The words you are searching are inside this book. To get more targeted content, please make full-text search by clicking here.
Discover the best professional documents and content resources in AnyFlip Document Base.
Search
Published by syuhadanadirah123, 2022-03-21 12:14:59

eBook 1600x2560 px (4)

eBook 1600x2560 px (4)

BMMB1104

NIK NURNADIRAH
SYUHADA BINTI
AMRAN

PENTAKSIRAN
BERTERUSAN

E-BOOK

KESUSASTERAAN
& KEBUDAYAAN

MELAYU

NIK NURNADIRAH
SYUHADA BINTI AMRAN

PENTAKSIRAN
BERTERUSAN

14 MAC 2022

ISI
KANDUNGAN

1.0Pengenalan .........................................................................2
1.1Jenis dan bentuk kesusasteraan Melayu...............................3
1.2Ciri-ciri kesusasteraan Melayu.............................................5
2.0Fungsi kesusasteraan Melayu..............................................6
2.1Aspek hiburan.......................................................................6
2.2Aspek pendidikan.................................................................7
2.3Aspek dakwah......................................................................8
2.4Kritikan sosial.......................................................................8
3.0manifestasi akal budi...........................................................9
3.1Manifestasi dalam pantun...................................................10
3.2Manifestasi dalam syair.......................................................11
3.3Manifestasi dalam seloka...................................................12
3.4Manifestasi dalam gurindam...............................................13
4.0rumusan...............................................................................14

TUGASAN 1 : Penghasilan produk (30%):
Karya-karya sastera memaparkan perutusan, amanat serta lontaran
idea dan fikiran pengarangnya.
Hasil karya itu mencerminkan gagasan dan daya fikir pengarangnya
yang ingin dikongsi bersama pembaca. Sebuah karya itu terhasil
daripada cetusan gabungan daya rasa, kepekaan dan
keprihatinannya terhadap apa yang diamati dan dialami oleh
masyarakat.
Berdasarkan kenyataan di atas, anda dikehendaki menghasilkan
produk iaitu e-book dengan menerangkan konsep dan fungsi
kesusasteraan Melayu serta memanifestasikan akal budi dalam
sebuah pantun, sebuah syair, sebuah seloka dan sebuah gurindam.
Anda dikehendaki menyiapkan e-book tersebut mengikut kreativiti
masing-masing yang merangkumi tajuk-tajuk berikut:
• takrif, jenis, bentuk dan ciri-ciri kesusasteraan Melayu.
• fungsi kesusasteraan Melayu dalam aspek hiburan, pendidikan,
dakwah dan kritikan sosial.
• manifestasi akal budi dalam sebuah pantun, syair, seloka dan
gurindam.

1

KESUSASTERAAN
& KEBUDAYAAN MELAYU

bmmb1104

Pengenalan

Perkataan sastera berasal daripada bahasa Sanskrit iaitu castra. Di dalam
bahasa Latin pula disebut sebagai littera (letter) yang bermaksud kata
bertulis atau bercetak. Manakala, di dalam Bahasa Melayu, sastera
dipanggil susastera. “su” di dalam perkataan ini, membawa maksud indah,
manakala, sastera membawa maksud huruf, bahasa dan perkataan.
Menurut Hashim Awang, kesusasteraan ialah bentuk ciptaan seni yang
disampaikan melalui bahasa. Misalnya, melalui puisi, filem, lagu, novel,
cerpen, sajak mahupun gurindam. Pendapat Hashim awang ini sangat
sinonim dengan tafsiran kesusasteraan dari kamus dewan bahasa Edisi
keempat. Menurut kamus dewan edisi keempat (2017), kesusasteraan
ditakrifkan sebagai seni yang menggambarkan keindahan dengan bahasa
dan hasil daripada mengarang. Maka, bahasa merupakan bahan utama
dalam kesusasteraan. Secara ringkasnya, sastera merupakan satu ilmu
yang indah dan bersifat menggembirakan.

