2023/2024
Lagu Sekolah ILMU TONGGAK IMAN Menulis dan membaca Jadi amalan Ilmu yang berguna Untuk masa depan Pada ibu dan bapa Kami berjanji Guruku didiklah SK. Bandar Kuala Krai Ilmulah Tonggak Iman Jadi panduan Belajar dengan riang Untuk masa depan
Assalamualaikum dan Salam Muhibbah, Pertama-tama saya mengucapkan syukur ke hadrat Allah (SWT) dan berterima kasih kepada pihak Jawatankuasa HEM dan Disiplin kerana telah berjaya menerbitkan buku peraturan ini. Kita sedia maklum, disiplin merupakan satu elemen yang amat penting kepada seseorang pelajar. Hanya dengan mematuhi segala peraturan yang ditetapkan, seseorang pelajar itu akan berjaya. Tanpa disiplin yang kukuh, kemungkinan besar kejayaan tidah menyebelahi kita. Setiap peraturan yang ditetapkan bertujuan untuk mendidik dan membentuk para pelajar agar menjadi manusia yang berguna pada masa akan datang. Justeru demikian,buku ini diterbitkan agar dapat memberi manfaat kepada seluruh warga SK. Bandar Kuala Krai (SEDAR). Saya juga berharap agar semua guru akan bertindak sebagai guru disiplin sekolah. Dengan adanya buku ini, diharap akan menjadi panduan kepda guru untuk tujuan tersebut. Melalui program-program yang dirancang, saya tetap menaruh harapan dan kepercayaan bahawa kita mampu membina kekuatan tersendiri untuk meningkatkan pencapaian akademik, kokurikulum dan sahsiah murid ini dalam membentuk kemenjadian murid. Akhir sekali, saya berdoa moga segala usaha gigih yang disumbangkan oleh semua pihak akan mendapat keberkatan dan rahmat daripaNya. “DISIPLIN ADALAH ASAS KESEDARAN, KESEDARAN KUNCI KEJAYAAN” …………………......................... (NOR ASMA BINTI MAT DAM) Guru Besar, SK. Bandar Kuala Krai Kuala Krai, Kelantan
Lampiran A Edaran Terhad untuk Kegunaan Rasmi Sahaja ORDINAN PELAJARAN, 1957 PERATURAN-PERATURAN PELAJARAN (DISIPLIN SEKOLAH) 1959. 2 tahun 1957 Pada menjalankan kuasa-kuasa yang diberi oleh seksyen 116 Ordinan Pelajaran, 1957, Menteri dengan ini membuat peraturan-peraturan yang berikut : Tajuk ringkas dan 1. Peraturan ini bolehlah dinamakan Peraturan-Peraturan Pelajaran (Disiplin pemakaian. Sekolah), 1959, dan hendaklah dipakai bagi semua sekolah daripada :- A) sekolah yang dikecualikan daripada pendaftaran di bawah seksyen 114(2) Ordinan dan B) Sekolah gaya pos Tafsiran. 2. Dalam peraturan-peraturan ini, melainkan jika kandungan ayatnya menghendaki makna yang lain - P.U.(A)130. 80 “Pihak berkuasa pelantik” ertinya orang atau badan yang ber tanggungjawab pada masa itu bagi melantik mana-mana orang menjadi Guru Besar sesebuah sekolah. “Pendaftar Besar” ertinya Pendaftar Besar Sekolah-sekolah yang dilantik di bawah seksyen 57(1) Ordinan ; “Pendaftar” ertinya Pendaftar Sekolah-sekolah yang dilantik di bawah seksyen 57(2) Ordinan. Perlantikan Guru 3. (1) Apabila melantik seseorang menjadi Guru Besar sesebuah sekolah, pihak Besar. berkuasa pelantik hendaklah dengan seberapa segera yang boleh, mem beritahu Pendaftar tentang perlantikan itu.
