PENGGUNAAN iPAD UNTUK MENINGKATKAN PEMBELAJARAN DAN PENGLIBATAN
MURID DALAM BILIK DARJAH
Ain Najihah binti Azhary
Ana Sobirah binti Muhammad Fazil
Nur Faizah binti Mukhtar
Nurul Nabilah binti Asrunizam
Nurul Syazwani binti Anuar
Institut Pendidikan Guru Kampus Pendidikan Islam, Bangi, Selangor
1.0 Pengenalan
Teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) merupakan salah satu daripada pedagogi abad
ke-21 yang telah diperkenalkan oleh Kementerian Pendidikan Malaysia.Tujuannya adalah untuk
memantapkan sesi pengajaran dan pembelajaran di kelas supaya penerimaan ilmu lebih
berkesan. Menurut Diemer et. al (2016), mata pelajaran di sekolah seperti Matematik boleh
dilaksanakan dengan menggalakkan penggunaan ICT di mana murid akan terlibat dalam
pembelajaran Matematik secara aktif, meningkatkan interaksi, serta menggalakkan pembelajaran
kolaboratif. Terdapat sebuah sekolah yang menggunakan sistem pendidikan berdasarkan ICT
iaitu Sekolah Bestari. Salah satu penggunaan ICT pada masa kini adalah penggunaan iPad.
Penggunaan iPad sangat digalakkan kepada murid terutamanya pada era digital ini kerana
penggunaan iPad dapat memudahkan urusan murid seperti murid dapat memperoleh maklumat
dengan pantas, mempunyai aplikasi yang boleh membantu dalam pelajaran, kaedah
pembelajaran lebih menarik dan sebagainya.
2.0 Sebab-sebab Penggunaan iPad dalam Pembelajaran Murid
Penggunaan iPad dalam kalangan murid semakin mendapat perhatian daripada pelbagai
pihak. Hal ini kerana, murid menggunakan iPad sebagai alat untuk melancarkan proses
pembelajaran yang dijalankan sama ada di sekolah mahupun rumah. Pelbagai aplikasi yang
canggih dan terbaharu seperti GarageBand yang dapat memudahkan murid untuk mengikuti
mata pelajaran pendidikan muzik di sekolah. GarageBand menyediakan pelbagai alat muzik yang
membantu murid dalam mempelajari cara menggunakan alat muzik seperti gitar, piano dan
gendang dengan lebih mudah. Cara pembelajaran yang diketengahkan sebegini dapat
membantu murid belajar dengan lebih efisien dan berkesan. Perasaan gembira dan teruja dalam
kalangan murid juga akan membuatkan mereka lebih minat untuk belajar menggunakan iPad.
Kebanyakan institusi pendidikan di Malaysia mula menggunakan iPad sebagai alat
pengajaran dan pembelajaran yang memudahkan murid mengikuti sesi PdP dengan lebih
menarik. Guru merupakan insan yang bertanggungjawab untuk merancang dan mengatur
strategi untuk mengintegrasikan penggunaan iPad kepada murid. Intihannya, guru perlu bijak dan
arif dalam melayari sistem yang digunakan oleh iPad supaya guru dapat mengajar murid dengan
lebih mudah. Pihak atasan seperti Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) sewajarnya
menyediakan kursus dan bengkel yang akan mendedahkan cara penggunaan iPad yang tepat.
Sistem pendidikan di Malaysia juga berkembang seiring dengan perkembangan teknologi
dan sains. Perkara ini dibuktikan dengan fail yang diperlukan sama ada oleh guru atau murid
dapat disimpan dan dijaga dengan baik oleh sistem iPad terkini. Fail berbentuk pelajaran akan
disimpan dalam sistem tersebut untuk digunakan kembali oleh murid. Murid yang tidak dapat
hadir ke sesi pembelajaran juga dapat mengikuti pembelajaran tersebut walaupun bukan pada
waktu yang dijalankan. Mereka tidak akan terlepas sebarang info mengenai pelajaran kerana
guru telah menyimpan rakaman kelas ataupun bahan pembelajaran ke dalam sistem iPad.
Konklusinya, dapat dilihat bahawa penggunaan iPad dalam kalangan murid adalah wajar dan
penting untuk membantu mereka menjalani sesi PdP dengan berkesan dan menarik.
3.0 Kebaikan Penggunaan iPad dalam Pembelajaran Murid
Peranti teknologi komunikasi seperti iPad yang digunakan dalam pendidikan
memberi peranan yang bermakna dalam pengajaran dan pembelajaran murid di sekolah.
