The words you are searching are inside this book. To get more targeted content, please make full-text search by clicking here.
Discover the best professional documents and content resources in AnyFlip Document Base.
Search
Published by Haziyah Hussin, 2020-10-24 23:20:29

Sejarah Pertumbuhan Tafsir Maqasidi

Sejarah Pertumbuhan Tafsir Maqasidi

Signifikan Manhaj Haraki Dalam Sejarah Pembaharuan Tafsir

Signifikan Manhaj Haraki Dalam Sejarah Pembaharuan Tafsir

Oleh:
Haziyah Hussin
Jabatan Pengajian al-Qur’an dan al-Sunnah
Fakulti Pengajian Islam UKM

Abstrak

Kertas kerja ini bertujuan untuk mengemukakan konsep manhaj
haraki dalam tafsir al-Qur’an serta meninjau signifikan manhaj ini
dalam sejarah gerakan tajdid. Pembentukan manhaj ini sebagai
salah satu aliran tafsir moden berkait rapat dengan kemunculan
Gerakan Islam khasnya Jama’ah al-Ikhwan al-Muslimin di awal
abad 20M. Justeru, analisis diskriptif ke atas metodologi tafsir
pengasas Ikhwan iaitu Hasan al-Banna menemukan asas-asas
pemikiran yang menjadi teras kepada pembentukan manhaj tafsir
haraki. Manhaj ini berkesinambungan dari madrasah Muhammad
Abduh, namun ia membawa perspektif yang berbeza kepada
gerakan tajdid dan islah serta pentafsiran al-Qur’an yang memberi
nilai tambah kepada pembaharuan ilmu tafsir.

Pengenalan

Gerakan pembaharuan tafsir al-Qur’an yang berlaku di akhir abad 19 dan awal 20M
telah melahirkan pelbagai aliran dalam tafsir seperti tafsir ijtima’i, tafsir bayani, tafsir
adabi, dan tafsir ‘ilmi. Pembaharuan ini bermatlamat untuk mengangkat kembali
kedudukan al-Qur’an sebagai kitab hidayah kepada manusia dalam semua aspek
kehidupan dan membuktikan kerelevanan al-Qur’an, sejajar dengan perubahan masa dan
keperluan manusia. Pembentukan manhaj haraki sebagai salah satu aliran tafsir al-
Qur’an kontemporari berhubung rapat dengan kemunculan gerakan Islam di awal suku
kedua abad 20M. Sehubungan itu, kajian ini mengetengahkan konsep manhaj haraki
dalam pentafsiran al-Qur’an dan signifikan manhaj ini dalam sejarah gerakan
pembaharuan tafsir.

_________________________
* halaman artikel ini sudah diubahsuai mengikut cetakannya di dalam Proceedings of
the Malaysia Conference on Arabic Studies and Islamic Civilization, 2009. UKM:
Jabatan Pengajian Arab dan Tamadun Islam, FPI. ms. 245-255 ISBN 978-9368-44-4

245

Signifikan Manhaj Haraki Dalam Sejarah Pembaharuan Tafsir

Definisi Manhaj Haraki Dalam Pentafsiran al-Qur’an

Dari segi bahasa, perkataan ‘haraki’ adalah nisbah kepada ‘harakah’ yang memberi
makna keadaan sesuatu jisim yang berubah kedudukannya secara berterusan dari satu
tempat ke satu tempat.1 Gandingan perkataan ‘harakah’ dan ‘Islam’ pula mewujudkan
satu terminologi baru dalam bidang politik dan organisasi. Terminologi ini merujuk
kepada aktiviti aliran-aliran Islam yang menyeru ke arah tajdid dan meletakkan Islam
sebagai timbangtara kepada semua sistem kehidupan. Secara khusus, harakah Islamiyah
bermaksud aktiviti yang dilakukan oleh kumpulan pendakwah ke jalan Allah, dengan
menyebatikan ciri-ciri dinamisme dalam dakwah2 melalui perancangan dan penyusunan
gerak kerja. Manhaj haraki pula menjadi syiar kepada Gerakan Islam atau ‘harakah
Islamiyah’ dalam menghidupkan semula konsep al-Din dalam masyarakat Islam3 dan
membawa mereka kembali menghayati ajaran al-Qur’an dan al-Sunnah.

Penggunaan terminologi manhaj haraki agak baru dalam pengajian al-Qur’an
khususnya Usul al-Tafsir, malah tidak banyak buku yang membincangkannya. Idea awal
konsep ini dicetuskan oleh Hasan al-Banna (m.1949) dan beberapa orang tokoh gerakan
Islam lain seperti Abd al-Hamid ibn Badis (m.1940), Badi’ al-Zaman Sa’id al-Nursi (m.
1960) dan Abu al-‘A’la al-Mawdudi (m.1979).4 Kemudian konsep ini dibina secara
sistematik dan sempurna oleh Sayyid Qutb (m. 1966) dalam karya tafsirnya “Fi Zilal al-
Qur’an”, justeru beliau dinobatkan sebagai pengasas madrasah tafsir baru iaitu
‘Madrasah Tafsir Haraki’.5 Beliau menjelaskan konsep ini di merata tempat di dalam
tafsirnya, termasuk dua buah buku yang lain iaitu Ma’alim fi al-Tariq dan Khasa’is al-
Tasawwur al-Islami. Dari karya-karya ini, pemikiran beliau tentang manhaj haraki
dideduksikan sebagai teori serta diketengahkan sebagai satu terminologi baru dalam
manhaj pentafsiran dan pengurusan gerakan Islam.

