TENGKARAPNYA IMPIAN
Hembusan angin yang lirih
merenungku di bawah rembulan
mengenang hikayat kehidupan
persoalan takdir menjadi taruhan
apakah dunia sudah tenat?
Purnama demi purnama
kesabaran marhaen diuji
kebebasan akal dikunci janji
manis bagaikan duri
air mata sengsara tak dipeduli
adakah duniawi menjadi kegilaanmu?
Lembah dustamu semakin jelas
keprihatinanmu hanya pura-pura
kutertanya-tanya
mana perginya titik kemanusiaanmu
adakah dibayangi dengan kemewahan dunia?
pasti puncak nafsu serakah mengaburimu.
Jika begini
takdir di lembaran
kuhanya mampu mengenang air peristiwa
apalah erti kemerdekaan
kalau negara yang dijunjungi musnah
di tangan kerakusan bangsa sendiri.
Nur Aina Rafidi
BM Jun 2021
37
HARGA KASIH ABADI
Terima kasih abah
ajari aku erti kehidupan
saat gelap malam
lemas aku dibawa arus sungai
saat muda remaja
ribut kelihatan seperti sinar mentari
menyimpang jalan
jauh tidak tersedar.
Terima kasih abah
Tiadamu jauh aku dengan Ilahi
kasih tulusmu aku pegang
harapan batinmu aku genggam
moga hati ini seteguh bukit harapanmu
meneruskan jalan yang telah aku tempuh
sampai ke akhir hayat ini.
Thasneem Akashah
Atas Bukit Rambai
Institut Pendidikan Guru Kampus Pulau Pinang
PISMP Jun 2020
20 April 2021
38
NUKILAN INSAN
Diri
kejauhan menyiksakan
cahaya di hujung betala asing
merelakan jiwa berantakan dek kesepian
hampir tersungkur tatkala berlari mengejarnya
menghadap taufan yang menyelerakkan fikiran.
Sahabat
bak disimbah perahan limau nipis
batin mahupun sanubari masih perih
beruntung rohku dek kalian bertakhta erat
mengubat segala kelukaan juga lecetan hati
menanduk pergi segala kecelakaan si durjana.
Kulawarga
di perantauan ini
aku sekali lagi tersungkur
tangisanku tak didengari
tanpa kalian menyokong di sisi
kirimkanlah doa demi kecekalan seketul daging.
Tuhan
kumohon magfirat
atas ketidaktabahan jiwa
kehampiran berputus asa dalam jihad
hadirkanlah ketenangan dalam roh insan kerdil
rahmat-Mu semesta alam
kerana Kau penyayang dan pengasih.
Putri Nur Aisyah binti Azhari
Kolej Kediaman Pala
Institut Pendidikan Guru Kampus Pulau Pinang
16 April 2021
39
CAKERA BUANA
Cerminan paluh kotor
dipijak, dihindar
pangkalnya satu
andaiannya luas misteri.
Cahaya itu datang dari satu
terkelip-kelip
menjejak nafas kasturi.
cahaya itu
mengikis asap kelam
menganyam tali impian
sebuah layar harapan.
Cahaya itu memeluk erat
memancar keluar debu durjana.
Akhirnya
yang bobrok itu
juga bercahaya.
Razanatul Alia
IPG Kampus Pulau Pinang
19 April 2021
40
TERIAKAN JIWA
Tangis
ronta esakan jiwaku semakin rancak
ingin sekali kugapai pelangi indah
agar hilang keresahanku.
Tumpah air mataku melimpah ruah
masih tiada siapa yang tahu
sayu jiwaku dalam kelukaan
masih gah berdiri menghambat senyuman
namun di mana silapku?
mengapa harus jiwaku menanggung keperitan?
Khilaf
sememangnya aku seorang pendosa
kifarah hanya datang menjenguk hidupku
itupun sudah tidak keruan
sesekali berasa malu di hadapan Tuhan
apa masih menerima makhluk sehina ini?
apa masih layak hidup dan mengecapi
keindahan dunia?
