The words you are searching are inside this book. To get more targeted content, please make full-text search by clicking here.
Discover the best professional documents and content resources in AnyFlip Document Base.
Search
Published by hafidzghafoor, 2022-02-12 20:46:27

PQI6001 Penilaian Alternatif

Sistem Pendidikan di Malaysia

Keywords: PQI6001

ePortfolio Flipbook

PQI6001
SEJARAH DAN ASAS

FALSAFAH
PENDIDIKAN

DPPUM 2021/2022

SEMESTER 1

PENILAIAN ALTERNATIF

NAMA : MUHAMMAD HAFIDZ BIN ABDUL GHAFOOR
NO. MATRIK : S2103869
PROGRAM : DIPLOMA PASCASISWAZAH PENDIDIKAN

NAMA PENSYARAH (MATEMATIK)
TARIKH : DR. CHE ALEHA BINTI LADIN
PENGHANTARAN : 13 FEBRUARI 2022

1.0 Pengenalan

Pendidikan didefinisikan sebagai suatu usaha yang dilakukan bagi membangunkan potensi
yang ada di dalam diri manusia (Akhmal Annas Hasmori, 2011). Tidak dapat dinafikan bahawa
perkembangan sistem pendidikan merupakan asas yang penting untuk membangun
masyarakat dan negara ke arah yang lebih baik. Sistem pendidikan melalui persekolahan
menjadi elemen penting kepada kemajuan negara dan masyarakat dari segi sosial, ekonomi
dan politik. Sistem pendidikan yang terbaik adalah sistem pendidikan yang meliputi
keseluruhan kehidupan masyarakat bukan hanya semasa persekolahan, malah menjadi
kesinambungan dalam kehidupan supaya dapat memberi sumbangan dalam usaha murni
memartabatkan bangsa dan negara.

Perkembangan pendidikan di Malaysia telah mengalami perkembangan serta perubahan
yang drastik bersesuaian dengan keperluan untuk membangun masyarakat dan negara.
Malaysia telah melalui sejarah yang panjang untuk membentuk sistem pendidikan pada hari
ini. Kementerian Pelajaran Malaysia (KPM) memainkan peranan penting dalam menentukan
hala tuju dan membawa perubahan dalam sistem pendidikan sejak sekian lama. Menurut
Mior Khairul Azrin (2011), KPM bertanggungjawab merialisasikan misi untuk membangunkan
sistem pendidikan yang berkualiti bertaraf dunia, dalam masa yang sama
memperkembangkan potensi individu bagi memenuhi aspirasi negara. Dasar pendidikan
negara sentiasa mengalami perubahan menunjukkan bahawa pihak kerajaan komited dalam
memperkasakan kualiti pendidikan di Malaysia. Proses tersebut dilaksanakan berlandaskan
kehendak dan keperluan semasa seiring dengan hasrat Dasar Pendidikan Kebangsaan.

Pada awalnya ketika zaman sebelum kemerdekaan, sistem pendidikan negara amat tidak
memuaskan kerana institusi pendidikan bukan tumpuan utama penjajah. Setelah negara
mencapai kemerdekaan, pelbagai usaha yang dilaksanakan bagi tujuan menaik taraf sistem
pendidikan negara di setiap peringkat. Malaysia mengamalkan sistem pendidikan yang
sistematik dan teratur bagi memastikan perkembangan murid secara menyeluruh di sekolah
untuk membentuk personaliti yang unggul dalam kalangan pelajar. Pendidikan di sekolah tidak
hanya tertumpu kepada akademik semata-mata, malahan mencakupi pelbagai kemahiran
yang lain seperti kemahiran kepimpinan, penerapan kokurikulum dan sebagainya. Namun
begitu, mutu pendidikan di Malaysia pada ketika ini bukanlah di tahap yang terbaik jika
dibandingkan dengan negara-negara maju yang lain.

2.0 Garis Masa Perkembangan Sistem Pendidikan di Malaysia

Perkembangan sistem pendidikan negara dapat dilihat daripada abad ke-20 hingga abad ke-
21. Perkembangan tersebut mengalami proses yang panjang sejak sebelum negara
mencapai kemerdekaan sehingga negara telah merdeka. Seiring berjalannya waktu, sistem
pendidikan negara ditambah baik menjadi lebih sistematik dan efektif. Garis masa
perkembangan sistem pendidikan di Malaysia pada abad ke-20 hingga abad ke-21 dapat
diterangkan oleh rajah berikut:

1824-1957 1957-1970 1971-1990

Sebelum merdeka: Pendidikan selepas Pembangunan pendidikan
Pendidikan semasa kemerdekaan dalam era Dasar Ekonomi

pemerintahan Baru (DEB)
British

2000-2020 1991-2000

Pembangunan Pembangunan pendidikan
pendidikan dalam dalam era Dasar
era Dasar Wawasan
Pembangunan Nasional.
Nasional.