(2) Pendaftar hendaklah mencatatkan nama Guru yang dilantik menjadi Guru Besar di mana-mana sekolah dalam daftar sebagai nama guru besar sekolah itu. (3) Apabila Guru Besar sesebuah sekolah bersara atau berhenti bertindak sebagai Guru Besar, badan berkuasa pelantik hendaklah dengan seberapa segera yang boleh melaporkan hal itu secara bertulis kepada Pendaftar, yang hendaklah dengan membuat apa-apa catatan dalam daftar itu sebagaimana perlu. (4) Dalam peraturan ini “daftar” ertinya daftar yang disimpan di bawah seksyen 59 Ordinan. Tanggungjawab Guru Besar atas disiplin. 4. Guru Besar sesebuah sekolah adalah bertanggungjawab atas disiplin sekolah dan bagi maksud itu hendaklah mempunyai kuasa ke atas Guru-Guru dan murid-murid sekolah itu. 5. (1) Bagi maksud menjaga disiplin di kalangan muridmurid, Guru Besar hendaklah mempunyai kuasa menjalankan hukuman-hukuman sekolah yang biasa sebagaimana perlu atau bermanfaat : Dengan syarat bahawa – a) hukuman dera kepada murid-murid perempuan adalah dilarang : dan b) hukuman dera kepada murid-murid lelaki oleh seseorang Guru atau lain-lain kakitangan sekolah adalah dihadkan kepada merotan dengan rotan yang ringan ditapak tangan ataupun dipunggung yang berlapik dengan pakaian dan hendaklah dijalankan hanya oleh Guru Besar ataupun dengan kuasa nyata yang diberi olehnya dalam hal yang tertentu. (2) Satu rekod mengandungi semua hukuman yang dijalankan dibawah perenggan hendaklah disimpan secara sulit mengikut bentuk yang diluluskan oleh Pen daftar. Kuasa-kuasa Guru Besar
6. Guru Besar sesebuah sekolah boleh dari semasa ke semasa, tertakluk kepada apa-apa syarat dan hal yand difikirkannya patut, mewakilkan kuasa disiplin sekolah dan kuasa menjalankan hukum kepada Guru -Guru lain di sekolah itu atau kepada murid-murid yang ditetapkan olehnya bagi maksud itu, tetapi kecuali yang disebut di atas tidak seorang pun Guru atau murid boleh menjalankan kuasa itu melainkan dengan arahan tertentu . Dengan syarat bahawa kuasa menjalankan hukuman dera tidak boleh diwakilkan kepada mana-mana orang selain daripada guru berdaftar. 7. (1) Tiada seorang pun murid yang berumur kurang daripada dua puluh satu tahun yang belajar di manamana sekolah boleh a ) merayu undi bagi pihak mana-mana parti atau pertubuhan politik, atau mana-mana calon dalam sesuatu pilihanraya ; b ) dengan tujuan menyokong atau menentang mana-mana parti atau pertubuhan politik, atau pencalonan mana-mana individu dengan menentang seorang atau beberapa orang lain dalan sesuatu pilihanraya, berucap atau mengganggu mana-mana perjumpaan awam yang sah ; c ) menyebar atau menyebab disebarkan apa-apa penulisan politik, dokumen atau lain-lain propaganda bagi pihak atau untuk menyokong sesuatu parti atau pertubuhan politik atau yang ada hubungan dengan mana-mana calon yang sedang bertanding dalam sesuatu pilihanraya. d) Mengganggu perjalanan sesuatu perjumpaan awam yang sah dengan cara yang mungkin menghalang perjalanan urusan perjumpaan yang diadakan itu ; Murid-murid tidak boleh mengambil bahagian dalam aktiviti-aktiviti pilihanraya atau politik.
e) Mengambil bahagian dalam mana-mana perarakan atau perhimpunan yang dikelolakan atau diadakan dengan tujuan untuk menyokong atau menentang mana-mana parti atau pertubuhan politik atau apa-apa pendapat politik atau mana-mana calon dalam sesuatu pilihanraya. (2) Dalam peraturan ini “pilihanraya” ertinya pemilihan seseorang ahli untuk Dewan Rakyat, Dewan Undangan Negeri atau mana-mana pihak berkuasa tempatan. 8. Pada bila-bila masa sahaja didapati dengan memuas kan hati Guru Besar sesebuah sekolah – a) sebagai perlu atau dikehendaki bagi maksud menjaga disiplin atau ketenteraman di mana- mana sekolah yang seseorang murid patut di gantung persekolahannya ataupun dibuang sekolah; atau b) yang seseorang murid telah melanggar pe runtukan-peruntukan peraturan 7, ia boleh dengan perintah menggantung murid itu dari hadir sekolah selama suatu tempoh yang difikirkannya patut atau membuang murid itu dari sekolah. 9. (1) Pada bila-bila masa sahaja – a) Didapati dengan memuaskan hati Pendaftar se bagai perlu atau dikehendaki bagi maksud menjaga disiplin atau ketenteraman dimana-mana sekolah : atau b) Pendaftar diarahkan sedemikian oleh Pendaftar Besar; atau c) Pendaftar berpuas hati bahawa telah berlak pelanggaran terhadap peraturan 7. Kuasa guru besar menggantung persekolahan atau Kuasa pendaftar mengarahkan pembuangan murid dari sekolah.
