TOKOH
PROFESOR DR AHMAD BIN
IBRAHIM
Sisi peribadi Profesor Ahmad Ibrahim
• Pengenalan
•
• Penulisan ini bukanlah bertujuan untuk membesar-besarkan pencapaian dan sumbangan bapa saya
walaupun pencapaian dan sumbangannya banyak, tetapi tujuan saya adalah untuk berkongsi
cebisan kehidupan peribadi dan tabiat keinsanan di sebalik persona awam ini. Apatah lagi, ini
merupakan sisi peribadi yang paling saya ketahui selaku anak beliau.
• Lahir di Singapura tetapi menetap sehingga ke akhir hayatnya di Malaysia, Profesor Ahmad Ibrahim
adalah insan dua negara yang mencintai dan menghargai kedua-dua negara ketika hayat beliau.
Namun apa yang anehnya apabila saya membaca tulisan-tulisan mengenai pencapaian beliau,
kebanyakannya menyentuh mengenai sumbangannya ketika berada di Malaysia. Ramai yang tidak
menyedari bahawa beliau hanya mula menetap di Malaysia selepas bersara dari perkhidmatan awam
di Singapura. Segala yang dilakukan oleh beliau di Malaysia sebenarnya dilakukan selepas persaraan
beliau.
• Beliau tidak pernah melupakan akar umbi beliau. Sebulan sebelum kematian beliau, beliau telah
berkunjung ke Singapura dan pada hari Khamis di sebelah malam (malam Jumaat), beliau telah ke
Masjid Ba'alwie, masjid terkemuka di Singapura yang sering dikunjungi oleh beliau sewaktu
menetap di Singapura. Pada kebiasaannya setiap malam Jumaat akan ada majlis ratib di masjid
tersebut. Sebaik sahaja beliau masuk ke masjid, beliau terus disapa oleh orang ramai yang masih
mengenali beliau dan melayan beliau sebagai tetamu kehormat. Selepas selesai majlis ratib, semua
orang bersalaman dengan beliau dengan penuh bangga kerana anak terbilang Singapura kembali
ke masjid itu.
•
• Perkara yang sama berlaku apabila kami menunaikan solat Jumaat di Masjid Sultan keesokan
harinya. Ramai yang menyapa dan berjabat tangan dengan beliau. Ramai yang tidak menyedari,
sama ada di Masjid Ba'alwie atau pun di Masjid Sultan bahawa itulah kali terakhir mereka akan
berjumpa Profesor Ahmad Ibrahim. Itulah kunjungan terakhir beliau ke Singapura yang merupakan
ucapan selamat tinggal kepada tanah tumpah darahnya.
• Kami tidak bersedia untuk berdepan dengan pemergiannya, kerana walaupun beliau sudah berusia
83 tahun, beliau masih bekerja keras setiap hari, lebih keras berbanding mereka yang separuh usia
dengannya. Beliau amat cergas, malah ketika bulan Ramadan beliau sentiasa bersolat tarawih 20
rakaat dan solat witir 3 rakaat di masjid. Aktiviti ini berterusan sehinggalah Ramadan terakhir beliau.
•
• Beliau tidak pernah sakit, malah pada hari kematian beliau, beliau tidak menderita sebarang
kesakitan yang ketara. Beliau pergi ke pejabat seperti biasa dan hanya selepas beliau pulang dari
kerja beliau mengadu rasa kurang selesa dan mahu berjumpa dengan semua ahli keluarga. Beliau
seolah-olah tahu apa yang akan berlaku, seperti kunjungan ke Singapura yang beliau lakukan
sebelum itu.
• Ahli keluarga yang tinggal di Kuala Lumpur tiba dengan segera manakala mereka yang berada di
Singapura memulakan perjalanan. Ada di kalangan abang-abang saya yang datang dari Singapura
mengalami beberapa masalah yang menyebabkan perjalanan mereka terlewat seketika. Mereka
menghubungi bapa untuk memaklumkan yang mereka hanya boleh sampai kira-kira jam 11 malam.
Saya masih ingat kata-kata bapa sebaik sahaja menerima perkhabaran tersebut: "I will wait for you"
(Ayah akan tunggu kamu).
•
• Dan sememangnya beliau tunggu. Apabila ahli keluarga terakhir sampai pada jam 11 malam, bapa
saya begitu gembira melihat kami semua bersama-sama. Beliau melihat wajah kesemua ahli
keluarga dan memohon maaf kerana telah menyusahkan kami dengan meminta kami supaya datang
ke rumahnya. Penghujungnya tiba tidak lama sesudah itu. Beliau pun masuk tidur dan memberitahu
kami supaya turut masuk tidur. Pada jam 2 pagi, ibu memanggil kami semua dan mengatakan bapa
tidak sihat. Bapa memberitahu ibu yang masanya telah tiba dan dia akan pergi meninggalkan kami.