Sarah Nadia Binti Roslan
Teratak Rambai
Institut Pendidikan Guru Kampus Pulau Pinang
PISMP Jun 2020
41
DI TELAPAK KAKINYA
Si Mawar itu mula bercambah
menusuk kalbu haruman itu
jelita dipandang bersalut duri
si kumbang berani pun menunjuk gentarnya.
Ibu,
engkaulah mawar itu
yang kusemai rindu seluas lautan
yang kukagumi tabahmu bak srikandi Islam.
Ibu,
tangisku
kau reda dengan nasihat terpuji
gelakku ibu
kau sambut dengan senyum manismu
degilnya aku
kau sulam dengan akhlak muslimah sejati
kau cipta mahkotaku ke arah kiblat-Nya.
Namun,
mawar itu kian layu
gugur sudah kelopak si jelita
sungguh kau hilang tiada berganti.
Najihah Amrin
Penghujung Dunia
Institut Pendidikan Guru Kampus Pulau Pinang
PISMP Jun 2020
20 April 2021
42
KARYA PELAJAR ELEKTIF TERAS
BAHASA MELAYU PENDIDIKAN RENDAH
AMBILAN JUN 2020
MALAYSIA KUCINTA
Tiga puluh satu Ogos menjelang,
Bendera berkibar ditiup lembut;
Wajah anak muda kembali girang,
Hari merdeka bakal disambut.
Berbangga kita anak Malaysia,
Negara aman damai selalu;
Kaum Melayu, Cina dan India,
Hidup sejahtera kekal bersatu.
Setiap tahun tidak kualpa,
Kibar benderar merata-rata;
Jasa tokoh jangan dilupa,
Sama membina negara tercinta.
Tiga puluh satu Ogos tarikh keramat,
Bersama kita menyambut merdeka;
Bersatu berazam penuh semangat,
Mari pertahankan kemerdekaan kita.
Andy Chong Rui Xuan
Elektif Teras Bahasa Melayu (MT2)
43
ALAM SEKITAR
Pokok setawar banyak berbunga,
Bunganya cantik nampak seragam;
Alam sekitar perlu dijaga,
Supaya hidup aman tenteram.
Bersiar-siar di tepi kali,
Kenangan lalu masih tersemat;
Alam sekitar indah sekali,
Generasi muda dapat nikmat.
Pergi berenang di Pulau Tioman,
Bersinar batu rupanya marmar;
Menjaga laut jadi amalan,
Lautan indah tiada tercemar.
Celine Cheng Wen Hui
Elektif Teras Bahasa Melayu
44
SEJARAH MALAYSIA
Satu alaf dahulu
tanah ini lompang
tiada gedung dan mobil
hanya burung menyanyi.
Satu ketika dahulu
tanah ini pernah resah
banyak nyawa terkorban
demi mempertahan tanah ini.
Enam puluh tiga tahun dahulu
tanah ini riang
bunyi “merdeka” meruak
air mata mengalir
bukan muram tetapi terharu
nyawa terkorban tidak dilupa.
Kini
tanah ini bahagia
tiada perang, tiada bencana
rakyat bersatu padu
tanah ini Malaysia
negaraku yang tercinta.
Choo Wei Jian
Elektif Bahasa Melayu
45
RAJIN BELAJAR
Katak melompat tanpa jemu,
Ular cepat untuk mengejar;
Jika mahu tambah ilmu,
Mesti kita rajin belajar.
Pak Ali membuka kedai,
Petang hari langit mendung;
Rajin belajar barulah pandai,
Terus berusaha jangan lundung.
Jus tembikai dalam gelas,
Makan nasi dengan ikan;
Kita perlu belajar dengan ikhlas,
Tentu Tuhan akan merahmatkan.
Mengelilingi kota dengan beca,
Biarpun berpanjangan tidak jemu;
Kita perlulah banyak membaca,
Kerana membaca petua ilmu.
Sesiapa minat dengan panda,
Panda masuk ke dalam gua;
Siapa malas sewaktu muda,
Akan menyesal apabila tua.
