The words you are searching are inside this book. To get more targeted content, please make full-text search by clicking here.
Discover the best professional documents and content resources in AnyFlip Document Base.
Search
Published by 760-9-anishah, 2022-04-26 02:15:30

CERITA PENDEK : MISTERI DORA

Misteri Dora

Misteri Dora
Sarah merupakan seorang murid sekolah rendah dan merupakan anak
tunggal dalam keluarganya. Dia membesar dalam sebuah keluarga yang mewah dan
kaya-raya. Ayahnya merupakan seorang jutawan yang bekerja di sebuah syarikat
yang sangat maju dalam pengurusan ekonominya, iaitu Syarikat Ceria Holidays
manakala ibunya pula merupakan seorang model yang terkenal.

Sarah seperti mendapat durian runtuh kerana setiap keinginannya pasti
akan dipenuhi oleh ibu bapanya kepadanya. Walaupun dari sudut pandangan luaran
seorang gadis kecil yang bernama Sarah ini digambarkan kehidupannya seperti
berada dalam suasana keluarga yang melayannya bagai menatang minyak yang
penuh, namun hakikatnya dia hanya seperti katak di bawah tempurung kerana
asyik dikongkong dengan dunia pendidikan tanpa didedahkan dengan sebarang
hiburan yang terdapat di dunia luar.

Pada setiap pagi, deringan jam loceng yang kuat akan mengejutkan Sarah
sebagai permulaan harinya bagi menguruskan dirinya dengan sendiri untuk ke
sekolah tanpa pengawasan kedua ibu bapanya.

“Kringggg…! Kringggg…! Kringgg…!”

“Ya Allah, sudah lewat sekarang ini jam telah menunjukkan pukul 7:00 pagi!
Aduhai, tersilap kunci jam lah pula. Tapi tidak mengapalah walau bagaimana
sekalipun aku akan berusaha untuk mandi dengan lebih cepat dan terus menunaikan
solat subuh kerana aku mahu berjumpa dengan Penciptaku terlebih dahulu sebelum
meneruskan urusan harianku yang lain.

Pahitnya hempedu manisnya rambutan,
Perbezaannya seperti malam dan siang,
Solat fardu mestilah didahulukan,
Supaya hati sentiasa tenang.” Ujar Sarah jauh di sudut hatinya.

Sarah tidak akan meninggalkan solat subuh walaupun dia bangun agak
lambat. Baginya, solat dapat memberi ketenangan dalam dirinya sebelum dia
meneruskan harinya dengan menuntut ilmu di sekolah serta sebagai tanda
kesyukuran kepada Pencipta-Nya atas segala nikmat yang telah diberikan dalam
kehidupannya itu.

Setelah selesai menunaikan solat dan membaca doa yang panjang lebar,
Sarah akan mengemas biliknya dan akan menyemak semula segala peralatan yang
perlu dibawa sebelum ke sekolah seperti kata bidalan sediakan payung sebelum
hujan. Kemudian, dia akan turun ke bawah untuk makan di ruangan dapur.

“ Nah, RM 50. Suka hati kamulah nak beli apa sahaja yang kamu suka, ayah
tidak halang. Janji dengan ayah, belajar rajin-rajin. Ayah tak nak kamu dapat tempat
kedua ataupun tempat ketiga di dalam kelas, ayah nak kamu dapat tempat pertama
sahaja, jangan malukan ayah, mana ayah nak letak muka ayah ini nanti.” Ujar Dato’
Kamil terhadap anak perempuannya itu.

Sarah hanya mengangguk tanpa kata. Siapalah dia untuk membangkang
kata-kata ayahnya itu. Dia hanya seorang anak dan seorang anak yang baik tidak
akan membangkang segala percakapan ibu bapanya.

