TEKS UCAPAN PENGETUA
(SAMBUTAN IHYA RAMADAN DAN BULAN DAKWAH )
Yang berusaha En.Muhammad bin Ismail Penolong Kanan Pentadbiran dan
Kurikulum, Pn. Sharmila bt Ali penolong Kanan Hal Ehwal Murid,Pn Mazuraini
bt Abd.Malek Penolong Kanan Kokurikulum,Ketua-ketua bidang,kaunselor-
kaunselor,guru-guru dan para pelajar yang dikasihi sekalian.
Pertama kali marilah kita sama-sama memanjatkan rasa kesyukuran yang tidak
terhingga kehadrat Ilahi kerana dengan limpah kurnia dan rahmatnya pada hari
yang berbahagia ini dapat kita sama-sama berhimpun di dewan yang indah ini
bagi menjayakan Pelancaran Ihya Ramadan dan Bulan Dakwah tahun 2022
peringkat Sekolah Menengah Kebangsaan Seri Indah.
Ramadan kembali lagi dengan janji-janji kebaikan dan harapan daripada Allah
SWT kepada para hamba-Nya yang sentiasa menunggu kehadiran bulan mulia
yang penuh keberkatan dan kemuliaan ini.Tiada siapa dapat menolak betapa
bulan rahmat ini membawa satu perasaan dan jiwa baru buat mereka yang
menagih rahmat Allah SWT di muka bumi ini. Ini jelas dari sabda Rasulullah
SAW maksudnya : Dialah ( bulan Ramadan ) bulan kesabaran dan
pengajaran.Ganjaran kesabaran ialah Syurga. Di awalnya kerahmatan, di
tengahnya pengampunan dan di akhirnya dibebaskan dari api neraka.
Hadirin dan hadirat sekalian
Setiap tahun Panitia Pendidikan Islam, JK Penghayatan Islam dan Badan
Kerohanian (BADAR) mengadakan pelbagai program untuk memeriahkan bulan
Ramadan. Dinamakan Ihya Ramadan, yang membawa maksud “ menghidupkan
Ramadan “. Oleh itu pelbagai aktiviti akan dijalankan dalam bulan ini, mohon
semua guru dan murid melibatkan diri secara aktitif agar objektif Ihya
ramadan dan Bulan dakwah ini tercapai. Antara objektifnya adalah untuk
menggalakkan warga SEINDAH supaya merebut peluang beribadat dengan
bekerja pada siang hari sambil beribadat seperti tadarus dan sedekah dan
malamnya disisi dengan pelbagai amalan sunat seperti solat sunat tarawih.
Namun begitu para pelajar diingatkan supaya mengekalkan prestasi pelajaran
walaupun sedang menjalani ibadah puasa. Jangan jadikan alasan berpuasa
untuk membolehkan para pelajar tidur dan tidak focus semasa PdPc.
Jadikan Ramadan pada kali ini Ramadan yang sangat berkualiti dari yang
sebelumnya agar kita mencapai tahap “ Mardhatillah “.Gunakanlah peluang
yang ada ini dengan menyertai semua aktiviti yang disediakan oleh penganjur.
Amatlah rugi sekiranya Ramadan yang mempunyai banyak kelebihan ini kita
sia-siakan dengan melakukan perkara yang tidak berfaedah.
Di kesempatan ini juga saya ingin merakamkan jutaan penghargaan kepada
semua jawatankuasa yang akan menjayakan setiap aktiviti Ramadan. Terima
kasih juga kepada Panitia Pendidikan Islam yang menjadi nadi kepada setiap
program sepanjang Ramadan dan sentiasa memberi komitmen yang terbaik
bagi memastikan setiap program berjalan dengan lancar.
Hadirin hadirat yang dirahmati ALLAH SWT, sebagai pengakhir kata marilah kita
renung serta muhasabah kekurangan diri semoga Ramadan ini dapat
meningkatkan iman dan ketakwaan kita.
Dengan lafaz Bismillahirrahmanirrahim, saya dengan ini merasmikan
Pelancaran Ihya’ Ramadan dan Bulan Dakwah Peringkat Sekolah SEINDAH
1443H.
Sekian saya akhiri dengan Wabillahi Taufik Walhidayah,
Wassalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.