PUSTAKA ZAABA
SK DATUK HAJI BAGINDA
MERLIMAU MELAKA.
Nabi Musa A.S
Nabi Harun A.S
SILA CATATKAN DALAM IQ NILAM
14/25] - Nabi Musa & Harun ‘Alaihissalam
1) Nabi Musa digelar Kalimullah yang bermaksud ‘orang yang bercakap
dengan Allah’ kerana nabi Musa seorang nabi yang sangat istimewa yang
sering bercakap dengan Allah.
2) Warna kulit nabi Musa tidak cerah, agak gelap. Mempunyai rambut yang
tebal dan badannya sasa dan baginda sangat kuat sehingga digambarkan
tumbukan baginda boleh menyebabkan seseorang itu mati walau dengan
hanya sekali tumbukan.
3) Bukan itu saja, pertuturan nabi Musa tidak berapa jelas kerana baginda
gagap. Nabi Musa lahir dari kalangan Bani Israel.
4) Siapakah Bani Israel? Bani Israel berasal daripada keturunan 12 orang
anak nabi Yaakub (salah seorangnya nabi Yusuf) yang tinggal di Palestin,
betul-betul di sebelah Mesir. Nabi Yaakub sebenarnya mempunyai dua
nama, Yaakub dan Israel.
5) Oleh itu, mereka mengambil nama Israel itu untuk dijadikan nama
kelompok atau etnik mereka.
6) Jika dilihat dalam kisah nabi Yusuf ada menceritakan bahawa nabi Yusuf
telah mengajak keluarganya untuk tinggal di Mesir.
7) Maka Bani Israel ini bukan sahaja tinggal di Palestin namun di Mesir
juga. Beberapa generasi selepas itu, lahirlah nabi Musa.
8) Namun ketika nabi Musa lahir, Bani Israel tidak ramai sekadar 600,000
orang sahaja jika dibandingkan dengan rakyat Mesir yang berjuta-juta
orang ramainya.
9) Pada satu zaman itu, Mesir diperintah oleh seorang firaun yang kaya,
kejam dan menganggap dirinya tuhan. Rakyat Mesir dipaksa
menyembahnya.
10) Satu hari, firaun telah bermimpi api marak telah datang dari Baitul
Maqdis di Palestin menuju ke Mesir dan membakar semua rumah di Mesir
kecuali rumah orang-orang Bani Israel.
11)Firaun jadi tidak keruan dan memanggil semua ahli tilik dan
penasihatnya untuk mentafsir mimpinya. Ahli tilik mentafsirkan bahawa
akan lahir seorang bayi lelaki berketurunan Bani Israel dan suatu hari nanti
firaun akan mati di tangan bayi lelaki itu.
12) Firaun terus membuat undang-undnag baru iaitu setiap kali Bani Israel
melahirkan bayi lelaki, bayi itu mesti dibunuh. Maka firaun menghantar
askarnya untuk menggeledah rumah Bani Israel dan membunuh semua
kanak-kanak lelaki. Askarnya akan membuat ‘pembersihan’ itu setiap 2
tahun.
13) Ibu nabi Musa pada masa itu sedang hamil. Sepanjang 9 bulan, dia
mengelak daripada berjumpa dengan orang dan hanya duduk di rumah,
bimbang jika diketahui orang bahawa dia sedang mengandung.
14) Apabila lahirnya nabi Musa, dia sangat sedih dan risaukan nyawa
anaknya. Allah telah mengilhamkan kepada ibu nabi Musa untuk
menyusukan bayinya sehingga kenyang dan hanyutkan bayi itu di sungai.
15) Allah telah berjanji kepada ibu nabi Musa akan bertemu kembali
dengan bayinya. Maka si ibu memasukkan bayinya ke dalam sebuah kotak
dan menghanyutkan kotak itu di sungai.
16) Ibunya menyuruh kakak kepada nabi Musa untuk melihat ke mana
kotak itu pergi kerana bimbang kotak itu hanyut ke arah orang yang akan
membunuhnya. Kakak nabi Musa pun berlari-lari mengikut kotak tersebut
sehingga setakat mana yang boleh dilihat.
