The words you are searching are inside this book. To get more targeted content, please make full-text search by clicking here.

MAJLIS JALINAN MESRA KGS , SMK ASTANA 2022

Discover the best professional documents and content resources in AnyFlip Document Base.
Search
Published by ANAWSUZIE19, 2022-03-24 06:04:03

TEKS UCAPAN PENGETUA

MAJLIS JALINAN MESRA KGS , SMK ASTANA 2022

TEKS UCAPAN PENGETUA
PUAN HAJAH SHABARIAH
BINTI MOHAMED ZAKWAN
Majlis jalinan mesra

kgs smk astana
25 MAC 2022

1

Bismillahirrahmanirahim. Assalamualaikum warahmatullah
wabarakatuh dan selamat sejahtera.

Terima kasih, saudari Pengacara Majlis,

Yang Diraikan, Tn Haji Nor Azlan bin Mohamad Shukur, Penolong
Kanan Kokurikulum,

Pn Norhapidah binti Mohd Saad,

Pn Anzalnahanur binti Azizi,

Pn Wan Maisarah binti Wan Othman

Yang Berusaha Cik Janah binti Suhadi , Penolong Kanan Pentadbiran,

Encik Idris bin Wahab, Penolong Kanan Hal Ehwal Murid,

Encik Yusran bin Mohd Bahari, Penolong Kanan Tingkatan Enam,

guru-guru kanan mata pelajaran,

seterusnya guru-guru sekalian.

Hadirin sekalian,

Alhamdulillah, setinggi-tinggi kesyukuran dirafakkan kepada
Yang Maha Esa, kerana dengan limpah rahmat-Nya dapat kita
bersama-sama pada petang ini dalam ‘Majlis Jalinan Mesra KGS SMK
Astana’. Sesungguhnya majlis pada petang ini merupakan gabungan
dua program utama iaitu Majlis Pertukaran dan Majlis Persaraan.
Semoga majlis yang bermakna ini akan menjadi memori indah di hati
kita semua.

2

Hadirin yang dimuliakan,

Saya mewakili warga sekolah ini, merakamkan rasa terharu
dan sudah pasti untaian kata-kata yang akan saya lontarkan nanti pasti
meruntun jiwa kita semua kerana perpisahan ini. Suasana seakan redup
seketika dan keindahannya tiba-tiba terasa suram kerana tiga orang
rakan kita iaitu Pn Norhapidah, Pn Anzalnahanur dan Pn Wan
Maisarah telah berlalu meninggalkan sekolah ini. Kami percaya,
perpisahan sebenarnya mengajar kita erti keikhlasan dan kedewasaan
dalam kehidupan. Rentetan itu, kita pasti akan mengenang kembali
saat-saat ketika bersama dan tetap akan menjadi satu memoir yang
tidak akan dilupakan sampai bila-bila. Begitu juga halnya dengan
keberadaan kita bersama-sama rakan kita ini, semuanya akan
terhimpun menjadi sejarah dan terukir jitu dalam sanubari semua
Warga SMK Astana.

Hadirin yang dihormati,

Hari ini, kita semua berasa terharu kerana perpisahan dengan
Pn Norhapidah bt Mohd Saad yang akan berpindah ke SMK Sri
Layang, Genting Highlands kerana mengikut suami. Pn Norhapidah
merupakan tonggak utama Panitia Matematik dan pelbagai usaha
dibuat bagi memastikan panitia ini mencapai kecemerlangan. Masa
terlalu pantas berlari. Tidak terasa sudah hampir empat tahun kita
bersama Pn Norhapidah, yang banyak menabur jasa dan bakti di
sekolah ini. Kadang kala akibat kesibukan dengan tugas seharian dan
pelbagai komitmen yang perlu kita tempuhi, menyebabkan kita tidak
terasa dan tidak terperasan begitu pantasnya juga tempoh
perkhidmatan rakan-rakan kita di sekolah ini.

