BIODATA : NAMA : NUR FASHARIAH BINTI HJ. FAUZI TARIKH LAHIR : 20 DISEMBER 1985 TEMPAT LAHIR : BACHOK, KELANTAN UMUR : 38 TAHUN STATUS : SUDAH BERKAHWIN & MEMILIKI 3 ORANG CAHAYA MATA USIA BERKHIDMAT DI SMK JATI : 13 TAHUN
SEJARAH PENDIDIKAN & PEKERJAAN : 1. SEKOLAH RENDAH = SK KANDIS (1992 – 1997) 2. SEKOLAH MENENGAH = SMK KANDIS (1998 – 2002) 3. TINGKATAN 6 = SMK BACHOK (2003 – 2004) 4. IJAZAH SARJANA MUDA PENDIDIKAN BIMBINGAN & KAUNSELING DI UNIVERSITI PENDIDIKAN SULTAN IDRIS @ UPSI (2005 – 2009) 5. MULA BERKHIDMAT SEBAGAI GURU BIMBINGAN DAN KAUNSELING SEPENUH MASA PADA TAHUN 2010 DI SMK JATI
Apakah itu adab dan akhlak dalam Islam? “Adab” berasal dari perkataan Arab iaitu أدب yang memberi maksud perilaku dan perbuatan kebaikan, kesantunan, moral, sopan-santun, kesusilaan, serta kemanusiaan.
Manakala, perkataan ”Akhlak” berasal daripada perkataan (al-akhlaaku) iaitu kata jama’ daripada perkataan (al-khuluqu) yang bererti tabiat, kelakuan, perangai dan tingkah-laku, adat kebiasaan, malah ia juga bererti agama itu sendiri.
Antara definasi akhlak menurut istilah ialah sifat yang tertanam di dalam diri yang dapat mengeluarkan sesuatu perbuatan dengan senang dan mudah tanpa pemikiran, penelitian dan paksaan.
Ibnu Miskawaih, ahli falsafah Islam yang terkenal mentakrifkan akhlak itu sebagai keadaan jiwa yang mendorong ke arah melahirkan perbuatan tanpa pemikiran dan penelitian.
Imam Ghazali Radiallahu anhu mengatakan akhlak ialah suatu keadaan yang tertanam di dalam jiwa yang menampilkan perbuatan-perbuatan dengan senang tanpa memerlukan pemikiran dan penelitian.
Apabila perbuatan yang terkeluar itu baik dan terpuji menurut syara’ dan akal, perbuatan itu dinamakan akhlak yang mulia. Sebaliknya, apabila terkeluar perbuatan yang buruk, ia dinamakan akhlak yang buruk.
Contoh-contoh Adab & Akhlak Baik Yang Perlu Diamalkan Oleh Setiap Orang Murid
1. Memberikan Salam Kepada Guru / Bersalam-salaman / Mencium Tangan Guru - Lihat pada zaman dahulu, murid-murid akan mengelak daripada bertembung dengan guru kerana perasaan takut dan hormat yang terlalu tinggi.
- Tetapi lain pula yang berlaku pada hari ini, guru pula yang perlu memberi laluan kepada murid dan mengucapkan salam terlebih dahulu kerana murid-murid hari ini beranggapan bahawa urusan bersama guru telah selesai apabila di luar bilik darjah.
- Jadi, untuk mengembalikan persekitaran pembelajaran yang mesra dan sentosa, budaya memberi salam kepada guru dan bersalam-salaman atau mencium tangan guru perlu dibaja dalam diri setiap murid supaya dapat mewujudkan suasana hormat - menghormati antara murid dengan guru-guru.
2. Jangan Banyak Bercakap Ketika guru sedang mengajar di hadapan, kita sebagai murid perlu mengelakkan diri daripada bercakap-cakap dengan teman di sebelah.
Hal ini demikian kerana sikap begitu akan menyebabkan kita tidak dapat memberi tumpuan yang sepenuhnya terhadap ilmu yang disampaikan oleh guru yang menyebabkan kita tidak dapat memahami perkara yang diterangkan oleh guru.
Tambahan lagi, sikap bercakap ketika guru sedang mengajar di hadapan adalah sangat tidak beradab menurut Islam. Tetapi, lain pula dengan situasi hari ini yang dapat kita lihat ialah murid semakin mendominasi situasi kelas seolah-olah lebih berkuasa daripada guru.
3. Jangan Bercakap Jika Tidak Ditanya Ketika dalam proses pengajaran dan pembelajaran sedang berlangsung, murid seharusnya bercakap apabila perlu sahaja dan jangan bercakap selagi tidak disoal oleh guru.
Hal ini demikian kerana apabila seorang murid bercakap ketika tidak ditanya ia seperti kita tidak beradab dengan orang yang telah mencurahkan ilmu kepada kita.