Rajah 1. Garis masa perkembangan sistem pendidikan Malaysia

2.1 Perkembangan Sistem Pendidikan Sebelum Kemerdekaan

Perkembangan sistem pendidikan negara memperlihatkan perubahan dalam bidang
pendidikan sejak sebelum kemerdekaan sehingga selepas kemerdekaan. Sejarah
perkembangan sistem pendidikan negara sebelum kemerdekaan melibatkan zaman sebelum
dan semasa penjajahan British di Tanah Melayu. Sebelum merdeka, tiada pendidikan yang
bersepadu. Kronologi sistem pendidikan sebelum merdeka dapat digambarkan oleh Rajah 2.

Sejarah awal Pendidikan semasa 1941-1946 Pendidikan semasa
pendidikan di penjajahan Inggeris penjajahan Inggeris
Tanah Melayu Pendidikan semasa
fasa 1 penjajahan Jepun fasa 2
Pendidikan Pendidikan formal Laporan-laporan
bukan formal di dengan kewujudan melibatkan
Sekolah Vernakular pengenalan sekolah cadangan
pondok dan Melayu, Cina, Tamil penambahbaikkan
madrasah. Nippon-Go.
dan Inggeris. kepada sistem
pendidikan telah

digubal.

Rajah 2. Kronologi sistem pendidikan sebelum merdeka

Sejarah awal pendidikan di Tanah Melayu melibatkan pendidikan bukan formal di sekolah
pondok atau madrasah telah wujud sebelum kedatangan British ke Tanah Melayu. (Mior
Khairul Azrin, 2011). Skop pembelajaran di surau dan madrasah adalah berkaitan Al-Quran
dan hadis, hafalan, tajwid, fiqah dan tauhid di mana imam dan haji memainkan peranan
sebagai tenaga pengajar. Pada ketika itu, terdapat juga pengajian pondok yang dibina oleh
alim ulama dan penduduk setempat. Kaedah pembelajaran yang diterapkan adalah secara
hafalan di mana para pelajar dianggap telah tamat pengajian sekiranya telah khatam 4 hingga
5 kali.

Rajah 2. Contoh Pondok Sebagai Institusi Pendidikan
(Sumber: Buletin Online, 11 Mac 2016)

Apabila Inggeris menjajah Tanah Melayu, pendidikan formal telah diperkenalkan. Dasar
pecah dan perintah yang telah dijalankan oleh pihak Inggeris secara langsung telah

menyebabkan perpecahan dalam sistem pendidikan mengikut kaum. Ketika itu, Sekolah
Vernakular Melayu, Cina, Tamil dan Inggeris telah diwujudkan. Menurut Parameswari
Krishnan (2020), vernakular bermaksud bahasa ibunda sebagai bahasa pengantar.

Sekolah Sistem Sekolah
Vernakular Pendidikan Vernakular

Melayu semasa Cina
Penjajahan
Sekolah Sekolah
Vernakular Inggeris Vernakular

Tamil Inggeris

Rajah 3. Peta Minda Sistem Pendidikan Semasa Penjajahan Inggeris

Pendidikan vernakular di Tanah Melayu diperkenalkan oleh kolonial Inggeris supaya anak-
anak boleh membaca dan memahami arahan. Sekolah Vernakular Melayu didirikan oleh pihak
Inggeris untuk anak-anak bangsawan Melayu sahaja. Mata pelajaran di sekolah vernakular
tersebut tidak mempunyai hala tuju untuk meningkatkan taraf akademik anak-anak Melayu ke
peringkat sekolah menengah. Sekolah yang menggunakan Bahasa Melayu sebagai bahasa
pengantar ini hanya terhad pada peringkat sekolah rendah sahaja. Oleh hal demikian, lulusan
dari sekolah ini tidak berpeluang untuk menjawat jawatan yang tinggi.

Rajah 4. Sekolah Melayu Pangkalan Batu, Selangor.
(Sumber: FMS Government Press, 1933)

Sekolah Vernakular Cina pula didirikan oleh masyarakat Cina, pihak persendirian dan parti
politik untuk mengekalkan entiti kecinaan di Tanah Melayu dengan tenaga pengajar yang
diimport dari China. Sumber rujukan dan kurikulum sekolah tersebut berdasarkan buku teks

dari China. Menurut Atiqah Abdullah da Liu (2018), mata pelajaran yang diajar di sekolah
tersebut termasuk pelajaran klasik lama, Sejarah, Ilmu Alam, Sains, Moral, Bahasa, Ilmu
Hisab, Lukisan, Menyanyi dan Pendidikan Jasmani

Begitu juga dengan Sekolah Vernakular India yang berorientasikan sistem pendidikan India
serta menggunakan tenaga pengajar yang diimport dari India. Objektif pendidikan sekolah
Tamil ini adalah untuk membolehkan para pelajar membaca, menulis dan mengira dalam
Bahasa Tamil. Hal ini menunjukkan bahawa sistem pendidikan tersebut menekankan elemen
Tamil dalam kurikulum sekolah. Darjah enam merupakan tingkat tertinggi bagi sekolah aliran
ini. Walaubagaimanapun, menurut Parameswari Krishnan (2020), akibat kekangan jumlah
guru, kebanyakan mereka hanya bersekolah sehingga darjah tiga atau darjah 4 sahaja.
Terdapat beberapa sekolah Tamil yang terawal di Tanah Melayu seperti sekolah Tamil di
Pulau Pinang dan sekolah Tamil-Anglo.

