The words you are searching are inside this book. To get more targeted content, please make full-text search by clicking here.
Discover the best professional documents and content resources in AnyFlip Document Base.
Search
Published by arifanuramani, 2023-02-28 08:59:27

Akal Budi Gurindam Beberapa Petua Hidup

Akal Budi Gurindam Beberapa Petua Hidup

KANDUNGAN BIL. PERKARA 1.0 KONSEP SASTERA 2.0 FUNGSI SASTERA 3.0 AKAL BUDI GURINDAM BEBERAPA PETUA HIDUP 4.0 RUMUSAN RUJUKAN


Sastera merupakan suatu bentuk ciptaan seni yang disampaikan dalam bentuk bahasa. Perkataan sastera berasal daripada bahasa Sanskrit iaitu ‘Castra’ yang bermakna tulisan. Perkataan itu diserap ke bahasa Melayu menjadi sastera yang bermaksud bahasa serta ditambah imbuhan awalan ‘su’ iaitu di dalam bahasa Jawa bermakna indah dan baik seterusnya sastera menjadi susastera yang bermakna bahasa iaitu huruf atau perkataan yang indah (Muhammad Ariff Ahmad, 2009). Dalam bahasa Sanskrit, akar kata sas- ialah kata kerja terbitan yang bermaksud mengarah, mengajar, memberi petunjuk atau arahan. Kata akhirnya iaitu - tra yang membawa erti alat atau sarana. Oleh itu, sastra merupakan alat untuk mengajar, buku petunjuk, buku arahan atau pengajaran. Menurut Kamus Dewan Edisi Keempat pula, sastera boleh ditakrifkan sebagai bahasa yang digunakan dalam kitab-kitab iaitu bukan bahasa basahan. Sastera juga bermaksud kesusasteraan hasil seni yang diwujudkan dalam bentuk karangan bebas dan dalam bentuk prosa atau puisi yang mempunyai ciri-ciri keistimewaan yang tertentu. Sastera juga merupakan suatu cabang seni bahasa hasil karya ciptaan masyarakat Melayu yang telah digunakan oleh orang terdahulu dan diturunkan dari generasi ke generasi sehingga hari ini. Hasil karya sastera biasanya menggunakan bahasa yang indah-indah serta mempunyai maksud yang tersirat. Menurut (Harun Mat Piah et. al., 2006), sastera merupakan satu bidang seni kreatif yang menggunakan bahasa sebagai medium pengantarnya. Sastera Melayu merangkumi dua genre iaitu prosa dan puisi serta terdapat beberapa pecahan lagi iaitu prosa moden, prosa tradisional naratif dan prosa tradisional bukan naratif serta puisi tradisional dan puisi moden. Prosa moden biasanya dihasilkan dalam bentuk karangan seperti novel, cerpen dan drama. Prosa tradisional naratif pula boleh dibahagikan kepada dua bahagian iaitu naratif lisan seperti satera rakyat, mitos dan lagenda serta naratif tulisan seperti sastera panji, epik dan hikayat.Puisi tradisional adalah puisi yang berbentuk bebas seperti pantun, gurindam, syair, peribahasa dan seloka, manakala puisi moden berbentuk terikat iaitu sajak 1.0 KONSEP SASTERA


