The words you are searching are inside this book. To get more targeted content, please make full-text search by clicking here.
Discover the best professional documents and content resources in AnyFlip Document Base.
Search
Published by Ainul Sofea, 2022-10-03 11:02:17

2. Ainul Sofea Solehah binti Abdul Hadi_Tugasan 2 (e-portfolio)

BMMB1074

INSTITUT PENDIDIKAN GURU KAMPUS RAJA MELEWAR
JABATAN PENGAJIAN MELAYU

TAHUN PENGAJIAN : SEMESTER 1/TAHUN 2022

TUGASAN PENTAKSIRAN BERTERUSAN
(INDIVIDU)
BMMB1074

SEJARAH PERKEMBANGAN BAHASA MELAYU

PROGRAM : PPISMP (BMMB 2)

AMBILAN : JUN 2022

SEMESTER : SATU

NAMA PENSYARAH : DR. ABDUL KARIM BIN MANSOR

NAMA PELAJAR : AINUL SOFEA SOLEHAH BINTI
ABDUL HADI

ANGKA GILIRAN : 2022152310027

NO KAD PENGENALAN : 031111-11-0416

TARIKH HANTAR : 3 OKTOBER 2022

Pengesahan pelajar :

Saya mengesahkan bahawa maklum balas telah diberikan oleh pensyarah.
Catatan (jika ada)

0

SENARAI KANDUNGAN
PERKARA
1.0 PENGENALAN
2.0 SEJARAH PERKEMBANGAN SISTEM EJAAN RUMI

2.1 SEBELUM MERDEKA
2.1.1 SISTEM EJAAN WILKINSON (1902)
2.1.2 SISTEM EJAAN ZA’BA
2.1.3 SISTEM EJAAN FAJAR ASIA
2.1.4 SISTEM EJAAN RUMI KONGRES
2.1.5 SISTEM ASAS 50
2.1.6 SISTEM EJAAN RUMI PERSEKUTUAN BAHASA MELAYU
UNIVERSITI MALAYA (PBMUM)

2.2 SELEPAS MERDEKA
2.2.1 SISTEM EJAAN KONGRES (1957)
2.2.2 SISTEM EJAAN BAHASA MALAYSIA-INDONESIA
(EJAAN MALINDO)
2.2.3 SISTEM EJAAN BARU (1972)

3.0 PERANAN DEWAN BAHASA DAN PUSTAKA DALAM
MENYERAGAMKAN SISTEM EJAAN RUMI

4.0 CABARAN SISTEM EJAAN RUMI MASA KINI

5.0 KESIMPULAN

RUJUKAN

01

1.0 PENGENALAN

Sejarah perkembangan penulisanan Melayu bermula dengan datangnya pengaruh asing ke
Tanah Melayu. Kemudian pengaruh asing tersebut diserap masuk ke dalam bahasa Melayu
bagi membolehkan sebuah bentuk tulisan dapat dibina. Sebagai contoh apabila Tanah Melayu
didatangi oleh pedagang Arab yang membawa bahasa Arab, bahasa tersebut diserap masuk ke
dalam masyarakat dan terhasillah sebuah tulisan yang dinamakan sebagai tulisan Jawi. Begitu
juga dengan kedatangan pihak eropah ke Tanah Melayu yang menyebabkan bahasa Melayu
bertulisan Jawi diubah menjadi tulisan Latin mengikut pengaruh yang dibawa.

Oleh hal yang demikian, di dalam penulisan kerja kursus ini saya akan menerangkan tentang
sejarah perkembangan sistem ejaan tulisan rumi.

2.0 SEJARAH PERKEMBANGAN SISTEM EJAAN RUMI

Sejarah mencatatkan bahawa perkembangan sistem ejaan rumi bahasa Melayu telah pun
bermula semenjak zaman penjajahan Portugis di mana perkataan bahasa Melayu dikumpul dan
dituliskan dalam bentuk Latin (rumi) mengikut kaedah ejaan Portugis yang secara kebetulan
menggunakan tulisan rumi juga. Tindakan ini telah dilakukan oleh David Barbosa iaitu seorang
kapten tentera Portugis demi kepentingan pemerintahan, ketenteraan, memerangi agama Islam
dan aktiviti pengembangan agama Kristian.

