KOSMOPOLITAN ISLAM & PEMBINAAN BANGSA MALAYSIA
kesempitan hidup rakyat khususnya melibatkan B40 yang
tinggal di bandar.
Sesuatu yang konkrit harus ditawarkan sebagai jalan
penyelesaian yang bersifat jangka Panjang dan pendek. Bagi
solusi jangka pendek, ABIM turut menghulurkan bantuan
kepada golongan miskin yang meliputi warganegara Malaysia di
bawah kategori B40, pelarian, buruh asing seperti Tenaga Kerja
Indoneisa (TKI) serta golongan yang tiada dokumen. Usaha
sama dari pelbagi pihak termasuk kerjasama pihak kedutaan
luar seperti Qatar dan Amerika yang turut sama menyalurkan
bantuan menerusi ABIM amat dihargai.
Menerusi agensi kemanusiaan kita Global Peace Mission
Malaysia (GPM), kerjasama dengan Baladna sebuah syarikat
tenusu yang berpangkalan di Qatar telah dijalin dengan
penyerahan bantuan yang diatur bersama kepada 2,300 penerima
manfaat di sekitar Kuala Lumpur, Negeri Sembilan dan Melaka.
Mereka yang menerima manfaat adalah terdiri dari golongan
asnaf, miskin tegar, golongan B40, serta mereka yang terhimpit
menangani kos hidup akibat dari Covid-19.
Usahasama sebegini adalah satu manifestasi keperluan
akan kerjasama yang erat seluruh masyarakat dunia merentas
bangsa dan agama serta kewarganegaraan untuk sama-sama
bersatu mengendong amanah membantu siapa saja yang dalam
kesempitan atas nama manusia. Tanpa sedar, mesej keutuhan
Bangsa Malaysia menerusi aktiviti kemanusiaan yang digerakkan
oleh NGO telah tercerna dan mempunyai impak yang tersendiri
dengan memupuk salah satu nilai besar Bangsa Malaysia iaitu
bersama saling membantu antara satu sama lain. Dalam konteks
umat Islam, semangat perkongsian tanggungjawab yang inklusif
ini membugarkan lagi usaha kefahaman agama yang benar-benar
45
KOSMOPOLITAN ISLAM & PEMBINAAN BANGSA MALAYSIA
menepati ciri umat kosmopolitan yang bersama membangun
warga untuk berdiri sama tinggi dan duduk sama rendah.
ISLAM ASIA TENGGARA MEMBINA NARATIF
SEJAGAT
Pengukuhan kepada tiga rangkai utama iaitu pembinaan semula
ciri-ciri kosmopolitan Islam dalam jiwa Muslim rantau ini
bersama pembentukan watak dan etos wibawa bangsa yang
seterusnya menyepakati perkongsian nilai-nilai Bangsa Malaysia
berupaya melonjak kedudukan umat Islam di Malaysia sebagai
pembina naratif Islam sejagat yang lebih segar.
Kekusutan dalam kancah politik, sosial dan ekonomi dunia
Islam global secara terus menerus telah membuka mata sarjana
luar untuk memindahkan perhatian mereka ke rantau ini sebagai
model Islam yang penuh kemesraan, tasamuh dan berhikmah
dalam menguruskan perbezaan.
Dalam tempoh lima tahun mendatang, menerusi ruang
sosial yang bersifat tanpa sempadan hari ini, serta pembinaan
rangkaian aktivism yang inklusif, kita optimistik untuk umat
Islam di rantau ini berkemampuan tampil mengisi naratif Islam
sejagat dengan jalan cerita yang lebih jitu, bermaruah dan
terbuka.
Kendatipun begitu, ia menuntut warga kita untuk bersedia
mempelopori bidang-bidang yang membuka kepada interaksi
dengan dunia sekeliling seperti dialog peradaban antara Islam
dan dunia luar khususnya Barat. Ruang yang terbuka ini harus
dimengerti dan dimanfaatkan sebaiknya menerusi interaksi
matang dengan pembawakan garisan Islam berasaskan nilai
kosmopolitan setempat.
