Noheb dan adik-adiknya, Jagat dan Numis merupakan anak yatim piatu. Ibu bapa mereka meninggal dunia ketika
mereka masih kecil lagi. Sejak kematian orang tua mereka, ketiga-tiga beradik itu terpaksa berdikari dan menjaga
diri antara satu sama lain. Saban hari Noheb dan Jagat akan bekerja di sawah dan kebun. Kadangkala mereka
berdua juga akan keluar untuk mencari dan memungut kayu api. Numis pula akan membuat kerja di rumah seperti
memasak dan membasuh baju.
Pada suatu hari, ketika Numis sedang membasuh baju di sungai, dia terjumpa sebuah bakul yang berisi
buah mangga di atas sebongkah batu yang berhampiran. Tanpa mengesyaki sesuatu, Numis terus mengambil dan
membawa pulang bakul berisi buah mangga tadi. Dia dimarahi oleh Noheb.
“Kamu tidak ingatkah pesanan ayah? Ayah berpesan agar kita jangan mengambil apa-apa yang kita jumpai
kerana barang itu kepunyaan hantu,” kata Noheb.
Oleh sebab takut berlaku sesuatu yang buruk ke atas adik kesayangannya, Noheb pun menyuruh Numis
bersembunyi di dalam tabuh gendang. Tabuh gendang itu kemudian ditutupnya dengan tikar untuk mengaburi
mata hantu. Keesokan paginya Noheb berasa lega apabila mendapati Numis masih selamat. Noheb menyuruh
Numis keluar untuk bersarapan.
“Selepas ini kamu kena bersembunyi semula,” katanya.
Seperti biasa, Numis menyediakan sarapan. Selepas itu, tanpa pengetahuan Noheb dan Jagat, dia telah
turun ke sungai untuk mengambil air.
“Mana si Numis?” tanya Jagat yang baharu bangun tidur.
1
Ketika itu barulah Noheb sedar Numis tiada di dalam pondok. Sebentar kemudian Noheb dan Jagat dikejutkan oleh
jeritan Numis. Mereka sempat ternampak Numis dibawa lari oleh suatu lembaga hitam, kemudian lesap dari pandangan.
Tanpa berlengah-lengah Noheb dan Jagat cepat-cepat mengambil pedang dan parang masing-masing dan terus
keluar untuk menjejaki adik mereka. Penduduk kampung yang ternampak mereka berasa hairan.
“Kamu berdua hendak ke mana tergesa-gesa begitu?” tanya mereka.
Noheb dan Jagat menceritakan kejadian yang menimpa Numis. Seorang lelaki tua kemudian memberitahu Noheb
dan Jagat tentang Gua Krokong yang menjadi tempat tinggal hantu.
“Adik kamu sudah tentu dibawa ke gua itu,” katanya.
Noheb dan Jagat terus berlari ke arah gua yang diceritakan itu. Mereka mengambil masa selama tujuh hari untuk
sampai di sana. Apabila mereka sampai dekat pintu gua mereka terjumpa dengan seekor burung ajaib. Burung itu
memberitahu Noheb dan Jagat bahawa hantu-hantu yang tinggal di dalam gua tersebut telah menangkap seorang budak
perempuan. Budak itu akan dijadikan korban malam itu juga.
Noheb dan Jagat terus berlari masuk ke dalam gua tadi dengan harapan dapat menyelamatkan adik mereka. Sebaik
sahaja hantu ternampak Noheb dan Jagat, ia terus mempelawa mereka untuk berseronok dan bersuka-ria bersama-sama.
Hantu itu tidak tahu bahawa mereka berdua adalah saudara Numis. Noheb dan Jagat mesti bertindak cepat sebelum
terlambat.
“Kalau kamu minum tuak dahulu sebelum makan korban kamu itu barulah sedap,” kata Noheb, sengaja berbohong
tetapi nampak serius.
2
“Kalau begitu, kamu pergi cari tuak itu dan bawa balik ke sini!” Tanpa berfikir panjang raja hantu terus sahaja
mempercayai kata-kata Noheb.
Noheb pun meminta Jagat untuk pulang mengambil tuak yang dimaksudkan. Pada mulanya Jagat menolak kerana
perjalanan untuk pulang ke rumah mereka akan memakan masa lebih kurang tujuh hari. Bagaimanapun, setelah dipujuk,
Jagat akhirnya bersetuju juga. Burung ajaib yang berada di luar pintu gua tadi terdengar perbualan mereka lalu
meminjamkan sayapnya kepada Jagat agar dia boleh pulang dengan cepat.
Beberapa hari kemudian, Jagat pun kembali membawa tuak yang telah dipesan. Noheb kemudian memberi tuak itu
kepada Raja Hantu dan hantu-hantu yang lain. Hantu-hantu tidak mengesyaki apa-apa, terus minum tuak tadi sehingga
mabuk. Noheb dan Jagat segera mengambil kesempatan lalu membunuh hantu-hantu tersebut dengan senjata yang dibawa.
Matilah hantu-hantu kerana dibunuh oleh Noheb dan Jagat kecuali raja hantu yang sengaja dibiarkan hidup. Noheb dan
Jagat kemudian membebaskan adik mereka yang dikurung di dalam sebuah sangkar kayu.
Raja Hantu yang terselamat berasa takut setelah melihat hantu-hantu lain mati dibunuh dan menyerahkan gua
kediamannya kepada Noheb dan adik-adiknya. Selepas itu, Raja Hantu terus menghilangkan diri. Mula-mulanya Noheb dan
adik-adiknya tidak mahu menerima gua pemberian Raja Hantu tadi.
“Kamu terima sahaja. Semua sarang burung dalam gua itu akan menjadi milik kamu nanti. Kamu boleh jual sarang
burung itu,” nasihat burung ajaib pula.
Setelah mendengar nasihat burung ajaib itu barulah Noheb dan adik-beradik bersetuju menerima gua yang diberikan oleh
Raja Hantu tadi. Mereka berasa sangat gembira kerana menyedari nilai dan kepentingan gua itu.
3
Sejak hari itu, Noheb dan adik-adiknya akan datang untuk memungut sarang burung yang terdapat di dalam gua
sekali setahun untuk dijual. Hidup mereka bertambah senang.
Noheb dan adik-adiknya telah lama meninggal dunia tetapi masyarakat hari ini yang tinggal berdekatan dengan Gua
Krokong masih lagi memungut sarang burung dari gua itu untuk dijual kepada pedagang.
4