10. (1) Ibu bapa atau penjaga mana-mana murid yang digantung persekolahannya atau dibuang sekolah di bawah peraturan 8(a) boleh merayu kepada Pendaftar yang boleh membuat suatu perintah mengenainya sebagaimana difikirkannya patut : (2) Ibu bapa atau penjaga mana-mana murid yang dibuang sekolah mengikut mana-mana perintah yang dibuat di bawah peraturan 8(b) atau peraturan 9 boleh, dalam tempoh satu bulan dari tarikh murid itu dibuang sekolah atau dari tarikh perintah yang disebut dalam peraturan 9(2) disampaikan kepadanya, mengikut mana yang lebih lama, merayu kepada Menteri mengikut peruntukan-peruntukan seksyen 90 dan 91 ordinan 11. Sijil berhenti sekolah tiap-tiap murid yang dibuang sekolah di bawah peruntukan-peruntukan peraturan 8 atau 9 hendaklah dicatat oleh Guru Besar dengan catatan yang menyatakan murid itu telah dibuang sekolah di bawah peruntukanperuntukan Peraturan-Peraturan ini. 12. Seseorang murid yang telah dibuang sekolah dengan perintah yang dibuat di bawah peraturan 9 tidak boleh selepas itu, (melainkan jika perintah itu telah terlebih dahulu dimansuhkan oleh pihak berkuasa yang membuatnya ). a) masuk atau dibenarkan masuk ke dalam kawasan sekolah itu; atau b) diterima masuk sebagai seorang murid di mana-mana sekolah lain, tanpa kebenaran Pendaftar Besar. 13. (1) Jika, pada pendapat Pendaftar, perlu atau dikehendaki oleh kerana apa-apa hal tak tenteram atau ketiadaan disiplin di pihak murid atau pelajar sesebuah sekolah yang sekolah itu patut ditutup sementara waktu, maka Pendaftar boleh, dengan perintah secara bertulis, menutup sekolah itu selama suatu tempoh, tidak melebihi satu bulan dari tarikh perintah tersebut itu, sebagaimana difikirkannya perlu. Catatan dibuang sekolah dalam sijil berhenti sekolah. Syarat masuk balik sekolah. Kuasa menutup sekolah, dll, dalam hal keadaan tertentu
(2). Tiada seorang pun boleh tanpa sebab yang munasabah masuk atau cuba masuk atau tinggal di premis itu yang digunakan sebagai atau berkaitan dengan sesebuah sekolah yang mana suatu perintah yang dibuat di bawah perenggan (1) adalah berkuatkuasa. (3). Mana-mana pegawai polis boleh, tanpa waran masuk dan menggeledah mana-mana sekolah atau mana-mana bangunan / premis yang digunakan sebagai atau berkaitan dengan sekolah itu yang suatu perintah telah dibuat di bawah perenggan (1) peraturan ini dan boleh menghalau keluar sesiapa juga yang terjumpa didalamnya; dan untuk memasuki mana-mana bahagian premis itu, pegawai polis boleh menggunakan kekerasan yang perlu untuk memecah buka pintu atau tingkap yang di luar atau di dalam jika, setelah menunjukkan kuasa dan tujuannya dan izin masuk telah dibuat dengan sempurnanya, ia tidak dapat dengan cara itu masuk premis itu. (4) Apa-apa perintah yang dibuat di bawah perenggan (1) boleh pada bila-bila masa semasa masih berkuatkuasa dibatalkan oleh Menteri, tetapi tanpa menyentuh sahnya perintah yang lalu atau apa-apa jua yang dilakukan di bawahnya atau kuasa Pendaftar untuk membuat perintah baru di bawah peraturan ini. 14. Mana-mana murid yang tidak mematuhi mana-mana perintah yang dibuat di bawah peraturan 8 atau 9, atau yang melanggar peruntukan-peruntukan peraturan 12 dan sesiapa jua yang tidak mematuhi peruntukan-peruntukan peraturan 11 atau peraturan 13 (2) boleh dikenakan denda tidak lebih daripada satu ribu ringgit atau penjara tidak lebih daripada enam bulan atau kedua-dua denda atau penjara itu, dan sesiapa jua yang tidak mematuhi peruntukanperuntukan mana-mana peraturan lain boleh dikenakan denda tidak lebih daripada satu ratus ringgit bagi kesalahan kali pertama dan dua ratus ringgit bagi kesalahan kali kedua atau yang berikutnya. Penalti
15. Menteri boleh dengan perintah mengecualikan manamana sekolah atau golongan sekolah semua atau mana-mana peruntukan peraturan-peraturan ini, sama ada dengan mutlak atau tertakluk kepada apa-apa syarat yang difikirkannya patut dikenakan, dan boleh pada bila-bila masa menurut budi bicaranya membatalkan mana-mana pengecualian itu atau memansuhkan atau meminda atau menambah kepada syarat-syarat itu. 16. Peraturan-peraturan (Disiplin) Sekolah 1956 adalah dengan ini dibatalkan. Diperbuat pada 20hb. Februari, 1959. ( M.E. 040 : AG.FM.Y/26/64/8: AG/FM/Y/ 98/6- Vol.II/4 ) MOHAMED KHIR JOHARI Menteri Pelajaran Pembatalkan
