The words you are searching are inside this book. To get more targeted content, please make full-text search by clicking here.

10.8.2022 - edited TEKS UCAPAN YAB PREMIER SARAWAK

Discover the best professional documents and content resources in AnyFlip Document Base.
Search
Published by smsyzam, 2022-08-12 04:46:27

10.8.2022 - edited TEKS UCAPAN YAB PREMIER SARAWAK

10.8.2022 - edited TEKS UCAPAN YAB PREMIER SARAWAK

TEKS UCAPAN
YANG AMAT BERHORMAT
DATUK PATINGGI TAN SRI (Dr.) ABANG HAJI ABDUL
RAHMAN ZOHARI BIN TUN DATUK ABANG HAJI OPENG

PREMIER SARAWAK

SEMPENA
SAMBUTAN HARI GURU
PERINGKAT SARAWAK TAHUN 2022

1

Terima kasih saudara/ saudari pengacara majlis.

1. Yang Berhormat Datuk Amar Haji Awang Tengah bin Ali Hasan,
Timbalan Premier Sarawak merangkap Menteri Sumber Asli &
Pembangunan Bandar II dan Menteri Perdagangan Antarabangsa,
Industri dan Pelaburan Sarawak

2. Yang Berhormat Datuk Roland Sagah Wee Inn, Menteri Pendidikan,
Inovasi dan Pembangunan Bakat Sarawak

3. Yang Berbahagia Datu Dr. Haji Azhar bin Haji Ahmad, Pengarah
Pendidikan Sarawak

4. Yang Berhormat Datuk Haji Hasbi bin Habibollah, Timbalan Menteri
Pembangunan Luar Bandar II, Kementerian Pembangunan Luar
Bandar, Malaysia merangkap Ahli Parlimen P221 Limbang

5. Yang Berhormat Datuk Dr. Haji Abdul Rahman bin Haji Ismail,
Timbalan Menteri Pemodenan Pertanian dan Pembangunan Wilayah
merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri N79 Bukit Kota

6. Yang Berhormat Tuan Paulus Palu Gumbang, Ahli Dewan Undangan
Negeri Sarawak N.80 Batu Danau

7. Yang Berusaha, Tuan Haji Sebi bin Haji Abang, Residen Bahagian
Limbang

8. Dif-dif Terhormat,

9. Ketua-ketua Jabatan.

10. Ketua-ketua Masyarakat

11. Warga Pendidikan Seluruh Negeri Sarawak

12. Petugas-petugas Media

2

13. Tuan-tuan dan puan-puan yang dihormati sekalian

1. Alhamdulillah, segala puji bagi Allah S.W.T kerana atas limpah kurnia
dan keizinan-Nya kita berkesempatan untuk meraikan Sambutan Hari Guru
Peringkat Negeri Sarawak tahun 2022. “Selamat Hari Guru, terima kasih
Cikgu”. Saya mengucapkan terima kasih kepada Jabatan Pendidikan
Negeri Sarawak kerana sudi untuk menjemput saya hadir bersama meraikan
Sambutan Perayaan Hari Guru Peringkat Negeri Sarawak tahun 2022.

2. Bertemakan “Guru Tunjang Sekolah SEJAHTERA” Sambutan Hari
Guru pada kali ini amat bertepatan dengan usaha pihak kerajaan untuk
memberi penekanan terhadap peranan para guru bagi membimbing dan
membentuk kemenjadian anak-anak murid secara lebih holistik dan
bersepadu selari dengan hasrat yang terkandung di dalam Falsafah
Pendidikan Kebangsaan. Pembetukan generasi muda yang berilmu
pengetahuan, berkemahiran, berketrampilan, memiliki jati diri sebagai
warganegara Malaysia dan sahsiah yang mulia merupakan aspirasi negara
yang perlu diperjuangkan bagi memastikan pembangunan negara yang
lestari.

3. Pelbagai inisiatif telah dilakukan oleh Jabatan Pendidikan Negeri,
Pejabat Pendidikan Daerah, sekolah serta institusi pendidikan bagi
mewarnai keceriaan Sambutan Hari Guru pada kali ini. Apapun kaedah
yang kita gunakan untuk menyambut Hari Guru, semuanya haruslah
bermatlamat untuk menghargai segala jasa bakti dan pengorbanan insan
yang bergelar guru kerana gurulah yang memainkan peranan penting dalam

3

memberikan kesedaran kepada anak-anak murid tentang erti kehidupan,
menitipkan asas ilmu pengetahuan dan kemahiran, membentuk jati diri yang
mantap, bersemangat patriotik, berpegang teguh kepada ajaran agama dan
mempunyai nilai moral yang tinggi, memiliki budaya kehidupan yang maju
dan saintifik serta memiliki identiti nasional sebagai rakyat Malaysia yang
bersatu padu.