17) Takdir Allah, kotak itu hanyut ke istana firaun dan ditakdirkan juga yang
menjumpai bayi itu adalah isteri firaun. Apabila melihat muka bayi itu,
timbulnya rasa sayang dan disebabkan mereka tidak mempunyai anak
sendiri, isteri firaun memutuskan untuk membelanya seperti anak sendiri.
18) Firaun semestinya tidak membenarkan kerana dia telah mengarahkan
askarnya untuk membunuh semua bayi lelaki Bani Israel tetapi di istananya
sendiri ada bayi lelaki Bani Israel.
19) Lihat warna kulit bayi itu sahaja telah menunjukkan ia daripada Bani
Israel. Isteri firaun berdegil dan mengatakan bahawa bayi itu membuatkan
dia gembira dan tidak mungkin bayi ini boleh berbuat apa-apa pada firaun.
20) Firaun amat cintakan isterinya dan melihat isterinya begitu bahagia, dia
pun terpaksa membiarkan bayi itu membesar di istananya, tanpa menyedari
bahawa satu hari nanti bayi itulah yang akan menjadi musuhnya.
21) Firaun mengupah ramai ibu susuan di Mesir untuk menyusukan Musa
namun Musa menolak kesemuanya. Allah telah menghalang Musa dari
menyusu dari perempuan-perempuan itu. Semakin lama bayi itu semakin
lemah dan firaun telah menghantar orang-orangnya untuk mencari lagi
perempuan yang boleh menjadi ibu susuan.
22) Berita telah sampai kepada keluarga nabi Musa dan ibunya telah
dibawa ke istana. Nabi Musa pun meminum susu ibunya. Firaun berasa
pelik dan bertanya, “Kenapa dia minum dari kamu? Siapa kamu?” dan ibu
Musa berkata, “Susu aku manis, tidak ada bayi yang pernah menolak susu
badanku.
23) ” Di sini Allah telah menunaikan janjinya untuk mempertemukan
semula nabi Musa dengan ibunya namun tidak ada sesiapa pun yang tahu.
Malah Allah melindungi ibu nabi Musa kerana setiap kali dia keluar masuk
istana, sentiasa ada yang mengiringinya.
24) Nabi Musa membesar dengan sempurna di dalam istana dan di saat
orang ramai menyembah firaun walaupun mereka tidak pernah berjumpa
dengannya, nabi Musa mengetahui bahawa Firaun itu hanya manusia
biasa dan tidak layak disembah.
25) Dalam hati baginda sentiasa tahu bahawa Allah satu-satunya tuhan
yang layak disembah.
26) Pada suatu petang, nabi Musa sedang berjalan di kota Mesir dan
terserempak dengan dua orang lelaki yang sedang bergaduh. Seorang
daripada Bani Israel dan seorang lagi orang Mesir.
27) Nabi Musa cuba untuk meleraikan pergaduhan itu namun secara tidak
sengaja baginda telah menumbuk lelaki Mesir itu dan lelaki tersebut terus
mati secara langsung.
28) Nabi Musa berkata, “Ini kerja syaitan, sesungguhnya syaitan itu musuh
yang menyesatkan” - Rujuk al Quran (28:15). Dalam pada itu, nabi Musa
melarikan diri kerana bimbang ditangkap oleh pihak berkuasa.
29) Sudahlah selama 18 tahun orang Mesir berdendam dengannya kerana
baginda satu-satunya Bani Israel yang tinggal di dalam istana.Terutamanya
firaun yang hanya menunggu untuk menghalaunya dari istana. Apabila nabi
Musa melakukan satu sahaja kesilapan, itulah peluang mereka untuk
membalas dendam kepadanya.
30 ) Keesokan harinya, sedang nabi Musa melarikan diri, baginda
terserempak lagi dengan lelaki Bani Israel tersebut sedang bergaduh
dengan lelaki lain pula.
31) Nabi Musa tidak berpuas hati kerana lelaki itu selalu mencetuskan
pergaduhan dan disebabkan lelaki itu juga baginda telah terbunuh
seseorang tanpa sengaja.
32) Nabi Musa menarik baju lelaki itu dan hampir menumbuknya
kemudian lelaki itu pun berkata, “Tunggu dulu! Kau nak bunuh aku seperti
kau bunuh lelaki semalam?!” Disebabkan itu, orang ramai telah
mengetahui bahawa nabi Musa telah membunuh seseorang.
