Pendahuluan
Makanan dan minuman memainkan peranan yang sangat penting untuk kesihatan manusia.
Seperti mana definisi Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), kesihatan adalah kesejahteraan
jasmani, rohani dan sosioekonomi.
Kebanyakan manusia mendapat penyakit disebabkan oleh corak / pola pemakanan yang
salah dan kurang pengetahuan mengenai pemakanan sihat.
Nabi Muhammad SAW adalah manusia teladan yang membawa integriti Islam dengan
menyentuh seluruh aspek kehidupan. Teladan baginda ini berkaitan dengan pelbagai
perkara termasuklah sesuatu yang mungkin kelihatan remeh iaitu pemakanan. Rasulullah
SAW mengajar bukan sahaja setakat memilih makanan tetapi juga cara dan adab makan
serta minum.
Adab Makan Dan Minum oleh Rasulullah SAW
Beberapa adab makan dan minum oleh Rasullullah SAW adalah :
1. Mencuci tangan sebelum makan
• Membasuh tangan sebelum makan dapat membersihkan segala kotoran yang ada pada
tangan dan seterusnya dapat mengelakkan penyakit.
2. Membaca basmalah dan doa sebelum makan
• Memulakan makan dengan doa akan mendatangkan berkat.
• Makanan yang berkat akan memberi tenaga dan tenaga yang berkat ini akan digunakan
untuk kesihatan diri dan kebajikan.
3. Makan dengan 3 jari tangan kanan
• Menggunakan tiga jari kanan mengecilkan saiz suapan dan seterusnya makanan dapat
dikunyah dengan sempurna.
• Makan dengan jari tangan kanan merupakan cara untuk memperoleh hasil terbaik proses
pencernaan.
• Menurut artikel yang diterbitkan dalam paparetta.wordpress.com pada Oktober 2010,
makan menggunakan tangan terbukti lebih menyihatkan kerana jari akan mengeluarkan
enzim ‘RNAse’ yang dapat mengawal aktiviti bakteria sehingga ke tahap minima dalam
sistem pencernaan. Ini mampu menghindarkan penyakit yang disebabkan oleh perut.
4. Duduk dengan baik, tegap dan tidak bersandar
• Posisi ini memudahkan makanan turun serta dihadamkan dengan sempurna.
5. Bersikap sederhana dan tidak berlebihan ketika makan
• Rasulullah SAW tidak pernah makan hingga terlalu kenyang, tidak makan lagi sesudah
kenyang dan tidak makan melebihi sepertiga perut kerana sepertiga lainnya adalah untuk
minuman dan udara (nafas). Dengan erti lain Rasulullah SAW makan ketika lapar dan
berhenti sebelum kenyang.
6. Mulai makan dari hidangan atau bahagian yang terdekat dengan kita
• Selain kelihatan lebih sopan, tenang dan tidak rakus, tindakan ini juga boleh memperoleh
keberkatan makanan tersebut.
7. Tidak memenuhkan mulut dengan makanan yang terlalu banyak
• Lebih sopan dan tidak kelihatan gelojoh.
8. Tidak banyak bercakap ketika sedang makan
• Mengelakkan makanan daripada terkeluar dan menampakkan sikap tidak sopan / rakus.
9. Makan bersama-sama dengan ahli keluarga dan sahabat (tidak makan bersendirian)
• Mengeratkan ikatan silaturrahim serta menambahkan keberkatan makanan.
10. Tidak mengeluarkan suara keras ketika sedang mengunyah makanan
• Mengelakkan gangguan kepada orang lain.
11. Tidak mengawasi dan melihat orang yang sedang makan
• Mengelakkan orang yang diawasi daripada berasa terganggu / malu dan menjejaskan selera
makan mereka.
12. Tidak menyisakan makanan di pinggan
• Memupuk sikap terpuji iaitu tidak membazir serta mendapat keberkatan makanan.
13. Tidak mencela makanan yang tidak disukai
• Jika Rasulullah SAW tidak berselera, baginda akan meninggalkan makanan tanpa mencela
makanan tersebut.
• Cacian terhadap makanan boleh mengurangkan keberkatan yang Allah SWT berikan dalam
makanan tersebut dan memberi kesan negatif terhadap kesihatan tubuh sekiranya makanan
tersebut dimakan.
14. Tidak bernafas ketika minum dan menjauhkan mulut dari tempat minum ketika bernafas
serta tidak meniup makanan / minuman yang panas
• Mengelakkan kita mengambil minuman yang tercemar dengan karbon dioksida hasil
daripada hembusan nafas ke dalam minuman.
• Adab ini juga menerap nilai kesabaran dan kesopanan dalam diri.
15. Menutup bekas makanan dan minuman
• Mengelakkan makanan / minuman daripada tercemar.
16. Menjilat makanan yang tersisa di jari-jari (ibu jari, jari telunjuk dan jari tengah) ketika suapan
terakhir
• Ia mestilah dilakukan dengan tertib, indah dan berperaturan agar tidak menimbulkan
persepsi yang negatif.
