Sejarah 1.3 Kerajaan Alam Melayu yang Masyhur
Pengenalan • Antara kerajaan alam melayu yang masyhur termasuklah Funan,Champa,Srivijaya,Angkor,Majapahit ,Kedahtua dan Gangga Nagara.Kemasyhuran kerajaan ini dapat dilihat dalam aspek pemerintahan, ekonomi, agama dan kemunculan pelabuhan.
Kerajaan Funan •Kerajaan Funan yang berpusat di Vyadhapura diasaskan oleh seorang Brahmin Bernama Kaundinya. Beliau berkahwin dengan Soma, pemerintah wanita di Sungai Mekong dan membentuk kerajaan Funan.
Kemasyhuran Kerajaan Funan • Kerajaan Funan masyhur semasa diperintah oleh Fan Shih-man. Beliau telah meluaskan empayar Funan ke Sungai Mekong hingga Teluk Camranh di sebelah timur. Kemudian, beliau menguasai selatan Myanmar dan Segenting Kra. Kejayaan beliau menguasai wilayah ini membolehkan Funan menguasai jalan perdagangan utama antara timur dengan barat.Kesannya, pada abad ketiga Funan menjadi pusat perdagangan utama di Alam Melayu.Raja Funan terakhir ialah Rudravarman. Serangan kerajaan Chenla yang terletak di utaraFunan telah menyebabkan kemerosotan kerajaan Funan.
Kerajaan Champa •Kerajaan Champa diasaskan oleh ChuLien pada tahun 192 M. Pusat kerajaan ini adalah •di Indrapura. Champa sering berhadapan dengan serangan dari Dai Viet. Chu-Lien berjaya •membebaskan Champa daripada pengaruh China.
Kemasyhur Kerajaan Champa • Zaman kemasyhuran Champa bermula di bawah pemerintahan Che Bong Nga. Beliau berjaya mengatasi ancaman Dai Viet dan meluaskan empayar Champa ke wilayah Dai Viet hingga Lembah Sungai Merah. Serangan Champa ke wilayah Dai Viet berjaya membunuh Raja Tran Due Tong, pemerintah Dai Viet. Pemerintahan beliau mendapat pengiktirafan daripada Dinasti Ming pada tahun 1369. Kemerosotan kerajaan Champa bermula apabila pemerintahnya, Indravarman meninggal dunia pada tahun 1441. Dai Viet menggunakan peluang ini dengan melancarkan beberapa serangan ke atas Champa. Pada tahun 1471, Champa ditawan oleh Dai Viet.
Kerajaan Srivijaya •Kerajaan Srivijaya diasaskan oleh Dapunta Hyang Sri Jayanasa pada tahun 683 M di Palembang.Beliau telah memperkukuh kerajaan Srivijaya dengan menakluk kawasan sekitarnya seperti Bangka dan Taruma.
Kemasyhuran Kerajaan Srivijaya • Semasa era pemerintahan Sangramadhananjaya pada abad kelapan, Srivijaya telah berjaya menakluk Sumatera, selatan Myanmar, Tanah Melayu dan Segenting Kra. Penaklukan ini juga membolehkan Srivijaya menguasai jalan laut antarabangsa, iaitu Selat Melaka dan Selat Sunda, seterusnya menjadi kuasa perdagangan utama di Alam Melayu. Selain terkenal sebagai pusat perdagangan, Srivijaya menjadi pusat pengajian agama Buddha. Serangan tentera Chola dari selatan India pada tahun 1025 telah menyebabkan kerajaan Srivijaya menjadi lemah.
Kerajaan Angkor •Kerajaan Angkor yang berpusat di Hariharalaya diasaskan oleh Jayavarman II dari Chenla. Beliau telah menyatukan wilayah di Lembah Sungai Mekong.
Kemasyhuran Kerajaan Angkor • Suryavarman II meluaskan empayar Angkor ke sekitar Lembah Sungai Mekong hingga selatan Myanmar. Beliau berjaya menghalang ancaman daripada Champa dan Dai Viet, di samping mewujudkan jalinan perdagangan antara pedagang tempatan dengan pedagang luar. Usaha beliau ini diteruskan pula oleh Jayavarman VII yang telah meluaskan empayar Angkor hingga sempadan Annam. Beliau membina Angkor Thom dan mendirikan 102 buah hospital.Selepas kematian Jayavarman VII, Angkor mula lemah. Serangan Siam pada tahun 1594 telah melemahkan kerajaan Angkor.