46
KOSMOPOLITAN ISLAM & PEMBINAAN BANGSA MALAYSIA
Menyedari hakikat ini, ABIM tidak terkecuali menjadi
Gerakan Islam yang mengambil inisiatif mempelopori usaha
interaksi dialog dengan dunia luar. Bertarikh 28 September
2020, ABIM bersama Tibetan Buddhist Culture Centre (TBCC)
dengan penuh jaya telah menganjurkan satu Dialog Islam-
Buddhism “Compassion & Mercy as The Common Values Between
Islam & Buddhism” secara atas talian bertarikh 28 September 2020.
Forum yang menampilkan His Holiness 14th Dalai Lama Tenzin
Gyatso dan Shaykh Kuliyah Institut Antarabangsa Pemikiran
dan Tamadun Islam (ISTAC) Prof Emeritus Dato’ Dr Osman
Bakar dengan terjemahan ke lebih empat belas bahasa telah
mengketengahkan pemikiran Islam dalam konteks rantau Asia
Tenggara dalam memupuk persefahaman antara agama. Selain
itu, ia juga memberi impak besar dengan kehadiran pemimpin
pelbagai agama di seluruh dunia untuk berpartisipasi. Sambutan
hangat dari pemimpin dunia serta ratusan ribu penonton atas
talian dari segenap negara ini mencerminkan bagaimana dunia
luar dahagakan sisi pandang Islam di Malaysia yang diadun
bersama citra kosmopolitan Islam ini menerusi dialog yang
membenihkan manfaat.
Perkembangan pesat populasi Muslim di dunia dari 1.1 billion
pada tahun 1990 iaitu 20% dari keseluruhan populasi dunia ke 1.62
billion pada 2010 telah memberi satu corak kenaikan peratusan
mendadak bilangan umat Islam di dunia. Maka, mengikut
jangkaan Pew Research Center, menjelang tahun 2030, peratus
umat Islam akan terus meningkat ke 26.4% dengan angka 2.19
billion dan seterusnya 29.7% iaitu seramai 2.76 billion pada tahun
2050. Angka kenaikan populasi umat Islam yang mencanak
ini memberi satu gambaran tuntutan untuk pemimpin Islam
bergerak ke hadapan membawa naratif kesejagatan (universal)
khususnya menerusi bidang dialog manusiawi. Ini khasnya
keutamaan peranan yang wajib dimainkan umat Asia Tenggara
47
KOSMOPOLITAN ISLAM & PEMBINAAN BANGSA MALAYSIA
dalam menghiasi intipati dialog-interaksi menerusi saduran
kosmopolitan Islam dengan semangat keterbukaan, inklusif
serta berasaskan pendekatan pertengahan – wasatiyah.48
KHATIMAH: EKSPERIMENTASI HARAKAH DAN
REGENERASI PENGGERAK ABIM
Kejayaan sedikit ABIM ini adalah satu timbal balas kepada
kepercayaan masyarakat buat Gerakan anak muda dalam
mengemukakan sesuatu yang baharu. Dalam Gerakan Wadah-
ABIM-PKPIM, sekian lama kita melakukan ‘experimentasi
harakah’ dengan autonomi dan hak berkarya yang dihormati
mantan pimpinan dan aktivis ABIM (kini WADAH) kepada
generasi muda insya Allah akan berterusan menampakkan hasil.
Begitu juga dalam konteks yang lebih meluas, bagaimana
perkembangan pergerakan anak muda di luar negara khususnya
dalam bidang politik telah menampakkan impak yang besar.
Di Thailand, menerusi penubuhan Future Forward Party,
satu gelombang kebangkitan anak muda dapat dilihat apabila
mereka berjaya memenangi jumlah kerusi yang amat signifikan
dalam Pilihanraya Umum 2019. Hanya dalam tempoh setahun
selepas penubuhan, parti tersebut telah memenangi 81 kerusi
Parlimen dengan pecahan 31 Undian “First Past the Post” dan 50
PR List.