2

KESUSASTERAAN
& KEBUDAYAAN MELAYU

bmmb1104

1.1Jenis kesusasteraan
Melayu

Menurut rajah sastera, Kesusasteraan Melayu terbahagi kepada 2 jenis iaitu
kesusasteraan Melayu moden dan kesusasteraan Melayu Tradisional.
Kedua-dua jenis kesusasteraan melayu ini pula terbahagi kepada dua
bentuk iaitu prosa dan puisi. Bentuk dan jenis kesusasteraan Melayu boleh
dilihat secara ringkas melalui gambar rajah berikut:

3

Penghasilan Produk

i.Kesusasteraan Melayu Tradisional:
Bagi kesusasteraan Melayu Tradisional, bentuknya terbahagi kepada prosa dan
puisi. Bagi prosa di dalam kesusasteraan Melayu tradisional ini, ia didefinisikan
sebagai Karangan atau hasil karya masyarakat Melayu lama dalam semua bentuk
pernyataan biasa yang ditulis atau diucapkan secara lisan. Biasanya karya ini
terikat oleh bentuk-bentuk tertentu seperti bentuk naratif dan bukan naratif.
Bagi prosa naratif, bentuknya terbahagi kepada naratif lisan dan naratif tulisan.
Antara contoh naratif lisan ialah mitos, lagenda dan cerita rakyat. Bagi naratif
tulisan pula ialah sastera agama, sastera sejarah dan sastera hikayat. Seterusnya,
bagi prosa bukan naratif pula terdiri daripada sastera kitab, sastera undang-
undang dan sastera ketatanegaraan. Gambaran yang lebih jelas boleh dilihat
melalui jadual dibawah:

Seterusnya bagi puisi di dalam kesusasteraan Melayu Tradisional pula
terdiri daripada:
a.Pantun
b.Syair
c.Nazam
d.Seloka
ii.Kesusasteraan Melayu Moden:
Kesusasteraan Melayu moden juga terdiri daripada prosa dan puisi. Bagi
prosa Moden, ia terdiri daripada novel, cerpen dan drama. Novel ialah
karya panjang dan kompleks sifatnya dengan unsur-unsur seperti plot,
perwatakan, latar dan sudut pandangan. Manakala, bagi cerpen pula,
cerpen ialah satu gabungan perkataan dari cerita pendek, dan drama pula
ialah suatu naskhah dan lebih bertujuan untuk dipentaskan. Bagi puisi
pula, puisi yang terdiri dalam kesusasteraan melayu moden ialah sajak.

4

Penghasilan Produk

1.2Ciri-ciri kesusasteraan Melayu:
Secantik bahasanya, kesusasteraan Melayu turut mempunyai keunikan dan ciri-
cirinya yang tersendiri. Antara ciri kesusasteraan Melayu ialah keindahan,
mencerminkan pengalaman, pengalaman seni dan karya seni.
a.Keindahan:
Bagi keindahan, ciri ini menekankan unsur-unsur keutuhan, keselarasan,
keseimbangan dan berfokus atau mempunyai penekanan yang jelas dan lengkap.
Hasil karya sesuatu sastera akan dikatakan indah, jika memenuhi semua unsur-unsur
di atas. Selain itu, keindahan ini juga menekankan aspek lenggok bahasa yang indah
yang digunakan dalam mana-mana karya sastera.
b.Mencerminkan pengalaman:
Pengalaman yang dimaksudkan ialah pengalaman yang diperoleh dari imaginasi
untuk menyentuh pemikiran dan kesedaran manusia. Bukan sahaja itu, malah
pengalaman di sini merujuk kepada tindak balas dari jiwa manusia yang digambarkan
secara realiti melalui bahasa.
c.Pengalaman seni:
Sesuatu karya sastera disampaikan dengan cara dan bentuk penyampaian dengan
nilai-nilai seni yang mengagumkan. Bahan sastera yang bermutu mempunyai bahasa
dan olahan yang indah, unsur-unsur intelek, emosi, perasaan, ekspresi, imaginasi dan
kreatif. Hal ini kerana, nilai sesuatu karya terletak pada cara, kandungan dan bentuk
penyampaian dan hal ini memberi satu pengalaman dan nilai seni kepada
pembacanya.
d.Karya seni:
Terdapat 4 ciri sastera sebagai karya seni:
a.Keutuhan
b.Keseimbangan
c.Keselarasan
d.Penekanan