Setelah David Barbosa menyusun daftar kata bahasa Melayu dengan kaedah Potugis itu
tadi, muncul beberapa orang Barat yang turut menyusun perkataan bahasa Melayu dalam
tulisan rumi. Penyusunan bahasa Melayu dalam tulisan rumi ini dapat dibahagikan kepada dua
bahagian iaitu ejaan yang tidak bersistem dan ejaan yang bersistem. Kaedah ejaan tidak
brsistem telah berubah bebrapa kali semenjak kurun ke-16 hingga kurun ke-18 iaitu bersamaan
dengan tahun 1521 hingga tahun 1899 mengikut kaedah beberapa orang tokoh seperti
A.Pigafetta, C.Houtman, T.Bowery, W.Marsden, L.P Favre, H.Wall, H.N. Tuuk, J.Pijnappel,
C.Klinkert dan Shellabear.

Cara penulisan rumi bahasa Melayu yang tidak bersistem ini merupakan asas pembinaan
kepada cara penulisan rumi bahasa Melayu yang lebih bersistem. Melalui beberapa percubaan
penulisan sepanjang tempoh tersebut telah memberi pengaruh kepada pembinaan tulisan rumi

02

seterusnya. Manakala, ejaan yang bersistem pula dijangka bermula pada awal kurun ke-20 iaitu
semenjak CH. Van Ophuysen memperkenalkan sistem ejaannya di Indonesia pada tahun 1900
hinggalah ke zaman sistem ejaan baru iaitu sistem ejaan yang dipersetujui bersama oleh
Malaysia dan Indonesia pada tahun 1972. Penulisan ejaan yang bersistem ini dapat
dibahagikan kepada dua bahagian iaitu sebelum merdeka dan selepas merdeka.

2.1. SEBELUM MERDEKA
2.1.1 SISTEM EJAAN R.J WILKINSON (1902)

Richard James Wilkinson merupakan seorang pentadbir jajahan, cendekiawan dan juga
sejarawan British yang berperanan dalam memperbaiki sistem persekolahan di Tanah Melayu.
Beliau telah menyusun semula sebuah kamus yang berjudul ‘Malay-English Dictionary’ setebal
1300 halaman pada tahun 1895. Penyusunan semula yang telah dilakukan oleh beliau ini
adalah untuk kepentingan persekolahan Melayu di negeri-negeri Melayu Bersekutu atas arahan
pemerintah ketika itu (1902). Penyusunan ejaan yang telah dilakukan oleh Wilkinson ini
kemudiannya terkenal sebagai sistem ejaan Wilkinson (Mohd Naim, 1991).

Sistem ejaan Wilkinson ini merupakan penambahbaikan daripada sistem ejaan yang
digunakan dalam Kamus Maxwell yang banyak menerapkan kaedah penulisan rumi oleh
Shellabear, kaedah penulisan baba peranakan dan kaedah tulisan rumi Melayu-Belanda. Dalam
sistem ejaan Wilkinson ini, beliau menerapkan penggunaan huruf-huruf vokal a, e (taling), e
(pepet), i, o dan u. Ejaan Wilkinson juga turut menggunakan rangkap konsonan ch bagi
menggambarkan bunyi c, sh bagi menggambarkan bunyi sy iaitu ejaan sekarang, kh, ng, th, dh,
dan dz.

Menurut R.O Winstedt (1914) dalam buku karangannya, ‘Malay Grammar’, Wilkinson telah
mempertahankan pengejaan ‘tuan’ bukannya ‘tuwan’ dan ‘ia’ bukannya ‘iya’. Menurutnya,
ejaan tuwan dan iya memberikan idea yang bertentangan dengan fungsi huruf alif. Perkara ini
dapat juga dilihat berdasarkan perkataan ‘suwatu’ dimana apabila perkataan tersebut
dipecahkan mengikut suku kata akan membentuk suku-suku kata su dan watu, sedangkan
watu bukanlah satu suku kata yang tepat dalam perkataan tersebut. Oleh yang demikian,
perkataan tersebut hendaklah dieja sebagai ‘suatu’ bukan ‘suwatu’.

03

2.1.2 SISTEM EJAAN ZA’BA (1933)

Za’ba atau nama sebenar beliau, Zainal Abidin bin Ahmad, merupakan seorang sasterawan
bahasa Melayu dan pemikir berketurunan Minangkabau yang giat menulis sekitar tahun
1940-an. Berdasarkan pencapainnya dalam bidang kesusasteraan, beliau merupakan salah
seorang tokoh yang terkemuka dalam sejarah Malaysia. Menurut Ahmad dan Tasnim pada
tahun 2020, Za’ba merupakan pakar bahasa yang disanjungi kerana pengetahuan dan
minatnya yang mendalam terhadap bahasa Melayu sehingga pada tahun 1956, beliau telah
dianugerahkan gelaran Pendeta semasa kongres Bahasa dan Persuratan Melayu Malaya.