Pada jam 2.30 pagi tanggal 17 April 1999 bersamaan dengan 1 Muharram,
bapa saya pun berpindah ke alam yang satu lagi. Pemergian beliau begitu
mudah dan menenangkan.
Kematian beliau menjadi berita muka hadapan akhbar di Malaysia dan
Singapura yang mengenang jasa dan sumbangan beliau terhadap bidang
undang-undang dan akademik di kedua-dua buah negara.
Kehidupan Peribadi
Bapa saya sememangnya unik kerana beliau merupakan pakar di dalam kedua-dua undang-
undang Inggeris dan Islam. Ciri-ciri ini juga terpamer di dalam aspek-aspek kehidupannya
yang lain. Beliau memakai kot dan tali leher, dalam masa yang sama menyarungkan songkok
di kepalanya. Beliau juga menyukai kedua-dua makanan timur dan barat.
Di sebalik kemasyhuran nama beliau, Profesor Ahmad Ibrahim seorang insan yang begitu
menjaga privasi dan tidak mencari publisiti, malah beliau mengelak daripada publisiti. Beliau
juga jarang ditemubual oleh media.
• Beliau sentiasa memastikan kerja dan kehidupan profesionalnya dipisahkan dari kehidupan peribadi
dan keluarga. Pemisahan ini memang dikuatkuasakan dengan teliti. Di hadapan awam beliau jarang
bercakap mengenai keluarganya, sehinggakan timbul spekulasi dan desas-desus yang
menyelubungi kehidupan peribadi beliau. Soalan-soalan berkisar mengenai sama ada beliau
mempunyai isteri dan keluarga, malah ada yang bertanya sama ada beliau mempunyai dua atau
lebih isteri. Biarlah saya menyebut untuk rekod di sini yang Profesor Ahmad Ibrahim mempunyai 10
orang anak, kesemuanya dari seorang isteri.
•
• Ketika di rumah apa yang ketara mengenai beliau ialah disiplin ketat yang diamalkan oleh beliau,
sikap yang diwarisi dari ayahnya seorang doktor perubatan yang cukup berdisiplin, Dr Ibrahim
Sheikh Ismail. Jika di pejabat orang mengingatinya sebagai seorang yang menepati masa, begitu
juga keadaannya ketika berada di rumah. Sarapan pagi tepat jam 7 pagi, makan tengah hari tepat
jam 1 dan makan malam tepat jam 8. Kesemua ahli keluarga tahu mengenai aturan ini dan kami
mesti berada di meja makan tepat pada masanya untuk menjamu hidangan. Beliau masuk tidur dan
bangun dari tidur juga mengikut waktu yang sama sepanjang ingatan saya.
Hidangan akan dinikmati bersama-sama di meja besar. Tradisi ini tidak pernah berubah, meskipun
selepas kami mendirikan rumah tangga dan mempunyai anak-anak. Di waktu makan jugalah
berlangsungnya perbincangan keluarga. Ia merupakan peluang bagi semua orang untuk
menyuarakan pandangan masing-masing. Topik-topik yang dibincangkan juga pelbagai, dari politik
kepada sukan, dari isu moral sehinggalah ke rancangan televisyen. Walaupun Profesor Ahmad
Ibrahim jarang bersuara ketika sesi sebegini, beliau merupakan pendengar yang baik dan akan
ketawa dengan jenaka yang kami sampaikan. Jika beliau bersuara, biasanya kata-kata beliau begitu
ringkas dan berkesan.
• Beliau sangat suka membaca dan kami mempunyai perpustakaan di mana sahaja kami tinggal.
Beliau sememangnya seorang ulat buku, buku tidak pernah berenggang jauh dari tangannya.
•
• Rumah pula sentiasa dipenuhi dengan buku. Selepas kematiannya kami membawa pulang 300 kotak
buku dari pejabat beliau di UIAM. Buku-buku ini, termasuklah buku-buku yang ada di rumah juga
kami dermakan kepada universiti.
• Beliau sangat menghargai buku. Malah buku-buku lama atau yang sudah koyak juga turut disimpan
dan tidak dibuang. Beliau sangat suka membeli buku. Beliau juga melazimi buku dan artikel undang-
undang yang terbaharu. Pernah satu ketika saya membelikan buku untuknya sempena hari jadi
beliau. Buku yang saya jangkakan terbaharu dan terkini, namun beliau memberitahu saya yang
beliau telah pun membaca buku tersebut.
Apabila menyebut soal buku, beliau mempunyai memori yang kuat mengenai lokasi bukunya
disimpan dan muka surat mana yang perlu dirujuk.