Rajah 5. Keadaan sekolah Tamil pada tahun 1912 di Tanah Melayu
(Sumber: Parameswari Krishnan, J. Hinduja Jayer Raman, Said Darkasi, Rohini &
Krishnan, 2020, Dasar British dan Jepun terhadap sekolah Melayu dan Tamil sebelum tahun
1957. Jurnal Kinabalu, 253-253)

Sekolah Vernakular Inggeris pula didirikan oleh pendakwah Kristian di kawasan bandar
dengan menggunakan tenaga pengajar dari England. Sekolah ini mempunyai orientasi
kurikulum serta menggunakan kaedah pengajaran dan pembelajaran. Lulusan dari sekolah
ini berpeluang untuk melanjutkan pelajaran ke peringkat kolej dan universiti sama ada dalam
atau luar negara. Hal ini bermaksud kanak-kanak yang berbilang kaum tidak belajar bersama-
sama kecuali jika mereka bersekolah di Sekolah Vernakular Inggeris. Antara sekolah
Vernakular Inggeris yang terawal di Malaysia adalah Penang Free School.

Tidak dapat dinafikan bahawa pelaksanaan pelajaran secara formal yang bercorak western
type education yang diperkenalkan oleh British ini membawa kepada sistem pembelajaran
dan pengajaran yang terancang dan ditentukan matlamatnya. Namun begitu, sistem
pendidikan pada ketika itu boleh dikatakan tidak menghasilkan keberkesanan yang positif
terutamanya dari segi perpaduan. Sistem pendidikan yang dijalankan oleh British jelas
membawa kepada hubungan antara kaum yang semakin renggang. Tambahan pula, terdapat
banyak kelemahan dalam pelaksanaan sistem pendidikan oleh British. Ketidakseragaman
orientasi dan kurikulum telah berlaku dalam sistem pendidikan pada ketika itu. Pendidikan
yang diberikan tidak secara menyeluruh dan hanya menyediakan pembelajaran terhadap
pengetahuan asas sahaja. Akses pendidikan yang terhad menyebabkan sistem pendidikan
menjadi tidak efektif kerana kebanyakan masyarakat masih belum menerima pendidikan yang
sepatutnya.

Fasa kedua sistem pendidikan di waktu penjajahan Inggeris telah bermula setelah tamat
pendudukan Jepun di Tanah Melayu pada 1946. Perubahan sistem pendidikan sentiasa
berlaku dalam tempoh masa tersebut demi memenuhi keperluan dan kehendak rakyat untuk
menjamin pendidikan yang berkualiti untuk negara. Pada fasa ini, pelbagai laporan-laporan
cadangan bagi tujuan penambahbaikan dalam sistem pendidikan telah digubal. Laporan-
laporan tersebut adalah seperti berikut:

Rajah 6. Laporan-laporan dalam Sistem Pendidikan Sebelum Merdeka

Laporan Cheeseman telah diperkenalkan oleh H.R. Cheesman pada 1946 bagi tujuan
membina semula sistem pendidikan selepas pendudukan Jepun (Chee & Thock, 2017).
Langkah ini merupakan percubaan pertama pihak Inggeris untuk menyusun semula sistem
dan polisi pendidikan di bawah Malayan Union. Laporan ini mencadangkan pendidikan
percuma di peringkat sekolah rendah. Dalam masa yang sama, pelajar sekolah rendah perlu
diberi peluang untuk mempelajari Bahasa Inggeris. Di peringkat sekolah menengah pula,
Cheesman mencadangkan dua jenis sekolah sahaja iaitu sekolah sekolah pertengahan dan
sekolah tinggi. Tambahan lagi, Cheeseman mencadangkan pendidikan vokasional
dilaksanakan. Namun begitu, cadangan yang diutarakan dalam Laporan Cheeseman masih
tidak menunjukkan sistem pendidikan yang berciri kebangsaan.

Seterusnya pada tahun 1951, Laporan Barnes pula digubal untuk menyemak dan
memperbaiki keadaan pendidikan Melayu. Laporan ini mengesyorkan supaya sekolah
vernakular dibubarkan dan digantikan dengan sekolah kebangsaan kerana sekolah
vernakular yang sedia ada tidak menyumbang ke arah perpaduan kaum. Dari sini, bibit-bibit
sistem pendidikan bercorak kebangsaan mula terlihat. Oleh hal demikian, Laporan Barnes
boleh dikatakan sebagai penggerak kepada perubahan kedudukan pendidikan Orang Melayu
yang semakin bangkit dengan semangat nasionalisme (Mior Khairul Azrin, 2011). Laporan ini
menunjukkan usaha untuk mempertingkatkan kepentingan Bahasa Inggeris di samping
mengekalkan Bahasa Melayu sebagai Bahasa pengantar. Cadangan-cadangan lain yang
dikemukakan dalam laporan ini adalah pendidikan percuma kepada kanak-kanak 6 hingga 12
tahun, kurikulum yang menekankan mata pelajaran seperti Sains, Seni Perusahaan dan Seni
Rumah Tangga, pembinaan sekolah vokasional moden dan sebagainya.