PERATURAN DAN TATATERTIB SEKOLAH DEFINISI Di dalam peraturan-peraturan ini perkataan berikut adalah dimaksudkan dbawa: 1.1 “Sekolah” dimaksudkan kepada sekolah Kebangsaan Bandar Kuala Krai, Kelantan. 1.2 “Murid” bermaksud murid-murid yang didaftarkan di sekolah ini. 1.3 “Guru” bermaksud orang yang diberi tauliah untuk mengajar dan mendidik di sekolah ini. 1.4 “Pengawas” bermaksud murid sekolah ini ynag dilantik oleh Guru Besar sebagai ketua murid untuk mengawasi murid-murid di sekolah ini. 1.5 “Kawasan Sekolah” bermaksud satu lingkungan berpagar yang mengandungi bangunan-bangunan yang berfungsi dalam memberi kemudahankemudahan. PERATURAN BERPAKAIAN MURID 2.1 PAKAIAN SERAGAM MURID BIASA 2.1.1 Pakaian Seragam Murid Lelaki Baju Baju kemeja berwarna putih (Kain Tetron Cotton) berlengan pendek. Seluar Semua murid lelaki diwajibkan memakai seluar panjang berwarna gelap. Labuh seluar hendaklah separas buku lali, tidak longgar atau terlalu ketat. (Sila Rujuk Lampiran 1)
Kasut dan stoking Kasut kain atau kanvas bertapak getah berwarna putih atau hitam. Stoking berwarna putih atau hitam tanpa jalur atau bunga. Semua murid diwajibkan memakai stoking. Murid dilarang sama sekali me makai selipar (tanpa kebenaran guru). Lencana dan Tanda Nama Semua murid diwajibkan sentiasa memakai lencana sekolah dan tanda nama semasa memakai pakaian seragam sekolah. Tali Pinggang Tali pinggang yang digunakan lebarnya mestilah tidak melebihi satu inci dan hanya berwarna hitam/ biru gelap. Kepala tali pinggang hendaklah berbentuk dan bersaiz biasa. Songkok Jika digunakan, murid hanya dibenarkan memakai songkok berwarna HITAM sahaja. 2.1.2 PAKAIAN SERAGAM MURID PEREMPUAN Baju Baju kurung berpesak warna putih (kain tetron/ cotton) tidak terlal nipis dan tidak berkilau. (Sila Rujuk Lampiran 1) Bagi murid bukan beragama Islam, baju putih lengan pendek atau panjang, berskirt separas lutut. Pemakaian baju kurung adalah diga lakkan. (Sila Rujuk Lampiran 1)
Tudung Tudung berwarna putih (mini telekung) tidak terlalu singkat, labuh melebihi kepala bahu. Kasut dan stoking Sama seperti murid lelaki Lencana dan tanda nama Lencana dan tanda nama hendaklah diletakkan di sebelah kiri tudung bagi murid yang bertudung. Bagi murid yang tidak bertudung, lencana dan tanda nama hendaklah diletakkan di sebelah kiri hadapan baju separas dada. (Sila Rujuk Lampiran 2) Perhiasan Murid perempuan dilarang sama sekali memakai apa-apa barang perhiasan seperti rantai, gelang, cincin dan subang sama ada jenis emas tulen atau tiruan. Kerongsang yang terlalu besar juga tidak dibenarkan. Murid dibenarkan memakai jam tangan sahaja tetapi tidak terlalu mahal harganya. 2.2PAKAIAN SERAGAM MURID YANG MEMEGANG JAWATAN 2.2.1 Pengawas Sekolah, Murid Lelaki Baju kemeja berwarna ungu lengan panjang, berseluar panjang warna ungu, bervest (warna ungu), bersongkok, bertali leher warna biru gelap dan berkasut warna hitam. Murid Perempuan Baju Kurung berwarna ungu, kain berwarna ungu gelap, vest berwarna ungu dan bertudung warna ungu.
2.2.2 Pengawas Pusat Sumber Sekolah (PSS) Murid Lelaki Baju kemeja biru berlengan panjang, berseluar Panjang warna biru gelap, bervest warna biru, bertali leher biru gelap dan bersongkok. Murid Perempuan Baju kurung berwarna biru, kain berwarna biru gelap, vest berwarna biru dan bertudung berwarna biru. 2.2.3 Pengawas (Skim Pinjaman Buku Teks (SPBT) Murid Lelaki Baju kemeja berwarna coklat berlengan Panjang, berseluar warna coklat gelap, bervest warna coklat gelap dan bertali leher biru gelap. Murid Perempuan Baju kurung berwarna coklat, kain berwarna coklat gelap, vest berwarna coklat gelap dan bertudung warna coklat. Pembimbing Rakan Sebaya (PRS) Murid Lelaki Baju dan seluar sepertimana murid lelaki biasa, berrvest warna ungu dan bertali leher warna ungu gelap. Murid Perempuan Baju dan kain sepertimana murid perempuan biasa, vest berwarna ungu dan bertudung warna putih.
2.2.5 Ketua dan Penolong Ketua Kelas Murid Lelaki Baju dan seluar sepertimana murid lelaki biasa dan bertali leher warna merah. Murid Perempuan Baju dan kain sepertimana murid perempuan biasa dan tudung berlace merah. 2.3 PAKAIAN PENDIDIKAN JASMANI DAN KEGIATAN KOKURIKULUM 2.3.1 PAKAIAN PENDIDKAN JASMANI Murid Lelaki Seluar trek warna gelap (hitam/ biru gelap), baju ‘T’ SEDAR dan ber kasut sekolah (hitam/putih) Murid Perempuan Sama seperti pakaian murid lelaki dan bertudung sekolah. 2.3.2 PAKAIAN KOKURIKULUM (Hari Rabu) Semua murid tahap 2 diwajibkan memakai pakaian seragam unit masing-masing. Manakala murid Tahap 1 diwajibkan memakai pakaian Pendidikan Jasmani.