• Penemuan kesihatan moden menunjukkan bahawa dengan menjilat jari setelah selesai
makan, jari akan mengeluarkan enzim yang sangat membantu kelancaran proses
pencernaan.
17. Setelah selesai makan, bacalah : “Alhamdulillah”
• Menzahirkan rasa kesyukuran kepada Allah SWT terhadap makanan dan minuman yang
telah dikurniakan.
18. Cuci tangan setelah selesai makan
• Rasulullah SAW menggalakkan umatnya untuk mencuci tangan sebelum dan sesudah makan
supaya terhindar daripada kuman dan penyakit.
19. Tidak meninggalkan makan malam
• Rasulullah melarang umatnya untuk meninggalkan makan malam.
• Barang siapa yang meninggalkan makan malam dia akan dimamah usia dan tahap kolesterol
dalam darah akan meningkat.
• Makan malam adalah sebelum Maghrib iaitu lebih kurang jam 7.00 malam.
Makanan Dan Minuman Sunnah
Rasulullah hanya makan/minum makanan/minuman yang halal mengikut syariat dan berkhasiat.
Beberapa jenis makanan kegemaran Rasulullah SAW adalah :
1. Air Zamzam
➢ Kajian saintifik menunjukkan bahawa air zamzam mempunyai struktur molekul air yang unik
dan bersifat beralkali. Ciri ini dapat mengimbangi keasidan di dalam badan.
➢ Di samping itu, ia mengandungi banyak mineral seperti fluorida, kalsium, klorida, sulfat,
bikarbonat, kalium dan natrium.
➢ Imam At-Tirmizi menerangkan bahawa air zamzam yang diminum akan memberi manfaat
kepada seseorang mengikut hajat baik orang tersebut.
2. Daging kambing bahagian lengan
➢ Bahagian ini :
➢ Mengandungi kurang lemak.
➢ Paling lembut.
➢ Mudah dihancurkan / dihadamkan.
➢ Mengandungi banyak zat besi.
➢ Memberi tenaga untuk kekuatan otot dan membangkitkan semangat.
3. Roti yang diperbuat daripada tepung barli yang tidak diproses
➢ Mengekalkan serat dan khasiat vitamin kerana lapisan bran dikekalkan.
4. Susu
➢ Susu yang mengandungi khasiat yang lengkap terdiri daripada protein, lemak dan mineral
yang dapat membantu pembentukan tulang serta mencegah penyakit anemia.
➢ Kajian mendapati bahawa susu kambing dapat memberikan lebih khasiat kepada badan
berbanding susu lembu.
5. Keju
➢ Rasulullah SAW menyukai keju yang diperbuat daripada susu lembu dan kambing. Keju
rendah lemak mempunyai lebih manfaat sama seperti susu rendah lemak.
6. Kurma
➢ Menurut kajian yang dilakukan oleh al-Shahib, W and Marshall, RJ bertajuk The Fruit Of The
Date Palm : Its Possible Use As The Best Food For The Future dan International Journal of
Food and Science Nutrition, 54 (4):247-259, buah kurma boleh menjadi makanan yang ideal
pada masa hadapan kerana ia mengandungi :
- 15 jenis garam dan mineral,
- Kaya dengan vitamin,
- Kadar karbohidrat yang tinggi (44-88%),
- Serat (6.4-11.5%),
- Protein (2.3-5.6%),
- Lemak (0.2-0.5%) dan
- Minyak (0.2-0.5%).
➢ Mengandungi 23 jenis asid amino, sebahagiannya tidak ditemui dalam buah-buahan yang
popular seperti oren, epal dan pisang.
➢ Kurma juga mengandungi :
- Fluorin yang membantu meningkatkan kesihatan gigi, dan
- Selenium yang diperlukan oleh sistem pertahanan badan bagi mencegah kanser.
7. Anggur
➢ Kandungan vitamin C dan B6 cukup tinggi serta mineral kalium yang berfaedah untuk saluran
pencernaan dan saluran kencing kerana bersifat diuretik.
➢ Biji anggur mengandungi antioksidan pycnogenolyang berfungsi sebagai :
- Penguat kolagen,
- Meningkatkan fungsi pembuluh darah, dan
- Anti-penuaan.
➢ Kulit anggur kaya dengan flavanoid yang dapat mencegah risiko strok dan darah tinggi.
➢ Anggur juga mengandungi Tannin yang mampu mencegah kerosakan gigi.
8. Cuka kurma
➢ Ibnu Sina dalam kitab beliau Al-Qanun Fi Al-Tib menyatakan bahawa cuka kurma dapat :
➢ Mencegah sebarang pembengkakan di badan (bisul, kanser)
➢ Menyucikan darah
➢ Membaiki masalah pencernaan di perut
➢ Masalah usus, kerongkong, kahak, batuk yang berpanjangan
➢ Menjaga kulit daripada kepanasan matahari
➢ Mengatasi masalah lemak-lemak di badan (kolesterol)
➢ Menstabilkan asid dan garam di badan
➢ Membuang keracunan badan (toksik)
➢ Masalah rahim
➢ Menguatkan gigi, mata dan telinga.
