The words you are searching are inside this book. To get more targeted content, please make full-text search by clicking here.
Discover the best professional documents and content resources in AnyFlip Document Base.
Search
Published by 752-3-athila, 2022-10-12 05:30:44

TUGASAN PERBINCANGAN MINGGU 10

TUGASAN PERBINCANGAN MINGGU 10

NUR ATHILA NABIHAH BINTI ZAWAWI
11D

PERBINCANGAN MINGGU 10

Jelaskan perkembangan teori sastera di Malaysia.

Kemasukan teori sastera dari Barat telah menjadi asal mula perkembangan awal
bidang ilmu teori sastera di Malaysia. Kemasukan teori-teori Barat melalui beberapa proses
seperti penulisan oleh para sarjana melalui buku terjemahan dan buku persendirian, sistem
pendidikan di institusi pengajian tinggi dan amalan kritikan umum oleh tokoh sarjana sastera.
Selain itu, kemasukan teori Barat ini juga mendapat sokongan daripada tokoh-tokoh sastera
negara seperti Muhammad Haji Salleh melalui buku yang telah diterjemahkan, iaitu Teori
Kesusasteraan: Satu Pengenalan oleh Terry Eagleton terbitan Dewan Bahasa dan Pustaka
(DBP).

Sewal tahun 1950-an, teori-teori moden kesusasteraan dari Barat mula muncul dalam
kesusasteraan Melayu di Malaysia. Kemunculan teori-teori ini agak lewat berbanding dengan
perkembangan kritikan yang muncul lebih awal, iaitu antara tahun 1930 dan 1940-an. Walau
bagaimanapun, dalam tahun 1960-an hingga 1980-an, teori-teori sastera Barat mula bertapak
dan menjadi sebahagian daripada keluarga sastera Melayu.

Muncullah dalam kalangan penulis, pengkritik dan pembicara sastera Melayu yang
mampu menguasai dan menjadi penganut teori-teori Barat. Mereka mengamalkan dan
menyebarkan teori-teori Barat ini dalam kalangan kritikawan muda sama ada melalui kuliah,
bengkel atau tulisan kritikan mereka (Sahlah Mohd Saman, 1997).

Pada dekad 1960-an, pendekatan kemasyarakatan mendapat tempat dalam kalangan
pengkritik tempatan selain pendekatan formalistik. Banyak tulisan yang dihasilkan
memanfaatkan pendekatan ini sebagaimana yang dihasilkan oleh Kassim Ahmad, Asraf,
Keris Mas, Ismail Hussein dan M Noor Azam. Fokus pengkritik pendekatan ini adalah untuk
memahami keadaan sosial sesebuah masyarakat dan reaksi karyawan terhadap perubahan-
perubahan di sekelilingnya.

Antara tokoh sastera tempatan yang muncul awal dalam bidang teori ialah Kassim
Ahmad iaitu sekitar tahun 1960-an dan secara serius berpegang kepada pendekatan
kemasyarakatan dalam kritikannya. Tulisan awal Kassim Ahmad yang berjudul
Kesusasteraan Melayu Baru dalam Masyarakatnya telah tersiar dalam majalah Bahasa
(Januari 1957). Fokus penulisannya adalah pada pendekatan kemasyarakatan yang
berteraskan aliran realisme sosialis dengan mengemukakan kritikan terhadap novel Musafir
dan Srengenge.

Dalam novel Musafir, beliau mengkritik dan tidak bersetuju penulis hanya
menggunakan watak-watak Melayu sahaja. Dalam kritikan tersebut juga beliau banyak
menggunakan istilah-sitilah sosiologi seperti kapitalis, proletaris, burjuis, reaksionar, dan
radikal. Kritikan terhadap novel Srengenge pula, beliau juga menganggap kematian Imam
Hamad dan kemenangan Srengenge bermakna penangguhan pemodenan kapitalisme akibat
penentangan masyarakat kampung. Selain itu, Kassim Ahmad juga mengkritik novel Salina
karya A Samad Said dan menjelaskan bahawa terdapat perkaitan di antara isi sejarah dengan
isi Salina itu sendiri. Beliau mengkritik dan tidak bersetuju dengan watak malang yang
menimpa Salina, sebaliknya beliau mahukan agar watak Salina mendapat pembelaan yang
sewajarnya.