Beliau sangat menyayangi Malaysia dan Singapura. Beliau tidak pernah mengabaikan negara
tanah tumpah darahnya. Beliau kerap pulang ke Singapura untuk menawarkan perkhidmatan dan
nasihat beliau sambil bersilatulrahim dengan keluarga dan sahabat handai.
Beliau merupakan sebahagian daripada delegasi Singapura untuk perundingan bagi menyertai
Persekutuan Malaysia dan seterusnya terlibat dalam kemerdekaan Singapura pada tahun 1965.
Beliau juga insan yang mendraf perjanjian air dengan Malaysia bagi pihak Singapura. Tentu sekali
beliau tidak boleh melupakan kes Natrah.
• Soalan sering diutarakan mengenai mengapa beliau meninggalkan Singapura dan berhijrah ke
Malaysia. Adakah disebabkan konflik dengan Lee Kuan Yew atau hal-hal lain. Kita tidak pernah tahu
kenapa. Namun beliau pernah memaklumkan saya bahawa beliau tidak mempunyai apa-apa
masalah dengan Lee Kuan Yew dan mereka masih berhubung antara satu sama lain.
•
• Selepas pemergian beliau, kerajaan Singapura telah menghantar surat rasmi kepada ibu saya
dengan ucapan belasungkawa dan menyampaikan rasa terharu terhadap kehilangan seorang insan
yang telah banyak berjasa kepada Singapura.
•
• Wakil dari Majlis Ugama Islam Singapura (MUIS) turut hadir ke majlis pengebumian beliau. Secara
anumerta, bapa saya dianugerahkan sebagai tokoh Melayu/Islam Singapura. Foto-foto dan biografi
beliau telah dipamerkan di Perkampungan Melayu di Geylang Serai. Foto dan biografi beliau turut
dipamerkan di pejabat MUIS.
Beberapa buah masjid di Singapura termasuklah Masjid Sultan telah mengadakan solat jenazah
ghaib buat beliau.
Profesor Ahmad Ibrahim merupakan seorang yang warak. Ketika menetap di Singapura beliau
sering ke Masjid Ba'alwie pada setiap malam Jumaat untuk menghadiri majlis ratib. Setelah
berhijrah ke Malaysia, beliau masih menghadiri majlis ratib di rumah-rumah tertentu secara bergilir-
gilir.
Menurut pemerhatian saya, beliau akan bangun pagi untuk menunaikan solat tahajud. Beliau akan
solat lima waktu tepat pada waktunya. Kebanyakan pelajar UIAM ketika di kampus Petaling Jaya
mengingati bahawa bapa saya merupakan orang pertama yang akan sampai ke Masjid Kolej Islam
Malaya untuk solat subuh berjemaah.
• Beliau bekerja tanpa henti, tujuh hari seminggu. Sebelum beliau keluar ke pejabat setiap hari, beliau
akan membaca Surah Al-Waqi'ah dan beberapa surah lain. Beliau melakukannya tanpa gagal. Beliau
membaca surah-surah ini melalui satu kitab yang sudah usang dan kekuningan. Menurut nenek
saya, beliau telah membaca kitab itu sejak zaman mudanya lagi. Aneh dan sedih sekali sehingga ke
hari ini kami tidak dapat mengenalpasti di manakah kitab ini.
•
• Bapa saya akan pulang ke rumah setiap hari untuk makan tengah hari yang disediakan oleh ibu saya.
Tak kira di mana beliau berada, beliau akan pulang ke rumah untuk makan tengah hari. Tetapi ini
tidaklah bermaksud kami tidak pernah makan di luar. Kami selalu makan malam di luar terutama
untuk menyambut hari lahir ahli keluarga.
•
• Profesor Ahmad Ibrahim sangat meminati makanan dan tidak ada pantang dalam makanan. Ramai
yang bertanya mengenai diet beliau dan bagaimana beliau kekal sihat. Semua orang tahu yang
beliau tidak pernah mengambil cuti sakit. Hakikatnya, beliau tidak ada diet tertentu. Hidangan
sarapan beliau selalunya ialah roti, telur dan air teh, kecuali hari Ahad beliau akan mengambil roti
canai, nasi lemak dan sebagainya. Makan tengah hari dan makan malam pula selalunya hidangan
kari kambing. Walaupun beliau makan daging kambing hampir setiap hari namun tekanan darah
beliau normal. Beliau kerap mengambil madu, kurma, susu dan jus buah-buahan.
•
• Bapa saya tidak pernah mengambil pusing mengenai kemewahan dunia. Beliau seorang yang
ringkas. Ketika beliau meninggal dunia, beliau cuma meninggalkan sebuah kereta Nissan lama.
