Catatan Keindahan
Sebuah Pertemuan
Walau apa pun, berpeganglah dengan tali
Allah. Utamakan agama. Kita kejar akhirat, percayalah
dunia akan kejar kita, dan berada di telapak kaki kita
sahaja. Ya Allah, terima kasih atas pertemuan yang
telah berjaya mengubah persepsi dan hati ini!
45
ANTARA KOBAR
DAN GEMENTAR
Oleh: Muhammad Syarafi
Peguam Hipster Patuh Syariah
“Siapa yang nak ikut jumpa Tuan Guru Hj. Abdul Hadi?”
Bonda Nor offer kepada peserta-peserta
perkampungan ilmu ABN pada 29 Ogos 2020
dan hampir seluruh isi dewan mengangkat
tangan. Saya sahaja yang tidak mengangkat tangan
ketika itu.
Bukan sebab tidak mahu ikut serta, tetapi di
dalam minda sedang berfikir jujukan kerja yang
sedang menunggu. Hati saya bermonolog, ‘Jumpa
Tuan Guru ni, layak ke aku nak ikut? Hari Isnin ada
kes untuk dibicara.’
Bermacam-macam perkara yang difikirkan
sebab memikirkan perbicaraan mahkamah, kemudian
ada perjumpaan dengan client lagi, dan masih ada
amanah anak guam yang perlu diselesaikan. Jadual
bulan September ini sebenarnya tersangatlah padat
tapi hati masih kuat untuk turut serta dalam
perjumpaan eksklusif bersama Tuan Guru. Dalam
dilema antara mahu dan mampu, saya tetap tahu
bukan mudah untuk mendapat peluang ini.
Balik dari program, saya terus beritahu isteri
tentang perkara ini. Jawapan isteri saya mudah
sahaja, “Eh pergilah! Bukan senang untuk mendapat
peluang berjumpa dengan orang alim ni, go go go!”
Allahu Akbar. Isteri pula memberi semangat
untuk menyertai perjumpaan ini. Bak kata Bonda Nor,
46
Catatan Keindahan
Sebuah Pertemuan
“Bila datang peluang, cuba jadi seorang yang
opportunist dalam tindakan dan jangan lepaskan
peluang.” Kata-kata semangat ini menambahkan
keterujaan saya untuk hadir.
Oh, rupanya group Telegram sudah meriah
dengan senarai nama para perantis yang mahu ikut
serta. Senarai nama itu akan dihantar kepada pihak
penganjur program. Saya terus tulis nama Rafi Hipster.
Selang beberapa hari pengumuman dibuat di group
Telegram, “Berikut nama-nama untuk perjumpaan
bersama Tuan Guru. Tahniah diucapkan.”
Saya terus membaca senarai nama yang
diberi. Wah, nama sendiri ada! Peluang yang datang
mungkin sekali seumur hidup ini mesti digunakan sebaik
mungkin! Dulu semasa kecil, umi bercerita bahawa
beliau pernah membawa saya berjumpa dengan
Almarhum Tuan Guru Nik Abdul Aziz di Kelantan. Tetapi
ketika itu saya lupa apa yang berlaku kerana masih
kecil. Tetapi kali ini berbeza, peluang berjumpa Tuan
Guru Abdul Hadi Awang akan dimanfaatkan
sebaiknya!
Beberapa hari sebelum perjumpaan yang
dijadualkan berlangsung, satu pengumuman di group
Telegram rasmi Akademi Bonda Nor yang disampaikan
sendiri oleh Bonda Nor kepada semua perantisnya,
“Tuan-Puan kalau ada yang nak bagi buku
semasa sesi bergambar nanti, bagi cepat-cepat
kemudian minta sesiapa tolong snapkan gambar tu.
Jangan paksa Ayah Chik ambil gambar dengan kita
ya! Ingat, kita datang nak ambil ilmu bukan nak
tumpang promo buku kita.”
47
Permata Ummah:
Ayah Chik Yang Kami Kenali
Subhanallah. Begitu sekali pesan Bonda
Nor kepada kami sebelum berjumpa ulama’
besar ini. Pesanan tentang menjaga adab.
Pesanan untuk menjaga fokus ilmu. Saya
memang ingat sungguh pesanan ini, tapi biasalah bila
kita sedang teruja berjumpa dengan ulama’ dunia
yang diiktiraf, mahu tidak mahu tetap juga saya
menyimpan hasrat untuk mengajak beliau bergambar
dengan buku yang saya tulis.
‘Ada ruang nanti, aku mahu berikan buku
penulisan pertama yang dibuat bersama rakan penulis
lain untuk kenangan Ayah Chik.’
Alhamdulillah! Memang Allah mudahkan urusan
ketika saya mahu serahkan sesalinan buku Chaiyok!
kepada Ayah Chik. Tetapi, ketika mahu meminta
tandatangan buku terbaharu Ayah Chik, tiba-tiba baru
saya perasankan sesuatu. ‘Alamak plastik pembalut
buku belum buka!’ Tiba-tiba kaki terasa menggeletar
seperti mahu menghadap Panel Mahkamah Rayuan
gayanya tu!
“Peguam Hipster sangat!” seloroh Bonda spontan
reflect dari tingkah laku saya yang gelabah apabila
Ayah Chik sudah bersedia untuk turunkan tandatangan
pada buku terbaharu beliau. Akhirnya, perantis lain
datang menghulurkan buku lain untuk Ayah Chik
tandatangani kerana kasihan melihat saya masih
terkial-kial mahu membuka sarung plastik buku yang
saya bawa. Ya Allah, memang ketawa sendiri apabila
saya terkenangkan peristiwa lucu itu!
48
Catatan Keindahan
Sebuah Pertemuan
Terima kasih Akademi Bonda Nor dan Bonda Nor
serta rakan-rakan penulis lain yang berikan sikit ruang
pada saya untuk turut serta dalam majlis ilmu santai
bersama Ayah Chik. Moga-moga dengan perkongsian
yang diberikan Ayah Chik memberi semangat kepada
rakan-rakan penulis lain untuk terus menulis dan
meninggalkan sesuatu yang boleh dimanfaatkan oleh
orang lain. Terima kasih juga pada isteri saya yang setia
menyokong suaminya. Terima kasih sudi baca.
49
ALLAH
MASIH PEDULI
Oleh: Ezatul Marini bt Mohd Ghazali
Pensyarah (Politeknik Sultan Azlan Shah, Behrang Perak)
Pada tahun 1997, saya ke Darul Syifa. Tujuannya
membawa arwah ibu dan arwah suami untuk
ikhtiar mendapatkan penawar untuk sakit
mereka. Allah itu Maha Baik, kami dapat nombor giliran
pertama. Usaha sampai ke Bangi sebelum Subuh
membuahkan hasil.
Menjelang jam 7.30 pagi, kami diberitakan
Allahyarham Dato’ Haron Din akan memulakan proses
rawatan. Sebaik berdiri, kami nampak Allahyarham
berdiri di pintu masuk. Tak semena-mena air mata saya
mengalir. Saya kerling ke sebelah. Eh, arwah suami
juga menangis!
***
Kejadian hampir serupa berlaku pada tahun
2003, apabila saya ditugaskan mengiringi pelajar ke
satu program di Stadium Melawati Shah Alam. Sebaik
perasmi program memasuki pintu masuk stadium,
saya menangis sebak diiringi takbir oleh sekalian
pengunjung yang membanjiri ruang stadium.
Manalah tidak menitis air mata, yang berdiri di
hadapan saya bukan calang-calang figura.
Allahyarham Tuan Guru Nik Abdul Aziz. Siapa yang
tidak kenal beliau. Allahuakbar. Betapa Allah sayang
saya yang banyak dosa ini. Saya diberi peluang berdiri
dalam satu ruangan dengan tokoh hebat ini.
***
50
Catatan Keindahan
Sebuah Pertemuan
“Kak Ngah, nanti lepas jumpa Tuan Guru Haji
Abdul Hadi, beritahu kami ya, awak nangis ke tidak?”
Eh, mengapa persoalan saya menangis atau
tidak jadi fokusnya? Barangkali kerana dua kali
pertemuan dengan tokoh Ulama’ sebelum ini
membuatkan saya menangis. Saya seolah punya satu
persepsi, bahawa kehebatan aura dan karisma tokoh-
tokoh yang telah saya temui mengundang sayu dan
sebak serta insaf dengan kehebatan Allah.
Makanya, sebaik sahaja sosok Tuan Guru Haji
Abdul Hadi Awang (Ayah Chik) melangkah masuk ke
ruang Pustaka Permata Ummah semasa perjumpaan
santai Akademi Bonda Nor bersama beliau pada 6
September 2020 yang lalu, lutut saya tiba-tiba seolah
tidak mampu menampung berat badan.
Subhanallah! Entah rahsia apa, tidak tahu atas
asbab apa, Allah masih peduli menghadiahkan saya
kurniaan istimewa ini. Peluang berjumpa empat mata
dengan Ulama’ hebat ini bukan semua orang dapat
merasa. Saya duduk di barisan hadapan. Terlalu
dekat! Allahuakbar!