Sistem ejaan Za’ba telah diperkenalkan pada tahun 1933. Sistem ejaan ini mengandungi
lapan fasal yang dihuraikan dalam 40 undang-undang. Lapan fasal yang dinyatakan itu ialah
saksi halus atau saksi kasar di hujung, ejaan bunyi berkait, ejaan perkataan yang belum tetap,
ejaan bunyi yang keliru, ejaan perkataan dari bahasa dagang, ejaan memakai penambah, ejaan
memakai sempang dan ejaan memakai huruf besar. Pada dasarnya, sistem ejaan Za’ba ini juga
menggunakan huruf-huruf saksi a, e, i, o, u serta rangkap konsonan seperti mana yang
digunakan oleh Wilkinson. Sistem ejaan Za’ba ini juga merupakan perbaikan daripada Sistem
ejaan Wilkinson.

2.1.3 SISTEM EJAAN FAJAR ASIA (1943)

Sistem ejaan Za’ba memperlihatkan penggunaan lambang huruf yang beraneka ragam yang
mengakibatkan ketidakseragaman pengejaan kata dalam amalan penulisan harian melibatkan
semua urusan yang menggunakan tulisan rumi. Kekacauan dalam penggunaan Sistem ejaan
Za’ba ini menjadi lebih sukar kerana adanya pengejaan kata yang masih menurut Sistem ejaan
Wilkinson dan beberapa sistem ejaan rumi lain. Kesan daripada kelemahan sistem-sistem ini
telah mendorong beberapa pihak yang tertentu dalam menampilkan sistem ejaan rumi yang
baharu pada tahun 1940 hingga 1959. Antara percubaan yang mendapat perhatian ialah Sistem
ejaan Fajar Asia.

Sistem ejaan Fajar Asia ini merupakan sistem ejaan yang telah diperkenalkan oleh
pemerintah Jepun melalui majalah dwimingguan Fajar Asia yang diterbitkan di Singapura
bermula pada tahun 1943. Majalah ini dikendalikan oleh Za’ba yang berperanan sebagai ketua
pengarang. Sistem ejaan Fajar Asia dikatakan sebagai percubaan pertama dalam usaha

04

menyatukan ejaan rumi bahasa Melayu dan ejaan rumi bahasa Indonesia. Dalam sistem ejaan
ini, penggunaan konsonan-konsonan ejaan Wilkinson dan Za’ba dikekalkan tetapi penggunaan
vokal Ophuysen oe digantikan dengan u.

2.1.4 SISTEM EJAAN RUMI KONGRES (1956)

Sistem ejaan Rumi Kongres merupakan sistem ejaaan yang dipersetujui oleh Kongres Bahasa
dan Persuratan Melayu yang Ketiga pada tahun 1956. Sistem ejaan ini dirumuskan atas empat
dasar pengejaan bahasa Melayu dengan huruf Rumi iaitu, ejaan di Malaya dan di Indonesia
hendaklah disamakan atau disatukan. Hal ini bagi memastikan sistem ejaan rumi dapat
diseragamkan memandangkan itu merupakan antara usaha yang cuba dilakukan oleh Za’ba
semasa mengendalikan majalah Fajar Asia. Dasar yang kedua ialah, peraturan ejaan
hendaklah mudah bagi membolehkan sistem fonologi dapat diterima sebagai sebagai sistem
yang lebih baik daripada sistem fonetik.

Bukan itu sahaja, malah pengejaan hendaklah tetap mengikut kaedah yang satu dan
semacam. Akhir sekali, perkataan yang dipinjam daripada bahasa asing hendaklah
disesuaikan pengejaannnya menurut hukum-hukum sistem fonologi Melayu.

2.1.5 SISTEM EJAAN ASAS 50

Sistem ejaan ASAS 50 adalah merupakan sistem ejaan yang digunakan oleh penulis-penulis
angkatan ASAS 50 dan juga penulis-penulis angkatan lima puluhan. Sistem ini tidak
mempunyai banyak perbezaan dengan sistem Fajar Asia yang telah diperkenalkan pada tahun
1943 dahulu. Terdapat beberapa cadangan ejaan yang telah dicadangkan oleh ASAS 50
antaranya ialah, penerapan penggunaan vokal kembar (diftong) ai, au, dan oi yang telah
mendatangkan kesukaran digantikan dengan diftong ay, aw dan oy. Sebagai contoh, perkataan
gulai digantikan menjadi gulay. Bukan itu sahaja, penggunaan fonem ch juga telah dicadangkan
agar ditulis dengan c sahaja contohnya perkataan cawan bukannya chawan.