9. Madu
➢ Hasil kajian Universiti Zagreb di Croatia dan penemuan yang dimuatkan dalam Journal of the
Science of Food and Agriculture menunjukkan madu lebah kaya dengan bahan antioksidan
yang berfungsi menghalang bahan-bahan radikal bebas bertindak ke atas sel-sel badan
bertukar kepada kanser.
➢ Menurut dapatan kajian di Universiti Memphis di Tennessee, madu lebah sesuai untuk ahli-
ahli sukan kerana mengawal kadar hormon kortisol di tahap rendah untuk meningkatkan lagi
daya kekuatan otot. Madu juga merupakan sumber tenaga asli yang baik untuk semua orang
termasuk ahli-ahli sukan seperti yang dilaporkan dalam artikel Honey For The Fast Track oleh
British Honey Importers and Packers Association (BHIPA) Online di honeyassociation.com.
➢ Profesor Madya Peter Charles Molan dari Universiti Waikato, New Zealand mengkaji dan
mendapati madu lebah mampu membunuh pelbagai jenis kuman sama ada daripada jenis
bakteria, fungus atau protozoa.
➢ Hasil kajian University of Wales Institute Cardiff (UWIC), madu lebah berfungsi sebagai
antibiotik di mana ia mampu menembusi sistem pertahanan kuman sekaligus mencegah
pembiakan dan jangkitan kuman
10. Barli
➢ Kajian berkaitan barli menunjukkan bahawa ia berkhasiat untuk mereka yang mengalami
demam kerana ia lembut serta mudah dihadam. Di samping itu, ia dapat menurunkan
kolesterol serta dapat melindungi usus daripada penyakit kanser.
11. Jintan Hitam (Habbatussauda’)
➢ Pelbagai penyelidikan terhadap jintan hitam menemukan kesan positif berkaitan dengan
kesannya sebagai bahan antiradang dan antitumor serta meningkatkan sistem imunisasi
badan.
12. Minyak Zaitun
➢ Minyak ini mempunyai lemak mono tak tepu yang mempunyai kelebihan seperti dapat
melindungi diri daripada penyakit koronari jantung, menurunkan paras kolesterol darah,
mengawal tekanan darah serta melindungi diri daripada kanser.
Penutup
Rasulullah SAW mengamalkan cara hidup sihat melalui gaya pemakanan yang seimbang dan sentiasa
bersederhana. Gaya hidup baginda sangat sesuai dijadikan pedoman hidup agar terhindar daripada
gejala penyakit.
Rasulullah SAW sentiasa menggalakkan umatnya agar menjaga kesihatan. Sekiranya seseorang itu
sihat dan kuat, dia dapat bekerja dan mencari nafkah untuk keluarganya serta dapat membela
bangsa, masyarakat dan negara. Kesihatanlah yang membolehkan seseorang itu menyempurnakan
kewajipan dunia dan agamanya.
SUMBER
http://www.myhealth.gov.my/makanan-sunnah/
Makanan sunnah dan trend penyakit
Puan Norkumala binti Awang 20/02/2020
Trend pemakanan yang telah mempengaruhi inovasi industri makanan sejak beberapa dekad ini
ialah makanan sihat, mudah dan mapan. Pengguna lebih cenderung untuk memilih makanan yang
berorientasikan kesihatan, lebih mudah disediakan dan dimakan serta mesra alam sekitar.
Berdasarkan laporan trend makanan dan minuman 2019, tema penuaan sihat merupakan indikator
pemilihan makanan pengguna pada hari ini sebagai suatu persediaan ke arah jangka hidup panjang
yang sihat dan berkualiti.
Tambahan pula, kebimbangan pengguna terhadap penurunan kualiti kesihatan dan kesejahteraan
menyemarakkan lagi permintaan terhadap produk semula jadi dan makanan kesihatan seperti
produk makanan sunnah. Perkembangan ini telah menyumbang kepada pertumbuhan pesat industri
gergasi makanan tambahan termasuk produk makanan sunnah yang dianggarkan bernilai melebihi
USD100 bilion pada skala global.
Persoalan yang kerap tercetus dalam komuniti saintis ialah sejauh mana makanan tambahan
memberi kesan signifikan terhadap aspek kesihatan dan apakah produk makanan yang dilabelkan
sunnah dapat mengubah realiti status kesihatan masyarakat pada hari ini?
Kajian terkini membuktikan bahawa produk-produk tersebut tidak menghasilkan impak positif
kepada indikator kesihatan seperti kadar kematian, kanser dan penyakit kardiovaskular. Realitinya,
statistik telah membuktikan dalam tempoh 10 tahun iaitu, sejak 2007 sehingga 2017, sebanyak 54%
pertambahan kes penyakit jantung berlaku dengan 13,503 kematian pada 2017 berbanding 8,776
kematian pada 2007. Sebanyak 64% daripada pesakit yang mengalami kegagalan buah pinggang
turut mengalami diabetes dan lebih 20,000 pesakit dalam senarai menunggu pendermaan organ,
terutamanya buah pinggang.