Hati saya teruja apabila peluang dibuka untuk
kami bertanya soalan kepada Ayah Chik. Saya hantar
mesej peribadi kepada Bonda Nor, saya tuliskan
soalan yang hendak saya tanyakan dan mohon
pandangan Bonda Nor. Bolehkah soalan itu saya
tanyakan? Layakkah soalan itu saya utarakan kepada
Ayah Chik? Ah, sebegitu sekali saya cuba berhati-hati.
Alhamdulillah, Allah gerakkan tangan saya
untuk capai mikrofon dan lontarkan pertanyaan,
“Assalamualaikum Ayah Chik, saya ada satu soalan.
51
Permata Ummah:
Ayah Chik Yang Kami Kenali
Saya dan barangkali ada kawan-kawan lain yang
teruji. Saya cuba usahakan redha dalam menghadapi
ujian maka saya selalu tetap nampak seronok. Saya
sebenarnya seronok, eh bukanlah seronok sangat
dengan ujian...”
Hadirin pula tolong sambut sambil gelak ketawa.
“… ya, ya ... ha, saya bersyukur.”
Aduhai! Dek kerana teruja dan menggelabah,
entah soalan apa yang saya tanyakan. Alhamdulillah,
soalan saya tentang bagaimana didik hati agar tidak
over confident diperjelaskan dengan terperinci oleh
Ayah Chik. Menerima pesanan dan kata mutiara dari
seorang tokoh agama yang hebat tidak akan saya
padamkan dari ingatan.
Sebelum pulang. Saya sempat meminta Ayah
Chik doakan saya. Anggukan kepala dan jawapan
“Allahuakbar, Insya-Allah” daripada beliau sudah
cukup menghilangkan segala resah.
Subhanallah. Alhamdulillah. Allahu Akbar.
Maka nikmat mana lagi yang hendak saya
dustakan? Asbab berada dalam Akademi Bonda Nor,
saya direzekikan peluang ini. Jazakallahu khairan
Bonda Nor, pihak Pustaka Permata Ummah serta Ayah
Chik.
52
Sungguh, saya menganggapnya
sebagai jambatan kasih sayang
Allah pada saya. Ketika teruji,
ternyata Allah masih sentiasa
peduli, lalu dihantarkannya
peluang sebesar ini. Bertemu
ulama’ pewaris para Nabi. Allahu
Akbar. Semoga Allah terus
memelihara dan merahmati Ayah
Chik, Tuan Guru Dato’ Seri Haji
Abdul Hadi Awang.
CINTA MENGUBAH
SEGALANYA
Oleh: Faizah Ahmad (Cik Pae)
Jurutera di Syarikat Multinasional Jepun di Damansara
Subhanallah. Tabarakallah.
Tarikh 6 September adalah tarikh keramat yang
sangat bermakna dalam sejarah hidup saya. Hari
yang dinantikan telah pun tiba. Pertemuan
Eksklusif Akademi Bonda Nor Bersama Tuan Guru Haji
Abdul Hadi Awang telah menjadi kenyataan.
Saya teruja bukan kerana saya adalah peminat
tegar Tuan Guru. Bahkan saya tidak pernah langsung
mengambil peduli mengenai beliau sebelum ini.
Malahan banyak pula prasangka yang tidak baik
tertanam dalam otak hanya kerana mempercayai
bacaan arus perdana yang tidak benar terhadap
beliau.
Namun kuasa Allah telah mengatasi segalanya.
Kebesaran Allah SWT mampu mengubah segala
prasangka buruk yang bersarang dalam minda saya
selama berpuluh-puluh tahun lamanya. Kekuatan
Allah telah menolak segala hal yang tidak benar tetapi
menaikkan kebaikan dengan cara yang sangat indah.
Segalanyaberubahdengansekelipmatasebulan
sebelum itu. Belum pernah sekalipun saya melihat
sendiri sosok badan ulama terkenal ini. Bahkan saya
juga tidak pernah membaca sepatah kata pun tulisan
beliau sebelum ini. Tak kira daripada buku ataupun
mana-mana tulisan beliau.
54
Catatan Keindahan
Sebuah Pertemuan
Namun saat mata saya tertancap pada foto-
foto yang tergantung di sepanjang dinding sebelum
menaiki tingkat satu Pustaka Ummah, anehnya hati
saya bergetar hebat. Ketika itu saya menemani guru
saya, Bonda Nor untuk sesi perbincangan bersama
ahli jawatankuasa mengenai karya Tuan Guru serta
hal-hal lain yang berkaitan.
Lebih mencengkam jiwa adalah ketika saat
saya membelek beberapa helaian tulisan beliau
dalam buku yang bertajuk Celupan Jarum Kecil Di
Lautan Ilmu Al-Quran. Saya kagum kerana ketika
membaca beberapa helaian buku itu, hati saya tertarik
dengan ketinggian ilmu beliau. Ketika itu ada
diceritakan tentang sejarah kerajaan Rom dalam
buku tersebut.
Saya berasa malu dengan diri sendiri apabila
mengetahui bahawa buku tersebut ditulis ketika
beliau menjalani rawatan injap jantung di Institut
Jantung Negara (IJN) pada tahun 2017. Betapa
bersungguhnya beliau berusaha untuk menulis
sekalipun dalam keadaan yang sakit. Berbeza sungguh
dengan saya yang kadangkala terlalu mengikut
perasaan untuk tidak menulis hanya kerana sedikit
ujian kecil yang hadir.
Hati saya tidak kagum terhadap beliau daripada
sudut politik kerana saya memang jahil mengenainya.
Namun, apabila mendengar beliau berbicara di
hadapan kami, saya kagum dengan kupasan yang
mendalam tentang soalan-soalan ditanya kepada
beliau.
Bukan satu dua soalan, tetapi hampir 12 soalan
yang diutarakan kepada beliau. Jawapannya bukan
55
Permata Ummah:
Ayah Chik Yang Kami Kenali
sekadar melepas batuk di tangga. Jawapan beliau
bukan daripada satu sisi sahaja, tetapi kupasannya
menyeluruh dan membuatkan pendengar sangat jelas
akan kekeliruan dan masalah yang melanda.
Salah satu nasihat beliau yang sangat terkesan
di hati saya adalah mengenai kupasan beliau
terhadap soalan apakah amalan khusus sebelum kita
menulis? Masih terngiang-ngiang jelas di telinga saya
kata-kata beliau yang berbunyi begini,
“Kita nak menulis kena banyak
membaca. Kaedah membaca
adalah dengan mencari ilmu yang
ikhlas. Kita perlu mencari buku
orang yang ahli dalam ilmunya.
Orang yang beramal dan
memperjuangkan ilmu yang
ditulis.”
Ketika itu saya benar-benar terasa bagaikan ini
adalah peringatan Allah kepada diri sendiri melalui
Tuan Guru. Sebelum ini tidak pernah saya pasakkan
niat yang mendalam sebegitu rupa sebelum menulis.
Lontaran nasihat itu seolah-olah pesanan seorang
ayah kepada anak-anaknya. Auranya terasa merasa
meresap terus ke dalam hati.
Beliau menyambung lagi, “Ada penulis yang
meninggal kerana berjuang dengan ilmunya seperti
Imam Al-Bukhari, Imam Muslim, Imam al-Ghazali dan
imam empat kita. Mereka sanggup diseksa ketika
berjuang menegakkan hukum.”
56
Catatan Keindahan
Sebuah Pertemuan
Nasihat beliau banyak membuka minda saya
untuk lebih banyak membaca. Bahkan saya sendiri
berazam untuk menjadi seperti beliau yang luas ilmu
pengetahuannya mencakupi pelbagai bidang yang
bukan hanya tertumpu mengenai agama dan politik
sahaja.
Terasa bagaikan tidak mahu menamatkan sesi
pertemuan bersama beliau. Terasa bagaikan mahu
terus duduk berteleku di situ mendengar lagi lontaran
ilmu daripada beliau. Ketika itu saya berasa indahnya
Islam. Terasa bersemangat untuk terus menulis tentang
hal-hal kebaikan. Terasa mahu mengikut langkah
beliau yang pantas menulis dan tidak pernah
bertangguh untuk menulis kebaikan.
Hati saya terasa sebak. Hari itu saya melihat
sendiri seseorang yang dulu saya pandang dengan
pandangan skeptikal dan buruk sangka tanpa
sebarang sebab yang kukuh. Kini Allah telah
membolakkan hati saya dengan melihat sendiri
siapakah Tuan Guru Dato’ Seri Haji Abdul Hadi
daripada sisi ulama yang hebat ilmunya.
Inilah rezeki yang paling mahal
dalam hidup saya yang telah Allah
kurniakan. Mudah-mudahan panduan
yang diberikan oleh beliau dapat
mengubah saya untuk menjadi penulis
yang berkualiti, berilmu dan beriman.
Takbir!
57
KEMBAR
ARWAH ABAH
Oleh: Azian Mohamed Isa
Suri Rumah Profesional
Tepat jam 2.30 petang, kereta yang saya naiki
mula meninggalkan perkarangan Masjid
Al-Syakirin, Gombak. Berpandukan Aplikasi
Waze, kami melewati beberapa taman perumahan
rumah teres sebelum memasuki sebuah kawasan
perumahan lot banglo.