Secara literal, manhaj haraki bermaksud garis panduan yang praktis dan
realistik. Dari segi terminologi, Dr. Salah ‘Abd al-Fattah al-Khalidi mendefinisikannya
sebagai satu aliran tafsir yang menfokuskan kepada aspek dakwah, harakah (gerakan),
tarbiyah, tazkiyyah, jihad dan perjuangan, mengajak muslimin supaya bergerak
(beramal) dengan al-Qur’an, melawan orang-orang kafir dengan asas-asas al-Qur’an,
mengetengahkan pengajaran di dalam berdakwah, berjihad dan berhadapan dengan
massa.6 Beliau menjelaskan tiga unsur penting yang menjadi ciri asasi manhaj ini iaitu
gerakan (haraki), dakwah dan tarbiyah. Manhaj ini disifatkan haraki kerana ia menyeru
umat Islam supaya memahami dan memikirkan al-Qur’an sebaik-baiknya, kemudian
menjalani realiti kehidupan mengikut petunjuk al-Qur’an. Ia berunsurkan dakwah kerana
ia menuntut dakwah yang dijalankan perlu bertitik tolak dari al-Qur’an dari segi konsep
dan panduan berdakwah, serta menghadapi musuh-musuh dan menangkis tipu daya
mereka. Manhaj ini memiliki nilai-nilai tarbiyah kerana ia meminta orang-orang Islam
mendapat pendidikan al-Qur’an, berakhlak dan beriltizam dengan al-Qur’an serta
membentuk diri dengan acuan al-Qur’an

246

Signifikan Manhaj Haraki Dalam Sejarah Pembaharuan Tafsir

sehingga menjadi generasi rabbani. Ia juga mahu mendidik masyarakat Islam dan
membina institusi kemasyarakatan dengan modul al-Qur’an, sehingga al-Qur’an
mendominasi setiap dimensi kehidupan.7

Dr. Munir Muhammad al-Ghadban pula melihat konsep ini dari perspektif
sejarah dakwah yang terakam dalam sirah nabawiyah. Beliau merumuskan bahawa
manhaj haraki ialah perancangan dan pelan tindakan yang dilakukan oleh Rasululllah
s.a.w. semenjak perutusan baginda sebagai seorang rasul sehinggalah baginda wafat.
Manhaj ini menjadi panduan kepada gerakan Islam dalam perancangan siyasahnya untuk
mencapai matlamat iaitu menegakkan hukum Allah di bumi ini.8 Berdasarkan manhaj
ini, kajian sirah Rasulullah s.a.w. tidak membentangkan secara terperinci setiap
peristiwa, sebaliknya menfokuskan pengajaran dan teladan yang boleh diambil dari
dakwah baginda.

Sehubungan itu, konsep manhaj haraki dalam tafsir boleh dirumuskan sebagai
suatu tatacara atau garis panduan untuk menjelaskan makna al-Qur’an, memahami,
menghayati dan melaksanakan tuntutannya, dengan meneladani manhaj Rasulullah
s.a.w. dan para sahabat r.a. serta tabi’in dalam berinteraksi dengan al-Qur’an. Manhaj
Tafsir haraki bermatlamat untuk merealisasi objektif penurunan al-Qur’an sebagai kitab
hidayah melalui pendekatan ‘menerima al-Qur’an untuk dilaksanakan dan diamalkan’
dalam segenap aspek kehidupan. Operasinya bermula dengan pembinaan individu
‘Quranik’ yang akan menjalankan gerak kerja dakwah berasaskan modul al-Qur’an, dan
diikuti dengan pembentukan masyarakat Islam yang menjalani kehidupan dengan
manhaj Islam yang realistik dan praktis.

Manhaj Tafsir Haraki Dalam Sejarah Perkembangan Tafsir

Kedudukan al-Qur’an sebagai manhaj yang realistik dan praktis telah ditunjukkan oleh
Rasulullah s.a.w. Seluruh tindak-tanduk dan kehidupan baginda memancarkan nilai-nilai
yang dibawa oleh al-Qur’an sebagaimana kenyataan Sayyidatina Aisyah r.a. ketika
ditanya tentang akhlak dan tingkah laku nabi s.a.w.:

Daripada Sa’d ibn Hisyam ibn ‘Amir, beliau berkata: Aku menemui
Aisyah ummul mukminin, lalu aku bertanya: Ceritakan kepadaku tentang
akhlak Rasulullah s.a.w. Beliau menjawab: Akhlaknya adalah al-Qur’an.
Tidakkah kamu membaca al-Qur’an, firman Allah Ta’ala:
“Sesungguhnya kamu (Muhammad) mempunyai akhlak yang agung.” (al-
Qalam:4)9

Dengan manhaj ini para sahabat r.a. dididik untuk mengambil nilai-nilai akidah dan
panduan hidup hanya bersumberkan dari al-Qur’an dan sunnah nabi s.a.w. tanpa
sebarang pengaruh dari pemikiran lama mereka sebelum memeluk Islam. Mereka juga
menekuni dan mempelajari al-Qur’an dengan tujuan beramal dan mendapat hidayahnya.
Sehubungan itu, seluruh kehidupan mereka merupakan tafsir amali kepada al-Qur’an.

