POKOK MAHKOTA DEWA
INFO
Mahkota Dewa (nama saintifik : Phaleria Macrocarpa) ialah pokok malar hijau asal
tempatan di Malaysia dan Indonesia. Pokok mahkota dewa amat terkenal di
negara Indonesia sebagai satu tanaman yang digunakan dalam perubatan.
Terdapat pelbagai komponen berkhasiat yang terdapat di dalam buah mahkota dewa
lalu menjadikan buah ini berguna dari pelbagai aspek. Antara komponen yang terdapat
di dalamnya ialah phalerin dan asid galik yang bersifat anti kanser.
Di bahagian kulit pokok dan buah mahkota dewa pula mempunyai kandungan saponin,
alkaloid, folifenol, fenol, flavonoid, lignan dan tanin. Komponen-komponennya turut
mempunyai sifat anti oksida, anti inflamasi yang mampu memberikan kesan yang positif
terhadap tubuh badan.
Masyarakat Melayu percaya bahawa pokok mahkota dewa sangat berguna untuk
merawat peyakit diabetes, darah tinggi dan merawat kanser. Mereka sering
menggunakan bahagian isi buah mahkota dewa samada ia dikeringkan atau direbus.
Bahagian lain yang digunakan turut melibatkan daun dan kulit buah mahkota dewa.
KHASIAT
1. Bersifat anti kanser.
Di dalam perawatan kanser, daun dan buah pokok mahkota dewa dikatakan
telah digunakan sekian lama untuk merawat kanser seperti kanser payudara dan
tumor otak. Kajian menemukan penggunaan suplementasi buah mahkota dewa
bersama adriamycin cyclophosphamide (AC) dapat menghasilkan kesan yang
sinergi di mana gabungan ini dapat mengurangkan perkembangan tumor di
dalam sel payudara.
2. Bersifat anti-hiperglisemia.
Hiperglisemia adalah salah satu keadaan di mana gula di dalam darah melebihi
paras normal dan hal ini dapat mendatangkan mudarat terhadap kesihatan.
Kajian menemukan bahawa buah mahkota dewa mempunyai sifat anti-
hiperglisemia di mana ekstraknya ditemui dapat menurunkan paras gula di dalam
darah selepas makan.
Kebolehan untuk menurunkan paras gula ini ditunjukkan oleh ekstrak n-butanol
buah mahkota dewa yang belum ranum dan telah ranum.
3. Menurunkan paras kolesterol.
Kolesterol di dalam badan manusia boleh dibahagikan kepada dua kategori iaitu
kolesterol baik dan kolesterol tidak baik. HDL merupakan antara kolesterol baik
di dalam badan manakala LDL dan TG merupakan antara contoh kolesterol yang
tidak baik.
Kandungan alkaloid, saponin, polifenol yang terkandung di dalam buah mahkota
dewa dikatakan mampu untuk mengawal paras kolesterol di dalam darah.
4. Bersifat anti bakteria.
Kajian menemui bahawa daun dan biji mahkota dewa mempunyai sifat anti
bakteria kerana kandungan komponen flavonoid, saponin, polifenol dan tanin di
dalamnya dapat mencegah aktiviti bakteria gram positif seperti Bacillus cereus,
Bacillus subtilis, Eschericia coli dan lain-lain.
Antara mekanisma yang dijalankan oleh komponen berkhasiat buah mahkota
dewa adalah menyekat penghasilan asid nukleik, metabolisma tenaga dan lain-
lain. Namun harus diingat, biji buah mahkota dewa adalah beracun.
5. Anti radang dan inflamasi.
Buah mahkota dewa turut ditemui mempunyai sifat anti inflamasi. Hal ini kerana
ianya mengandungi terpenoid, tanin, flavonoid dan fenol. Ekstrak metanolik
semipolar buah mahkota dewa ditemui dapat menyekat inflamasi dengan
menyekat COX2-mRNA dan mengurangkan penghasilan prostaglandin E2.
Proses-proses inilah yang berjaya untuk mengurangkan inflamasi dan
keradangan.
6. Bersifat antioksida.
Spesis oksigen reaktif dan radikal bebas merupakan antara penyebab
berlakunya tekanan oksida yang menyebabkan kerosakkan pada sel tubuh.
Ekstrak buah mahkota dewa ditemui bersifat antioksida kerana kandungan
flavonoid dan fenolik yang terkandung di dalamnya.
7. Mengawal tekanan darah.
Tekanan darah tinggi adalah apabila tekanan yang dikenakan terhadap salur
darah melebihi paras normal. Daun dan buah mahkota dewa telah digunakan
sekian lama untuk merawat masalah yang berkaitan dengan salur darah kerana
ianya berkebolehan untuk mengembangkan salur darah lalu menurunkan paras
tekanan.
Kaemferol dan icariside merupakan komponen yang mampu untuk mencegah
tekanan darah tinggi ini.
