BERSAMA
UNIT BIMBINGAN & KAUNSELING
MAKTAB SABAH
PETI SURAT 10548
88806 KOTA KINABALU, SABAH
(MOTIVASI KECEMERLANGAN PELAJAR)
CABARAN KECEMERLANGAN PELAJAR
Setiap pelajar inginkan kecemerlangan. Kecemerlangan tidak akan tercapai jika kita tidak membuat
perancangan untuk menjadi cemerlang. Sesungguhnya setiap pelajar adalah dijadikan oleh Allah
Taala dengan sebaik-baik makhluk berbanding makhluk-makhluk yang lain. Tetapi ramai antara kita
yang lupa bahawa kita dijadikan oleh Allah Taala dengan darjah dan martabat yang paling tinggi
untuk menjadi pemimpin di atas muka bumi ini. Jadi mengapakah kita tidak boleh cemerlang?
Sebagai seorang pelajar, cabaran yang dihadapi sebelum memperolehi kecemerlangan tidak pernah
berakhir. Untuk mencapai kejayaan, pelajar perlu membuat perancangan tentang masa depan.
Pelajar tidak boleh menyerahkan kepada nasib semata-mata. Orang lain tidak boleh menentukan
kecemerlangan masa depan kita. Ibu bapa dan guru-guru hanya boleh memberi galakan untuk kita
berjaya. Berjaya atau tidaknya kita untuk menjadi pelajar yang cemerlang bergantung kepada diri kita
sendiri.
Kecemerlangan sebenarnya perlu bermula dengan keyakinan pada diri sendiri. Keyakinan untuk
memperolehi segala yang dirancang dan diimpikan. Apabila kita yakin pada diri sendiri dengan
sendirinya kita akan mempunyai minda yang positif bukannya suatu angan-angan kosong sahaja.
Apabila pelajar telah mempunyai keyakinan dan percaya kepada diri sendiri maka pelajar dapat
mengatur langkah-langkah tindakan satu persatu bagi mencapai kejayaan yang diinginkan.
Ilmu adalah lebih utama daripada harta.
Ilmu menjagamu sedangkan kau harus menjaga hartamu. Harta akan berkurang bila kau nafkahkan.
Demikian pula budi yang ditimbulkan dengan harta akan hilang dengan hilangnya harta.
Makrifat ilmu, seperti juga agama merupakan pegangan hidup terbaik.
Dengannya orang akan beroleh ketaatan dan penghormatan sepanjang hidupnya serta nama harum
setelah wafatnya. Ilmu adalah hakim dan harta adalah sesuatu yang dihakimi.
Saidina Ali.
Kecemerlangan yang dirancang semestinya bukan di dalam bidang akademik semata-mata.
Sebaliknya, kecemerlangan yang diharapkan oleh ibu bapa, guru, masyarakat dan negara adalah
kecemerlangan secara menyeluruh. Ini termasuklah cemerlang di dalam bidang akademik, cemerlang
dalam tingkah laku, prihatin dan bertimbang rasa terhadap kepentingan orang lain, aktif di dalam
pergaulan , beriman dan bertakwa serta cergas dari segi kesihatan fizikal dan mental.
Untuk mencapai kecemerlangan kita perlu mempunyai sikap yang positif. Ramai pelajar yang tidak
mempunyai sikap yang positif untuk mencapai kecemerlangan. Di antara sikap-sikap negatif yang
sering menjadi penghalang kepada kecemerlangan ialah;
AKU TIDAK BOLEH MENJADI PELAJAR CEMERLANG.
Pelajar tidak yakin dirinya boleh menjadi pelajar cemerlang. Bagi mereka kejayaan adalah untuk
orang lain atau bangsa lain. Apalagi jika pelajar tersebut datang dari keluarga yang miskin atau
kurang berada. Pelajar seperti ini selalunya tidak yakin pada kebolehan diri sendiri dan selalu merasa
rendah diri.
Sikap negatif ini perlu dibuang jauh-jauh. Pelajar perlu sedar Tuhan menjadikan kita sama sahaja.
Pelajar boleh mencapai setiap impian dan apa-apa yang diimpikan . Kita bukan lagi golongan mundur
di dalam pelajaran. Hari ini sudah ramai cerdik pandai dalam kalangan kita yang sudah berjaya, maju
dan berupaya mengatasi bangsa-bangsa lain di dalam berbagai bidang.
MUDAH MERASA PUAS DENGAN APA YANG DICAPAI.