Jalan Kerdas 1, Lot 9108. Di situlah letaknya
Pustaka Permata Ummah, penerbit dan pengedar
rasmi bagi buku-buku karya Tuan Guru Dato’ Seri
Haji Abdul Hadi Awang. Dan di sinilah juga saya dan
sahabat-sahabat Akademi Bonda Nor akan bertemu
dengan tokoh ulama ini dalam satu pertemuan yang
sangat eksklusif, dalam acara Sembang Santai Tuan
Guru Bersama Akademi Bonda Nor.
Masya-Allah, Tabarakallah. Ia satu pengalaman
yang amat manis dan dalam masa yang sama
mengundang sebak di hati saya. Saat Tuan Guru
melangkah masuk ke ruang utama, air mata saya
tumpah, tak dapat ditahan-tahan. Saya teringat akan
arwah abah yang telah pun pulang ke rahmatullah
tiga tahun yang lalu. Wajah arwah abah saling tak
tumpah macam Tuan Guru. Berkopiah dan berkaca
mata, memang serupa! Dan abah juga penyokong
setia PAS selama dua dekad. Allahu.
Cepat-cepat saya seka air mata. Tak mahu
berlama-lama dengan kesedihan di dada. Saya mahu
bersimpuh menadah ilmu, meneliti dan menghadam
bait-bait kata Tuan Guru, seorang ulama’ pewaris Nabi.
58
Catatan Keindahan
Sebuah Pertemuan
Ia peluang yang sangat berharga. Jika dulu, wacana
dan pemikiran Tuan Guru saya hanya baca dalam
akhbar Harakah, di mana abah salah seorang
pelanggan setianya. Tapi hari ini saya berpeluang
mendengar secara terus, tanpa sebarang medium
dan platform. Upclose and personal!
Tuan Guru memulakan mukadimah ucapannya
dengan firman Allah SWT:
ﭼﭽﭾﭿﮀﮁﮂﮃﮄﮅ
ﮆ ﮇﮈﮉ
“Dan tidak ada yang lebih baik perkataannya
daripada orang yang menyeru kepada
(mengesakan dan mematuhi perintah) Allah,
serta ia sendiri mengerjakan amal yang soleh,
sambil berkata: “Sesungguhnya aku adalah
dari orang-orang Islam (yang berserah bulat-
bulat kepada Allah.”
Surah Al-Fussilat: 33
“Marilah kita bersyukur kepada Allah kerana
memuliakan kita dengan nikmat Islam, nikmat yang
tidak dapat dibanding dengan segala nikmat kerana
membawa kita kebaikan di dunia dan akhirat yang
kekal abadi. Kerana perjalanan hidup manusia itu
panjang, bukan seperti yang digambarkan dalam
filem-filem, apabila hero mati, kena tembak, cerita
tamat.”
59
Permata Ummah:
Ayah Chik Yang Kami Kenali
“Islam mengajar kita selepas mati, ada lagi alam
barzakh dan alam selepas itu, iaitu hari kebangkitan
semula, hari yang selama-lamanya. Kedudukan kita
di alam dunia adalah membuat persediaan dengan
kadar yang sedikit yang diberi oleh Allah. Terlalu sedikit
kadar alam di dunia ini.”
Begitulah sebahagian ucapan mukadimah yang
sempat saya catatkan. Tadahan ilmu seterusnya
semakin terisi menerusi sesi soal jawab sesudahnya.
Subhanallah. Sarat dengan tausiyah!
Pertemuan indah ini sebenarnya bermula
dengan hasrat murni yang bersifat sangat peribadi
buat diri pengasas Akademi Bonda Nor. Asbab beliau
mahu berhijrah, bersungguh-sungguh mahu jadi lebih
baik dan salah satu caranya adalah dengan
mendekati para ulama’. Justeru, tanggal 6 September
2020, kami anak-anak didiknya, para perantis Akademi
Bonda Nor menumpang tuah Bonda Nor, berpeluang
bertemu dengan tokoh ulama’ ini.
Dan bagi saya, moment ini
mengembalikan ingatan yang
bukan sedikit terhadap arwah
abah. Melihat Tuan Guru bagai
melihat sosok arwah abah.
Iras yang sama dengan
perjuangan yang sama.
Allahu Akbar!
60
INSPIRASI
PERMATA UMMAH
Oleh: Liza Suhana Ramli
Pensyarah
Memandang wajahnya, damainya jiwa. Saat
beliau melangkah masuk, tiba-tiba sebak
bertandang. Air mata cuba diempang. Inilah
sosok yang sering kedengaran perihalnya di media.
Terasa seperti mustahil dapat bersua muka dengan
ulama’ bertaraf dunia ini.
Namun hari itu, Tuan Guru Haji Abdul Hadi
Awang atau lebih mesra dipanggil Ayah Chik ini
berada di depan mata. Tidak disangka-sangka hari itu
saya dan para sahabat Akademi Bonda Nor
berpeluang duduk menadah ilmu daripada tokoh
agamawan dan politik yang disegani kawan dan
lawan ini. Sejak kecil, namanya sudah sebati dalam
diri dan di usia 41 tahun ini, Allah hadiahkan
pengalaman yang amat berharga.
“Hari ini, saya ingin mengumumkan satu berita
baik. Pihak Pustaka Permata Ummah bersetuju untuk
menjemput kita ke majlis ekslusif bersama Tuan Guru
Haji Abdul Hadi.”
Allahuakbar! Sebaik mendengar pengumuman
guru kami Bonda Nor, hati gembira bukan kepalang.
Serentak itu juga air mata mengalir tanpa dapat
ditahan-tahan lagi. Ya, ramai yang menangis terharu.
‘Ya Allah, jika ini pertemuan terbaik yang Engkau
aturkan untukku, permudahkanlah. Jadikanlah ia
asbab untuk aku lebih dekat dengan-Mu dan
bertambah amalku,’ begitulah hati berbisik.
61
Permata Ummah:
Ayah Chik Yang Kami Kenali
Terdetik juga di dalam hati, alangkah bagusnya
kalau suami dapat turut serta. Dia sangat suka bertemu
ulama’. Dulu, dia pernah ke Kelantan bertemu dengan
Tuan Guru Nik Aziz ketika hayatnya. Teringat yang dia
pernah berkata, “Kita kena selalu berdamping dengan
para ulama’ dan orang soleh. Merekalah pewaris
nabi.”
Ketika Bengkel Penulisan Masteri Bonda Nor,
terdengar nama suami dipanggil naik ke pentas.
“Encik Mokhtar pernah jumpa Tuan Guru?” Suami
menggeleng.
“Nak jumpa dengan Tuan Guru?” Dia terdiam.
Saya dapat melihat suami tertunduk. Berubah air
mukanya, menahan sebak barangkali.
“Saya nak hadiahkan tiket untuk Encik Mokhtar
bertemu Tuan Guru bersama-sama dengan team
Akademi Bonda Nor.”
Masya-Allah! Hasrat hati saya Allah makbulkan!
Air mata ini laju mengalir. Ya, itulah yang berlaku.
Walaupun suami saya bukanlah penulis Akademi
Bonda Nor, namun Allah rezekikan kami bersama-sama
mengharung perjalanan dari utara ke Kuala Lumpur
untuk hadir ke pertemuan bersejarah ini.
Majlis bermula. Semua kelihatan khusyuk
mendengar bait kalam Ayah Chik. Bermula dengan
mengenal Allah, asal penciptaan alam dan kejadian
manusia, al-Quran sebagai mukjizat ilmu, para nabi
dan rasul sebagai utusan-Nya, sirah perjuangan
Rasulullah SAW, para ilmuwan Islam sehinggalah
kepada kepentingan membaca dan menulis untuk
manfaat ummah. Semuanya cantik tersusun seperti
62
Catatan Keindahan
Sebuah Pertemuan
sebuah buku yang pengakhiran ceritanya membawa
pembaca berfikir dan bermuhasabah.
“Barangsiapa yang membuat
perkara baik, akan dapat
manfaat sesudah mati.”
“Membaca sangat penting.
Manfaatkan ia kepada manusia
melalui penulisan.”
Saya kagum sekali dengan jawapan Ayah Chik
terhadap persoalan demi persoalan yang dilontarkan
kepadanya. Beliau menjawab dengan tenang dan
penuh hikmah. Semua jawapan beliau pasti
dikaitkan dengan al-Quran dan al-Sunnah. Sirah Nabi
sentiasa meniti di bibirnya sebagai panduan dalam
penyelesaian apa jua isu kehidupan.
“Jihad pertahankan Islam menjadi wajib pada
semua orang.”
“Kata ulama’, ilmu umpama binatang buruan.
Tulisan adalah ikatannya.”
Inilah antara jawapan Ayah Chik yang berbekas
di dalam hati. Ya, matlamat saya kini sudah jelas.
Saya sudah berada di landasan yang tepat. Bidang
penulisan ini menjadi medan jihad untuk saya terus
bermujahadah membetulkan diri dan menegakkan
kebenaran serta mencegah kemungkaran.
63
Permata Ummah:
Ayah Chik Yang Kami Kenali
Sungguh, dunia penulisan amat
memerlukan golongan penulis
yang punyai fikrah yang sama.