247

Signifikan Manhaj Haraki Dalam Sejarah Pembaharuan Tafsir

Ciri inilah yang membezakan mereka dari generasi-generasi terkemudian. Mereka
datang sebagai jurucakap kepada kandungan al-Qur’an dan menjadi generasi al-Qur’an
yang unik.10 Berdasarkan manhaj yang sama mereka membentuk generasi tabi’in untuk
berinteraksi dengan ‘sumber yang murni lagi benar’ ini. Athar daripada sahabat r.a. dan
tabi’in dapat memberi gambaran bagaimana al-Qur’an berfungsi dalam hidup mereka.
Antaranya ialah:

Diriwayatkan daripada Ibn Mas’ud: Kami, apabila belajar sepuluh ayat
dari al-Qur’an, kami tidak akan belajar sepuluh ayat berikutnya yang
turun selepasnya, sehingga kami mengetahui apa maksud dan
kandungannya. Dikatakan kepada Syurayk: Bagaimana dengan beramal?
Jawabnya: Ya.11

Diriwayatkan daripada Abi ‘Abd al-Rahman al-Silmi (m.72H), katanya:
Guru-guru yang mengajar kami al-Qur’an seperti Uthman ibn ‘Affan,
Abdullah ibn Mas‘ud dan lain-lain menceritakan bahawa apabila mereka
belajar sepuluh ayat daripada Nabi s.a.w., baginda tidak akan melebihi
(bilangan itu) sehingga mereka (para sahabat r.a.) dapat mempelajari
kandungannya iaitu ilmu dan amal. Mereka berkata: Kami belajar al-
Qur’an, ilmu dan amal.12

Jelasnya, manhaj haraki telah mendasari dan menjadi roh kehidupan para
sahabat r.a. dan tabi’in serta umat Islam sehingga zaman Ibn Jarir al-Tabari (m.310H),
iaitu sebelum era pendokumentasian dan pembukuan ilmu tafsir.13 Namun, perubahan
masa dan keperluan masyarakat menyebabkan perhatian umat Islam mula berubah
sedikit demi sedikit dari aspek amali kepada teori. Para pentafsir mula memperluaskan
tafsir mereka dengan perbahasan ilmiah yang bertujuan menambahkan pengetahuan
masyarakat Islam dalam pelbagai cabang ilmu seperti falsafah, teologi, fiqh, bahasa dan
balaghah. Selain itu, riwayat-riwayat Isra’iliyyat dan mawdu’at juga menyusup masuk
ke dalam tafsir. Kemunculan aliran-aliran pemikiran dalam tafsir dan pelbagai kumpulan
mazhab pula menjadikan tafsir sebagai tempat perdebatan. Oleh itu, sedikit demi sedikit
karya-karya tafsir lari dari peranan asalnya untuk menyampaikan objektif al-Qur’an
sebagai kitab yang praktikal dan realistik.

Pada kurun ke 6H, perkembangan tafsir mula melalui zaman kebekuan ekoran
pelbagai masalah politik dan sosial yang berlarutan. Keadaan ini merencatkan
perkembangan pemikiran dan aktiviti intelektual umat Islam seterusnya menghentikan
amalan ijtihad. Justeru, pengkaryaan tafsir tertumpu untuk memelihara warisan karya-
karya tafsir silam dengan menghasilkan tafsir dalam bentuk ulasan, huraian atau
ringkasan kepada teks tafsir yang sedia ada.14

Fenomena ini telah meletakkan dunia Islam dalam keadaan lemah dan jumud
dalam setiap aspek kehidupan, manakala keadaan umat Islam menuju ke arah
kemunduran pemikiran sehingga abad 14H. Abad ini memperlihatkan negara-negara
Barat berada di mercu kegemilangan ilmu dan material, serta memiliki kekuatan yang
membawa mereka dapat menguasai dunia Islam dalam segenap sudut sama ada

248

Signifikan Manhaj Haraki Dalam Sejarah Pembaharuan Tafsir

pemikiran, politik, ketenteraan, ekonomi, sosial dan ilmu pengetahuan. Pertembungan
dengan Tamadun Barat ini menjarakkan lagi hubungan umat Islam dari al-Qur’an dan
melonggarkan kepercayaan mereka terhadapnya sebagai panduan hidup. Mereka
sebaliknya terpesona dengan pemikiran dan budaya hidup Barat sehingga menerimanya
sebagai cara kehidupan di zaman moden.15

Perkembangan yang tidak sihat ini mendorong para pemikir Islam menganalisis
sebab musabab dan mencari penyelesaian. Mereka merumuskan bahawa masalah ini
berpunca dari sikap umat Islam yang meminggirkan al-Qur’an. Karya-karya tafsir yang
ada pula tidak dapat membantu umat Islam untuk memanfaatkan petunjuk al-Qur’an
dalam menghadapi permasalahan semasa. Sehubungan itu, mereka melihat pentafsiran
al-Qur’an perlu diberi nafas baru supaya dapat mengubah perspektif masyarakat Islam
terhadap al-Qur’an dari sebuah kitab kerohanian kepada manual kehidupan yang
menjamin kebahagian di dunia dan akhirat.