Selain itu, Yahya Ismail juga menggunakan pendekatan kemasyarakatan dalam
kritikannya, antaranya ketika membicarakan novel Iakah Salmah. Dalam kritikan ini, Yahya
Ismail lebih memfokuskan persoalan kemasyarakatan dalam novel tersebut. Yahya melihat
bagaimana Salmah menunjukkan sikap dan pemikiran moden dan bagaimana reaksi
masyarakat pada ketika itu. Pada pandangan Yahya Ismail Salmah dianggap sebagai
manusia yang berjiwa revolusioner.

M. Noor Azam turut menggunakan pendekatan kemasyarakatan dalam kritikan beliau.
M. Noor Azam lebih cenderung membicarakan tentang tema dan persoalan, serta mengupas
karya berkenaan dari sudut hubungannya dengan kehidupan dan masyarakat yang
melahirkan karya tersebut. Di samping memperkatakan tentang karya sastera Melayu, M Noor
Azam turut memperkenalkan tokoh-tokoh barat seperti Goethe, Balzac, Thomas Mann dan
sebagainya.

Pada tahun 1970-an pendekatan sosiologi mula mendapat tempat dan tumpuan
adalah pada kehidupan kota dan desa. Hal ini kerana kebanyakan karya-karya seperti novel,
cerpen, atau sajak yang dihasilkan menyentuh kehidupan desa dan kota. Tokoh yang banyak
menggunakan pendekatan ini ialah Ramli Isin. Antara tulisannya seperti esei beliau yang
berjudul Imej Kota dalam Sastera Melayu Mutakhir dan kritikan terhadap novel Di Bawah
Bayang Kemboja.

Pendekatan formalistik atau pendekatan struktural juga mendapat tempat dalam
kalangan sarjana tempatan. Di Malaysia, Hashim Awang menggunakan istilah struktural
manakala Yahya Ismail menterjemahkannya sebagai pendekatan antologikal. Dalam
pendekatan ini, pengkritik melihat karya dari aspek struktur atau bentuk karya seperti tema,
plot, watak, gaya bahasa dan beberapa unsur lain.

Yahya Ismail merupakan antara pengkritik yang mula-mula memberi tumpuan
terhadap pendekatan formalistik. Menurut Baharuddin Zainal corak kritikan oleh Yahya Ismail
bersifat new criticism iaitu kritikan yang melihat karya sastera sebagai benar-benar suatu
karya sastera. Walau bagaimanapun, tulisan Yahya Ismail dianggap tidak sepenuhnya
menggunakan pendekatan formalistik. Hal ini kerana Yahya Ismail bukan sekadar
menggunakan kritikan praktis tetapi turut menyentuh tentang pengarang, latar masyarakat
dan tempat peristiwa dalam karya itu berlaku. Umpamanya, ulasannya dalam novel Rentung,
beliau menyebut bahawa Kampung Banggul Derdap merupakan tempat kelahiran penulisnya
dan mengupas persoalan yang terdapat dalam Rentung, Hal ini menunjukkan bahawa
penulisan kritikan formalistik oleh Yahya Ismail banyak bercampur baur dengan pendekatan
lain seperi biografi, sosiologi dan moral. Dalam pendekatan formalistik atau pendekatan
struktural oleh Hashim Awang, beliau telah memperkatakan novel Keluarga Gerilya karya
Pramoedya Ananta Toer dengan memfokuskan aspek plot. Hashim Awang membahagikan
plot novel Keluarga Gerilya kepada tujuh peringkat: permulaan, pertikaian dan perumitan,
perkembangan, tegangan, puncak, tegangan akhir dan peleraian. Menurut Hashim Awang
permulaan novel ialah bahagian pengenalan terhadap watak-watak seperti Amilah dan
sebagainya. Beliau turut menjelaskan bahawa konflik yang terdapat dalam novel berkenaan
adalah konflik antara manusia dengan manusia manusia dengan perjuangan dan konflik jiwa
manusia.