Setiap tutur kata Ayah Chik bak butir-butir mutiara
mahal yang harus disimpan untuk dijadikan hiasan diri
sepanjang hayat. Kalam nasihatnya menjadi inspirasi
buat kami untuk terus menyebarkan sebanyak-
banyak manfaat selagi masih dipinjamkan nafas.
Wajah seorang permata ummah yang sentiasa
tersenyum itu pasti dikenang seumur hidup.
Ya Allah, bangkitkan kami bersama-sama Ayah
Chik dan para ulama’ pada hari akhirat nanti.
Amin Ya Mujib.
64
DEMI
UMMAH
Oleh: Nadhirah Arib
Kaunselor Berdaftar (KBPA)
“Tak apa, boleh tanya banyak soalan, Ayah
Chik akan jawab,” beritahu pengerusi majlis semasa
sesi soal jawab.
Mataku melilau melihat tangan sahabat ABN
yang mengangkat tangan. ‘Eh banyaknya
soalan. Tak apa ke drag masa ni?’ Aku hanya
bermonolog dalam hati. Bimbang juga mengambil
masa Tuan Guru. Tetapi Tuan Guru di hadapan sana
sedang tekun mencatit soalan-soalan yang diajukan
daripada pihak kami seolah-olah tidak peduli dengan
dilema yang aku rasai.
‘Eh siap catit, mesti beliau ambil serius soalan
kami!’ Aku terus bercakap sendirian. Sesekali kelihatan
beliau melemparkan senyuman mendengar soalan
dan turut ketawa bersama. Tapi ada satu soalan yang
menyebabkan aku teruja nak tahu jawapannya.
Soalan dari Puan Khadijah yang berbunyi, “Apakah
peristiwa yang menyebabkan Tuan Guru merasa down
dalam hidup.”
Fikirku ketika itu mesti Tuan Guru akan ceritakan
perihal kehidupan keluarga dan peribadi. Tapi
jangkaanku meleset sama sekali! Ah, terasa tertampar
mendengar ceritanya. Bukan kesedihan biasa-biasa
yang menyebabkan Tuan Guru down tapi tentang
perjuangan untuk ummah. Satu persatu kisah
perjuangan diceritakan, ada nama-nama sahabatnya
yang telah meninggal dunia disebutnya. Namun,
katanya itu belum betul-betul down lagi.
65
Permata Ummah:
Ayah Chik Yang Kami Kenali
‘Eh, sehebat itu belum down, berdakwah sehingga
ke pelusuk dunia dan menyelamatkan orang Islam di
pelbagai negara dengan pelbagai cabaran tapi
belum terasa down. Apakah yang ada dalam jiwa
seorang pejuang ummah ini?’ Aku terus membuat
perkiraan sendiri.
Rupa-rupanya, tatkala negara sedang
dipegang oleh mereka yang bukan Islam, itulah saat
yang paling down dalam hidup beliau. Tuan Guru juga
menceritakan bagaimana beliau bersusah payah
mengatur strategi agar kepimpinan negara dipegang
oleh orang Islam kembali. Bertambah sayu ketika
itu Tuan Guru sedang diuji dengan sakit jantung tapi
beliau tetap menjalankan kerja-kerja dakwahnya.
Demi Islam!
Ya, cerita itu membuatkan aku
merenung diri. Orang seperti aku, ujian
peribadi sahaja cukup membuatkan diri
merasa lemah tapi mereka yang hidupnya
memperjuangankan ummah kesedihannya
lebih dari itu. Kehidupannya banyak
memandang ke hadapan. Berfikir tentang
maslahat umat jauh lebih utama dari
diri sendiri.
“Jangan takut sekiranya dakwah kita ditolak
keluarga. Lemah akidah lagi teruk daripada lemas air.
Lemas air mati syahid. Lemas akidah masuk neraka.
Maka bersungguhlah menyelamatkan keluarga kita
daripada api neraka!”
66
Catatan Keindahan
Sebuah Pertemuan
Subhanallah, aku suka dengan analogi lemas
yang dibawakan oleh Tuan Guru. Bahkan aku terus
menulisnya di status Whatsapp dan ada teman yang
memohon untuk disebarkan lagi. Itu antara jawapan
Tuan Guru apabila ditanya tentang dakwah kepada
ahli keluarga. Jelas prinsip beliau, tidak mahu orang
lain lemas akidah dan aku kira itulah yang
menyebabkan beliau tegar untuk berjuang dalam
dakwah. Walaupun pernah dikecam dan dihina, tapi
itu semua tidak melemahkan semangat.
Pesannya lagi, “Selagi jantung berdenyut
teruskan dakwah. Kejayaan kita menyelamatkan
orang lain, besar nilainya di sisi Allah.”
Allahuakbar, aku pasti inilah kekuatan
Tuan Guru. Kerana beliau nampak balasan
di sisi Allah lebih besar berbanding keindahan
dunia yang sementara. Hati terusik dengan kalimah
menyelamatkan. Ini bermakna dakwah itu juga kerana
kita ingin menyelamatkan. Kesimpulannya, dakwah
itu tentang menyelamatkan orang lain dari kelemasan
akidah, bahkan juga ilmu yang salah dan juga akhlak
yang buruk.
Subhanallah, tabarakallah semakin besar aku
nampak makna dakwah apabila seorang ulama
berbicara. Namun, kerja-kerja dakwah ini juga perlukan
kekuatan. Maka Tuan Guru menasihati agar menjaga
niat. Katanya, “Kita jaga nawaitu Allah akan bagi
kekuatan.”
67
Perjalanan dakwah seorang
Tuan Guru yang sudah lama,
pastinya penuh onak dan duri
tapi melalui nasihat itu aku
percaya yang menjadikan beliau
kuat dan disegani kawan serta
lawan adalah kerana prinsip
perjuangannya yang jelas hasil
dari niat yang tuntas.
Aku memandang beliau pada
dua sisi, sisi seorang ahli politik
dan seorang ulama’. Bahkan, aku
tidak menyangka dapat bertemu
beliau asbab terlibat dengan
dakwah melalui penulisan dan
sebak kerana pertemuan ini
adalah jemputan dari beliau
sendiri. Allahu Akbar.
DAKWAH SEORANG
MUSLIMAH
Oleh: Rohamiah Muda
Pensyarah Politeknik Ibrahim Sultan
Ketika pengumuman dibuat oleh Bonda Nor
bahawa akan diadakan perjumpaan esklusif
antara Perantis Akademi Bonda Nor dengan
Tuan Guru Dato’ Seri Haji Abdul Hadi Awang, hati saya
terus teruja dan bahagia. Masya-Allah, berita yang
tidak disangka-sangka diterima di akhir pertemuan
para perantis ketika Perkampungan Perantis Akademi
Bonda Nor.
Namun entah kenapa, tiba-tiba berita ini turut
menjadi satu beban kepada saya. Adakah suami saya
akan membenarkan saya bermusafir lagi? Kerana
pertemuan dengan Tuan Guru adalah pada minggu
berikutnya saja. Saya baru saja bermusafir dan perlu
bermusafir lagi?
Allahu … saya bimbang peristiwa lama berulang
kembali. Ketika itu, saya bermusafir dalam keadaan
suami bermasam muka. Walaupun saya tahu dia
memberi keizinan tetapi tidak sepenuhnya dengan
keredhaan. Saya mula rasa sebak.
‘Aku ada Allah!’ bisik hati kecil saya di sudut yang
paling dalam. Saya perlukan jawapan segera daripada
suami untuk memberi nama kepada Bonda Nor.
Perjumpaan hanya dihadkan kepada beberapa orang
peserta sahaja.
Malamnya, saya bermunajat dan berdoa
dengan penuh khusyuk. Memohon jawapan yang
terbaik daripada Allah. Meminta agar Dia dan suami
69
Permata Ummah:
Ayah Chik Yang Kami Kenali
redha. Saya memohon sambil mengalir air mata.
“Abang, Bonda Nor menjemput para perantis
bertemu dengan Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang.
Boleh sayang ikut sekali?” saya bertanya suami
dengan nada yang lembut dan santun.
“Pergilah!” jawab suami ringkas.
Masya-Allah … sepatah perkataan itu sudah
cukup! Saya sebak dengan jawapan suami. Keizinan
yang amat saya perlukan!
Pada hari pertemuan itu, sekali lagi Allah
memberi jawapan kepada persoalan saya. Ketika
sesi soal jawab bersama Tuan Guru, ada satu soalan
yang dikemukakan sangat menarik perhatian saya.
Saya menunggu jawapan itu daripada Tuan Guru.
Salah seorang peserta bertanya
soalan tentang dakwah seorang
isteri. Bagaimanakah kedudukan
seorang isteri untuk keluar
berdakwah? Sedangkan kita
perlukan redha seorang suami.
Allahu. Soalan yang benar-benar
terkena dengan situasi saya
ketika itu.
“Seorang isteri tugasnya adalah melayan suami
dan anak-anak dengan baik. Sebenarnya Allah
memberi masa kepada semua manusia adalah sama,
70
Catatan Keindahan
Sebuah Pertemuan
iaitu 24 jam. Tidak lebih dan tidak kurang. Melayan
suami pula bukannya sepanjang masa selama 24 jam.
