TEKS UCAPAN
YANG BERBAHAGIA
DATU DR. HAJI AZHAR BIN HAJI AHMAD
PENGARAH PENDIDIKAN SARAWAK
SEMPENA
SAMBUTAN HARI GURU
PERINGKAT NEGERI SARAWAK TAHUN 2022
1
✓ Terima kasih saudara/ saudari pengacara majlis.
✓ Bismillahirrahmanirrahim
✓ Alhamdulillahi Rabbil Alamin, Wassalatu wassalam ala Rasulihil Amin
wa’ala alihi wa ashabihi ajmain
✓ Assalamualaikum wbt, Salam Sejahtera, Salam Sarawakku Sayang,
dan Salam Menjulang Pendidikan Negeri Sarawak “Fly Kenyalang Fly”
1. Yang Amat Berhormat Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Haji
Abdul Rahman Zohari bin Tun Datuk Abang Haji Openg, Premier
Sarawak
2. Yang Berhormat Datuk Amar Haji Awang Tengah bin Ali Hasan,
Timbalan Premier Sarawak, merangkap Menteri Sumber Asli &
Pembangunan Bandar II dan Menteri Perdagangan Antarabangsa,
Industri dan Pelaburan Sarawak
3. Yang Berhormat Datuk Roland Sagah Wee Inn, Menteri
Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat Sarawak
4. Yang Berhormat Datuk Haji Hasbi bin Habibollah, Timbalan Menteri
Pembangunan Luar Bandar II, Kementerian Pembangunan Luar
Bandar, Malaysia merangkap Ahli Parlimen P221 Limbang
5. Yang Berhormat Datuk Dr. Haji Abdul Rahman bin Haji Ismail,
Timbalan Menteri Pemodenan Pertanian dan Pembangunan
Wilayah merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri N.79 Bukit Kota
6. Yang Berhormat Tuan Paulus Palu Gumbang, Ahli Dewan
Undangan Negeri Sarawak N.80 Batu Danau
7. Yang Berusaha, Tuan Haji Sebi bin Haji Abang, Residen Bahagian
Limbang
2
8. Dif-dif Terhormat,
9. Ketua-ketua Jabatan
10. Ketua-ketua Masyarakat
11. Warga Pendidikan Seluruh Negeri Sarawak
12. Petugas-petugas Media
13. Tuan-tuan dan puan-puan yang dihormati sekalian
1. Alhamdullilah, marilah kita bersama-sama memanjatkan
setinggi-tinggi kesyukuran ke hadrat Allah SWT kerana dengan taufik dan
inayah-Nya, sekali lagi, kita dapat menyambut Perayaan Hari Guru
Peringkat Negeri Sarawak buat kali yang ke-51. Sesungguhnya, sambutan
Perayaan Hari Guru yang diadakan pada tahun ini merupakan suatu yang
sangat nostalgik dan mengharukan buat warga pendidik di negeri ini, setelah
dua tahun kita tidak mengadakannya secara bersemuka.
2. Terlebih dahulu, izinkan saya mewakili seluruh warga pendidik di
negeri Sarawak untuk merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan ucapan
terima kasih kepada Yang Amat Berhormat Tan Sri Datuk Patinggi (Dr.)
Abang Haji Abdul Rahman Zohari bin Tun Datuk Abang Haji Openg, Premier
Sarawak dan Yang Amat Berbahagia Datuk Amar Hajah Juma’ani binti Tun
Tuanku Bujang yang sudi hadir untuk merasmikan Perayaan Hari Guru
Peringkat Negeri Sarawak pada hari ini. Di sebalik tugasan harian yang
amat padat, YAB Datuk Patinggi serta isteri sentiasa sudi hadir bagi
menyantuni warga pendidik negeri Sarawak meraikan Sambutan Perayaan
3
Hari Guru Peringkat Negeri yang diadakan di Limbang pada kali ini. Ini
merupakan petanda yang amat jelas akan keprihatinan YAB Primier dan
Kerajaan Negeri Sarawak terhadap kepentingan serta peranan bidang
pendidikan kepada kemajuan masa depan negeri Sarawak yang kita cintai
ini. Saya juga ingin mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan
setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih kepada barisan Ahli
Jawatankuasa Pelaksana Sambutan Hari Guru Peringkat Negeri tahun
2022, khususnya PPD Limbang dan PPD Lawas yang telah bertungkus
lumus merancang dan membuat persiapan bagi mengelola pelbagai acara
sempena Sambutan Hari Guru Peringkat Negeri bermula dari 15hb Ogos
sehinggalah kepada kemuncak sambutan yang berlangsung pada hari ini.
