PANITIA PENDIDIKAN ISLAM & BAHASA ARAB
SMK TELOK DATOK
JOM SAHABATKU REBUT GRANDSALE RAMADHAN …….REBUT
JANGAN TAK REBUT..
Segala puji bagi Allah, Tuhan sekelian alam. Selawat serta salam buat junjungan mulia Nabi Muhammad
SAW keluarga serta para sahabat dan pengikut yang istiqamah menuruti baginda hingga ke hari kiamat.
Sahabat yang dirahmati Allah,
Bulan Ramadan adalah bulan yang mulia di sisi Allah SWT. Terdapat 5 keistimewaan bulan Ramadan yang
di kurniakan oleh Allah SWT kepada umat Nabi Muhammad SAW berbanding dengan umat-umat sebelum
baginda.
Imam Ahmad telah meriwayatkan dari Abu Hurairah r.a. bahwasanya Nabi SAW bersabda maksudnya :
“Ummatku telah diberi lima hal yang belum pernah diberikan kepada ummat-ummat sebelumnya ketika bulan
Ramadan:
Pertama : Bau mulut orang yang berpuasa itu lebih harum dari pada minyak kesturi di sisi Allah,
Kedua : Para Malaikat beristighfar untuk mereka hingga berbuka,
Ketiga : Allah memperindah syurga-Nya setiap hari, seraya berfirman kepadanya: “Hampir-hampir para
hamba-Ku yang soleh akan mencampakkan berbagai kesukaran dan penderitaan lalu kembali kepadamu,”
Keempat : Syaitan-syaitan durjana dibelenggu, tidak dibiarkan lepas seperti pada bulan-bulan selain
Ramadan,
Kelima : Mereka akan mendapat ampunan di akhir malam.” Ada yang bertanya, “Wahai Rasulullah, apakah
itu terjadi pada malam Lailautl Qadar?” Baginda menjawab, “Bukan, namun pelaku kebaikan akan
disempurnakan pahalanya seusai menyelesaikan amalanya.”
Lima perkara yang Allah SWT persiapkan untuk kita. Dengan lima perkara tersebut, kita mendapat
keistimewaan dari Allah SWT di antara ummat-ummat lainnya. Semua itu diberikan Allah SWT untuk
menyempurnakan berbagai nikmat-Nya kepada kita semua.
Sesungguhnya betapa banyak nikmat dan keutamaan yang telah Allah SWT berikannya, sebagaimana
firman-Nya yang bermaksud : “Kamu adalah umat yang terbaik yang dilahirkan untuk manusia, menyuruh
kepada yang makruf, dan mencegah dari yang mungkar, dan beriman kepada Allah..” (Surah Al-Imran ayat
110)
Berdasarkan hadis di atas jelaslah kepada kita bahawa lima keistimewaan yang dikurniakan oleh Allah SWT
kepada kita semua sebagai umat Rasulullah SAW huraiannya adalah seperti berikut:
Pertama : Bau busuk dari mulut orang yang berpuasa lebih harum di sisi Allah daripada bau kasturi.
Mulut orang yang berpuasa bau haruman kasturi – Ulama mentafsirkan bahawa yang dimaksudkan dengan
terlebih harum disisi Allah daripada bau kasturi ialah bahawa pada hari akhirat Allah akan memberi ganjaran
dengan haruman kepada bau mulut orang yang berpuasa dengan haruman yang terlebih semerbak dan
segar daripada bau kasturi.
Ada juga ulama mentafsirkan pada hari kiamat apabila kita bangun daripada kubur, suatu bau harum akan
terkeluar daripada mulut orang-orang yang berpuasa yang terlebih harum daripada bau kasturi.
Tafsiran yang paling tepat ialah yang mengatakan bahawa bau mulut yang keluar daripada mulut orang yang
berpuasa di dunia ini terlebih harum di sisi Allah daripada kasturi.
Puasa merupakan ibadah yang tersangat berharga di sisi Allah dan dengan sebab ini juga Allah berfirman
yang bermaksud : “ Ganjaran bagi puasa Aku sendiri yang memberinya, kerana puasa itu adalah untukKu
sendiri.”