Pelajar tidak akan mencapai kecemerlangan jika cepat berpuas hati dengan pencapaian yang
diperolehi. Sepatutnya pencapaian ini menjadi pendorong untuk mencapai kejayaan yang lebih
gemilang. Budaya cepat berpuas hati ini juga menghalang pelajar untuk mencapai kejayaan yang
lebih tinggi.
TIDAK BERCITA-CITA TINGGI.
Pelajar tidak mempunyai cita-cita yang tinggi. Bagi mereka cita-cita tinggi itu pasti akan ditertawakan
oleh orang lain atau mustahil untuk dicapai. Pelajar perlu sedar setiap impian dan cita-cita pasti akan
tercapai suatu hari nanti. Tidak ada sesiapa pun yang boleh mencapai cita-citanya dalam sekelip
mata.
Sebenarnya untuk mencapai cita-cita tersebut, kita perlu berusaha dan mungkin memerlukan masa
yang lama untuk memperolehinya. Pelajar disarankan agar mencatatkan setiap langkah yang diambil
untuk memenuhi cita-cita tersebut. Ini akan memberikan kekuatan semangat, keazaman yang
berkobar-kobar dan minda yang terbaik sebelum pelajar boleh mencapai cita-cita tersebut.
BERCITA-CITA TINGGI TAPI TIDAK MEMBUAT APA-APA TINDAKAN.
Ada juga pelajar yang cita-citanya tinggi melangit tetapi tidak membuat apa-apa untuk mencapainya.
Mereka hanya pandai merancang tetapi tidak pernah bertindak dan berusaha untuk memenuhi cita-
cita tersebut. Semua perancangan yang dibuat sedringkali ditangguh-tangguh. Pelajar seperti ini
sebenarnya berangan-angan kosong tanpa berusaha untuk berjaya.
UNTUK MENJADI CEMERLANG
Mesti Mempunyai Otak Yang First Class.
Anggapan ini sering berada difikirkan kebanyakan pelajar. Mereka menganggap
kecemerlangan bergantung kepada faktor-faktor tertentu seperti keturunan dan
persekitaran. Contohnya ada yang mengatakan seseorang pelajar itu mencapai
kecemerlangan di dalam pelajarannya kerana dia dilahirkan dilahirkan dalam
keluarga yang memang bijak pandai atau keluarga yang mempunyai otak yang
bergeliga.
Sebenarnya ramai pelajar yang cemerlang adalah berasal dari keluarga yang tidak
berpelajaran atau keluarga yang kurang bijak. Pencipta kereta yang terkenal, Henry
Ford misalnya tidak bersekolah tinggi dan dianggap orang berpendidikan rendah dan
bodoh semasa usia mudanya. tetapi beliau berjaya membina kereta sehinggakan
kita semua dapat menikmati hasil ciptaan beliau sehingga hari ini.
Pelajar Perlu Menjadi Ulat Buku.
Ramai pelajar yang membuat tanggapan bahawa untuk cemerlang mereka mesti
menjadi ulat buku. Mereka tidak boleh melibatkan diri di dalam aktiviti persatuan
atau sukan. Mereka hanya perlu menumpukan kepada pelajaran sahaja.
Sebenarnya tanggapan ini juga adalah salah kerana telah terbukti pelajar yang
mendapat keputusan yang cemerlang di dalam pelajaran adalah aktif di dalam
berbagai bidang seperti kelab, persatuan dan sukan. Faktor yang penting adalah
pelajar mesti pandai menguruskan masa yang ada dengan cekap dan berkesan.
Pelajar Perlu Kepada Suasana Persekitaran Yang Baik.
Terdapat pelajar yang gagal di dalam pelajaran menyalahkan kepada semua
persekitarannya yang tidak baik sebagai punca kegagalannya. Ada pelajar yang
gagal untuk cemerlang menyalahkan keluarganya yang miskin dan tidak
berpelajaran, sekolahnya yang buruk dan terletak di luar bandar atau guru-guru
disekolahnya yang tidak pandai mengajar.
Sebenarnya anggapan-anggapan sebegini jika dibiarkan berterusan akan
menyebabkan pelajar tidak berusaha bersungguh-sungguh dan mudah berputus asa.
Sejarah telah membuktikan bahawa orang yang berjaya di dalam hidup adalah
mereka yang mampu menghadapi dan menangani masalah-masalah tersebut
secara bijaksana. Pelajar sepatutnya melihat semua masalah ini sebagai cabaran
bagi mencipta erti kecemerlangan yang sebenarnya.