Semoga segala jasa bakti dan komitmen tuan/puan diberikan ganjaran
kebaikan yang setimpal serta mencapai objektif kepada penganjuran acara
sambutan ini.
Yang Amat Berhormat Datuk Patinggi, Ahli-ahli Yang Berhormat,
Datuk-datuk, Tuan-tuan, Puan-puan dan hadirin sekalian,
3. Guru merupakan tunjang utama dalam pembentukan sekolah yang
berkualiti dan kemenjadian murid secara holistik. Oleh hal yang demikian,
sebagai mengenang jasa dan pengorbanan warga pendidik ini, Sambutan
Perayaan Hari Guru diraikan setiap tahun. Sambutan Hari Guru ini
merupakan satu langkah untuk kita memberi pengiktirafan kepada semua
guru atas usaha murni yang telah dicurahkan agar masyarakat menghargai
perjuangan para guru terhadap pembangunan negara, khususnya dalam
membentuk generasi pewaris yang bakal menerajui kepimpinan negara
pada masa hadapan. Hakikatnya, perjuangan dan pengorbanan para guru,
4
mendidik anak bangsa, di kota dan desa, di kawasan pedalaman dan hutan
belantara tidaklah dapat dinilai dengan ganjaran wang ringgit dan
kebendaan.
4. Tema Sambutan Hari Guru Ke-51 pada Tahun 2022 ini ialah “Guru
Tunjang Sekolah SEJAHTERA”. Tema ini telah diumumkan secara rasmi
oleh Yang Berhormat Menteri Kanan Pendidikan Malaysia semasa Majlis
Perasmian Gerakan Massa: Terima Kasih Cikgu yang berlangsung 30 Mac
2022 yang lalu. Secara umumnya, tema ini membawa maksud, guru
berperanan sebagai tunjang utama dalam pembentukan generasi masa
depan negara dengan memberi penekanan terhadap penghayatan 14 nilai
murni “SEJAHTERA” dalam amalan pendidikan di sekolah. 14 nilai
SEJAHTERA iaitu : Selamat, Seronok, Sihat, Etika, Empati, Jati Diri, Adab
Sopan, Harmoni, Tekun, Teliti, Terampil, Ekplorasi, Rasional dan Artikulasi
adalah nilai-nilai murni yang diyakini dapat menjadikan sekolah sebagai
institusi pendidikan yang mampu melahirkan generasi masa hadapan yang
memiliki kekuatan dari aspek intelektual, sahsiah, pelbagai kemahiran serta
mampu menghadapi perubahan dan cabaran semasa dalam kehidupan.
5. Penekanan terhadap penghayatan 14 nilai murni ini merupakan usaha
berterusan yang dilaksanakan oleh KPM bagi merealisasikan hasrat yang
terkandung di dalam FPK untuk memperkembangkan potensi murid secara
menyeluruh (holistik) dan bersepadu (integrated) berdasarkan kepercayaan
kepada Tuhan bagi melahirkan warganegara Malaysia yang berilmu
pengetahuan, berketrampilan, berakhlak mulia, bertanggungjawab dan
berkeupayaan mencapai kesejahteraan diri serta memberi sumbangan
terhadap keharmonian dan kemakmuran keluarga, masyarakat dan negara.
5
6. Di peringkat JPN Sarawak pula, melalui Pelan Strategik Organisasi
JPN Sarawak 2020-2022 telah menggariskan tujuh fokus strategik bagi
mencapai matlamat kemenjadian murid yang berilmu pengetahuan,
berkemahiran, membudayakan nilai murni serta bertanggungjawab kepada
masyarakat dan negara melalui sekolah yang berkualiti. Dalam tempoh tiga
tahun terakhir ini, JPN Sarawak memberi tumpuan terhadap usaha untuk
memantapkan kualiti kepimpinan dan pengurusan di pelbagai peringkat,
meningkatkan kualiti PdP dalam kalangan guru dan memaksimumkan
pembelajaran murid agar mereka lebih berdikari dalam proses
pembelajaran. Selain itu, JPN Sarawak juga memberikan penekanan
terhadap usaha membentuk sahsiah dan disiplin murid berteraskan nilai
murni, memperkembangkan bakat murid secara holistik, mengukuhkan
jalinan serta pelibatan ibubapa, komuniti dan agensi luar serta sentiasa
berusaha meningkatkan kualiti prasarana dan infrastuktur di semua 1458
buah sekolah rendah dan menengah serta 30 PPD di seluruh negeri
Sarawak.
