Pada era moden ini, konsep teknologi hijau telah berjaya diaplikasikan ke dalam kehidupan
seharian kita dan menjadi pilihan utama bagi menyelamatkan bumi kita. Pelbagai sektor pada
hari ini mengamalkan asas kefahaman teknologi hijau sebagai keutamaan sewaktu
melaksanakan kegiatan masing-masing. Untuk mengenali dan memahami teknik dan
pelaksanaan yang diambil oleh mereka yang melakukan rutin kerja berasakan teknologi hijau,
kita perlulah memahami apakah dimaksudkan dengan teknologi hijau. Teknologi hijau
dikenalpasti sebagai pembangunan dan aplikasi produk, peralatan dan sistem untuk
memelihara alam sekitar dan alam semulajadi untuk mengurangkan implikasi yang
diakibatkan oleh aktiviti manusia yang merosakkan alam (CENTREE,2009). Penggunaan
teknologi hijau ditekankan kepada empat sektor khusus yang telah dikaji keberkesanannya
iaitu sektor tenaga, air dan sisa pepejal, bangunan dan perhutanan serta pengangkutan.
Sektor-sektor ini memainkan peranan yang amat penting kepada masyarakat kita pada hari
ini. Melalui penyerapan amalan teknologi hijau dalam sektor-sektor ini, kita dapat
meninggalkan dunia yang lebih bersih, selamat dan hijau untuk generasi akan datang. Hal ini
dikatakan demikian kerana dengan adanya inisiatif untuk melestarikan teknologi dalam sektor-
sektor ini maka wujudnya persepakatan bersama untuk membantu usaha mengurangkan
kerosakan terhadap alam memandangkan keadaan alam sekitar kita kini yang kian parah
diperlakukan oleh manusia yang tidak mengendahkan kelestarian alam mereka sendiri dan
hanya mengharapkan usaha orang lain.
Sektor tenaga memainkan peranan yang amat penting bagi menyumbangkan tenaga
elektrik bagi memudahkan rutin harian kita. Hal yang menjadi kebimbangan ramai adalah
bagaimana kaedah penghasilan tenaga mengakibatkan pencemaran kepada alam sekitar dan
mengurangkan sumber bahan penghasilan tenaga itu sendiri. Seperti yang kita sedia maklum,
sektor tenaga diperoleh daripada dua jenis sumber tenaga iaitu sumber tenaga yang boleh
diperbaharui dan sumber tenaga yang tidak boleh diperbaharui. Sumber tenaga yang tidak
boleh diperbaharui adalah sumber yang tidak boleh digunakan semula setelah dihasilkan
tenaga daripadanya seperti gas asli, nuklear, arang batu dan bahan api fossil. Sumber-sumber
tenaga seperti ini juga tidak mesra alam dan menimbulkan pencemaran kepada alam.
Sebagai contoh, sumber tenaga nuklear akan menghasilkan sisa dan bahan buangan yang
akan berkekalan untuk ribuan tahun dan mendatangkan kesan radiasi selama beberapa
generasi jika tidak diuruskan dengan baik (Suhaimi,2019). Selain itu, sumber tenaga yang
tidak boleh diperbaharui tidak akan kekal lama dan akan habis suatu hari nanti. Sebagai
tamsilan, bahan api fossil yang digali di bawah tanah adalah terhad sumbernya dan akan
kehabisan apabila lebih banyak galian dilakukan. Dengan itu, dapatlah disimpulkan bahawa
sumber tenaga yang tidak boleh diperbaharui adalah tidak mesra dan lestari terhadap alam
dan penggunaan sumber tenaga yang boleh diperbaharui wajar diperbanyakkan. Di Malaysia,
sumber tenaga yang tidak boleh diperbaharui dan boleh diperbaharui dapat dijumpai di serata
negara. Di perairan laut negara kita khususnya di Laut China Selatan, terdapat pelantar
minyak dibina untuk menggali bahan api fossil pelbagai guna. Di daratan pula adanya kegiatan
menggali arang batu yang merupakan sumber tenaga utama pada abad lalu dan masih
digunakan sehingga hari ini. Arang batu telah terbukti boleh mencemarkan kelestarian alam.