3 KEKEMASAN 3.1 RAMBUT Murid lelaki sama sekali tidak dibenarkan berambut panjang ataupun meniru fesyen ram but luar biasa. Rambut tidak mencecah kolar baju semasa kepala dalam keadaan tegak. (Sila Rujuk Lampiran 3) Potongan rambut “skin head” dan “punk”dilarang sama sekali. Murid juga dilarang keras mewarna rambut. Rambut hendaklah disikat dengan rapi dan berminyak tetapi tidak berlebihan. Murid permpuan yang tidak memakai tudung, sekiranya rambut panjang melepasi bahu, mestilah diikat dengan kemas. Rambut hendaklah disikat dengan rapi. 3.2 KUKU Kuku mestilah pendek, bersih dan tidak diwarnakan. 4. PERATURAN SEKOLAH 4.1 MASA Masa Masuk Sekolah Murid dikehendaki tiba di sekolah selewat-lewatnya pukul 7.30 pagi. Murid hanya dibenarkan masuk ke sekolah melalui pintu pagar A (Pondok menunggu). Murid yang mendapat RMT (Rancangan Makanan Tambahan) perlu sampai di sekolah selewat-lewatnya jam 7.15pagi dan terus ke kantin untuk makan hidangan RMT yang telah disediakan.
Bagi murid yang menunggang basikal, tidak dibenarkan menunggang basikal di kawasan sekolah. Basikal hendaklah diletakkan di tempat letak basikal. Pihak sekolah tidak bertanggungjawab di atas sebarang kerosakkan dan kehilangan basikal/ eksesori. Meletakkan basikal di kawasan sekolah adalah tangungjawab sendiri. Loceng pertama akan dibunyikan pada pukul 7.30 pagi. Semua murid diwajibkan berada di tapak perhimpunan untuk mengikuti Perhimpunan Rasmi (Ahad) dan Perhimpunan Pagi (Isnin, Selasa. Rabu dan Khamis). Loceng ke-2 akan dibunyikan pada pukul 7.45 pg dan sesi pembelajaran bermula. Masa Pulang Masa pulang untuk murid Tahap 1 adalah pada pukul 12.45 tengah hari (Ahad hingga Khamis) Manakala bagi murid Tahap 2, masa pulang adalah pada pukul 1.15 tengah hari. Masa Rehat Masa rehat untuk murid Tahap 1 adalah pada pukul 9.45 pagi dan Tahap 2 pada pukul 10.15 pagi. Semua murid adalah tidak dibenarkan berada dalam kelas semasa rehat. Murid juga dilarang bermain-main atau berlari-lari semasa rehat. 4.2 KEDATANGAN Kedatangan adalah diwajibkan kepada semua murid.
Murid yang Tidak Hadir Murid yang tidak dapat hadir ke sekolah dengan sebab yang munasabah seperti sakit atau kemalangan, ibu bapa atau penjaga hendaklah memaklumkan kepada pihak sekolah dengan menulis surat beserta dengan dokumen-dokumen yang berkaitan seperti sijil sakit dan sebagainya.Murid yang tidak hadir tanpa alasan, tindakan disiplin boleh dikenakan. Tindakan Displin dan Surat Amaran Murid yang tidak hadir selama 3 hari berturut-turut atau 7 hari berkala tanpa sebarang sebab adalah dikira ponteng. Tindakan disiplin/ Surat Amaran akan dikeluarkan kepada murid tersebut. (Sila Rujuk Lampiran 3) 4.3 PERATURAN KANTIN Murid hendaklah beratur semasa hendak membeli makanan di kantin. Murid hanya dibenarkan makan di tempat yang disediakan di kantin. Murid yang membawa bekalan juga hanya dibenarkan makan dan minum di kantin. Sebarang sisa makanan dan minuman tidak dibenarkan sama sekali dibawa keluar dari kantin semasa rehat. 4.4 PERATURAN KELUAR KELAS ATAU KELUAR KAWASAN SEKOLAH a) Murid dikehendaki beratur dengan tertib ketika keluar dari kelas ke bilik- bilik khas. b) Murid dilarang keluar dari kelas tanpa kebenaran guru atau ketua kela (sekiranya tiada guru). c) Hanya 2 orang murid sahaja dibenarkan keluar kelas pada satu-satu masa. d) Murid yang keluar kelas perlu memakai Pas Kebenaran keluar kelas. e) Murid dilarang sama sekali berkeliaran di luar kelas semasa waktu belajar.
f) Murid dilarang keluar dari kawasan sekolah sewaktu sesi pembelajaran tanpa kebenaran. g) Murid dilarang keluar semula dari kawasan sekolah setelah memasuki kawasan sekolah pada waktu pagi. h) Murid hanya dibenarkan keluar dari kawasan sekolah setelah mendapat kebenaran bertulis daripada Guru Besar atau Penolong Kanan atau guru bertugas. 4.5 PERATURAN BILIK-BILIK KHAS 4.5.1 Pusat Sumber Sekolah a) Semua murid, guru dan kakitangan sekolah adalah ahli pusat sumber sekolah. b) Ahli hanya boleh meminjam buku dengan menggunakan kad pinjaman. c) Ahli tidak dibenarkan menggunakan kad pinjaman orang lain. d) Murid hanya dibenarkan meminjam tidak lebih daripada 2 buah buku pada satu-satu masa. Begitu juga guru dan kakitangan boleh meminjam tidak melebihi 2 buah buku pada satu-satu masa. e) Peminjam yang lewat memulangkan buku akan dikenakan denda sebanyak 10 sen sehari. f) Setiap peminjam adalah bertanggungjawab ke atas keselamtan buku yang dipinjam. Buku yang dihilangkan oleh peminjam hendaklah diganti oleh peminjam. Sekiranya peminjam tidak dapat berbuat demikian, maka ia mesti digantikan harga buku tersebut. g) Waktu beroperasi Pusat Sumber adalah pada setiap hari persekolahan dari jam 8.00 pagi sehingga 1.20 tengah hari. h) Semua pengguna dilarang makan dan minum di pusat sumber. i) Murid dilarang membuat bising dan berlari-lari di dalam Pusat Sumber Sekolah. j) Buku-buku yang diambil dari rak hendaklah disimpan balik selepas digunakan.