Keberkesanan iPad merupakan satu medium yang efektif dalam menimba ilmu pengetahuan
kepada murid. Hussin et al., (2019) menjelaskan bahawa iPad dikatakan sebagai sebuah peranti
yang memudahkan pengajaran dan pembelajaran murid dengan cara menarik minat mereka
untuk menumpukan perhatian kepada pembelajaran. Seterusnya, penggunaan iPad juga dapat
memudahkan pembelajaran itu sendiri dalam kalangan murid seperti pencarian maklumat yang
berkesan, menjadikan pembelajaran lebih interaktif dan efektif serta memudahkan sesi
pengajaran guru dengan penggunaan iPad. Murid juga menganggap bahawa iPad menjadi alat
pembelajaran yang efektif yang dapat membantu mereka dalam setiap subjek di sekolah. Cara
guru mengetengahkan pembelajaran mereka melalui penggunaan iPad juga membolehkan murid
lebih berminat untuk terus belajar. Norlizawaty Baharin (2021), menyatakan bahawa murid yang
berada dalam bilik darjah yang menggunakan iPad menunjukkan pencapaian yang lebih baik
berbanding bilik darjah yang hanya menggunakan buku teks tradisional. Hal ini kerana,
penggunaan iPad dapat merangsang pembelajaran koperatif, di mana murid menjadi tumpuan
utama dalam sesuatu proses pembelajaran ke arah pembinaan idea serta merancang kandungan
pembelajaran kendiri dengan penggunaan iPad.
Selain itu, penggunaan iPad juga dapat memberikan impak yang positif kepada
pembelajaran murid. Hal ini kerana, penggunaan iPad dapat memudahkan murid untuk mencari
sesuatu maklumat yang tepat dan berkesan. Di samping berfungsi sebagai alat komunikasi dan
kolaborasi, iPad juga merupakan alat untuk membina bahan pembelajaran murid, serta alat
persembahan dan pengajaran guru. Oleh itu, iPad bukan sahaja mampu menarik minat murid
untuk mempelajari ilmu di dalam kelas tetapi turut memudahkan urusan guru dalam mencurahkan
ilmu kepada murid. Dengan penggunaan iPad juga, ia dapat mengajar murid sekolah agar lebih
positif dalam bertindak balas dengan teknologi. Mereka akan menjadi lebih mahir dalam
menguruskan masa pembelajaran dan penglibatan dalam setiap mata pelajaran dengan lebih
efektif. Jadi, guru hanya menjadi fasilitator yang memudahkan proses pembelajaran dan
pengajaran berlaku. Oleh itu, bukan sahaja murid, malah guru juga menjadi lebih kreatif dalam
membina kandungan pembelajaran kepada murid dengan penggunaan iPad. Kebanyakan
pelajar juga gemar untuk belajar menggunakan iPad kerana cara ini membuatkan mereka lebih
aktif dalam bilik darjah dan berasa seronok dalam pembelajaran.
4.0 Kesan Penggunaan iPad Dalam Pengajaran dan Pembelajaran
Penggunaan iPad dalam pembelajaran pada masa kini memberi pengaruh yang besar
kepada murid dan juga guru. Kebanyakan guru dapat memanfaatkan penggunaan iPad bertujuan
mencapai objektif pembelajaran. Norlizawaty Baharin (2021), mengatakan bahawa guru dapat
merancang aktiviti pembelajaran pada permulaan, pertengahan dan akhir bilik darjah
menggunakan aplikasi ‘iTunes u’ dan dibantu dengan aplikasi lain. Guru dapat mengakses
internet bagi mencari bahan atau rujukan dan diberikan kepada murid selain hanya belajar
menggunakan buku teks. Contoh bahan internet yang dapat dikongsikan adalah slideshare,
artikel dan akhbar dalam talian, Youtube dan sebagainya yang dapat menarik perhatian murid
dalam pembelajaran dan membantu mereka aktif dalam bilik darjah. Guru dapat memberi nota
atau arahan kepada murid untuk mengakses aplikasi tertentu menggunakan iPad sepanjang sesi
pengajaran dan pembelajaran. Di samping itu, guru juga boleh menggunakan aplikasi ‘Quizzes’,
‘Kahoot’ dan ‘Plickers’ sebagai aktiviti tambahan setelah tamat sesuatu mata pelajaran tersebut.