“Dengar baik-baik Sarah atas segala nasihat diberikan oleh ayah kamu itu.
Jangan tahu angguk sahaja seperti lembu dicucuk hidung. Ibu sangat setuju
sekiranya ayah kamu tegaskan dengan lebih kerap berkaitan bab pembelajaran ni.
Bukannya apa, kamu seorang sahaja anak ibu. Jadi, ibu mahu melatih anak ibu yang
seorang ini supaya menjadi lebih pandai daripada rakan-rakan kamu yang lain anak
kawan-kawan ibu belajar di sekolah tu juga.” Ujar Datin Kamelia sambil merenung
tajam ke arah anak tunggalnya itu.

“InshaAllah ayah, InshaAllah ibu, Sarah akan usahakan, usaha kan tangga
kejayaan.” Sarah hanya mampu mengiyakan sahaja permintaan kedua ibu bapanya
itu sambil menunduk sayu ke arah lantai. Fikiran kosong tatkala memikirkan
peperiksaan UPSR sudah semakin hampir. Namun, dia tetap berharap kepada Allah
supaya dipermudahkan segala urusannya dalam memenuhi segala kehendak
keluarga kesayangannya.

Setiap hari, ayahnya akan memberikan RM 50 sebagai wang perbelanjaan.
Namun, separuh daripada wang perbelanjaannya itu akan digunakan untuk
menolong rakan-rakannya yang memerlukan bantuan.

Sarah juga akan memberikan tumpuan yang sepenuhnya dan memberi
respons ketika guru sedang mengajar di dalam kelas. Sekiranya Sarah ingin
bertanyakan soalan terhadap gurunya, dia akan mengangkat tangannya terlebih

dahulu tanpa mencelah percakapan gurunya. Dia juga turut meminta izin terlebih
dahulu kepada gurunya sebelum bertanya.

Jika rakannya bertanyakan soalan berkenaan pembelajaran kepadanya, dia
akan mengajar rakan-rakannya dengan cara menggunakan suara yang lemah-
lembut tanpa mengeluh atau memberontak.

Sebelum pulang dari sekolah, dia akan bersalaman dengan gurunya serta
rakan-rakannya terlebih dahulu serta memohon maaf andai melakukan sebarang
kesilapan. Sarah sangat gembira dengan kehidupannya di sekolah dan sebaliknya
dengan kehidupannya ketika di rumah.

Di rumah, Sarah sering berasa bahawa dirinya diabaikan. Ibu bapanya terlalu
sibuk dengan dunia pekerjaan sehingga mengabaikan kewujudannya di dalam
rumah itu. Sarah tidak berkesempatan untuk menonton televisyen, bermain, makan
ataupun melakukan aktiviti yang menggembirakan bersama dengan ibu bapanya.
Dia juga sudah terbiasa untuk melakukan segala tugasan yang telah diberikan oleh
gurunya dengan sendiri sehinggalah pada suatu hari dia diarahkan untuk mencipta
sebuah produk digital oleh guru yang mengajar subjek Reka Bentuk dan Teknologi,
iaitu Puan Shafina bagi topik yang baru sahaja mereka pelajari di sekolah pada hari
itu.

“Tuk, tuk, tuk!” Bunyi ketukan pintu yang agak kuat dari luar bilik membuatkan
Dato’ Kamil tersentak. Beliau kemudiannya berkata,

“Berkulit putih tinggi orangnya,
Setiap hari berkunjung ke busana,
Dato’ Kamil ingin bertanya,
Siapakah gerangan di luar sana?”

Kemudian, kedengaran suara nyaring yang menyahut, “
Bertubuh kecil berkaca mata,
Itulah Sarah diberi namanya,
Assalamualaikum ayahku yang tercinta,
Bolehkah Sarah menumpang tanya?”

Setelah itu, Dato’ Kamil segera menjawab, “Waalaikummussalam Sarah.
Kamu mesti nak tanya ayah tentang kerja sekolah kamu kan? Tak boleh, tak boleh.

Ayah sibuk sekarang ini. Ayah ada banyak kerja. Esok ayah ada mesyuarat dengan
Syarikat Makmur Enterprise. Bukankah ayah selalu berpesan supaya kamu sentiasa
mencari peluang untuk belajar dengan sendiri kan? Itulah namanya usaha. Proses
nak belajar ini kena perlukan usaha, kalau tidak bagaimana kamu nak berjaya suatu
hari nanti kalau asyik harapkan orang lain sebagai tulang belakang kamu sahaja.
“ Ujar Dato’ Kamil dengan leteran yang panjang lebar.

