The words you are searching are inside this book. To get more targeted content, please make full-text search by clicking here.

Muhamad Fikri Hazim bin Mohd Ariff<br>PISMP A2<br>BMMB3283 - KESUSASTERAAN KANAK-KANAK DALAM PENDIDIKAN BAHASA MELAYU

Discover the best professional documents and content resources in AnyFlip Document Base.
Search
Published by fikrihazim, 2024-04-04 14:58:09

Bersatu Teguh, Bercerai Roboh

Muhamad Fikri Hazim bin Mohd Ariff<br>PISMP A2<br>BMMB3283 - KESUSASTERAAN KANAK-KANAK DALAM PENDIDIKAN BAHASA MELAYU

Siri Bacaan Kanak-kanak FIKRIHAZIMM


Siri Bacaan Kanak-kanak Penulis & Ilustrasi Muhamad Fikri Hazim bin Mohd Ariff Editor Siti Nur Athirah binti Adnan i


Di sebuah kota, ada tiga sekawan yang dikenali sebagai Athirah, Ah Chong dan Shanti. Mereka ialah rakan sekelas dan tinggal di blok pangsapuri yang sama. Hubungan mereka amat rapat umpama keluarga yang tidak sedarah. 1


Mereka bertiga juga murid yang rajin. Jika ada rakan yang memerlukan bantuan, pasti mereka sentiasa ringan tulang untuk membantu. Sebab itulah mereka disenangi oleh rakan dan guru di sekolah ini. 2


Pada suatu hari, guru Bahasa Melayu mereka iaitu Cikgu Siti memberikan tugasan berkumpulan kepada muridmurid 4 Arif. Athirah, Ah Chong dan Shanti masingmasing berada dalam kumpulan yang berbeza kerana Cikgu Siti membahagikan kumpulan tersebut secara rawak. Mereka bertiga agak sedih namun memilih untuk meneruskan sahaja tugasan mereka. Tugasan yang diberikan adalah persembahan bertemakan perpaduan. 3


4 Kumpulan Ah Chong memilih untuk mempersembahkan lakonan. Dia memang suka berlakon sejak kecil lagi. Dia juga mewakili sekolah dalam pertandingan drama peringkat negeri dan mendapat tempat pertama baru-baru ini. Jadinya, tidak hairanlah kalau kumpulan Ah Chong lebih memilih untuk berlakon di hadapan rakan-rakan yang lain.


5 Kumpulan Shanti pula memilih tarian. Itu memang kepakaran Shanti kerana dia merupakan pengerusi bagi Kelab Seni dan Kebudayaan di sekolah mereka. Kebetulan pula, kumpulannya itu juga terdiri daripada rakan-rakan tariannya yang lain. Oleh itu, mereka bercadang untuk membuat satu persembahan istimewa yang menggabungkan tarian daripada pelbagai bangsa.


6 Kumpulan Athirah pula memilih untuk mendeklamasikan sajak bertemakan perpaduan. Salah seorang daripada ahli kumpulannya, Amir merupakan wakil sekolah untuk pertandingan sajak peringkat daerah. Amir secara sukarela bersetuju untuk membantu kumpulannya mendeklamasikan sajak.


7 Setelah selesai sahaja pembahagian kumpulan, Cikgu Siti meminta murid untuk duduk mengikut kumpulan masingmasing. “Persembahan kamu akan diadakan lagi dua minggu. Cikgu harap kamu semua dapat membuat persiapan yang rapi. Kumpulan dengan persembahan terbaik, akan mendapat hadiah”. Beritahu Cikgu Siti kepada anak muridnya.


8 Loceng sudah berbunyi menandakan waktu rehat. Semua murid berpusu-pusu ke kantin untuk mengisi perut. Mereka bertiga juga turut ke kantin dengan membawa bekal masingmasing. Athirah, Ah Chong dan Shanti memang lebih gemar untuk membawa bekal. Kata Cikgu Siti, membawa bekal lebih menjamin kesihatan diri kerana dibuat daripada sumber yang bersih dan segar.


9 Selain itu, mereka juga selalu berkongsi makanan sesama mereka. Mana tidaknya, Athirah gemar dengan masakan Melayu, Ah Chong dengan makanan bangsa Cina dan Shanti sudah tentu dengan makanan bangsa India. Setiap hari, ada sahaja menu bekalan makanan yang baharu dicuba oleh mereka. Dengan berkongsi makanan ini, membuatkan persahabatan mereka lebih utuh.