Pengambilan produk makanan tambahan termasuk makanan sunnah tanpa mengira aspek jumlah
dan cara pengambilan tidak dapat membantu menambah baik kualiti tahap kesihatan. Pembudayaan
amalan pemakanan Nabi SAW, tidak harus diamalkan secara selektif mengikut pertimbangan sendiri
sebaliknya, amalan pemakanan Islami secara holistik boleh mencegah penyakit dan mengelak gejala
lebih teruk. Hal ini kerana yang diutamakan dalam Islam bukan hanya meliputi jenis makanan tetapi
turut merangkumi cara pengambilannya.
Mutakhir ini, negara kita dilanda wabak Influenza yang menimbulkan kegusaran dan kepanikan
ramai. Masyarakat disaran untuk mengamalkan langkah pencegahan seperti aspek kebersihan diri
dan vaksinasi. Namun, terdapat segelintir yang berpandangan tiada kepentingan dalam pengambilan
vaksin sama ada sebagai langkah pencegahan mahupun tindakan rawatan selepas dijangkiti.
Golongan ini mempunyai persepsi bahawa amalan mengambil makanan sunnah mampu
mengelakkan gejala penyakit terus merebak dan menolak vaksin.
Tidak dapat dinafikan dengan ketersediaan asas bukti saintifik, makanan sunnah menunjukkan
manfaat yang banyak kepada kesihatan manusia. Kesemua manfaat ini dapat diperoleh dengan lebih
baik daripada makanan sunnah secara asli berbanding produk makanan tambahan berasaskan
makanan sunnah. Namun, apakah hanya dengan diet dan makanan sunnah mampu mencegah dan
merawat jangkitan influenza?
Persoalan ini dapat dirungkai dengan penilaian secara subjektif dua situasi ‘boleh’ atau ‘tidak’
mengelakkan penularan influenza. Makanan mengandungi nutrien-nutrien tertentu yang membantu
dalam penghasilan antibodi. Unsur seperti zink terlibat dalam pertumbuhan sel darah putih yang
berperanan merembeskan antibodi. Asid amino pula penting dalam penghasilan immunoglobulin.
Pelbagai vitamin seperti A, B, C, D serta mineral lain penting dalam pembentukan sel-sel,
penghasilan hormon dan bertindak sebagai antioksidan dalam badan. Kesemua zat tersebut dapat
diperoleh daripada sumber makanan semula jadi, dan antibodi dapat dihasilkan bagi meningkatkan
kecekapan dalam sistem imuniti tubuh.
Namun, dalam isu wabak influenza yang melibatkan strain dan subtype virus baharu serta sentiasa
bermutasi yang masih belum dikenali oleh sistem badan. Justeru, badan memerlukan antibodi
spesifik untuk melawan jangkitan tersebut. Dalam situasi ini, pemvaksinan adalah langkah yang lebih
selamat untuk membantu sistem imuniti badan, di samping mengamalkan diet sihat dan langkah
menjimatkan dalam menangani penularan wabak iaitu amalan kebersihan.
Menolak pemvaksinan dan hanya bergantung pada makanan sunnah dan suplemen semata-mata
harus dielakkan. Pakar perubatan wajar dirujuk dalam mendapatkan penjelasan mengenai penyakit
dan sikap menafikan kredibiliti doktor kerana mengutamakan makanan sunnah dan menganggap ia
sebagai ubat atau penawar sesuatu penyakit perlu diperbetulkan. Makanan hanya bersifat sebagai
perlindungan umum dalam pencegahan awal dan perlu diamalkan sepanjang masa berbanding
dengan vaksin dan ubat-ubatan yang lebih bersifat khusus untuk rawatan penyakit tertentu.
Mengutamakan pengambilan produk makanan sunnah antara faktor keengganan para pesakit
menjalani rawatan pemulihan serta melengahkan proses mendapatkan bantuan daripada doktor
yang bertauliah. Bahkan jauh lebih ekstrem, terdapat pesakit yang memberhentikan ubatan moden
yang dipreskripsikan oleh doktor kerana memilih produk makanan sunnah. Hal ini kerana golongan
tersebut merasakan makanan tambahan dan produk makanan sunnah lebih selamat dan boleh
menggantikan ubatan moden dalam merawat penyakit. Persepsi sebegini seharusnya tidak wujud
dalam kalangan umat Islam kerana mengamalkan sunnah tidak hanya tertakluk kepada jenis
makanan dan sekiranya ubatan moden menepati prinsip jalb al-mashālih wa dar’u al-mafāsid juga
dianggap sunnah kerana semangat asalnya adalah untuk membawa kemanfaatan dan menolak
kemudaratan.