Air kanji dihirup kuda,
Barang-barangan telah dibawa;
Rajin belajar sewaktu muda,
Akan bahagia sampai ke tua.
Ho Jia Min MT3
Elektif Teras Bahasa Melayu
46
KEMERDEKAAN
Negaraku merdeka
masa yang lalu diingat sentiasa
susah derita pejuang bangsa
menentang penjajah tak kita masa.
Masih kuingat ketika dulu
Bendera berkibar di tangan tunku
Laungan keramat menusuk di kalbu
itulah bukti merdeka negaraku.
Tidak sedikit pejuang yang gugur
berani mereka di medan tempur
rela berkorban bakti nan luhur
tersebut namamu terkenal masyhur.
Hor Wen Jin MT3
PISMP Jun 2020
47
HIDUP SEJAHTERA
Ada berlian ada batu,
Ada malam ada siang;
Ibu engkaulah ratu hatiku,
Jasamu pasti akan aku kenang.
Ada intan ada mutiara,
Ada nilam ada delima;
Tidak dilupa sanak saudara,
Bersama-sama hidup bahagia.
Masak gulai dalam kawah,
Boleh dimakan tak kira masa;
Bersama-sama jalinkan ukhwah,
Agar hidup aman sentosa.
Lee Ka Kei
Elektif Bahasa Melayu
48
PAHLAWAN NEGARAKU
Mereka digelar pahlawan negaraku
menggadai nyawa, masa dan tenaga
berdiri tegak di sempadan merah
wabak yang meragut nyawa dihadapi
tidak gentar mendepani
menitikberatkan setiap insan
mengabaikan kepentingan diri
semua untuk satu tujuan dan matlamat
nyawa rakyat negaraku dipelihara.
Mereka digelar pahlawan negaraku
menghadapi kerenah setiap insan
tidak mengenal erti penat, perit dan pedih
cabaran dan dugaan ditempuhi
menabur bakti untuk negara berkorban untuk negara.
Mereka digelar pahlawan negaraku
bukan demi diri
bukan demi sebarang manfaat
membekal makanan dan keperluan hidup
kebajikan diri diketepikan
kebajikan insan lain diutamakan
kebuluran dan kesihatan dibimbangi
badan sihat penularan wabak ditamatkan
hati suci, minda dipelihara
mereka akan diingati dan dihargai sumbangan.
Mereka digelar pahlawan negaraku
di bawah pancaran matahari yang panas terik
hujan melanda tidak memilih masa
bukan halangan sebagai payung melindungi rakyat negaraku
menghindari pandemik seluruh dunia
meskipun berisiko tinggi
tanggungjawab tetap ditunaikan demi negaraku.
49
Tidak pernah melontarkan rungutan
mengatasi rintangan satu demi satu
sehari demi sehari rakyat sehati sejiwa
harapan demi harapan
kesemuanya adalah memadai
tujuan dan matlamatnya hanya satu
demi mengekalkan keamanan dan kemakmuran negara
mereka adalah pahlawan negaraku.
Ling Zhen Chao
PISMP Ambilan Jun 2020
50
KERAJINAN
Matahari terbit waktu siang,
MataharI terbenam waktu senja;
Belajar rajin sampai ke petang,
Pasti menjadi insan berjaya.
Orang Rawa orang Banjar,
Memberi makan anak angsa;
Walaupun terasa letih belajar,
Jangan sekali berputus asa.
Tangan kanan berasa lenguh,
Penat mengait tali ampaian;
Teruskan belajar bersungguh-sungguh,
Kerana usaha tangga kejayaan.
Tan Ke Yen
Ambilan Jun 2020
51
KITALAH REMAJA!
Kitalah remaja!
jadilah pemain positif dalam kehidupan diri
kawalkan stereng kehidupan kita
berusahalah mengakses ilmu pengetahuan
berusahalah menikmati pengalaman kehidupan diri
inilah yang harus kita buat.