Rajah 7. Laporan Barnes dan Laporan Fenn-Wu 1951
(Sumber: BEBAS news, 14 Ogos 2019, diakses daripada

https://bebasnews.my/tag/melayunisasi/)

Laporan Fenn-Wu juga digubal pada tahun 1951 bagi menyemak pendidikan kaum Cina
berikutan perasaan tidak puas hati kaum Cina terhadap laporan Barnes. Menurut Tan (1999)
laporan ini menunjukkan bahawa masyarakat Cina tidak bersetuju jika sekolah hanya
mengutamakan Bahasa Melayu dan Bahasa Inggeris sahaja di sekolah. Mereka mahu bahasa
ibunda mereka turut diajar di sekolah supaya bahasa ibunda mereka terpelihara. Dalam masa
yang sama, laporan ini mencadangkan Dasar Pendidikan Negara mestilah ke arah matlamat
membentuk kewarganegaraan Melayu dan penyediaan buku teks sekolah Cina yang

berorientasikan Tanah Melayu. Oleh itu, sekolah-sekolah perlu menyediakan kanak-kanak
untuk menempuh semua aspek kehidupan berdasarkan masyarakat Melayu.

Disebabkan oleh hala tuju yang berbeza daripada Laporan Barnes dan Laporan Fenn-Wu,
Ordinan Pelajaran 1952 diwujudkan untuk mencapai matlamat tersebut. Ordinan Pelajaran
1952 ini mencatatkan sejarah baru dalam bidang pendidikan dengan memperkenalkan
sekolah kebangsaan. Hal ini merupakan satu langkah yang positif dalam pembentukan satu
sistem pendidikan yang bersepadu. Menurut Kamaruzzaman Yahya (2011), Ordinan
Pelajaran 1952 dikemukan untuk mengesyorkan sekolah kebangsaan sebagai corak sistem
persekolahan kebangsaan. Hasilnya, Ordinan Pelajaran 1952 mencadangkan dua sistem
persekolahan iaitu sekolah yang menggunakan Bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar
dan sekolah yang menggunakan Bahasa Inggeris sebagai bahasa pengantar. Dalam masa
yang sama, Bahasa Melayu diwajibkan di sekolah Inggeris dan Bahasa Inggeris diwajibkan di
sekolah Melayu.

Sejarah sistem pendidikan sebelum kemerdekaan negara masih belum kukuh. Menjelang
kemerdekaan negara, perancangan tentang masa hadapan sistem pendidikan tidak dilupakan
untuk membina sebuah negara bangsa yang merdeka dengan pentadbiran sendiri. Hal ini
bagi memperbaiki sistem pendidikan yang diperkenalkan oleh penjajah yang masih terdapat
banyak kekurangan. Pendidikan yang disediakan sepatutnya lebih memberi manfaat kepada
masyarakat untuk meningkatkan taraf pengetahuan dan kemahiran mereka. Dalam masa
yang sama, perpaduan rakyat pelbagai kaum menjadi cabaran besar dalam mencorakkan
sistem pendidikan yang stabil. Banyak aspek yang perlu diberi perhatian dan perlu diperhalusi
untuk memenuhi keperluan tersebut.

2.2 Perkembangan Sistem Pendidikan Selepas Kemerdekaan

Negara kita telah mencapai kemerdekaan pada tahun 1957. Setelah negara mencapai
kemerdekaan, para pemimpin dan rakyat telah sedar akan kepentingan untuk mewujudkan
satu sistem pendidikan kebangsaan untuk menggantikan sistem pendidikan penjajah untuk
memenuhi keperluan negara. Hal ini menjadi titik tolak kepada mulanya usaha untuk
mewujudkan sistem pendidikan yang berupaya memupuk perpaduan dan mempunyai ciri
nasional serta menjamin peluang pendidikan tanpa mengira kaum dan agama. Oleh hal
demikian, Dasar Pendidikan Kebangsaan melalui Penyata Razak 1956 telah dikemukakan
lalu termaktub dalam Ordinan Pelajaran 1957.

Penyata Ordinan Pelajaran Laporan Talib Akta
Razak 1956 1957 1960 Pelajaran

1961

Akta Rang Undang- Laporan Laporan
Pendidikan undang Jawatankuasa Hussein Onn
Kabinet 1979
1996 Pendidikan 1995 1971

Rajah 8. Perkembangan Sistem Pendidikan Selepas Kemerdekaan

Penyata Razak 1956 mempunyai tujuan untuk menjadikan Bahasa Melayu sebagai Bahasa
Kebangsaan, bahasa perpaduan dan bahasa pengantar di sekolah. Hal ini dapat
mengeratkan hubungan antara kaum melalui pendidikan sebagai satu rumpun bangsa di
Tanah Melayu. Penyata Razak juga bermatlamat untuk mewujudkan masyarakat yang
bertoleransi, berdisiplin, berlatih, liberal dan progresif demi memenuhi keperluan negara yang
merdeka dan memperkembangkan sistem pendidikan. Penyata Razak dimaktubkan dalam
Ordinan Pelajaran 1957 yang berhasrat membentuk satu sistem pelajaran kebangsaan yang
dapat diterima oleh rakyat, menambah perkembangan kebudayaan sosial, ekonomi dan politik
negara dengan tujuan menjadikan Bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan. Laporan
Razak memberi sumbangan yang besar dalam perkembangan sistem pendidikan kerana ia
merupakan usaha memupuk integrasi sosial melalui pendidikan.