5

Penghasilan Produk
6

Penghasilan produk

2.2Aspek pendidikan
Terdapat karya sastera yang diterjemahkan melalui pengalaman-pengalaman dan merangkumi pelbagai bidang ilmu seperti ilmu agama,
ekonomi, politik dan sosial. Pengalaman pengkarya-pengkarya ini kebiasaannya mengandungi unsur pengajaran,teguran dan nasihat yang
boleh diambil pembaca. Pendidikan zaman dahulu kebanyakannya berlaku secara tidak formal. Masyarakat dahulu menyampaikan teguran,
nasihat serta ilmu melalui sastera seperti melalui pantun, syair, atau novel.
Antara contoh pantun yang boleh diambil sebagai alat pendidikan ialah:
Berburu ke padang datar,
Dapat rusa belang kaki,
Berguru kepalang ajar,
Bagai bunga kembang tak jadi.
Melalui pembayang yang digunakan iaitu berburu ke padang datar, dapat rusa belang kaki membawa maksud jika kita berburu di padang yang
rata dan bukannya hutan, maka kita akan mendapat rusa belang kaki. Rusa belang kaki yang dimaksudkan ialah belalang rusa. Hal ini kerana,
tidak ada rusa di padang, yang ada hanyalah belalang rusa sahaja. Disini terdapat unsur pendidikan dimana pantun ini mengajar kita bahawa
jika ingin berburu mestilah kena pada tempatnya agar haiwan yang ingin diburu terkena jerat.
Bagi maksud di dua baris bawah pula iaitu berguru kepalang ajar, bagai bunga kembang tak jadi membawa maksud yang besar. Menurut kamus
dewan edisi keempat (2017), kepalang ialah tidak berapa atau tidak cukup. Jadi, berguru kepalang ajar ini menunjukkan bahawa seseorang
yang berguru ataupun belajar tidak habis, diibaratkan seperti bunga yang kembang tak jadi. Bunga yang kembang tak jadi ini dilihat sebagai
bunga yang tak sempurna, sama juga seperti manusia yang tidak menghabiskan belajar dengan bersama guru mereka, maka, ilmu mereka masih
belum lengkap dan sempurna.
Menerusi pantun ini sahaja dapat dilihat bahawa daripada pembayang kepada maksud mengajar kita untuk berfikir dan terdapat unsur ilmu
iaitu seperti ilmu berburu yang digunakan pada pembayang. Hal ini turut sama berlaku pada karya-karya sastera yang lain.