Kerajaan Majapahit •Kerajaan Majapahit diasaskan oleh Raden Vijaya dengan bantuan tentera Mongol dalam perebutan kuasa di Jawa pada tahun 1294. Kerajaan ini berpusat di Kota Trowulan.
Kemasyhuran Kerajaan Majapahit • Kemasyhuran Majapahit bermula dengan pelantikan Patih Gajah Mada sebagai Perdana Menteri (Majapahit) oleh pemerintah Tribuana Tunggadewi. Patih Gajah Mada berjaya mengembalikan keamanan dan keselamatan kerajaan Majapahit. Beliau juga mula meluaskan tanah jajahannya ke timur Pulau Jawa; pesisir pantai timur Sumatera; pesisir selatan dan barat Pulau Borneo; bahagian selatan dan timur Sulawesi; dan Kepulauan Maluku.Hal ini menjadikan Majapahit sebagai pusat perdagangan pada abad ke-14. Kematian Patih Gajah Mada dan serangan kerajaan Demak pada tahun 1478 telah menyebabkan kerajaan Majapahit menjadi lemah.
Kerajaan Kedah Tua • Kemunculan kerajaan Kedah Tua bermula dengan penglibatan masyarakat di Guar Kepah yang menjalankan kegiatan perdagangan dengan pedagang dari luar di Sungai Mas. Pada peringkat awal, pusat kerajaan ini adalah di Sungai Mas dan Pangkalan Bujang. Kewujudan kerajaan Kedah Tua ini diperkukuhkan dengan catatan golongan agama dan pedagang dari China, India dan Arab-Parsi. Sumber China menamakan kerajaan Kedah Tua sebagai Chieh Ch’a. Manakala sumber dari India dan Arab, masing-masing merujuk kerajaan Kedah Tua sebagai Kataha dan Kalah-bar.
Kemasyhuran Kerajaan Kedah Tua • Kemasyhuran kerajaan Kedah Tua dikaitkan dengan kepesatan kegiatan perdagangan di Lembah Bujang. Pedagang dari timur dan barat datang untuk menjalankan kegiatan perdagangan dengan penduduk tempatan dan pedagang luar yang lain. Seiring dengan kemajuan perdagangan ini, kerajaan Kedah Tua juga menjadi pusat keagamaan agama Buddha. Kemasyhuran kerajaan Kedah Tua ini menyebabkan kerajaan Srivijaya menguasai Kedah Tua. Namun begitu, serangan tentera Chola dari India pada tahun 1025 telah melemahkan kegiatan perdagangan di Kedah Tua. Kerajaan Kedah Tua mula mengalami perubahan pemerintahan pada abad ketujuh apabila munculnya pengasasan Kesultanan Kedah yang memulakan kerajaan baharu di Kedah.
Kerajaan Gangga Nagara • Berdasarkan kajian arkeologi, kerajaan Gangga Nagara muncul pada abad keenam. Walau bagaimanapun, kerajaan Gangga Nagara telah berfungsi sebagai pusat pelabuhan sejak abad kelima. Menurut sumber tradisi, pengasas kerajaan Gangga Nagara ialah Raja Ganji Sarjuna. Terdapat pendapat lain yang menyatakan kerajaan Gangga Nagara ini dibuka oleh Raja Khmer dari Kemboja. Pada peringkat awal pusat kerajaan ini adalah di Pangkalan.
Kemasyhuran Kerajaan Gangga Nagara • Kemasyhuran kerajaan Gangga Nagara bermula pada abad kesembilan. Sejak abad kelima,kerajaan Gangga Nagara sering dikunjungi oleh pedagang luar kerana kekayaan hasil bumi seperti emas dan bijih timah. Kerajaan Gangga Nagara juga berjaya mempertahankan kedaulatannya daripada serangan kerajaan Srivijaya pada tahun 850 M. Kerajaan Gangga Nagara mulai lemah apabila diserang oleh tentera Chola dari India pada tahun 1025. Serangan ini telah memusnahkan pelabuhan Gangga Nagara.