Laporan Talib 1960 menjadi menjadi perintis dalam usaha mengukuhkan dasar pendidikan
kebangsaan di Malaysia. Antara perkara penting yang terkandung dalam laporan ini adalah

Sekolah Kebangsaan yang diumumkan terdiri daripada pelajar Melayu yang menggunakan
bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar. Kedua, Sekolah Jenis Kebangsaan yang
umumnya terdiri daripada pelajar Cina dan India, menggunakan bahasa Inggeris atau
bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar, manakala bahasa Cina dan bahasa Tamil
dijadikan salah satu mata pelajaran sekolah (Atiqah Abdullah & Liu, 2018). Sekolah Inggeris
mula menggunakan Bahasa Melayu. Peperiksaan Sijil Rendah Kebangsaan turut
diperkenalkan. Reformasi struktur yang ingin dilaksanakan adalah persekolahan selama 9
tahun dengan memberi penekanan kepada bahasa, kurikulum, agama dan moral. Umur
persekolahan pelajar dinaikkan dari 12 tahun kepada 15 tahun.

Pekembangan sistem pendidikan pada masa tersebut boleh dibahagikan kepada tiga tahap.
Tahap pertama adalah penguatkuasaan Akta Pelajaran 1961. Laporan Razak 1957 dan
Laporan Talib 1960 dikuatkuasakan melalui Akta Pelajaran 1961. Hasil penguatkuasaan
penyata tersebut, satu institusi beraliran kebangsaan terlahir yang dikenali sebagai “Sekolah
Menengah Kebangsaan” (Atikah Abdullah dan Liu, 2018). Akta Pelajaran 1961 merupakan
usaha kerajaan Malaysia untuk meraih semula kepercayaan rakyat agar mereka menyedari
bahawa dasar pendidikan yang dilaksanakan adalah demi kepentingan masyarakat yang
berbilang kaum. Bahasa kebangsaan menjadi bahasa pengantar. Tahap kedua pula
merupakan tahap pelaksanaan pendidikan di bawah Rancangan Malaysia Pertama yang
memfokuskan kepada pembasmian buta huruf dan peningkatan taraf pendidikan di seluruh
negara.

2.2.1 Pembangunan pendidikan dalam era Dasar Ekonomi Baru

Tahap ketiga pembangunan sistem pendidikan negara pula lebih ke arah pengubahsuaian
sistem pelajaran dan latihan untuk memenuhi keperluan perkembangan ekonomi serta
menghasilkan lebih ramai pekerja mahir bagi melaksanakan Dasar Ekonomi Baru (DEB) yang
diperkenalkan bermula 1971. Tumpuan utama rancangan pendidikan pada ketika itu adalah
untuk menyatukan sistem pelajaran bagi menggalakkan perpaduan negara, memperluaskan
rancangan pelajaran bagi mencapai keperluan negara mengenai tenaga rakyat, dan
memperbaiki mutu pelajaran ke arah mencapai masyarakat yang maju berasaskan sains dan
teknologi moden .

Seterusnya, Laporan Hussein Onn 1971 menyediakan dasar bagi kanak-kanak dalam
lingkungan umur bersekolah. Pada ketika itu, sekolah kerajaan dan bantuan kerajaan masih
dijalankan dalam dua bahasa iaitu Bahasa Melayu dan Bahasa Inggeris. Namun, Bahasa
Melayu mula menggantikan Bahasa Inggeris secara beransur-ansur di sekolah aliran Inggeris.

Walaubagaimanapun, kedudukan Bahasa Inggeris tetap dipelihara sebagai bahasa kedua
dan wajib dipelajari demi pembangunan negara.

Laporan Jawatankuasa Kabinet 1979 pula memperkenalkan kurikulum kebangsaan
berindentiti Malaysia. Beberapa pembaharuan telah dilakukan dalam sistem pendidikan
seperti tempoh persekolahan dari 9 tahun kepada 11 tahun, pendidikan percuma dan
pengukuhan asas 3M iaitu membaca, menulis dan mengira serta pembangunan sekolah
teknik dan vokasional. Bagi pendidikan menengah atas, 2 jurusan dilaksanakan iaitu
akademik dan vokasional. Rentetan daripada Laporan Jawatankuasa Kabinet 1979 ini,
Kurikulum Baru Sekolah Rendah (KBSR) terbentuk pada 1983 untuk sekolah rendah dan
Kurikulum Baru Sekolah Menengah (KBSM) dibentuk pada 1989 untuk pendidikan di
peringkat sekolah menengah. KBSR dan KBSM membawa matlamat yang sama iaitu
penumpuan terhadap perkembangan murid secara menyeluruh. Falsafah Pendidikan
Kebangsaan (FPK) dirangka pada 1988 sebagai panduan hala tuju sistem pendidikan.