Hadis juga ada menyebut,: “Puasa adalah pintu bagi semua bentuk ‘ibadah’. Maksudnya ialah menerusi
puasa hati akan bercahaya dan melaluinyalah keinginan untuk melakukan ibadat-ibadat yang lain akan
terangsang.Ini hanya akan dapat dicapai jika puasa dilaksanakan dengan mematuhi syarat-syaratnya dan
bukannya setakat berlapar dan dahaga sahaja.
Dalam hadis yang lain daripada Abi Soleh Az-zayyat bahawa dia telah mendengar Abu Hurairah berkata:
Rasulullah SAW telah bersabda yang bermaksud :
"Setiap amalan anak Adam baginya melainklan puasa maka ia untukKu (Allah) dan Aku akan membalasnya.
Dan puasa adalah perisai, maka apabila seseorang berada pada hari puasa maka dia dilarang menghampiri
(bercumbu) pada hari itu dan tidak meninggikan suara. Sekiranya dia dihina atau diserang maka dia berkata
: 'Sesungguhnya aku berpuasa' demi Tuhan yang mana diri Nabi Muhammad ditanganNya maka perubahan
bau mulut orang berpuasa lebih harum di sisi Allah pada hari kiamat daripada bau kasturi, dan bagi orang
berpuasa dua kegembiraan yang mana dia bergembira dengan keduanya apabila berbuka dia bergembira
dengan waktu berbukanya dan apabila bertemu Tuhannya dia gembira dengan puasanya. (Hadis Riwayat
Bukhari, Muslim, Nasai'e, Ahmad, Ibn Khuzaimah, Ibn Habban dan Baihaqi)
Kedua : Para malaikat beristighfar untuk mereka hingga berbuka.
Para malaikat adalah hamba-Nya yang dimuliakan di sisi-Nya, sebagaimana Allah SWT menceritakan sifat
malaikat dalam firman-Nya yang bermaksud : “…yang tidak mendurhakai Allah terhadap apa yang
diperintahkan-Nya kepada mereka dan selalu mengerjakan apa yang diperintahkan.” (Surah At-Tahrim ayat
6)
Maka dari itu, sungguh layak apabila Allah SWT mengabulkan doa para malaikat untuk orang yang berpuasa.
Sebab mereka memang telah diizinkan untuk itu. Allah mengizinkan para malaikat untuk beristighfar bagi
mereka untuk mengangkat, meninggikan penyebutan, serta menjelaskan keutamaan puasa ummat ini.
Makna istighfar adalah meminta ampun terhadap dosa-dosa yang dilakukan demi kebaikan di dunia dan
akhirat. Setiap anak Adam tidak terlepas daripada melakukan dosa dan bersikap melampaui batas terhadap
diri mereka sendiri. Sehingga mereka benar-benar mengharapkan keampunan daripada Allah SWT.
Ketiga : Allah memperindah syurga-Nya setiap hari, seraya berfirman kepadanya: “Hampir-hampir
para hamba-Ku yang soleh akan mencampakkan berbagai kesukaran dan penderitaan lalu kembali
kepadamu.”
Yang dimaksud dengan hadis ini adalah mereka mencampakkan beban hidup di dunia dan susah payah
serta penderitaannya lalu mengerjakan amal-amal soleh yang dengannya mereka hidup bahagia di dunia
dan akhirat dan dapat memasukkan mereka ke syurga, negeri kedamaian dan kemuliaan.
Dari Abu Umamah, ia berkata, aku bertanya : "Wahai Rasulullah tunjukkan kepadaku suatu amal yang
memasukkanku ke syurga". Nabi bersabda maksudnya : "Hendaknya engkau berpuasa, tiada yang
menyamainya." (Hadis riwayat Nasai, ibnu Hibban, dan Hakim dan sanadnya sahih)
Dalam riwayat yang lain dari Sahl dari Nabi SAW bersabda maksudnya : "Sesungguhnya dalam syurga
terdapat sebuah pintu yang bernama Ar Rayyan, orang-orang yang berpuasa akan masuk melaluinya pada
hari kiamat, dan selain mereka tidak akan masuk melaluinya.