Kitalah remaja!
pertahankan maruah diri
buatlah sesuatu yang bermoral
hindarkan diri daripada perkara yang buruk
ingatkan diri bahawa pentingnya memiliki jati diri yang
kukuh
itulah gambaran kehidupan remaja yang berakhlak mulia.
Kitalah remaja!
yang bebas melakukan perkara yang diminati
yang menentukan masa depan diri sendiri
yang berhak memiliki kehidupan yang diingini.
Kitalah remaja!
beranilah berhujah demi hak tersendiri!
penentu nasib kehidupan diri!
Tang Xin Yee MT3
Elektif Bahasa Melayu
52
MENCINTAILAH
Mencintailah
anak yang telah dikurniakan oleh Tuhan
jadilah teladan yang baik di hadapan anak.
Mencintailah
diri sendiri yang telah dididik oleh ibu bapa
elakkan perbuatan yang boleh mencederakan diri
sentiasa menjaga maruah diri.
Mencintailah
rakan-rakan yang di sekeliling
berkenalan dengan rakan yang baik
berusaha bersungguh bersama-sama.
Mencintailah
ibu bapa yang telah membesarkan kita
memberikan kasih sayang yang sepenuhnya
luangkan masa lapang bersama-sama tatkala meningkat usia
hargai masa dan kenalan
jangan biarkan mereka
nanti akan sesal
sesal kemudian tidak berguna.
Teo Lee Yin MT1
Elektif Bahasa Melayu
53
KARYA PELAJAR ELEKTIF TERAS
BAHASA MELAYU PENDIDIKAN RENDAH
AMBILAN JUN 2019
CINTA
Kala cinta diusik lara
bergetar jiwa seantara dunia
sandiwara bernada tiada nota
tangisan mengalir bak mutiara.
Cinta
jika benar tercipta
jangan dihilangkan pudar sahaja
ranting jiwa mekar mewarnai samesta
besar syukur engkau tercipta
moga senantiasa dipagari ritma
terima kasih dunia seisinya.
Annisaa binti Asri
PISMP Jun 2019
54
UJIAN
Ya tuhanku
dalam termenung mengenangkan ujian
aku sering menyebut namaMu
ujian yang datang banyak mengajarku.
Ya tuhanku
dengarkan doa-doaku
dari hati yang pasrah berserah kepadaMu
kuatkanlah kami menjalani kehidupan ini
dan percaya hikmahnya di sebalik ujian.
Najihah binti Khairudin
PISMP Jun 2019
18 Jun 2021
55
AYAH
Tubuhmu kau korbankan
keringatmu kau curahkan
demi mengih senyuman kami
kau tidak pernah mengeluh,
apa lagi mengalah,
hanya senyuman menghiasi wajah.
Kehadiranmu menyenangkan,
kehilanganmu memeritkan,
pengorbananmu kini dihargai,
suaramu kini dirindui,
namun semua itu percuma,
kerna kau tiada lagi di sisi.
Najwa Asyiqin binti Mohd Azaman
PISMP JUN 2019
18 Jun 2021
56
JA-305
'Tick' jalur garis hidup baharu
peneman gelombang kuning di hujung sudut
pili emas titik permulaan
pengembaraan insan dinihari
Mutiara suci pelengkap tubuh enam
gugurun hitam buat sang pendosa
13 lakuan dititipkan doa
diangkat darjat di atas sana
Alunan lunak mengetuk tangkai jiwa
menjadi salinan garis hidup tebing sini
meniup nostalgia roh yang lenyap
berkat kurniaan Barat konco
Tuah garis hidup yang dilakar
langsung tegak jalur kompas
penantian garis akhir gerbang indah
moga bersua bersama nanti.
Nur Aisyah binti Mohamad Nor
PISMP JUN 2019
19 Jun 2021
57
TERPERANGKAP
Citra purba
dakapan cinta memenuhi jiwa
harapan melangit menyentuh Antariksa
rukun tercipta tatkala sengketa
meniti dunia fana
penuh keyakinan di dada.
Hakikat kini
sunyi menghantui sanubari
sangsi menyelinap berkali
gusar memerangi diri
merenung angka melambung tinggi
"Aduh, terperangkap lagi ..."
