INSTITUT PENDIDIKAN GURU
KAMPUS DARULAMAN
06000 JITRA,
KEDAH DARUL AMAN
BMMB1074
SEJARAH PERKEMBANGAN BAHASA MELAYU
Nama : NUR AMIRAH BALQIS BINTI BUKHARI
No. K/P : 041213-07-0186
Angka Giliran : 2022182310065
Program : PPISMP
Ambilan : JUN 2022
Unit : BAHASA MELAYU 3
Nama Pensyarah : MOHAMAD YAZI BIN KERYA
Tarikh Hantar : 11 OKTOBER 2022
IPG Kampus BMMB1074
Darulaman
TUGASAN 2 :
E-PORTFOLIO
SEJARAH
PERKEMBANGAN
BAHASA MELAYU
DIHASILKAN OLEH : NUR AMIRAH BALQIS BINTI BUKHARI
PENSYARAH : ENCIK MOHAMAD YAZI BIN KERYA
1.0 SEJARAH PERKEMBANGAN
SISTEM EJAAN RUMI
1.1 Sebelum Merdeka
Sejarah penggunaan tulisan rumi bermula pada abad ke-16.
Penggunaan sistem ejaan rumi dimulakan dengan
kedatangan pedagang, pengembara dan penjajah secara
perseorangan dari Eropah ke Nusantara. Mereka
mengaplikasikan ejaan dalam bahasa mereka dengan
menulis dan mengeja perkataan bahasa Melayu yang
didengar semasa di pelabuhan dalam huruf Rumi.
1.1.1 Sistem Ejaan Rumi Wilkinson
Sistem ejaan pertama yang dirancang di Tanah Melayu ialah
Sistem Ejaan Wilkinson. Sistem ejaan ini juga dikenali
sebagai Romanised Malay Spelling dan diterbitkan pada
bulan Oktober 1904 oleh RJ Wilkinson. Sistem yang merintis
kepada kewujudan sistem ejaan bagi sekolah-sekolah umum
di Tanah Melayu ini telah digunakan secara rasmi oleh
sekolah-sekolah tersebut. Wilkinson menerbitkan kamus
bahasa Melayu menggunakan sistem ejaan Rumi Wilkinson
dari tahun 1901 sehingga 1940-an. Wilkinson mengambil
pendekatan cara transliterasi daripada Jawi kepada Rumi
sebagai cara perumian bunyi Melayu. Terdapat dua sistem
yang digunakan iaitu perumian secara harafiah berdasarkan
ejaan dan perumian secara fonetik.
1.1.2 Sistem Ejaan Rumi Za'ba
Sistem ejaan rumi Za'ba merupakan sistem ejaan rumi yang
terkenal. Sistem ejaan ini dihasilkan di Maktab Perguruan
Sultan Idris pada tahun 1924 bagi menggantikan sistem
ejaan Wilkinson yang digunakan sebelum ini. Hal ini berlaku
disebabkan terdapat beberapa kelemahan dalam
penggunaanya. Nama bagi sistem ejaan ini telah diambil
daripada pengasasnya iaitu Zainal Abidin bin Ahmad atau
dikenali sebagai Pendeta Za'ba. Sistem ejaan ini telah
disusun pada tahun 1933 dan telah dijadikan sistem ejaan
rasmi sehingga perisytiharan Ejaan Rumi Baru Bahasa
Malaysia dibuat pada tahun 1972. Antara beberapa buah
buku yang menggunakan ejaan ini termasuklah buku Ilmu
Bahasa Melayu Penggal 1 (1926), Pelita Bahasa Melayu
Penggal 1 (1941), Daftar Ejaan Jawi-Rumi (1949) dengan judul
Petua-Petua Ejaan Rumi. Semua buku yang tersenarai ini
dikarang oleh pendeta Za’ba.
1.1.3 Sistem Fajar Asia
Sistem Fajar Asia muncul pada zaman pemerintahan Jepun.