10 “Petang ni, awak berdua balik dulu. Saya ada latihan persembahan dengan kawan-kawan yang lain” Beritahu Shanti kepada Athirah dan Ah Chong. “Kumpulan saya pon sama. Kami pun mahu buat latihan petang ni. Saya tak sabar nak tunggu hari persembahan nanti” balas Athirah dengan nada ceria. “Kamu tiada latihan ke petang ni?” tanya Shanti kepada Ah Chong. “Petang ini saya ada latihan bola sepak. Mungkin esok atau lusa kumpulan saya akan buat latihan.” Ringkas Ah Chong.


11 Tamat sahaja kelas pada tengah hari itu, Athirah bergerak ke surau terlebih dahulu untuk menunaikan solat Zuhur. Shanti pula menunggu Athirah di pondok kecil bersebelahan dengan surau. Selesai sahaja solat Zuhur, mereka berdua pun berjalan menuju ke kantin untuk makan tengah hari.


“Shanti, tunggu kejap ya. Saya nak jumpa Amirah”. Ujar Athirah secara tiba-tiba. “Saya tunggu di kantin ya?” Balas Shanti ringkas. Athirah terus menuju ke arah Amirah yang ketika itu sedang berbual bersama rakan-rakan lain di taman bersebelahan kantin. “Amirah, petang ni kita buat latihan di makmal komputer ya? Nanti saya akan minta kebenaran daripada Cikgu Siti”. Beritahu Athirah kepada Amirah. “Boleh, tiada masalah. Kita jumpa pukul tiga petang tau!” Ujar Amirah sambil tersenyum. 12


Athirah pun segera bergerak ke kantin. Dia makan nasi ayam dan air sirap manakala Shanti memilih nasi goreng bersama sebotol air mineral. Mereka berbual kosong sambil menjamu selera hidangan di depan mata. Selesai makan, mereka bergerak ke dewan bersama-sama. “Kamu nak buat latihan di mana?” Tanya Shanti secara tiba-tiba. “Kumpulan saya buat di makmal komputer. Saya baru nak minta kebenaran daripada Cikgu Siti ni.” Beritahu Athirah. 13


“Eh, kumpulan saya dah pilih makmal komputer dulu. Mana boleh kamu buat latihan di situ!” Shanti tiba-tiba meninggikan suara. “Kenapa pula tidak boleh? Ahli kumpulan saya dah berkumpul di makmal komputer.” Athirah membalas dengan riak wajah yang marah. Dia terasa apabila Shanti tiba-tiba marah kepadanya. “Kamu kena cari tempat lain. Kalau kita berlatih di tempat yang sama, boleh saja kamu curi idea kumpulan saya nanti”. Shanti menuduh Athirah tanpa berfikir panjang. 14


“Kamu jangan nak main tuduh! Kamu fikir saya ni tak pandai nak buat persembahan ke?” Ujar Athirah dengan nada tinggi. “Mestilah. Takkan awak tak tahu setiap kali peperiksaan saya yang selalu dapat nombor satu dalam kelas”. Balas Shanti dengan riak. Athirah tersentak. Antara mereka bertiga, Shanti ialah murid yang paling pandai. Hampir setiap peperiksaan, Shanti akan memperoleh keputusan peperiksaan yang sangat cemerlang. Kepandaian Shanti memang tak dapat ditandingi oleh Athirah dan Ah Chong. 15


Lama-kelamaan pergaduhan mereka semakin rancak sehinggakan murid lain juga mendengar perbualan mereka. Murid lain hanya mampu mendiamkan diri kerana bimbang keadaan akan bertambah buruk. Tidak lama kemudian, Ah Chong yang baru sahaja tiba di sekolah untuk menjalani latihan bola sepak terkejut apabila salah seorang rakannya memberitahu Athirah dan Shanti sedang bergaduh di kantin. Ah Chong bergegas ke kantin untuk melihat keadaan sebenar. 16


“Berhenti !” Jerit Ah Chong. Dia segera menghentikan perbalahan dua sahabat karibnya itu. “Kenapa kalian bergaduh? Bukankah kita berkawan sejak kecil?” Soal Ah Chong kehairanan. “Kumpulan kami dah minta izin dengan Cikgu Siti terlebih dahulu untuk berlatih di makmal komputer. Tiba-tiba Amirah kata kumpulannya juga akan berlatih di sana.” Jawab Shanti. Athirah hanya sekadar menunduk sebagai tanda bersalah. “Shanti, Athirah, bukankah setiap daripada kita melakukan persembahan yang berbeza? Kumpulan kamu akan membuat persembahan tarian dan kumpulan Athirah deklamasi sajak bukan?” Tanya Ah Chong kepada Shanti. Shanti hanya mengangguk. 17


