KEJAYAAN SESEORANG MURID BANYAK BERGANTUNG PADA
SIKAP. BINCANGKAN.
Sembilan puluh peratus kejayaan seorang itu banyak
bergantung pada sikap. Manakala, bakinya bergantung pada
kecerdasan dan persekitaran. Perangkaan ini memperlihatkan
betapa perlunya kita bersikap positif untuk mencapai kejayaan.
Kita perlu menguruskan masa dengan baik. Kita perlu
membahagikan masa untuk belajar dan bermain. Penjadualan
masa mat penting bagi seseorang yang aktif dalam
kokurikulum agar tidak mengabaikan pelajaran.
Murid yang cemerlang biasanya mempunyai keperibadian
yang terpuji. Mereka akan menunjukkan sikap berbudi bahasa
dan hormat-menghormati. Dalam kalangan rakan, mereka
sering membantu rakan yang lemah dalam pelajaran.
Murid cemerlang juga mudah menerima nasihat.
Peraturan sekolah tidak sesekali dilanggar, sebaliknya akan
diikuti. Didikan membiasakan mereka mendisiplinkan diri.
Golongan ini juga tidak mudah putus asa. Mereka sedar,
jika memiliki otak udang, memerlukan keyakinan yang kuat
dalam diri. Mereka sedar bahawa kerajinan dan usaha
menentukan kejayaan. Lantaran itu mereka terus belajar tanpa
jemu.
Berdasarkan semua keterangan tersebut, kita wajar
bersikap positif jika ingin berjaya. Pencapaian kita yang lalu
juga sebagai pendorong kepada pencapaian hari-hari
mendatang. Tanamkan dalam diri bahawa kita boleh berjaya.
CARA-CARA UNTUK MENJADI PELAJAR YANG CEMERLANG.
Memang tidak dapat dinafikan setiap pelajar ingin menjadi yang
cemerlang. Cita-cita dan harapan ini, akan menjadi nyata jika
seseorang pelajar itu melakukan perkara yang terbaik buat dirinya.
Dalam mencapai impian ini, ada pelajar yang berjaya dan ada juga yang
kecundang.
Menjadi pelajar cemerlang memerlukan seseorang itu berdisiplin.
Mereka perlu menumpukan sepenuh perhatian terhadap bidang yang
diceburi. Apa jua bidang, kurikulum atau kokurikulum mesti dilakukan
dengan bersungguh-sungguh dan berdisiplin. Jika tidak, harapan untuk
menjadi pelajar cemerlang akan musnah.
Selain itu, mereka mesti bijak membahagikan masa. Urusan
pelajaran harus diutamakan. Urusan-urusan lain seperti membantu ibu
bapa dan rakan-rakan yang lain tidak harus diketepikan. Sebagai
pelajar yang cemerlang, kita wajib membantu ibu bapa apabila
diperlukan. Jangan hampakan harapan mereka.
Untuk mencapai kejayaan cemerlang, seorang pelajar harus taat
kepada perintah agamanya. Mereka harus mengamalkan suruhan
agama dan meninggalkan apa yang dilarang. Tinggalkan perkara-
perkara yang ditegah oleh agama agar hidup lebih diberkati.
Jika inginkan kejayaan yang cemerlang, seseorang pelajar juga perlu
menghormati kedua ibu bapanya, guru-guru serta rakan-rakan.
Sekalipun sibuk dengan pelajaran, ibu bapa harus diutamakan. Guru-
guru harus dihormati dan hubungan dengan rakan juga perlu dijaga
dengan baik.
Kejayaan tidak datang bergolek. Kejayaan hadir dengan komitmen
yang tinggi untuk berjaya. Setiap individu boleh berjaya dengan usaha
yang berterusan dan bersungguh-sungguh. Jadi terpulang kepada
seseorang pelajar sama ada menjadi pelajar cemerlang atau tidak.
KELEBIHAN BELAJAR SECARA BERKUMPULAN.
Banyak cara yang boleh kita lakukan untuk mencapai kecemerlangan
dalam peperiksaan. Kita boleh membaca buku, membuat banyak latihan,
dan belajar secara berkumpulan. Belajar secara berkumpulan membawa
maksud kita belajar bersama-sama rakan-rakan kita.
