The words you are searching are inside this book. To get more targeted content, please make full-text search by clicking here.
Discover the best professional documents and content resources in AnyFlip Document Base.
Search
Published by lailawati.puteh, 2021-09-26 22:58:41

NOTA PERIBAHASA

NOTA PERIBAHASA

NOTA PERIBAHASA MELAYU TAHUN 3
TAHUN 3

Peribahasa
1. Peribahasa yang telah tercipta memang banyak.
2. Peribahasa dibahagikan kepada jenis-jenis yang berikut:

1. Simpulan bahasa
2. perumpamaan
3. pepatah
4. bidalan
5. bandingan
6. kata-kata hikmat

1 Simpulan bahasa
1.1. Simpulan bahasa merupakan jenis peribahasa yang paling mudah dan ringkas.
1.2. Biasanya simpulan bahasa terdiri daripada dua patah kata seperti contohnya:

 ada hati
 batu api
 cepat tangan
 Mati katak
 kaki bangku dan seumpamanya

2 Perumpamaan
2.1. Perumpamaan pula merupakan jenis peribahasa yang maknanya tersirat di sebalik susunan
kata- kata yang membentuk perumpamaan itu.
2.2. Biasanya kata-kata bagai, ibarat, laksana, seperti, dan umpama terkandung dalam
perumpamaan.
2.3. Contohnya:

 bagai aur dengan tebing
 ibarat burung, mata lepas badan terkurung
 laksana burung diam dalam sangkar
 seperti mencurah air di daun keladi
 umpama buah kepayang, dimakan mabuk dibuang sayang dan sebagainya.

3 Pepatah
3.1. Pepatah merupakan jenis peribahasa yang berangkap serta terdapat pengulangan kata di
dalamnya untuk penegasan, falsafah, atau pengajaran yang hendak disampaikan.
3.2. Contohnya:

 berat sama dipikul, ringan sama dijinjing
 ke bukit sama didaki, ke lurah sama dituruni
 hati gajah sama dilapah, hati kuman sama dicecah dan sebagainya.
 Kalau tidak dipecahkan ruyung, manakan dapat sagunya
 Kais pagi makan pagi, kais petang makan petang

4 Bidalan
4.1. Bidalan merupakan jenis peribahasa yang maksudnya tersirat di sebalik susunan kata-kata
yang membentuknya.
4.2. Bidalan tidak mengandung sesuatu kata yang tertentu seperti perumpamaan.
4.3. Contohnya:

 ada gula ada semut
 ada rupa ada harga
 ada hari ada nasi
 ada air ada ikan
 air dicincang tiada putus dan sebagainya.

5 Bandingan
5.1. Bandingan ialah sejenis peribahasa yang maknanya dinyatakan dengan amat jelas dan terus
terang, secara membandingkan sesuatu dengan sesuatu yang lain.
5.2. Contohnya:

 adil laksana hakim
 baik seperti malaikat
 cantik macam bidadari
 garang seperti singa
 angkuh seperti merak dan sebagainya.

6 Kata-kata hikmat
6.1. Kata-kata hikmat merupakan jenis peribahasa yang biasanya terbit daripada ayat-ayat suci
dalam kitab-kitab atau daripada percakapan serta penulisan seseorang yang dihormati dan
terbilang.
6.2. Kata-kata tersebut berisi falsafah atau pengajaran yang berguna sebagai panduan hidup.
6.3. Contohnya:

 bahasa jiwa bangsa
 hidup ini suatu perlumbaan
 membaca Jambatan Ilmu
 masa itu emas
 berkata benarlah walaupun kebenaran itu menyakitkan dan sebagainya.

SIMPULAN BAHASA

SIMPULAN BAHASA, MAKSUD DAN CONTOH AYAT.

1. ada hati
Maksud : ada keinginan yang melebihi kesanggupan.
Ayat : Jamal ada hati hendak meminang anak hartawan itu.

2. akal kancil
Maksud : tipu daya yang licin
Ayat : Peniaga itu mempunyai akal kancil untuk mendapat keuntungan yang banyak.

3. alas perut
Maksud : makan sedikit untuk sementara waktu
Ayat : Amran makan sekeping roti sebagai alas perut.