Dikatakan : Dimanakah orang-orang yang berpuasa?
Maka mereka pun berdiri. Dan selain mereka tidak akan memasukinya .
Maka jika orang-orang yang berpuasa sudah memasukinya ditutuplah pintu itu dan tidak seorangpun akan
memasukinya, Dan barangsiapa yang telah masuk ia pasti minum dan barangsiapa yang minum ia tidak
akan kehausan selamanya."
(Hadis riwayat Bukhari dan Muslim)
Keempat : Syaitan-syaitan durjana dibelenggu, tidak dibiarkan lepas seperti pada bulan-bulan selain
Ramadan,
Ini adalah salah satu bentuk pertolongan Allah SWT kepada para hamba-Nya. Musuh umat ini (iblis dan
syaitan) diikat sehingga tidak boleh membisikkan dan menggoda anak Adam yang berpuasa untuk
terpengaruh dengan usaha-usaha jahatnya supaya menjadi penghuni neraka yang menyala- nyala. Oleh
sebab itu, dapat kita dapat saksikan bahawa pada bulan ini umat Islam mempunyai keinginan yang lebih
tinggi untk melakukan kebaikan dan menahan diri dari keburukan dibandingkan pada bulan-bulan lainnya.
Soalan Nabi kepada iblis : "Jika umatku berpuasa kerana Allah, bagaimana hal engkau?"
Jawab Iblis : "Ya Rasulullah! Inilah bencana yang paling besar bahayanya kepada hamba. Apabila masuk
awal bulan Ramadan, maka memancarlah cahaya Arasy dan Kursi, bahkan sekelian Malaikat menyambut
dengan kesukaan. Bagi orang yang berpuasa, Allah akan mengampunkan segala dosa yang lalu dan
digantikan dengan pahala yang amat besar serta tidak dicatatkan dosanya selama dia berpuasa.
Yang menhancurkan hati hamba ialah segala isi langit dan bumi; yakni Malaikat, bulan, bintang, burung dan
ikan-ikan semuanya siang malam mendoakan keampunan orang yang berpuasa. Satu lagi kemuliaan orang
berpuasa ialah dimerdekakan pada setiap masa dari azab neraka.
Bahkan semua pintu neraka ditutup manakala semua pintu syurga dibuka seluas-luasnya, serta
dihembuskan angin dari bawah Arasy yang bernama Angin Syirah yang amat lembut ke dalam syurga. Pada
hari umat tuan mula berpuasa, dengan perintah Allah datanglah sekelian Malaikat dengan garangnya
menangkap hamba dan tentera hamba; jin, syaitan dan ifrit lalu dipasung kaki dan tangan dengan besi panas
dan dirantai serta dimasukkan ke bawah bumi yang amat dalam. Di sana pula beberapa azab yang lain telah
menunggu kami."
"Setelah habis umat tuan berpuasa barulah hamba dilepaskan dengan amaran agar tidak mengganggu umat
tuan. Umat tuan sendiri telah merasa ketenangan berpuasa seperti mana mereka bekerja dan bersahur
seorang diri di tengah malam tanpa rasa takut berbanding bulan biasa."
Kelima : Mereka akan mendapat ampunan di akhir malam.
Ada yang bertanya, “Wahai Rasulullah, apakah itu terjadi pada malam Lailautl Qadar?” Baginda menjawab,
“Bukan, namun pelaku kebaikan akan disempurnakan pahalanya seusai menyelesaikan amalanya.”
Allah mengampuni umat Nabi Muhammad SAW pada setiap akhir malam bulan Ramadan. Jika mereka
melaksanakan apa yang seharusnya dikerjakan pada bulan yang mulia ini, berupa puasa dan solat, maka
Allah akan memberikan karunia dengan menyempurnakan pahala mereka ketika telah selesai mengerjakan
amal-amal mereka. Sesungguhnya orang yang beramal akan disempurnakan pahala amalnya setelah
selesai mengerjakannya. Allah SWT memberikan karunia kepada para hamba-Nya.
