Di sebuah kampung yang diberi nama kampung Semakau, tinggal seorang budak
lelaki yang tempang. Budak lelaki tersebut Bernama Umang. Umang tinggal
bersama dengan ibunya, Mak Senai di hujung kampung. Bapa Umang telah
meniggal ketika Umang berusia lima tahun. Walaupun tanpa suami, Mak senai
berusaha membesarkan Umang. Kehidupan Umang dan ibunya sangat susah.
Untuk mendapatkan makanan, Mak Senai akan ke hutan setiap hari untuk
mencari kayu api. Hasil kutipan kayu api tersebut akan dijual ke pasar. Dengan
itu, dapatlah mereka membeli beras dan barangan lain.
Di kampung tersebut, Umang dan ibunya sangat disenangi oleh penduduk
kampung. Umang sering kali dipuji oleh penduduk kampung kerana rajin
menolong ibunya dan sering beramah-mesra dengan penduduk kampung.
Walaupun kaki Umang tempang, Umang tidak pernah mengeluh akan
kekurangan yang ada pada dirinya. Umang tidak pernah berfikir bahawa
kekurangan pada dirinya menjadi penghalang untuk dia melakukan aktiviti
seharian seperti orang lain.
Ucup, Imai dan Ipan merupakan sekumpulan budak nakal dikampung
tersebut. Setiap hari, mereka bertiga selalu mengacau Umang. Mereka sering
mengejek Umang dengan gelaran ‘Si Kaki Bengkok’. Namun, Umang memiliki
seorang sahabat baik Bernama Mika. Mika ialah cucu tok ketua kampung. Mika
ialah seorang yang berani dan baik hati. Apabila Umang dikacau oleh Ucup dan
kawan-kawannya, Mika akan mengusir mereka bertiga. Umang sangat bersyukur
mempunyai sahabat seperti Mika.
Setiap petang, setelah Umang memberi makan haiwan ternakannya,
Umang akan menghabiskan masanya untuk memancing di sungai. Untuk pergi
ke sungai tersebut, Umang perlu melalui jalan di pinggir hutan. Penduduk
kampung sering menasihati Umang untuk tidak memancing di sungai itu lagi
kerana dipercayai dihujung sungai tersebut terdapat sebuah rumah usang.
Penduduk kampung mengatakan bahawa rumah usang tersebut berhantu kerana
pernah melihat kelibat seorang nenek tua berkebaya merah. Namun begitu,
Umang tidak mengambil kisah akan nasihat penduduk kampung kerana baginya
itu hanyalah cerita rekaan untuk menakutinya sahaja. Bagi Umang, tidak
mungkin ada hantu di siang hari.
Seperti kebiasaaanya, Umang membawa joran miliknya untuk memancing
di sungai. Semasa dalam perjalanan menuju ke sungai, Umang terserempak
dengan Ucup dan kawan-kawannya. Mereka sedang melastik sarang burung di
dahan pokok. Di dalam sarang tersebut ada seekor anak burung yang baru
menetas. Umang merasa perbuatan mereka adalah tidak baik. Dengan segera
Umang berteriak menyuruh Ucup menghentikan perbuatan mereka itu.
Disebabkan merasa terganggu, Ucup dan kawan-kawannya mulai melastik
kearah Umang. Umang merasa kesakitan apabila batu-batu tersebut mengenai
tubuhnya. Umang hanya mampu melindungi tubuhnya dengan tangan.
Namun, secara tiba-tiba Ucup dan kawan-kawannya berhenti melastik
kearah Umang. Perlahan -lahan umang melihat ke arah Ucup dan kawan-
kawannya. Umang merasa hairan apabila Ucup dan kawan-kawannya berdiri
tegak dan kelihatan pucat. Sambil terketar-ketar, Ucup menunjuk ke arah
belakang Umang. “HANTUU!! Cepat lari!” jerit Ucup sebelum lari dengan laju.
Umang mengagahkan diri menoleh ke arah belakangnya. Alangkah terkejutnya
dia apabila melihat seorang nenek tua berkebaya merah sedang berdiri di
belakangnya. Umang merasa takut sampai tidak dapat mengerakkan kakinya. Dia
teringat akan cerita penduduk kampung tentang nenek tua yang tinggal di hujung
sungai tersebut.