Mohd Affandi Hassan juga merupakan seorang pengkritik yang menggunakan
pendekatan formalistik. Beliau merupakan pengkritik yang keras, tidak bertolak ansur, tidak
simpati terhadap penulis, dan gemar menghukum. Pegangan prinsip beliau ialah tiada tolak
ansur dalam kritikan. Mohd Affandi Hassan mengkritik novel Seroja Masih Di Kolam karya
Adibah Amin sebagai novel yang amat lemah kerana watak-wataknya terdiri daripada
golongan remaja. Begitu juga kritikan beliau terhadap novel Pertentangan karya S Othman

Kelantan yang gagal mengemukakan teknik dan struktur novelnya dengan baik. Peristiwa
yang dikemukakan adalah melompat-lompat dan tidak ada perpaduan yang rapat antara satu
sama lain. Aspek bahasa dalam novel S. Othman Kelantan juga dianggap lemah kerana
terdapat penggunaan ayat tergantung. Mohd Affandi Hassan merumuskan bahawa novel
Pertentangan adalah sebuah novel yang gagal.

Ramli Isin mengaplikasikan pendekatan formalistik dalam tulisannya dan memberi
tumpuan terhadap kritikan puisi yang melibatkan teknik termasuk gaya bahasa, perubahan
visual, tema dan persoalan-persoalan dalam karya. Dalam bidang cerpen dan novel, beliau
melihat aspek plot, perwatakan dan bahasa. Beliau melihat novel Lingkaran sebagai sebuah
novel yang mempunyai kelebihan dari aspek tema dan persoalan. Plot novel Lingkaran
didapati menarik kerana Arena Wati berjaya menampilkan teknik permainan catur untuk
mengembangkan konflik batin watak-wataknya. Ramli Isin mengaitkan aspek plot dan
perwatakan novel Lingkaran sebagai novel yang mempunyai struktur yang kemas dan
berjaya. Menurut Ramli Isin Arena Wati menggunakan gaya bahasa yang sederhana dan
mudah difahami. Baharuddin Zainal mengaplikasikan pendekatan kemanusiaan atau
psikologi dalam kritikannya terhadap sajak Padamu Jua karya Amir Hamzah. Menurut
Baharuddin Zainal, Amir Hamzah adalah penyair mistik yang menggunakan lambang-
lambang tradisional dalam bentuk sinis dan individualistik. Selain daripada karya sastera,
Baharuddin Zainal juga melihat fakta-fakta sejarah peribadi penyair Amir Hamzah. Menurut
Baharuddin Zainal, Amir Hamzah menulis Padamu Jua sebagai mencari pelepasan dari realiti
yang menekan keinginannya baik secara sedar atau tidak. Dalam hal ini Baharuddin Zainal
melihat sajak Padamu Jua adalah penjelmaan unconcious (bawah sedar) penulisnya, iaitu
Amir Hamzah.

Hashim Awang turut beralih dan memberikan sumbangan terhadap pendekatan
psikologi, dan beliau telah menghasilkan penulisan yang bertajuk Freud dan Kesusasteraan
Melayu, iaitu esei yang memperkatakan tentang teori Freud. Tulisan ini menjelaskan
bagaimana peranan pengarang terhadap karyanya. Dalam hal ini, Hashim Awang mengaitkan
pendekatan kemanusiaan dengan pendekatan psikoanalisis Barat yang dipelopori oleh Freud.
Tulisan Hashim Awang ini telah berjaya mendapat perhatian pengkritik Malaysia untuk
mengaplikasikan pendekatan ini dalam kritikan mereka.

Selain itu, Hashim Awang juga mengkritik sajak Baha Zain, iaitu Menangguhkan
Kebenaran kerana mengandungi imej-imej yang dikaitkan dengan kegelapan dan
penelanjangan. Begitu juga kritikan beliau terhadap cerpen Jalan Lain ke Syurga karya Yahya
Ismail yang mengisahkan tentang fantasi seorang bapa yang memperkosa anak
perempuannya. Anak itu mengambil keputusan untuk membunuh bapanya tetapi si bapa
terlebih dahulu terjun dari bangunan.