Persepsi dan salah faham dalam masyarakat pada hari ini harus diperbetulkan dengan kesedaran
dan pemahaman yang lebih jelas tentang konsep makanan sunnah, amalan pemakanan Islami dan
konsep usaha serta tawakal dalam penjagaan kesihatan dan perawatan penyakit. Pengamalan
tatacara pemakanan yang disarankan oleh Rasulullah SAW dengan lebih meluas dan menyeluruh
berupaya membantu umat Islam menangani ancaman penyakit. Bersifat selektif dan spesifik dalam
amalan makanan dan perubatan dengan alasan mengikut sunnah Nabi SAW dalam masa yang sama
menafikan keupayaan doktor, perlu diperbetulkan. Usaha dengan kaedah yang diperakui
keberkesanannya dan disarankan oleh pakar bertauliah adalah menepati konsep tawakal yang
dianjurkan Islam dalam meniti usia yang berkualiti dan sihat.
SUMBER
https://www.ikim.gov.my/index.php/2020/02/20/makanan-sunnah-dan-trend-penyakit/
Menjaga pemakanan sangat penting untuk satu organ kita yang sangat penting iaitu otak. Mengapa
menjaga pemakanan itu penting di dalam Islam? Di sini saya melihat pada konteks yang diajarkan
Allah swt di dalam al Qur’an seperti firmannya:
Wahai orang-orang yang beriman! Makanlah dari benda-benda yang baik (yang halal) yang telah
Kami berikan kepada kamu, dan bersyukurlah kepada Allah, jika betul kamu hanya beribadat
kepadanya. (Al-Baqarah: 172)
Ya, makanlah dari rezeki yang baik-baik sebagai tanda syukur pada nikmat dari Allah swt. Menjaga
pemakanan bermakna kita juga menjaga tubuh fizikal yang dikurniakan Allah swt. Ini juga menjadi
sebahagian ibadah sebagai hamba Allah, salah satu cara hidup dalam Islam. Rezeki yang baik-baik
pula semestinya halal kerana setiap yang haram dan dilarang oleh Allah swt dan RasulNya adalah
memudaratkan manusia.
Dari al Quran telah diberi panduan bagaimana mencari yang terbaik bagi diri kita. Rasulullah saw
juga amat tegas tentang soal menjaga kesihatan dan keberadaan tubuh badan seperti sabda
Baginda:
7 MAKANAN SUNNAH
Makanan Sunnah #1 – Madu
Madu merupakan satu-satunya makanan dihasilkan oleh lebah yang memiliki kesemua komponen
keperluan hidup manusia termasuk enzim, vitamin, mineral, kandungan air dan pinocembrin iaitu
satu antioksida yang membantu meningkatkan fungsi otak. Bahan antioksida diperlukan bagi
melawan radikal bebas yang boleh merosakkan sel.
Madu
Madu disebut dengan pelbagai kelebihan di dalam al-Quran.
Menjaga keberadaan sel adalah sangat penting kerana ada berbilion sel yang menjadi komponen
utama otak. Otak memerlukan sel-sel dan saraf yang sentiasa berhubung bagi melakukan
penyampaian matlumat agar mudah dan cepat diproses dan disimpan di dalam memori.
Terdapat banyak lagi kelebihan pada madu yang menjadi penawar pada pelbagai penyakit dan ini
selari dengan janji dalam firman Allah swt:
Surah Al-Nahl Ayat 69
Kemudian makanlah dari segala jenis bunga-bungaan dan buah-buahan (yang engkau sukai), serta
turutlah jalan-jalan peraturan Tuhanmu yang diilhamkan dan dimudahkannya kepadamu”. (Dengan
itu) akan keluarlah dari dalam badannya minuman (madu) yang berlainan warnanya, yang
mengandungi penawar bagi manusia (dari berbagai-bagai penyakit). Sesungguhnya pada yang
demikian itu, ada tanda (yang membuktikan kemurahan Allah) bagi orang-orang yang mahu berfikir.
(Al-Nahl: 69)
Makanan Sunnah #2 – Kismis
Buah anggur segar mengandungi kandungan vitamin C dan flavonoid yang tinggi. Vitamin C banyak
membantu menjaga kesihatan badan manakala flavonoid adalah antioksida yang membantu
melawan radikal bebas. Anggur kering iaitu kismis pula kaya dengan pelbagai vitamin, riboflavin dan
folat. Selain itu, mineral surih bernama boron membantu meningkatkan penumpuan, koordinasi
tangan dan mata serta meningkatkan memori.
Kismis
Ramai ulama’ menggalakkan pelajar mereka mengamalkan kismis.
Kismis juga merupakan salah satu makanan yang boleh mengurangkan tekanan, melancarkan
peredaran darah, merawat anemia, menguatkan jantung dan menerangkan hati selain dari terkenal
dengan kelebihannya kepada otak. Sabda Rasulullah saw tentang kismis adalah:
“Biasakanlah memakan kismis kerana kismis dapat menghilangkan kepahitan, menghilangkan lendir,
menyihatkan badan, membaguskan rupa, menguatkan saraf dan menghilangkan letih.”
Manakala ramai ulama’ yang menggalakkan pelajar mereka memakan kismis untuk menambah daya
ingatan otak seperti Ibni Qayyim sebagai berkata:
“Sesiapa yang ingin menghafal hadis hendaklah sering memakan kismis.”Petikan kitab Tibb an-
Nawawi
Kismis sebagai makanan otak telah lama dibuktikan dalam amalan pemakanan para ulama’ Islam
yang rata-rata berjaya meraih taraf ilmuwan di usia muda dan dalam pelbagai bidang. Pencapaian
luar biasa para ulama’ terdahulu membuktikan tahap luar biasa kapasiti otak yang mereka bentuk
sejak kecil lagi.