Ada masa kita melayan suami, ada masa kita
selesaikan urusan diri sendiri.” Saya mengangguk
mendengar jawapan bernas daripada Tuan Guru.
Tuan Guru terus sambung lagi, “Perjuangan Islam
ini ada kalanya fardhu kifayah dan ada kalanya
menjadi fardhu ain. Ketika Islam dalam keadaan baik
dan selamat, dakwah ini menjadi fardhu kifayah.
Tetapi, apabila umat Islam dalam keadaan bahaya
dan terancam, Ulama’ Feqah memberi hukum
bahawa dakwah menjadi fardhu ‘ain sama ada ke
atas lelaki atau perempuan.”
“Zaman sekarang serangan daripada musuh
Islam bukan dari segi serangan senjata, tetapi
serangan dari segi pemikiran dan ideologi. Serangan
ini masuk ke dalam rumah-rumah umat Islam. Maka,
di zaman ini, jihad dan dakwah sudah menjadi fardhu
ain kepada setiap umat Islam lelaki atau perempuan.”
“Jadi, tanggungjawab ini mesti digalas oleh
semua. Sebagai seorang isteri, boleh bahagikan masa
untuk menunaikan tanggungjawab kepada suami,
dan ada masa untuk tunaikan juga tanggungjawab
kepada ummah.”
Allahu. Inilah jawapan yang saya tunggu-tunggu.
Jawapan yang cukup padu daripada Tuan Guru. Laju
air mata saya menitis mendengar butir bicara daripada
Tuan Guru. Masya-Allah. Tabarakallah. Hati saya sangat
tenang ketika menerima jawapan itu.
71
Permata Ummah:
Ayah Chik Yang Kami Kenali
Saya yakin pertemuan pada hari tu tidak sia-sia,
bahkan satu pertemuan yang sangat diberkati oleh
Allah. Bersama seorang ulama’ bukan saja jadi asbab
kebaikan dan rahmat bahkan sangat penting untuk
meneguhkan semangat. Semoga pertemuan ini
menjadi asbab kami semua ke jannah,
Insya-Allah.
72
PERSEPSI
BAHARU
Oleh: Saadiah Kamiso
Mantan Pengetua Sekolah
Apabila Bonda Nor menyatakan bahawa
pasukan Akademi Bonda Nor dijemput untuk
menghadiri sesi sembang santai bersama Tuan
Guru Dato’ Seri Haji Abdul Hadi Awang, ada satu rasa
janggal mulanya. Maklumlah semasa berkhidmat
sebagai penjawat awam saya memang mengelak
untuk dicap sebagai penyokong pembangkang.
Saya memang tidak pernah menghadiri
sebarang perjumpaan atau majlis yang mempunyai
kaitan dengan pihak yang bukan penyokong
kerajaan. Apatah lagi sebagai pengetua di sebuah
sekolah menengah kerajaan, memang saya pun
diminta mengingatkan semua guru dan staf di sekolah
saya berkaitan pembabitan mereka dengan politik.
Mengapa saya perlu berasa janggal? Baru saya
sedar, saya sudah bersara. Tiada apa yang menjadi
kekangan lagi. Mengapa harus melepaskan peluang
bertemu dengan ulama’? Kalau dahulu saya bimbang
mendapat surat tunjuk sebab daripada ketua jabatan,
kini tiada lagi.
Teruja sungguh untuk hadir buat pertama kali
menadah ilmu secara berdepan dengan Ayah Chik.
Memandang sosok tubuh Ayah Chik saya terimbau
cerita-cerita arwah emak berkaitan arwah bapa saya.
Cerita-cerita itu terus hidup bersama saya sehingga
besar dan menjadikan arwah bapa lelaki idola saya.
73
Permata Ummah:
Ayah Chik Yang Kami Kenali
Mendengar Ayah Chik berbicara, saya
rasa terpaku. Dahulu, apa yang saya
dengar Ayah Chik ni seorang yang
serius dan tegas, kata-katanya menjadi
pegangan pengikutnya sehingga
menimbulkan kontroversi. Bahkan saya
juga berasa pelik apabila YDP PIBG
sekolah saya yang dahulu adalah
penyokong kuat parti Tok Guru
sedangkan beliau adalah non-Muslim.
Selalu saya berkata kepada diri sendiri, beliau
yang bukan Islam secara terang-terangan menyokong
Tok Guru, kenapa saya tidak? Beliau selalu berkongsi
cerita menghadiri muktamar bersama Tok Guru sambil
menunjukkan gambar bersama Tok Guru. Saya juga
menyokong perjuangan Islam dan pasti mahukan
ulama’ sebagai pemimpin saya. Hanya saja sokongan
itu tidak secara terang-terangan. Ah, terasa malu pula
kerana semangat saya tidak sekuatnya!
Sungguhlah kata Tok Guru, Allah memuliakan
kita dengan nikmat Islam. Perjalanan hidup manusia
sangat panjang. Selepas kematian ada alam barzakh
yang menunggu, panjangnya mungkin lebih lama
daripada usia kita di dunia. Banyak sungguh kelebihan
kepada manusia yang mengikut syariat Islam. Saya
tahu kita dibangkitkan nanti bersama pemimpin kita.
Ragu-ragu lagi? Astaghfirullah.
74
Catatan Keindahan
Sebuah Pertemuan
Syukurlah Allah masih melorongkan rezeki
mendekati ulama’ menerusi saluran Akademi Bonda
Nor. Sungguh, saya bersyukur apabila Bonda Nor
membawa kami ke majlis pertemuan eksklusif ini. Ia
bagai menebus kesilapan saya dan mengubah
persepsi saya tentang perjuangan itu sendiri.
Kata Tok Guru, “Penulis bukan sekadar menulis.
Tetapi lebih jauh lagi menulis dari hati supaya sampai
ke hati. Tok Guru menggariskan beberapa amalan
khusus yang perlu dilakukan sebelum menulis.
Pertamanya penulis wajib membaca. Penulis juga
wajib beramal dengan ilmunya. Yang terakhir penulis
wajib berjuang dengan ilmunya. Pesan Tok Guru lagi,
ilmu yang berkat adalah ilmu yang ditulis.”
Benar sekali, kita mungkin ingat apa yang
disampaikan pada hari ilmu itu diterima. Tetapi
sebagai manusia yang tidak sempurna, mungkin kita
akan lupa apa yang telah diterima. Maka mencatat
isi penting daripada apa yang kita baca dan dengar
sangat membantu untuk kita mengamalkan ilmu
yang dipelajari.
Sungguh saya terpesona mendengar hobi
membaca Tok Guru semenjak beliau kecil. Perkara
itulah yang membantu ketajaman minda dan
keelokan bahasa Tok Guru. Benarlah seperti kata-kata
Setiausaha Politik Tok Guru bahawa Tok Guru dapat
menyiapkan kertas kerja dalam bahasa Arab dalam
tempoh yang singkat. Tidak terlawan mereka dengan
kepantasan Tok Guru.
75
Permata Ummah:
Ayah Chik Yang Kami Kenali
Selepas saya membaca hantaran catatan
Bonda Nor di FB berkaitan Tok Guru saya sangat sebak.
Tidak menyangka figura yang saya rasakan serius dan
tegas itu boleh bermain teka-teki dengan cucu-
cucunya. Beliau penyayang sebagai ketua keluarga,
ayah dan datuk kepada seluruh keluarganya.
Dalam keadaan mendapat rawatan sakit di
hospital, Tok Guru sempat menyiapkan buku. Benarlah
Tok Guru ini berjuang dengan ilmunya. Apa yang
diketahui seboleh mungkin akan disampaikan kepada
orang lain supaya dapat diamalkan bersama-sama.
Sesuailah dengan apa yang selalu dipesan oleh
Bonda Nor. Tulislah, bina bekalan untuk kau tinggalkan.
Sesungguhnya apa yang saya lihat dan dengar
sepanjang sembang santai ini telah mengubah
persepsi saya tentang lelaki yang bergelar Tok Guru,
Ayah Chik dan Dato’ Seri ini. Pertemuan yang
membuahkan keberkatan berguru dengan ulama’!
76
MANISNYA
PERTEMUAN INI
Oleh: Haryati Hamim
Guru Pemulihan
Tanggal 6 September 2020 menjadi satu titik
sejarah bagi diri saya kerana telah diaturkan
pertemuan dengan ulama tersohor dan tidak
asing lagi iaitu Dato’ Seri Tuan Guru Haji Abdul Hadi
bin Awang bersama Bonda Nor dan adik-beradik
Akademi Bonda Nor.
Sejak dimaklumkan oleh pengetua Akademi
Bonda Nor iaitu Bonda Nor sendiri pada 29 Ogos 2020,
akan diadakan pertemuan istimewa ini, hati saya
melonjak kegembiraan, air mata deras mengalir dan
mulut tidak henti berzikir supaya Allah makbulkan
permintaan saya.
Sungguh banyak cabaran dan ujian untuk saya
sebelum diizinkan oleh Allah nama saya tersenarai di
kalangan mereka yang akan hadir.