“Cu, boleh tolong nenek pulang ke rumah? Nenek tidak dapat melihat dengan
jelas.” Ujar nenek berkebaya merah tersebut.
“Ne-nenek ni si-siapa?” tanya Umang dengan gagap.
“Panggil nenek, Nek Jah. Nenek tinggal di hujung sungai ini.” Jawab nenek
tersebut.
“Tapi orang kampung kata hujung sungai ni hanya ada rumah usang berhantu.”
Kata Umang kepada nenek tersebut.
“Memang rumah Nek Jah usang, tetapi tidak pernah pula Nek Jah berjumpa
dengan hantu” jawab Nek Jah sambil tersenyum.
“cucu siapa nama? Boleh tolong Nek Jah pulang ke rumah? Hari semakin gelap,
nenek takut ” Sambung Nek Jah.
Umang berasa kasihan melihat Nek Jah yang bertongkatkan kayu itu. Perasaan
takutnya terhadap Nek Jah kian menghilang.
“Baiklah Nek Jah, saya sudi membantu Nek Jah pulang ke rumah. Nama saya
Umang.” jawab Umang.
“Ooo Umangg.. terima kasih Umang” kata Nek Jah.
Umang menolong memimpin tangan Nek Jah. Disebabkan Nek Jah sudah tua, dia
berjalan dengan sangat perlahan. Tambahan pula, dengan keadaan kaki Umang
yang tempang, mereka tidak dapat berjalan dengan laju. Maka mereka tiba di
rumah Nek Jah setelah hari gelap.
Setelah menghantar Nek Jah, Umang ingin segera pulang ke rumahnya kerana
dia yakin ibunya pasti merasa risau dengan keberadaannya. Namun, Nek Jah
menghalang Umang. Kata Nek Jah, bahaya sekiranya Umang balik pada waktu
itu kerana ada banyak binatang buas yang mencari makanan apabila malam
menjelma. Umang tidak dapat membantah kata-kata Nek Jah kerana Nek Jah
segera menarik tangan Umang masuk ke dalam rumah usangnya.
Setelah masuk ke dalam rumah tersebut, alangkah terkejutnya Umang apabila
mendapati bahawa di dalam rumah itu terdapat sebuah taman yang sangat cantik.
Lebih menghairankan Umang dapat melihat langit yang memancarkan sinar
cahaya matahari, padahal sebelum masuk ke rumah tersebut hari sudahpun gelap.
Suasana di dalam rumah itu sangatlah tenang dan damai. Burung - burung saling
berkicauan seolah-olah menyambut kedatangan Umang. Lebih mengejutkan
Umang, Nek Jah yang tadi seorang nenek tua yang bongkok dan bertongkat kini
bertukar menjadi seorang gadis yang sangat rupawan. Umang terdiam tidak
mampu mengatakan sepatah kata. Dirinya terpukau dengan apa yang dilihatnya.
“Umang, usah takut. Sebenarnya aku penjaga kawasan sungai ini. Kamu seorang
yang sangat baik hati. Walaupun merasa takut, kamu tetap menolong orang lain
yang dalam kesusahan.” Ujarnya. Umang masih terdiam di tempatnya tadi.
“Umang, ambillah pemberian saya ini sebagai tanda terima kasih terhadap sikap
baik kamu itu.” Ujar gadis itu sambil menghulurkan sebuah botol yang
mengandungi minyak.
“Sapulah minyak itu ke bahagian kaki kamu yang tempang, maka kamu akan
berjalan seperti orang lain. Ingatlah wahai Umang, untuk sentiasa bersikap baik
dengan orang lain, maka percayalah kamu akan bahagia selamanya.” kata gadis
tersebut sebelum meniup sesuatu ke wajah Umang.
Pada keesokkan harinya, Umang terbangun apabila merasa tubuhnya digoncang
oleh seseorang. Rupa-rupanya, itu ialah ibu Umang. Ibunya lantas memeluk
Umang sambil menangis. Umang berasa hairan apabila dia melihat kawasan
sekeliling. Ianya ialah di tepi kawasan sungai tempat dia selalu memancing.
Umang melihat botol di gengaman tangannya. Lantas dia teringat akan pesan
gadis penjaga sungai itu. Umang segera menyapukan minyak itu ke kakinya.
Alangkah gembiranya dia apabila dia dapat berjalan seperti orang lain. Ibu
Umang turut gembira melihat anaknya tidak lagi tempang.