Antara isu alam sekitar yang memberi impak terhadap alam sekitar secara lokal dan global
ialah sisa pepejal di rumah. Jumlah sisa pepejal yang dijana semakin meningkat disebabkan
oleh peningkatan penduduk, peningkatan taraf sosioekonomi manusia dan perubahan gaya
hidup masyarakat kini diikuti oleh peningkatan bahan buangan domestik yang banyak
menyumbang kepada peningkatan sisa buangan pepejal ini. Berdasarkan satu kajian, secara
umum penduduk Malaysia menghasilkan 38,00 tan sisa pepejal setiap hari. 45% atau 17,000
tan daripada jumlah tersebut terdiri daripada keseluruhan komposisi sisa pepejal yang
dibuang setiap hari oleh masyarakat iaitu sisa makanan yang boleh dielakkan (Bernama,
Oktober 12, 2021). Hal ini bermakna sebanyak 215 kilogram sisa makanan dibuang oleh
setiap isi rumah setiap tahun (Tan, 2016). Hasil sampah atau sisa yang ada seharusnya boleh
dikitar semula atau diguna semula untuk tujuan pengurangan jumlah sampah. Namun
disebabkan oleh sikap masyarakat yang tidak bertanggungjawab dan kurangnya
kesedaran dan pengetahuan masyarakat setempat tentang aktiviti dan amalan kitar
semula menjadi masalah utama yang dihadapi oleh kebanyakan bandar di negara kita
termasuk di sekitar kawasan rumah saya. Ini menunjukkan masyarakat Malaysia
menghasilkan sisa pepejal pada kadar yang membimbangkan serta lebih cepat berbanding
proses degradasi bahan buangan secara semula jadi. Pada tahun 2030 dijangkakan
penjanaan sisa pepejal akan meningkat kepada 30,000 tan sehari (Aslina & Haliza, 2015).
Seterusnya, kepincangan dalam sistem pengurusan apabila kekurangan tenaga kerja
dalam menjalankan setiap tugas yang diamanahkan menyumbang kepada isu pengurusan
sisa pepejal. Hal ini demikian kerana memerlukan kos yang terlalu tinggi dalam pengurusan
sisa pepejal bermula daripada kutipan, pengumpulan hingga ke pengangkutan sampah ke
tapak pelupusan. Kekurangan tenaga kerja telah menjejaskan jadual pemungutan yang
dirancang dan menyebabkan jumlah sampah sarap terkumpul bertambah di sekitar kawasan
rumah saya. Justeru itu, sisa yang dibuang juga terdiri daripada plastik yang tidak mudah
diurai seperti botol minuman, botol minyak, botol detergen, botol sabun dan sebagainya.
Produk yang biasanya yang diperbuat daripada plastik boleh dikitar semula menjadi bahan
yang berguna dan memberi banyak faedah kepada pengguna. Tetapi pengurusan sisa
pepejal yang kurang efektif akan meningkatkan jumlah sisa pepejal isi rumah dan memerlukan
kos pengurusan sisa ini. Lantaran itu, masalah ketidakcekapan dan ketidakberkesanan
dalam pengurusan sisa pepejal lazimnya berpunca daripada kekangan sumber kewangan,
kekurangan pekerja dan fasiliti pengangkutan. Permasalahan ini juga berpunca daripada
lemahnya sistem pengurusan, tahap kesedaran, penglibatan masyarakat dan lemahnya
penguatkuasaan undang-undang.
Selain daripada itu, kekurangan tapak pelupusan sampah juga merupakan salah
satu isu berkaitan sisa pepejal isi rumah. Hal ini demikian kerana, pada mulanya pengurusan
sisa pepejal di Malaysia bermula daripada sampah yang telah dikutip dari premis dan dihantar
ke tapak pelupusan atau ke pusat pembakaran. Namun, kini pengurusan sisa pepejal menjadi
satu keperluan dan bukan lagi merupakan satu pilihan disebabkan peningkatan sisa pepejal
isi rumah dan sebagai usaha untuk melindungi alam sekitar dan menjamin kelestarian hidup
masyarakat. Oleh sebab itu, negara kita telah menyediakan 161 tapak pelupusan sampah
yang terdiri daripada tapak pembuangan sampah terbuka, jenis pelupusan terkawal, tapak
mempunyai bund yang mana sisa pepejalnya dikambus setip hari, tapak yang mempunyai
kemudahan paip pengumpulan air larut dan paip pengudaraan serta tapak yang mempunyai
sistem rawatan air larut resap (Azrina, 2014). Walaupun Malaysia mempunyai tapak
pelupusan sisa pepejal yang banyak, namun jumlah ini diyakini masih belum mencukupi untuk
menampung jumlah sisa setiap hari yang dihasilkan oleh setiap rakyat negara ini. Justeru itu,
sikap dan tabiat tidak endah rakyat Malaysia dalam mengamalkan kitar semula turut
meningkatkan risiko tapak pelupusan sedia ada semakin cepat mencapai jangka hayatnya.
Teknologi insinerator menjadi jalan penyelesaian terbaik kepada masalah kesukaran
mendapatkan lokasi baru tapak pelupusan (Mohd Armi & Mohd Yusoff, 2015).
Bukan itu sahaja, saya juga perhatikan bahawa tumbuh hiasan dan tanaman di sekitar
kawasan rumah saya menjadi kurang segar disebabkan kurang diberi perhatian dari segi
penjagaan tanaman ini. Kebanyakan orang di taman kediaman juga suka menggunakan baja
bukan organik yang juga dikenali sebagai baja kimia yang diperbuat daripada atau
menggunakan bahan kimia untuk tanaman mereka yang boleh mengakibatkan tanah menjadi
berasid. Tambahan pula, kekurangan pekerja, penjagaan semasa Perintah Kawalan
Pergerakan (PKP) dan tidak menggunakan baja organik merupakan faktor yang menyumbang
kepada penyebab isu ini. Pada masa sama juga, terdapat juga rakyat yang membuat
pembelian barangan keperluan masing-masing dalam kuantiti yang banyak semasa PKP dan
perayaan yang kemudiannya berakhir di tong sampah. Jelaslah bahawa sikap dan tingkah
laku pengguna menyumbang kepada peningkatan sisa makanan. Hal ini boleh diatasi melalui
pendidikan kesedaran dengan mengitar semula. Contohnya, kenal pasti sisa kering seperti
plastik yang boleh dikitar semula manakala sisa makanan pula dikompos dan dilupuskan
dengan lebih baik dan menjadikannya sebagai baja kompos (Mohd Zain Hassan, 2021)