Ejaan ini digunakan dalam majalah Fajar Asia yang
diterbitkan pada tahun 1943 di Singapura. Sistem ini
diperkenalkan oleh pemerintah tentera Jepun bertujuan
untuk menyeragamkan penulisan ejaan rumi Melayu apabila
Sumatera dan Malaya disatukan di bawah satu
pemerintahan. Selepas berakhirnya pendudukan Jepun
pada tahun 1945, ejaan ini terhenti penggunaannya dan
Ejaan Za’ba digunakan semula.
1.1.4 Sistem Ejaan Rumi Kongres
Kongres Bahasa Dan Persuratan Melayu merupakan
perhimpunan penulis, peminat sastera dan pencinta bahasa
dan budaya serta para cendekiawan Melayu. Kongres ini
telah diadakan sebanyak empat kali dan pada kali yang
ketiga, Sistem Ejaan Rumi Kongres telah diwujudkan.
Kongres ketiga telah berlangsung dari 16 hinggga 21
September 1956 di Johor Bahru dan Singapura. Sistem
Ejaan Rumi Kongres telah diperkenalkan oleh ASAS'50 iaitu
Angkatan Sasterawan 1950 dan dipersetujui dalam kongres
tersebut. Sidang ini telah membuat sebanyak 16 ketetapan
tentang ejaan bahasa Melayu dan salah satu prinsip ejaan
yang digunakan ialah sistem fonologi. Namun, sistem ini
tidak pernah dilaksanakan kerana sifatnya terlalu idealistik
dari segi linguistik hingga menjadikannya sukar diamalkan.
1.2 Selepas Merdeka
1.2.1 Sistem Ejaan Rumi Persekutuan Bahasa
Melayu Universiti Malaya (PBMUM)
Sistem ejaan PBMUM telah mula digunakan pada tahun 1959
melalui Kongres Bahasa Dan Persuratan Melayu Ketiga.
Sistem ini telah digunakan dalam Jurnal Bahasa sebagai
suatu inisiatif bagi menyatukan ejaan rumi bahasa Melayu
dan bahasa Indonesia. Sistem ini hampir sama dengan
sistem ejaan Fajar Asia tetapi PBMUM bercadang untuk
menolak penggunaan huruf-huruf kembar atau rangkap
konsonan. Cadangan lain pula adalah untuk memisahkan
penggunaan 'pun', baik yang bererti 'juga' atau sebaliknya.
1.2.2 Sistem Ejaan Melindo
Usaha untuk menyeragamkam sistem ejaan di Malaysia
dan Indonesia diteruskan dengan mewujudkan sistem
ejaan Melindo. Sistem ejaan Melindo merupakan
gabungan ejaan Melayu dan Indonesia. Sistem ini wujud
pada tahun 1959 setelah melalui beberapa sesi
perundingan dan pertemuan. Penyelarasan ini dilakukan
setelah mengalami desakan daripada pelbagai pihak
dengan membentuk sebuah jawatankuasa untuk
berhubung dengan pihak Indonesia. Sistem ejaan ini tidak
terlaksana disebabkan penggunaan ejaannya yang
mencadangkan penggunaan lambang-lambang fonetik
yang tidak bersifat praktikal. Selain daripada masalah
dalam penggunaan sistemnya, ejaan ini juga tidak
terlaksana disebabkan berlakunya perselisihan politik
antara Malaysia dan Indonesia.
1.2.3 Sistem Ejaan Rumi Baharu Bahasa Malaysia
Selepas tamatnya konfrontasi Indonesia-Malaysia,
perbincangan antara kerajaan Malaysia dengan Indonesia
diteruskan pada tahun 1966. Antara rundingan yang telah
diadakan adalah untuk menjalankan usahasama yang
berterusan dalam merangka pembinaan bahasa untuk jangka
waktu yang panjang, meningkatkan bahan yang berkaitan
dengan bahasa dan sastera dan menyelaraskan pemakaian
istilah-istilah. Maka wujudlah Ejaan Rumi Baharu Bahasa
Malaysia yang kemudiannya dikenal sebagai Ejaan Rumi
Baharu Bahasa Melayu. Penggunaanya telah dirasmikan
pada 16 Ogos 1972 secara serentak di Kuala Lumpur oleh
Perdana Menteri Tun Abdul Razak bin Dato’ Hussein, dan di
Jakarta oleh Presiden Soeharto.