Gerakan tajdid ilmu tafsir dipelopori oleh Muhammad Abduh (m.1906). Tajdid
ini merangkumi beberapa perkara iaitu mengembalikan manhaj Rasulullah s.a.w., para
sahabat r.a. dan salaf dalam memahami dan berinteraksi dengan al-Qur’an, menyaring
nilai-nilai negatif dalam tafsir-tafsir lama seperti unsur-unsur khurafat, riwayat-riwayat
Isra’iliyyat, mawdu’at dan konsep-konsep yang tidak diakui oleh Islam, merungkaikan
keraguan dan kekeliruan terhadap al-Qur’an sama ada yang ditimbulkan oleh
masyarakat Islam atau musuh-musuh Islam, meringkaskan perbahasan yang berkaitan
dengan hukum fiqh, akidah, falsafah dan tatabahasa Arab, menangani persoalan dan
kemelut semasa dengan memberikan tafsiran baru kepada nas mengikut perkembangan
pemikiran dan ilmu serta keperluan dan keadaan masyarakat. Tindakan ini dapat
membuktikan kepada masyarakat Islam dan orang-orang bukan Islam bahawa al-Qur’an
adalah kitab yang abadi, yang selari dengan mana-mana perkembangan zaman.16 Selain
itu, tafsir dikemukakan secara ringkas dengan gaya bahasa yang mudah, tanpa
terminologi yang menyebabkan sesebuah tafsir itu terlalu ilmiah dan sukar difahami
serta sesuai ditelaah oleh golongan tertentu sahaja.17 Gaya persembahan tafsir turut
diberi nafas baru dengan teknik pentafsiran secara tematik dan tersusun. Ini mendorong
masyarakat Islam terutama golongan awam menelaah tafsir di samping memudahkan
mereka memahami ayat-ayat al-Qur’an.

Dari satu aspek, gagasan pemikiran Abduh berjaya mewujudkan suatu
pembaharuan dalam ilmu tafsir dan membentuk madrasah tafsir yang merangsang para
ilmuan dan intelek Islam seperti Muhammad Rasyid Rida (m.1935), Ahmad Mustafa al-
Maraghi (m.1952) dan Tantawi al-Jawhari (m.1940) menghasilkan karya-karya tafsir
kontemporari. Dari madrasah inilah terbentuk pelbagai aliran atau ittijahat dalam
pentafsiran al-Qur’an seperti tafsir ijtima’i, tafsir ‘ilmi, tafsir bayani dan tafsir haraki.
Dari sudut yang lain, usaha tajdid ini masih belum dapat menyembuhkan penyakit yang
ada dalam masyarakat. Oleh itu, kemunculan gerakan dakwah cuba menampung
kekurangan ini dengan pendekatan tajdid dan islahnya melalui tanzim haraki. Ia
menawarkan manhaj yang praktikal dan applicable untuk mengembalikan fungsi al-
Qur’an dalam masyarakat sebagai sistem hidup yang menyeluruh. Jelasnya manhaj

249

Signifikan Manhaj Haraki Dalam Sejarah Pembaharuan Tafsir

haraki bukan suatu manhaj yang baru dalam tafsir al-Qur’an kerana rohnya sudah ada di
zaman Rasulullah s.a.w. dan generasi salaf. Apa yang dilakukan oleh Gerakan Islam
ialah menghidupkan kembali manhaj ini dan menjadikannya modul untuk
menyelamatkan umat Islam, mengislah dan membina semula masyarakat Islam
sebagaimana langkah-langkah yang diambil oleh Rasulullah s.a.w. dalam gerakan
dakwah baginda.

Manhaj Tajdid Gerakan Islam

Kemunculan gerakan Islam dipengaruhi oleh perkembangan semasa yang berlaku di
dunia Islam, terutama di Mesir. Pengaruh budaya hidup Barat semakin menular di
kalangan umat Islam selain dari penyebaran pemikiran atheis dan liberalisme yang
menyeru ke arah kebebasan akal dan kebebasan individu, penentangan terhadap nilai-
nilai tradisi dan penularan pemikiran material Barat serta kegiatan misionari di
universiti-universiti.18 Keadaan menjadi lebih tenat apabila khilafah Uthmaniyah yang
menjadi simbol kekuatan politik dan kesatuan umat Islam ditamatkan pada tahun 1924,
dan digantikan dengan kerajaan sekular Turki. Manakala persatuan-persatuan dakwah
yang sedia ada, ulama al-Azhar dan pemikiran tajdid Muhammad Abduh tidak dapat
menangani permasalahan umat Islam secara tuntas.19 Al-Banna berpendapat kegagalan
tajdid ini berpunca dari kegopohan para pemimpinnya. Meskipun gerakan ini
mempunyai manhaj tarbiyah yang baik, namun ia tidak dapat mendidik para
pemimpinnya sendiri. Keinginan untuk mendapatkan hasil yang segera menyebabkan
keadaan yang menjadikan mereka sebagai pemimpin bukannya masyarakat, justeru
mereka terpedaya dengan kegopohan sendiri untuk memimpin masyarakat dan terjerat
dalam tipu daya politik.20