Makanan Sunnah #3 – Kurma
Buah yang manis ini adalah suatu keajaiban untuk manusia. Memiliki mineral, vitamin, serat dan
antioksida yang lengkap untuk kesihatan keseluruhan badan telah menjadikan buah kurma diiktiraf
sebagai pengganti diet yang paling baik di dunia terutamanya ketika proses penyembuhan penyakit.
Kurma
Kurma di iktiraf oleh Rasulullah s.a.w sebagai buah yang bagus untuk otak. [BazarTamar]
Antaranya kurma dapat membantu pesakit anemia, menguatkan tulang, meningkatkan tenaga batin,
mengawal berat badan, mencegah kanser dan mengelak serangan angin ahmar. Potassium di dalam
kurma pula menjadi agen utama dalam menjaga kesihatan sistem saraf. Ini telah meningkatkan
kepantasan dan ketajaman aktiviti otak.
Amalan memakan kurma bukan sahaja boleh dilakukan oleh individu malah digalakkan kepada
wanita mengandung untuk memakannya bagi membentuk otak yang sihat buat bayi di dalam
kandungan. Buah kurma juga telah diiktiraf oleh Rasulullah saw sebagai makanan yang baik untuk
otak seperti sabda Baginda:
“Berilah makan kurma kepada isteri-isteri kamu yang hamil, kerana sekiranya wanita hamil itu
memakan buah kurma, nescaya anak yang bakal dilahirkan itu menjadi anak yang penyabar,
bersopan santun serta cerdas pemikirannya.”
Ini dikuatkan lagi dengan kisah Maryam di dalam Quran di mana Allah swt telah menjadikan kurma
sebagai santapan Maryam setelah kelahiran Nabi Isa as. Ini membuktikan keajaiban kurma sebagai
penyembuh dan zat lengkap bagi manusia.
Makanan Sunnah #4 – Buah Tin
Surah At-Tiin Ayat 1-4
Demi buah Tiin dan Zaitun, Dan Gunung Tursina, Serta negeri (Makkah) yang aman ini, –
Sesungguhnya Kami telah menciptakan manusia dalam bentuk yang sebaik-baiknya (dan
berkelengkapan sesuai dengan keadaannya). (At-Tiin: 1-4)
Betapa hebatnya buah tin sehingga salah satu surah di dalam Qur’an dinamakan dengannya. Apa
yang menyebabkan buah ini mendapat kedudukan yang istimewa di dalam Islam? Seperti kurma,
kualiti buah tin bertambah seiring dengan kadar pengeringan buahnya. Buah kecil ini ternyata
memiliki kandungan vitamin, mineral, serat dan antioksida yang tinggi.
Secara saintifiknya apabila komponen dan keperluan badan adalah lengkap, maka badan akan
berada dalam keadaan kesihatan yang optimum kerana mampu berfungsi dengan baik. Istilah ‘you
are what you eat‘ juga ada benarnya. Buah tin banyak membantu menyihatkan sistem pencernaan.
Apabila sistem penghadaman sihat maka segala nutrisi dan khasiat makanan dapat diserap dengan
sepenuhnya oleh darah.
Buah Tin
Hebatnya buah tin sehingga dinamakan sebagai satu surah. [Mixwellness]
Aktiviti penyingkiran toksin dan sisa buangan juga dapat dilakukan dengan lebih efisien. Darah yang
terhasil adalah lebih berkualiti dan darah ini akan mudah diangkut ke seluruh badan termasuk otak.
Bukan sahaja otak mendapat segala kebaikan malah antioksida, vitamin dan mineral dari buah ini
juga dapat mengelak keradangan otak dan meningkatkan fungsi otak. Buah tin yang juga dapat
mengawal tekanan darah mampu membantu dalam menangani tekanan dan mengelak serangan
strok.