4. alim-alim kucing
Maksud : seorang yang berpura-pura baik dari segi tingkah laku dan peraturan.
Ayat : Jamal bersikap alim-alim kucing di depan ibu bapanya.

5. anak angkat
Maksud : anak orang lain yang dipelihara seperti anak sendiri
Ayat : Amin adalah anak angkat Pak Cik Rahman.

6. anak bongsu
Maksud : anak yang paling muda dalam keluarga
Ayat : Lai Meng anak bongsu Encik Wong.

7. anak emas
Maksud : orang yang dikasihi oleh ibu bapanya atau majikannya.
Ayat : Sofea pekerja yang rajin. Tidak hairanlah saya jika ia menjadi anak emas Tuan Adnan.

8. anak kandung
Maksud : anak sendiri
Ayat : Harlina anak kandung Encik Osman dan Puan Faridah.

9. angkat bakul
Maksud : orang yang suka memuji atau meninggikan diri.
Ayat : Puan Aisyah sering angkat bakul apabila bercerita tentang dirinya.

10. atas angin
Maksud : Negara-negara barat
Ayat : Negara kita pernah dijajah oleh negara-negara atas angin.

11. banyak mulut
Maksud : orang yang suka bercakap
Ayat : Sikap Mona yang banyak mulut itu tidak disenangi oleh rakan sekelasnya.

12. batu api
Maksud : penghasut
Ayat : Mereka sudah berbaik-baik. Janganlah kamu menjadi batu api pula.

13. batu loncatan
Maksud : sesuatu yang digunakan untuk mencapai sesuatu tujuan
Ayat : Diterimanya tawaran kerja sementara itu sebagai batu loncatan untuk memperoleh pekerjaan yang lebih

baik kelak.

14. bekas tangan
Maksud : hasil kerja tangan seseorang
Ayat : Pasu bunga ini adalah bekas tangan Clementina.

15. bergadai nyawa
Maksud : sanggup membahayakan diri sendiri demi mencapai sesuatu
Ayat : Ahli bomba itu sanggup bergadai nyawa untuk menyelamatkan mangsa kebakaran.

16. buah mulut
Maksud : perkara yang menjadi sebut-sebutan
Ayat : Berita tentang Murad membawa gadis Inggeris pulang telah membawa buah mulut seluruh kampung.

17. buah tangan
Maksud : pemberian
Ayat : Setiap kali ke luar negeri, ayah pasti membawa buah tangan untuk kami.

18. bulat kata
Maksud : sepakat, sehati
Ayat : Penduduk kampung ini sudah bulat kata untuk bergotong royong membersihkan kawasan kampung pada

minggu depan.

19. durian runtuh
Maksud : mendapat keuntungan dengan tidak disangka-sangka atau tanpa bersusah payah.
Ayat : Wanita itu mendapat durian runtuh apabila membeli-belah di pasar raya itu.

20. gaji buta
Maksud : gaji yang diterima dengan tidak bekerja sungguh-sungguh
Ayat : Buruh itu lebih banyak berehat daripada bekerja. Dia makan gaji buta.

21. ikat perut
Maksud : mengurangkan makan kerana susah
Ayat : Manisah terpaksa ikat perut di sekolah kerana ayahnya tidak mampu memberikan wang saku kepadanya.

22. iri hati
Maksud : perasaan cemburu
Ayat : Perempuan itu iri hati melihat jirannya membeli perabot baru.

23. jalan buntu
Maksud : tidak mendapat kata sepakat
Ayat : Mesyuarat itu terpaksa diberhentikan kerana menemui jalan buntu.

24. keras kepala
Maksud : tidak mahu mengalah
Ayat : Lebih baik kamu beralah daripada terus bertengkar dengannya. Dia itu keras kepala.

25. khabar angin
Maksud : khabar yang belum sah kebenarannya.
Ayat : Sejak dia menghilangkan diri dari kampung, berbagai-bagai khabar angin tersebar tentang dirinya.

26. langkah kanan
Maksud : mujur atau bernasib baik
Ayat : Hari ini langkah saya langkah kanan kerana dapat bertemu dengan pengarang terkenal di pesta buku itu.