33) Nabi Musa pun melepaskan lelaki tadi. Tiba-tiba datang seorang
pegawai istana yang rapat dengan nabi Musa dan memberitahu bahawa
orang Mesir telah mula mencari baginda dan dia menasihatkan nabi Musa
untuk melarikan diri.
34) Nabi Musa menjadi takut dan berdoa kepada Allah untuk
melindunginya - Rujuk al Quran (28:21).
35) Nabi Musa terus melarikan diri ke Madyan, kota nabi Shuaib. Baginda
berjalan beratus-ratus kilometer tanpa henti sehingga koyak kasutnya.
36) Baginda tidak mempunyai makanan, sekadar memakan daun-daun
sehingga bibirnya menjadi hijau. Baginda sampai di Madyan dengan tidak
berkasut, kelaparan dan kepenatan.
37) Kemudian baginda terjumpa telaga air di mana orang-orang lelaki
Madyan berkumpul untuk mengambil air bagi kambing biri-biri mereka.
38) Jauh di belakang, baginda ternampak dua orang gadis. Nabi Musa
pergi kepada mereka dan bertanya, “Mengapa dengan kamu berdua?”
39) Mereka berkata mereka sedang menunggu giliran untuk mengambil air
bagi ternakan mereka. Mereka tidak dapat meminta bantuan orang lelaki
dalam keluarga mereka kerana bapa mereka sudah tua - Rujuk al Quran
(28:23).
40) Apabila melihat pada keadaan, barangkali mereka tidak akan dapat air
tersebut kerana mereka hanyalah dua gadis, susah untuk berebut dengan
lelaki. Oleh itu nabi Musa membantu mereka mengambil air.
41) Salah seorang gadis tadi berjalan malu dan berkata bapa mereka ingin
membalas budinya. Nabi Musa menjaga pandangan daripada melihat
gadis tersebut dan meminta mereka untuk mengikutnya di belakang dan
menunjukkan jalan.
42) Sejak mula nabi Musa memulakan perjalanannya dari Mesir, baginda
terus-terusan berdoa kepada Allah untuk mengampunkan dosanya dan
meminta Allah permudahkan segalanya.
43) Dan satu persatu Allah bantu dan berjumpa dengan dua orang gadis
adalah salah satu daripada bantuan Allah.
44) Nabi Musa ceritakan kepada bapa gadis tadi iaitu nabi Shuaib tentang
apa yang telah berlaku dalam hidupnya dan nabi Shuaib pun berkata,
“Jangan kamu risau, sekarang kamu sudah selamat dari kaum yang zalim
itu.” - Rujuk al Quran (28:25).
45) Gadis-gadis tadi mencadangkan kepada nabi Shuaib untuk mengambil
nabi Musa bekerja kerana mereka perlukan tenaga kerja yang gagah
perkasa dan amanah - Rujuk al Quran (28:26).
46) Nabi Shuaib melamar nabi Musa untuk berkahwin dengan salah
seorang anak perempuannya, dengan syarat baginda perlu bekerja
mengembala kambing ternakan keluarga itu sekurang-kurangnya 8 tahun
sebagai mas kahwin - Rujuk al Quran (28:27).
47) Setelah selesai perjanjian 8 tahun itu, nabi Musa pun berkahwin
dengan salah seorang gadis tadi dan membawa isterinya pulang ke Mesir.
48) Pada satu malam, semasa dalam perjalanan, nabi Musa terlihat ada
api yang sangat terang di atas gunung Tursina. Baginda sangat tertarik
untuk pergi melihatnya. Hanya nabi Musa sahaja yang dapat melihat.
Cahaya api itu seolah-olah panggilan khas untuk nabi Musa.
49) Baginda meminta keluarganya untuk tunggu di bawah sementara
baginda berlari panjat ke atas gunung malah baginda berkata bahawa
baginda akan membawa turun sedikit api itu untuk keluarganya. Nabi
Musa pun panjat dan panjat dan panjat sampai ke atas - Rujuk al Quran
(28:29).
50) Tiba-tiba terdengar satu suara, “Wahai Musa, sesungguhnya Aku Allah
Tuhan sekalian alam.” - Rujuk al Quran (28:30). Jika dikaji lenggok bahasa
ayat Quran ini, kita boleh rasakan perasaan nabi Musa pada ketika itu.