Sahabat yang dikasihi,
Marilah sama-sama kita menghayati dan menghidupkan bulan Ramadan al-Mubarak yang akan datang tidak
berapa lama lagi dengan berpuasa secara sempurna iaitu menjauhi perkara-perkara yang membatalkan
puasa dan pahala puasa, bersolat yang wajib sebaik-baiknya berjemaah dimasjid dan mengerjakan solat-
solat sunat (solat terawih, tahajud, witir, taubat, hajat, duha, tasbih dan lain-lain).
Banyakkan bersedekah dan menjamu untuk mengadakan majlis berbuka puasa, membaca al-Quran,
beristighfar dan menuntut ilmu. Jika kita dapat mendisplinkan diri kita amalan-amalan tersebut dengan ikhlas
dan istiqamah insya Allah di akhir Ramadan kita akan dikurniakan oleh Allah SWT sifat takwa dan
dibebaskan-Nya daripada seksaan api neraka.
egala puji bagi Allah, Tuhan sekelian alam. Selawat serta salam buat junjungan mulia Nabi Muhammad SAW
keluarga serta para sahabat dan pengikut yang istiqamah menuruti baginda hingga ke hari kiamat.
TUNGGU APA LAGI….TAWARAN HEBAT MENANTI ANDA SEPANJANG HADIRNYA RAMADHAN…
JOM..HAYYA.. RAMADHAN HADIRMU KU NANTI PERGIMU KU TANGISI…
ALHAQIRAH ILA ALLAH..
22 SYAABAN 1442 H
UMMI HARYATI
RAMADHAN: BERSAMA MEMBINA KEMENJADIAN ANAK-ANAK…
1. SOLAT BERJEMAAH
Selepas pulang dari sekolah, biasanya anak-anak akan rasa letih dan memang ‘liat’ kalau disuruh
solat.
Ambil kesempatan ini untuk mengajak anak solat berjemaah. Jika anak lelaki, galakkan
mereka menjadi imam atau membaca doa.
Tindakan ini dapat menjadikan mereka lebih yakin diri dan bertanggungjawab.
Solat berjemaah juga dapat mengurangkan rasa malas dan letih ketika sedang berpuasa.
2. MENGAJI BERSAMA KELUARGA
Inilah masa yang terbaik untuk anda memulakan aktiviti mendekatkan diri dengan mukjizat Allah
yang agung.
Mulakan dengan surah-surah pendek. Jangan ambil masa terlalu lama. Cukuplah dengan 1 surah
pendek selepas waktu solat fardhu.
Lebih elok kalau ibu ayah dapat menerangkan maksud surah tersebut dengan menggunakan
bahasa yang mudah.
3. GALAKKAN ANAK-ANAK MENDERMA DAN BERSEDEKAH
Terangkan kepada mereka kenapa kita perlu memberi sebahagian daripada harta yang kita
perolehi.
Mungkin sebelum ini anda selalu menderma secara senyap-senyap.
Tapi kali ini, anda boleh mengajar anak anda memasukkan sendiri wang ke dalam tabung masjid.
Kalau kreatif, cubalah buat tabung sendiri di rumah dan sedekahkan wangnya seminggu sekali.
Tentu mereka lebih ‘excited’.
4. BERKREATIF DI DAPUR
Antara persiapan Ramadhan yang menjadi tradisi adalah membuat kuih raya.
Ambil kesempatan untuk mengajak anak-anak ke dapur dan turut serta pada waktu siang, tidak
kiralah yang lelaki atau perempuan.
Setidak-tidaknya anak dapat meluangkan waktu melakukan sesuatu aktiviti yang tidak
memenatkan. Mesti mereka bangga dengan hasil tangan sendiri.
Tapi, janganlah dimarah pula kalau biskut raya yang dibuat itu tidak menjadi. Niatkanlah aktiviti ini
untuk mengeratkan hubungan dan merapatkan ukhwah.