05

2.1.6 SISTEM EJAAN RUMI PERSEKUTUAN BAHASA MELAYU UNIVERSITI MALAYA
(PBMUM)

Persekutuan Bahasa Melayu Universiti Malaya pada asalnya ditubuhkan sebagai Persatuan
Bahasa Melayu di Singapura pada 29 Januari tahun 1955 dengan 27 orang ahli. Penubuhan
persatuan ini telah dijayakan dengan sokongan daripada pensyarah dan pelajar daripada fakulti
sastera. Tokoh utama yang memainkan peranan penting dalam menubuhkan persatuan ini ialah
Profesor diRaja Ungku Aziz dan juga Pendeta Za'ba yang bertegas dalam menubuhkan suatu
persatuan mahasiswa Melayu yang boleh memainkan peranan penting dalam perkembangan
sastera dan bahasa Melayu.

Sistem ejaan Rumi PBMUM telah dikemukakan sebagai cadangan oleh pihak PBMUM di
Kongres Persuratan dan Bahasa Melayu ke-3 pada tahun 1956. Antara cadangan yang telah
dikemukakan termasuklah penolakan penggunaan huruf-huruf kembar atau rangkap konsonan
dan digantikan dengan fonem lain. Sebagai contoh, penggunaan ch digantikan dengan c
manakala penggunaan sh digantikan dengan x. Selain itu, rangkap-rangkap konsonan yang lain
seperti dh, dz, gh, kh dan th hendaklah tidak digunakan lagi. Cadangan yang seterusnya juga
termasuklah penyegeraan penyatuan ejaan Malaya dan ejaan Indonesia.

Kaedah ejaan Rumi PBMUM ini merupakan satu sistem ejaan yang digunakan dalam
penerbitan jurnal bahasa yang diterbitkan oleh Persekutuan Bahasa Melayu Universiti Malaya
yang bermula pada tahun 1959. Walaupun kaedah ejaan ini bukanlah satu kaedah ejaan rasmi
yang diperakui, tetapi kedah ini merupakan salah satu percubaan lanjutan ke arah penyatuan
ejaan antara ejaan Rumi bahasa Melayu dan ejaan Rumi bahasa Indonesia. Hal ini kerana,
sistem ejaan ini hampir menyamai sistem ejaan Fajar Asia dan juga sistem ejaan Soewandi.

2.2 SELEPAS MERDEKA
2.2.1 SISTEM EJAAN KONGRES (1957)

Sistem ejaan Kongres adalah merupakan sistem ejaan yang telah dicapai melalui
pembentangan dua kertas kerja yang dibentangkan oleh Angkatan Sasterawan 50 dan
Persatuan Bahasa Melayu Universiti Malaya di Kongres Persuratan dan Bahasa Melayu ke-3
yang diadakan di Singapura pada 16 hingga 21 September tahun 1956. Pada tahun 1957,
Dewan Bahasa dan Pustaka telah menerbitkan risalah bahasanya yang berjudul ‘Kaedah

06

Baharu Ejaan Rumi Bahasa Melayu’. Sistem ini merupakan sistem baharu yang diterima
sepenuhnya dalam Kongres 1956 itu.

2.2.2 SISTEM EJAAN BAHASA MALAYSIA-INDONESIA (MALINDO)

Hasil daripada perbincangan sistem ejaan Kongres dan sistem sistem ejaan PBMUM diakui
masih tidak memuaskan sesetengah pihak. Oleh hal yang demikian, sebuah jawatankuasa
telah dibentuk bagi memperhalus sistem ejaan Kongres dan juga bagi mewujudkan hubungan
dengan pihak Indonesia untuk tujuan penyelarasan. Pada akhirnya, hasrat tersebut menjadi
kenyataan apabila sidang pertama antara jawatankuasa Ejaan Rumi Baru Persekutuan dengan
Jawatankuasa/Panitia Ejaan Indonesia berlangsung pada 7 Disember tahun 1957. Hasil
perundingan tersebut, satu persetujuan telahpun dicapai berdasarkan kepada gagasan ejaan
yang dipersetujui hendaklah disebut Ejaan Melayu-Indonesia atau singkatannya ejaan Melindo.