Selain itu, madrasah tafsir Muhammad Abduh juga seringkali tergelincir dari
metodologi tafsir yang sahih. Antaranya ialah mengutamakan akal dalam mentafsirkan
nas sehingga menolak riwayat-riwayat sahih termasuk hadith Ahad, mentakwil perkara-
perkara mubhamat dengan sains dan mengenepikan sesetengah riwayat sabab al-Nuzul
dalam memahami nas. Kelemahan ini telah mengundang kontroversi sehingga madrasah
ini disifatkan oleh sesetengah pengkaji sebagai madrasah yang berasaskan rasional atau
manhaj yang menselarikan Islam dengan tamadun Barat,21 meskipun sebahagian penulis
yang lain menjadikan tuntutan zaman dan cabaran Tamadun Barat sebagai justifikasi
kepada kecenderungan ini.22

Sehubungan itu, kelahiran gerakan Islam dengan pendekatan tafsirnya sangat
signifikan dalam sejarah tajdid. Gerakan Islam yang pertama ditubuhkan ialah Jama’ah
al-Ikhwan al-Muslimin dan diasaskan oleh Imam Hasan al-Banna pada tahun 1928 di
Mesir. Pemikiran gerakan ini kemudiannya berkembang ke beberapa negara Islam
dengan penubuhan gerakan-gerakan Islam lain yang membawa mesej yang sama iaitu
Islam yang syumul dan kewajipan mengembalikan khilafah.23

250

Signifikan Manhaj Haraki Dalam Sejarah Pembaharuan Tafsir

Antara ciri-ciri penting manhaj gerakan Ikhwan yang melonjakkan peranannya
dalam gerakan tajdid ialah:

1. Kesyumulan Islam sebagai satu sistem yang menyentuh seluruh dimensi hidup
menjadi teras dakwahnya. Islam ialah negara, tanahair, ummah, akhlak, tarbiyah,
kekuatan, keadilan, rahmat, budaya, undang-undang, ilmu, kehakiman, material
dan kekayaan, jihad dan dakwah. Islam juga adalah akidah yang benar dan ibadat
yang sahih.24

2. Matlamatnya ialah melakukan islah dan tajdid dalam semua lapangan hidup,
menyediakan tenaga kerja untuk Islam dan membentuk mujahid untuk berjihad
di jalan Allah.25

3. Menfokuskan kepada perhubungan dan pergaulan rapat dengan masyarakat
awam supaya penjajah tidak dapat menguasai rakyat meskipun mereka berjaya
mempengaruhi golongan pemimpin dan berpangkat. Secara tidak langsung,
gerakan ikhwan melebarkan pemikiran islah Muhammad Abduh yang hanya
berlegar dalam kelompok intelektual ke semua peringkat masyarakat.26

4. Ikhwan memperjuangkan Islam secara komprehensif dengan pelbagai kaedah. Ia
menyatukan kaedah islah Jamaluddin al-Afghani melalui politik dan Muhammad
Abduh melalui pengajaran dan memberi ilmu pengetahuan.27 Ini kerana tumpuan
kepada kaedah pengajaran semata-mata akan mencenderungkan dakwah kepada
falsafah dan ketidakberhasilannya.28

5. Perlaksanaan program islah secara berperingkat iaitu ta’rif, takwin dan tanfidh.
Manakala proses tarbiyah dimulakan dengan pembentukan individu, keluarga
dan masyarakat berasaskan sistem-sistem hidup Islam, membebaskan negara dari
kuasa asing, mengislah kerajaan sehingga menjadi sebuah pemerintahan Islam
serta mengembalikan kemuliaan Islam di peringkat global.29

Madrasah Ikhwan meletakkan al-Qur’an sebagai paksi kepada manhaj tajdidnya.
Semua kuliah, khutbah dan pengajaran al-Banna bertitik tolak dari pentafsiran ayat-ayat
al-Qur’an atau diskusi salah satu topik al-Qur’an.30 Al-Banna menginsafkan masyarakat
Islam bahawa kehidupan mereka kini yang lemah, tertindas dan dikuasai penjajah
disebabkan perbuatan mereka meninggalkan petunjuk al-Qur’an. Bagi mengembalikan
kekuatan umat, beliau menyuntik kesedaran akan fungsi al-Qur’an sebagai kitab hidayah
kepada seluruh sistem kehidupan, bukan semata-mata untuk dibaca dalam solat atau
bacaan harian atau di perkuburan.31 Sebaliknya al-Qur’an dengan manhajnya yang
haraki (praktikal dan realistik) adalah untuk dihayati dan dilaksanakan.

Antara asas-asas pendekatan tafsir haraki yang diaplikasi oleh al-Banna ialah: 32

1. Huraian ayat-ayat al-Qur’an dibuat secara sederhana panjang, makna perkataan
dan ungkapan tertentu dijelaskan secara umum dan pentafsiran dibuat dengan
ayat dan bahasa yang mudah. Pentafsiran sebegini membolehkan semua lapisan
masyarakat sama ada orang awam atau golongan intelek dapat memahami
tafsir tanpa memerlukan pengetahuan mendalam dalam ilmu-ilmu tertentu.
Oleh itu mereka mendapat manfaat dari tafsir tersebut secara maksimum.