Keizinan suami adalah perkara pertama yang
harus saya ambil berat. Saya mengambil masa yang
lama untuk membuat keputusan dapat hadir kerana
sesi memujuk si dia berlaku hanya dengan panggilan
telefon. Suami bertugas di negeri lain. Pada awalnya
saya tidak dibenarkan menyertai kerana minggu
sebelumnya saya sudah meninggalkan anak-anak
selama tiga hari.
Alhamdulillah dengan izin Allah jua, suami saya
lembut hatinya dan mengizinkan saya pergi dengan
syarat saya bermusafir bersama sahabat Akademi
77
Permata Ummah:
Ayah Chik Yang Kami Kenali
Bonda Nor. Syukur kepada Allah, sesungguhnya doa
saya telah dimakbulkan. Tibalah ke tarikh yang
dijanjikan, saya menumpang kereta sahabat saya
Rozilawati untuk bermusafir bersamanya disertai
dengan Hayati Abu Hassan.
Allah mempermudahkan perjalanan kami. Kami
sampai ke tempat berkumpul di Masjid Al-Syakirin
Gombak tepat pada masanya. Selesai solat jamak
takdim Zohor dan Asar di masjid tersebut, kami dan
beberapa kereta yang lain beramai-ramai menuju ke
Pustaka Permata Ummah (PPU).
Nampak sahaja bangunan tersebut hati saya
bertambah riang. Ini bermakna saya akan dapat
melihat Ayah Chik dengan lebih dekat lagi.
Subhanallah Alhamdulillah Allahuakbar, melangkah
sahaja ke dalam PPU, tiba-tiba air mata saya
bergenang. Saya mengambil tempat duduk dan
jantung saya berdegup laju kerana saya tidak sabar
melihat Ayah Chik daripada jarak dekat.
Tidak lama kemudian, Ayah Chik dan beberapa
orang setiausahanya melangkah masuk ke dalam PPU.
Pada saat itu air mata dan air hidung sama-sama
keluar kerana saya tidak menyangka saya dapat
menyaksikan dengan mata saya sendiri ulama yang
sangat saya hormati dan kasihi.
Sebelum majlis bermula, Ayah Chik naik ke
tingkat atas untuk beberapa urusan bersama
beberapa orang pentingnya termasuk pengetua kami,
Bonda Nor. Setengah jam kemudian, tibalah saat
Ayah Chik dan tetamu VIP turun ke bawah menemui
kami yang sudah bersedia dengan kamera masing-
78
Catatan Keindahan
Sebuah Pertemuan
masing, nota dan pen untuk mencatat nota penting
sepanjang majlis ilmu Sembang Santai bersama
Ayah Chik.
Sesi dimulakan dengan ucapan pengetua yang
kami sayangi iaitu Bonda Nor bertanyakan soalan
kepada Ayah Chik, “Apakah cara-cara atau adakah
kami masih ada harapan untuk mendapat masuk
Syurga tanpa hisab dan tanpa azab?”
Ayah Chik menjawab, “Pada suatu hari Nabi
SAW bersabda, 70000 umat baginda masuk Syurga
tiada hisab ialah mereka yang bertawakkal
sepenuhnya kepada Allah, tidak percaya kepada
jampi, kita mesti berikhtiar dan bertawakkal kepada
Allah. Orang yang tawakal sepenuhnya kepada Allah
dan menyerahkan semua urusannya kepada Allah
boleh masuk Syurga tanpa hisab dan tanpa azab.”
Ayah Chik terus bercerita. Katanya, ada kisah
seorang Badwi datang ke masjid dengan seekor unta,
unta dibiarkan dan tidak ditambat di luar masjid,
apabila orang Badwi keluar daripada masjid,
didapati untanya telah hilang walaupun dia telah
menyerahkannya kepada Allah,
Nabi berkata kepada pemuda Badwi tersebut,
tawakkal ni apabila tambat dulu unta tu baru tawakal
kepada Allah bukan membiarkan unta tanpa diikat.
Ayah Chik bercerita pernah ada seorang hamba yang
jahil tapi dalam hati ada iman, ada kalimah Lailahaillah
di dalam hatinya dan apabila ditimbang amalnya
berat dan dia dimasukkan ke Syurga.
Ayah Chik juga mengingatkan kita percaya
kepada hari akhirat. Beliau kongsikan juga amalan
79
Permata Ummah:
Ayah Chik Yang Kami Kenali
khusus sebelum menulis, iaitu membaca. Cari buku
orang yang ahli dengan ilmunya. Beramal dan
berjuang dengan ilmu.
Ayah Chik menyebut ulama terdahulu
contohnya Imam Bukhari, Imam Ghazali, al-Syahid Imam
Hassa al-Banna, Syed Qutb al-Mahdudi, dikurniakan
ilmu yang barakah. Contohnya Imam Bukhari sebelum
tulis hadis, beliau berwuduk dan solat istikharah dahulu.
Subhanallah, seronoknya dengar kisah Ayah Chik
membaca buku catatan ayahnya iaitu al-Marhum
Tuan Guru Haji Awang Muhammad yang pernah
bertugas sebagai guru agama dan imam di Masjid
Rusila. Al-Marhum mencatatkan segala isi penting ilmu
yang dipelajari. Patutlah Ayah Chik kemudiannya juga
menjadi seorang penulis yang hebat kerana sudah
pun terbiasa dengan budaya mencatat sejak kecil.
Kesimpulannya, segala apa yang diajar oleh
Ayah Chik pada petang yang berkat itu sangat
memberi impak kepada kami semua. Kita orang
Islam yang bergelar penulis, wajib
menyampaikan ilmu dengan adab dan akhlak
Islamiah. Barulah timbulnya keberkatan dalam
menyampaikan ilmu dalam bidang masing-
masing.
Rasa bertuah sungguh apabila butir bicara tuan
guru dapat saya dengari dan Insya-Allah saya akan
terus praktikkan. Semoga Allah terus kekalkan hidayah
kepada kita semua untuk terus berjuang di dalam
bidang penulisan.
80
PERTEMUAN
BERHIKMAH
Oleh: Ana Rohani
Jururawat
“Alhamdulillah, permohonan saya untuk
mengadakan satu pertemuan tertutup antara
pasukan Akademi Bonda Nor bersama tok guru
diluluskan. Ini merupakan peluang keemasan untuk
kita semua manfaatkan sebaiknya bagi mendapatkan
nasihat dan tausiyah ilmu daripada ulama’. Sesiapa
mahu turut serta, sila berikan nama, ya.”
Subhanallah. Saat Bonda Nor menyampaikan
perkhabaran bahawa akan ada peluang untuk
bertemu dengannya, entahlah apa sebenarnya
perasaan yang menyerbu hati ini. Gembira, entah.
Teruja, tak pasti. Bahkan mungkin, ianya adalah
perasaan kosong semata yang hadir asbab tidak
mengenali sosok tersebut. Ya, saya tidak mengenal
dirinya.
Hampir setiap sahabat dalam akademi
bercerita dan menyuarakan keterujaan mahu bertemu
seorang ulama’ pewaris kepada legasi dakwah para
nabi. Tapi, saya? Jeda.
Sejujurnya, malu sungguh untuk mengakui
bahawa saya langsung tidak mengenalnya. Yang
saya ketahui, beliau adalah tokoh politik semata-
mata. Ada sahabat terharu berkongsi keterujaan
apabila Allah seakan memakbulkan salah satu doanya
sebelum ini iaitu mahu bertemu dengan Tok Guru.
Mahu meminjam aura positif dan kebaikan. Mahu
meminta nasihat – ujarnya.
81
Permata Ummah:
Ayah Chik Yang Kami Kenali
Saya hanya terpinga-pinga, masih tidak jelas
dengan perasaan sendiri. Sehinggalah apabila Bonda
Nor sendiri bercerita kebaikan, pengalaman bersua
dan memandangnya bukan sebagai ahli politik, tapi
seorang ulama’, hati saya mula tersentuh hiba.
Mengapa saya tidak melahirkan apa-apa rasa
untuknya? Barangkali, saya bukan siapa-siapa. Bukan
dalam kalangan terpilih yang cukup bertuah untuk
wujud rasa cinta kepada ulama’. Peluang telah ada
di hadapan mata, tapi hati masih berkira-kira.
Benar, saya sebenarnya turut berada dalam
dilema perasaan takut akan disalah erti niat saya untuk
menyertai rombongan ini. Saya bimbang ada suara
yang berbaur fitnah. Allahu. Namun, diam-diam jauh
di sudut hati, telah saya pasakkan dalam hati bahawa
takkan saya persiakan kesempatan ini.
Meski mungkin, saya tidak layak dan niat saya
untuk datang terlalu jauh daripada murninya niat
orang lain, saya tetap mahu mengenalinya. Mengenal
insan yang jadi sebutan orang baik-baik di sekeliling
saya. Saya mahu terus percaya, ini adalah bahagian
aturan Allah untuk menjadikan diri saya lebih baik
sebagai hamba dengan cara membuka peluang
berkumpul dengan orang-orang yang sentiasa dalam
perjuangan mentaati dan menegakkan syariat-Nya.