Di sini kami ingin kongsikan cara buat biskut paling mudah dengan 3 bahan saja, memang sesuai
untuk anak-anak. Ini pautannya:
5. BACAKAN BUKU TENTANG RAMADHAN
Semakin lama, semakin banyak penerbitan ada menghasilkan buku-buku islamik dalam pelbagai
bahasa.
Gambarnya pula menarik dan mudah difahami oleh anak-anak.
Antara yang menarik termasuklah Kit Seronoknya Ramadhan Oleh Little Muna’s dan juga Kit
Indahnya Ramadhan Oleh Indahnya Islam.
Selain itu, banyak lagi bahan berbahasa Inggeris seperti It’s Ramadan Curious George, Lailah’s
Lunchbox: A Ramadan Story, dan My First Ramadan.
Bacakanlah dengan anak-anak sementara menunggu waktu berbuka puasa.
6. SEDIAKAN STOK AKTIVITI, KRAF DAN ALAT TULIS
Dalam bulan puasa, anak-anak akan kurang bermain di luar kerana masing-masing berpuasa. Nak
bermain dengan permainan pun malas kerana letih berpuasa.
Tapi, itu tidak bermakna mereka akan tidur dan menghadap gajet dan televisyen 24 jam.
Jadi, sediakanlah stok alat tulis agar mereka dapat melakukan aktiviti menarik seperti origami, buku
skrap, lukisan, atau kraftangan. Kalau ajak mereka buat kad raya pun tentu seronok!
7. HIASKAN RUMAH
Selalunya bila tiba hari raya, barulah kita nak menghias rumah. kenapa tidak menceriakan rumah
sejak bulan Ramadhan lagi?
Dengan adanya kata-kata semangat dan warna-warna ceria yang menghiasi setiap penjuru rumah,
barulah kemeriahan Ramadhan lebih terasa!
8. VIDEO DAN APLIKASI BERMANFAAT
Kanak-kanak zaman sekarang memang sukar dipisahkan dengan gajet.
Oleh itu, apa kata anda memberi suntikan baru dengan video dan aplikasi bermanfaat sebagai
persiapan bulan Ramadhan.
Antara video yang boleh anda langgani di Youtube adalah Zaky, Alif dan Sofia, dan beberapa lagi
penerbitan daripada Kid Noise Studio.
Banyak juga aplikasi yang boleh anda dapatkan melalui Google Play Store seperti Ali and
Sumaya atau Arabic with Taha & Maryam.
Ibu bapa pun kena celik IT ya, supaya anak-anak tidak hanyut dengan arus teknologi. Jangan lupa,
kita masih punya kuasa untuk mengawal apa yang mereka tonton.
9. BELI PERSALINAN SOLAT & MENGAJI YANG COMEL
Beli sejadah kecil yang comel, set telekung atau mini tudung, kopiah, jubah, atau baju Melayu.
Semua ini boleh menjadikan anak tambah bersemangat untuk beramal dan ikut ke masjid.
10. SOLAT DI MASJID
Generasi muda sememangnya patut dialu-alukan ke Masjid.
Kita sebagai ibu bapa mampu memupuk sifat cintakan Masjid dalam diri anak-anak sejak kecil.
Jika tidak dibiasakan sejak kecil, bila lagi?
WAHAI IBU AYAH….
MENDIDIK ANAK JUGA MENAMBAH AMALAN IBU BAPA
Meskipun kita sibuk mengejar amal ibadah di bulan Ramadhan, kita masih boleh memanfaatkan
waktu bersama anak-anak. lebih-lebih lagi waktu siangnya.
Jika semua perkara hanya ingin dibuat selepas berbuka, maka memanglah kita akan kesuntukan
masa. Anak-anak juga akan cepat berasa bosan di siang hari dan menjadi malas untuk beraktiviti.
Maka, kitalah yang bertanggungjawab membuat persiapan Ramadhan yang terbaik untuk anak-
anak supaya mereka dapat memanfaatkan waktu dengan sebaik-baiknya.
Jangan lupa, melayan anak-anak juga adalah salah satu ihsan yang terbaik dan ia juga menjana
pahala yang lumayan buat ibu bapa!
UMMI HARYATI JAM 9.00 : 22 SYAABAN 1442H