251

Signifikan Manhaj Haraki Dalam Sejarah Pembaharuan Tafsir

2. Pendekatan tafsir berdasarkan tema untuk memudahkan pembaca memahami
tafsiran, merenung dan meneliti ayat-ayat, serta membantu untuk mengkaji dan
menyelidik.

3. Menitikberatkan objektif penurunan al-Qur’an sebagai kitab hidayah,
mengingatkan umat Islam akan fungsi al-Qur’an sebagai kitab untuk dibaca
dan menerangi hati orang-orang mukmin, menjadi perlembagaan hidup dan
sistem kepada masyarakat, seterusnya menggariskan jalan kebahagiaan di
dunia dan akhirat.

4. Menghubungkaitkan al-Qur’an dengan pelbagai realiti kehidupan semasa sama
ada ilmiah, sosial, politik dan akhlak di samping menjelaskan bagaimana al-
Qur’an itu bersifat dinamik dan realistik.

5. Mengemukakan sebab penurunan sesuatu ayat dan hubungan antara sebab dan
ayat tersebut. Al-Banna juga menjelaskan situasi yang melatari penurunan
surah (jaww al-nuzul) supaya pembaca dapat mengimbau bagaimana situasi
yang melatari penurunan ayat tersebut. Dengan kata lain pembaca membawa
jiwa dan pemikirannya kembali ke zaman penurunan al-Qur’an, seolah-olah
menyaksikan sendiri bagaimana ayat-ayat ini diturunkan, serta melihat reaksi
para sahabat r.a. apabila menerima al-Qur’an dan kesungguhan mereka
mengamalkan tuntutannya.

6. Mengeluarkan pengajaran dan hukum-hukum fiqh tanpa kecenderungan untuk
menyokong atau ta’sub kepada mana-mana mazhab fiqh tertentu, sebaliknya
meletakkan maslahah sebagai keutamaan dalam menentukan sesuatu hukum
dan berusaha menyatukan pelbagai pandangan.

7. Berhati-hati dan teliti dalam isu khilaf sama ada dalam isu-isu fiqh atau akidah,
justeru tidak memperincikan masalah yang menjadi khilaf seperti mutasyabihat
dan mubhamat. Sebaliknya al-Banna menutup ruang perdebatan dan takwil
dengan mengajak masyarakat kembali kepada keterangan al-Qur’an dan hadis,
serta menghormati perbezaan pendapat dengan roh kasih sayang dan
persaudaraan Islam. Sikap ini diambil untuk mengelak dari berlaku perselisihan
di kalangan umat Islam.

8. Melakukan penelitian terhadap kejadian dan qasas yang disebut dalam al-
Qur’an. Qasas ini tidak akan dikemukakan kecuali mana-mana yang berkaitan
langsung dengan ayat dan disokong oleh dalil.

9. Menjawab tuduhan dan menolak keraguan terhadap al-Qur’an sama ada
dicetuskan oleh orang-orang kafir atau masyarakat Islam sendiri.

10. Mengingatkan masyarakat Islam supaya sentiasa berinteraksi dengan al-Qur’an
dengan baik supaya mendapat petunjuk al-Qur’an, iaitu beriman dengan yakin
terhadap kebenaran al-Qur’an, menjadikan al-Qur’an sebagai guru dan bacaan
sebagaimana ulama salaf yang tidak pernah lekang dari al-Qur’an, membaca
al-Qur’an dengan hati yang khusyuk dan tadabbur supaya al-Qur’an berbekas
di hati dan mengamalkan al-Qur’an dalam kehidupannya.33

252

Signifikan Manhaj Haraki Dalam Sejarah Pembaharuan Tafsir

Perkara pokok yang menjadi tunjang kepada manhaj haraki ialah pentafsiran al-
Qur’an bukan bersandarkan kepada teori dan ilmu semata-mata, sebaliknya kepada
kefahaman dan penghayatan peribadi pentafsir terhadap al-Qur’an secara praktikal serta
pengalaman dakwahnya.34 Kemudian kefahaman dan pengalaman itu dikongsikan
dengan masyarakat justeru tafsir yang disampaikan itu ‘hidup’ dan dapat menjelaskan
bagaimana Islam berfungsi sebagai agama yang realistik dan praktikal kepada semua
dimensi kehidupan manusia. Pendekatan ini berbeza dengan manhaj Madrasah
Muhammad Abduh. Kebanyakan diskusinya dalam sesetengah isu seperti ayat-ayat
berkaitan jihad bersifat umum dan teoritikal kerana tokoh-tokohnya tidak terlibat dalam
politik, sebaliknya menfokuskan islah dalam pendidikan dan kemasyarakatan.35
Manakala pendekatan tafsir gerakan Islam adalah menyeluruh dengan tumpuan kepada
aspek dakwah, tarbiyah, tazkiyyah, jihad dan perjuangan yang dibina di atas asas-asas
petunjuk al-Qur’an dan al-Sunnah.