7

Penghasilan Produk

2.3Aspek dakwah
Karya-karya sastera pada zaman dahulu mengandungi aspek
dakwah. Sebagai bukti, di dalam karya sastera Sulalatus Salatin
Sejarah Melayu menceritakan bahawa Merah Silu bermimpi
bertemu dengan Nabi Muhammad s. a. w. Dalam mimpi itu, Nabi
Muhammad s. a. w. telah meludah ke dalam mulut Merah Silu dan
akhirnya Merah Silu dapat mengaji pada keesokan harinya. Hal ini
mengandungi mitos dan diselitkan unsur dakwah di dalamnya.
Apabila pembaca pada zaman itu membaca cerita ini, maka mereka
akan sekaligus mengikut jejak Merah Silu dalam memeluk islam.
Selain itu, terdapat juga mitos kedatangan Islam di Melaka yang
dikaitkan dengan Sultan Muhammad Syah yang telah diislamkan
oleh Nabi Muhammad s. a. w. melalui mimpi. Kisah-kisah ini
diceritakan dalam karya sastera yang sedikit sebanyak mempunyai
unsur dakwah dengan mengaitkan aspek agama seperti
mengaitkan Nabi Muhammad dan cerita-cerita mengenai islam di
dalam karya sastera.
2.4Kritikan sosial
Tidak lupa juga, di dalam karya sastera terdahulu, terdapat unsur
kritikan sosial. Masyarakat yang ingin mengkritik raja, rakyat atau
menegur mana-mana pihak, maka mereka akan menggunakan
medium sastera misalnya melalui buku, novel, cerpen, sajak,
pantun mahupun syair untuk menyindir mereka. Kebanyakan
masyarakat dahulu, mereka mengekspresikan perasaan atau
teguran melalui pengalaman mereka menerusi penulisan.
Disebabkan itulah, Usman awang, A.Samad Said dan Dharmawijaya
bersetuju bahawa sastera ini merupakan gambaran kehidupan
masyarakat. Hal ini kerana, kritikan di dalam sastera berlaku
menurut pengalaman pengkarya sendiri atau lebih kepada
menurut kisah benar.
Di dalam silibus Sejarah Tingkatan 5 KBSM juga menceritakan
bahawa dari zaman dahulu lagi pelbagai nasionalis yang
menggunakan sastera untuk menyebarkan semangat
mempertahankan negara dan menggunakan sastera untuk
mengkritik para pelajar. Misalnya, terdapat pelbagai karya sastera
yang diterbitkan untuk menanamkan semangat menentang
penjajah dan karya-karya yang diterbitkan untuk mengkritik seperti
mengkritik para penjajah. Antara contoh novel yang boleh dilihat
ialah novel Putera Gunung Tahan yang dikarang oleh Ishak Haji
Muhammad. Novel ini adalah untuk mengkritik pentadbiran British
dan membakar semangat wira pemuda tempatan dalam menjaga
maruah bangsa. kesimpulannya, karya-karya sastera juga
berfungsi untuk menyebarkan kritikan melalui bahasa

8

Penghasilan Produk

3.0manifestasi akal budi
Menurut Wikipedia, akal adalah salah satu peralatan rohaniah manusia yang berfungsi
untuk mengingat, menyimpulkan, menganalisis, menilai suatu kebenaran dan
kesahihan dan membantu manusia membezakan sama ada sesuatu perkara itu baik
atau buruk. Namun, akal dan kemampuan mereka berfikir sangat bergantung kepada
pengalaman dan pendidikan yang mereka perolehi iaitu secara formal dan secara tidak
formal. Menurut kamus dewan Edisi keempat pula, akal budi bermaksud fikiran yang
sihat. Bagi masyarakat Melayu, akal budi mestilah berteraskan agama dan
mementingkan pendidikan demi membentuk manusia berilmu, beradab dan berbudi.
Kesimpulannya “akal” dan “budi” dalam konteks masyrakat melayu ialah tentang cara
masyarakat berfikir. (Shamsudin Othman et al, 2015)
Manifestasi akal budi boleh dilihat dalam empat aspek utama iaitu pemikiran,
pertuturan, perlakuan dan gaya hidup. Menurut Mok Soon Sang (2011), pemikiran
merupakan satu proses di mana aktiviti membina ilmu dan kefahaman yang melibatkan
mental dan otak manusia. Otak manusia akan bertindak dengan usaha menerima
rangsangan dari luar melalui deria seperti telinga untuk mendengar, mata untuk
melihat. Seterusnya membentuk konsep, membuat tafsiran dan bertindak balas
berdasarkan pengalaman yang sedia ada dalam ingatan.
Seterusnya, bagi pertuturan pula, aspek yang dilihat dalam masyarakat Melayu ialah
kesantunan. Menurut Kamus Dewan 1984, santun bermaksud halus budi bahasa.
Manakala, menurut Awang Sariyan, (2007), kesantunan ditakrifkan sebagai bahasa yang
baik, sopan, beradab dan memancarkan peribadi mulia. Kesantunan yang terdapat di
dalam karya sastera ialah melalui pemilihan kata yang digunakan di dalam karya.
Disamping itu, akal budi masyarakat juga dapat dilihat melalui perlakuan. Perlakuan
ialah perbuatan seseorang. Misalnya, dalam masyarakat melayu sangat mementingkan
tingkah laku dan perlakuan yang berhemah. Hal ini jelas dapat dilihat di dalam seloka
popular Mak Si Randang yang sangat mementingkan tetamu. Jadi, di dalam karya
sastera, perlakuan juga akan diselitkan sebagai manifestasi akal budi masyarakat
Melayu.
Aspek yang terakhir ialah gaya hidup. Gaya hidup ialah cara tertentu seseorang individu
atau kumpulan menjalani kehidupan sama ada secara bersederhana, mewah dan
sebagainya. Dalam konteks gaya hidup, akal budi dilihat dari aspek agama,
kepercayaan dan cara hidup seseorang.