Dalam kritikannya terhadap novel Juara karya S Othman Kelantan, Hashim Awang
memfokuskan terhadap cerita terutamanya hubung kait watak-watak penting dengan tindak
tanduk mereka. Dalam novel Juara, beliau melihat wujudnya unsur pemenuh keinginan.
Umpamanya peristiwa perlagaan lembu adalah memperlihatkan unsur simbolik terhadap
watak Mamat. Mamat terpaksa mengalah kepada kehendak idnya untuk menjadi juara politik
sebaliknya menjadi juara lembu. Dalam konteks ini, Hashim Awang menjelaskan bahawa
novel Juara sebenarnya menjadi pemenuh keinginan penulisnya S. Othman Kelantan untuk
menjadi tokoh politik.

Pendekatan moral pula mengaitkan aspek tentang norma, nilai nilai serta sistem
kepercayaan seperti agama bagi masyarakat yang memiliki dan mengamalkannya.
Kebanyakan pengkritik pendekatan moral hanya menyentuh secara sepintas lalu atau
menyelitkan pandangannya terhadap aspek moral pada karya yang dikritik. Dalam kritikan,

pendekatan moral diaplikasikan secara bercampur aduk dengan pendekatan sosiologi.
Umpamanya Baharuddin Zainal ketika mengkritik sajak Sidang Roh dan Penyairmu karya
Kassim Ahmad telah menekankan aspek kemasyarakatan seperti latar sejarah dan politik,
serta mesej yang terdapat dalam sajak tersebut.

Dalam pendekatan ini, Shahnon Ahmad melihat sajak-sajak Kassim Ahmad
mengandungi unsur ketuhanan yang merujuk kepada kemurnian, kesempurnaan, dan
keluasan daerah dan keimanan. Dalam sajak Sidang Roh, Shahnon Ahmad menyatakan
bahawa sajak tersebut menjelaskan tentang persoalan kesesatan hidup. Manakala dalam
novel Salina, Shahnon menjelaskan bahawa Salina menjadi pelacur bukan akibat peperangan
tetapi disebabkan kekosongan iman. Salina telah kemabukan rasa dan sengaja
menjerumuskan dirinya ke lembah pelacuran. Salina sanggup menjadi pelacur dan
menyimpan jantan seperti Abdul Fakar.

Perkembangan pendekatan moral di Malaysia pada tahun 1970 an memberi tumpuan
pada aspek sastera Islam. Antaraya, Shahnon Ahmad memperkenalkan pendekatan moral
yang tertumpu kepada sastera Islam. Beliau menyeru kepada penghasilan karya kerana Allah
dan berhikmah untuk manusia. Ekoran daripada gagasan ini telah mewujudkan polemik di
antara Kassim Ahmad dengan Shahnon Ahmad. Shahnon Ahmad menghasilkan buku
Kesusasteraan dan Etika Islam sebagai garis panduan sastera Islam. Tetapi, sebaliknya
Kassim Ahmad tidak bersetuju dengan pandangan Shahnon kerana bagi beliau sastera Islam
harus dilihat dalam bentuk yang lebih terbuka dan bercanggah dengan idealisme Shahnon
Ahmad.

Sejak sekian lama kesusasteraan di Malaysia bertumpu atau bergantung kepada teori
sastera dan pendekatan kritikan Barat. Walau bagaimanapun, pada penghujung tahun 1980-
an, para sarjana sastera di Malaysia mula menyedari kelemahan teori sastera Barat. Hal ini
diakui oleh tokoh-tokoh sastera tempatan seperti Hashim Awang, Muhammad Haji Salleh,
Abdul Rahman Hanapiah (Mana Sikana), Shafie Abu Bakar dan Mohd. Affandi Hassan.

Mereka mendapati teori-teori sastera Barat amat sukar untuk melihat pandangan
hidup masyarakat Melayu yang terdapat dalam karya-karya sastera Melayu diteroka dengan
sebaik-baiknya kerana teori dan kritikan Barat tidak sampai kedalaman jati diri Melayu dan
Islam. Malah teori-teori dan pendekatan moden Barat tidak menyediakan ruang yang jelas
untuk melihat jauh ke dalam karya-karya sastera Melayu.

