
Mail: Baik Atuk Kamil, terima kasih ya. Saya sangat seronok pada hari ini.
Greetha: Saya juga sangat seronok tapi saya sudah perlu pulang ke rumah, sudah agak lama
saya di rumah ini. Risau pula ibu dan bapa saya nanti.
Lee Jun: Nanti kita jumpa lagi ya atuk, jaga diri. Kami pulang dulu.
Atuk Kamil: Indah nian pohon meranti,

Tumbuh subur tepi perigi,
Pulang dengan hati-hati,
Ada hari bersua lagi.

14

PENGAJARAN BERDASARKAN SKRIP
Pengajaran yang cuba diketengahkan dalam skrip drama bertajuk “Kita Satu Malaysia” ini

terdiri daripada pelbagai aspek terutamanya dalam penerapan nilai jati diri anak Malaysia. Jati
diri anak Malaysia dalam skrip ini menekankan tentang nilai patriotism yang mesti dipupuk dalam
diri kanak-kanak sejak usia dini. Pendedahan tentang salah satu cara kreatif bagi menyambut
Hari Kemerdekaan turut ditranskripsikan dalam skrip adalah bagi menggalakkan anak-anak muda
yang membaca skrip ini untuk sentiasa cakna dan bersemangat untuk menyambut Hari
kemerdekaan pada setiap tahun. Hal ini amat penting bagi menyemai nilai cinta akan negara dan
sifat patriotik dalam diri mereka sejak usia dini.Selain itu, murid-murid juga perlu mengamalkan
nilai prihatin, saling membantu, jujur dan semangat setia kawan dalam menjalani persahabatan
bersama teman-teman. Perkara ini amat penting bagi menanam jati diri anak Malaysia yang
positif dan mampu hidup dalam masyarakat yang pelbagai tanpa sebarang permasalahan.
Bahkan, penerapan nilai jati diri anak Malaysia yang menghormati orang yang lebih tua juga dapat
dilihat dalam skrip ini. Murid-murid perlulah menghormati orang lebih berusia dengan menyapa
terlebih dahulu, bercakap dengan nada sopan dan mendengar nasihat daripada mereka selagi
tidak bercanggah. Nilai-nilai jati diri anak Malaysia yang cuba ditonjolkan dalam skrip drama
bertajuk ‘Kita Satu Malaysia’ ini perlulah diteladani oleh murid-murid bagi melahirkan anak-anak
muda yang berakhlak dan menjadi aset kepada pembangunan negara kelak.

15

16


Click to View FlipBook Version