PUISI MELAYU TRADISIONAL KESUSASTERAAN DAN KEBUDAYAAN MELAYU (BMMB1104) NUR SYAZANA BINTI ABDUL TALIB PPISMP B7
PANTUN
Pantun merupakan salah satu bentuk puisi tradisional masyarakat Melayu yang telah digunakan sejak zaman dahulu lagi. Pantun terdiri daripada dua atau empat baris serangkap. Jumlah perkataan dalam sebaris pantun mestilah antara lapan hingga dua belas suku kata. Rima akhir pantun dua kerat ialah a/a manakala bagi pantun empat kerat ialah a/b/a/b. Setiap pantun yang dihasilkan mengandungi baris pembayang dan baris maksud. Pembayang akan memasukkan elemen alam serta budaya masyarakat Melayu yang melibatkan baris pertama dan kedua. Maksud pula berfungsi untuk menyampaikan sesuatu mesej kepada pendengar. KONSEP PANTUN
FUNGSI PANTUN Pantun merupakan rangkapan tertua yang dimiliki oleh bangsa Melayu. Fungsi pantun antaranya adalah dijadikan sebagai hiburan. Masyarakat Melayu pada zaman dahulu mempunyai sumber hiburan dan permainan yang terhad. Oleh hal yang demikian, pantun telah dicipta bagi mengisi masa lapang mereka dengan berpantun. Selain itu, pantun juga berperanan dalam menyampaikan nasihat. Masyarakat Melayu terkenal dengan budi bahasa yang tinggi sehingga teguran disampaikan dengan penuh berhemah serta penuh kesantunan supaya tidak mengguris hati orang yang mendengar.
PEMIKIRAN pANTUN Gaya pemikiran yang terdapat dalam puisi yang dihasilkan ialah pendidikan. Perkara ini dapat dilihat daripada aspek kandungan tersirat yang disampaikan oleh pengarang melalui pemilihan diksi yang sesuai. Misalnya, pengarang banyak menggunakan perkataan 'ilmu' yang amat berkait rapat dengan pendidikan. Hal ini membuatkan pendengar dapat membuat kesimpulan ringkas tentang pemahaman yang diperoleh melalui pantun yang disampaikan. Penggunaan perkataan lain yang berunsurkan pendidikan juga mampu mengajak pendengar untuk memahami mesej yang ingin dikongsikan dengan lebih mudah.
Ketupat palas dibawa berkelah, Enak dijamu penuh selera, Janganlah culas pergi ke sekolah, Belajar ilmu baca dan kira. Rantai si nyonya dibawa gadai, Di pagi yang redup mengubat derita, Tiada gunanya bijak pandai, Jikalau hidup berkata dusta. Cantik berbedak si dara Suria, Mencari lada dagangan Papua, Ilmu tidak mengenal usia, Baik yang muda atau yang tua. Menarik beca penuh cekal, Itulah Pak Awang berhati girang, Insan membaca tinggi intelektual, Pelajar cemerlang pendidikan terbilang. Hinggap kenari ke dahan tamu, Termakan umpan nyawa tergugat, Lahirnya jauhari kerana ilmu, Menjadi tauladan ummah sejagat. PANTUN - TEMA PENDIDIKAN
SYAIR
KONSEP SYAIR Asal usul syair adalah dari Parsi yang difahamkan telah dibawa masuk ke Nusantara seiring dengan kedatangan Islam. Mohd. Yusof Md. Nor (1985) berpendapat bahawa syair berasal daripada puisi Arab iaitu "sy'ir" , namun bentuk syair Melayu amat berlainan dengan syair kesusateraan Arab (Azman Rahmat et al., 2023). Syair masyakat Melayu adalah bersifat asli tanpa merujuk kepada mana-mana syair tradisi Arab. Syair terdiri daripada beberapa rangkap supaya penceritaan dapat disampaikan sepenuhnya. Serangkap syair mengandungi empat baris yang terikat rima akhirnya, a/a/a/a. Setiap baris syair melibatkan 4 hingga 5 patah perkataan dengan bilangan suku kata sekita 8 hingga 12 suku kata. Puisi syair mempunyai awalan dan juga akhiran bagi melengkapkan sebuah penceritaan.
FUNGSI SYAIR Syair berfungsi untuk menyampaikan sebuah kisah yang boleh dijadikan teladan. Hal ini demikian kerana syair yang dikarang kebiasaannya mempunyai pembuka dan penutup cerita menyebabkan penerimaan masyarakat terhadap syair lebih bersifat sebagai satu penceritaan. Perkara ini dikukuhkan lagi dengan nasihat serta sindiran yang berkait dengan kehidupan masyarakat ketika itu. Seterusnya, syair berperanan dalam penyebaran agama. Hal ini demikian kerana syair dijadikan pendekatan bagi menyebarkan agama Islam melalui riwayat hidup nabi dan sebagainya. Pujian juga banyak diselitkan dalam penghasilan syair yang baik kerana dapat menambah penghayatan pendengar terhadap syair yang ditulis.