Kesimpulan

Manhaj haraki mempunyai signifikan tersendiri dalam sejarah tajdid pentafsiran al-
Qur’an. Meskipun terhutang budi dengan madrasah Muhammad Abduh, manhaj ini
mengemukakan perspektif gerakan Islam dalam melakukan perubahan masyarakat dan
mendekatkan kembali mereka kepada ajaran Islam. Manhaj ini bermatlamat untuk
melakukan islah secara komprensif dan praktikal, bertepatan dengan tujuan penurunan
al-Qur’an sebagai kitab hidayah yang memandu segenap aspek kehidupan manusia di
dunia dan akhirat. Kesyumulan dakwahnya membawa kepada titik pertemuan dengan
manhaj aliran-aliran Islam sekaligus memberi nilai tambah kepada gerakan islah.

Nota Hujung

1 Ibn Manzur, Lisan al-‘Arab, ed. Amin Muhammad ‘Abd al-Wahhab dan Muhammad al-Sadiq,
(Beirut: Dar Ihya’ al-Turath al-‘Arabi, 1999), j.3, h.136; Ibn Sayyidah al-Mursa, al-Muhkam wa
al-Muhit al-‘A’zam, Tahqiq Dr. ‘Abd al-Hamid Hindawi, (Beirut: Dar al-Kutub al-Ilmiyyah, t.t.), j.
3, h. 38; Ibrahim Mustafa dkk, al-Mu’jam al-Wasit, (Istanbul: al-Maktabah al-Islamiyah, cet. 2,
1972), h. 168.

2 Hasan Makki, Mafahim fi Fiqh al-Harakah, (t.tmpt: Matbu‘at al-Harakah al-Islamiyyah al-
Tullabiyah, 1995), h.1-2.

3 Musa Ibrahim al-Ibrahimi, al-Fiqh al-Haraki fi al-‘Amal al-Islami al-Mu’asir Dirasah
Ta’siliyyah Naqdiyyah, (Amman: Dar ‘Ammar, 1997), h. 25.

4 ‘Imad Mahmud ‘Abd al-Karim, al-Imam Hasan al-Banna wa Manhajuh fi Tafsir al-Qur’an al-
Karim, (Kaherah: Dar al-Tawzi’, 2004), h. 68.

5 al-Ibrahimi, Op.Cit., h. 29-31; Salah ‘Abd al-Fattah al-Khalidi, Sayyid Qutb min al-Milad ila al-
Istisyhad, (Damsyik: Dar al-Qalam, 1991), h. 547; al-Khalidi, Madkhal fi Zilal al-Qur’an,
(Amman: Dar ‘Ammar, cet. 2, 2000), h. 254.

253

Signifikan Manhaj Haraki Dalam Sejarah Pembaharuan Tafsir

6 al-Khalidi, Ta‘rif al-Darisin bi Manahij al-Mufassirin, (Damsyik: Dar al-Qalam, 2002), h. 568.
7 Ibid., h. 606.
8 Munir Muhammad al-Ghadban, al-Manhaj al-Haraki li al-Sirah al-Nabawiyah, (Jordan:

Maktabah al-Mannar, cet. 5, 1989), J.1, h. 15.
9 Riwayat Ahmad ibn Hanbal, al-Musnad, (Kaherah: Mu’assasah Qurtubah, t.t.), j. 6. h. 91. No.

24645.
10 Sayyid Qutb, Ma’alim fi al-Tariq, (Kaherah: Dar al-Syuruq,1980), h. 15-22; Adnan Muhammad