7. Dalam perjuangan untuk mengangkat martabat pendidikan anak
bangsa di seluruh negeri ini, kita amat bersyukur kerana kita bukan sahaja
mendapat perhatian dari pelbagai pihak, malah aspirasi dan semangat juang
warga pendidik di negeri Sarawak ini sentiasa mendapat sokongan dan
dokongan yang kuat terutama daripada Kerajaan Negeri Sarawak sendiri.
Melalui Kementerian Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat Sarawak
serta Yayasan Sarawak, pelbagai kerjasama dan sokongan kewangan telah
disalurkan bagi pelaksanaan pelbagai aktiviti meliputi aspek peningkatan
kualiti kepimpinan PGB, peningkatan kualiti PdP guru bagi program DLP
Sarawak, bantuan sumber pembelajaran dan kemahiran digital, skim
6
biasiswa tempatan, skim galakan untuk pelajar, skim bantuan
pengangkutan, pelbagai bentuk anugerah, bantuan pakaian seragam
sekolah, pembangunan sukan, bantuan tuisyen, sekolah HIPERS, bantuan
pembangunan sekolah 1 bilion serta inisiatif untuk meningkatkan capaian
internet bagi meningkatkan kemudahan PdP secara digital. Di peringkat
tempatan pula, kita sangat berterima kasih kepada Ahli-Ahli Yang Berhormat
yang tidak jemu untuk menghulurkan pelbagai bantuan untuk pelaksanaan
aktiviti pembelajaran dan kokurikulum pelajar selain peruntukan
pembangunan, kemudahan dan pembaikan kecil di sekolah-sekolah kita
8. Saya ingin mengambil kesempatan ini untuk mengingatkan rakan-
rakan pendidik sekalian agar kita sentiasa bersyukur di atas segala bantuan
dan sokongan ini dengan cara kita meningkatkan lagi komitmen dan
kesungguhan kita untuk memberikan pendidikan yang terbaik kepada anak-
anak kita. Pada masa yang sama, kita perlulah mengingatkan diri kita
bahawa di sebalik segala bantuan dan kemudahan yang kita terima dari
pelbagai pihak, kita sendiri, selaku warga pendidik yang berjumlah lebih
daripada 40 ribu orang yang bertaburan di seluruh pelusuk ceruk rantau di
negeri yang luas ini, adalah sumber terpenting yang dilabur oleh rakyat
negara ini untuk melaksanakan amanah yang besar dan mulia untuk
melahirkan INSAN TERDIDIK yang akan kita wariskan untuk melahirkan
negara yang sejahtera. KPM menyediakan peruntukan sekitar RM4.3 Bilion
setahun bagi perbelanjaan untuk mengoperasikan pendidikan di negeri
Sarawak dengan sebahagian besarnya (hampir 80%) adalah untuk
emolumen guru dan kakitangan yang berjumlah 51 ribu orang dan
dikendalikan oleh 205 PTJ di seluruh negeri Sarawak. Bagi memastikan
guru-guru tetap segar bersemangat memberikan pendidikan yang berkualiti,
7
warga pendidik diingatkan agar sentiasa berusaha meningkatkan tahap
profesionalisme melalui proses pembelajaran kendiri dan pembangunan
profesionalisme berterusan (Continous Profesional Development – CPD).
Dalam hal ini, saya teringat kata-kata hikmah yang diungkapkan oleh
Pujangga tersohor al-Rumi: “Yesterday I was clever, so I wanted to change
the world. Today, I’m wise, so I’m changing myself.”