Hashim Awang (1997) menjelaskan bahawa teori-teori kesusasteraan Barat tidak
lengkap, bersifat berat sebelah dan hanya memberi perhatian kepada satu-satu aspek sahaja.
Mana Sikana (1998) pula melihat pengaruh teori-teori Barat dalam kesusasteraan Melayu
sebagai sesuatu yang tidak wajar kerana teori-teori sastera Barat memperlihatkan konsepsi
sastera Melayu yang tidak ada jati diri dan kurang seiring dengan konteks sosiobudaya di
negara ini.

Menurut Zurinah Hassan (2019), pada akhir abad ke-20, para sarjana mula mendapati
bahawa tidak semua teori sastera Barat boleh digunakan untuk mengkritik sastera Melayu.
Mereka mula mendapati bahawa ada aspek teori yang menimbulkan masalah. Hal ini terjadi
kerana teori-teori itu berlandaskan ciri-ciri sejarah, agama, dan kebudayaan yang tidak sesuai,
malah bertentangan dengan sastera Melayu. Misalnya terdapat penulis teori yang dipengaruhi
oleh agama Kristian dan Yahudi dalam melahirkan konsep-konsep mereka. Ada pula teori-
teori yang menentang semua agama, umpamanya yang ada kaitan dengan pandangan
falsafah Friedriche Nietzsch, bahawa Tuhan itu tidak ada dan sudah lenyap. Unsur-unsur
kebudayaan dalam teori teori sastera mungkin juga akan menimbulkan masalah jika konsep

konsep yang dipinjam oleh pengkritik berasal daripada kajian masyarakat Barat dan bukan
daripada kajian masyarakat Melayu Nusantara atau negara-negara Timur amnya.

Selain itu, sarjana-sarjana tempatan juga mendapati terdapat beberapa kelemahan
lain dalam teori Barat, antaranya;

1) Teori Barat hanya memfokuskan pada satu-satu aspek dan tidak menyeluruh
2) Teori Barat tidak mengambil kira aspek agama dan bersifat sekular
3) Asas pembentukan teori Barat tidak kukuh, hanya berdasarkan kepada pengalaman,

mimpi dan pemikiran di bawah sedar
4) Teori Barat dan persekitarannya tidak sesuai untuk mengkritik karya sastera Melayu,

khususnya yang bersifat Islamik

Menurut Mana Sikana (dalam Zurinah Hassan, 2019), dalam mengkaji sastera tempatan,
didapati teori-teori Barat juga banyak kekurangannya, iaitu:

1) Terdapat teori-teori yang sudah terlalu lama dan tidak berkembang lagi seperti
pendekatan sejarah dan moral

2) Terdapat teori-teori yang digunakan sudah terlalu dominan dan tiada perubahan
seperti pendekatan formalistik

3) Terdapat teori-teori yang telah mengalami perubahan dan perkembangan, seperti teori
psikoanalisis dan sosiologi

4) Terdapat teori-teori yang sudah kurang berfungsi untuk menganalisis karya-karya
sastera Melayu yang baharu

Oleh itu, teori-teori sastera tempatan amat diperlukan untuk melihat karya-karya tempatan,
lebih-lebih lagi memberi makna terhadap unsur yang intrinsik dalam karya-karya penulis
Melayu Islam. Justeru, muncul kesedaran akan keperluan untuk memiliki teori sastera dan
teori kritikan Melayu yang tersendiri dan sesuai dengan unsur setempat.

Kecenderungan untuk menggunakan pendekatan baharu ini wujud apabila pada
penghujung tahun 1970-an berlaku polemik kesusasteraan Islam antara Shahnon dan Kasim
Ahmad yang telah mencetus benih teoretikal dalam kerangka pembinaan teori-teori
kesusasteraan Melayu berasaskan Islam dan jati diri Melayu di negara ini. Ekoran daripada
cetusan ini, pada penghujung tahun 1989 hasil daripada kajian Muhammad Haji Salleh
muncul pula gagasan teoretikal tentang makna kesusasteraan Melayu, iaitu 'Puitika Sastera
Melayu. Selepas Muhammad Haji Salleh, muncul pula Hashim Awang dengan Pengkaedahan
Melayu, Shafie Abu Bakar dengan teori Takmilah, Mana Sikana dengan teori Teksdealisme
dan Mohd Affandi Hassan dengan Pendidikan Estetika daripada Pendekatan Tauhid. Sohaimi
Abd Aziz juga turut menyumbang pembangunan dan perkembangan teori kesusasteraan
Melayu dengan mengemukakan teori Rasa Fenomenologi, teori Konseptual Kata Kunci oleh
Mohamad Mokhtar Hasan, teori Fitrah Gerak oleh Sahlan Mohd. Saman, teori Sastera
Warisan oleh A. Wahab Ali, teori Pemikiran Saintifik SPB4L/4K oleh Mohd. Yusof Hassan dan
yang terbaharu ialah teori Estetika Bersepadu oleh Abdul Halim Ali (A. Halim Ali, 2020b).