Dunia seakan terhenti
meraung merintih menangisi
bila dunia kan berputar lagi?
Nur Hanna Ayuni binti Hassan Azhari
PISMP Jun 2019
18 Jun 2021
58
KARYA PELAJAR ELEKTIF TERAS
BAHASA MELAYU PENDIDIKAN RENDAH
AMBILAN JUN 2018
MALAM INI
Angin malam menampar pipi
membuka mata dari mimpi lena
gundah meratapi kisah semalam
mengharapkan peluang kedua sebagai isyarat
walau sinar cuma secebis
Naluri yang kian membuak
buat Si Teratai indah di sana
kelam tersirat seribu makna
klausa indah bersulam duka
menjadi kalam penutup kisah durja
dengan harapan di sudut hati
akan sebuah pelangi yang indah.
Malam berganti siang
pembuka tirai lembaran kamar
serta pelangi menghiasi birai jendela
walau apa aral menduga
dengan bara hati membakar jiwa.
langkah kaki kulempar
untuk menuntaskan
satu kisah yang pasti.
Mohd Amirul Asyraf
59
KELIKIR TERMASYHUR
Kelikir ini ibarat pantai
dipagar duri menyulam bicara
mengundang redup membungkam hiba
di sini terkelu tanpa kuasa
Jantung maharaja direntap Sang Naga
masih kelikir tempelak saka
disampuk lalang merunuti bayu
hanya padaNya dimohon dirayu
Kelikir megah dibelai Sang Naga
dibaham garuda tumbang jasadnya
namun tersaki robekan peritnya
mencalit minyak di lembaran sutera
Meski di sini tak lagi hiba
dipangkas lalang disemai bidara
namun parut terpampang jua
kerana kelikir ibarat ibunya.
Nur Amira Mohd Rashid
60
KELIP
(Selain menjadi mekanisme pertahanan daripada musuh,
kelip-kelip turut berkelip bagi menarik pasangan untuk
mengawan).
Jentikan diabai berkepak bahagia
gemerlip berkedip tak kuncup jua
jejak rasa sinaran berdua
melakar bayang meski tak sedia.
Dakapan hangat selusuri cahaya
asbab arif ditelan usia
diterangi gemerlip kasih menyapa
disemat bisa penawar asmara.
Bisik dingin mencakar lena.
pedih terkubur tidak bersua
bersilih suram menetap bahagia
carik robek berjahit setia.
Coret merisik duka
takdir membungkam lara
semai melakar mania
kerlip kasih potret memoria.
Nur Amirah Mohd Rashid
61
MEKAR PENGGILAP KASUT
Lemas disesak gumpalan bicara
dihempap ke tanah meskipun permata
belayar siaga tanpa nakhoda
langkah berjinjit utama waspada
Diasah tipis diinjak sudahnya
diretus rabik inti berguna
dikikis dihirau perit empunya
dipinggir sisa beginikah hina
Tentu nasib jelas kuasaNya
semut bertukar menjadi Sang Singa
tak lagi tanah layak disua
bersemayam gah di puncak takhta
Sederet ratu tak kecundang nama
tertunduk malu Tanjung Cempaka
luhur disanjung umpama dewa
mekar mengharum seiring nusa
Nur Amirah Mohd Rashid
62
DIALOG AKU DAN SEMILIR
Semilir dingin di tepian lata
tak henti membelai sekujur tubuh menua
sayup-sayup suara semilir menggoda
cukup mendodoi benak yang kusut
deruan air bergeser kerikil berlumut
menghambat terus igauan kota dahsyat.
‘Setenang-tenang alir sungai,
di dasarnya juga sejuta bangkai.’
tak semena dua kerat berangkai
menyapa cuping kaku terkulai.
Eh, terbuntang tak semenggah pula
kiduman sinis, ku balas cuma
oh begitu wajahnya
‘wajah siapa gamaknya?’
wajah tanah tumpah darahku.