Pemikiran yang dikemukakan di dalam syair ini berkait dengan pengalaman hidup. Pembelajaran berlaku melalui setiap pengalaman yang dilalui. Melalui pengalaman juga, seseorang dapat mengenal erti kehidupan. Dalam syair tersebut, pengarang menceritakan perkara yang sangat dekat dengan realiti kehidupan masa ini dari pelbagai aspek seperti masalah sosial, adab dan akhlak yang boleh mengubah tingkah laku seseorang. Pendekatan pemikiran ini amat wajar untuk diutamakan agar boleh menanam kesedaran dalam diri pendengar tentang pentingnya pengalaman hidup dalam mengajar erti sebuah kehidupan yang bermakna. PEMIKIRAN SYAIR
Bermulalah warkah sebuah kisah, Cerita nan silam dikenang usah, Namun yang baik diambil kisah, Sebagai ingatan menepis susah. Hidupnya bagai si anak raja, Tak lokek kasih malah dimanja, Meningkat dewasa derhaka saja, Membuat si tua bermuram durja. Kalakian hanyut dibuai lena, Hingga teladan tiada laksana, Ilmu di dada semakin sirna, Hayat kelompang di negeri fana. Tutur katanya acap temberang, Didengar orang terasa berang, Beroleh tidak percaya orang, Jiwanya gundah diam seorang. Usul yang molek harus dicita, Terasing jauh dari yang nista, Begitulah cerita lakaran tinta, Berhujung sudah syair dicipta. SYAIR - TEMA PENGALAMAN HIDUP
GURINDAM
KONSEP GURINDAM Gurindam dikatakan bersal daripada bahasa Tamil, 'iradam' dan 'kirandam' yang membawa maksud puisi secara terbuka. Raja Ali Haji mula memperkenalkan gurindam bertajuk 'Gurindam Dua Belas' pada tahun 1846. Gurindam berbentuk terikat dengan dua baris setiap rangkap. Setiap rangkap mestilah mengandungi jumlah patah perkataan antara tiga hingga enam, dengan suku kata antara 8 hingga 12 suku kata. Rima akhir bagi gurindam mestilah sama iaitu a/a. Gurindam memerlukan beberapa rangkap bagi menjelaskan idea secara menyeluruh.
FUNGSI GURINDAM Gurindam menggunakan laras bahasa kreatif bagi melontarkan pandangan yang serius sesuai dengan peranannya. Gurindam berperanan sebagai wadah menyampaikan pengajaran kepada masyarakat. Terdapat unsur murni yang dimasukkan bagi mendidik masyarakat bermoral. Kebiasaannya, gurindam akan melibatkan sebab dan akibat sesuatu perlakuan yang boleh memberi kesan dalam kehidupan sama ada baik mahupun sebaliknya. Di samping itu, gurindam juga berfungsi sebagai penyampai kebenaran misalnya melibatkan ilmu agama. Kebenaran yang dirungkai dalam gurindam dapat mengajak masyarakat berbuat kebaikan dan mematuhi segala perintah Yang Maha Kuasa.
PEMIKIRAN GURINDAM Pemikiran gurindam ini berkisar mengenai kepentingan ilmu dalam kehidupan. Pengarang menjelaskan dengan penuh terperinci kesan positif mendalami sesuatu ilmu terhadap perkembangan insaniah seseorang individu. Hal ini dapat dibuktikan dengan penegasan yang digunakan oleh pengarang melalui pernyataan kesan tidak mempelajari ilmu yang boleh membawa kesedaran kepada masyarakat. Selain itu, pengarang juga menyatakan faedah menguasai ilmu yang boleh menaikkan semangat audiens untuk menuntut ilmu.
GURINDAM- TEMA ILMU Jika ilmu tiada terpelajar, Nescaya hayat hilanglah ganjar. Jika hendak meniti kejayaan, Jangan sekali abaikan pelajaran. Jika bertanya lidahnya kelu, Nescaya ilmu bertandang malu. Jika ilmu hendaknya berkat, Pesan guru dibawa beringat. Sulitnya belajar tiada tertahan, Titipkanlah doa pada tuhan.
RUJUKAN Azman Rahmat, Mohd. Nazri Zainuddin, Shamsudin Abu Bakar, Abdul Rani Hassan, & Hasnah Awang. (2023). Pengenalan kesusasteraan dan kebudayaan Melayu. Pustaka Al-Ehsan.
TERIMA KASIH !