Keistimewaan demi keistimewaan yang banyak dari buah kecil ini tidaklah mustahil apabila buah ini
diangkat sebagai buah dari syurga seperti sabda Baginda saw:
“Sekiranya aku katakan, sesungguhnya buah yang turun dari syurga, maka aku kata, ‘inilah buahnya
(tin)’, sesungguhnya buah syurga tiada keraguannya.”Hadis Riwayat Abu Darda; Suyuti
Makanan Sunnah #5 – Minyak Zaitun
Saya cukup terpikat dengan pujian Allah swt kepada minyak zaitun yang bercahaya dan menjadi
sumber cahaya di dalam surah an-Nur ayat 35 seperti berikut:
Allah yang menerangi langit dan bumi. Bandingan nur hidayah petunjuk Allah (Kitab Suci Al-Quran)
adalah sebagai sebuah "misykaat" yang berisi sebuah lampu; lampu itu dalam geluk kaca (qandil),
geluk kaca itu pula (jernih terang) laksana bintang yang bersinar cemerlang; lampu itu dinyalakan
dengan minyak dari pokok yang banyak manfaatnya, (iaitu) pokok zaitun yang bukan sahaja disinari
matahari semasa naiknya dan bukan sahaja semasa turunnya (tetapi ia sentiasa terdedah kepada
matahari); hampir-hampir minyaknya itu - dengan sendirinya - memancarkan cahaya bersinar
(kerana jernihnya) walaupun ia tidak disentuh api; (sinaran nur hidayah yang demikian bandingannya
adalah sinaran yang berganda-ganda): cahaya berlapis cahaya. Allah memimpin sesiapa yang
dikehendakiNya (menurut undang-undang dan peraturanNya) kepada nur hidayahNya itu; dan Allah
mengemukakan berbagai-bagai misal perbandingan untuk umat manusia; dan Allah Maha
Mengetahui akan tiap-tiap sesuatu. (Surah An-Nuur: 35)
Allah yang menerangi langit dan bumi. Bandingan nur hidayah petunjuk Allah (Kitab Suci Al-Quran)
adalah sebagai sebuah “misykaat” yang berisi sebuah lampu; lampu itu dalam geluk kaca (qandil),
geluk kaca itu pula (jernih terang) laksana bintang yang bersinar cemerlang; lampu itu dinyalakan
dengan minyak dari pokok yang banyak manfaatnya, (iaitu) pokok zaitun yang bukan sahaja disinari
matahari semasa naiknya dan bukan sahaja semasa turunnya (tetapi ia sentiasa terdedah kepada
matahari); hampir-hampir minyaknya itu – dengan sendirinya – memancarkan cahaya bersinar
(kerana jernihnya) walaupun ia tidak disentuh api; (sinaran nur hidayah yang demikian bandingannya
adalah sinaran yang berganda-ganda): cahaya berlapis cahaya. Allah memimpin sesiapa yang
dikehendakiNya (menurut undang-undang dan peraturanNya) kepada nur hidayahNya itu; dan Allah
mengemukakan berbagai-bagai misal perbandingan untuk umat manusia; dan Allah Maha
Mengetahui akan tiap-tiap sesuatu. (Surah An-Nuur: 35)
Ayat ini bukan sahaja memberi gambaran betapa indahnya cahaya itu malah menjadikan saya
berfikir apakah yang menjadikan minyak zaitun bukan sahaja bercahaya seperti di dalam ayat di atas
malah para ulama’ mengatakan bahawa minyak zaitun boleh menerangi hati seorang penuntut ilmu
menjadikan hafalannya mudah dan hidayah Allah swt sentiasa menaunginya.
Suatu ilmu akan mudah difahami dan dihafal dengan keupayaan otak yang cemerlang. Di dalam
Islam, ilmu juga diumpamakan sebagai cahaya. Bagai ada suatu hubungan antara sifat ilmu dan
minyak zaitun serta hubung kait dengan otak. Apakah rahsianya?
Minyak Zaitun
Para saintis juga telah menemui banyak kelebihan minyak zaitun. [Zainal]
Minyak zaitun kaya dengan polyphenols- antioksida semulajadi, lemak sihat, sumber bagi Omega 3
dan Omega 6 yang juga terdapat di dalam ikan, avokado dan kekacangan. Antara khasiatnya adalah
menurunkan paras kolestrol, mengelakkan masalah jantung, mengawal tekanan darah,
mengurangkan tanda-tanda penuaan, menguatkan sistem imunisasi, melindungi dari kesan radikal
bebas dan mengelak keradangan.
Para saintis juga telah menemui bukti bahawa minyak zaitun memberi kesan yang baik terhadap
tulang dan kesihatan penghadaman serta agen anti-kanser. Tubuh badan yang sihat membantu otak
menjadi cerdas secara tidak langsung. Secara khusus kepada otak pula, minyak zaitun membantu
meningkatkan keupayaan kognitif dan juga memori. Mungkin kunci utamanya adalah lemak berguna
di dalam minyak zaitun yang penting bagi pemantapan kondisi otak kerana 60% komponen otak
adalah lemak.
Makanan Sunnah #6 – Habatus Sauda’
Dari dulu lagi saya mengamalkan minyak habatus sauda’ sebagai makanan tambahan untuk diri saya.
Jujurnya bukanlah fokus untuk otak kerana ketika itu saya hanya tahu bahawa biji hitam ini sangat
baik bagi meningkatkan imunisasi badan dan melawan penyakit (saya jenis yang mudah jatuh sakit).
Kemudian saya mula termenung setelah membaca sabda Nabi saw di dalam Kitab Sahih al Bukhari
Muslim, Abu Hurairah ra berkata bahawa Rasulullah saw pernah bersabda:
“Tetaplah kamu dengan Al-Habah Al-Sauda’ kerana sesungguhnya ia adalah penawar bagi segala
penyakit kecuali As-Sam atau mati.”
Apa yang mengganggu fikiran saya adalah betapa kuatnya penekanan terhadap biji kecil ini sebagai
penawar kepada SEGALA PENYAKIT. Terlalu banyak jenis penyakit di atas dunia ini. Mana mungkin
biji yang BEGITU KECIL memiliki begitu BANYAK KHASIAT.