Dahulu, saat rakan serumah mengaji hingga
mengalir air mata, saya tertanya-tanya mengapa
sampai perlu begitu. Saat ada orang yang terlalu mahu
dan rindu untuk menjejaki tanah haram, saya keliru
mengapa diri saya tak terfikirkan hal itu. Apa pekat
sangat hati saya dengan kejahilan dan dosa hinggakan
tak pernah langsung alami perasaan-perasaan begitu?
82
Catatan Keindahan
Sebuah Pertemuan
Saya merenung diri. Dan kini, kekeliruan itu berlaku lagi.
Peluang yang dinanti oleh ramai manusia di luar sana
gagal membuahkan rasa teruja saya.
Pantas saya muhasabah diri. Peluang untuk
bertemu dengan insan yang baik, pemimpin ummah
yang banyak berjasa iaitu Tuan Guru Dato’ Seri Haji
Abdul Hadi Awang. Wajarkah saya sia-siakan? Saya
tidak mengenalnya, tapi saya tahu peluang ini bukan
sebarangan.
Saya yakin ini kasih sayang Allah
dan mudah-mudahan inilah suara
sisa takwa yang bernaung di hati –
yang sedang giat berdiplomasi
dengan segala rasa-rasa lain serta
tiadanya campur tangan syaitan
dalam cubaan memanipulasi.
Saya menjernihkan niat dan terus berikan nama
untuk sertai rombongan akademi bagi menghadiri
pertemuan tertutup ini. Insya-Allah dengan semangat
dan nawaitu yang satu – nak redha Allah!
Tibalah hari kejadian, sungguh ... perasaan yang
saya alami nyata berbeza. Bukan tak pernah bertemu
para asatizah yang hebat keilmuaannya di luar sana.
Pernah saja. Tapi keterujaan kali ini memang berlainan.
Tatkala melihat kelibat tok guru diiringi zaujahnya, hati
saya terusik.
83
Permata Ummah:
Ayah Chik Yang Kami Kenali
Nampak sangat ringkas dan bersederhana saja
mereka. Bila mana tok guru mulai bersuara,
terasa bagai dinasihati orang tua yang cukup
mengenali anak-anaknya. Sangat matang dan
sarat pengalamannya. Subhanallah. Awalnya,
agak mencabar juga untuk memastikan diri
sepenuhnya fokus. Sebelum ini, saya banyak
mendengar ceramah yang bersifat santai dengan
iringan gurauan para penceramah. Tapi bila perginya
kepada tok guru, terasa aura perlu berserius
sepanjang masa.
Saya beristighfar. Kembali mengingatkan diri
tentang tujuan saya ke sini. Majlis ilmu adalah taman-
taman syurga. Alangkah rugi dan tak bermaknalah
saya di sini jika tak dapat mengutip apa-apa.
Syukur, perlahan-lahan saya mulai mampu
menurut rentak syarah tok guru. Hinggakan kerana
terlalu ralit mendengar, tangan tak semena hilang
kepantasan untuk mencatat segala perkataan yang
keluar dari mulutnya. Saya rasakan segala apa yang
diungkapkan semuanya penting dan bermakna
belaka! Dalam saya bertarung fokus antara
mendengar dan mencatat – kalam tok guru kembali
menggetarkan hati.
“Para ulama ada mengatakan ... bahawa ilmu
ini laksana binatang buruan. Dan tulisan adalah
ikatannya agar tak terlepas. Jadilah penulis yang
dicintai Tuhan. Penulis yang beriman, beramal dan
perjuangkan ilmunya!”
84
Catatan Keindahan
Sebuah Pertemuan
Masya-Allah, tabarakallah. Sungguh, ini memang
nasihat tepat pada masa! Waktu yang diluangkan
mendengar tausiyah ilmu daripadanya terasa begitu
pantas berlalu. Kini tahulah saya, mengapa selalu
disebutkan oleh Bonda Nor tentang indahnya akhlak
tok guru yang sederhana hingga membuatkannya
jatuh cinta.
Terlalu banyak yang dikongsikan tok guru yang
sedikit sebanyak meninggalkan kesan mendalam
dalam diri saya. Nasihat perihal hakikat kehidupan,
peringatan berkait keikhlasan dan seumpamanya.
Alhamdulillah, terima kasih Allah atas peluang ini!
85
TERTUNAI
SUDAH
Oleh: Ummu Nurin
Pengusaha Produk Bidara Life
Pengurus Cawangan Fadlim Travel & Tours
Ketika melihat sosok tubuh insan yang amat saya
kagumi ini melangkah masuk ke ruang tamu
Pustaka Permata Ummah, hati saya dibaluti rasa
sebak. Perasaan yang sukar untuk digambarkan itu,
benar-benar telah terpahat indah di dalam sanubari
ini.
Memang antara hajat saya yang masih belum
tertunai lagi adalah untuk menziarahi Tok Guru yang
mulia ini. Terlalu banyak yang hendak saya tanyakan
dan entah kenapa setiap kali melihat wajahnya di
media elektronik dan media cetak, hati saya berasa
tenang seolah-olah sedang melihat bapa saya sendiri.
Pertemuan yang telah berlangsung pada 6
September 2020 (Ahad) yang lalu menjadi tarikh
terindah dan tidak mungkin dapat saya lupakan
seumur hidup ini. Tatkala saya sedang berada dalam
situasi yang kurang tenang, Guru saya, Bonda Nor
telah berkongsi satu berita gembira iaitu pertemuaan
tertutup di antara Dato’ Seri Tok Guru Haji Abdul Hadi
bin Awang dan tim Akademi Bonda Nor.
Allahu ya Allah … . Saya benar-benar teruja dan
merasakan ini adalah suatu peluang keemasan yang
tidak sepatutnya saya lepaskan begitu sahaja, Sujud
syukur saya sebagai tanda terima kasih kepada Allah
kerana telah memakbulkan impian dan doa serta
mengizinkan saya untuk bertemu dengan Tok Guru atau
lebih mesra dipanggil dengan panggilan Ayah Chik.
86
Catatan Keindahan
Sebuah Pertemuan
Kesempatan masa yang diberi ketika sesi soal
jawab. Dalam keadaan teragak-agak tetapi keinginan
untuk bertanyakan soalan itu amat membuak-buak.
Saya teruskan juga pertanyaan itu agar tidak ada
perasaan kesal apabila pulang nanti.
Saya luahkan segala kegusaran di hati.
Dengan nada suara yang tersekat-sekat dan air
mata yang sudah mula lencun membasahi pipi,
saya rendahkan hati mengakui kesilapan diri.
Saya bimbang tujuan saya
menulis bukan hanya semata-
mata kerana Allah tetapi
mempunyai niat sampingan
yang tersembunyi.
Astagfirullahala’zim … .
Saya tanyakan juga, bagaimana saya seorang
yang berniqab ini harus membataskan diri agar segala
tingkah laku saya tidak menjadi fitnah kepada
pemakai-pemakai niqab lain yang ikhlas memakainya
kerana Allah. Saat pertanyaan itu saya ajukan, terasa
mengeletar seluruh tubuh badan ini. Entah kenapa
saya merasakan sesuatu yang amat berat sedang
saya tanggung dan begitu kerdilnya diri saya pada
ketika itu.
Saya melihat Ayah Chik tekun mendengar dan
mencatat setiap butir pertanyaan saya. Allahu, rasa
itu sukar untuk saya terjemahkan dengan kata-kata.
Jika sebelum ini, saya hanya mendengar tentang
87
Permata Ummah:
Ayah Chik Yang Kami Kenali
ketinggian akhlak beliau. Tetapi hari ini, saya
menyaksikan sendiri bagaimana tawaduk dan rendah
hatinya beliau yang dengan tenang menjawab setiap
pertanyaan demi pertanyaan daripada kami semua.
Sentiasa saya ingat dan masih terngiang-ngiang
di telinga saya jawaban yang diberikan oleh Ayah
Chik. Jaga niat. Setiap perkara yang kita lakukan
fokus kepada niat. Apabila niat kerana Allah
menjadi pegangan, setiap apa yang kita lakukan
sentiasa dalam redha dan bimbingan Allah.
Insya-Allah.
Setiap perkara yang kita lakukan itu, janganlah
berlebih-lebihan. Jagalah batasan sebagai seorang
muslimah kerana wanita itu adalah fitnah. Setiap
perlakuan dan tindakan perlulah berlandaskan syariat.
Pesan Ayah Chik lagi, teruslah berkongsi yang
baik-baik. Kerana itulah bekalan yang akan kita bawa
apabila kita pulang ke alam abadi nanti. Jangan
cepat berputus asa untuk menulis yang baik-baik
kerana setiap perkara baik yang kita lakukan itu pasti
ada ujiannya.
Benar, pertemuan ini telah membuka mata dan
hati saya. Jazakumullahu khairan jazak kepada guru
saya yang mulia Bonda Nor dan tim Pustaka Permata
Ummah kerana menjadi asbab pertemuan terindah.
Allahu Akbar!