27. langkah seribu
Maksud : melarikan diri secepat-cepatnya kerana takut
Ayat : Budak yang menghendap di dusun itu membuka langkah seribu apabila disergah oleh ayah saya.

28. mandi peluh
Maksud : basah dengan peluh
Ayat : Setiap hari Pak Cik Salim bermandi peluh mengusahakan kebun sayurnya.

29. mata duitan
Maksud : orang yang mementingkan wang saja
Ayat : Jangan jadi mata duitan kerana kekayaan saja tidak dapat menjamin kebahagiaan.

30. pilih kasih
Maksud : melebihkan pertimbangan kepada orang yang dikasihi
Ayat : Majikan itu pilih kasih dalam memberikan pangkat kepada pekerja-pekerjanya.

31. rambang mata
Maksud : sukar untuk membuat pilihan
Ayat : Ibu rambang mata apabila masuk ke kedai pakaian itu.

32. ringan tangan
Maksud : suka menolong orang
Ayat : Kalau kita ringan tangan, semua orang akan menyayangi kita.

33. ringan tulang
Maksud : rajin bekerja
Ayat : Kawasan rumah Encik Simon selalu bersih kerana tukang kebunnya ringan tulang.

34. sampai hajat
Maksud : berjaya mencapai apa yang dihajati
Ayat : Akhirnya sampai hajat nenek hendak ke Makkah.

35. saudara baru
Maksud : orang yang baru memeluk agama Islam
Ayat : Vincent telah menjadi saudara baru sejak bulan lepas lagi.

PERUMPAMAAN

1. bagai ayam di bawah kepuk –
mendapat keuntungan atau kesenangan tanpa perlu berusaha

2. bagai balak terendam –
orang gemuk yang malas bergerak

3. bagai beliung dengan asahan –
tidak pernah berpisah

4. bagai buntal kembung,perut buncit di dalamnya kosong –
orang yang tidak mempunyai apa-apa tetapi bercakap besar.

5. bagai cicak makan kapur –
seseorang yang mendapat malu kerana kesalahan sendiri

6. bagai dakwat dengan kertas –
perhubungan yang sangat rapat

7. bagai denai gajah lalu –
perkara atau rahsia yang tidak dapat disembunyikan

8. bagai gagak menggonggong telur –
perempuan hodoh yang berpakaian cantik

9. bagai haruan makan anak –
perbuatan bapa yang menganiayai anak sendiri

10. bagai itik pulang petang -
Orang yang berjalan lambat.

11.bagai kambing dihalau ke air –
Memaksa seseorang melakukan sesuatu yang tidak
disukainya.

12.bagai layang-layang putus tali –
Putus harapan untuk meneruskan hidup

13.bagai melepaskan batok di tangga –
Melakukan pekerjaan dengan tidak bersungguh-sungguh.

14.bagai mendukung biawak hidup –
Menolong orang yang akhirnya menyusahkan diri sendiri.

15.bagai pahat dengan penukul –
Orang yang hanya membuat kerja apabila disuruh.

16.bagai pelita kehabisan minyak –
Wajah yang muram akibat sesuatu perkara yang berlaku.

17.bagai rasa batang pisang –
Keadaan anggota badan seseorang yang sangat sejuk.

18.bagai sireh pulang ke gagang –
Pulang ke tempat yang sepatutnya.

19.laksana batik lasam –
Benda yang semakin lama digunakan semakin baik.

20.bagai telur di hujung tanduk –
Keadaan yang tidak selamat.

21.bagaimana rupa begitulah bayangnya –
Sesuatu sifat itu adalah menutut keadaan asalnya.

22.laksana kunyit dengan kapur –
Sesuatu benda atau perkara itu bersesuaian atau kena pada

tempatnya.

23.seperti anjing berebut tulang –
Seseorang yang tamak kerana berebut harta.

24.laksana golok kayu,ditetak tidak makan,dijual tidak laku –
Seseorang yang mempunyai ilmu yang sedikit.

25.seperti api dalam sekam –
Kejahatan yang dilakukan secara diam-diam.

