Kerbau dan monyet F A I Z I N F A U Z I “Sahabat baik selamanya. ”
WATAK-WATAK Monyet Kerbau Ular
Pada suatu petang, seekor monyet sedang bergayut di atas pokok sambil memakan buah pisang. Monyet memakan buah pisang tersebut dengan gembira.
Tiba-tiba, tangan monyet terlepas semasa bergayut di dahan pokok dan terjatuh ke dalam sungai. Monyet terkejut dan tidak dapat menyelamatkan diri. “ Oh, Tuhan! Selamatkanlah aku, tolong, tolong!” jerit monyet ketakutan.
Tidak lama selepas itu, seekor kerbau yang sedang mencari makanan terdengar suara jeritan meminta tolong. Kerbau mencari arah datangnya bunyi suara tersebut. Kerbau ternampak monyet meminta tolong. Kerbau berasa sangat kasihan. “ Kasihan monyet itu, aku mesti menolongnya, ” bisik kerbau.
Kemudian, kerbau mencari dahan pokok yang ada berhampiran sungai dan menghulurkannya kepada monyet. Monyet terus berpaut ke atas dahan tersebut.
Akhirnya, monyet berjaya selamatkan diri. “Terima kasih! Terima kasih banyakbanyak wahai kerbau, ” kata monyet sambil menangis gembira. “Aku terhutang budi dengan kamu, suatu hari nanti aku pasti akan membalas jasamu, ” kata monyet lagi.
Kerbau berasa sangat gembira kerana berjaya menyelamatkan monyet. “Samasama monyet, tidak apa, hari ini aku menolong kamu, nanti jika aku susah kamu boleh menolong aku juga”. Selepas daripada kejadian itu, monyet berazam akan menolong kerbau jika kerbau ditimpa kesusahan nanti.
Pada suatu hari, seekor ular telah terhempap sebatang pokok yang sudah tua. Ular cuba melepaskan dirinya namun gagal kerana pokok tersebut terlalu berat. “Tolong, tolong, tolong!” Jerit ular.
Kerbau yang sedang lalu berhampiran kawasan tersebut terdengar jeritan ular meminta tolong. Kerbau menghampiri ular dan melihat apa yang terjadi kepada ular. “Kerbau, tolong aku!” Jerit ular kepada kerbau. Sekali lagi kerbau berasa sangat kasihan kepada haiwan yang dalam kesusahan dan berhajat ingin menolong ular.
Kemudian, kerbau berusaha sedaya upaya menolak pokok yang berat itu dengan sepenuh tenaganya. Pokok yang berat itu berjaya dialihkan daripada badan ular. Ular berasa lega kerana dapat melepaskan dirinya dan bersyukur kerana tidak mati dihempap pokok itu. “ Terima kasih, kerbau.” kata ular dengan gembira.
Oleh kerana terlalu lapar, tiba-tiba ular mempunyai niat yang jahat. Ular teringin untuk memakan daging kerbau lalu mendekati kerbau. “Kerbau, aku minta maaf kerana aku ingin merasai daging kamu, ” kata ular sambil menuju lebih dekat ke arah kerbau.
Ular terus membelit kerbau tanpa rasa kasihan. "Oh, tidak! Jerit kerbau”. Kerbau menyesal kerana telah menolong ular yang tidak mengenang jasa itu. "Sanggupkah kamu memakan dagingku setelah aku menyelamatkan kamu daripada mati dihempap pokok yang berat itu?" tanya kerbau dengan marah. "Ah! Aku tidak peduli!, Sekarang aku lapar, aku mahu makan daging kamu, " kata ular ingin menelan kerbau.
Pada ketika itu, monyet sedang memerhatikan kerbau dan ular dari atas sepohon pokok berhampiran. Monyet melihat kerbau dalam kesusahan. Monyet berfikir, sudah tiba masanya dia menolong kerbau dan membalas budi baik kerbau yang telah membantu menyelamatkannya semasa terjatuh ke dalam sungai. Monyet tidak sampai hati melihat kerbau mati dimakan ular.
Tiba-tiba, monyet mendapat suatu akal untuk melepaskan kerbau daripada ditelan oleh ular.
Dengan segera, monyet pergi kepada ular dan kerbau. "Apakah yang sedang berlaku?" tanya monyet kepada ular dan kerbau. Monyet berpura-pura tidak mengetahui apa yang telah terjadi.
"Tadi aku telah menolong ular yang dihempap sebatang pokok yang besar dan berat, "kata kerbau. "Tetapi, sekarang ular ingin memakan daging aku pula, "kata kerbau lagi. Monyet berlakon seolah-olah tidak percaya akan kerbau. Monyet menyuruh ular dan kerbau melakonkan semula apa yang telah berlaku tadi. "Adakah kamu dihempap pokok seperti yang dikatakan oleh kerbau?" tanya monyet kepada ular pula. " Ya, ketika itu aku dihempap oleh pokok ini dan menjerit meminta tolong, " kata ular kepada monyet. "Tunjukkan kepada aku!" Kata monyet lagi kerana tidak percaya kata-kata ular.
Ular berasa marah kerana monyet tidak percayakannya. Tanpa berfikir panjang, ular menyuruh kerbau meletakkan kembali pokok yang berat itu ke atas badannya. "Seperti inilah aku terhempap sebentar tadi!" Jerit ular. "Bagus!" Sahut monyet. "Kamu duduklah di sini dan dihempap pokok itu selamanya kerana tidak ada haiwan lain yang akan menolong kamu lagi, " jerit monyet.
"Terima kasih, monyet, " kata kerbau dengan senang hati. Kamu telah menyelamatkan aku dari dimakan oleh ular yang tidak mengenang budi itu."Sama-sama kerbau, " kata monyet. Selepas kejadian itu, kerbau dan monyet menjadi sahabat baik selamanya.
Pantun yang dapat dikaitkan dengan cerita tersebut: Pulau pandan jauh ke tengah, Gunung Daik bercabang tiga, Hancur badan dikandung tanah, Budi yang baik dikenang juga. Pisang emas dibawa berlayar, Masak sebiji di atas peti, Hutang emas boleh dibayar, Hutang budi dibawa mati.
PERKATAAN MAKSUD Bergayut Bergantung Berpaut Berpegang kuat-kuat Terhutang budi Sudah menerima kebaikan orang tetapi belum membalas kebaikan tersebut Berazam Bertujuan Terhempap Tertindih GLOSARI
17 Faizin Fauzi, lahir di Pasir Mas, Kelantan pada 14 Mei 2003 dan sekarang menetap di Gerik, Perak. Merupakan seorang siswa Program Ijazah Sarjana Muda Perguruan di Institut Pendidkan Guru Kampus Sultan Abdul Halim. Seorang penulis muda yang baru melibatkan dirinya dalam bidang penulisan buku sastera kanak-kanak. BIODATA PENULIS