Menoleh ke Selatan Tanah Air, kita juga boleh melihat
bagaimana nama-nama tokoh muda seperti Raeesah Khan, Louis
Chua dan He Ting Ru yang dalam usia muda telah menempa
sejarah tersendiri apabila memenangi kerusi GRC Sengkang
atas tiket Parti Pekerja menewaskan PAP. Tidak kurang New
48 Pew Research Center (2015), The Future of World Religions: Population
Growth Projection, 2010-2050 https://www.pewforum.org/2015/04/02/religious-
projections-2010-2050/
48
KOSMOPOLITAN ISLAM & PEMBINAAN BANGSA MALAYSIA
Power Party di Taiwan yang diasaskan oleh Sunflower Student
Movement serta Parti Solidaritas Indonesia membawa arus
trend anak muda yang mahu bergerak ke hadapan beraksi di
pentas yang lebih mencabar. Maka kata-kata negatif yang
dilemparkan ke atas anak muda seperti “bound to fail” sebenarnya
tidak lebih dari hanya akan menyekat ruang karya untuk mereka
berperanan sebagai “vision builders” dengan merencahkan idea-
idea baharu bersama adunan pemikiran tokoh-tokoh lama
sebagai sajian masa hadapan masyarakat.
Dalam pada itu, menerusi statistik angka Pew Research Center
telah mencatat peningkatan jumlah peratus populasi generasi
muda Islam di dunia. Dalam statistic tersebut menunjukkan
Muslim adalah kumpulan agama yang mempunyai bilangan
generasi muda iaitu bawah 15 tahun terbesar yang mencecah
34%. Ini memberi gambaran nisbah setiap tiga orang Muslim
ada seorang yang berusia 15 tahun ke bawah. Selain itu, peratus
belia Muslim atas 15 tahun turut meningkat dalam peratusan
keseluruhan belia dunia. Pada tahun 1990, peratus belia Islam
mencatat angka 20%, dan pada tahun 2010 peratusan belia
Muslim telah meningkat sebanyak 25.8% dan menjelang tahun
2030, jangkaan menunjukkan peningkatan berterusan ke 29.1%.49
Angka-angka ini cukup signifikan untuk menjustifikasikan
ruang yang besar harus diraikan untuk anak muda apa lagi
golongan belia Muslim yang bakal mengisi hampir 30% dari
keseluruhan jumlah belia di dunia.
Walau bagaimana pun, persoalan kebangkitan anak muda
tidak harus didasari atas faktor sentimen dan semangat
usianya semata-mata. Lebih besar dari itu adalah gagasan
idealism yang cuba direncahkan serta keberanian bertindak
untuk membebaskan umat dari dibelit belenggu yang tidak
49 Ziauddin Sardar, Muslim Societies In Postnormal Times, 2019, International
Institute of Islamic Thought, UK, hlm 5
49
KOSMOPOLITAN ISLAM & PEMBINAAN BANGSA MALAYSIA
berkesudahan. Kisah yang Allah coretkan dalam Surah al-Kahfi
menjelaskan bagaimana idealism murni itu bergerak seiring
dalam membawa Gerakan anak muda untuk melonjak sebagai
suatu yang amat signifikan dalam masyarakat.
Allah SWT berfirman:
ۤلُۦوإْا�لَٰـ َهًرباُّنَۖا لَّ ََقرۡدُّب ُقلۡ�ٱنَلآ َّ إ�س ًَمذٰـا َٰو ِت١قِها٤َ َو َربَ ۡطَونَ�ٱۡا أَل ۡعَر َِ ٰلض لُقَلُنوِنَِّب ۡۡمد ُعإ� َۡوذْاَش ِقَمَاط ُمنًطوْااُد فوَِن
“dan Kami teguhkan hati mereka ketika mereka berdiri di
hadapan Raja lalu berkata, “Tuhan kami adalah Tuhan
langit dan bumi; kami tidak menyeru Tuhan selain Dia.
Sesungguhnya, andai kami melakukan sedemikian, tentu
kami telah mengucapkan perkataan yang sangat jauh
dari kebenaran”. (Al-Kahf: 14)
Inilah gambaran yang Allah nukilkan gabungan antara
anak muda dan idealism keimanan sebagai pendorong untuk
membebaskan manusia dari menjadi hamba sesama manusia.
