TARIKH : 12 MAC 2020
HARI : KHAMIS
MASA : 8.00 PAGI
TEMPAT : DEWAN PENDETA
Bismillahirrahmanirahim,
Terima kasih kepada pengerusi majlis
Assalamualaikum wbt .dan salam sejahtera.
Yang Berbahagia Puan Hasnelly Sarah binti Hamdan,
Pengurus Cawangan Co-Opbank Pertama Cawangan Alor
Setar
Yang Berusaha Tuan Haji Mohd Najib bin Abu Bakar,
Yang Dipertua PIBG, SMK Dato’Syed Omar.
Yang Berusaha Puan Normala binti Abd. Rahman,
Penolong Kanan Pentadbiran SMK Dato’ Syed Omar.
Penolong – Penolong Kanan, Guru-guru Kanan dan guru –
guru SMK Dato’ Syed Omar.
Ahli Jawatankuasa PIBG SMK Dato’ Syed Omar
Tuan tuan dan puan – puan serta para hadirin sekalian
Alhamdulillah, bersyukur kita ke hadrat Allah swt atas
limpah dan kurniNYa dapat kita berkumpul pada hari ini untuk
melaksanakan tugas dan tanggungjawab dalam mesyuarat
Agung PIBG SMK Dato’Syed Omar kali ke-40 tahun 2020.
Saya bagi pihak sekolah dan AJK PIBG SMK Dato’Syed
Omar menagalu-alukan kehadiran tuan/puan khasnya para
ibubapa ke majlis kita hari ini. Selaku pengetua saya berasa
sungguh teruja dan bersyukur dengan kehadiran serta
komitmen tuan/puan. Semoga dengan kehadiran ini, dapat
menyuntik semangat dan iltizam kami untuk berusaha
meningkatkan lagi pencapaian sekolah ini. Kehadiran
tuan/puan menandakan sokongan terhadap SMK Dato’Syed
Omar. Sesungguhnya hal ini merupakan petanda baik
bahawa wujudnya permuafakatan dan komitmen yang jitu
antara ibu bapa dan sekolah bagi merealisasikan
kecemerlangan anak-anak kita.
Tuan-tuan dan puan-puan sekalian,
Terbang tinggi si burung enggang,
Hinggap sebentar di tepi perigi,
Kita berkumpul untuk berbincang,
Keprihatinan tuan di sanjung tinggi.
Sesungguhnya majlis pada hari ini amat bermakna kerana
pihak sekolah dan ibu bapa dapat bersua muka untuk
berbincang dan mencari kata sepakat, demi kepentingan
masa depan anak-anak. Kehadiran tuan/puan umpma
menteri, memberi keyakinan kepada pihak sekolah untuk
melangkah sederap mencemerlangkan sekolah ini dan
memotivasikan murid untuk memajukan diri dalam pelbagai
bidang. Hal ini seiring dengan kehendak KPM yang diterapkan
Sarana Ibubapa. Sokongan yang padu daripada ibu bapa
amat diperlukan untuk meningkatkan pencapaian akademik
anak-anak tuan/puan.
Tuan/puan sekalian,
Mesyuarat Agung Tahunan merupakan satu agenda wajib
dalam kalendar pendidikan setiap tahun. Hari ini merupakan
hari yang dinanti – nantikan oleh ibu bapa untuk mengetahui
apakah agenda yang telah dan akan dilaksanakan bagi
membantu anak-anak tuan puan di sekolah. Pada masa inilah
peluang ibubapa untuk memberi pandangan serta buah fikiran
bagi membantu sebarang usaha sekolah. Penglibatan ibu
bapa yang aktif dalam PIBG dapat memberi impak yang positif
kepada anak-anak sekolah ini.
Hadirin yang dihormati sekalian.
Permuafakatan seumpama ini dapat membina
kesefahaman tentang tugas dan tanggungjawab bersama
antara pihak sekolah dan para waris. Saya berharap
kerjasama yang jitu antara PIBG dan sekolah bagi memenuhi
harapan ibu bapa dan guru untuk kecemerlangan dalam
bidang akademik dan kokurikulum. Bak kata pepatah Ajar diri
kita bercita-cita tinggi supaya boleh beri inspirasi kepada
anak-anak kita untuk mempunyai impian yang Tinggi.
Untuk makluman, bilangan muris sekolah ini seramai 996 dan
murid yang tinggal di asrama 178 orang. Asrama sekolah kita
sentiasa menjadi pilihan para waris untuk menempatkan
anak-anak namun pihak asrama terpaksa membuat pemilihan
dan tapisan bagi memastikan keselesaan dalam asrama.
Tuan/puan sekalian,
Sekolah telah mencapai kejayaan dalam pelbagai bidang
sama ada dalam bidang kurikulum ataupun kokurikulum.
Bidang kurikulum pencapaian sekolah ini dalam Pentaksiran
Tingkatan 3 telah mencapai 64% dengan pencapaian 9A 3
orang. Dalam PT3 kelulusan seseorang pelajar itu ialah
mereka mesti lulus dalam semua mata pelajaran sekurang-
kurangnya gred E.