“ Baik ayah, Sarah minta maaf kerana mengganggu ayah pada waktu yang
tidak sesuai.” Ujar Sarah yang hanya berdiri tercegat di hadapan pintu bilik ayahnya
itu lalu segera mengorak langkah dengan ke arah bilik ibunya dengan harapan
bahawa dia dapat mengajukan persoalan yang terbuku di hatinya berkenaan tugasan
yang telah diberikan oleh gurunya itu kepadanya.

Namun, tidak sempat dia mengetuk pintu bilik ibunya, dia melihat ibunya telah
terlebih dahulu membuka pintu bilik dengan mamakai gaun labuh berwarna merah
serta bertudung selendang sutera yang cantik sambil memandang tepat ke arahnya.
Sarah kemudiannya mengambil peluang emas itu untuk bertanyakan soalan
terhadap ibunya.

“Assalamualaikum ibu. Maaf ibu, Sarah ingin bertanya ibu tentang
kerja…”,tidak sempat Sarah menghabiskan kata-katanya, ibunya segera menjawab
“ Kerja apa? Kerja sekolah kamu? Kan ibu dah pesan kalau kamu nak tanya tentang
kerja sekolah kamu, kamu pergilah tanya dengan ayah kamu. Ataupun kamu pergi
sahaja berbincang dengan rakan-rakan kamu yang lain. Kita kan hidup berjiran, jadi
mesti ada kawan-kawan kamu yang merupakan jiran kita juga. Maaf Sarah, ibu ada
urusan lain yang perlu diselesaikan dengan segera. Ibu disuruh menjadi model untuk
Syarikat tempat ayah kamu bekerja pada hari ini sebab esok syarikat ayah kamu
perlu membuat perjumpaan dengan syarikat yang lain. Baiklah, ibu pergi dahulu ya!
Jangan lupa pergi cari kawan-kawan kamu untuk berbincang tentang kerja sekolah
kamu itu. “ Ujar Datin Kamelia dalam satu nafas.

Sarah hanya mengangguk sambil tersenyum ke arah ibunya. Dia berdiri kaku
di situ tanpa kata-kata. Ibunya telah lupa bahawa dia merupakan seorang pelajar
pindahan yang baharu di sekolah itu. Lagipun, dia tidak pernah diberi peluang untuk
keluar bersiar-siar di luar rumah. Dia masih baharu lagi untuk mengenali dengan baik
kawasan Taman Kiambang itu. Akan tetapi, Sarah bertekad untuk mencari rakan-
rakan sekelasnya pada petang tersebut kerana bimbang sekiranya dia tidak dapat

menyelesaikan tugasan yang telah diamanahkan oleh gurunya pada masa yang
telah ditetapkan.

Berbekalkan set alat tulis dan sebuah buku kosong yang dibimbit oleh Sarah,
dia segera berlari dengan sepenuh hati untuk pergi mencari rumah rakan
sekelasnya untuk menyelesaikan tugasan yang diberikan bersama-sama.

Dalam perjalanan ke rumah rakannya, dia telah melihat suatu lorong kecil
yang aneh. Setelah memerhatikan lorong tersebut dalam beberapa saat, Sarah
ternampak suatu kelibat berwarna hitam telah memasuki lorong tersebut.

Perasaan ingin tahu yang tinggi di dalam hati Sarah membuatkannya ingin
mencari tahu tentang kelibat yang melintas ke arah lorong tersebut sebentar tadi.
Kamudian, Sarah memberanikan diri untuk berjalan dengan perlahan ke arah lorong
tersebut. Tiba-tiba dia terdengar suatu bunyi yang datang dari arah lorong aneh
tersebut.

“Meow…meow…meow…”

“MashaAllah, ada anak kucing di sini rupa-rupanya. Comelnya. Agaknya,
siapakah tuan yang memelihara kucing ini, ya?” Soal Sarah terhadap dirinya sendiri.