51)Baginda sangat terkejut, takut, gementar. Tuhan yang sentiasa di minta
bantuan dalam doa sepanjang hidupnya telah bercakap secara langsung
dengannya!
52) Kemudian Allah bertanya, “Apa di tanganmu?” Jika diikutkan, Allah itu
Maha Mengetahui. Allah tahu apa yang nabi Musa sedang pegang. Tujuan
Allah bertanya adalah untuk menenangkan nabi Musa yang sedang dalam
keadaan terkejut.
53) Nabi Musa menjawab, “Ini tongkatku. Kadang aku bersandar
kepadanya. Aku gunakan ia untuk memukul lalang. Dan ada banyak lagi
perkara yang aku buat dengan tongkat ini”.
54) Nabi Musa menjawab panjang kerana baginda teruja. Bukan selalu
dapat bercakap dengan penciptanya dan baginda menjawab panjang
dengan harapan dapat berbual dengan lebih lama.
55) Kemudian Allah mengarahkan, “Campakkan tongkatmu”. Tanpa
berlengah, nabi Musa terus mencampak tongkat itu dan secara tiba-tiba
tongkat itu terus bertukar menjadi ular yang sangat besar dan bergerak
laju.
56) Nabi Musa yang baru sahaja bertenang tadi terus ketakutan!
Kemudian Allah berkata lagi, “Ambil ular itu dan jangan takut.” - Rujuk al
Quran (28:31). Maka nabi Musa terus memegang ular itu dan ia kembali
menjadi tongkat.
57) Mengapa Allah melakukan semua ini kepada nabi Musa? Kerana Allah
ingin baginda menjadi berani dan sentiasa percayakan bantuan Allah.
58) Kemudian Allah memerintahkan nabi Musa untuk berdepan dengan
firaun yang zalim untuk bertaqwa kepada Allah.
59) Kemudian nabi Musa meminta kepada Allah kalau baginda boleh
membawa saudaranya Harun untuk bertutur bagi pihaknya (nabi Harun
kekuatannya adalah pandai bercakap).
60) Allah berkata, “Pergilah kamu berdua bersama ayat-ayat keterangan
Kami, kamu berdua serta pengikutmu akan beroleh kemenangan.” - Rujuk al
Quran (28:35). Allah mengizinkan nabi Musa untuk membawa nabi Harun
bersama. Allah memberi kepastian bahawa mereka akan menang.
61) Nabi Musa dan nabi Harun memasuki Mesir dan terus dibawa mengadap
firaun. Setelah sekian lama, akhirnya dapat juga firaun menangkap dan
bercakap dengan nabi Musa.
62) Nabi Musa dan nabi Harun perdengarkan ayat-ayat keterangan Allah
kepada firaun dan berdakwah kepadanya untuk beriman kepada Allah.
63) Firaun menolak dan berkata tiada tuhan lain yang lebih agung dari
dirinya. Firaun berkata kepada menterinya, Haman untuk membina
bangunan batu bata yang tinggi supaya dia dapat melihat tuhan Musa -
Rujuk al Quran (28:38).
64) Itulah asalnya pembinaan piramid di Mesir. Firaun mencabar nabi Musa
untuk menunjukkan kekuasaan Tuhannya. Nabi Musa mencampakkan
tongkatnya dan ia bertukar menjadi ular yang sangat besar dan panjang
sehinggakan lidahnya boleh mencecah siling istana.
65) Orang ramai berteriak ketakutan. Firaun pun berkata, “Sihir! Ini
hanyalah sihir!” Kemudian firaun memanggil semua ahli sihir di Mesir untuk
menyaingi Musa. Persaingan itu ditetapkan pada hari perayaan Mesir di
tengah kota, di mana orang ramai akan berkumpul untuk menyaksikan
acara tersebut.
66) Pada hari persaingan antara ahli sihir itu, ada 70 ahli sihir yang datang.
Secara serentak, mereka mencampakkan tongkat mereka dan tongkat itu
bertukar menjadi ular kecil. Seluruh kota menjerit ketakutan. Bagi mereka
itu sudah cukup hebat.