Antara persetujuan yang telah dicapai dalam sistem ejaan Melindo adalah, sistem ini
mengandungi 6 huruf vokal a, e, e, i, o, dan u serta tiga diftong ay, aw, dan oy. Selain tiu, fonem
f, s dan z hendaklah digunakan untuk menggambarkan kata-kata asing. Sistem ejaan ini
dijangkakan akan digunakan sepenuhnya sekitar tahun 1964 akan tetapi disebabkan oleh
perselisihan politik antara Malaysia dan Indonesia, persetujuan ini tidak dapat dilaksanakan
dengan sepenuhnya.

2.2.3 SISTEM EJAAN BARU (1972)

Seperti yang telah dibicarakan sebentar tadi, kegagalan pelaksanaan sistem ejaan MALINDO
telah menyebabkan beberapa rundingan telah diadakan bagi menghasilkan kesefahaman yang
lebih konkrit. Hasilnya, pelaksanaan ejaan bersama Indonesia-Malaysia yang dikenali dengan
nama Sistem Ejaan baru di Malaysia dan Sistem Ejaan yang disempurnakan di Indonesia telah
diistiharkan pengunaannya secara rasmi pada 16 Ogos 1972.

07

3.0 PERANAN DEWAN BAHASA DAN PUSTAKA DALAM MENYERAGAMKAN SISTEM
EJAAN RUMI

Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) atau nama asalnya Balai Pustaka ialah sebuah jabatan
kerajaan Malaysia yang telah ditubuhkan pada 22 Jun 1956. DBP ditubuhkan untuk menggerak
dan memartabatkan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan, bahasa rasmi dan juga
bahasa ilmu.

DBP memainkan peranan yang sangat penting dalam menyeragamkan sistem ejaan rumi.
Antara peranan DBP tersebut ialah, membina dan memperkaya bahasa Melayu dalam semua
bidang termasuklah bidang sains dan teknologi. Umum mengetahui bahawa dalam bidang sains
dan teknologi hanya perkataan-perkataan dalam bahasa Inggeris sahaja yang digunakan untuk
membina atau menghasilkan suatu penemuan atau penciptaan yang baharu. Oleh hal yang
sedemikian, pihak DBP telah berusaha sedaya upaya bagi membolehkan bahasa Melayu juga
boleh menghasilkan lebih banyak perkataan-perkataan dalam bidang-bidang yang berkembang
pesat itu tadi.

Selain itu, DBP juga giat mencetak,menerbitkan dan membantu usaha percetakan atau
penerbitan buku-buku, risalah serta bentuk-bentuk persuratan yang lain dalam bahasa dan
tulisan Melayu. Di Malaysia, DBP merupakan sebuah organisasi penerbitan yang terbesar yang
telah banyak mencetak dan menerbitkan buku-buku untuk sekolah-sekolah seperti buku teks
dan buku rujukan. Buku-buku ini merupakan bahan ilmiah yang sangat penting bagi para pelajar
tidak kira sama ada sekolah rendah mahupun sekolah menengah. Bukan itu sahaja, DBP juga
bergiat aktif dalam menerbitkan buku-buku kesusasteraan Bahasa Melayu. Kenyataan ini
membuktikan bahawa DBP memainkan peranan yang sangat penting sehingga memberi impak
yang baik dalam bidang kesusasteraan, pendidikan dan juga industri percetakan negara.

Seterusnya, DBP juga memainkan peranan dalam membakukan ejaan dan sebutan serta
membentuk istilah-istilah yang sesuai dalam bahasa Melayu. Pelaksanaan dasar bahasa yang
menjadikan bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar di sekolah-sekolah tidak kira rendah
mahupun menengah dan juga peringkat institusi pengajian tinggi menggerakkan kegiatan
peristilahan yang didukung oleh DBP. Bukan itu sahaja, malah DBP juga turut menubuhkan
Jawatankuasa Istilah yang berperanan untuk mengumpul, membentuk dan menyebar luas
istilah bahasa Melayu dalam bidang sains asas dan sains gunaan.