“Meow…meow…meow…”

“Eh, kurusnya badan awak! Ya Allah kesiannya. Mesti awak lapar kan?
Tunggu sebentar ya awak nanti saya akan belikan makanan kucing untuk awak.
Tunggu tau!”

Sarah segera berlari ke arah kedai runcit yang terletak berhampiran dengan
tempat dia menemukan kucing tersebut. Sarah memilih makanan kucing yang
dibungkus paling besar dengan harapan supaya makanan tersebut dapat dijadikan
bekalan makanan terhadap kucing tersebut dalam tempoh yang lama. Setelah
selesai membuat pembayaran, Sarah segera berlari seperti kambing putus tali
untuk mendapatkan kucing tersebut.

“ Hai, kucing comel! Ini makanan untuk awak. Awak makanlah banyak-
banyak sehingga perut awak berasa kenyang ya supaya nanti badan awak akan

memperoleh tenaga yang banyak!” Ujar Sarah dengan gembira terhadap kucing
tersebut.

“Meow…meow…”

Jawapan daripada kucing tersebut membuatkan Sarah tersenyum. Dia
menganggap bahawa kucing tersebut berterima kasih terhadapnya. Tidak lama
selepas itu, Sarah sedar tentang sesuatu perkara. Dia ternampak bahawa terdapat
seutas rantai yang berwarna merah tua di leher anak kucing tersebut. Setelah puas
meneliti, Sarah ternampak bahawa terdapat perkataan “Dora” di atas rantai tersebut
yang membuatkan sesuatu perkara terlintas di fikiran Sarah.

“Oh, nama kamu Dora rupa-rupanya!” Ujar Sarah dengan perasaan teruja.

Sebaik sahaja Sarah menyebut namanya, tiba-tiba terdapat suatu sinaran
cahaya yang sangat terang yang menghalang penglihatan Sarah. Alangkah
terkejutnya Sarah apabila menyedari anak kucing tersebut telah bertukar menjadi
seorang gadis kecil yang sebaya dengannya. Wajahnya terserlah seperti bulan
purnama. Ya Allah alangkah berdebarnya hati Sarah pada ketika itu. Namun, Sarah
memberanikan diri untuk bertanya kerana dia tidak memahami situasi yang sedang
melanda dirinya.

“Awak, awak,awak ini siapa?” Ujar Sarah dalam perasaan yang separa
gementar.

“Hai Sarah! Nama saya Dora. Awak sudah tahu kan?” Jawab Dora dengan
tenang.

“Eh, bagaimanakah awak boleh mengetahui nama saya? Dan awak ini siapa
sebenarnya? Saya tidak faham…” Kata Dora dengan hati yang keliru.

“Saya tahu segalanya tentang kehidupan awak, Sarah. Saya tahu tentang
suasana kehidupan keluarga awak. Berkenaan dengan soalan awak tentang dari
manakah asal-usul saya, itu tidak penting. Yang pentingnya ialah objektif saya
datang ke sini adalah untuk menceriakan kamu Sarah. Saya juga tahu bahawa awak
sedang mencari kawan kan? Jadi, adakah awak mahu berkawan dengan saya?” Ujar
Dora dengan panjang lebar.

Sarah terdiam seketika. Dia sangat keliru tentang situasi yang menimpa
dirinya sekarang ini. Dia langsung tidak faham. Namun, apabila mengenangkan
wajah Cikgu Shafina yang memintanya untuk menghasilkan produk digital pada hari
esok, maka dia terus bersetuju untuk menerima Dora sebagai kawan baharunya
walaupun agak pelik baginya.

“Baiklah, saya setuju.” Jawab Sarah dengan ringkas. Mereka berdua turut
bersalaman sebagai tanda permulaan bagi sesi perkenalan mereka.