Justeru, bagi merealisasikan wawasan idealism yang kukuh dalam
membawa pembaharuan, tidak dapat tidak, persiapan dalaman
generasi muda atas sandaran pelatihan, tarbiyah dan ta’dib yang
sempurna harus diangkat untuk memastikan generasi muda
benar-benar bebas dari cengkaman putaran keji. Jalan cerita
kisah para Murslain membawa Islah telah memperlihatkan
undangan seribu satu cabaran, ujian dan pengorbanan. Islah
yang kita bawa sebagai warisan perjuangan para utusan Allah
pasti akan gagal tanpa pengukuhan dalaman meliputi disiplin
tarbiyah anggota Gerakan ABIM. Usia 49 tahun ABIM telah
50
KOSMOPOLITAN ISLAM & PEMBINAAN BANGSA MALAYSIA
menggambarkan perjalanan jatuh bangun serta jaya dan gagal
pimpinan yang kita lahirkan dalam membawa obor islah.
Pengalaman episod pahit kegagalan silam harus dijadikan
pengajaran untuk memastikan Gerakan Islam ABIM dapat
berperanan mengembalikan kepercayaan masyarakat kepada
Islam secara konsisten, seperti yang disarankan Syakh Dr Yusuf
Al-Qaradhawi50.
Dalam dapatan kajian Edelmen Trust Barometer 2020,
kepercayaan masyarakat hanya diberikan kepada mereka
yang memenuhi dua komposisi “trust” iaitu kecekapan dalam
menunaikan dasar serta etika tingkah laku iaitu melakukan
sesuatu yang baik untuk menambahbaik masyarakat.51 Melihat
kepada perkembangan semasa ABIM dan agensi-agensi yang kita
dirikan, perlu untuk kita kembali menyusun gerak kerja secara
berperingkat berasaskan kepada perkembangan keperluan dan
ekspektasi massa. Ini meliputi sasaran meletakkan peneraju
yang sesuai di tempatnya, terutama bersaskan objektif untuk
mencapai visi ihsan – yang terbaik dalam susun kelola.
Kendatipun, selain dari isu tatakelola dan pengurusan yang
cekap, seperti yang ditegaskan pembugaran kepada elemen
kekuatan dalaman mencakupi displin harakiy amat penting
untuk diterapkan. Penggalian semula sistem pelatihan dalam
perkaderan aktivis ABIM sama ada yang lama mahupun yang
baharu harus konsisten sebagai medan untuk menjadi ingatan
menyuluh jalan yang bakal dilalui.
Dengan kefahaman ini, pembinaan wawasan idealism dan
pengukuhan generasi yang dirakamkan sebagai Jil al-Quran Al-
Farid – generasi Al-Quran yang unik berpaksikan pembinaan
50 Yusuf Al-Qaradhawi, Harakah Islamiyyah: Satu Tuntutan, 1983, Dewan
Pustaka Fajar, Shah Alam hlm 37
51 2020 Edelman Trust Barometer, https://www.edelman.com/trust/2020-trust-
barometer
51
KOSMOPOLITAN ISLAM & PEMBINAAN BANGSA MALAYSIA
generasi sahabat Rasulullah adalah komitmen besar ABIM
dalam acuan besar menggerakkan suara anak muda menerajui
perubahan masyarakat.
Buat akhirnya, kepada Allah kita berserah dan kepada-
NYAlah jua kita kembali. Semoga Allah sentiasa memberkati
usaha kita bersama dan semoga segala yang kita cita-citakan
mendapat ganjaran yang besar di sisi Allah. Kepada Allah kita
berserah dan kepadaNya kita kembali.
Lives of great men all remind us,
We can make our lives sublime,
And departing, leaving behind us,
Footprints on the sands of time.
(A Psalm Of Life 1839, Henry Wadsworth
Longfellow)
Wallahu a’lam
Selamat Bermuktamar!
Allahu Akbar, Allahu Akbar, Allahu Akbar,
Walillahi ‘l-hamd
52
KOSMOPOLITAN ISLAM & PEMBINAAN BANGSA MALAYSIA
53