FAKTOR PENENTU KECEMERLANGAN PELAJAR.
Ada tiga faktor yang menentukan kecemerlangan seseorang pelajar. Tiga faktor tersebut
ialah;
PELAJAR.
Pelajar yang ingin meraih kecemerlangan perlu menyediakan dirinya sendiri terlebih dahulu.
Pengajar dan persekitaran hanyalah faktor pelengkap bagi mencapai kecemerlangan
tersebut, pelajar perlu bersiap sedia dari lima aspek utama iaitu;
1.Bersiap sedia untuk menganalisa diri sendiri dari segi kekuatan dan kelemahan yang ada.
Segala kekuatan dan kelemahan ini perlulah diselaraskan dengan segala usaha bagi
mencapai kejayaan cemerlang. Untuk mengenali kekuatan dan kelemahan diri sendiri,
pelajar perlulah menilai dan menganalisa segala kemahiran dan keupayaan yang dimilikinya.
Pelajar yang cemerlang perlu bijak mengeksploitasi kemahiran dan keupayaan yang ada.
Pelajar cemerlang sedar bahawa tidak ada manusia yang dilahirkan serba sempurna. Semua
manusia dijadikan oleh Allah dengan mempunyai kelemahan dan kelebihan yang tertentu.
Kelemahan yang ada di dalam diri pelajar boleh dikurangkan sekiranya pelajar berusaha
bersungguh-sungguh untuk mengatasinya. Pelajar perlu bersiap sedia untuk menjadikan
kelemahan yang ada pada dirinya sebagai pendorong untuk berusaha mengembangkan
kekuatan yang ada pada dirinya.
2, Bersiap sedia untuk membina motivasi dalaman menerusi penetapan wawasan dan visi
yang jelas.
3. Bersiap sedia untuk membina keyakinan dan sikap yang positif. Keyakinan diri dan sikap
yang positif akan menjadi pasport kegemilangan untuk masa depan. Pelajar perlu yakin
kepada kemampuan dan kelebihan diri sendiri. Pelajar perlu percaya kepada kebolehan dan
kehebatan diri sendiri kerana di dalam diri setiap pelajar tersimpan suatu tenaga yang maha
besar. Apabila pelajar pandai memperguna dan mengarahkan tenaga ini maka pelajar akan
berjaya mencipta kejayaan yang cemerlang dan melaksanakan wawasan dan misi yang telah
ditetapkan. Tenaga yang maha perkasa ini akan bergerak dengan gagahnya bila sahaja
ditekan suisnya iaitu 'azam yang kukuh dan kemahuan yang teguh.' Tenaga ini akan
menggerakkan pelajar agar pelajar bersungguh-sungguh laksana seorang askar yang berada
di medan pertempuran yang berjuang bermati-matian untuk mencapai kecemerlangan.
4. Bersiap sedia untuk berdisiplin terutamanya dalam aspek pengurusan diri dan masa.
Untuk mencapai kecemerlangan, pelajar perlu berdisiplin dalam menguruskan diri sendiri
serta masa yang ada. Perancangan dan pengurusan masa yang cekap bukan sahaja
membolehkan pelajar menikmati kehidupan sebagai seorang pelajar secara lebih baik tetapi
mendisiplinkan diri agar bijak menggunakan masa. Selalunya kecemerlangan akan dapat
dicapai apabila pelajar mempunyai tiga perkara berikut iaitu berilmu, bermotivasi dan
berdisiplin.
5. Bersiap sedia untuk mempertingkatkan kemampuan diri. Aristotle, ahli falsafah yunani
yang terkenal menyatakan 'kita menjadi apa yang selalu kita lakukan. Maka kecemerlangan
bukanlah suatu tindakan, tetapi suatu tabiat'. Untuk mencapai kecemerlangan pelajar perlu
mempertingkatkan kemampuan diri. Pelajar perlu percaya kepada kebolehan diri sendiri.
Ybhg Datin Seri Panglima Hajah Nuinda Binti Haji Alias, Pengetua Cemerlang JUSA C Maktab
sabah, bergambar bersama OCPD dan PPD, Kota Kinabalu. 20 Januari 2021.
PENGAJAR.
Faktor kedua yang menentukan kecemerlangan seseorang pelajar ialah hubungannya
dengan guru atau pensyarah yang mengajarnya. Guru atau pensyarah memainkan peranan
yang sangat penting dalam membimbing, mengasuh atau mendidik pelajar. Komunikasi
yang berkesan di antara guru atau pensyarah dan pelajar adalah amat penting dalam
menentukan kecemerlangan. untuk mencapai komunikasi yang berkesan, pelajar perlu
mempunyai budaya berikut;
BERSIKAP PROAKTIF DAN POSITIF.