Semenjak daripada peristiwa itu, persahabatan antara Sarah dan Dora
menjadi semakin erat bagai isi dengan kuku. Pada setiap petang, Sarah akan
berkunjung ke lorong aneh itu untuk berjumpa dengan Dora dan bermain dengannya.
Sarah sangat gembira kerana Dora dapat menolongnya dalam usaha untuk
menyelesaikan setiap tugasan yang diberikan oleh gurunya kerana Dora mempunyai
banyak alat yang ajaib di dalam beg kepunyaannya.

Walaupun begitu, Sarah tidak pernah sesekali menyoalkan kepada Dora
tentang asal-usul alat-alat ajaib itu kerana dia masih kecil untuk memikirkan hal-hal
yang merumitkan mindanya tambahan pula gadis kecil seperti Sarah gemar akan
hiburan dan keseronokan. Sarah akan pulang ke rumahnya pada lewat petang
mengikut kebiasaannya.

Keesokan harinya, Sarah pergi ke lorong aneh untuk bermain dengan Dora
seperti kebiasaannya. Dalam perjalanan ke destinasi yang dituju, tiba-tiba hujan
turun dengan lebatnya. Tindakan Sarah yang terlupa untuk membawa payung dan
akhirnya menyebabkan bajunya basah kuyup. Kepala Sarah mulai pening dan
menyebabkan dia pitam di pertengahan jalan.

Pada waktu malam, ibu dan ayah Sarah mulai berasa marah kerana
memikirkan bahawa anaknya bermain sehingga lewat malam di rumah rakannya itu.
Hati mereka yang mendidih membuatkan mereka berjalan seperti cacing
kepanasan.

Tiba-tiba, kedengaran bunyi ketukan pintu dari luar rumah. Hal ini
membuatkan ibu dan ayah Sarah semakin marah. Setelah pintu rumah dibuka,

alangkah terkejutnya mereka apabila melihat anak mereka sedang didukung oleh
seorang anggota polis dengan tubuh yang pucat lesu.

“Minta maaf ibu, minta maaf ayah.” Kata Sarah dengan suara yang perlahan.
Badan Sarah sangat panas. Walaupun keadaanya sebegitu, dia tetap meminta maaf
daripada kedua ibu bapanya atas dan tetap tersenyum untuk mengelakkan kerisauan
ibu bapanya terhadapnya.“ Ya Allah, anak ibu…” Ibu dan bapa Sarah memeluknya
dan menangis kemudian segera membawanya ke klinik yang berdekatan.

“Dato’,Datin, Sarah disahkan mengalami gangguan mental.” Ujar Doktor
Azman dengan rasa berat hati. Doktor menjelaskan kepada mereka bahawa rakan
Sarah yang bernama Dora itu hanyalah halusinasinya semata-mata.

Dato’ Kamil dan Datin Kamelia terkedu. Puas mereka mencari rakan Sarah
yang bernama Dora itu di sekitar taman namun tidak ditemui. Doktor menasihati Dato’
Kamil dan Datin Kamelia supaya sentiasa mengawasi Sarah dan menyuruhnya untuk
mengambil ubat mengikut masa yang ditetapkan.

Selepas beberapa hari, Sarah telah sembuh daripada demamnya. Pada
waktu petang, dia terus berlari ke destinasi kebiasaanya untuk bermain bersama
Dora. Namun, Sarah tidak nampak kelibat Dora. Dia hanya dapat melihat seekor
anak kucing comel memakai rantai berwarna merah tua sama seperti saat pertama
kali dia berjumpa Dora. Walaupun Sarah tahu bahawa semua orang
menganggapnya mempunyai masalah mental, namun bagi Sarah Dora tetap kawan
sejatinya.

Sejak daripada peristiwa itu, Sarah membawa pulang anak kucing yang
bernama Dora itu ke rumah untuk memeliharanya manakala ibu dan bapa Sarah
pula sering meluangkan masa bersama Sarah dan sering mengambil berat tentang
pelajaran dan kesihatan anak kesayangan mereka itu. Sarah, Dato’ Kamil, Datin
Kamelia serta anak kucingnya, Dora hidup dalam sebuah keluarga yang bahagia.


Click to View FlipBook Version