Beliau cuma memiliki sepasang kasut sahaja. Beliau juga tiada hutang dengan sesiapa. Beliau
membeli apa sahaja secara tunai, termasuklah hartanah.
• Dengan segala kemahiran dan kelebihan yang beliau dimiliki, beliau tidak mati sebagai seorang
yang kaya-raya. Beliau tidak menjadi ahli lembaga pengarah mana-mana syarikat. Bagi beliau
banyak lagi perkara yang lebih penting berbanding kekayaan.
•
• Beliau mengamalkan disiplin yang ketat apabila menggunakan harta syarikat. Beliau memastikan
bahawa hal ehwal kerjanya tidak bercampur-aduk dengan hal peribadi. Ini bermaksud beliau
mempunyai dua kereta dan dua pemandu, satu untuk urusan kerja dan satu untuk urusan peribadi.
• Kenderaan rasmi dan pemandu rasmi hanyalah untuk urusan kerja rasmi. Kereta pejabat pula tidak
pernah diletakkan di rumah, tetapi ditinggalkan di pejabat. Untuk urusan peribadi seperti ke masjid,
majlis perkahwinan, membeli-belah dan bercuti, beliau menggunakan kenderaan dan pemandu
peribadi.
•
• Bapa saya memenuhi jemputan majlis perkahwinan tetapi beliau lebih suka menghadiri majlis akad
nikah berbanding majlis bersanding.
•
• Beliau juga merupakan ahli sukan yang aktif di usia mudanya, sentiasa bermain bola sepak dan
badminton. Beliau suka menonton pertandingan bola sepak di televisyen, terutamanya liga Inggeris.
Beliau merupakan penyokong kelab Liverpool.
• Keputusan-keputusan besar tidak pernah dilakukannya secara tergesa-gesa . Beliau perlu
memikirkan semasak-masaknya sebelum mencapai apa-apa keputusan.
•
• Profesor Ahmad Ibrahim terpengaruh dengan ramai tokoh pemikir dan ilmuwan, salah seorangnya
ialah Muhammad Iqbal, khususnya melalui buku The Reconstruction of Religious Thought in Islam.
Ketika saya berada di London, beliau menulis kepada saya dan memberitahu saya bahawa buku itu
merupakan antara buku yang pertama beliau baca ketika sampai di England sebagai mahasiswa.
Begitu sesuai sekali apabila beliau menerima anugerah Pingat Allama Muhammad Iqbal oleh
kerajaan Pakistan pada tahun 1979.
• Keberadaan bapa saya di dalam bidang undang-undang sentiasa mendedahkan saya dengan ramai
anak murid beliau, kesemuanya mempunyai cerita masing-masing mengenai bapa saya. Salah satu
cerita yang saya ingati ialah dari seorang anak muridnya di Universiti Malaya yang merupakan
pelajar biasa sahaja. Pelajar ini memohon surat sokongan dari Profesor Ahmad Ibrahim untuk dia
memohon pekerjaan di firma guaman. Pelajar ini memohon pekerjaan di sebuah firma guaman yang
terkenal dengan reputasi yang mereka hanya memilih pelajar terbaik sahaja untuk bekerja di firma
tersebut. Pelajar ini diterima untuk bekerja di firma tersebut hanya semata-mata berdasarkan surat
sokongan tersebut. Rakan-rakan pelajar ini kesemuanya terkejut kerana Profesor Ahmad Ibrahim
sudi menulis surat sokongan untuk pelajar biasa ini. Pelajar ini kemudiannya bertanya kepada
Profesor Ahmad Ibrahim, mengapa beliau menulis surat sokongan untuk dirinya, beliau cuma
menjawab "Kerana kamu memerlukannya".
• Kesimpulan
• Sebelum saya mengakhiri penulisan ini, saya ingin memetik satu kata-kata yang sudah kedengaran klise.
Namun klise tidaklah bermaksud ianya tidak benar. "Di belakang lelaki yang berjaya adanya seorang
wanita". Ini sememangnya tepat untuk menggambarkan ibu saya, Salma binti Mohamed Tahir yang telah
memberikan bapa saya segala sokongan dan dorongan sepanjang 57 tahun mereka hidup bersama.
Hanya ahli keluarga sahaja yang tahu betapa mereka menyayangi antara satu sama lain.
•
• Beliau merupakan seorang isteri yang hebat. Beliau sentiasa menyokong apa sahaja keputusan suaminya
dan tidak pernah membantah suaminya. Beliau berjaya menguruskan rumah tangga dengan cemerlang
dan menyokong suaminya dengan menyediakan segala masakan yang lazat-lazat bagi membolehkan
suaminya fokus terhadap tugas untuk menyumbang kepada agama dan tanah air.
•