Pelajar perlu sedar yang guru atau pensyarah hanyalah berperanan sebagai fasilitator atau
pemudah cara dalam melicinkan usaha pembelajaran pelajar. Untuk berjaya dengan
cemerlang, 70 - 90% usaha perlu datang dari pelajar sendiri. Manakala yang selebihnya
adalah dari guru atau pensyarah. Pelajar perlu bersikap positif dan proaktif terhadap guru
atau pensyarah. Ini boleh dilakukan dengan mengambil daya initiatif sendiri untuk belajar
tanpa terlalu bergantung kepada bantuan guru atau pensyarah.
MENGAMALKAN ADAB DAN TINGKAHLKAU YANG TERPUJI TERHADAP GURU ATAU
PENSYARAH.
Untuk mencapai kecemerlangan pelajar perlu menghormati guru atau pensyarah yang
membimbing dan mendidik pelajar. mereka perlu dihormati sebagaimana pelajar
menghormati kedua ibu bapa sendiri. Pelajar perlu menumpukan sepenuh perhatian kepada
apa yang diajarkan oleh guru atau pensyarah.
MENGAMALKAN BUDAYA SUKA BERTANYA.
Apabila pelajar menghadapi masalah di dalam subjek tertentu, pelajar perlu bertanya
kepada guru atau pensyarah. Jangan malu atau segan untuk bertanya apalagi dengan
membiarkan masalah itu berlarutan. Ingatlah bahawa guru atau pensyarah sentiasa
bersedia untuk menyelesaikan masalah yang pelajar hadapi. Sebaik-baiknya pelajar
mencuba terlebih dahulu untuk menyelesaikan masalah tersebut. Jika masih belum dapat
diselesaikan juga barulah pelajar berjumpa dengan guru atau pensyarah.
Ybhg Puan Tah Nia Binti Haji Jaman, Pegawai Pendidikan Daerah JUSA C, Kota Kinabalu.
PERSEKITARAN.
Faktor yang tidak kurang pentingnya dalam menentukan kejayaan ialah persekitaran pelajar
itu sendiri. setiap pelajar mungkin dibesarkan dalam persekitaran yang berbeza. sama ada
kita sedar atau tidak persekitaran adalah merupakan acuan kepada pembetukan peribadi
pelajar.
Persekitaran kita bermula dengan kehadiran kedua ibu bapa kita. Merekalah yang
mencorakkan kehidupan kita pada permulaannya. Selain daripada itu itu peranan pengasuh,
sanak saudara, jiran-jiran dan kawan-kawan akan mula mempengaruhi kehidupan kita.
Apabila umur pelajar semakin meningkat, persekitaran kita yang lain semakin memainkan
peranan. Ini termasuklah media massa seperti televisyen, radio, audio-video, komputer,
akhbar, majalah, buku, internet dan lain-lain lagi.
Untuk berjaya di dalam pembelajaran dan kehidupan seharian, pelajar perlu mengenalpasti
aspek-aspek positif dan negatif yang wujud di dalam persekitaran kita. Kita tidak boleh
membiarkan diri kita dipengaruhi oleh persekiran yang negatif. Pelajar yang berjaya ialah
pelajar yang dapat menepis segala faktor-faktor negatif yang terdapat disekitarnya dan
mengambil atau mempraktikkan faktor positif yang boleh membantunya menjadi pelajar
yang cemerlang bukan sahaja dalam bidang akademik tetapi juga kehidupan sehariannya.
Semasa 1st Day At School, di Perkarangan Anjung PERDANA 20 Januari 2021.
YDH ACP Habibi OCPD KK, Ybhg Puan Tah Nia PPDKK, Ybhg DSP Hajah Nuinda, sempat
memberikan kata-kata motivasi kepada pelajar Tingkatan 5, 2020 yang masih meneruskan
perjuangan sehingga tahun 2021, bakal menduduki SPM pada 22 Februari 2021, ekoran
pandemik covid 19.
Bersama tetamu yang hadir sempena 1st Day At School 20 Januari 2021 (Rabu) Seawal pagi
jam 6.00pg.
MEMBENTUK WAWASAN DAN MISI YANG JELAS.