08

4.0 CABARAN SISTEM EJAAN RUMI MASA KINI

Cabaran merujuk kepada sesuatu yang menguji tahap kemampuan dan ketabahan seseorang
atau sesuatu organisasi dan lain-lain. Dalam konteks ini, cabaran yang dihadapi oleh sistem
ejaan Rumi masa kini hadir dalam beberapa cara antaranya ialah,penggunaan bahasa rojak
dalam kalangan masyarakat. Penggunaan bahasa rojak ini menjadi semakin luas dengan
wujudnya media sosial kerana masyarakat mula menggunakan bahasa dan tulisan singkatan
ketika menggunakan media sosial. Namun begitu, penggunaan bahasa rojak sebenarnya telah
dikesan seawal zaman Kesultanan Melayu Melaka ketika berlakunya perdagangan
antarabangsa. Bahasa rojak ini merupakan bahasa Melayu yang digunakan dalam kehidupan
harian setiap individu untuk berkomunikasi. Masyarakat beranggapan bahawa penggunaan
bahasa Melayu rojak adalah lebih mudah berbanding bahasa Melayu baku.

Cabaran yang seterusnya ialah pemilihan penggunaan bahasa asing dalam kehidupan.
Cabaran ini sebenarnya lahir daripada sikap masyarakat Malaysia itu sendiri yang tidak
berbangga dengan bahasa Melayu yang mereka tuturkan. Mereka tidak percaya bahawa
bahasa Melayu itu merupakan sebuah bahasa yang moden dan lebih memilih untuk bertutur
dalam bahasa asing seperti bahasa Inggeris. Sikap mereka ini mengakibatkan bahasa Melayu
itu sendiri akhirnya dipandang rendah oleh masyarakat negara lain. Justeru, perkara ini juga
turut menyukarkan pihak bertanggungjawab untuk memartabatkan bahasa Melayu. Oleh hal
yang demikian, jika perkara ini masih berterusan maka darjat bahasa Melayu akan terjejas.

5.0 KESIMPULAN

Kesimpulannya, berdasarkan hasil penulisan yang telah saya lakukan berkenaan sejarah
perkembangan sistem ejaan rumi untuk mencapai standard ejaan kini bukanlah suatu yang
mudah untuk dicapai. Pelbagai usaha telah dilakukan bagi memastikan sistem ejaan yang
mudah dapat diperoleh. Menurut Za’ba, tanggungjawab memajukan dan mengangkat darjat
bahasa dan pengembangannya jauh lebih sukar dan mendesak jika dibandingkan dengan
gembar gembur yang dimainkan oleh percaturan politik (Ahmad & Tasnim, 2020). Oleh hal
demikian, setiap orang seharusnya bertanggungjawab dalam memastikan bahasa dan tulisan
Melayu terus diperkasakan agar tidak lapuk ditelan zaman.

09

RUJUKAN

Ahmad Nabil Amir & Tasnim Abdul Rahman. (2020). Pemikiran Za’ba dan kesannya kepada

kebangkitan perjuangan nasionalisme Melayu. International Social Sciene and

Humanities Journal, 3(4). http://www.al-qiyam.net/index.php/isshj/article/view/86

Dewan Bahasa dan Pustaka. (2022, May 3). Dalam Wikipedia.

https://ms.wikipedia.org/wiki/Dewan_Bahasa_dan_Pustaka

Mohd Naim. (1990). Perkembangan ejaan rumi bahasa Melayu. Sekata, 8(2), 23-51.

https://repository.nie.edu.sg/bitstream/10497/18302/1/Sekata-8-2-23.pdf

Mohd Naim. (1991). Perkembangan ejaan rumi bahasa Melayu : Bahagian II. Sekata, 9(1),

28-48. https://repository.nie.edu.sg/bitstream/10497/18303/1/Sekata-9-1-28.pdf

Muhammad Ariff. (1987). Ejaan Rumi bahasa Melayu sehingga ejaan Za’ba. Singapore

Broadcasting Corporation (SBC). http://hdl.handle.net/10497/20095

Muhammad Ariff. (1987). Ejaan Rumi bahasa Melayu ejaan baru dan ejaan yang

disempurnakan. Singapore Broadcasting Corporation (SBC).

http://hdl.handle.net/10497/20097

Muhammad Al Afzan. (2018, April 30). Peranan Dewan Bahasa dan Pustaka dalam

Memartabatkan Bahasa Melayu. Cikguafzan96.

https://cikguafzan96.blogspot.com/2018/04/peranan-dewan-bahasa-dan-pustaka.html

Richard James Wilkinson. (2022, April 10). Dalam Wikipedia.

https://ms.wikipedia.org/wiki/Richard_James_Wilkinson

Zainal Abidin bin Ahmad. (2022, July 6). Dalam Wikipedia.

https://ms.wikipedia.org/wiki/Zainal_Abidin_bin_Ahmad

010


Click to View FlipBook Version