k) Tindakan tegas akan diambil ke atas sesiapa yang merosakkan buku, bahan bacaan atau alatan di pusat sumber serta mengingkari arahan pengawas Pusat Sumber Sekolah. l) Setiap buku yang hendak dibawa keluar dari perpustakaan hendaklah ditunjukkan kepada pengawas perpustakaan untuk memastikan buku itu telah dipinjam. m) Kawasan larangan di dalam perpustakaan ialah : - Di kawasan dalam kaunter pinjaman. - Bilik guru perpustakaan. 4.5.2 Makmal Komputer a) Penggunaan hendaklah mengikut jadual yang telah ditetapkan dan di bawah pengawasan guru mata pelajaran pada masa tersebut. b) Dilarang membawa masuk beg sekolah, makanan atau minumam, dan cakra yang mengadungi perisian permainan ke dalam makmal komputer. c) Dilarang membawa keluar sebarang perkakas yang terdapat di dalam makmal komputer. d) Sebarang kerosakan hendaklah dilapor segera kepada Guru Penasihat. e) Dilarang membuat bising atau apa-apa aktiviti lain yang tidak berkaitan di dalam makmal komputer. f) Kawasan larangan di dalam makmal komputer: • Di kawasan dalam bilik guru penyelaras • Bilik punca elektrik • Bilik sever peralatan.
4.5.3 Makmal Sains a) Semua murid dilarang masuk ke dalam makmal Sains kecuali ada seorang guru hadir bersama. b) Bahan kimia dan alat Sains tidak boleh dialih dari makmal Sains kecuali dengan kebenaran guru Sains. c) Eksperimen tidak boleh dilakukan kecuali dengan pengetahuan dan kebenaran guru. d) Semua sampah sarap hendaklah dibuang ke dalam tong sampah yang disediakan. Mancis hendaklah dipadamkan dengan air sebelum dibuang. e) Jangan nyalakan penunu Bunsen dengan kepingan kertas tetapi gunakan mancis atau pemetik api. f) Baca lebel pada botol bahan uji sebelum menggunakannya bagi mene tukan anda menggunakan bahan uji yang betul. g) Bahan pepejal hendaklah dialih dengan menggunakan spatula dan bukan dengan jari tangan anda. h) Asid atau alkali yang terkena kulit dan pakaian mestilah dibasuh segera dengan menggunakan air yang banyak. i) Semua bahan kimia adalah beracun dan merbahaya. Jangan rasa sebarang bahan kimia walaupun larutan yang cair. j) Jika asid atau alkali masuk ke dalam mata, basuh dengan air yang banyak. k) Jika asid atau alkali termasuk ke dalam mulut, ludahkan dengan serta merta dan basuh mlut dengan air yang banyak. l) Jangan membazirkan gas, air dan tenaga elektrik. Paip air, paip gas dan suis elektrik hendaklah ditutup apabila tidak digunakan. m) Jika berlaku kebakaran, peraturan kebakaran sekolah anda hendaklah dipatuhi dengan betul. n) Laporkan dengan segera semua kemalangan kecil atau besar kepada guru.
o) Murid-murid dikehendaki membersihkan meja bilik Sains dan meninggal kan bilik sains dalam keadaan bersih dan teratur. 4.5.4 Bengkel RBT a) Semua murid dilarang masuk ke dalam bengkel Kemahiran Hidup tanpa kebenaran guru. b)Murid- murid dilarang menggunakan alat-alat yang terdapat di dalam bengkel melainkan dengan tunjuk ajar guru yang berkenaan. c) Tidak dibenarkan mengalih sebarang peralatan yang terdapat di dalam bengkel kecuali dengan kebenaran guru. d) Murid-murid tidak dibenarkan membawa beg sekolah ke dalam bengkel. e) Murid-murid diwajibkan menjaga kebersihan dan keselamatan di dalam bengkel. f) Murid-murid dilarang mencuba menggunakan peralatan yang terdapat di dalam bengkel sebelum mendapat tunjuk cara daripada guru. g) Sebarang kerosakan alat atau kemalangan hendaklah dilaporkan kepada guru dengan segera. 4.5.5 Surau Sekolah a) Surau sekolah merupakan tempat larangan. b) Murid-murid hanya boleh masuk ke dalam surau untuk beribadat, proses pengajaran dan ceramah agama serta kegiatan keagamaan yang berkaitan dengan agama islam. c) Murid-murid dilarang sama sekali bermain-main, tidur, makan minum atau berehat di dalam surau sama ada semasa kelas sedang berjalan atau di luar waktu pembelajaran atau di luar waktu persekolahan.