Habbatus Sauda
Habbatus sauda mempunyai banyak kelebihan yang tidak dapat digambarkan.
Rasa ingin tahu telah menyebabkan saya mula menerokai matlumat mengenai habatus sauda’ dan
apa yang saya jumpa sangat hebat. Ya, terlalu banyak khasiat di dalamnya sehingga tidak mampu
untuk dinukilkan kesemuanya di dalam artikel ini. Malah kajian masih lagi dijalankan ke atas biji kecil
molek ini. Maha Suci Allah dan Maha Sempurna Allah. Siapa saya untuk meragui keAgungan Pencipta
alam ini yang Maha Kuasa atas segalanya. Tiada batas untuk Dia melakukan apa sahaja.
Dalam banyak-banyak penyakit yang boleh disembuhkan dan dielakkan dengan mengamal habatus
sauda’ (insya-Allah), saya pilih satu yang paling menarik perhatian saya. Minyak habatus sauda’ telah
terbukti mampu merawat penyakit epilepsi. Secara umum apabila suatu pekerjaan dilakukan,
bahagian otak yang tertentu akan menghantar isyarat bagi melaksanakan pekerjaan itu.
Namun apa yang berlaku kepada pesakit epilepsi adalah semua bahagian otak tiba-tiba menghantar
isyarat secara serentak sehingga mewujudkan kecelaruan kepada pesakit yang menyebabkan sawan.
Kajian pada tahun 2007 ke atas kanak-kanak yang menghidap penyakit ini mendapati bahawa
minyak habatus sauda’ dapat mengurangkan serangan sawan ke atas kanak-kanak ini. Ini hanya satu
daripada banyak lagi kelebihan habatus sauda’ yang membantu pemulihan keadaan otak seterusnya
mengoptimumkan kapasiti otak.
Makanan Sunnah #7 – Susu Kambing
Susu kambing adalah makanan penyembuhan yang terbaik bagi membina otak, sistem saraf dan
fakulti mental. Susu kambing mengandungi segala vitamin, mineral, protein dan lemak yang penting
bagi pertumbuhan jaringan otak, enzim dan neurotransmitter sekaligus memberi tenaga untuk otak.
Susu kambing juga adalah yang terbaik untuk menghasilkan semula sel-sel di dalam badan bagi
memulihkan kesihatan seseorang. Kebaikan susu begitu diangkat sehingga di dalam riwayat Imam al
Bukhari diceritakan bahawa ketika peristiwa Isra’ Mikraj, Jibril yang menghidang susu dan arak
kepada Rasulullah saw telah memuji pilihan Baginda iaitu susu. Jibril berkata,
“Segala puji bagi Allah yang telah menunjukkan engkau kepada fitrah. Seandainya engkau memilih
khamr, nescaya binasalah umatmu.”
Susu Kambing
Susu kambing adalah makanan penyembuhan yang terbaik bagi membina sistem saraf.
Walaupun tidak dinyatakan susu apa yang dihidang kepada Baginda ketika itu namun cukup jelas
bahawa Allah telah memberi nikmat yang besar kepada manusia melalui susu dan meminum susu
juga menjadi sunnah KekasihNya sendiri. Begitu dekatnya susu dengan manusia sehingga susu
adalah sebahagian dari fitrah manusia. Susu kambing paling menjadi kegemaran Rasulullah saw
terutamanya yang diminum terus selepas diperah.
Keistimewaan susu kambing adalah pada nutrisinya yang dua kali ganda lebih baik berbanding susu
lembu. Malah kehebatan susu kambing ternyata sama tandingnya dengan susu ibu sendiri. Bayi yang
minum susu ibu dan susu kambing ternyata memiliki sistem imunisasi yang lebih kuat, lebih cerdas
dan pintar berbanding dengan anak-anak yang diberi susu lembu atau susu ibu sahaja.
Selain itu susu kambing juga ternyata boleh diminum oleh semua peringkat umur kerana tidak
menyebabkan alahan dan keradangan seperti susu lembu. Partikel lemaknya yang lebih kecil
menjadikan susu kambing ternyata lebih mudah dihadam berbanding susu lembu.
Suka saya ingin pembaca supaya jelas bahawa proses penutrisian otak adalah berkait rapat dengan
sistem penghadaman yang baik. Susu kambing telah terbukti mampu merawat Crohn’s disease iaitu
suatu penyakit yang kronik melibatkan sistem penghadaman. Keadaan gastrik yang teruk juga boleh
dipulih
SUMBER
https://zayan.my/zayan-pit-stop/kesihatan/7-makanan-sunnah-yang-patut-anda-amalkan
RUJUKAN
1. http://www.myhealth.gov.my/makanan-sunnah/
2. https://www.ikim.gov.my/index.php/2020/02/20/makanan-sunnah-dan-trend-penyakit/
3. https://zayan.my/zayan-pit-stop/kesihatan/7-makanan-sunnah-yang-patut-anda-amalkan