88
CERITA
SEORANG AYAH
Oleh: Aishah Abdul Rahman
Pegawai Sistem Maklumat - Perbankan
Sejak berhingus saya mengenali sosok tubuh yang
waktu itu dipanggil sebagai Haji Hadi melalui
cerita-cerita ayah. Semakin membesar saya
banyak membaca tentang ketokohan kepimpinan
beliau di dada akhbar. Setakat mengagumi kehebatan
beliau, langsung tidak pernah terlintas untuk bertemu
secara bersemuka. Sehinggalah, apabila Bonda Nor
membuka peluang istimewa kepada para perantis
Akademi Bonda Nor untuk sembang santai bersama
Ayah Chik. Subhanallah.
Pertemuan dengan Dato’ Seri Tuan Guru Haji
Abdul Hadi Awang pada tanggal 6 September 2020,
di Gombak akan terus kekal dalam ingatan sebagai
satu detik yang istimewa. “Ini satu pertemuan yang
membuka ruang dakwah yang sangat besar bersama
sosok hebat tokoh politik negara juga tokoh ulama’
dunia yang sepenuh hidup beliau bergelumang
dengan ilmu dan kitab,” kata setiausaha politik beliau.
Allahuakbar!
Saat Tuan Guru melangkah masuk ke premis
dua tingkat yang menjadi pusat gerakan dan pejabat
Pustaka Permata Ummah, tiba-tiba suasana yang
awalnya hingar-bingar jadi senyap-sunyi. Semua mata
tertumpu ke arah beliau. Ketika melihat beliau
bersalaman dengan para perantis lelaki, saya masih
menganggap ‘macam mimpi’.
89
Permata Ummah:
Ayah Chik Yang Kami Kenali
Sebaik Tuan Guru memulakan bicara, dada jadi
sebak. Air mata yang bergenang tidak dapat ditahan
lagi. Menderu-deru keluar mengalir ke pipi. Berhelai-
helai tisu basah. Saya menjeling Puan Azian di sebelah.
Dia pun sama. Saya hulurkan tisu kepadanya.
Allahu. Perasan aneh itu timbul kerana tak
sangka saya diizinkan Allah berada di dalam ‘taman
syurga’ mendengar kalam ulama tersohor di mata
dunia ini. Peluang bertemu para Nabi mustahil terjadi,
lalu ruang bertemu pewaris Nabi ini sangat disyukuri.
Banyak ilmu yang dikongsi dengan kami.
Suasananya umpama seorang ayah sedang bercerita
dengan anak-anak cucunya di ruang tamu rumah.
Kami bersila beramai-ramai, manakala Tuan
Guru berada di atas kerusi di hadapan kami. Sangat
santai dan tentunya penuh barakah. Insya-Allah.
Saya petik satu perkongsian Tuan Guru yang
benar-benar menjentik hati ini agar terus istiqamah
menulis hal-hal yang bermanfaat - Ilmu yang baik yang
kita sampaikan adalah kebajikan yang berpanjangan.
Orang guna, kita dapat pahala.
Majlis diakhiri dengan pelancaran buku Islam
dan Kebangsaan karya terbaharu Tuan Guru. Usai sesi
bergambar bersama Tuan Guru saya keluar menuju
kaunter jualan buku.
“Adik, buku tajuk cicipan … cicipan” tergagap-
gagap saya cuba mengingatkan tajuk sebenar, “ada
tak?”
“Bukan cicipan kak! Celupan Jarum Kecil di
Lautan Ilmu al-Quran.”
90
Catatan Keindahan
Sebuah Pertemuan
Saya teringat pesanan ini, semasa Tuan Guru
menjawab soalan tentang apakah amalan khusus
sebelum menulis? “Pilih dan baca buku orang yang
beramal dengan ilmu dan berjuang dengan ilmunya.”
Tok Guru menyebut beberapa tokoh ilmuan yang
penulisan mereka terus dirujuk hingga kini. Bagi saya,
Dato’ Seri Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang
juga adalah termasuk dalam kalangan
penulis yang beramal dan berjuang dengan
ilmunya.
Lalu saya tidak melepaskan peluang
mendapatkan beberapa naskhah karya beliau. Antara
yang menjadi pilihan ialah Celupan Jarum Kecil di
Lautan Ilmu al-Quran, Meneladani Kepimpinan
Anbiya’, Bicara Ini Demi Perpaduan, Budaya Politik
Matang dan Sejahtera Suatu Penyelesaian, Islam Satu-
Satunya Penyelesaian dan Mukhtasar Mazhab Akidah
dan Firqah Umat Islam.
Celupan Jarum Kecil di Lautan Ilmu
al-Quran – tajuk ini lebih catchy
berbanding tajuk lain yang nampak
sangat ilmiah. Meskipun begitu
intipati naskhah ini sarat dengan
informasi tentang kehebatan
mukjizat Rasululullah SAW iaitu
al-Quran.
91
Permata Ummah:
Ayah Chik Yang Kami Kenali
Al-Quran adalah ibu segala ilmu. Al-Quran
menjadi sumber hidayah dan petunjuk kepada
manusia. Ketamadunan manusia terbina berdasarkan
al-Quran serta ia menjadi satu sistem cara hidup
manusia. Hal inilah yang diulas panjang lebar oleh Tuan
Guru di dalam naskhah ini.
Mengingat kembali kata-kata setiausaha politik
Tuan Guru semasa permulaan majlis tempoh hari.
“Sebagai penulis, tiada yang dapat menandingi
ketokohan dan keilmuan Tuan Guru.”
Sungguh. Tok Guru dapat menyiapkan Celupan
Jarum Kecil di Lautan Ilmu al-Quran semasa berada di
Insititut Jantung Negara. Subhanallah. Ketika diuji sakit
beliau masih mampu mengilhamkan sebuah naskhah
yang hebat buat manfaat masyarakat. Betapa
bertuahnya saya kerana Allah rezekikan bertemu
dengan ulama’ yang juga merupakan penulis hebat
ini!
92
SEBUAH
TEKAD
Oleh: Dr Nur Hanisah
Doktor Perubatan
Dulu, saya pernah menyesal sebab tak
berkesempatan bertentang mata dengan
ulama’ terkenal dunia, Tuan Guru Nik Abdul Aziz
Nik Mat. Bukan tak pernah terfikir. Setiap kali pulang
ke Malaysia (waktu itu belajar di India), pasti akan ada
niat untuk ziarah beliau di Pulau Melaka. Satu negeri
saja pun! Tapi asyik menangguh, sehinggalah beliau
meninggal dunia, angan-angan itu terkubur begitu
sahaja.
‘Hanisah! Ruginya tak dapat jumpa ulama’!’
Kemudian, saya nekad, ‘Aku mesti jumpa Tuan
Guru Haji Hadi!’
Ulama’ besar yang masih ada lagi. Ikon yang
saya harapkan, akan berkumpul bersama beliau di
Padang Mahsyar nanti. Amin! Setiap kali ke negeri
Terengganu, hati akan hiba memikirkan soal ini. ‘Bilalah
agaknya dapat jumpa Tuan Guru ni?’
Masih belum dapat buat perancangan rapi
untuk menunaikan hajat yang satu ini. Setiap kali ke
Terengganu, hati risau andai itu peluang terakhir untuk
berjumpa sebelum beliau pergi meninggalkan dunia
ini. Tak nak nanti menyesal lagi!
Perancangan Allah Maha Baik. Dalam
Perkampungan Penulisan Akademi Bonda Nor,
diumumkan satu berita gembira ini. Perjumpaan
tertutup dengan beliau yang disegani. Ini betul-betul
93
Permata Ummah:
Ayah Chik Yang Kami Kenali
tawaran yang tak disangka-sangkakan! Pertemuan
ekslusif? Kenapa dah macam VVIP ni? Allahu Allah!
Begitulah. Apabila kita mula berangan, Allah akan
lorongkan jalan.
Di saat Bonda Nor tanya, “Siapa nak pergi?”
Cepat-cepat saya angkat tangan dengan
sepenuh hati. Tawakkal saja sebenarnya. Sebab jadual
bertugas bulan September belum keluar lagi masa tu.
Yang pasti, saya dah tak boleh mohon cuti dah.
Namun dalam hati, tetap mengharap dengan
keyakinan yang tinggi.
“Ya Allah, terima kasih sebab sediakan peluang
aku untuk jumpa Tuan Guru Haji Hadi. Kau berilah jalan
untuk aku dapat ikut sekali.”
Kemudian, sebaik saja jadual dikeluarkan,
terus saya cari satu tarikh saja. 6 September. Post night
shift. Esoknya kerja pagi. Alhamdulillah! Sempatlah
saya berlumba lari! Hati merafaq syukur tidak terperi.
Terima kasih Allah atas anugerah terindah ini. Teruja!
Saya melihat kembali posting saya di Telegram
pada 20 Ogos 2020. Posting yang menyatakan hasrat
saya mahu bertemu dengan ulama’ besar ini. Siapa
sangka 9 hari selepas posting tersebut Bonda Nor
umumkan pertemuan eksklusif kami dengan Tuan
Guru? Subhanallah. Allah Maha Mendengar hasrat
seorang hamba. Berkobar-kobar jadinya. Tak sabar
nak dengar kalam taujihat tentang penulisan dakwah
santai daripada Tuan Guru yang saya hormati.
94