YAB Datuk Patinggi, Ahli-ahli Yang Berhormat, Datuk-datuk, Tuan-
tuan, Puan-puan dan hadirin sekalian,
9. Impian kita untuk meletakkan tahap pendidikan anak-anak kita di
negeri Sarawak ini pada tahap yang lebih baik adalah perjuangan yang
berterusan. Bagi memastikan anak-anak kita mendapat pendidikan yang
terbaik, kita memerlukan barisan guru yang berkualiti dan mencukupi bagi
menampung pertambahan bilangan murid dan kelas. Pada masa ini, kita
masih lagi menghadapi masalah kekurangan guru yang agak kritikal
terutama di kawasan-kawasan pedalaman melibatkan subjek-subjek
tertentu. Secara keseluruhan, pengisian guru di negeri Sarawak telah
mencapai 93.47%, di peringkat sekolah rendah 92.42% dan 95.20% di
sekolah menengah selepas mengambil kira penempatan seramai 2929
orang Guru One-Off dan Guru Contract of Service (COS) baru-baru ini. Ini
adalah berkat usaha gigih dan keprihatinan yang diberikan oleh pihak KPM
dan JPN Sarawak serta sokongan yang diberikan oleh MEITD Sarawak.
JPN Sarawak akan terus berusaha untuk mengisi kekosongan perjawatan
guru terutama sekolah-sekolah di sekolah pedalaman. Selain itu, JPN dan
PPD juga telah menyediakan garis panduan khusus untuk menangani isu
8
kekurangan guru buat sementara waktu bagi memastikan proses PdP dapat
terus dilaksanakan seperti pendekatan redeployment guru di peringkat
daerah, pendekatan kelas bergabung dan pendekatan PdP secara terbeza
(differentiated learning) selain memanfaatkan sumber teknologi digital dalam
pelaksanaan PdP.
10. Dari segi kemudahan infrastruktur pula, pihak KPM sentiasa berusaha
untuk meningkatkan kualiti infrastruktur bangunan sekolah, pelbagai
kemudahan asas pembelajaran, kuarters guru dan pejabat PPD. Pada
masa ini, sebanyak 567 buah (38.9%) sekolah di negeri Sarawak berstatus
daif (bilik darjah, kuarters guru dan kemudahan lain yang ada di sesebuah
sekolah) berdasarkan skala 6 dan 7 yang telah ditetapkan oleh KPM
(pengesahan PPD dan JKR). Untuk tujuan penambahbaikan kualiti
bangunan dan infrastruktur institusi pendidikan kita di negeri Sarawak,
dalam RMKe-12 dan RMKe-12 sambungan, kerajaan melalui KPM dan JKR
melaksanakan sebanyak 409 projek pembangunan institusi pendidikan di
Sarawak melibatkan jumlah peruntukan sebanyak RM5.76 Bilion termasuk
peruntukan RM1 Bilion untuk 147 projek daripada kerajaan Sarawak.
Daripada jumlah tersebut, sebanyak 116 projek telah siap sepenuhnya, 126
projek dalam peringkat pelaksanaan dan sebanyak 167 projek dalam
peringkat pra pelaksanaan.
11. Kita amat berharap, peruntukan besar yang disediakan oleh pihak
kerajaan secara berterusan untuk meningkatkan kualiti infrastruktur institusi
pendidikan kita di Sarawak ini akan dapat dimanfaatkan sebaiknya bagi
meningkatkan kemenjadian pendidikan anak-anak kita di negeri Sarawak.
Dalam tempoh sepanjang pandemik Covid-19 yang lalu, sekolah-sekolah
9
kita tidak pernah mengalah dan berputus asa dalam usaha memberikan
pendidikan di sebalik segala cabaran dan kekangan yang dihadapi.
12. Pada kesempatan ini, saya ingin mengucapkan syabas kepada semua
khususnya barisan pendidik di atas usaha dan komitmen membantu sekolah
masing-masing dalam memastikan anak didik kita mencapai kejayaan dalam
Peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) sesi persekolahan tahun 2021
yang lalu dengan pencapaian 88.29 peratus murid layak sijil dan Gred Purata
Negeri (GPN) 5.17. Daripada 193 buah sekolah menengah di negeri
Sarawak, sebanyak 17 buah sekolah menengah kita telah mencapai 100
peratus layak sijil. Untuk tahun-tahun yang mendatang, saya yakin sekolah-
sekolah dan anak-anak kita akan dapat meningkatkan pencapaian layak
mendapat sijil dan kualiti gred pencapaian mata pelajaran (GPMP) serta
gred purata sekolah (GPS) berkat perancangan yang teliti, pelaksanaan
program yang lebih berkesan, komitmen para pendidik, kesedaran para
pelajar dan sokongan kuat yang diberikan oleh ibubapa terhadap
pembelajaran anak-anak mereka.