2.0 PERANAN DEWAN BAHASA
DAN PUSTAKA DALAM
MENYERAGAMKAN SISTEM EJAAN
RUMI
Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) atau nama asalnya Balai
Pustaka telah ditubuhkan pada 22 Jun 1956 iaitu sebelum
kemerdekaan Tanah Melayu. Penubuhan DBP adalah hasil
daripada resolusi Kongres Bahasa dan Persuratan Melayu
ke-3 yang berlangsung di Singapura dan Johor Bahru. DBP
diletakkan di bawah Kementerian Pendidikan Malaysia dan
diberi kuasa autonomi untuk menggubal dasar-dasar
khusus, menyusun program bagi pengembangan bahasa
dan satera dan menerbitkan serta menjalankan perniagaan
buku secara kompetitif berdasarkan prinsip dan amalan
perusahaan dan profesion penerbitan. Oleh itu, DBP
memainkan peranan penting dalam menyeragamkan sistem
ejaan rumi untuk digunakan pada masa ini bagi
mengelakkan sebarang kekeliruan dalam kalangan
masyarakat.
1.1 Membakukan Ejaan Dan Sebutan
Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) mempunyai objektif untuk
membakukan ejaan dan sebutan, serta membentuk istilah
yang sesuai dalam bahasa kebangsaan. Oleh itu,
penerbitan Kamus Dewan oleh DBP untuk panduan
berkaitan bahasa Melayu dapat dilihat sebagai salah satu
usaha yang baik bagi mencapai objektif ini. Jabatan
Pembinaan Bahasa Dan Sastera di bawah DBP merupakan
jabatan yang bertanggungjawab dalam menyusun,
mengemas kini dan menyelenggara pelbagai jenis kamus
dan produk kamus. Melalui jabatan ini, kita dapat melihat
pembaharuan dalam Kamus Dewan dari masa ke semasa.
Buktinya, pada hari ini terdapat empat edisi Kamus Dewan.
Kamus Dewan telah menjadi salah satu sumber rujukan
untuk penggunaan dan ejaan bahasa rumi pada hari ini.
Apabila ingin mengeja atau menggunakan sesuatu istilah,
Kamus Dewan dapat digunakan bagi mengelakkan
sebarang kesilapan. Tambahan pula, apabila salah mengeja
sesuatu perkataan, maksudnya boleh berubah ataupun
tidak membawa apa-apa maksud. Oleh itu, perkara ini
akan menghalang makna penyampaian seseorang.
1.2 Menggunakan Medium Percetakan
Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) telah membentuk Jabatan
Penerbitan yang menguruskan penerbitan majalah dan
jurnal, buku sekolah, buku umum, buku bahasa, buku
sastera, dan buku kanak-kanak dan remaja, sama ada dalam
bentuk cetak, elektronik atau multimedia interaktif. Melalui
jabatan ini, DBP dapat mencetak, menerbitkan atau
membantu dalam percetakan serta penerbitan buku,
majalah, risalah dan bentuk-bentuk kesusasteraan lain dalam
bahasa kebangsaan. Contohnya dapat dilihat melalui
penggunaan buku teks di sekolah-sekolah pada hari ini,
semuanya merupakan terbitan daripada DBP. Oleh itu,
generasi muda akan terdedah kepada sistem ejaan yang
terkini sejak di peringkat sekolah rendah lagi. Tambahan
pula dengan adanya perubahan silibus dari masa ke semasa.