Sebagaimana firman Allah S.W.T; “Wahai orang-orang yang beriman, taatlah kamu kepada Allah dan taatlah kamu kepada Rasulullah dan kepada Ulul-Amri {orang-orang yang berkuasa} dari kalangan kamu” Surah An-Nisa’ ayat 59
Perkataan Ulul-Amri di dalam ayat tersebut boleh dinisbahkan kepada guru yang mana darjat mereka juga sangat tinggi disisi Allah. Dan melalui ayat tersebut jelaslah bahawa kita sebagai murid perlu taat dan mendengar setiap arahan guru kita sebagaimana yang telah diperintahkan oleh Allah.
4. Jangan Menyangkal Kata-Kata Guru Adab yang perlu dititikberatkan oleh murid yang seterusnya ialah jangan sesekali menyangkal kata-kata guru.
Hal ini demikian kerana apabila kita sebagai murid membantah setiap nasihat dan teguran guru yang telah mencurahkan segala ilmunya, kita seolah-olah melawan kata-kata ibu bapa kita sendiri.
Contohnya, guru sedang menerangkan salah satu formula Matematik di dalam kelas, kemudian kita menegur bahawa formula yang diajar oleh guru itu salah di hadapan kawan-kawan sekelas, perkara ini akan menjatuhkan air muka guru yang mungkin menjejaskan pekerjaannya sebagai guru.
Murid-murid boleh menggunakan medium yang sesuai untuk membuat teguran kepada guru yang mungkin terlepas pandang bahawa berlaku sedikit kesalahan dalam sesi pengajarannya.
5. Elakkan Berbisik Di Hadapan Guru Selain itu, jangan kita berbisik dengan orang di sebelah ketika guru sedang menyampaikan ilmu. Hal ini demikian kerana perlakuan berbisik itu sangat tidak bagus dan dilarang di dalam Islam.
Sebagaimana hadith daripada Mas’ud r.a beliau berkata: Rasulullah S.A.W bersabda; “Jika kalian bertiga maka janganlah 2 orang berbicara atau berbisik berduaan sementara yang ketiga tidak diajak sampai kalian bercampur dengan manusia kerana hal ini akan membuat orang yang ketiga tadi bersedih”. Riwayat Imam Bukhari dan Imam Muslim
Menurut hadith tersebut jelaslah bahawa perlakuan berbisik itu akan menyinggung perasaan orang lain yang berada di sekitar kita.
Jika berbisik di hadapan orang ketiga yang mungkin kawan kita juga akan menyebabkan dia tersinggung, apatah lagi pula jika berbisik di hadapan guru yang sedang mengajar di hadapan. Perkara tersebut mungkin akan menimbulkan prasangka buruk di dalam diri guru tersebut.
6. Jangan Berburuk Sangka Kepada Guru Di samping itu, antara adab yang perlu diamalkan oleh seorang murid terhadap guru ialah jangan pernah berburuk sangka kepada guru. Hal ini demikian, kerana sikap itu tidak perlu ada dalam diri seorang murid kerana seorang murid tidak berhak menilai dan menghukum setiap perlakuan gurunya.
7. Berdiri Apabila Guru Bangun Adab yang perlu dipraktikkan oleh murid yang seterusnya ialah berdiri apabila guru bangun. Hal ini demikian kerana kedudukan seorang guru itu sangat tinggi di sisi Allah, maka bagi seorang murid yang beradab kita patut berdiri ketika guru berjalan ketika masuk dan keluar kelas kerana itu menandakan yang kita amat menghormati guru.
Contoh lainnya, jika kita terpaksa berselisih dengan guru untuk menggunakan laluan tertentu, sebagai murid kita perlu dahulukan guru untuk menggunakan laluan tersebut.
Jika dilihat pada zaman sekarang, ada segelintir murid seolah-olah tidak kisah perihal bangun menghormati guru masuk dan keluar kelas dan tidak kisah akan cara-cara menghormati guru yang sepatutnya dipraktikkan jika berselisih dengan guru.
Sebagaimana yang diketahui umum, guru ibarat ibu bapa kita kerana mereka juga berusaha keras mendidik, membimbing, dan mengajar kita menjadi insan yang berguna. Jadi, jangan sesekali kita menyangkal kata-kata guru yang telah mencurahkan ilmu mereka kepada kita.
Selain itu, sebagai murid kita haruslah mengelakkan daripada melakukan perkara yang menunjukkan kita tidak beradab ketika di hadapan guru. Disini jelaslah bahawa kita sebagai murid perlu taat dan mendengar setiap arahan guru kita sebagaimana yang telah diperintahkan oleh Allah S.W.T.