The words you are searching are inside this book. To get more targeted content, please make full-text search by clicking here.
Discover the best professional documents and content resources in AnyFlip Document Base.
Search
Published by 389-9-darshiniy, 2021-08-10 04:26:43

RECIPBACA-KEPERIHALAN

RECIPBACA-KEPERIHALAN

Pengalaman Memelihara Haiwan Kesayangan di Rumah

Antara perkara menarik yang berlaku dalam hidup saya ialah
pengalaman menjaga haiwan peliharaan saya, Snowy. Snowy
ialah seekor kucing yang comel. Bulunya panjang, gebu dan putih
seperti salji. Saya menjumpai Snowy di hadapan rumah saya
ketika Snowy masih kecil. Saya berasa simpati akan nasib Snowy
yang dibuang dan hilang tempat bergantung ibarat layang-layang
terputus tali. Setelah mendapat kebenaran ibu bapa, saya mula
menjaga Snowy sebagai haiwan peliharaan saya. Semenjak kecil
lagi, Snowy merupakan seekor anak kucing yang comel.
Telatahnya sering mencuit hati saya dan keluarga. Saya menjaga
Snowy ibarat menatang minyak yang penuh.

Pengalaman menjaga Snowy menyemai rasa tanggungjawab
dalam diri saya. Saya perlu memberinya makanan yang
berkhasiat tiga kali sehari. Di samping itu, saya perlu memastikan
sangkar dan tempat tidurnya bersih. Saya turut memandikan
Snowy dua minggu sekali dan sekali-sekala saya menyikat bulu
Snowy yang panjang itu.

Dengan memelihara Snowy, hidup saya telah terisi. Saya selalu
bermain dengan Snowy pada masa lapang. Apabila saya ada
masalah, saya selalu menceritakannya kepada Snowy dan Snowy
sentiasa menjadi pendengar yang setia dan baik. Pernah suatu
hari, ibu dan bapa saya balik kerja lewat. Saya tinggal di rumah
bersama Snowy. Dengan tidak semena-mena, bekalan elektrik
terputus. Saya berasa takut namun ketakutan itu hilang sebaik
sahaja mendengar Snowy mengiau. Saya tahu saya tidak
keseorangan.

Sudah dua tahun saya menjaga Snowy. Snowy ibarat sebahagian
daripada ahli keluarga saya. Jika dulu saya susah hendak
menguruskan Snowy namun alah bisa tegal biasa.

Peristiwa yang Tidak Dapat Dilupakan

Hari ini sekali lagi aku berdiri di hadapan kelas . Aku masih lagi
gagal menghafal sifir tujuh dan sifir lapan sepertimana rakan-
rakanku yang lain. Cikgu Rahman memandangku dengan muka
yang merah padam tanda marah.

Tiba-tiba Cikgu Rahman menyuruh aku menadah tangan. Cikgu
Rahman merotan tapak tanganku sebanyak dua kali. Merah
mukaku menahan kesakitan. Bertambah sedih hatiku apabila ada
beberapa orang rakan kelasku bertepuk tangan. Mereka mengejek
aku.

Sebelum aku pulang ke tempat dudukku, sekali lagi aku
diingatkan supaya menghafal kedua-dua sifir tersebut. Jika aku
masih gagal menghafalnya, aku akan dirotan lagi. Pada hari itu,
sebaik sahaja pulang dari dari sekolah aku terus masuk ke bilikku
sambil menangis. Ibu yang melihat aku menangis terus mendekati
dan bertanya mengapa aku menangis.

Aku menceritakan kepada ibu tentang peristiwa yang berlaku di
sekolah tadi. Aku menunjukkan kesan tapak tanganku yang masih
berbekas merah akibat dirotan. Ibu tidak menyalahkan Cikgu
Rahman sebaliknya menyuruh aku mengubah sikapku dan
berusaha menghafal sifir tersebut. Pada petang itu, ibu membantu
aku menghafal kedua-dua sifir tersebut.

Aku menghafal dengan bersungguh sungguh. Akhirnya aku
berjaya. Dua hari kemudian, sekali lagi aku dipanggil oleh Cikgu
Rahman ke hadapan kelas untuk menghafal sifir tujuh dan lapan.
Aku telah berjaya menghafal dengan lancar. Cikgu Rahman memuji
dan menghadiahkan aku RM5.00.