9

Penghasilan Produk

3.1Manifestasi dalam pantun:
Menurut Ungku Aziz (2011), pantun merupakan manifestasi terbaik seni sastera orang Melayu. Menurut kamus dewan Edisi Keempat,
pantun ialah puisi lama yang biasanya terdiri daripada empat baris tiap-tiap rangkap. Dua baris pertama dianggap pembayang, manakala
dua baris bawah dianggap maksud.
Misalnya seperti pantun di bawah:
Pisang emas dibawa berlayar,
Masak sebiji di atas peti,
Hutang emas boleh dibayar,
Hutang budi dibawa mati.
Menurut akal budi yang terdapat di dalam pantun tersebut, pengkarya memilih pisang emas yang dibawa ketika berlayar kerana
masyarakat zaman dahulu mahir dalam ilmu pelayaran, maka pisang emas akan dibawa kerana pisang ini dipercayai boleh menghilangkan
mabuk laut. Kemudian, pisang emas dibawa kerana pisang ini mempunyai fruktosa, glukosa dan sukrosa yang mencukupi untuk kandungan
gula dalam badan. Maka, masyarakat yang memakan pisang ketika berlayar akan kenyang dan pisang ini boleh menggantikan makanan
yang lain.
Bagi baris kedua pula, “masak sebiji di atas peti” ialah dimaksudkan dengan waktu masaknya pisang emas ini tidak sama. Buah ini tidak
masak setandan penuh, tetapi pisang ini masak secara sebiji-sebiji. Seterusnya, peti pada zaman dahulu digunakan untuk menyimpan
barang terutama ketika berlayar, jadi pisang juga disimpan di dalam peti dan apabila sebiji pisang masak, maka pisang itu akan diletakkan
di atas peti dan sesiapa yang berada di kapal, boleh makan pisang tersebut.
Bagi “Hutang emas boleh dibayar” pula, pengkarya pantun tersebut ingin menyampaikan bahawa jika seseorang ingin membayar hutang
emas ataupun hutang yang melibatkan harta, hutang tersebut masih lagi boleh dibayar dengan duit atau bantuan dari orang lain agar
hutang tersebut dapat dilunaskan. Tetapi pada baris terakhir iaitu penulis mengatakan bahawa hutang budi dibawa mati pula ialah
kerana, jika seseorang itu berhutang budi, maka hutang tersebut takkan pernah dapat dibayar. Gambaran lain pula, jika kita berbudi atau
berjasa dengan seseorang, maka jasa kita akan diingat sampai mati kerana jasa tersebut tidak boleh dibalas dengan harta kerana nilai budi
itu tidak setimpal dengan harta yang diberi sebagai balasan.