Penghasilan tenaga menggunakan arang batu mengakibatkan pelepasan karbon dioksida,
merkuri dan jelaga berbahaya yang boleh merosotkan tahap kesihatan udara di Kawasan
berhampiran pusat penjanaan tenaga (Adriana,2017). Walaupun masih terdapat penjanaan
tenaga daripada sumber yang tidak boleh diperbaharui, kelestarian alam di Malaysia tidaklah
berada pada paras yang membimbangkan. Menjelang abad ke-21, lebih banyak sumber
tenaga yang boleh diperbaharui diaplikasikan dalam negara. Sumber tenaga yang boleh
diperbaharui yang paling popular di Malaysia adalah air dan solar. Penjanaan tenaga daripada
air dikenali sebagai hidroelektrik dan beberapa empangan telah dibina dalam negara untuk
memenuhi keperluan operasi tenaga hidroelektrik. Tenaga hidroelektrik adalah mesra alam
dan tidak mendatangkan pencemaran dan kerosakan kepada alam. Antara stesen janakuasa
tenaga hidroelektrik yang terdapat di Malaysia ialah Empangan Temenggor, Empangan
Kenyir, Empangan Hulu Terengganu dan Empangan Pergau di Kelantan. Tenaga hidroelektrik
merupakan antara pilihan yang terbaik untuk penjanaan tenaga elektrik untuk kegunaan ramai
tanpa mengorbankan kelestarian alam.
Sektor seterusnya yang menggunakan teknologi hijau ialah sektor pengurusan sisa pepejal.
Sisa pepejal merupakan apa-apa atau sebarang bahan sekerap dan bahan lebihan lain yang
tidak dikehendaki serta sebarang bahan keluaran yang ada kerana penggunaan apa-apa
proses. Terdapat dua kaedah yang paling popular yang mempraktikkan konsep teknologi hijau
bagi menguruskan sisa-sisa pepejal yang dihasilkan oleh kita. Pertama sekali ialah kaedah
guna semula. Kaedah ini hanya boleh digunapakai untuk sisa pepejal yang masih baik
rupanya dan bersifat sempurna untuk kegunaan ulangan. Bahan-bahan yang tidak
menghasilkan bau ataupun tidak boleh reput boleh digunakan untuk aktiviti pengurusan sisa
pepejal melalui teknik guna semula. Konsep guna semula seringkali disalahertikan dengan
konsep kitar semula. Terdapat perbezaan ketara antara dua istilah ini. Antaranya ialah
maksud mereka itu sendiri. Guna semula adalah aktiviti penggunaan semula bahan-bahan
buangan yang sama untuk kegunaan sama atau kegunaan baharu manakala kitar semula
adalah aktiviti memproses bahan buangan lama kepada produk dan hasil yang baharu. Ini
bermakna guna semula tidak mengubah bentuk bahan buangan tersebut secara ketara tidak
seperti kitar semula yang mengubah hamper keseluruhan bentuk dan rupa bahan buangan
yang diproses. Proses guna semula tidak memerlukan sebarang penggunaan tenaga
manakala proses kitar semula memerlukan sedikit tenaga untuk pemprosesan bahan
buangan. Beberapa contoh aktiviti guna semula ialah mengecas semula bateri yang boleh
dicas semula sekerap mungkin. Selain itu, kegiatan menjual semula barang-barang yang tidak
dimahukan lagi seperti pakaian, alatan elektronik mahupun perabot juga dikenalpasti sebagai
salah satu bentuk aktiviti guna semula. Kebiasaannya, bahan-bahan yang dijual semula ini
masih berada pada keadaan yang baik dan dijual semula kerana terdapat peralatan lebih baru
di rumah. Seterusnya, beg plastik yang masih baik boleh disimpan untuk kegunaan kemudian.
Ini merupakan satu tindakan yang efektif untuk menjamin kelestarian alam memandangkan
beg plastik merupakan salah satu bahan yang memakan masa begitu lama untuk dilupuskan.
Jika lebih banyak beg plastik dihasilkan, maka pusat pelupusan akan mengalami amsalah
kekurangan tapak pelupusan kerana timbunan plastik yang sukar untuk direputkan ini. Ramai
di kalangan ahli masyarakat kita memilih untuk membakar longgokan beg plastik yang sukar
untuk dilupuskan ini. Aktiviti pembakaran terbuka yang disebabkan oleh terlalu banyak
penggunaan beg plastik akan mencemarkan ruang udara dan sedikit sebanyak menyumbang
kepada berlakunya bencana seperti jerebu dan hujan asid. Dengan adanya guna semula,
perkara ini dapat dielakkan daripada berlaku pada masa akan datang untuk menjamin
kelestarian alam bersama. Terdapat banyak kebaikan yang boleh diperoleh melalui amalan
guna semula dan salah satu daripadanya jimat wang dan perbelanjaan kerana lebih banyak
barang buangan yang boleh digunakan lebih daripada sekali. Penjimatan berganda boleh
berlaku apabila wang dapat disimpan daripada dibazirkan untuk pembelian barangan yang
boleh diperoleh melalui bahan buangan. Sudah semestinya amalan ini juga melestarikan alam
kerana lebih kurang bahan buangan dihantar ke pusat pelupusan sisa pepejal.