Teori-teori kesusasteraan dan kritikan Barat tidak mungkin dapat menjangkau ketinggian
falsafah kehidupan orang-orang Melayu dan Islam. Shahnon Ahmad ialah tokoh terawal yang
memisahkan diri daripada teori-teori Barat dan mengisytiharkan diri sebagai peminat serta
pengamal sastera Islam. Penyair-penyair tahun 1980-an seperti Kemala, Suhaimi Haji
Muhammad juga telah beralih kepada puisi-puisi berunsur Islam. Tokoh-tokoh lain yang telah
memberi sumbangan besar kepada pembinaan teori sastera Melayu berlandaskan Islam
selepas Shahnon ialah antaranya seperti Mohd. Affandi Hassan, Shafie Abu Bakar dan
Hashim Awang. Teori Takmilah oleh Shafie Abu Bakar dan Teori Persuratan Baru oleh Mohd

Affandi Hassan dibina berasaskan nilai Islam. Manakala teori Pengkaedahan Melayu oleh
Hashim Awang pula menggabungkan nilai Melayu dan Islam sebagai asas pembinaan.

Teori Puitika Sastera Melayu diasaskan pada tahun 1989 oleh Muhammad Haji Salleh
yang juga Sasterawan Negara adalah bertunjangkan kepada konsep keindahan yang
mendasari sastera Melayu tradisional. Beliau pernah berkhidmat sebagai profesor sastera
Melayu di Jabatan Persuratan Melayu, Universiti Kebangsaan Malaysia pada tahun 1989.
Menurut Abdul Halim Ali (2020a), teori ini telah membantu pembaca dan pengkritik untuk
mengkaji karya-karya kesusasteraan Melayu bertujuan untuk mengangkat nilai keindahan
teks kesusasteraan Melayu. Pada masa yang sama teori ini juga mencari makna di sebalik
keindahan tersebut dengan aspek-aspek yang berada di luar teks seperti budaya, sikap,
pandangan hidup, sejarah dan alam kitar dalam masyarakat Melayu.

Sifat 'kemelayuan' teori Puitika Sastera Melayu kuat mendominasi idea utama
Muhammad. Daripada sumber teks sastera Melayu tradisional ini jugalah Muhammad
merumuskan keindahan sastera Melayu kepada beberapa ciri berikut;

Umumnya, terdapat lima ciri puitika sastera Melayu, iaitu;

1) Keindahan dalam mengajar atau mendidik
2) Keindahan dalam pengungkapan kesedihan dan kesusahan
3) Keindahan dan penceritaan
4) Keindahan dalam rasa
5) Keindahan yang asli

Ciri-ciri puitika sastera Melayu ini membuktikan kewujudan ciri ciri estetika yang membina
makna teks. Ciri-ciri keindahan menjadi teras puitika kesusasteraan Melayu berdasarkan teks
puisi dan prosa Melayu tradisional yang dikaji oleh Muhammad Haji Salleh. Dengan kata lain,
teori ini menjadi kunci untuk pengkaji mencari jawapan kepada sifat dan ciri-ciri kesusasteraan
Melayu yang merangkumi karyanya, pengarang, wadah, estetika, khalayak dan bangsa
Melayu itu sendiri.