10

Penghasilan Produk

3.2Manifestasi dalam syair
Syair ialah satu karangan bersajak yang tiap-tiap rangkapnya terdiri daripada empat baris yang sama bunyi hujungnya. (Kamud Dewan
Edisi Keempat, 2017). Syair juga dibaca secara berlagu. Kebiasaannya akal budi dalam syair mengandungi unsur-unsur sejarah pada waktu
karya sastera itu diilhamkan.
Contoh syair yang dipilih ialah syair bidasari:
Dengarkan tuan suatu riwayat,
Raja di desa, negeri Kembayat,
Dikarang fakir, dijadikan hikayat,
Supaya menjadi tamsil ibarat.
Ada raja suatu negeri,
Sultan halifah akas bestari,
Asalnya baginda raja yang bahari,
Melimpah ngadil dagang senteri.
Syair ini dikarang oleh Jamilah Hj. Ahmad dan rangkap yang dipilih ialah rangkap satu dan rangkap dua. Bagi rangkap satu, akal budi yang
terdapat pada baris “Dengarkan tuan suatu riwayat” ialah pengarang syair ini mengajak pendengar mendengar satu kisah turun-temurun
atau kisah lama tentang raja yang berada satu kampung yang terletak di negeri bernama Kembayat. Hal ini sama seperti apa yang disebutkan
pada baris kedua rangkap pertama iaitu “Raja di desa, negeri Kembayat”. Akal budi yang ada pada baris 3 dan 4 rangkap pertama pula
menceritakan tentang kisah tersebut ditulis oleh seorang fakir dan dijadikan cerita supaya kisah ini dijadikan sebagai satu pengajaran kepada
pembaca.
Bagi rangkap kedua baris pertama pula, pengarang memberitahu tentang terdapat seorang raja di sebuah negeri Kembayat dan raja tersebut
dipanggil sultan. Raja ini seorang yang bijak bestari. Pada mulanya, baginda seorang raja yang sangat adil dan bagus. Perkataan “bahari’
yang digunakan bermaksud elok atau indah. Pengarang ingin menunjukkan bahawa raja di negeri Kembayat ini sangat bagus. Seterusnya,
pada baris terakhir rangkap kedua, akal budi yang ada pada syair ini ialah sultan atau raja tersebut seorang yang sangat adil terutama
kepada pedagang yang datang ke negeri itu.

11

Penghasilan Produk

3.3Manifestasi dalam seloka
Seloka merupakan satu puisi bebas dan puisi melayu klasik yang mempunyai bentuk tertentu seperti ada
rangkap, dan rima yang tidak tetap. Kata seloka berasal dari perkataan “shloka” dan seloka juga mempunyai
fungsi tertentu seperti seloka digunakan untuk mengkritik, menyindir atau mengejek sebarang perlakuan
negatif masyarakat dahulu tanpa menyinggung perasaan sasaran.
Antara seloka yang dipilih ialah seloka santap istiadat.
Santap beradat, santap istiadat,
Santap raja di majlis kebesaran,
Santap merai, hormat-menghormat,
Bukan santap hendakkan kenyang,
Santap santun dengan aturan.
Seloka di atas mempunyai 5 rangkap dan rangkap seloka di atas merupakan rangkap yang pertama. Antara
manifestasi akal budi yang terdapat dalam seloka di atas ialah pengarang ingin menceritakan tentang santap
beradat iaitu majlis makan raja-raja yang merupakan antara majlis istiadat yang perlu mengikut adat-adat
atau protokol-protokol istana. Baris kedua, menceritakan tentang raja yang ingin bersantap di satu majlis
kebesaran dan keramaian. Santap di dalam majlis tersebut adalah untuk merai dan menghormati tetamu.
Selain itu, bagi baris keempat dan kelima pula bermaksud, majlis santapan ini bukan sekadar untuk
mengeyangkan perut sahaja malah mengajar tetamu agar makan secara sopan dan mengikut protokal dan
tatacara yang tepat.