Hadirin yang dirahmati,

Begitu juga dengan rakan kita Pn Anzalnahanur dan Pn Wan
Maisarah yang tidak kurang hebatnya menabur bakti di Astana. Segala
tugasan di pejabat dan makmal sudah pasti telah dapat dilaksanakan

3

dengan baiknya. Sesungguhnya berat mata memandang berat lagi bahu
yang memikul. Begitulah yang kita rasai sekarang ini. Berat sungguh
bagi kami untuk melepaskan rakan-rakan yang komited terhadap tugas
ini. Namun apakan daya, amanah yang diberi harus beliau laksanakan
dengan penuh dedikasi. Segala kenangan dan pahit manis dalam
menjalankan obligasi dan tugas akan sentiasa tersemat dalam lubuk
hati warga sekolah.

Hadirin yang dimuliakan,

Segak bergaya orangnya, bisanya pasti ada. Tua kelapa
berguna, tua manusia memberi makna. Tanpa jemu menabur bakti,
tiada perih melingkari diri. Walau onar duri bertandang, halangan itu
bukan penghalang. Dengan berbekalkan ilmu yang ada Tn Haji Nor
Azlan tidak lokek untuk berkongsi ilmu pengetahuan dengan rakan
pendidik, malah segala pendapat dan pandangan yang dilontarkan oleh
para guru akan sentiasa diperhalusi dan diterima dengan hati yang
terbuka. Pengalaman Tn Hj Nor Azlan dalam tempoh 12 tahun
berkhidmat sebagai Penolong Kanan Kokurikulum telah dapat menjadi
panduan kepada beliau untuk mencipta kecemerlangan dalam bidang
kokurikulum sama ada dalam persatuan mahupun sukan. Jalan
penyelesaian sentiasa ada terhadap masalah yang dihadapi oleh rakan
sekerja terutama yang berkaitan dengan bidang kokurikulum. Tanggal
5.4.2022 Tn Hj Nor Azlan akan meninggalkan dunia pendidikan
setelah 33 tahun berkhidmat sebagi pendidik. Semoga jasa yang telah
Tn Hj Nor Azlan taburkan selama ini akan terus mewangi dan kekal
dalam ingatan semua warga Astana. Panggilan keramat ‘CIKGU’ pasti
tersemat di mana-mana jua. Selamat Bersara Cikgu Nor Azlan.

Hadirin yang dikasihi sekalian,

Sesungguhnya bijak pandai ada menukilkan, kerja-kerja yang
ikhlas dan ketenangan bekerja menjadi asas kepada kecemerlangan
sesebuah organisasi. Kini warga SMK Astana kehilangan empat rakan

4

sekerja yang semuanya berwibawa dan berkarisma. Kehilangan ini
pasti dirasai, patah tumbuh hilang berganti, namun yang hilang akan
tetap abadi dalam memori dan yang tumbuh mengantikannya pula
diharapkan dapat meneruskan legasi SMK Astana. Semoga hubungan
silaturahim ini akan berkekalan sepanjang zaman.

Pada kesempatan ini, saya bagi pihak semua warga SMK
Astana merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih
yang tidak terhingga kepada Tn Hj Nor Azlan, Pn Norhapidah, Pn
Anzalnahanur dan Pn Wan Maisarah atas sumbangan dan komitmen
sepanjang tempoh perkhidmatan di sekolah ini. Kami berdoa semoga
Allah SWT akan melimpahkan rahmat-Nya kepada anda semua,
dipanjangkan usia, diberikan kesihatan tubuh badan dan
dipermudahkan segala urusan pada setiap masa. Semoga Allah
menganjari kebaikan atas usaha murni yang telah kalian sumbangkan
sepanjang berada di SMK Astana.

Kicak kicau mendayu-dayu
Tumbuh berangan di hujung desa

Sebak di dada pilu di kalbu
Sejuta kenangan segunung jasa

Diulit dingin menjelang senja
Mentari terbenam diufuk Barat
Doa kami untuk kalian sahaja
Bahagia di dunia juga akhirat

Sekian, terima kasih.

Wabilhitaufik Walhidayah Wasalamualikum Warah Matullah Hiwa
Barakatuh

5

6


Click to View FlipBook Version