Pembelajaran yang menarik seperti kuiz dapat meningkatkan daya pemikiran murid serta
menggalakkan pemikiran yang kritis dan kreatif dalam menyelesaikan suatu masalah. Oleh itu,
guru perlu memanfaatkan penggunaan iPad untuk memberi pengajaran yang berkesan kepada
murid.
Selain itu, penggunaan iPad dalam pembelajaran dapat memberi kesan kepada murid
dalam meningkatkan pembelajaran. Murid mengetahui bahawa terdapat banyak aplikasi dan
bahan dalam talian yang dapat diakses dan digunakan semasa pembelajaran. Mango (2015),
menyatakan bahawa situasi ini menunjukkan murid percaya bahawa iPad dapat mendorong dan
membantu mereka dalam pembelajaran. Murid juga dapat meningkatkan kemahiran
menggunakan teknologi di samping menuntut ilmu di sekolah dengan menggunakan kemudahan
iPad. Mereka dapat melaksanakan pelbagai aktiviti, tugasan dan projek yang berkaitan
pembelajaran dengan menggunakan pelbagai bahan atau aplikasi yang menarik dalam internet
seperti penggunaan ‘Canva’ atau ‘Prezi’ dan pencarian maklumat tambahan di laman sesawang
yang sahih. Penggunaan iPad ini memberi keyakinan dan menarik perhatian mereka untuk terus
fokus dalam sesi pengajaran dan pembelajaran (PdP) serta membantu mereka menjadi seorang
yang lebih kreatif dalam menyelesaikan tugasan atau projek.
5.0 Penutup
Sebagai kesimpulan, jelaslah bahawa murid bukan sahaja seronok dengan penggunaan
iPad malah mereka juga percaya bahawa iPad telah memberikan kesan positif terhadap
pembelajaran di bilik darjah. Selain itu, dapatlah dirumuskan juga bahawa iPad merupakan
peranti yang sangat efektif dalam sesi pengajaran dan pembelajaran murid di dalam bilik darjah.
Hal ini kerana iPad dapat dijadikan sebagai medium perantara antara guru dan murid dalam
menyampaikan ilmu, tugasan dan maklumat. Menurut Hanisah Kamaruzaman (2017), murid di
MRSM Taiping telah menggunakan iPad untuk menyiapkan tugasan dan latihan kerja rumah yang
dihantar melalui aplikasi ‘iTunes U’. Melalui aplikasi tersebut, murid dapat mengikuti setiap
perkembangan yang dikemas kini oleh guru berkenaan sesuatu topik yang dipelajari. Tidak
dilupakan juga bahawa semua pihak haruslah memainkan peranan dalam memperkasa
penggunaan iPad dalam bilik darjah. Misalnya, pihak kerajaan berperanan dalam
memperuntukkan dana khusus bagi setiap sekolah untuk menyediakan peranti iPad bagi
kegunaan dalam sesi pengajaran dan pembelajaran. Guru juga berperanan dalam membimbing
serta memberi tunjuk ajar kepada murid untuk menggunakan kaedah yang tepat dan berkesan
bagi mencari maklumat yang dikehendaki. Akhir kata, perkembangan teknologi bukanlah satu
halangan dalam proses penyampaian ilmu barakah kepada murid sekolah malah ianya menjadi
sebuah perintis dalam mencapai hasrat pembelajaran pada era komunikasi ini.
RUJUKAN
Baharin, N. (2021). Penggunaan iPad Untuk Meningkatkan Pembelajaran Dan Penglibatan Murid Dalam
Bilik Darjah. Pdfcoffee
https://pdfcoffee.com/penggunaan-ipad-untuk-meningkatkan-pdf-free.html
Diemer, T. T., Fernandez, E., & Streepey, J. W. (2012). Student Perceptions of Classroom Engagement
and Learning using iPads. Journal of Teaching and Learning with Technology, 1(2), 13–25.
https://doi.org/10.1017/CBO9781107415324.004
Hussin, R., Rahman, S. H. A., Yusoff, S. H., Sabran, R., & Hassan, F. (2019). Barakah Ilmu Melalui
Penggunaan Teknologi Komunikasi, Ipad dan Keberkesanannya. ‘Abqari Journal, 20(2), 131-144.
Mango, O. (2015). iPad Use and Student Technology in The Classroom. Turkish Online
Journal of Educational Technology, 14(1), 53-57.
Nor Hanisah Kamaruzaman. (2017, Mac 6). Semuanya Guna iPad. hmetro.
https://api.hmetro.com.my/node/211189