12

Penghasilan Produk

3.4Manifestasi dalam gurindam
Gurindam merupakan puisi Melayu lama yang terdiri daripada dua baris serangkap. Gurindam sebenarnya
mendapat pengaruh sastera Hindu dan dibawa oleh orang Hindu ke tanah Melayu. Gurindam ini membawa
beberapa peranan tertentu seperti untuk tujuan didikan, hiburan, dan terdapat unsur-unsur seperti iman dan
moral yang diperketengahkan di dalamnya.
Contoh gurindam ialah gurindam 12.
Apabila terpelihara mata,
sedikitlah cita-cita.
Apabila terpelihara kuping,
khabar yang jahat tiadaiah damping.
Apabila terpelihara lidah,
niscaya dapat daripadanya faedah.
Bersungguh-sungguh engkau memeliharakan tangan,
daripada segala berat dan ringan.
Apabila perut terlalu penuh,
keluarlah fi'il yang tiada senunuh.
Anggota tengah hendaklah ingat,
di situlah banyak orang yang hilang semangat
Hendaklah peliharakan kaki,
daripada berjaian yang membawa rugi.
Terdapat manifestasi akal budi yang diketengahkan di dalam gurindam di atas. Realitinya, gurindam seperti ini
ibarat hukum atau undang-undang kerana pada zaman dahulu masih belum ada perlembagaan, maka
gurindam sebegini boleh dijadikan rujukan. Terlebih dahulu, gurindam tersebut merupakan gurindam dua
belas, fasal yang ketiga hasil karangan Raja Ali Haji. Bagi rangkap yang pertama iaitu “Apabila terpelihara mata,
sedikitlah cita-cita.”. Akal budi yang dipertengahkan ialah jika seseorang menjaga matanya, maka seseorang
tidak akan tamak dan berkemahuan besar sehingga menyebabkan pembaziran. Keinginannya juga akan
terbatas kerana dia menjaga mata dan mengelakkan diri dari menjadi rambang mata.
Seterusnya, akal budi bagi rangkap kedua iaitu “Apabila terpelihara kuping, khabar yang jahat tiadalah
damping.” Bermaksud, jika seseorang menjaga telinga dari mendengar perkara-perkara negatif, maka
seseorang tersebut tidak akan mudah terhasut dengan perkara yang negatif. Bagi rangkap ketiga iaitu
“Apabila terpelihara lidah, nescaya dapat daripadanya faedah.” Ialah apabila seseorang menjaga percakapan
terutama dari menyakitkan hati orang lain ketika berkata-kata, maka dia akan mendapat faedah atau kebaikan
seperti membuat orang senang ketika berkata dengan kita.
“Bersungguh-sungguh engkau memeliharakan tangan, daripada segala berat dan ringan.” Rangkap ini pula
bermaksud seseorang perlulah menjaga tangannya dengan bersungguh-sungguh dari melakukan jenayah
seperti mencuri. Rangkap seterusnya ialah “Apabila perut terlalu penuh, keluarlah fi'il yang tiada senunuh.”.
rangkap ini bermaksud bahawa, jika seseorang makan terlalu banyak, hal ini akan mengundang kepada
perbuatan yang tidak senonoh. Fi’il yang dimaksudkan ialah perangai. Sesetengah masyarakat zaman dahulu
menyebut sebagai “pe-el” iaitu dari perkataan Fi’Il ini sendiri. Fi’il ini berasal dari perkataan Arab. Perangai
yang tidak senonoh jika makan terlalu kenyang ialah seseorang akan sendawa dengan kuat di hadapan orang,
perbuatan ini boleh dianggap tidak senonoh. Selain itu, jika seseorang makan terlalu kenyang, maka mereka
akan menjadi lebih malas dan mula untuk susah berfikir kerana terlalu kenyang.
Seterusnya, bagi rangkap 6, rangkap ini bermaksud hati. Hal ini kerana, hati perlu dijaga, apabila hati kita
lemah, maka kita akan mudah untuk merasa sedih, atau mempunyai perasaan yang negatif seperti dengki-
mendengki dan sebagainya. Akhir sekali, akal budi pada rangkap terakhir ialah mengenai kaki. Seseorang
perlu menjaga kakinya daripada menuju ke tempat-tempat maksiat kerana akhirnya ia membawa rugi sahaja.