Sisa pepejal pada hari ini dilupuskan di tapak-tapak pelupusan sisa pepejal yang
mengamalkan konsep teknologi hijau dan mengutamakan kelestarian alam. Terdapat
pecahan kategori kaedah yang digunakan untuk melupuskan sisa pepejal iaitu landfill dan
insinerator. Kedua-dua kaedah ini menggunakan teknologi hijau sebagai keutamaan. Di
bawah kaedah landfill, terdapat tiga teknik penimbusan sisa iaitu open dumping, sandwich
dan cell. Kaedah ini bersifat mesra alam kerana tidak menimbulkan pencemaran ketara
terhadap alam. Namun begitu, bilangan sisa pepejal yang semakin meningkat mengakibatkan
pencemaran bau dan tanah. Pencemaran tanah ini berlaku apabila banyak sisa pepejal
berbentuk plastik tertanam dan sukar untuk direputkan. Masalah penambahan bilangan sisa
pepejal saban tahun menyebabkan lebih banyak tapak pelupusan sisa pepejal penuh dan
tidak mampu untuk menampung bilangan sisa pepejal yang begitu banyak. Kaedah pelupusan
menggunakan insinerator mengamalkan konsep teknologi hijau dengan mengurangkan
bilangan gas berbahaya daripada dilepaskan ke udara.
Sektor bangunan hijau menjadi salah satu daripada sektor yang mengamalkan konsep
teknologi hijau. Bangunan hijau merupakan bangunan yang mengurangkan atau
menghilangkan kesan negatif dalam reka bentuk, pembinaan atau operasinya dan boleh
memberi kesan positif terhadap iklim dan persekitaran semula jadi kita. Bangunan hijau
menjimatkan sumber semula jadi yang berharga dan meningkatkan kualiti hidup kita (Label
Eco, 2017). Terdapat beberapa ciri bangunan hijau yang membuatkan mereka berbeza
daripada bangunan biasa. Antaranya ialah penggunaan tenaga dan air dengan cekap.
Bagaimana air dan tenaga dapat digunakan secara cekap? Penggunaan air secara cekap
boleh berlaku dengan penggunaan produk cekap air . Di Malaysia, terdapat program Skim
Pelabelan Produk Cekap Air (SPPCA) yang dilabelkan kepada produk cekap air. Label ini
dikeluarkan oleh Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) untuk mempromosikan
produk yang efektif dan cekap air kepada pengguna (Sinar Harian, 2021). Promosi ini
menggalakkan orang ramai untuk memilih gaya hidup teknologi hijau. Produk-produk ini dapat
mengelakkan penggunaan air secara berlebihan dan merendahkan kos air bulanan
pengguna. Terdapat lima jenis produk cekap air yang akan dilabel dengan SPPCA iaitu pili
air, tangki tandas dua simbahan, peralatan urinal, pancuran mandi dan mesin basuh. Terdapat
3 tahap kecekapan air yang digariskan oleh SPAN iaitu dari satu bintang ke tiga bintang
mengikut kecekapan produk cekap air yang dikeluarkan. Selain air, produk cekap tenaga juga
dititikberatkan dalam bangunan hijau. Sama seperti produk cekap air, produk cekap tenaga
juga mempunyai Label Kecekapan Tenaga yang dikeluarkan oleh kerajaan pada tahun 1994.
Label ini dikeluarkan dengan rating 2 bintang sehingga 5 bintang bergantung kepada
kecekapan produk yang dikeluarkan. Beberapa peralatan elektronik sepperti mesin basuh,
peti sejuk, penyaman udara dan televisyen diwajibkan untuk mengambil label ini sebelum
dijual kepada orang ramai ( Energy Commission, 2021). Produk cekap tenaga melepaskan
25% kurang karbon berbanding peralatan elektrik lain. Selain itu penggunaan tenaga bagi
produk cekap tenaga juga adalah kurang daripada 25%. Penggunaan tenaga alternatif seperti
tenaga solar juga adalah ciri bangunan hijau. Tenaga solar adalah bersifat lestari terhadap
alam dan tidak mencemarkan persekitaran bangunan. Bangunan hijau juga mengamalkan
konsep guna semula dan kitar semula. Kedua-dua konsep ini memainkan peranan penting
dalam usaha memelihara bumi daripada penghasilan sisa pepejal yang berlebihan dan tidak
mampu untuk diuruskan. Reka bentuk bangunan hijau perlulah sesuai dengan perubahan
yang berlaku di persekitarannya. Ruang udara yang baik juga diambil kira dalam pengurusan
pembinaan bangunan hijau. Pengudaraan yang baik membolehkan penghuni bangunan hijau
tinggal dalam suasana yang selesa. Apa sahaja jenis bangunan boleh dijadikan sebagai
bangunan hijau tidak kira sama ada hospital, bangunan kerajaan, sekolah mahupun rumah
kediaman.