Banyak kelebihan belajar secara berkumpulan. Antara kelebihan belajar
secara berkumpulan ialah kita dapat menambah pengetahuan. Hal ini
demikian kerana apabila kita belajar secara berkumpulan, kita dapat
mengadakan perbincangan. Semasa perbincangan, pelbagai idea dan
pendapat akan terhasil. Pendapat-pendapat tersebut merupakan
pengetahuan baharu untuk kita.
Selain itu, belajar dalam kumpulan juga memudahkan kita memahami
sesuatu tajuk pelajaran. Sebagai contohnya sekiranya kita tidak dapat
memahami sesuatu topik , rakan kita akan dapat menerangkan kepada kita
secara lebih mendalam. Hal ini sudah tentu akan dapat membantu kita
untuk menghadapi peperiksaan.
Di samping itu, apabila belajar secara berkumpulan, kita dapat mengeratkan
hubungan persahabatan dengan rakan-rakan yang lain. Semasa belajar
sudah pasti kita akan saling bertanya khabar, kenal-mengenali dan bergurau
senda. Hal ini sudah pasti akan mewujudkan hubungan yang lebih akrab
antara satu sama lain.
Belajar secara berkumpulan dapat juga membantu kita mengatasi rasa
bosan ketika belajar. Semasa belajar bersama-sama, kita berpeluang
mengadakan perbincangan, mengeluarkan pendapat, menjawab tugasan dan
menulis nota. Aktiviti sebegini akan dapat mengelakkan kita merasa bosan
dan tertekan. Aktiviti sebegini tidak dapat kita lakukan jika belajar secara
bersendirian.
Kesimpulannya, belajar secara berkumpulan banyak memberi kebaikan
kepada kita kerana ia merupakan kaedah belajar yang sihat dan dapat
membantu kita mencapai kecemerlangan dalam peperiksaan.
CARA-CARA UNTUK MENGATASI STRES
Stres atau tekanan adalah gangguan emosi dari segi pemikiran dan
fizikal kita. Hal ini berlaku apabila kita merasa terbeban terhadap
sesuatu perkara. Stres yang keterlaluan amat berbahaya kerana ia
memudaratkan kesihatan mental dan fizikal kita. Oleh sebab itu kita
perlu mengatasinya dengan betul.
Antara cara mengatasi stres ialah dengan bangun awal setiap hari.
Apabila kita bangun awal untuk ke sekolah kita tidak akan terburu-
buru atau tergopoh-gapah untuk bersiap dan menguruskan diri.
Sekiranya kita bangun lewat, kita akan merasa tertekan untuk
bersiap-siap ke sekolah kerana bimbang terlambat atau ketinggalan
bas.
Selain itu, kita perlu belajar dan tidur di dalam bilik yang selesa dan
kemas. Sekiranya bilik kita berselerak ia akan menyebabkan kita
merasa tertekan dan tidak selesa untuk belajar. Kita juga tidak
mendapat tidur yang cukup dan berkualiti. Sekiranya tidur kita tidak
mencukupi maka kita akan mudah merasa letih dan tertekan.
Di samping itu kita boleh mengatasi stres dengan membuat
persediaan awal untuk menghadapi peperiksaan. Kita akan merasa
risau dan bimbang sekiranya lewat membuat persediaan untuk
menghadapi sesuatu peperiksaan. Kebimbangan sebegini akan
menyebabkan stres atau tekanan.
Kita juga boleh mengatasi stres dengan berkongsi atau
menceritakan masalah yang dihadapi kepada ibu bapa kita. Jika kita
memendamkan masalah yang dihadapi, lama-kelamaan ia akan
menyebabkan kita merasa tertekan atau stres. Dalam hal ini, Ibu
bapa kita sudah pasti mempunyai banyak pengalaman untuk
membantu kita mengatasi sesuatu masalah.
Kesimpulannya, kita perlu mengatasi stres atau tekanan yang
dihadapi dengan cara yang betul agar tidak memudaratkan kesihatan
kita.