Perkara ini akan mendorong keseragaman dalam ejaan
istilah-istilah bahasa Melayu berdasarkan teknologi dan
perubahan terkini. Majalah-majalah terbitan DBP turut
membantu dalam menyeragamkan sistem ejaan rumi kerana
mempamerkan hasil penulisan menggunakan sistem ejaan
yang betul. Melalui cara ini, semua orang akan lebih cakna
terhadap keseragaman yang berlaku dalam sistem ejaan
rumi di negara kita bukan sahaja untuk tujuan pendidikan
malah untuk semua bentuk penulisan.
3.0 CABARAN SISTEM EJAAN RUMI
MASA DEPAN
1.1 Tempat Awam
Menurut Kamus Dewan Edisi Keempat, awam bermaksud
terbuka kepada semua orang. Oleh itu, kita dapat
mengaitkan tempat awam sebagai kawasan terbuka yang
tidak dikhususkan untuk sesiapa. Antara cabaran sistem
ejaan rumi yang dapat kita lihat pada hari ini adalah melalui
penggunaannya di tempat-tempat awam. Buktinya, masih
terdapat banyak papan tanda dan iklan-iklan yang
menonjolkan penggunaan yang salah dalam aspek ejaan dan
tatabahasanya. Sebagai contoh, penggunaan kata depan 'di'
dan 'ke' yang menunjukkan arah dan kedudukan sesuatu.
Papan tanda penunjuk arah sepatutnya mengeja perkataan
'di hadapan' secara berasingan. Seterusnya, perkataan
'kelinik' sepatutnya dieja 'klinik'. Kesemua kesalahan ini tidak
boleh dipandang remeh kerana akan menggugat
penggunaan sistem ejaan rumi yang telah mengalami
penambahbaikan sejak dahulu lagi. Selari dengan
perubahan zaman, kita juga perlu cakna terhadap sistem
ejaan yang digunakan kerana sudah terdapat banyak
perubahan dalam sistem ejaan rumi bahasa Melayu.
Sekiranya tidak diubah dari sekarang, kesalahan yang
dilakukan akan menjadi kebiasaan dalam kalangan
masyarakat sehingga sistem ejaan yang betul terus
diabaikan begitu sahaja.
1.2 Media Sosial
Media sosial ialah platform yang tidak asing lagi dalam
kalangan masyarakat pada hari ini. Rangkaian media sosial
sangat meluas kerana membolehkan penggunanya
berhubung dan berkomunikasi dengan sesiapa sahaja
merentasi sempadan geografi. Terdapat banyak kebaikan
melalui kemudahan ini. Namun antara keburukannya ialah
pengguna di media sosial tidak mengamalkan penggunaan
ejaan rumi yang tepat dalam kehidupan seharian. Apabila
menggunakan media sosial, mereka lebih cenderung untuk
menggunakan bahasa pasar dan bahasa rojak yang
melibatkan pencampuran bahasa. Perkara ini telah
mendorong mereka untuk mengabaikan sistem ejaan yang
betul dan mengeja dengan menggunakan singkatan
tertentu. Misalnya, perkataan 'tidak' sering dieja sebagai 'x'
dan perkataan 'aku' dieja 'aq'. Kesalahan ini akan memberi
pengaruh kepada orang lain sehingga menjadi kebiasaan
dalam kalangan masyarakat. Tambahan pula, perkara yang
kita sebarkan dan tulis di media sosial turut dapat diakses
oleh pengguna dari negara-negara luar. Sekiranya mereka
ingin mempelajari bahasa kita, perkara ini akan menjadi
contoh yang tidak baik kerana kita sendiri yang
mempamerkan dan merosakkan keaslian bahasa kebangsaan
kita. Usaha untuk memartabatkan penggunaan sistem ejaan
rumi pada hari ini seolah sia-sia sahaja jika kita tidak
berusaha menerapkan penggunaan ejaan yang betul dalam
diri masing-masing.
SEKIAN,
TERIMA KASIH