Pada 5 Mac yang lalu keputusan Sijil Pelajaran Malaysia
(SPM) telah diumumkan. Sekolah kita telah mendapat
keputusan yang terbaik berbanding keputusan SPM lima
tahun yang lalu. Pencapaian GPK sekolah ialah 4.83 dengan
pencapaian tertinggi 8A dua orang dan
Murid layak mendapat sijil ialah 98.40 atau 184 orang murid
lulus mata pelajaran wajib lulus. Pada tahun 2020 ini target
SPM sekolah ialah GPK 4.79. Saya percaya pencapaian ini
menjadi pembakar semangat kepada guru-guru untuk
mendidik anak bangsa dengan sokongan para waris sekalian.
Tuan-tuan dan puan-puan, “kalau tidak dipecahkan ruyung,
manakan dapat sagunya.”
Kejayaan kita tahun lalu mempunyai kaitan dengan usaha
yang telah dilaksanakan oleh guru-guru sekolah ini. Untuk
makluman tuan puan pada tahun 2019 pihak sekolah telah
melaksanakan 60 aktiviti peningkatan akademik dan sahsiah
bagi memperkasakan misi sekolah antaranya ialah ;
1. Program Perkongsian Pintar bagi murid-murid
tingkatan 4AR dan 4AKW
2. Program Motivasi murid-murid tingkatan 3 dan 5
3. Program kecemerlangan murid tingkatan 5 mengikut
Fasa 1 hingga Fasa 3
4. Program Ampuh (mujarab) – pemantapan sahsiah dan
akademik murid-murid tingkatan 3 dan 5
5. Jejak Cemerlang di hotel The Jerai Hotel Fasa 1
Kumpulan Cemerlang, Fasa 2 dan Fasa 3 Kumpulan
Halus
6. Kelas tambahan sepanjang tahun bermula dari bulan
Februari.
7. Program Ziarah Cakna dan Mawaddah Pengetua.
Ini merupakan 7 program Mega yang dilaksanakan oleh
pihak sekolah dengan sokongan kuat daripada pihak
kaunseling sekolah. Realitinya kita dapat melihat sikap
muafakat guru-guru demi kejayaan murid-murid.
Tahun ini pihak sekolah mensasarkan pencapaian yang
lebih baik berbanding tahun lalu, Oleh itu, bagi melestarikan
kemenjadian murid, pelbagai program dan aktiviti telah
dirancang. Antaranya ialah Program Orentasi murid tingkatan
satu dan empat, Jom ke sekolah, Program sifar ponteng,
Pelancaran SUMUR, Ziarah cakna dan HIP pada bulan
Bahasa dan aktiviti kelas tambahan hujung minggu sudah
bermula.
Pelaksanaan program-program ini memerlukan perbelanjaan
yang agak banyak. Oleh itu seperti mana biasa pihak sekolah
mengharapkan sokongan daripada pihak waris, terutama dari
segi kewangan. Jadi apabila kutipan untuk peningkatan
prestasi dibuat, pihak sekolah berharap para waris dapat
menyempurnakannya.
Tuan-tuan dan puan-puan sekalian,
Kejayaan sesebuah sekolah bergantung kepada komitmen
semua iaitu para guru, para waris dan murid sendiri.
Kehadiran anak-anak tuan/puan ke sekolah merupakan salah
satu faktor yang menentukan kejayaan anak-anak tuan/puan.
Sekiranya mereka tidak hadir ke sekolah, mereka akan
ketinggalan dalam PdPc dan tidak dapat ilmu yang diajar oleh
guru. Oleh yang demikian, pihak sekolah berharap agar
tuan/puan dapat memastikan anak-anak tuan/puan hadir ke
sekolah tepat pada waktunya. Pihak sekolah mensasarkan
peratus kehadiran setiap haru ialah 96 % selaras dengan
program sifar ponteng.
Hadirin warga dewan yang dihormati,
Pihak sekolah juga sentiasa memastikan agar keselamatan
anak tuan/ puan terjaga semasa datang mahu pun pulang.
Justeru, kepada ibu bapa yang menghantar anak ke sekolah
dengan kenderaan sendiri dipohon agar dapat menurunkan
anak di pintu pagar B untuk mengelak kesesakan di pintu
pagar utama. Bagi anak-anak tuan/puan yang menunggang
motosikal ke sekolah, tuan/puan dipohon agar memastikan
anak-anak yang menunggang motosikal itu memiliki lesen
memandu dan memakai topi keledar. Hal ini sangat penting
kerana di samping langkah-langkah keselamatan, juga akan
dapat mengelakkan anak-anak tuan/puan daripada disaman
jika terlibat dalam kemalangan. Sekiranya tuan/puan yang
berasa ragu-ragu sama ada anak-anak tuan/puan hadir aktiviti
di sekolah atu tidak bolehlah menelefon pihak sekolah kerana
terdapat kes murid menyalahgunakan surat makluman aktiviti
daripada pihak sekolah untuk pergi ke tempat lain.