Untuk menjadi cemerlang, para pelajar perlu mempunyai matlamat. Matlamat ini mestilah
jelas. Kalau kita imbas kembali ketika kita mula-mula memasuki persekolahan dahulu kita
sering ditanya oleh guru apakah cita-cita kita bila besar nanti. Sedarkah kita sebenarnya kita
telah diajar secara tak langsung untuk menanamkan matlamat dalam diri kita.
Pujangga besar Amerika, Sinclair Lewis ketika masih menjadi seorang pelajar di universiti
pernah ditanya oleh seorang profesor akan cita-citanya. Sinclair Lewis menjawab 'cita-cita
besar saya mahu menjadi seorang penulis,', Mendengar kata-kata Sinclair, profesor itu terus
berkata ;Kalau itulah cita-cita kamu, nescaya kamu akan mati kelaparan'.
Lewis tersenyum sahaja mendengarnya sambil berkata; saya tidak peduli'. Mendengar
jawapan itu, profesor tersebut lantas menepuk bahu Lewis dan berkata, kalau demikianlah
rupanya azam kamu, maka kamu akan berjaya menjadi seorang penulis yang berkaliber.
Kenapakah pelajar perlu menentapkan matlamat? Penetapan matlamat adalah penting
kerana;
1. Ia akan menjadi hala tuju yang akan digunakan bagi mencapai matlamat tersebut.
Matlamat akan membolehkan kita menggunakan masa, tenaga dan idea pada jalan yang
betul.
2. Ia akan menjadi panduan bagi membuat berbagai perancangan. Apabila matlamat yang
ditetapkan tercapai, ianya akan mewujudkan perasaan yakin dan percaya kepada diri sendiri
dan ini akan merangsang kita kepada penetapan matlamat yang lebih tinggi.
Mengetahui apakah matlamat anda dan ingin mencapainya tidak akan membawa anda
hampir kepadanya. Tindakan yang mampu berbuat demikian.
Setiap yang bergerak pasti ada arah tujuannya. Kita yang bergerak, kemana arah tujuannya?
Jika anda boleh melihat diri anda memiliki matlamat anda, separuh dari matlamat itu
adalah milik anda.
3. Sebagai pendorong bagi mencapai matlamat yang ditetapkan. Pembentukan matlamat ini
juga akan menjadikan kehidupan kita lebih menggembirakan dan melahirkan suatu sikap
yang positif dan berwawasan.
Sebagai seorang pelajar, hidup kita akan diselubungi berbagai dugaan dan kita akan mudah
berputus asa apabila kita tidak mempunyai matlamat yang jelas dan tegas. Fikiran kita akan
menjadi kabur dan bersifat negatif terhadap masa depan.
Kehidupan sebagai seorang pelajar ibarat sebuah lautan yang bergelora. Pelajar akan hanyut
di lautan yang penuh gelora ini tanpa matlamat yang ingin dicapai. Pelajar perlu
menetapkan cita-cita hidupnya. Kemanakah arah yang hendak dituju? Apakah yang
dimahukan dari hidup ini? Soalan-soalan begini perlu sentiasa bermain di fikiran kita jika
ingin berjaya.
Bagi pelajar yang mempunayi matlamat yang jelas maka tidak syak lagi dia akan menjalani
kehidupannya sebagai seorang pelajar dengan penuh keyakinan. Jika matlamatnya untuk
menjadi pelajar cemerlang maka pelajar akan menumpu dan mencurahkan sepenuh tenaga
yang tidak berbelah bagi demi untuk mencapai cita-citanya. Pelajar yang mempunyai tujuan
hidup yang jelas tidak akan membiarkan dirinya terumbang ambing oleh perasaan ragu
terhadap masa depannya atau dipermainkan oleh cita-cita yang hangat-hangat tahi ayam
atau seringkali menukar-nukar matlamat hidupnya.
Pernahkah kita bertanya kepada diri sendiri, kenapakah kita datang ke sekolah? Di manakah
kita akan berada 10 tahun akan datang? atau 20 tahun akan datang? Dengan mempunyai
matlamat yang jelas maka pelajar dapat membayangkan dirinya berada 10 atau 20 tahun
akan datang. Jika pelajar menentapkan bahawa 5 tahun akan datang mereka akan berada di
universiti dan seterusnya 10 tahun akan datang menjadi tokoh koperat yang disegani maka
untuk mencapai matlamat yang telah ditetapkan ini mereka akan cuba bersungguh-sungguh.
Salah satu caranya ialah dengan menjadi pelajar cemerlang.