Hadirin dan hadirat Sekalian,

4. Guru menjadi tonggak utama kepada pendidikan berkualiti. Negara
menaruh harapan yang tinggi kepada golongan pendidik yang bergelar guru
dalam mendidik anak bangsa. Guru perlu memastikan pembelajaran yang
bermakna dan menyeronokkan dapat dizahirkan sepenuh jiwa dalam
kalangan anak didik bagi menerapkan ilmu, kemahiran dan nilai.

5. Saya sedar bahawa profesion guru sangat disanjung tinggi oleh
masyarakat kerana peranan guru sangat besar dalam proses melahirkan
modal insan yang diperlukan oleh Sarawak khasnya dan diperlukan oleh
negara Malaysia amnya. Bagi mencapai matlamat Sarawak Maju 2030,
peranan guru sangat penting untuk memastikan matlamat ini tercapai dalam
pembentukan generasi yang berkualiti dalam semua aspek yang seimbang
iaitu jasmani, emosi, rohani, intelek, sosial dan kepercayaaan kepada
Tuhan. Kita perlu menyedari bahawa peranan guru di sekolah sekarang
bukan hanya sebagai pemudah cara dalam penyampaian ilmu pengetahuan
dan kemahiran kepada para murid tetapi turut berperanan sebagai
pembimbing dan pembentuk insan yang beretika, mempunyai nilai moral

4

yang tinggi serta berkepercayaan yang utuh kepada Tuhan berlandaskan
prinsip Rukun Negara. Dalam proses menghadapi persaingan serba
mencabar dan terus berkembang dengan begitu pantas, guru perlu sentiasa
bersedia menerima segala perubahan dan berupaya menjadi pemudah cara
yang berkesan bagi memperkembang minat, bakat, kebolehan serta
keupayaan murid membina daya fikir yang kritis dan kreatif sehingga mereka
dapat menyesuaikan diri dengan perubahan dunia yang sukar diramal yang
berlaku di sekeliling mereka. Ini bermakna bahawa guru sekarang perlu
senantiasa bersedia untuk melaksanakan tanggungjawab yang semakin
rencam dan sangat mencabar.

6. Saya juga sedar bahawa peranan utama Kerajaan Negeri Sarawak
ialah memberi sokongan kepada agenda pendidikan kebangsaan. Yang
kurang kita tambah. Yang perlu kita wujudkan. Yang sudah ada kita
rekayasa. Semuanya dengan tujuan untuk membolehkan pendidikan di
Sarawak berdiri sama tinggi dengan agenda pendidikan di peringkat
kebangsaan demi kepentingan anak Sarawak. Sumbangan dan jasa para
guru dalam apa-apa juga program yang diadakan di sekolah, memberi kesan
dalam usaha untuk melahirkan generasi yang berupaya bersaing di semua
peringkat sama ada di peringkat negeri, di peringkat negara atau di peringkat
dunia. Tuntutan untuk menjadi pesaing global itu sangat mencabar.
Keperluannya sangat tinggi. Oleh itu, visi, misi, profesionalisme, kreativiti,
inovasi dan keterampilan para guru amat penting sebagai tunjang untuk
merealisasikan impian ini. Para guru perlu melengkapkan diri supaya dapat
memudah cara pembelajaran para murid dengan pemahaman dan
kesedaran tentang ilmu serta maklumat yang relevan dengan zaman mereka
sesuai dengan kata-kata Syaidina Umar Al-Khattab bahawa “Didiklah anak-

5

anak kamu mengikut zaman mereka.” Oleh hal yang demikian, para guru
diingatkan perlu terus mengorak langkah untuk bersedia menerima
perubahan dan memperkukuh kompetensi masing-masing bagi membina
negara bangsa melalui sistem pendidikan negara yang mantap berasaskan
ilmu, nilai dan budaya yang kita sanjung. Dengan sumbangan jasa guru-
guru yang berkualiti tinggi, saya sangat berharap kita dapat menjadikan anak
didik, khususnya di Sarawak, sebagai insan yang cemerlang dan berkualiti
serta setanding dengan bangsa lain di seluruh pelosok dunia.

7. Guru merupakan penggerak utama dalam pembangunan modal insan.
Justeru, kita memerlukan sokongan padu daripada guru untuk membina
keupayaan dan kompetensi murid agar menjadi kuasa siber dan kuasa
kognitif, cyberpower and brain power khususnya di Sarawak. Sarawak
memerlukan keupayaan ini bagi mengangkat martabat dan maruah serta
menggerakkan Sarawak Melangkah ke Hadapan supaya Sarawak dengan
2.8 juta penduduknya maju menjelang tahun 2030.

8. Dalam hal yang berkaitan dengan wadah dan kaedah, saya berseru
agar para guru faham bahawa Kerajaan Negeri Sarawak komited untuk
memastikan penembusan dan kepantasan internet di negeri ini
dipertingkatkan. Usaha ini amat penting terutamanya dalam usaha kita
untuk menjayakan ekonomi digital. Dalam usaha menghadapi cabaran dan
persaingan global, Kerajaan Sarawak komited untuk membina infrastruktur
yang berkaitan. Oleh itu, saya berseru agar semua pendidik di Sarawak
supaya sentiasa bersiap siaga untuk menerima perubahan dan
menganjakkan paradigma masing-masing selaras dengan tuntutan global
semasa. Para guru mempunyai peranan yang sangat penting untuk

6

memupuk kesedaran dan pemahaman dalam kalangan murid dan dalam
kalangan masyarakat umum juga tentang kepentingan dan manfaat semua
usaha yang dilakukan oleh kerajaan. Keterampilan anak didik tentulah
bermula di bilik darjah.