Teori Pendidikan Estetika oleh Mohd Affandi Hassan meneliti karya sastera daripada segi
maknanya kepada pembentukan kehidupan manusia yang beradab. Menurut Mohd. Affandi
(dalam Abdul Halim Ali, 2013) kesusasteraan menjadi bahan, manakala pendidikan sebagai
alat dan adab Islam sebagai matlamat estetika. Apabila menghubungkan konsep pendidikan
estetika ini, maka didapati bahawa ia terasas daripada estetika Islam. Sebagaimana Bukhari
dalam periwayatannya mengemukakan hadis Rasulullah SAW yang bermaksud
'bahawasanya Allah itu Indah. Dia sukakan Keindahan'. Jelasnya, konsep estetika dalam
gagasan teoretikal Mohd Affandi ini adalah berlandaskan kepada estetika Islam yang
mengandungi unsur-unsur Keindahan Allah SAW yang tergambar daripada sifat-sifat-Nya
seperti Jamal (indah, keindahan), Nazif (bersih), Karim (Mulia) dan sifat afal-Nya seperti
Tayyib (bagus, baik), Jawad (dermawan). Rahmat (Kurnia) yang semuanya menunjangi
segala unsur keindahan di dunianya.

Hal ini menjelaskan bahawa gagasan pendidikan estetika oleh Mohd. Affandi adalah
berasaskan Islam yang bersumberkan al-Quran yang penuh kebenaran dan meyakinkan.
Oleh itu, Mohd Affandi menolak teori estetika Barat yang dianggap sebagai gagal membawa
manusia mengenal hakikat diri dan Penciptanya. Hal ini kerana kesusasteraan juga
sebagaimana amalan-amalan yang lain yang perlu dijuruskan kepada pengabdian kepada
Allah.

Kemunculan teori Persuratan Baru juga oleh Mohd Affandi adalah merupakan hasil
pemurnian dan pemantapan idea-idea awal dalam kajian-kajian yang dilakukan oleh beliau

sebelumnya. Mohd. Affandi cuba memahamkan tentang sifat dan bentuk kesusasteraan dan
keintelektualan Melayu yang terperangkap dalam kerangka pemikiran orientalis yang
dianggapnya sebagai kosong tidak bermakna dan mengelirukan.

Oleh itu, kemunculan teori ini adalah kerana kekecewaannya terhadap kedangkalan
intelektualisme Melayu dan rasa tanggungjawab beliau untuk memperbetulkan keadaan dan
berharap agar kegiatan ilmu dan sastera Melayu tidak sia-sia, sebaliknya lebih jelas
matlamatnya, beradab, terkawal, beretika dan mendukung pemikiran yang tinggi.

Teori Persuratan Baru ini membawakan konsep ilmu dan cerita dan banyak kajian
akademik yang telah dilakukan oleh pengkaji-pengkaji, antaranya pengkaji ingin melihat
secara halus dari segi kualiti kandungan ilmu yang terdapat dalam sesebuah karya (Abdul
Halim Ali, 2020a).

Teori Takmilah oleh Shafie Abu Bakar juga digerakkan atas asas agama (Islam). Prinsip
asas teori ini ialah tauhid. Tauhid ialah paksi yang mencirikan keislaman dan membezakannya
daripada agama dan pegangan-pegangan yang lain (Shafie Abu Bakar, 1995). Tauhid
menjadi pusat yang mengembalikan segala tindak tanduk, pengucapan dan niat seseorang
Islam. Tauhid juga yang memancarkan sinar keislaman daripada sebarang perilaku, tindakan
dan perbuatan seseorang manusia. Kemunculan teori ini telah merupakan satu alternatif
kepada para sarjana dan pengkritik untuk melakukan kajian. analisis, ulasan dan kritikan
berasaskan prinsip-prinsip keislaman.