Biarlah saya beritahu anda rahsia yang membolehkan saya mencapai matlamat saya.
Kekuatan saya terletak hanya kepada ketabahan hati saya.
Tidak cukup hanya mengetahui matlamat kita, itu hanyalah apa yang hendak kita lakukan.
Kita juga patut mengetahui bagaimana, iaitu tujuannya. Tujuan itulah bateri kepada kita.
Tujuanlah yang membolehkan kita bergerak maju.
Untuk mencapai matlamat anda, anda perlu menguruskan diri anda. Tetapi untuk
menguruskan diri, anda perlu terlebih dahulu menguruskan masa anda.
Jawatankuasa PIBG bergambar bersama ACP Habibi Haji Manjiji, Ketua Polis Daerah (atas)
dan Puan Tah Nia Haji Jaman, Pegawai Pendidikan Daerah Kota Kinabalu (bawah)
Orang yang mendapat kejayaan dalam hidup selalu membuat perancangan. Pelajar yang
selalu mencapai kejayaan cemerlangvdalam peperiksaan lazimnya mempunyai perancangan
masa depan. Kita mungkin ada terbaca falsafah Inggeris yang berbunyi;
No body plans to fail
but many fail to plan
so let's plan our work
and work our plan.
Sebenarnya apabila cita-cita seorang pelajar diimani dengan sepenuh hati dan diikuti
dengan usaha-usaha yang sabar, tetap dan tabah maka tidak syak lagi pelajar akan
mencapai cita-citanya.
Jadi pelajar cemerlang perlu mempunyai matlamat dan membuat perancangan bagi
mencapai matlamat tersebut. Pelajar yang cemerlang akan belajar secara sistematik
bukannya;
1. Belajar bila ada mood
2. Belajar ikut kawan
3. Tidak berusaha bersungguh-sungguh.
4. Cepat putus asa.
JENIS MATLAMAT.
Secara umumnya terdapat dua jenis matlamat iaitu;
A. Matlamat Jangka Pendek.
Ini merupakan matlamat yang mesti dicapai dalam masa yang singkat. Contohnya pelajar
menetapkan matlamat untuk mendapat markah tertinggi dalam ujian bulanan yang akan
datang atau mendapat purata A di dalam peperiksaan semester 1.
Matlamat jangka pendek ini adalah merupakan sasaran yang hendak dicapai dalam masa
satu bulan, satu penggal atau satu semester. Misi ini perlu ditetap dan dicapai sebelum
ditetapkan matlamat jangka panjang atau visi.
Sdr. Syauqi Syamil Bin Musli semasa Apresiasi Tingkatan 5, calon SPM kohort 2020.
Di antara misi atau matlamat jangka pendek yang boleh ditetapkan ialah;
Memperbaiki purata gred B kepada gred A dalam semua mata pelajaran di dalam ujian
bulanan depan.
Untuk memperbaiki kelemahan di dalam sabjek Matematik dengan lebih banyak membuat
latihan dan seterusnya mendapat markah yang lebih baik di dalam ujian yang akan
diadakan.
Untuk memperbaiki kedudukan di dalam kelas dari nombor 10 kepada nombor 4.
Timbalan Pengerusi PRS, saudari Iza Izzati Binti Fauzi, calon SPM kohort 2020
B. Matlamat Jangka Panjang.
Matlamat yang akan dicapai dalam tempoh yang lama. Contohnya mendapat gred
cemerlang dalam peperiksaan SPM tahun hadapan dan seterusnya memasuki universiti.
Penetapan matlamat ini mestilah bersifat berterusan.
Sekiranya matlamat tersebut telah dicapai maka pelajar mestilah menetapkan matlamat lain
pula. Dengan kata lain untuk menjadi orang yang berjaya dalam hidup, kita mesti ada
matlamat yang jelas dan berterusan. Contohpenetapan matlamat yang bersifat berterusan
ialah;
1. Mendapat markah tinggi dalam ujian bulanan
2. Mendapat gred cemerlang dalam Sijil Pelajaran Malaysia (SPM)
3. Memasuki universiti
4. Mendapat ijazah dengan kelas pertama dan
5. Menjawat jawatan dengan gaji yang lumayan
Sesungguhnya penetapan matlamat ini tidak akan terhenti bagi orang yang ingin berjaya
dalam hidup. Penetapan matlamat ini adalah bergantung kepada individu dan masalah
disesuaikan dengan keadaan semasa. Dalam menetapkan matlamat ini pelajar perlulah
sedar bahawa matlamat itu mestilah tinggi dan jelas. Tidak ada gunanya menetapkan
matlamat yang rendah kerana matlamat itu pasti mudah dicapai dan pelajar akan terus
berpuas hati dengannnya.