67) Kemudian nabi Musa mencampakkan tongkatnya yang bertukar menjadi
ular yang paling besar di situ dan ia memakan semua ular kecil yang ada.
Semua yang melihat terkejut dan menjadi takut.
68) Firaun turut menyaksikan kejadian itu. Semua ahli sihir menjadi takut
dan berkata, “Itu bukanlah sihir! Itu sesuatu yang lain. Kuasa yang lebih
agung. Kami akan mengikut ajaran Musa dan beriman dengan Tuhannya!”
69) Kemudian ramai orang Mesir juga turut beriman kepada Allah. Firaun
tidak berpuas hati dan berkata bahawa semua ahli sihir menipu dan mereka
dari awal lagi sudah berkonspirasi dengan nabi Musa untuk menipunya.
70) Firaun berkata, “Berani kamu beriman kepada Allah sebelum aku
izinkan kamu? Sesungguhnya nabi Musa itu ketua kamu yang mengajar
kamu ilmu sihir; maka tahulah kamu akibatnya nanti. Aku akan memotong
tangan dan kaki kamu dengan bersilang kemudian aku akan memalang
kamu semua!” - Rujuk al Quran (26:49).
71) Ahli-ahli sihir dan rakyat Mesir yang baru sahaja dapat hidayah Allah
itu pun membalas, “Kami tidak takut dengan ugutanmu! Kerana kepada
Tuhan kamilah kembalinya kami.” - Rujuk al Quran (26:50).
72) Kemudian ke semua mereka yang sudah beriman dengan Allah
ditangkap, dipotong kaki, dipalang dan dibunuh.
73) Selepas kejadian itu, untuk mengelakkan nabi Musa dan pengikutnya
untuk terus menggoyahkan takhta firaun, tentera firaun dikerah untuk
membunuh setiap anak lelaki dari Bani Israel dan membiarkan wanita
mereka hidup.
74) Dan firaun meminta nabi Musa juga dibunuh kerana takut akan lebih
ramai orang yang menjadi pengikutnya.
75) Kemudian datang seorang ahli keluarga firaun yang dalam diam telah
beriman kepada Allah.
76) Dia cuba menasihatkan firaun dan untuk tidak membunuh nabi Musa.
Dia berkata, “Kau bersusah mahu menbunuh seorang lelaki hanya kerana
dia berkata Allah itu tuhannya? Biarkan dia hidup. Jika dia menipu,
penipuannya akan memakan dirinya sendiri. Tapi jika dia berkata benar
dan kau pula membunuhnya, habislah kau nanti.” Maka firaun dan
penasihatnya memutuskan untuk tidak membunuh nabi Musa.
77) Pada waktu ini, Bani Israel sudah semakin hilang semangat. Mereka
tertekan kerana semakin ramai orang mereka dibunuh.
78) Nabi Musa berkata, "Mintalah pertolongan kepada Allah dan
bersabarlah, sesungguhnya bumi ini kepunyaan Allah, diwariskannya
kepada sesiapa yang dikehendakiNya dari hamba-hambaNya; dan
kesudahan yang baik adalah bagi orang-orang yang bertaqwa" - Rujuk al
Quran (7:128).
79) Kemudian mereka berkata kepada nabi Musa, “Apa bezanya? Sebelum
kau datang kepada kami, firaun menyeksa kami dengan membunuh bayi
kami kerana tidak mahu kau lahir ke dunia.
80) Dan selepas kau datang kepada kami, firaun masih menyeksa kami
dengan membunuh anak-anak lelaki kami, juga disebabkan kau.
81) ” Nabi Musa pun menenangkan mereka dengan berkata, “Allah akan
membinasakan musuh kamu dan menjadikan kamu khalifah di bumi.
Tengoklah nanti.” - Rujuk al Quran (7:129).
82) Kemudian Allah menurunkan satu persatu hukuman ke atas firaun dan
pengikutnya.
83) Pertama, Allah menurunkan kemarau yang amat dahsyat. Ladang
tanaman rakyat Mesir tidak berbuah tetapi ladang Bani Israel berbuah
seperti biasa.
84) Kemudian orang Mesir berjumpa dengan nabi Musa dan berkata, “wahai
ahli sihir, minta dari tuhanmu untuk hilangkan kemarau ini. Jika hilang
kemarau ini, kami akan beriman dengan tuhanmu.” Maka nabi Musa pun
berdoa kepada Allah untuk menghilangkan kemarau di Mesir.