Dalam hal ini, Teori Takmilah telah diaplikasikan ke atas antologi puisi Kau dan Aku karya
A. Aziz Deraman. Menurut Shafie Abu Bakar, antologi ini berjaya menemui hubung kait
persoalan yang boleh dipadankan dengan lunas-lunas teoritikal (Abdul Halim Ali, 2020a). Bagi
menghalusi dan memakna teori ini agar berfungsi sebagai sebuah teori kritikan sastera Islam,
Shafie mengemukakan beberapa prinsip teori sebagai asas kritikan. Prinsip-prinsip tersebut
ialah prinsip Ketuhanan yang bersifat Kamal, prinsip Kerasulan yang bersifat Kamil, Prinsip
Keislaman yang bersifat Akmal, prinsip ilmu dengan sastera yang bersifat takamul, prinsip
sastera sendiri yang bercirikan estetika dan bersifat takmilah, prinsip pengkarya yang
seharusnya mengistikmalkan diri dan prinsip khalayak yang bersifat memupuk sifat insan
kamil (Shafie Abu Bakar, 1997). Dalam hubungan ini, teori Takmilah bertindak dengan dua
peranan yang amat akrab iaitu menghubungkan segala aspek yang terlibat dalam proses
kepengkaryaan dengan Allah.

Teori Takmilah berasaskan Islam dalam rangka falsafah ketauhidan dan ditauti beberapa
sifat Allah seperti Kamal, Jamal, Alim, Qadir, Qahhar dan Jalal, kemudian melewati sifat-sifat
Rasul, Islam dan ilmu lalu menyerap masuk ke setiap ruang amalan kesusasteraan
(pengkarya, karya dan khalayak). Kritikannya merupakan satu 'perjalanan pulang daripada
amalan kesusasteraan (pengkarya, karya dan khalayak) ke peringkat ilmu, agar ilmu
kesusasteraan itu bermanfaat dan bersifat benar, kemudian menyesuaikan diri di peringkat
kerasulan, agar pengkarya atau khalayak mencapai tahap insan Kamil dan akhirnya bertaut
pada ketauhidan yang menjadi kemuncak kesempurnaannya.

Teori Pengkaedahan Melayu yang dikemukakan oleh Hashim Awang juga berlandaskan
dan berasaskan kepada Islam. Teori Pengkaedahan Melayu terbahagi kepada dua
pengkaedahan, iaitu Pengkaedahan Alamiah dan Pengkaedahan Keagamaan. Dalam setiap
pengkaedahan ini terdapat pula pendekatan-pendekatan yang menunjuk jalan teoretikalnya.
Meskipun teori ini disebut dengan nama pengkaedahan Melayu, namun persoalan agama
Islam disepadukan.

Memahami kesusasteraan Melayu memerlukan pengkritik mengamati teks dengan cara
mendalami sosiobudaya dan sistem hidup masyarakat Melayu itu sendiri termasuk agama

Islam yang dianuti. Faktor-faktor alamiah banyak menyumbang kepada pembentukan nilai
dan citra, budi dan jati diri orang-orang Melayu serta keintiman mereka dengan kehidupan di
sekelilingnya. Hasil keintiman itulah lahirnya pengungkapan-pengungkapan estetik yang
tinggi nilainya. Paling ketara pengucapan dan reaksi ini ditimbulkan dalam pelbagai bentuk
sastera moden, sastera yang lebih bebas, tetapi tetap memelihara unsur-unsur keindahan
dalam nada kias ibarat (Hashim Awang, 1997). Sebagai seorang Melayu yang beragama
Islam, pengucapan-pengucapan ini harus dihubungkaitkan dengan agama Islam yang
menjadi anutan kepercayaan orang-orang Melayu.

Sekian lama teori-teori dari Barat mendasari pemikiran intelektual Melayu dalam melihat
dan meneroka teks karya Melayu sehingga banyak ruang yang kosong yang gagal ditampung
oleh teori-teori Barat. Justeru menyedari akan kelemahan yang terdapat dalam teori-teori
Barat menyebabkan para intelektual dan pemikir Melayu mula mencari ruang dan peluang
untuk membina sendiri teori-teori bagi melihat dan meneroka hasil karya sastera Melayu agar
selaras dengan cara hidup, cara fikir, budaya dan agama yang dianuti oleh orang-orang
Melayu, iaitu Islam. Maka muncullah tokoh-tokoh dan teori-teori seperti, antaranya ialah teori
Takmilah oleh Shafie Abu Bakar, teori Persuratan Baru oleh Mohd Affandi Hassan, teori
Pengkaedahan Melayu oleh Hashim Awang, teori Puitika Sastera Melayu oleh Muhammad
Haji Salleh dan lain-lain.


Click to View FlipBook Version