13. Selain itu, anak-anak kita di negeri Sarawak juga tidak kurang
hebatnya dalam bidang kokurikulum sama ada di peringkat antarabangsa
atau peringkat kebangsaan. Sebagai contoh, di peringkat antarabangsa
SJK (C) Chung Hua, Miri dan SMK Chung Hua, Miri telah berjaya menjadi
johan World Robot Olympiad bagi pertandingan Regular Elementary Energy
at Home dan Regular Junior High Park and Charge. Manakala di peringkat
kebangsaan, kontinjen Sarawak telah dinobatkan sebagai Johan
Keseluruhan dan seterusnya memenangi Piala Pusingan Menteri
Pendidikan dalam National Robotics Competition 2021. Dalam bidang
10
koakademik pula, SJK (C) Chung Hua Simanggang telah menjadi johan bagi
pertandingan Dare To Spell dalam National English Cyberspace Challenge.
Bagi bidang kesenian pula, SMK Tatau telah menjadi johan dalam
pertandingan Semarak Tari Peringkat Kebangsaan. Kejayaan yang
dinyatakan itu hanyalah sebahagian daripada pencapaian yang diperoleh
oleh anak-anak kita di Sarawak di sebalik pelbagai cabaran yang dihadapi
dalam tempoh pandemik Covid-19 yang lalu. Sudah tentu, pelbagai
kejayaan yang dicapai oleh anak-anak ini adalah berkat dorongan dan
bimbingan insan hebat yang bergelar guru.
14. Selain dari anak-anak murid, guru-guru kita tidak kurang hebatnya
dalam mengharumkan nama di peringkat antarabangsa. Sebagai contoh,
Cikgu Tessie Rijem dari SK Buloh, Selangau telah memenangi Anugerah
Guru Global 2021 atas usaha beliau dalam meningkatkan penguasaan
Bahasa Inggeris dalam kalangan anak didik beliau di pedalaman meskipun
berdepan dengan cabaran PdPr.
YAB Datuk Patinggi, Ahli-ahli Yang Berhormat, Datuk-datuk, Tuan-
tuan, Puan-puan dan hadirin sekalian,
15. Sebelum mengakhiri ucapan ini, JPN Sarawak sekali lagi ingin
merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada Kerajaan Negeri Sarawak
atas kerjasama erat, komitmen tinggi dan keprihatinan berterusan yang
diberikan bagi memastikan kecemerlangan dan kelestarian pendidikan di
negeri Sarawak, Bumi Kenyalang yang dicintai. Seluruh warga pendidikan
di Sarawak berharap agar kerjasama baik ini dapat diteruskan demi manfaat
11
rakyat dan pembangunan di Negeri Sarawak untuk menjadi sebuah negeri
maju menjelang tahun 2030.
16. Guru adalah hujung tombak generasi tunas bangsa, gurulah yang
pertama mengukir akan dijadikan apa generasi muda ini. Ayuh Cikgu!
jangan anggap semua perubahan dunia pendidikan pada hari ini sebagai
bebanan untuk digalas, jadikan pekerjaan seorang guru sebagai amanah
yang merupakan pekerjaan yang indah kerana di tangan cikgulah murid-
murid tersebut dicorakkan.
17. Dalam merealisasikan hasrat KPM, tanamkan jiwa anak bangsa kita
dengan nilai dan etika yang tinggi di samping memacu generasi ke arah
pembangunan negara pada masa depan. Bergeraklah sejajar dengan
tuntutan perkembangan dunia pendidikan. Maka, teruskanlah khidmat
baktimu yang mulia ini. Jasa guru akan sentiasa dikenang sepanjang hayat.
Akhir kata, saya sudahi dengan madah berikut:
Guru...
Dalam ajarnya ada harapan,
dalam tegurnya ada doa,
dalam marahnya ada sayang,
dalam tawa ada mesranya,
dalam diam ada bijaksana,
dalam tangannya kita terbina.
Berbahagialah menjadi guru...
Sacrifice is greater than love
character is greater than beauty
humanity is greater than wealth
BUT
nothing is greater than a teacher.
12
Selamat Hari Guru, Terima Kasih Cikgu.
Wabillahi tawfik walhidayah wassalamu’alaikum warahmatullahi
wabarakatuh.
Sekian, terima kasih.
13