Jika pelajar selalu mendapat purata D, di dalam semua mata pelajaran yang diambilnya
dalam tingkatan empat, maka pelajar tersebut perlulah menetapkan matlamat untuk
mendapat purata A atau B semasa dalam tingkatan Lima nanti. Adalah merugikan jika
pelajar tersebut terus menetapkan matlamat untuk mengekalkan gred D kerana
kemungkinan besar pelajar tersebut akan gagal.
Di samping itu, matlamat perlulah sesuai dengan kebolehan semasa. Katakan pelajar telah
mendapat purata D dalam semua mata pelajaran semasa di Tingkatan Empat, jadi untuk 3
ujian bulanan pertama dalam Tingkatan Lima nanti pelajar perlulah menetapkan matlamat
untuk mendapat purata C dalam semua mata pelajaran.
Apabila matlamat ini telah dicapai maka pelajar tersebut bolehlah meningkatkan
matlamatnya secara beransur-ansur. Contohnya mesti mendapat purata B dalam
peperiksaan pertengahan tahun dan setersunya mendapat purata dalam peperiksaan akhir
tahun.
Antara anak-anak PRS Maktab Sabah, calon SPM kohort 2020 Sdr Afdlin Haikal Asmadi (atas)
dan Sdr Hanafi Ghazali (bawah).
MEMASTIKAN MATLAMAT TERCAPAI.
Bagi memastikan kejayaan setiap matlamat yang telah ditetapkan, pelajar perlu melakukan
beberapa tindakan seperti berikut;
1. TULISKAN MATLAMAT SECARA JELAS DAN BERDASARKAN APA YANG BENAR-BENAR
INGIN DICAPAI. Ini akan menjadikan pelajar betul-betul bekerja kuat dan menumpukan
sepenuh masa untuk mencapainya. Tuliskan matlamat yang hendak dicapai dan lekatkan di
meja studi pelajar. Jangan biarkan matlamat kita dipengaruhi oleh orang lain. Kita harus
menentukan kehidupan kita sendiri. Walau bagaimanapun kita tidak harus mengenepikan
nasihat atau buah fikiran ibu bapa, guru-guru mahupun kawan-kawan kita. Yang penting
keputusan akhir diambil berdasarkan kemahuan dan keinginan pelajar.
2. MATLAMAT PERLULAH REALISTIK IAITU HARUSLAH MENCABAR TETAPI BOLEH DICAPAI.
Pelajar perlu memastikan sasaran yang ditetapkan adalah mampu dicapai oleh pelajar
berdasarkan kemampuan dan kebolehan yang ada. Matlamat itu mestilah mencabar kerana
kita akan berusaha dan mencuba bersungguh-sungguh untuk mendapatkannya. Matlamat
yang terlalu rendah atau mudah dicapai tidak akan menghasilkan cabaran kepada kita apa
lagi kepuasan diri.
3. MATLAMAT PERLULAH DITENTUKAN SECARA TEPAT DAN SPESIFIK. Matlamat yang tepat
dan spesifik akan membawa pelajar ke arah yang ingin dituju. Katakan matlamat pelajar
adalah untuk menjadi pelajar yang cemerlang. Jadi matlamat yang tepat sepatutnya
berbunyi 'Saya ingin memperolehi Gred A dalam semua mata pelajaran di dalam
peperiksaan SPM / STPM nanti'. Matlamat yang terlalu umum seperti saya ingin jadi pelajar
cemerlang adalah tidak memadai kerana pelajar perlu tentukan gred atau aggregat yang
ingin dicapai.
4. SENARAIKAN MATLAMAT MENGIKUT KEUTAMAAN DAN PERLU MEMPUNYAI JANGKA
MASA PENCAPAIANNYA. Matlamat yang lebih penting perlulah dicapai terlebih dahulu bagi
memudahkan perancangan pelajar. Matlamat tersebut perlulah ada jangkamasa untuk
dicapai kerana matlamat tanpa ditetapkan masa pencapaiannya tidak ubah seperti angan-
angan Mat Jenin.