PEPATAH

1. Pepatah merupakan sejenis peribahasa yang berangkap.
2. Peribahasa ini berisi nasihat, pengajaran, dan panduan hidup.
3. Lazimnya, pepatah berbentuk susunan berangkap dan terdapat perulangan kata untuk penegasan atau unsur-
unsur pengajaran yang hendak disampaikan.
4. Pepatah juga dapat memberikan dorongan dan kata-kata semangat kepada si pengucap atau orang lain yang
mendengar ungkapan pepatah tersebut.

CONTOH PEPATAH

1. ada gula, ada semut –
di mana ada rezeki banyak, di situ banyak orang.

2. ada padi semua kerja jadi, ada beras semua kerja deras –
jika ada wang, sesuatu pekerjaan itu akan mudah selesai.

3. air sama air, sampah ke tepi juga –
seseorang yang campur tangan dalam pergaduhan antara adik-beradik, akhirnya akan diketepikan apabila adik-
beradik itu berbaik semula.

4. ada ubi ada batas, ada budi boleh balas –
semua perbuatan baik atau jahat pasti ada balasannya.

5. alah bisa tegal biasa –
pekerjaan yang susah akan menjadi mudah jika selalu dilakukan.

6. alah membeli, menang memakai –
biar mahal asalkan tahan lama

7. alah sabung menang sorak –
walaupun kalah tapi masih berlagak.

8. anak di pangkuan dilepaskan, kera di hutan disusui –
mengutamakan orang lain daripada keluarga sendiri.

9. angguk bukan, geleng ya –
di mulut lain, di hati lain.

10. ayam terlepas, tangan bau tahi –
ingin mendapatkan untung yang banyak tetapi akhirnya menanggung kerugian atau malu.

11. bagaimana acuan begitulah kuihnya –
perangai anak biasanya menyamai perangai ibu bapanya.

12. baik membawa resmi padi daripada membawa resmi lalang –
walaupun ada kelebihan diri tetapi tidak sombong.

13. banyak udang banyak garam, banyak orang banyak ragam –
tiap-tiap orang mempunyai pendapat dan kemahuan yang berlainan

14. belum disuruh sudah pergi, belum dipanggil sudah dating –
orang yang arif dan rajin.

15. berakit-rakit ke hulu, berenang-renang ke tepian; bersakit-sakit dahulu, bersenang-senang kemudian –
menikmati kesenangan selepas bersusah payah.

16. berani kerana benar, takut kerana salah –
orang yang bersalah tidak akan bersifat berani

17. berat mata memandang, berat lagi bahu memikul –
hanya orang yang mengalami penderitaan itu yang tahu akan
kesusahan sebenar.

18. berat sama dipikul, ringan sama dijinjing –
bekerjasama

19. bercakap siang pandang-pandang, bercakap malam dengar-dengar –
berhati-hati ketika berkata-kata

20. berdiri sma tinggi, duduk sama rendah –
setaraf ; sama padan.

21. bukan salah ibu mengandung –
mendapat malang disebabkan perbuatan sendiri

22. cepat kaki, ringan tangan –
cekap membuat kerja dan suka menolong.

23. carik-carik bulu ayam, lama-lama bercantum juga –
pertengkaran antara adik-beradik biasanya akan berbaik semula.

24. buang yang keruh, ambil yang jernih –
berdamai dan melupakan perselisihan yang berlaku.

25. cubit paha kanan, paha kiri terasa juga –
apabila seseorang yang amat rapat dengan kita teraniaya, kita turut merasai.

BIDALAN

Definisi Bidalan
Bidalan ialah kata-kata yang sering disebut dan mempunyai nasihat serta pengajaran di dalamnya (Kamus Dewan).
Bidalan juga merupakan sejenis peribahasa yang memaparkan unsur nasihat, pedoman, atau pengajaran kepada
masyarakat dalam bentuk ungkapan yang ringkas. Bidalan juga membawa maksud yang tidak sama dengan maksud
perkataan yang digunakan. Bidalan mempunyai maksudnya yang tersirat di sebalik susunan kata-kata yang
membentuknya. Bidalan tidak mengandungi sesuatu kata yang tertentu seperti perumpamaan.