85) Setelah cuaca Mesir kembali normal, orang Mesir tidak beriman pun
kepada Allah, malah ketawakan nabi Musa sambil berkata, siapa suruh
percaya kami?
86) Kemudian Allah menurunkan pula bencana banjir. Habis musnah semua
rumah rakyat Mesir dilanda banjir namun rumah Bani Israel tidak terkesan
langsung.
87) Orang Mesir memanggil nabi Musa lagi, “Minta pada tuhan kau
untuk menghilangkan banjir ini, kali ini kami tidak akan mungkir janji
untuk beriman kepadanya.”
88) Maka nabi Musa pun berdoa kepada Allah. Setelah banjir surut,
orang Mesir enggan juga beriman kepada Allah dan tertawakan nabi
Musa sekali lagi.
89) Kemudian Allah menurunkan berjuta belalang perosak
sehinggakan waktu siang menjadi gelap kerana terlalu banyak
belalang berterbangan menutupi langit. Sekali lagi mereka meminta
nabi Musa menghilangkan bencana itu dan tetap tidak beriman
kepada Allah.
90) Kemudian Allah menurunkan malapetaka kutu. Berjuta kutu
menyerang orang Mesir dan membawa penyakit kutu. Sekali lagi
mereka meminta nabi Musa untuk menghilangkan malapetaka itu dan
setelah hilang, mereka tetap tidak beriman kepada Allah.
91) Kemudian Allah datangkan pula malapetaka katak. Katak di dalam
rumah, luar rumah, dalam makanan, bantal, baju, penyakit katak,
hujan katak, segalanya katak.
92) Begitu juga, mereka meminta tolong nabi Musa dan setelah malapetaka
itu hilang, enggan beriman kepada Allah.
93) Dan akhirnya, Allah menurunkan malapetaka darah. Setiap kali orang
Mesir mahu menyentuh air, air itu bertukar menjadi darah. Apabila mereka
mahu minum, terminum darah. Mahu mandi, mandi darah. Sehingga
kehidupan harian mereka bergelumang dengan darah.
94) Sepanjang hukuman Allah ini, Bani Israel tidak terkena satu pun.
95) Mereka hidup seperti biasa di tengah rakyat Mesir yang sedang hidup
huru hara. Kemudian sama seperti ini, mereka meminta tolong daripada nabi
Musa dan setelah malapetaka itu hilang, mereka mungkir janji untuk beriman
kepada Allah.
96) Raja-raja Mesir zaman dahulu mereka sentiasa berhias dengan segala
jenis barang kemas - emas, intan, berlian, batu permata - diatas kepala
mereka tidak sah jika tidak bertakhtakan emas.
97) Dan mereka mengikat hamba-hamba abdi dan mengerah mereka
membina piramid dan segala benda yang ada di Mesir.
98) Firaun yang bongkak berkata kepada pengikutnya. “Mengapa
Musa tidak ada satu pun emas di badannya? Dan mengapa dia tidak
mengikat para malaikat dengan tali untuk menyembahnya? Lihatlah
aku! Aku mengikat hamba-hambaku dan mereka semua
menyembahku, melakukan segala yang aku perintahkan!”
99)) Nabi Musa kesal dengan betapa bongkaknya firaun. Dan baginda
berdoa kepada Allah, sambil nabi Harun mengaminkan doanya,
"Wahai Tuhan kami! Sesungguhnya Engkau telah memberikan kepada
Firaun dan ketua-ketua kaumnya barang-barang perhiasan dan harta
benda yang mewah dalam kehidupan dunia ini.
100) Wahai Tuhan kami! (Kemewahan yang Engkau berikan kepada
mereka) akibatnya menyesatkan mereka dari jalanMu (dengan sebab
kekufuran mereka).
101) Wahai Tuhan kami! Binasakanlah harta benda mereka dan
meteraikanlah hati mereka (sehingga menjadi keras membatu), maka
dengan itu mereka tidak akan dapat beriman sehingga mereka melihat
azab yang tidak terperi sakitnya.” - Rujuk al Quran (10:88). Kemudian
Allah berfirman, “Sesungguhnya telah dikabulkan doa kamu berdua” -
Rujuk al Quran (10:89).