“Jadi, kenapa kamu berdua bergaduh? Tiada unsur persamaan dalam persembahan kita selain tema yang cikgu berikan.” Tegas Ah Chong. Dia tidak mahu kedua-dua sahabatnya terus bertengkar antara satu sama lain. “Baiklah, cadangan saya kumpulan Shanti akan berlatih di makmal komputer memandangkan dia sudah beritahu cikgu terlebih dahulu dan kumpulan kamu akan berlatih di taman sekolah”. Kata Ah Chong kepada Athirah. Athirah angguk tanda bersetuju. “Sekarang saya nak kamu berdua memohon maaf antara satu sama lain. Kita berkawan sejak kecil, jangan disebabkan hal remeh begini hubungan kita menjadi renggang. Ingat tak pesan Cikgu Siti, bersatu kita teguh, bercerai kita..?” Tambah Ah Chong. “Roboh!” Sahut rakan yang lain. 18


“Maafkan saya Shanti kerana berkasar dengan kamu tadi, saya tidak sengaja.” Kata Athirah. “Saya juga Athirah. Saya tidak patut marah melulu tadi.” Balas Shanti. “Bagus, beginilah nilai persahabatan yang sebenar! Air yang dicincang tidak akan putus. Kita patut menjadi contoh kepada rakan kita yang lain.” Kata Ah Chong. Shanti, Athirah dan rakan yang ada di situ hanya tersenyum lebar melihat kebijaksanaan Ah Chong dalam menyelesaikan masalah itu. Akhirnya, Shanti dan Athirah berbaik semula seperti biasa. 19


Pengajaran : Kita perlulah saling sayang menyayangi sesama rakan agar kita hidup harmoni. Kita mestilah bertutur dengan bahasa yang sopan agar tidak melukakan hati orang lain. Kita sewajarnya memohon maaf sekiranya melakukan kesalahan agar sentiasa disayangi orang sekeliling. BERSATU TEGUH BERCERAI ROBOH - - 20


Glosari : pangsapuri : Rumah pangsa moden yang lazimnya besar dan luas serta disediakan beberapa kelengkapan dan kemudahan. tidak sedarah : bukan satu keturunan atau tidak sama asalnya ringan tulang : rajin bekerja rawak : tidak ditentukan atau diatur lebih dahulu, rambang perpaduan : penggabungan deklamasi : pembacaan sajak dsb dgn irama suara, gaya dan penuh perasaan pusu-pusu : berkeliaran ke sana sini; lari berpusu-pusu; lari ke mana-mana tidak tentu hala utuh : tidak berpecah-pecah berbual kosong : bercakap-cakap tentang pelbagai perkara yang tidak penting menjamu selera : berselera dengan makanan yang dihidangkan tersentak : terperanjat, tersedar rancak : aktif, bersungguh-sungguh, giat bergegas : mempercepat, menyegerakan renggang : tidak rapat melulu : terburu-buru 21


Beliau kini sedang mengikuti Program Ijazah Sarjana Muda Perguruan (PISMP) pengkhususan Bahasa Melayu di institut berkenaan. Beliau dilahirkan di sebuah hospital besar di Kota Bharu, Kelantan dan dibesarkan di Negeri Pahang Darul Makmur. Beliau mendapatkan pendidikan awal di Tadika Tunas Pintar sebelum ke Sekolah Kebangsaan Mat Kilau, Kuantan, Pahang sehingga tamat pendidikan Tahun Enam dan seterusnya melanjutkan pelajaran ke Sekolah Menengah Sultan Abu Bakar (SABS) Kuantan, Pahang sehingga tamat Tingkatan Lima sebelum meneruskan pengajian ke IPGM Kampus Bahasa Melayu, Kuala Lumpur. Beliau merupakan seorang penulis yang komited dalam menghasilkan penulisan sastera untuk dijadikan bahan bacaan dan motivasi mengenai erti kehidupan. Beliau mula berkecimpung dalam bidang penulisan sastera sejak berusia 16 tahun setelah mendapat dorongan dan galakan daripada rakan-rakan. MUHAMAD FIKRI HAZIM BIN MOHD ARIFF atau lebih dikenali dengan nama samarannya ‘Kiki’ , merupakan seorang siswa yang menuntut di Institut Pendidikan Guru Malaysia (IPGM) Kampus Bahasa Melayu, Kuala Lumpur. Biodata Penulis BERSATU TEGUH BERCERAI ROBOH - -


Kisah ini menceritakan tiga orang sahabat karib iaitu Athirah, Ah Chong dan Shanti yang tinggal di sebuah pangsapuri di ibu kota. Hubungan mereka sangat rapat sehinggakan disegani oleh orang lain. Namun, pada suatu hari satu kejadian yang tidak diingini berlaku yang menyebabkan Athirah dan Shanti bergaduh. Walau bagaimanapun, kebijaksanaan Ah Chong mampu menyelesaikan masalah di antara mereka. ISBN BERSATU TEGUH BERCERAI ROBOH - -


Click to View FlipBook Version