9. Sesungguhnya, segala usaha yang dilakukan di Sarawak merupakan
agenda besar yang bakal mengubah nasib dan masa depan rakyat pelbagai
kaum, khususnya masyarakat di luar bandar. Kejayaannya banyak
bergantung kepada pemahaman dan penyertaan rakyat, khususnya
generasi muda melalui bimbingan dan pemudahcaraan para guru. Ini ialah
inisiatif untuk mereka dan kejayaannya tentu tidak hanya bergantung kepada
kerajaan. Di sinilah kita sangat mengharapkan para guru bersama-sama
Kerajaan Negeri Sarawak melalui Yayasan Sarawak dan MEITD
menghulurkan sokongan selagi mampu untuk membangunkan potensi anak
Sarawak dan seterusnya menjamin generasi yang akan menikmati
kelangsungan kemajuan dan kesejahteraan bumi Sarawak ini.

10. Kerajaan Negeri Sarawak telah memperkenal Anugerah Khas Ketua
Menteri Sarawak (AKKMS). Yayasan Sarawak diberi peranan sebagai
pengelola majlis tahunan yang berprestij ini di samping kerjasama Jabatan
Pendidikan Negeri Sarawak (JPNS) sebagai penilai penerima anugerah ini.
AKKMS diperkenalkan pada 1992 sebagai pengiktirafan kepada sekolah,
guru, PIBG dan murid yang mempunyai prestasi cemerlang di Sarawak.
Selama bertahun-tahun, penghargaan ini telah mendorong banyak individu
untuk mencapai kecemerlangan dalam bidang pendidikan demi manfaat
keluarga, masyarakat dan negeri ini. Ini juga merupakan pengiktirafan
tertinggi daripada Kerajaan Sarawak. Mendapat penghargaan ini menjadi

7

pendorong serta melonjakkan motivasi dalam bidang pendidikan di Sarawak
untuk terus meningkatkan prestasi setiap tahun sekali gus melahirkan modal
insan yang cemerlang.

Hadirin sekalian,

10. Saya berseru agar para guru terus menjalankan tugas dengan penuh
dedikasi dan berintegriti tanpa mengira asal dan keturunan diri guru masing-
masing, tanpa mengenal pegangan agama atau ideologi apatah lagi
fahaman politik. Pendidikan ialah tonggak pembangunan keilmuan. Budaya
ilmu merentasi semua budaya, semua umat dan milik semua orang. Perkara
ini penting kerana keharmonian serta perpaduan penduduk Sarawak yang
terdiri daripada pelbagai kaum perlu terus terpelihara. Dengan adanya
perpaduan dan keharmonian yang kukuh, segala cabaran dapat dihadapi
bersama-sama secara berkesan. Dasar Transformasi Pembangunan
Sarawak akan dapat dilaksanakan dengan lancar dan jayanya.

11. Bagi memastikan profesion keguruan kekal relevan, disanjung tinggi
dan dipandang mulia, para guru haruslah berusaha untuk meningkatkan
tahap profesionalisme kendiri dengan menyertai latihan peningkatan
keilmuan yang dianjurkan oleh kerajaan persekutuaan mahupun kerajaan
negeri khususnya latihan yang dapat membantu meningkatkan kualiti
sekolah, kualiti pengajaran dan pembelajaran dan kemenjadian murid agar
modal insan yang dihasilkan akan bersifat holistik dan berupaya
menghadapi cabaran Revolusi Perindustrian 4.0 (IR4.0).

8

Para hadirin yang saya hormati sekalian,
Buat semua guru yang pernah saya kutip ilmu dari kalian, terima kasih

yang tidak terhingga. Moga hidup kalian sentiasa dirahmati-Nya. Semoga
‘amal’ kita semua bernilai di sisi-Nya.

Jadilah seorang guru yang hadirnya diTUNGGU, hilangnya diRINDU,
ilmunya diBURU, nasihatnya diSERU, tingkah-lakunya diTIRU... SELAMAT
HARI GURU. Terima Kasih Cikgu.
Terima kasih sekali lagi saya titipkan kepada bekas guru-guruku. Khidmat
baktimu, jasamu dan ilmu yang kau berikan akan aku manfaatkan demi
kebaikan kita semua di Bumi Kenyalang.
Dengan lafaz Bismillahirrahmanirrahim, sukacitanya saya merasmikan
Sambutan Perayaan Hari Guru Peringkat Sarawak Tahun 2022.
Wabillahi tawfik walhidayah wassalamu’alaikum warahmatullahi
wabarakatuh.
Sekian, terima kasih.

9


Click to View FlipBook Version