Perhutanan merupakan satu sektor yang mengamalkan teknologi hijau bagi memelihara
dan memulihara hutan dalam negara. Ia berperanan untuk menjamin kewujudan hutan dan
memerangi eksploitasi hutan ke atas tangan-tangan yang tidak bertanggungjawab. Objektif
perhutanan adalah berteraskan kepada peningkatan kualiti alam sekitar melalui pengekalan
dan pemuliharaan hutan. Terdapat beberapa aktiviti yang dilakukan melalui kegiatan
perhutanan dan antaranya ialah penanaman semula pokok-pokok dengan benih yang
berkualiti yang dapat menghasilkan pokok dengan kayu dan gabus yang berkualiti. Perkara
ini dilihat sama seperti pertanian tetapi penanaman semula pokok yang telah ditebang adalah
bertujuan untuk menggantikan bilangan pokok yang telah ditebang dengan pokok yang
baharu. Usaha ini mengambil masa yang agak banyak kerana pokok memerlukan masa untuk
membesar tetapi ianya adalah usaha paling praktikal dan logik untuk digunakan bagi jangka
masa terdekat. Penghutanan semula kawasan yang telah ditebang dengan skala yang besar
memberikan banyak faedah kepada ekosistem kita yang kian meruncing keadaannya.
Perhutanan dapat memberikan banyak impak positif kepada masyarakat juga terutamanya
daripada segi ekonomi. Bidang perhutanan dan penjagaan serta penyeliaan hutan ini
menyediakan banyak peluang pekerjaan kepada orang awam. Pengurusan hutan adalah
berlandaskan kepada konsep lestari alam dan mengekalkan teknologi hijau sebagai alternatif
kepada pembaharuan teknologi saban hari yang tidak mesra alam. Pelbagai bentuk bencana
akan terpaksa dihadapi oleh generasi akan datang sekiranya perhutanan tidak dilaksanakan
secara efektif kerana kawasan hutan yang ditarah adalah tidak stabil dan berkemungkinan
besar untuk mengalami kejadian tidak diingini seperti banjir lumpur, tanah runtuh dan
pencemaran air sungai. Dengan wujudnya perhutanan lebih kurang bencana dapat dielakkan
pada masa depan.
Teknologi hijau memainkan peranan yang amat ketara dalam usaha menyelamatkan bumi
daripada terus menghadapi bencana tanpa henti. Kita perlulah bertanggungjawab untuk turut
serta bergiat aktif menyertai usaha mengamalkan teknologi hijau dalam kehidupan seharian
dan mengelakkan penggunaan teknologi yang boleh merosakkan alam.
Rujukan
Adriana, A. (2017, July 14). Tenaga arang batu dan akibatnya sebagai sumber
tenaga. Renovables Verdes. https://www.renovablesverdes.com/ms/tenaga-arang-batu/
CENTREE. (2009). Teknologi Hijau. Centre for Education and Training in
Renewable Energy, Energy Efficiency & Green Technology.
http://cetree.usm.my/index.php/en/berita-cetree/98-teknologi-hijau
Energy Commission. (2020). Energy Commission - Penggunaan Elektrik Dengan
Cekap. Suruhanjaya Tenaga Malaysia. https://www.st.gov.my/ms/web/consumer/details/7/2
Label Eco. (2017). Apa itu Bangunan Hijau? https://www.ecolabel.org/ms/bilgiler/yesil-bina-
nedir/
Sinar Harian. (2021, August 13). Jimat air menerusi produk cekap air.
https://www.sinarharian.com.my/article/155302/BERITA/Nasional/Jimat-air-menerusi-
produk-cekap-air
Suhaimi, K. (2019, July 17). 10 Kesan Dan Risiko Sekiranya Banyak Negara
Memiliki Tenaga Nuklear. Iluminasi. https://iluminasi.com/bm/10-keburukan-yang-dibawa-
oleh-tenaga-nuklear.html