2.2.2 Pembangunan pendidikan dalam era Dasar Pembangunan Nasional

Bermula tahun 1991 negara telah memperkembangkan sistem pendidikan dalam era Dasar
Pembangunan Nasional. Sistem pendidikan negara diperkemaskan lagi dengan pengenalan
Rang Undang-undang Pendidikan 1995. Hal ini bagi mengukuhkan dasar pendidikan negara.
Sistem pendidikan negara dicorakkan untuk mencapai sistem pendidikan bertaraf dunia.
Falsafah pendidikan negara menjadi landasan kepada dasar pendidikan kebangsaan.

Rentetan itu, sistem pendidikan negara dimantapkan lagi dengan kewujudan Akta Pendidikan
1996. Falsafah Pendidikan Negara menjadi asas penggubalan Akta Pelajaran 1996. Sistem
pendidikan negara turut diperkukuhkan dari pra sekolah sehingga pendidikan tinggi yang
melibatkan semua kategori sekolah seperti sekolah kerajaan, sekolah bantuan kerajaan dan
sekolah swasta. Kurikulum bagi semua jenis dan kategori sekolah diselaras serta peperiksaan
diseragamkan. Pendidikan Islam juga menjadi subjek teras. Bagi pendidikan pra sekolah,
garis panduan kurikulum pra-sekolah telah dikeluarkan oleh KPM. Tambahan pula,
pendidikan di sekolah teknik dipertingkatkan untuk membudayakan sains dan teknologi.

2.2.3 Pembangunan pendidikan dalam era Dasar Wawasan Nasional

Dalam era tersebut, pembangunan sistem pendidikan negara dipengaruhi oleh globalisasi,
liberalisasi dan pembangunan ICT yang pesat. Cabaran utama adalah untuk melahirkan
modal insan yang berpengetahuan, cekap dan berdaya saing di peringkat global. Pelbagai
perancangan yang telah dirangka untuk mencapai hasrat tersebut seperti Model Pelan

Pembangunan Pendidikan 2001-2010, Pelan Induk Pembangunan Pendidikan 2006-2010,
Pembangunan Pendidikan melalui Bidang Keberhasilan Utama Negara (NKRA) 2010-2012
dan Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia 2013-2025. Perancangan-perancangan
tersebut pastinya membawa perubahan yang ketara dalam bidang pendidikan di Malaysia
yang lebih ke arah futuristik. Keperluan pendidikan pada ketika ini adalah untuk melahirkan
modal insan berminda kelas pertama dalam mengejar arus kemajuan dunia seiring dengan
pelbagai teknologi yang wujud seperti cendawan tumbuh selepas hujan.

3.0 Perancangan yang Mempengaruhi Perkembangan Sistem Pendidikan di
Malaysia

I. Model Pelan Pembangunan Pendidikan 2001-2010

Model Pelan Pembangunan Pendidikan 2001-2010 merupakan satu dokumen yang
penting bagi mencapai agenda pembangunan selaras dengan keperluan semasa pada
ketika itu. Model ini memperjelaskan hala tuju pendidikan tanah air bagi menyediakan
pendidikan yang berkualiti dan bertaraf dunia. Tumpuan utama pelan ini adalah untuk
memastikan semua warganegara mempunyai peluang dari segi akses, ekuiti dan kualiti
untuk mendapatkan pendidikan formal selama 12 tahun.

II. Pelan Induk Pembangunan Pendidikan 2006-2010

KPM telah menggubal Pelan Induk Pembangunan Pendidikan 2006-2010 sebagai langkah
untuk menyahut agenda pendidikan di bawah Rancangan Malaysia Ke-9. Mantan Perdana
Menteri Malaysia iaitu Tun Abdullah Ahmad Badawi telah melancarkan Pelan Induk
Pembangunan Pendidikan 2006-2010 bagi melonjakkan kecemerlangan sekolah sekali
gus mengangkat imej pendidikan negara di mata dunia. Terdapat enam teras dalam
strategi pelan ini iaitu membina negara bangsa, membangunkan modal insan,
memperkasakan sekolah kebangsaan, merapatkan jurang pendidikan, memartabat
profesion guru dan melonjakkan kecemerlangan institusi pendidikan yang sedia ada.
Antara usaha KPM dalam mengurangkan jurang pendidikan dalam kalangan rakyat adalah
memberi tumpuan terhadap penyedian infrastruktur di sekolah sehingga ke kawasan luar
bandar. Pelan ini turut menitikberatkan pembangunan modal insan yang lengkap dengan
ilmu pengetahuan yang tinggi dalam Matematik dan Sains serta menembusi dunia melalui
kemajuan teknologi (Norhafizah Hayati Ahmad & Muhammad Faizal A. Ghani, 2010)

Rajah 9. Keratan Akhbar Pembentangan PIPP dalam RMK-9
(Sumber: Wahid Hashim, Hasani Hassan, Marzita Abdullah, 4 Julai 2007, Utusan Malaysia)