Terdapat banyak fungsi-fungsi sastera Melayu yang perlu diketahui agar masyarakat Melayu zaman kini lebih menghargai hasil karya sastera. Menurut (Prof Madya Dr. Adli Yaacob, 2017), manusia berkarya kerana dua tujuan iaitu berkarya kerana seni falsafah yang didokong oleh aliran seni dan berkarya kerana diri sendiri, masyarakat, sesuatu isme, ideologi dan sebagainya. Berdasarkan ayat tersebut, sastera berfungsi sebagai alat untuk mengajar dan mendidik yang bertujuan untuk memberi kesedaran serta membangunkan akal diri sendiri dan masyarakat. Melalui kisah-kisah yang ditulis oleh ahli sasterawan, terangkum di dalam hasil sastera mereka pelbagai bidang ilmu seperti ekonomi, politik, sosiologi dan agama.Pengalaman mereka yang dijadikan prosa atau puisi dan ditambah dengan unsur-unsur pengajaran, moral serta ilmu pengetahuan yang tinggi nilainya, boleh dikutip oleh para pembaca untuk dijadikan bahan didikan. Menurut (Norazimah Zakaria, 2014) pula, fungsi sastera yang merujuk epistemologi Islam yang tertinggi adalah sastera yang bertujuan untuk penyempurnaan rohani manusia, serta bersifat didaktik atau karya-karya adab. Menurut beliau juga, sastera mampu untuk menghidupkan deria melalui keindahan, serta berfungsi sebagai pelerai, hiburan, menyampaikan keseronokan dan menghiburkan hati. Pada zaman dahulu, masyarakat Melayu akan berkumpul pada malam hari setelah sibuk mencari nafkah pada siangnya atau pada waktu lapang untuk mendengar cerita-cerita rakyat yang akan diceritakan bagi menghilangkan kebosanan. Mereka akan berkumpul untuk berhibur sambil mengambil pengajaran melalui cerita rakyat yang disampaikan di samping dapat mengeratkan ukhuwah sesama masyarakat. Seterusnya, sastera juga dijadikan instrument penting bagi mewujudkan semangat kekitaan dan perpaduan di kalangan rakyat dalam usaha untuk membina sebuah negara Malaysia yang bersatu padu walaupun mempunyai pelbagai bangsa dan agama.Hal ini kerana, sastera Melayu menggunakan bahasa Melayu sebagai bahasa pengantarnya yang menjadi asbab bahasa Melayu diperkasakan dan dimartabatkan lagi sebagai bahasa kebangsaan dan bahasa perpaduan negara kita. Selain itu, sastera berperanan dalam usaha penggayaan khazanah ilmu dan persuratan bahasa Melayu yang perlu dipertingkatkan kepada semua peringkat usia pembelajaran dan pengajaran. Oleh itu, proses pembentukan jati diri dan cinta akan khazanah negara dapat diatur, dilentur dan dibentuk sebaiknya. Hal ini kerana, pengajaran dan pembelajaran sastera sangat penting untuk difahami agar warisan bangsa Melayu ini dapat diturunkan ke generasi akan datang serta tidak ditelan zaman 2.0 FUNGSI SASTERA


3.0 AKAL BUDI GURINDAM BEBERAPA PETUA HIDUP (ZA'BA) Gurindam adalah suatu bentuk puisi Melayu tradisional yang berbentuk terikat iaitu terdiri daripada dua baris serangkap dan mengandungi tiga hingga enam patah perkataan setiap baris dengan rima akhir ‘a’, ‘a’. Seuntai gurindam memerlukan beberapa rangkap untuk melengkapkan keseluruhan idea yang cuba disampaikan oleh pengarang. Setiap gurindam biasanya akan sarat dengan berbagai-bagai pengajaran, nasihat, kebenaran serta pernyataan perasaan cinta. Isinya mengandungi fikiran yang bernas dengan bahasa yang riang dan dinyanyikan.Gurindam yang dikenali sekarang diperkenalkan oleh Raja Ali Haji melalui “Gurindam Dua Belas” yang dikarangnya pada tahun 1846 (Dr. Azman Rahmat et. al., 2023). Gurindam merupakan bawaan orang Hindu atau pengaruh sastera Hindu dan perkaatan gurindam itu juga berasal daripada bahasa Sanskrit menerusi Bahasa Tamil iaitu ‘iradam’, ‘kirandam’ yang dimaksudkan sebagai puisi secara terbuka dan mengutarakan idea yang saling melengkapi serta merupakan petua, nasihat atau pengajaran. Gurindam mempunyai keistimewaan yang tersendiri iaitu jika dibaca, kedua baris setiap rangkap boleh menjadi ayat majmuk. Baris pertama di dalam setiap rangkap gurindam merupakan sebab atau asbab yang dipanggil ‘protasis’ dan baris keduanya mengandungi akibat atau musabab yang dipanggil ‘apodosis’. Berikut merupakan contoh akal budi masyarakat Melayu dalam Gurindam Beberapa Petua Hidup yang dikarang oleh Za’ba:


3.0 AKAL BUDI GURINDAM BEBERAPA PETUA HIDUP (ZA'BA)


Akal budi pada contoh gurindam Beberapa Petua Hidup yang pertama iaitu Fikir dan Kata, pengarang menjelaskan kepada pembaca bahawa fikirlah dahulu sebelum berkata-kata kerana orang yang bercakap kasar tanpa berfikir akan akibatnya atau menuduh secara melulu tanpa usul periksa dahulu kelak perasaan menyesal akan memakan diri sendiri. Hal ini kerana, kata-kata atau tuduhan yang dilemparkan mungkin tidak betul. Pengarang juga mengibaratkan perkataan itu tajam seperti pisau, jika terlepas dan menyakiti perasaan orang lain, kelak akan berlaku persengketaan. Contoh yang kedua iaitu gurindam Saling Sengketa, pengajaran yang pengarang cuba sampaikan adalah kita mestilah menghindari atau menjauhkan diri daripada mewujudkan pergaduhan dan jika kita terlibat di dalam sesuatu pergaduhan, janganlah kita melarikan diri tanpa menyelesaikan masalah yang timbul. Secara keseluruhan karya gurindam Beberapa Petua Hidup, dapat kita lihat bahawa gurindam yang dihasilkan oleh pendeta Za’ba ini berunsur dakwah yang mengajak melakukan kebaikan dan melarang kemungkaran iaitu ‘Amar Makruf dan Nahi Mungkar’. Seperti tajuk gurindam ini iaitu ‘petua’ yang bermaksud panduan atau petunjuk, terdapat maksud tersirat yang dapat kita ambil untuk dijadikan pengajaran dan diterapkan di dalam hidup. Kesemua nasihat yang terdapat di dalam gurindam ini perlulah diambil cakna agar hidup akan tenang dan harmoni kerana kita dapat mengelak daripada perkara yang tidak diingini daripada berlaku iaitu seperti yang dipesan di dalam gurindam Fikir dan Kata, Saling Sengketa dan Sifat-sifat yang jahat. Terdapat juga nasihat untuk kita mementingkan diri sendiri dahulu sebelum membantu orang lain atau pepatah baratnya disebut ‘self-love comes first’ seperti yang disampaikan dalam gurindam Perbuatan yang Baik serta nasihat yang mengajak kita untuk rajin bersedekah dan berusaha menuntut ilmu serta memilih kawan yang berbudi pekerti mulia.


Dalam kehidupan di dunia, kita pasti pernah melakukan kesalahan yang tidak dapat dielakkan kerana kita semua hanya manusia biasa yang tidak lari daripada melakukan kesilapan.Oleh itu, kita memerlukan kata-kata hikmah seperti gurindam ini untuk memberi kesedaran kepada diri sendiri supaya kita dapat mendidik diri untuk tidak mengulangi kesilapan yang sama.Justeru, kita dapat menghindarkan diri daripada melakukan kesilapan lain yang kita sudah ketahui salah. Perbincangan akal budi masyarakat Melayu juga boleh dilihat dalam konteks falsafah dan pemikiran dalam puisi tersebut. Falsafah yang terkandung dalam karya Gurindam Beberapa Petua Hdup ini membincangkan pelbagai persoalan kehidupan manusia daripada sudut pandangan orang yang sudah tahu asam garam kehidupan iaitu orang yang sudah berpengalaman melalui pelbagai pancaroba hidup. Nilai-nilai murni yang terdapat di dalam gurindam ini perlu dijadikan pedoman untuk membentuk keperibadian insan yang mulia.Nilainilai yang diperolehi berdasarkan gurindam termasuklah nilai kesopanan iaitu kita diingatkan supaya menjaga tutur kata, nilai rajin iaitu kita digalakkan untuk rajin mencari ilmu dan kemahiran, nilai rasional iaitu kita dinasihatkan untuk berfikir dahulu sebelum berbicara agar tidak menyebabkan salah faham atau sengketa, nilai kebijaksanaan iaitu kita harus bijak memilih sahabat dan akhir sekali, mengenang jasa iaitu sesiapa yang banyak berjasa akan dikenang setiap masa. Selain itu, kita juga dapat lihat bahawa pendeta Za’ba mempunyai pemikiran yang tinggi dan mendalam kerana baitbait rangkapnya disusun dengan sangat baik dan mempunyai maksud yang tersirat. Beliau sangat bijak memilih perkataan yang tepat untuk menyampaikan sesuatu ilmu kebenaran dengan cara yang indah dan sempurna. Justeru, menjadikan gurindam Beberapa Petua Hidup ini menarik untuk dibaca, dikaji dan difahamkan maksudnya.


Sastera Melayu merupakan karya kreatif yang telah diwarisi turun-temurun dan tersebar secara lisan dan tulisan. Melalui sastera juga, terdapat gambaran cara hidup atau budaya masyarakat Melayu. Sebagai rakyat Malaysia yang majoritinya berbangsa Melayu, tanggungjawab kita adalah untuk memahami, mengingati dan mendapat faedah daripada hasil karya sastera Melayu seterusnya menyampaikan semula kepada generasi akan datang. Hal ini kerana, sesuatu penulisan atau karya sastera itu tidak hanya ditulis secara suka-suka, tetapi sarat dengan pengajaran, teladan dan panduan. Terpulang kepada kita untuk menilai yang mana emas dan yang mana permata kerana tiada satu pun hasil karya yang boleh disumpulkan sebagai tidak berguna. Malah, nilai sesebuah karya klasik itu semakin lama semakin tinggi nilai harganya kerana kaya dengan pencapaian intelektual dan berharga bagi sesuatu bangsa. (1 478 patah perkataan) 4.0 RUMUSAN


RUJUKAN


Sekian, Terima Kasih


Click to View FlipBook Version