Baik berjagung-jagung sementara padi belum masak.
Membuat kerja sambilan sementara mendapat pekerjaan yang tetap.
Selepas tamat persekolahan , Yusri membantu ayahnya berkebun sayur sebelum dia memperoleh jawatan yang
dipohonnya. Bagi Yusri, baik berjagung-jagung sementara padi belum masak.

Belum duduk sudah berlunjur.
Belum memperoleh sesuatu yang dihajati tetapi sudah berasa gembira.
"Kamu belum mendapat basikal yang dijanjikan oleh ayat kamu sebagai hadiah hari lahir, jadi janganlah belum
duduk sudah berlunjur", kata Ramli kepada kawannya.

Berkata siang pandang-pandang, berkata malam dengar-dengar.
Hendaklah berhati-hati apabila memperkatakan sesuatu.
Pak Bakar dan Mak Lijah berbisik-bisik apabila bercerita tentang perilaku anak jirannya kerana mereka sedar
bahawa berkata siang pandang-pandang, berkata malam dengar-dengar.

Daripada cempedak baiklah nangka
Lebih baik ada daripada tiada langsung.
Puan Sim sedang membeli sayur yang sudah hampir layu itu kerana baginya daripada cempedak baiklah nangka.

Genggam bara api biar sampai jadi arang.
Apabila melakukan sesuatu pekerjaan yang susah, kita hendaklah bersabar dan menyempurnakan pekerjaan itu
sehingga berjaya.
Penduduk kampung itu mengalami pelbagai kesulitan untuk meneruskan pembinaan jambatan itu tetapi mereka
tidak pernah putus asa kerana bagi mereka genggam bara api biar sampai jadi arang.

Indah khabar dari rupa
Cerita tentang sesuatu perkara biasa yang dilebih-lebihkan dan tidak menyamai keadaan sbenarnya.
Keadaan di negara itu sebenarnya indah khabar dari rupa. Apabila kamu tiba di sana tahulah kamu keadaan yang
sebenarnya.

Sudah terhantuk baru tengadah
Sesudah ditimpa sesuatu masalah baru hendak beringat-ingat.
"Sudah beberapa kali kami nasihati agar berhati-hati melakukan kerja itu. Kini tidaklah perlu kau sesali apabila sudah
terhantuk baru tengadah," katanya kepada pemuda itu.

Ukur baju di badan sendiri
Membuat sesuatu mestilah mengikut kemampuan diri.
"Kami tidak menghalang kamu menyertai maraton itu, tetapi ukur baju di badan sendri", kata beliau.

PERUMPAMAAN/BANDINGAN

Definisi Perumpamaan
Perumpamaan ialah sejenis peribahasa yang maknanya tersirat di sebalik susunan kata-kata yang membentuk
perumpamaan. Perumpamaan dibentuk untuk membandingkan sesuatu perkara dengan yang lain dan biasanya
didahului dengan perkataan umpama, bagai, seperti, laksana dan ibarat. Perumpamaan juga membawa maksud
yang berbeza daripada maksud asal perkataan yang digunakan dan umumnya mengandungi pengajaran.

Bagai air titik ke batu
Susah menasihati orang yang degil.
Sudah berkali-kali Pak Rahim menasihati anaknya supaya jangan melabur dalam skim cepat kaya itu. Akan tetapi,
nasihatnya bagai air titik ke batu kerana langsung tidak dipedulikan oleh anaknya.

Bagai anjing buruk kepada
Orang yang telah diketahui kejahatannya akan dibenci oleh masyarakat.
Penduduk Taman Sri Nilam menganggap Majid bagai anjing buruk kepada dahulu dia pernah menjalani hukuman
penjara.

Bagai aur dengan tebing
Orang atau masyarakat yang hidup bantu-membantu.
Kempen "Jiran Sepakat Membawa Berkat" diadakan untuk menyedarkan penduduk bandar tentang pentingnya hidup
tolong-menolong sesama mereka. Hidup bantu-membantu bagai aur dengan tebing ini dapat menyatupadukan
masyarakat.

Bagai ayam disambar helang
Mati tanpa sakit
Nenek saya yang mati bagai ayam disambar helang itu amat menghairankan doktor. Hal ini demikian kerana
dia baru sahaja menjalani pemeriksaan kesihatan dan disahkan baik kesihatannya.