III. Pembangunan Pendidikan melalui Bidang Keberhasilan Utama Negara (NKRA) 2010-
2012

Pembangunan pendidikan melalui NKRA memberi fokus kepada 4 inisiatif bagi meluaskan
akses pendidikan berkualiti seperti meningkatkan enrolmen pra-sekolah, penguasaan 3M
melalui Program Literasi dan Numerasi (LINUS), pembangunan Sekolah Berprestasi Tinggi
(SBT) dan memperkenalkan tawaran baru untuk Pengetua dan Guru Besar. Pelan ini
memberi impak yang mempengaruhi sistem pendidikan negara dengan meluaskan akses
kepada pendidikan berkualiti yang bertujuan untuk meningkatkan prestasi pelajar. Ia
merupakan usaha permulaan untuk menambaik baik sistem pendidikan di Malaysia. Aspirasi
NKRA memberi penekanan yang menyeluruh dari segi intelek, jasmani, rohani dan emosi
selaras dengan Falsafah Pendidikan Kebangsaan (Arbiah Maddhari, 2018).

Rajah 10. Keratan Akhbar berkaitan pencapaian NKRA
(Sumber: Malaysia Kini, 5 Jun 2010, diakses daripada

https://www.malaysiakini.com/news/133685)

IV. Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia 2013-2025
Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (PPPM) 2013-2025 mengemukakan 5 aspirasi
dalam pendidikan Malaysia iaitu akses, kualiti, ekuiti, perpaduan dan kecekapan. Untuk
membentuk sistem pendidikan yang bertaraf global, Pendidikan STEM menjadi agenda yang
ditekankan dalam PPPM ini untuk memperkembangkan pendidikan yang bertunjuangkan
pengintegrasian empat bidang iaitu Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (Nur
Amelia Adam dan Lilia Halim, 2019). PPPM mampu meningkatkan mutu pendidikan negara
pada era globalisasi ini dalam mengejar arus kemajuan dunia.

Rajah 11. Keratan Akhbar Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia 2013-2025
(Sumber: Sharani Ismail, 24 Ogos 2013, Berita Harian)

4.0 Keperluan dan Perancangan yang Mempengaruhi Perkembangan Sistem
Pendidikan di Malaysia

Kurikulum merupakan rancangan pendidikan yang sentiasa mengalami perubahan demi
memenuhi keperluan masyarakat dan negara. Perkembangan ini berlaku selari dengan
kemajuan masyarakat dan negara. Hal tersebut dianggap sebagai suatu proses yang dinamik
dan seimbang.

4.1 Penyatuan Pelbagai Kaum

Perpaduan kaum menjadi asas utama dalam penggubalan dasar pendidikan setelah negara
mencapai kemerdekaan. Memandangkan Malaysia terdiri daripada masyarakat yang majmuk,
setiap dasar yang dilaksanakan sewajarnya selari dengan keperluan masyarakat. Oleh hal
demikian, dasar pendidikan yang dilaksanakan bukan sahaja bertujuan untuk memberi
pelajaran di sekolah semata-mata tetapi sebagai alat untuk merealisasikan perpaduan
bangsa. Laporan Razak 1956 menjadi titik tolak kepada pembaharuan dalam sistem
pendidikan yang berusaha untuk memupuk perpaduan kaum. Dasar pendidikan yang
dilaksanakan bukan sahaja bertujuan untuk melahirkan masyarakat yang berilmu, malahan
pendidikan dapat dijadikan sebagai alat bagi memupuk perpaduan.

4.2 Kemajuan Negara

Tahun 1970 hingga 1990 merupakan tempoh pelaksanaan Dasar Ekonomi Baru (DEB) yang
bermatlamat untuk mengukuhkan negara melalui pembasmian kemiskinan di kalangan semua
kaum dan penyusunan semula masyarakat. Program pendidikan dirancang bagi merapatkan
jurang perbezaan dalam peluang-peluang pendidikan antara yang kaya dengan yang miskin
serta antara wilayah dan antara kaum melalui pembahagian sumber-sumber dan kemudahan-
kemudahan negara dengan lebih saksama (Rancangan Malaysia Ketiga, 1976 - 1980). Hal
ini selari dengan keperluan negara untuk melangkah lebih maju kerana pendidikan
merupakan pemangkin kemajuan dan pembangunan negara.

4.3 Falsafah Pendidikan
Falsafah Pendidikan Kebangsaan mempunyai aspirasi untuk menjadikan pendidikan di
Malaysia sebagai medium untuk memperkembangkan potensi individu secara menyeluruh
dan bersepadu untuk mewujudkan insan yang seimbang dan harmonis dari segi intelek,
rohani, emosi dan jasmani. Oleh itu, sistem pendidikan dibentuk berlandaskan aspirasi FPK
bagi memenuhi keperluan tersebut. Justeru pelbagai pembaharuan telah dilakukan supaya
pendidikan yang disediakan meliputi perkembangan pelajar secara menyeluruh.