Zarzur, Madkhal ila Tafsir al-Qur’an wa ‘Ulumih, (Damsyik: Dar al-Qalam, cet. 2, 1998), h. 250-
252.
11 Hadis ini sahih al-Isnad tetapi tidak dikeluarkan oleh al-Bukhari dan Muslim. Al-Hakim,
Mustadrak ‘ala al-Sahihayn, Tahqiq Mustafa ‘Abd al-Qadir ‘Ata, (Beirut: Dar al-Kutub al-
Ilmiyyah, cet. 1, 1991), j.1 .h. 743, no. 2047.
12 Athar ini tidak didapati dalam mana-mana kitab hadis, tetapi Ibn Taymiyyah memetiknya dari
riwayat Abi Abd al-Rahman al-Silmi. Lihat Ibn Taymiyah, Majmu’ al-Fatawa, Tahqiq Anwar al-
Baz dan ‘Amir al-Jazar, (Mansurah: Dar al-Wafa’, cet. 3, 2005), j. 13, h. 164.
13 ‘Affat Muhammad al-Syarqawi, Ittijahat al-Tafsir fi Misr fi al-‘Asr al-Hadith, (Kaherah:
Matba’ah al-Kilani, 1972), h. 19, 32; ‘Imad Mahmud, Op.Cit., h. 65.
14 Al-Syarqawi, Op.Cit., h. 44-47; ‘Abd al-Majid ‘Abd al-Salam al-Muhtasib, Ittijahat al-Tafsir fi al-
‘Asr al-Hadith, (Amman: Maktabah al-Nahdah al-Islamiyyah, cet.3, 1982), h. 142.
15 Al-Muhtasib, Ibid., h. 38.
16 Muhammad Husayn al-Dhahabi, al-Tafsir wa al-Mufassirun, (Kaherah, Maktabah Wahbah, cet. 6,
1995), j.2, h. 533; Adnan Mohamed Yusof, Op.Cit., h. 62.
17 Ciri ini mewarnai karya-karya tafsir sebelum era tajdid yang dibawa oleh Muhammad Abduh. Lihat
Jansen, J.J.G., The Interpretation of the Koran in Modern Egypt, (Leidin: E.J. Brill, 1974), h. 18-
19; Adnan Mohamed Yusof, Ibid., h. 29-31.
18 Hasan al-Banna, Mudhakkirat al-Da’i wa al-Da’iyah, (Damsyik: al-Maktab al-Islami, cet. 3,
1974), h. 49.
19 ‘Abbas al-Sisi, Hasan al-Banna Mawaqif fi al-Da’wah wa al-Tarbiyah, (Kaherah: Dar al-Tawzi’
wa al-Nasyr al-Islamiyah, 2001), h. 258.
20 Hasan al-Banna, Op.Cit., h. 137.
21 Fahd bin ‘Abd al-Rahman al-Rumi, Manhaj al-Madrasah al-‘Aqliyyah al-Hadithah fi al-Tafsir,
(Riyad: Maktabah al-Rasyid, cet. 5, 1422H); ‘Abd al-Majid ‘Abd al-Salam al-Muhtasib, Ittijahat
al-Tafsir fi al-‘Asr al-Rahin, (Amman, Maktabah al-Nahdah al-Islamiyah, 1982), h. 101-243.
22 Adnan Mohamed Yusof, Op.Cit., h. 366.
Dalam isu ini, pandangan Muhammad al-Ghazali wajar diberi perhatian. Beliau mengakui beberapa
kesilapan manhaj tafsir Abduh, namun mempertikaikan sesetengah tuduhan ke atas peribadinya.
Sebaliknya beliau mahu masyarakat menghormati orang-orang terdahulu serta melihat nilai ilmiah
dan sumbangan Abduh yang lebih besar kepada pemikiran Islam berbanding kelemahan yang
mungkin disebabkan keadaan tertentu. Lihat Muhammad al-Ghazali, ‘Ilal wa Adwiyah,
(Iskandariyah: Dar al-Da’wah, 1991), h. 83-109.
23 Fathi Yakan, al-Islam Fikrah wa Harakah wa Inqilab, (Beirut: Mu’assasah al-Risalah, cet. 17,
1995), h. 49.
24 Ibid., h. 31; Yusuf al-Qaradawi, al-Tarbiyah al-Islamiyah wa Madrasah Hasan al-Banna,
(‘Abidin: Maktabah Wahbah, cet. 3, 1992), h. 24; al-Qaradawi, Syumul al-Islam, (Kaherah:
Maktabah Wahbah, cet. 4, 2006), h. 120-121.
25 Ali ‘Abd al-Halim Mahmud, Rukn al-‘Amal aw Manhaj al-Islah al-Islami li al-Fard wa al-
Mujtama’, (Kaherah: Dar al-Tawzi’ wa al-Nasyr al-Islamiyyah, 1994), h. 8.
26 Muhammad ‘Amarah, al-Syaykh Muhammad al-Ghazali al-Mawqi’ al-Fikri wa al-Ma’arik al-
Fikriyyah, (Kaherah: Hay’ah Misriyah, 1992), h. 40.
27 Fathi Yakan, Manhajiyyat al-Syahid Hasan al-Banna wa Madaris al-Ikhwan al-Muslimin,
(Beirut: Mu’assasah al-Risalah, 1998), h.10.

254

Signifikan Manhaj Haraki Dalam Sejarah Pembaharuan Tafsir

28 Rif’at al-Sa’id, Hasan al-Banna Mu’assis Harakah al-Ikhwan al-Muslimin, (Beirut: Dar al-
Tali’ah, cet. 4, 1986), p. 44-45.

29 Fathi Yakan, 1998, Op.Cit., h. 33-34, 85.
30 Ciri ini merupakan salah satu persamaan antara tokoh-tokoh gerakan Islah, selain kewartawanan.

Lihat Mazin Salah Mutabbiqani, ‘Abd al-Hamid ibn Badis al-‘Alim al-Rabbani wa al-Za’im al-
Siyasi, (Damsyik: Dar al-Qalam, cet. 2, 1999), h. 140-141.
31 Intisari ucapan al-Banna semasa melawat Iskandariah sempena sambutan Maulid al-Rasul pada
tahun 1937 dalam ‘Abbas al-Sisi, Ibid., h. 61-63.
32 Pendekatan ini boleh diteliti dalam makalah-makalah tafsir al-Banna yang telah dikumpulkan oleh
anaknya dan beberapa individu lain. Lihat Hasan al-Banna, Maqasid al-Qur’an al-Karim, ed.
Ahmad Sayf al-Islam, (Kuwait: Dar al-Wathiqah, 2004).
33 Al-Banna, Maqasid al-Qur’an, h. 42; al-Banna, Keagungan al-Qur’an, terjemahan Muhammad
Baihaqi, (Selangor: Pustaka Ilmi, 1998), h. 6-12.
34 Imad Mahmud, Op.Cit., h. 95.
35 al-Syarqawi, 1972, Op.Cit., h. 182-183,185.

255


Click to View FlipBook Version