102) Kemudian Allah mengilhamkan kepada nabi Musa untuk membawa
Bani Israel keluar dari Mesir pada waktu malam ke tepi lautan.
103) Maka nabi Musa dengan secara senyap mengumpulkan Bani Israel
pada waktu malam untuk lari dari Mesir.
104) Mereka bertanya, “Kita mahu ke mana?”, nabi Musa berkata, “Ikut
sahaja. Cepat!”. Berita ini sampai ke telinga firaun dan dia menjadi marah.
105) Firaun berkata, “Tidak mengapa, pagi nanti saja kita kejar mereka.”
Kenderaan firaun dan tenteranya jauh lebih laju jadi pagi itu sekejap
sahaja mereka dapat mengejar Bani Israel di tepi laut.
106) Firaun datang dengan lebih 1.5 juta askarnya untuk mengejar Bani
Israel seramai 600,000 orang. Apabila firaun dan tenteranya semakin
menghampiri, ada di kalangan Bani Israel berkata, “Habislah kita!” Mereka
sudah mula risau.
107) Nabi Musa tercari-cari dari arah timur dan barat pantai, di mana
mereka boleh lalu untuk menyeberangi laut. Kemudian Allah
mengilhamkan kepada nabi Musa untuk mengetuk laut menggunakan
tongkatnya.
108) Apabila diketuk air laut itu, dengan kuasa Allah maka terbelah laut itu
menjadi dua, membentuk laluan untuk nabi Musa dan kaumnya berlari ke
seberang laut.
109) Firaun dan tenteranya menjadi takut. Apabila melihat dua bahagian
laut yang terbelah itu tinggi menggunung. Bani Israel pula sudah jauh
berlari, ada di antara mereka yang telah sampai di seberang laut.
110) Firaun pun berkata, “Apa tunggu lagi? Kejar!” Dan mereka pun meluru
masuk ke dalam belahan laut itu. Firaun sangat bongkak, dia yakin bahawa
dia boleh sampai ke seberang laut.
111) Nabi Musa telah sampai di seberang, lalu baginda mengetuk semula
air laut itu maka tertutup laluan tadi membanjiri askar-askar firaun.
Mereka menjerit terlolong dan akhirnya semua sekali tenggelam ke dasar
laut.
112) Di saat akhir nyawa firaun ketika dia sedang lemas, firaun berkata
dalam hatinya, “Aku percaya, bahawa tiada Tuhan melainkan yang
dipercayai Bani Israel, dan aku adalah dari orang-orang yang berserah diri”
- Rujuk al Quran (10:90).
113) Namun pintu taubat telah pun tertutup untuk firaun dan Allah tidak
menerima taubatnya.
114) Kemudian bumi bagaikan tidak menerima mayat firaun. Dalam berjuta
orang yang tenggelam di dalam laut, mayat firaun seorang sahaja yang
terapung.
115) Allah berfirman, "Maka pada hari ini, Kami biarkan engkau (hai Firaun)
terlepas dengan badanmu (yang tidak bernyawa, daripada ditelan laut),
untuk menjadi tanda bagi orang-orang yang di belakangmu (supaya mereka
mengambil iktibar).
116) Dan (ingatlah) sesungguhnya kebanyakan manusia lalai daripada
(memerhati dan memikirkan) tanda-tanda kekuasaan Kami!" - Rujuk al
Quran (10:92).
117)Mayat firaun diawet dan disimpan di keranda dalam piramid di Mesir,
dan ia kekal sehingga sekarang untuk tontonan kaum manusia sebagai
pengajaran tentang kekuasaan Allah.
Karya asal:
Saudari Sharifah Syazreen Syed Agail.
Saudara Syed Muzzamil Syed Anuar.
Terima kasih kerana
membaca.
Jangan lupa untuk membuat catatan ke dalam
Iq Nilam.
Pastikan anda membuat sinopsis cerita untuk
meningkatkan pemahaman anda.
Membaca
Jambatan
Ilmu.
Puan Hazatuladawia Habu Hassan.
Guru Bahasa Melayu
SK Datuk Haji Baginda.
#PerintahKawalanPergerakan
#DudukdiRumah
#COVID-19