5.0 Kesimpulan

Secara keseluruhannya, sejarah telah membuktikan bahawa sistem pendidikan di Malaysia
telah berkembang dari abad ke-20 hingga sekarang ke arah yang lebih baik dan berkualiti.
Dasar-dasar dalam sistem pendidikan negara ditambah baik dari masa ke masa seiring
dengan keperluan rakyat dan negara. Bermula dari sistem pendidikan semasa zaman
penjajahan yang berkembang tanpa mengambil kira keperluan pembangunan serta
perpaduan masyarakat, kerajaan telah mengambil langkah yang pragmatik untuk
memperbaiki mutu sistem pendidikan negara selepas kemerdekaan. Tidak dapat dinafikan
bahawa hal tersebut bukan suatu usaha yang mudah. Perubahan yang berlaku merangkumi
pelbagai aspek dalam bidang pendidikan. Hal ini demikian kerana Malaysia meletakkan
matlamat yang tinggi untuk membentuk sistem pendidikan bertaraf dunia. Dasar Pendidikan
Kebangsaan terbukti mampu memenuhi keperluan negara dan masyarakat pada masa kini
dan masa akan datang.

Jasa pemimpin-pemimpin terdahulu yang bertungkus lumus dalam membentuk sistem
pendidikan di Malaysia perlu dihargai. Perubahan-perubahan signifikan yang telah dilakukan
oleh mereka telah membawa kepada sistem pendidikan yang lebih baik pada hari ini. Dalam
masa yang sama, sistem pendidikan di Malaysia perlu sentiasa dikaji dan ditambah baik
mengikut kesesuaian semasa. Hal ini tidak boleh dipandang enteng kerana pendidikan
merupakan tonggak utama kepada sesebuah negara. Hal ini dapat dilihat dari sejarah yang
telah berlaku dimana kemunduran menyelubungi negara apabila sistem pendidikan berada di
tahap yang buruk. Oleh itu, semua pihak perlu berganding bahu dalam memperkasa mutu
pendidikan di Malaysia agar generasi akan datang dapat menikmati pendidikan yang kondusif
dan efektif.

Rujukan

Akhmal Annas Hasmori. (2011). Pendidikan, kurikulum dan masyarakat: Satu integrasi.
Journal of Edupres, 1, 350-356

Atiqah Abdullah & Liu, O. P. (2018, November). Latar Belakang Sejarah Sistem Pendidikan
dan Masyarakat Majoriti Minoriti di Malaysia. In International Colloquium on Integration
Platform (Vol. 15, pp. 74-100).

Arbiah Binti Maddahiri, Mohd Khairuddin Abdullah, Musirin Bin Mosin, Mohammad
Haafiz Bin Ahmid Hairi Binti Asul (2018). Amalan Pengajaran Guru LINUS-Literasi.
Malaysian Journal of Social Sciences and Humanities (MJSSH), 3(2), 32-39.

Chee, S. C., & Thock, K. P. (2017). Masalah Perkembangan SJK (C): Kajian
Pemindahan SJK (C) di Negeri Selangor, 1999-2012/SJK (C) Development Problems:
Study on the Relocation of SJK (C) in Selangor, 1999-2012. Journal of Chinese
Literature And Culture, 5(2), 60-79.

Federated Malay States. (1933). Annual report on the education department for the year 1932.
Kuala Lumpur: FMS Government Press.

Kamaruzzaman Yahya. (2011). Keberkesanan penggunaan prasarana di Kompleks Sekolah
Wawasan Subang Jaya dalam usaha menggalakkan interaksi antara semua murid
warga sekolah (Doctoral dissertation, Open University Malaysia).

Malaysia Kini. (5 Jun, 2010). NKRA capai KPI, kata Najib. diakses daripada
https://www.malaysiakini.com/news/133685

Mior Khairul Azrin Mior Jamaluddin. (2011). Sistem pendidikan di Malaysia: Dasar,
cabaran, dan pelaksanaan ke arah perpaduan nasional. Sosiohumanika, 4(1).

Norhafizah Hayati Ahmad & Muhammad Faizal A. Ghani. (2010). Analisis Pelan Induk
Pembangunan Pendidikan (PIPP) 2006-2010 digubal berdasarkan pembangunan
pendidikan malaysia (2001-2010). Jurnal Internasional Manajemen Pendidikan, 4(02).

Nur Amelia Adam & Lilia Halim. (2019). Cabaran pengintegrasian pendidikan STEM dalam
kurikulum Malaysia.

Parameswari Krishnan, J. Hinduja Jayer Raman, Said Darkasi, Rohini & Krishnan.
(2020). Dasar British dan Jepun terhadap sekolah Melayu dan Tamil sebelum tahun
1957: British and Japanese policy toward the Malay and Tamil schools before 1957.
Jurnal Kinabalu, 253-253.

Sharani Ismail. (24 Ogos 2013). PPPM mampu tingkat kualiti pendidikan. Berita Harian.

Tan, Y. S. (1998). Politik dalam Pendidikan Vernakular Cina di Semenanjung Malaysia: Satu
Perspektif Hubungan Etnik Majoriti-Minoriti.

Wahid Hashim, Hasani Hassan & Marzita Abdullah. (4 Julai, 2007). Kementerian pertama
bentang prestasi RMK-9. Utusan Malaysia.


Click to View FlipBook Version