Hari itu adalah yang paling menggembirakan aku. Walaupun
peristiwa itu telah lama berlaku, namun masih segar dalam
ingatanku sehingga ke hari ini. Dengan menghafal sifir tersebut,
pencapain aku dalam mata pelajaran Matematik semakin baik dan
sentiasa dipuji oleh Cikgu Rahman.

Sambutan Hari Guru di Sekolah

Pada tanggal 16 Mei setiap tahun adalah tarikh penting buat
golongan pendidik. Sambutan Hari Guru diraikan di setiap
sekolah. Pada hari ini, guru-guru tidak mengajar tetapi diraikan
dengan meriah.

Acara sambutan akan dimulakan dengan perutusan daripada
Menteri Pelajaran Malaysia. Ini diikuti perutusan daripada Ketua
Pengarah Pelajaran dan seterusnya Pengarah Pelajaran Negeri.
Ucapan daripada guru besar menyusul selepas itu.

Persembahan guru-guru menggamatkan suasana. Ada yang
mendeklamasikan sajak, ada guru yang menyanyi, ada yang
berlakon dan tidak kurang pula yang menggayakan pakaian
beragam. Bakat yang ada pada guru-guru ditonjolkan dalam
majlis sambutan Hari Guru.

Acara sukan juga diadakan. Perlawanan antara guru-guru dan
murid-murid. Sukan yang dipertandingkan ialah bola sepak, bola
jaring, bola tampar dan bola baling. Acara sukaneka juga
diadakan. Acara ini paling menghiburkan kerana pelbagai ragam
dapat disaksikan.

Selepas acara permainan, acara penyampaian hadiah kepada
guru-guru dimulakan. Pada hari ini,guru-guru mendapat banyak
hadiah daripada murid-murid. Bukanlah hadiah yang
dipentingkan tetapi jasa guru-guru yang telah berkorban demi
anak bangsa.

Acara terakhir adalah jamuan tengah hari. Guru-guru berasa
dihargai kerana diberi sambutan yang sebegini meriah. Ini
menguatkan azam mereka untuk menjalankan amanah dengan
penuh dedikasi.

Pengalaman Menghadiri Majlis Kenduri Perkahwinan

Pada cuti sekolah yang lalu, saya dan keluarga telah menghadiri
satu majlis perkahwinan sepupu saya di kampung. Kami bertolak ke
sana sehari sebelum majlis perkahwinan itu berlangsung.

Pada awal pagi hari majlis perkahwinan itu berlangsung, saya
melihat saudara-mara sibuk bergotong –royong membuat pelbagai
persiapan. Kaum lelaki dan wanita sibuk memasak makanan dan
lauk-pauk yang akan dihidangkan kepada para jemputan dan
rombongan pengantin lelaki. Sesetengah saudara-mara saya pula
sibuk menghias bilik untuk pengantin.

Setelah lauk-pauk dan makanan siap dimasak, saya membantu
saudara-mara menghidangkan makanan dan minuman di atas
meja. Menjelang waktu tengah hari, ramai tetamu dan jemputan
tiba untuk menikmati hidangan. Suasana ketika itu sangat sibuk.
Ayah dan Pak Long tidak menang tangan melayan para tetamu
yang datang bersalaman dan mengucapkan tahniah.

Pada pada pukul 3.00 petang, rombongan pengantin lelaki tiba.
Ketibaan mereka disambut dengan paluan kompang dan
pertunjukan seni silat. Kemudian ,kedua-dua pengantin
disandingkan di atas pelamin. Suasana ketika itu sungguh meriah.
Saya dan adik-adik tidak melepaskan peluang untuk bergambar
dengan pengantin

Menjelang senja, majlis persandingan pun tamat. Saya dan
saudara-mara yang lain membantu mengemas meja, pinggan
mangkuk dan peralatan yang digunakan. Kami bekerjasama agar
segala-galanya dapat dikemas dan dibersihkan sebelum malam
menjelang.

Kami sekeluarga bertolak pulang menjelang waktu malam.
Walaupun letih, saya berasa seronok kerana dapat menyaksikan
satu majlis perkahwinan yang sangat meriah.


Click to View FlipBook Version