13

Penghasilan Produk

4.0 rumusan

kesimpulannya, karya sastera membawa 1001 manfaat dalam kehidupan rakyat. Akhir
kata, jika kita tidak boleh mengarang sastera, maka kita masih boleh menghargai
keindahan sastera. Hal ini kerana, sastera merupakan satu wadah pendidikan yang
boleh menyampaikan 1001 mesej melalui keindahan bahasanya yang tersendiri.
Sastera juga sudah sebati dalam jiwa beberapa masyarakat, dan terdapat juga rakyat
yang sangat menghargai sastera, maka sebagai anak bangsa sejati, kita perlu terus
memperkukuhkan karya sastera agar keindahan bahasa ini terus menjadi kebanggaan
kita. Semoga di masa hadapan, lebih ramai tokoh sastera yang dapat dilahirkan oleh
negara kita. Tegasnya, semoga segala karya sastera dapat dijaga dan diteruskan agar
ilmu sastera ini tidak lapuk dek hujan, tak lekang dek panas.

9

Rujukan
Akal (2018, November 19). Dalam Wikipedia. https://ms.wikipedia.org/wiki/Akal
Dewan Bahasa dan Pustaka. (t.t). Akal budi. In Kamus Dewan Bahasa dan Pustaka online. Retrieved 18 March,
2022, from https://prpm.dbp.gov.my/Cari1?keyword=akal+budi
Dewan Bahasa dan Pustaka. (t.t). Kepalang. In Kamus Dewan Bahasa dan Pustaka online. Retrieved 17 March ,
2022, from https://prpm.dbp.gov.my/cari1?keyword=kepalang
Dewan Bahasa dan Pustaka. (t.t). Kesusasteraan. In Kamus Dewan Bahasa dan Pustaka online.
Retrieved March 17, 2022, from https://prpm.dbp.gov.my/cari1?keyword=kesusasteraan
Dewan Bahasa dan Pustaka. (t.t). Pantun. In Kamus Dewan Bahasa dan Pustaka online. Retrieved 18 March,
2022, from https://prpm.dbp.gov.my/Cari1?keyword=pantun+&d=175768&
Dewan Bahasa dan Pustaka. (t.t). Syair. In Kamus Dewan Bahasa dan Pustaka online. Retrieved 18 March,
2022, from https://prpm.dbp.gov.my/cari1?keyword=syair
Fadzil, M. (2014). Success Sejarah SPM. Oxford Fajar Sdn. Bhd.
Hamid, R. A., & Abdullah, N. F. L. (2017). Akal Budi dalam Sastera Rakyat Naratif dan Bukan Naratif. Universiti
Sains Malaysia.
ML Studios [ML Studios]. (2021, Mac 17). Sastera: Hanya yang Indah-Indah [Video]. Youtube.
https://www.youtube.com/watch?v=z7mDeoBqag0
Mohd Rodzi (t.t). Fungsi sastera dalam masyarakat. Academia.
https://www.academia.edu/10263421/Fungsi_sastera_dalam_masyarakat
Muharam, A. [Azilah Muharam]. (2021, Mac 23). Bahasa Melayu tingkatan 3 seloka santap istiadat [Video].
Youtube. https://www.youtube.com/watch?v=5dr94QaYtwA
Othman, S., Sabil, A. M., & Lateh, G. (2015). Pemikiran akal budi dan sosiobudaya Melayu dalam pendidikan
Kesusasteraan Melayu. International Journal of Education and Training (InJET), 1(2), 1-10.
Pak Pandir (2021, September 1). Dalam Wikipedia. https://ms.wikipedia.org/wiki/Pak_Pandir
Rehal, A. (t.t). Kesusasteraan Melayu. Academia.
https://www.academia.edu/8866503/KESUSASTERAAN_MELAYU
Sujud, A. (2008). Sastera Melayu Suatu Pengantar. Tinta Press Sdn Bhd.
Zack Kirana [Zack Kirana]. (2021, Februari 21). Gurindam Dua Belas, Fasal yang Ketiga (Penerangan oleh Zack
Kirana) [Video]. Youtube. https://www.youtube.com/watch?v=EZK6wo_hiTE
Azman Rahmat et al. (2022). Kesusasteraan & Kebudayaan Melayu. Pustaka Al-Ehsan.


Click to View FlipBook Version