Tuan/puan sekalian,
Pihak sekolah juga mengambil berat tentang
perkembangan sahsiah dan kerohanian murid. Untuk itu
pelbagai aktiviti telah dilaksanakan antaranya ialah
Qialmullail, solat berjamaah, ceramah hari kebesaran dan
membaca yasin, serta surah Kahfi pada setiap hari Khamis.
Sekolah kita juga melaksanakan aktiviti Sumur bagi
membentuk sahsiah murid. Manakala pada masa
perhimpunan mingguan pembacaan Asmaulhusna dibuat di
tempat perhimpunan. InsyaAllah dengan hati yang bersih dan
suci ilmu mdah menyerap dan lekat di hati. Di rumah adalah
tanggungjawab ibu bapa untuk meneruskan aktiviti-aktiviti
yang boleh melembutkan hati dan jiwa anak-anak.
Hadirin yang dihormati sekalian,
Dalam bidang kokurikulum pula, pencapaian sekolah agak
memberangsangkan terutama dalam bidang olahraga di
peringkat MSSD dan MSSK. Kejayaan yang dicapai hingga ke
peringkat negeri dalam Kejohanan Merentas Desa, Skuasy,
Badminton, Boling Tenpin dan golf.
Pada tahun 2020 sekolah ini telah menunjukkan
peningkatan kecemerlangan dalam bidang kokurikulum.
Salah seorang pemain Skuasy dan golf sekolah telah berjaya
mewakili daerah di peringkat MSSD. Konklusinya, pencapaian
dalam bidang kokurikulum turut menjadikan sekolah ini
“berdiri sama tinggi dan duduk sama rendah” dengan sekolah-
sekolah lain serta turut mewarnai kalendar pencapaian
kokurikulum daerah dan negeri. Pihak sekolah sentiasa
berusaha untk meningkatkan lagi pencapaian kokurikulum
dan sukan. Sekali lagi kerjasama tuan/puan sangat
diharapkan agar dapat memastikan dan membenarkan
penglibatan anak-anak dalam aktiviti sukan dan kokurikulum
sebagaimana yang dirancang oleh pihak sekolah.
Bagi meningkatkan disiplin murid, setiap murid perlu
memiliki buku Panduan Disiplin Sekolah. Penguatkuasaan
pemakaian pakaian unit beruniform yang lengkap pada setiap
hari Rabu dipertingkatkan. Pihak sekolah berharap tuan/puan
dapat menyediakan pakaian unit beruniform anak-anak
tuan/puan yang lengkap pada setiap hari Rabu.
Tuan/puan sekalian,
Perkembangan sains dan teknologi telah mengubah cara
hidup kita dalam dunia tanpa sempadan, anak-anak kita
bukan hanya menghadapi persaingan sesama mereka tetapi
juga kemajuan teknologi. Penggunaan telefon bimbit, internet
dan pelbagai peranti / gajet yang mampu membawa anak-
anak tuan/puan mengelilngi dunia secara maya perlu
pengawasan. Walaupun banyak kebaikan yang diperoleh
anak-anak kita jika betul cara penggunaannya, tidak kurang
juga peranti ini mampu meracuni fikiran dan tindak tanduk
mereka. Justeru, pemantauan serta bimbingan daripada kita
semua amat perlu, pimpinlah mereka untuk terus memelihara
kesantunan bangsa dan budaya kita. Di sekolah membawa
telefon bimbit merupakan satu kesalahan, kerana menganggu
tumpuan murid ketika guru mengajar kerana asyik
menggunakan telefon tersebut, sekiranya dirampas oleh pihak
sekolah anak tuan puan tidak dibenarkan untuk menuntut
kembali sehinggalah waktu yang ditetapkan dan pengambilan
itu hanya boleh dibuat oleh ibu bapa sendiri.
Akhir kata, saya memohon maaf sekiranya ucapan saya tadi
ada menyentuh hati dan perasaan hadirin serta para waris.
Untuk itu bagi pihak sekolah dan seluruh warga SMK
Dato’Syed Omar saya sekali lagi memohon maaf kepada
tuan/puan atas apa jua tindakan kami dalam melaksanakan
tanggungjawab kami kepada anak-anak tuan/puan. Kita
umpama berlapik seketiduran, sebantal sekalang hulu.
Harapan saya adalah supaya Mesyuarat Agung PIBG Kali ke-
40 ini akan berjalan lancar dan teratur. Sebelum berpisah
terimalah serangkap pantun:
Sedap sungguh udang kara,
Dimasak dengan buah berangan,
Andai kata tersilap bicara,
Kemaafan jua kami pohonkan.
Saya sudahi ucapan saya ini dengan wabillahitaufik
walhidayah. Wasassalamualaikum wbt dan salam sejahtera.
Sekian terima kasih