Pendahuluan
Tema: Belajar secara berkumpulan
Tugasan: Faedah-faedah belajar secara berkumpulan.
Contoh BiSSTT + Menarik
Buah cempedak di luar pagar,
Ambil galah tolong jolokkan,
Saya budak baru belajar,
Kalau salah tolong tunjukkan.
Pantun di atas menggambarkan bahawa semua pelajar perlu belajar dahulu daripada
kesilapan dan kesalahan. Pembelajaran yang lebih efektif bermula dengan penubuhan
kumpulan belajar yang baik dan persefahaman antara ahlinya. Dalam kumpulan belajar ini
para pelajar boleh membentuk seramai tiga hingga lima orang sahaja. Kumpulan belajar
yang ramai ahlinya hanya akan menjadi tempat berbual kosong daripada memfokuskan
kepada hal-hal akademik yang wajib dibincangkan bersama-sama. Belajar secara
berkumpulan boleh dijadualkan mengikut ketetapan bersama-sama ahlinya dari segi masa
perjumpaan dan tempat yang sesuai berkumpul. Pada kebiasaannya, waktu yang efektif
untuk mengadakan sesi pembelajaran secara berkumpulan ialah selepas waktu
pembelajaran arus perdana iaitu pada sesi petang atau pada hujung minggu. Belajar secara
berkumpulan tidak memerlukan ruang yang besar untuk berkumpul tetapi keselesaan dan
tempat yang kondusif memainkan pilihan utama seperti di ruang anjung ilmu, sanggar
pendeta dan graha pendeta. Pada masa dahulu, belajar secara berkumpulan sangat
dititikberatkan kerana sumber dan bahan maklumat yang terhad memerlukan pelajar perlu
berjumpa dan mengadakan sesi pengukuhan bagi mana-mana pembelajaran yang lemah
atau sukar difahami. Kini, belajar secara berkumpulan masih lagi menjadi pilihan perdana
para pelajar walaupun kecanggihan teknologi merentasi zaman moden ini. Para pelajar
boleh lagi mewujudkan belajar secara berkumpulan tetapi melalui ruang media sosial
mereka sama ada Whatsapp atau Instagram. Pembelajaran secara maya ini terbentuk
seiring dengan jaringan Internet maklumat di hujung jari yang semakin meluas. Menurut
mantan Menteri Pendidikan Dr. Maszlee bin Malek, pendidikan yang luas dapat
memecahkan tembok kedangkalan ilmu sekiranya konsep pembelajaran belajar secara
berkumpulan diterapkan selaras pendidikan abad ke-21. Sebagai persoalannya, apakah
faedah-faedah belajar secara berkumpulan kepada pelajar?