‘Mengapa sebegitu kata?’
mungkin tenang dek tiada ritma peluru memburu jiwa
lalu bangkai itu siapa?’
Si Pemusnah bangsa
yang sanggup gugurkan amanah dek habuan buana
yang terlalu gilakan najis dadah dan memilih fana.
‘Merdeka bukan telah kita gapai?’
hei, dengarkan!
merdeka kita
bukan hanya bebas daripada rantai penjajah kejam
dan bukan hanya bebas daripada dendangan senjata.
63
Tetapi juga
dengan sirnanya perosak bangsa
dengan terhijabnya budaya anasir liar
yang menggoyahkan maruah negara.
‘Jadi, apa peranmu?’
mekarkan semangat patriotik
biar tak tergadai bumi Malaysia
mekarkan semangat perpaduan
biar tak terjejas harmoni negara
dek utuhnya sesawang sayang dan prihatin antara kita.
Nur Masturina Mohamed Nor
64
HAKIKAT DUNIA
Sang Mentari menimbulkan diri,
bergema takbir di pagi yang hening,
sahutan kokokan memecah sunyi,
gebar ditarik menutupi diri,
pandangan kelam dihanyut mimpi.
Namun segalanya menjadi nostalgia,
kenyataan yang sukar untuk percaya.
Hidup kini bukanlah mudah,
rohani dan jasmani jangan mengalah,
demi kelangsungan tanpa bermewah,
terus berjuang walaupun lemah.
Nurul Syafiqah Ishak
65
KARYA PELAJAR ELEKTIF TERAS
BAHASA MELAYU PENDIDIKAN RENDAH
AMBILAN JUN 2017
GURUKU
Kulihat secangkir cahaya jauh di sana
yang menelusuri dengan tabah dan sabar
beli masa yang bernilai
demi kecemerlanganku setiap masa
Wahai guruku
engkaulah kandil yang menerangi kami
betah membakar diri demi kejayaan kami
berkorban apa saja demi anak bangsanya
Oh guruku
banyaknya ilmu yang kaucurahkan
beriku kenyataan pada masa depan
waktu berlalu dan engkau telah pergi
ku mengharap kau masih di sisiku menemani
Mohd Fahmi Talib
66
LEMBAH UJIAN
Ada orang hilang kerja
ada yang masih pejamkan mata
kala khalayak dilanda derita
tidak kurang yang porak peranda.
Sungguh, ujian itu menyakitkan
sungguh, ujian itu buat insan tak keruan
sungguh, ujian itu bisa mengalirkan air mata.
Walau apa pun ujian,
berbekalkan keimanan dan ketakwaan
kita mesti teruskan melangkah
kita mesti teruskan melakar sejarah,
kita mesti terus untuk sentiasa tabah.
Kerna ujian bukan tanda kebencian
tapi ujian adalah lambang cinta Tuhan
kepada insan.
Nor Aqilah Razni
67
BAHASA BANGSA KITA
Bahasa bangsa kita,
madah bicara
setiap ceruk nusantara
dari Kedah tua yang mengagungkan
Merong Mahawangsa
atau Melaka yang mahsyur seisi kota
hingga aku berdiri di bumi Malaysia
bahasa inilah yang bergema
dalam jiwa bangsa kita.
Dulu
bahasa bangsa kita dijunjung umpama kalimah suci
aksaranya dipahat.
Mensyairkan martabatnya
dipuja penghuni bangsa kita.
Kini
episod baru telah bermula,
bahasa kita dimamah,
oleh bangsa kita sendiri
tidak sebati dengan lidah, kononnya
hanya menjadi jeritan bisu
di jiwa.
Kita mengagungkan bahasa penjajah,
menjulang darjat mereka
tapi
meranapkan bahasa bangsa sendiri.
68
Bangsaku,
matikan ingauanmu,
julang epilog bahasa kita,
letakkan kembali darjatnya,
setinggi langit biru yang terbentang luas.
Kerana,
bahasa inilah
yang mengikat bangsa kita bersama,
bangsa Malaysia.