CONTOH KARANGAN PERIBAHASA

BAGAI SI BUTA KEHILANGAN TONGKAT

Aminah dipelihara oleh neneknya kerana orang tuanya meninggal dunia sejak dia masih kecil. Walaupun neneknya
sudah tua tetapi dia bersemangat tinggi.

Nenek Aminah tahu Aminah cucunya itu hendak belajar di sekolah. Dia tidak mahu menghampakan harapan
cucunya yang seorang itu sahaja. Nenek itu bersusah payah menyekolahkan Aminah di sekolah rendah dan kemudian
ke sekolah menengah.

Aminah pula tidak mensia-siakan segala penat lelah dan pengorbanan neneknya. Aminah belajar
bersungguh-sungguh dan rajin pula menolong neneknya apabila ada kelapangan. Gembira hati nenek melihat
Aminah berkeadaan demikian.

Malang tidak berbau. Apabila Aminah sudah berada dalam tingkatan tiga, nenek yang disayangi itu
meninggal dunia kerana sakit tua. Tinggallah Aminah sekarang seorang diri. Hidupnya sebatang kara, terawang-
awang tanpa dahan tempat berpaut. Dirinya tidak ubah "bagai si buta kehilangan tongkat."

Namun begitu, Aminah berserah segala-galanya kepada Allah subhanahuwataala. Dia mesti berusaha
sebab kata orang hidup mesti berikhtiar. Si buta mestilah mendapatkan tongkat yang baru, sebagai ganti kepada
tongkat yang telah patah.

Demikian berkat kesungguhan Aminah berusaha, akhirnya dia mendapat biasiswa. Biasiswa inilah yang
diibaratkannya sebagai tongkat baru yang menggantikan peranan neneknya semasa masih hidup. Dalam hubungan
ini, Aminah amat berterima kasih kepada gurunya.

CONTOH KARANGAN PERIBAHASA

HARAPKAN PAGAR, PAGAR MAKAN PADI

Sejak muda lagi Ah Beng mengusahakan kedai runcit di Kampung Bunga Raya. Kedainya menjadi tumpuan penduduk
kampung kerana barang yang dijual agak murah dan sikap mesra Ah Beng melayan pelanggan. Ah Beng minat
berniaga, tetapi disebabkan kesihatannya yang sering terganggu menyebabkan tumpuannya terhadap kedai agak
berkurangan.

Isterinya mahu Ah Beng menerima rawatan yang baik di hospital pakar. Penyakit kencing manis tidak boleh
dianggap mudah. Ah Beng berhadapan dengan masalah kerana sekiranya dia menerima rawatan yang memakan
masa yang lama, tiada siapa yang akan menjaga kedainya.
"Apa gunanya ayah menyimpan duit kalau badan tidak sihat? Ayah boleh pergi ke hospital dan saya akan menjaga
kedai," kata anak lelaki sulungnya, Ah Lik yang barusia 26 tahun. Dia sudah mengetahui masalah yang dihadapi oleh
ayahnya.

Ah Beng berbelah bahagi terhadap tawaran anaknya itu apabila mengenangkan sikap anaknya yang tidak suka
membantunya menjaga kedai selama ini. Tetapi, sekiranya dia tidak memberikan tanggungjawab itu sekarang,
mungkin tiada lagi hari yang lebih sesuai. Mahu tidak mahu, dia terpaksa menyerahkan penjagaan kedai tersebut
kepada Ah Lik

Selama dua minggu, Ah Beng menerima rawatan di Hospital Mawar di Shah Alam dengan ditemani oleh
isterinya. Kesempatan itulah digunakan oleh Ah Lik untuk mengambil wang hasil jualan barang-barang. Malah dia
telah membuka dan menutup keda sesuka hatinya sahaja.

Apabila Ah Beng keluar dari hospital, alangkah terkejutnya dia apabila melihat keadaan kedainya yang tidak
seperti dahulu lagi. Itulah yang dikatakan, harapkan pagar, pagar makan padi. Penyakit yang dihidapi hampir pulih,
tetapi kedainya pula menjadi tenat


Click to View FlipBook Version