4.5.6 Bilik Guru Murid-murid dilarang sama sekali memasuki bilik guru kecuali mendapat kebenaran daripada mana-mana guru. Murid-murid juga hendaklah bertanya atau meminta izin daripada mana-mana guru untuk mengambil sesuatu barang dari bilik guru. Memasuki bilik guru tanpa kebenaran dianggap sebagai menceroboh. 4.5.7 Pejabat Sekolah Kawasan pejabat sekolah merupakan kawasan larangan. Murid hanya dibenarkan memasuki kawasan pejabat hanya dengan arahan guru sahaja.. 4.5.8 Stor Sukan Murid-murid hanya dibenarkan masuk atau mengambil sebarang alat atau perkakas di dalam stor sukan setelah mendapat kebenaran guru. Hanya dua orang murid sahaja dibenarkan memasuki stor pada satu-satu masa. Semua alat atau perkakas yang telah digunakan untuk Pendidikan Jasmani atau perkara yang berkaitan hendaklah dipulangkan ke tempat asal. Guru berkenaan mesti memastikan segala urusan tersebut dijalankan dengan baik. 5. PERHIMPUNAN DAN PROGRAM BACAAN YASIN a) Perhimpunan Rasmi diadakan pada setiap hari Ahad. b) Perhimpunan pagi diadakan setiap hari Isnin sehingga Rabu. c) Setiap hari Khamis, semua murid beragama Islam perlu menyertai program bacaan yasin di tapak perhimpunan. c) Semua murid dikehendaki masuk ke pagar sekolag sebelum loceng pertama berbunyi iaitu pada 7.30 pagi. Setiap murid juga diwajibkan menyertai perhimpunan rasmi, perhimpunan pagi dan program bacaan yasin.
6. RAWATAN Murid-murid yang sakit hendaklah memberitahu guru bertugas mingguan atau guru kelas dengan segera atau jika tidak berupaya berbuat demikian minta pertolongan dari rakan supaya memberitahu guru bertugas dengan segera. Guru bertugas mengenal pasti keadaan murid tersebut dan akan menghubungi ibu bapa murid sekiranya keadaan murid adalah serious. Guru adalah dilarang sama sekali memberi ubat untuk rawatan dalaman kepada murid-murid sama ada dalam bentuk tablet atau sirap. Guru hanya boleh memberikan ubat untuk rawatan luaran sahaja. 7. PELAWAT Ibu bapa /Penjaga atau orang perseorangan yang ingin berjumpa dengan anak atau guru-guru atau murid lain dalam kawasan sekolah hendaklah terlebih dahulu ke pejabat. Mereka perlu mendapat kebenaran daripada Guru Besar atau pun Guru Penolong Kanan sekiranya Guru Besar tiada . Ibu bapa /Penjaga perlu menunggu di pejabat sekolah dan dilarang untuk ke kelas anak tanpa kebenaran daripada pihak pentadbir. 9. KEBERSIHAN DAN KECERIAAN 9.1 Bilik Darjah/ Kelas a) Kebersihan kelas adalah tanggungjawab semua murid kelas masingmasing b) Kelas hendaklah sentiasa bersih, teratur dan ceria sepanjang masa. c) Murid-murid adalah bertanggungjawab menjaga keselamatan harta benda yang ada di dalam kelas masing-masing.
d) Semua kelas dikehendaki menyediakan jadual bertugas bagi kelas masing-masing. Murid yang bertugas hendaklah menentukan kelas masing-masing bersih sepanjang masa. e) Bilik darjah hendaklah bebas daripada sebarang contengan sama ada di papan hitam, dinding, papan kenyataan atau di kerusi dan meja. f) Murid setiap kelas hendaklah berusaha menghias kelas masing-masing supaya kelas lebih ceria. g) Papan kenyataan hendaklah digunakan sepenuhnya untuk mewujudkan suasana belajar yang berkesan. h) Murid-murid tidak dibenarkan berlari-lari, bergurau atau melakukan hal yang boleh mengganggu ketenteraman murid dan guru di dalam kelas. i) Murid-murid tidak dibenarkan berada di dalam kelas semasa waktu rehat atau semasa murid-murid berada di tempat lain yang diarahkan oleh guru. j) Tutup tingkap, suis lampu. kipas dan pintu kelas sebelum pulang atau meninggalkan kelas. 9.2 Bilik Air Dan Tandas a) Kebersihan bilik air dan tandas adalah tanggungjawab bersama. b) Menconteng dinding tandas dan membuang sampah ke dalam sinki atau mana-mana bahagian di dalam tandas adalah satu kesalahan. c) Murid-murid hendakalah sentiasa mengepam tandas selepas setiap kali menggunakannya supaya kebersihan sentiasa terjaga. d) Dilarang makan, berbual-bual atau bersembunyi di dalam tandas. e) Murid-murid tidak dibenarkan berulang-alik ke tandas semasa pelajaran sedang berjalan kecuali atau sebab-sebab yang tidak boleh dielakkan. 9.3 Kawasan Sekolah Dan Padang a) Kebersihan kawasan sekolah adalah tanggungjawab semua warga sekolah. b) Murid-murid dilarang bermain-main di dalam kawasan padang / sekolah di luar waktu persekolahan.