Dalam menetapkan matlamat ini pelajar harus sedar apakah tujuan kita hidup. Apakah
tujuan kita menuntut ilmu. Apakah tanggungjawab kita sebagai seorang insan, ahli
masyarakat dan seterusnya rakyat Malaysia. Kalau kita dilahirkan sebagai anak seorang
petani, adakah kita juga akhirnya akan ke bendang dan meneruskan tradisi tersebut? Kalau
kita sebagai anak nelayan adakah kita juga akan mengharungi lautan luas menyabung nyawa
demi untuk mencari sesuap nasi?.
Pernahkah pelajar berfikir sejenak apakah peranan dirinya dalam membaiki taraf keluarga,
membantu ahli-ahli masyarakat lain yang masih belum sedar dan hidup penuh dengan
kesengsaraan? Tidakkah terlintas di fikiran kita untuk menjadi seorang yang berjaya dalam
kehidupan duniawi dan ukhrawi seterusnya membantu anak bangsa yang memerlukan
bantuan atau sekurang-kurangnya membantu taraf kehidupan keluarga yang serba
kekurangan? Tidakkah mengalir air mata kita bila melihat ibu bapa membanting tulang
mencari sedikit rezeki, menghantar kita ke sekolah dan mengharapkan kita mendapat
kejayaan cemerlang dan seterusnya membaiki kehidupan mereka tapi sebaliknya awal-awal
lagi kita telah terkandas dan cepat berputus asa.
Marilah kita merenung kata-kata bernilai Syid Qutb 'Apabila manusia tidak mengerti dan
menyedari akan hakikatnya, kedudukannya dalam alam, tujuan adanya dibumi, pastilah
kehidupannya akan berakhir pada hujung yang menyedihkan sehingga manusia berada
dalam lingkungan azab derita'.
Sesungguhnya kunci kejayaan diri dan kehidupan adalah bermula apabila wujudnya tujuan
hidup atau matlamat. Hanya dengan mempunyai matlamat yang spesifik dan realistik,
barulah dapat memotivasi dan mendorong seseorang itu merasai akan pentingnya
mencapai matlamat.
Pelajar perlu sedar kejayaan tidak boleh dicapai dalam jangkamasa yang singkat. Kita perlu
berkorban demi untuk mencapai matlamat. Pelajar perlu berkorban masa, tenaga dan apa
saja terutama kepentingan dan kesenangan diri. Pelajar perlu yakin kepada diri sendiri.
Ungkapan 'aku boleh' perlu disematkan dalam fikiran. Kalau orang lain boleh berjaya dalam
hidup kenapa tidak aku?
Tuhan jadikan manusia sama sahaja, yang penting kita perlu berusaha bersungguh-sungguh.
Segala rintangan dan cabaran yang mendatang perlu diatasi. Perancangan matlamat
hendaklah ditulis secara hitam putih. Tuliskan matlamat tersebut di atas kertas dan
tampalkan di tempat yang selalu dilihat, contohnya di tempat studi atau di bilik tidur.
Setelah pelajar jelas dengan matlamat yang telah ditetapkan maka mereka perlulah
berusaha bersungguh-sungguh untuk mencapainya. Segala aktiviti yang dilakukan mestilah
berpandukan kepada matlamat tadi. sesungguhnya perancangan yang telah ditetapkan akan
dapat dirasai kejayaannya apabila ianya dilaksanakan dengan sistematik dan sempurna.
Pelajar yang mempunyai matlamat akan mempunyai ciri-ciri berikut;
a. Pelajar yang bermatlamat ingin berjaya dalam pelajaran sehingga ke peringkat yang
tertinggi.
b. Pelajar yang bermatlamat suka membaca terutamanya pada waktu lapang.
c. Pelajar yang bermatlamat selalu menumpukan perhatian sepenuhnya semasa guru
mengajar.
d. Pelajar yang bermatlamat akan menyiapkan tugasan atau kerja rumah yang diberikan
bersungguh-sungguh.
e. Pelajar yang bermatlamat suka berbincang dengan kawan-kawan tentang hal pelajaran.
f. Pelajar yang bermatlamat mempunyai cita-cita untuk melanjutkan pelajaran hingga ke
peringkat universiti.
g. Pelajar yang bermatlamat suka bertanya kepada kawan-kawan, tutor atau guru apabila
menghadapi masalah dalam pelajarannya.
h. Pelajar yang bermatlamat akan menerima segala teguran yang diberikan oleh guru demi
untuk meningkatkan ilmu pengetahuannya.
i. Pelajar yang bermatlamat akan bercita-cita untuk membantu keluarganya bila dia telah
berjaya.
j. Pelajar yang bermatlamat akan membantu anak bangsanya bila dia telah berjaya.