Nor Hasyimah Md Isa
69
TUHAN PUNYAI RENCANA
Tuhan punyai rencana
Untuk aku, kau dan kita
Meski hajat dipinta tertangguh
Tapi jangan doa yang tertangguh
Mungkin
Tuhan punyai rencana yang lebih baik
Untuk mengaminkan doa.
Lihatlah layar merentas samudera
Meskipun lewat ditiup angin bayu
Kadang rebah di pertengahan pentas laut
Tapi tetap tiba dengan kemanisan di penghujung jalan
ranjaunya.
Nor Hasyimah Md Isa
70
JIKA ALAM DAPAT BERSUARA
Hamparan pepohon hijau meneduhkan buana ini
cakraya bernyanyi akustik merdu
memainkan irama instrumentalia
menjadi halwa telinga yang lalu
tapi kini
semua itu seperti metafora
yang tertulis dalam cerita fantasi sahaja.
Irama lagu tanpa seni kata itu telah diam menyepi
yang ku dengar hanya suara alam
berbisik sendu meluah resah
tatkala melihat belantara dirobek
akar banir menyembah bumi
pucuk hijau tidak lagi mendongak ke langit
semuanya bejat
dek tangan oknum-oknum rakus penuh haloba
demi sebuah kemajuan
buat manusia.
Ku dengar suara alam
berbisik syahdu menahan lelah
dek kepulan karbon dioksida
yang merayap seisi alam
segenap udara dinodainya
demi bukti kuasa
sekumpulan manusia
kudengar suara alam
alam diam esakan pilu terungkai hiba
Tatkala menyaksi bencana dunia silih berganti ibarat tetamu
yang dipelawa
merubah landskap alam secara tiba-tiba
menjadi lautan bah
ataupun
padang pasir sisa runtuhan yang digubah.
71
Ini kerana
tercariknya ozon di langit terbuka
suhu dunia mencanak setiap ketika
demi sebuah kemodenan
yang diolah manusia.
Jika alam dapat bersuara
kekecewaan sudah diluah
dengan sikap manusia
yang entah sampai bila akan bertingkah
merosakkan isi perut khazanahnya
celiklah mata hati dan akal
ubatlah kembali luka-luka alam ini
agar kelestarian dapat dikecapi
menikmati keindahan milik kita.
Nor Hasyimah Md Isa
72
MUNAJAT
Secela mana seseorang di alis matamu
seteruk mana tingkahnya yang menyakitkan hati
jangan pernah menghukum penaka seperti Tuhan.
Pentas hidup ini umpama cerminan diri
pabila satu telunjuk menunding orang
empat jemari berpatah mengena diri.
Jangan kita jadi sang penghukum yang tak layak
kerna esok lusa mungkin kita pula yang dikeji
munajatlah menadah tangan memanjat doa
teruntuk hati yang semakin alpa
dan
teruntuk si dia yang semakin jauh daripada-Nya.
kerna doa, wakil hati yang dilangitkan kepada yang Esa.
Bersama-samalah
kembali ke pokok akar
bertuhankan Maha Pencipta.
Nor Hasyimah Md Isa
73
FASA KEHIDUPAN SI AYAM
Anak ayam belajar berkokok,
meniru suara Si Ayam jantan;
membesar ia di bawah pokok,
menjadi ayam matang dan tampan.
Tumbuhnya padi tepian sena,
dibawa Si Sasa ke Kota Semarang;
sebelum menjadi ayam sempurna,
awal fasa dilindung cengkerang.
Pohon semalu dipijak orang,
tumbuhnya subur tepian batas;
setelah berlalu fasa cengkerang,
kini tibalah masa menetas.
Tuju ke Kedah mencari bayam.
ditegur puteri bersama nyonya;
Membesar sudah si anak ayam,
Mewarisi ciri dari ibunya.
Tumbuhnya melur tepian bayam,
dipijak rusa milik Si Sasa;
Dari telur menjadi ayam,
inilah kuasa yang maha Esa.
Nur Fathirah Aina binti Ideris
74