10. KERJA RUMAH Semua murid wajib menyiapkan kerja rumah dan tugasan-tugasan lain yang diberikan oleh guru pada masa yang ditetapkan. Murid yang gagal menyiapkan kerja rumah atau tugasan lain tanpa sebarang sebab yang munasabah boleh dikenakan tindakan disiplin. Kerja atau tugasan adalah satu kewajipan yang mesti diselesaikan oleh murid. 11. KELAS TAMBAHAN Semua murid wajib menghadiri kelas tambahn yang ditetapkan oleh pihak sekolah. (Mengikut keperluan) 12. KEGIATAN KOKURIKULUM Kegiatan kokurikulum bagi Unit Beruniform serta Kelab Dan Persatuan diadakan pada hari rabu mulai 1.30 hingga 3.30 petang (tertakluk kepada perubahan semasa). Setiap murid tahap 2 diwajibkan menyertai kegiatan kokurikulum. Bagi kegiatan sukan dan permaianan diadakan mengikut keperluan semasa. Murid-murid digalakkan menyertai sekurang-kurangnya satu jenis permaianan. 13. BUKU TEKS a) Buku teks adalah kepunyaan Kementerian Pelajaran Malaysia yang dipinjamkan kepada murid-murid. Adalah menjadi tanggungjawab murid-murid menjaga kebersihan dan keselamatan buku pinjaman masing-masing. b) Murid-murid diwajibkan membalut / menyampul buku pinjaman masing-masing.
c) Murid-murid dilarang menconteng / mengotorkan / menggunting gambar -gambar atau mana-mana bahagian yang terdapat di dalam buku teks. d) Jika didapati murid-murid mengabaikan keselamatan buku pinjaman tersebut, pihak sekolah berhak mengambil kembali buku tersebut atau murid- murid dikehendaki mengganti buku tersebut. e) Murid-murid dilarang sama sekali meninggalkan buku teks di dalam bilik darjah setelah tamat tempoh belajar pada hari berkenaan. Pihak sekolah berhak mengambil balik buku-buku yang ditinggalkan di manamana. f) Murid-murid hendaklah menyerahkan semua buku telah dipinjam apabila diarahkan berbuat demikian. Pihak sekolah berhak mengambil tindakan sebagai denda kepada murid- murid yang gagal menyerahkan buku teks pada masa yang ditetapkan. 14. BARANG LARANGAN a) Murid-murid dilarang sama sekali membawa barang-barang seperti rokok. Vape, dadah, mancis, senjata atau apa-apa objek yang boleh mendatangkan bahaya ke dalam kawasan sekolah. b) Murid-murid juga dilarang membawa barang-barang berunsur lucah seperti gambar, majalah, buku, video, CD atau yang seumpamanya ke dalam kawasan sekolah. c) Murid dilarang membawa telefon bimbit atau jam telefon ke sekolah. d) Murid dilarang memakai barangan berharga seperti rantai, cincin, gelang, anting-anting emas ke sekolah e) Murid juga dilarang sama sekali membawa sebarang permainan ke sekolah tanpa arah oleh guru. ****************************************************************
Pakaian Seragam Sekolah Murid Lelaki LAMPIRAN 1 Pakaian Seragam Sekolah Murid Perempuan
KEDUDUKAN LENCANA DAN TANDA NAMA PADA PAKAIAN SERAGAM SEKOLAH
LAMPIRAN 2 TATACARA TINDAKAN TERHADAP MURID TIDAK HADIR SEKOLAH SURAT TIDAK HADIR BERTURUT-TURUT TIDAK HADIR BERSELANG SELI Amaran Pertama Pada hari ke 3 Pada hari ke 10 Amaran Kedua 7 hari selepas Amaran Pertama 10 hari selepas Amaran Pertama Amaran Terakhir 7 hari selepas Amaran Kedua 20 hari selepas Amaran Kedua Buang Sekolah 14 hari selepas Amaran Terakhir 20 hari selepas Amaran Terakhir Jumlah Hari Tidak Hadir 31 hari 60 hari bukan berturutturut LAMPIRAN 3
PERAKUAN PELAJAR Bahawasanya saya ……………………………………………………………………………………. Tahun ………………………. Murid Sekolah Kebangsaan Bandar Kuala Krai, sesungguhnya mengaku bahawa: saya telah memiliki, membaca dan memahami kandungan Buku Panduan Peraturan dan Disiplin Sekolah. Saya berjanji akan mematuhi semua peraturan yang terkandung di dalamnya. Saya sedar, tindakan yang sewajarnya boleh dikenakan terhadap saya jika saya melanggar praturan yang ditetapkan. Saya yakin bahawa peraturan dan hukuman yang dikenakan adalah sebagai pengajaran untuk kebaikan saya. Tandatangan Murid: ……………………............... Nama murid : ……………………………………………………. Tahun :……………………… Disaksikan oleh ibu bapa/ penjaga. Tandatanga ibu bapa/penjaga : …………………………… Nama : ………………………………………………………………… No. Kad Pengenalan: ………………………………………….. Tarikh : ……………………………………