8. Melindungi hati.
Untuk mengkaji kesan pengambilan buah mahkota dewa terhadap kesihatan
hati, kajian terhadap haiwan telah dijalankan. Pemberian air ekstrak buah
mahkota dewa ditemukan dapat mencegah fibrosis yang disebabkan oleh CCL4.
Hal ini kerana aktviti antioksida dan anti radang yg terdapat padanya di mana
aktiviti ini mengurangkan pengaktifan HSC dengan mengurangkan fibrogenic
cytokine TGF-β1.
9. Mengurangkan paras asid uric.
Peningkatan paras asid urik di dalam darah sering dikaitkan dengan penyakit
gout di mana pesakit gout akan mengalami kesakitan dan inflamasi di kawasan-
kawasan sendi badan seperti sendi di bahagian jari. Kajian menemukan bahawa
ekstrak buah mahkota dewa dapat menurunkan paras asid urik di dalam darah.
CARA PENGGUNAAN
1. Merawat cirit birit.
Tiga hingga tujuh helai daun mahkota dewa dibersihkan dan direbus sehingga
mendidih. Air rebusan diminum satu cawan, dua kali sehari, pada waktu pagi dan
petang sehingga sembuh.
2. Mengawal tekanan darah tinggi.
Cara 1
Buah mahkota dewa diracik, dikeringkan, dicampurkan bersama-sama tiga helai
daun hempedu bumi dan direndam di dalam air panas sehingga suam. Air
rendaman diminum sekali sehari dalam masa sebulan.
Cara 2
Buah mahkota dewa dipotong, dibersihkan dan dikeringkan. Hirisan buah yang
telah kering direbus dengan satu jag air sehingga menjadi ½ jag. Air rebusan
kemudiannya diminum 1-3 kali sehari. Biji buah mahkota dewa hendaklah
dibuang.
Cara 3
Buah mahkota dewa dikeringkan dan disangai sehingga garing kemudian direbus
dengan lima helai daun tapak dewa sehingga mendidih,. Air rebusan diminum
tiga kali sehari sehingga sembuh.
Cara 4
Lima belas helai daun mahkota dewa direbus dengan kuantiti air yang sama
banyak dengan aras daun. Air rebusan diminum ½ cawan sekali sehari pada
waktu pagi.
3. Melegakan sakit tulang belakang.
Buah mahkota dewa dicampurkan bersama-sama keseluruhan bahagian semalu,
sedikit akar lalang dan keseluruhan bahagian kaduk. Kesemua bahan direbus
dengan tiga cawan air sehingga mendidih dan dibiarkan susut menjadi satu
cawan air. Air rebusan diambil dua atau tiga sudu, dicampurkan di dalam air
biasa dan diminum. Pengambilannya tiga kali sehari, selepas makan, pada waktu
pagi, petang dan malam sehingga sembuh.
4. Merawat gout.
Buah mahkota dewa yang telah dihiris dicampurkan dengan segenggam daun
mas cotek jantan dan betina yang telah dikeringkan. Kesemua bahan direbus
dengan tiga gelas air sehingga mendidih. Air rebusan dijadikan minuman
sehingga sembuh.
Untuk makluman, buah mahkota dewa perlu dipetik ketika warna kemerah-merahan.
Buah mahkota dewa mempunyai biji yang beracun dan perlu dibuang. Herba ini
biasanya direndam dengan air panas sebelum diminum.
Mahkota dewa mempunyai khasiat penting dalam perubatan. Ia sering digunakan
dalam perubatan tradisional contohnya minuman kesihatan. Walaupun begitu, ia juga
mempunyai kesan toksik kepada badan.
GAMBAR
Pokok Mahkota Dewa Daun Mahkota Dewa
Buah Mahkota Dewa Yang Telah Buah Mahkota Dewa Yang
Masak Masih Muda
RUJUKAN
1. Altaf, R., Asmawi, M. Z. B., Dewa, A., Sadikun, A., & Umar, M. I. (2013).
Phytochemistry and medicinal properties of Phaleria macrocarpa (Scheff.) Boerl.
extracts. Pharmacognosy reviews, 7(13), 73.
2. Lay, M. M., Karsani, S. A., Mohajer, S., & Abd Malek, S. N. (2014).
Phytochemical constituents, nutritional values, phenolics, flavonols, flavonoids,
antioxidant and cytotoxicity studies on Phaleria macrocarpa (Scheff.) Boerl
fruits. BMC Complementary and Alternative Medicine, 14(1), 1-12.
3. Parhizkar, S., Yusoff, M. J., & Dollah, M. A. (2013). Effect of Phaleria macrocarpa
on Sperm Characteristics in Adult Rats. Advanced pharmaceutical bulletin, 3(2),
345–352.
4. Simanullang, R. H. (2018). EFFECT OF FRUIT DECOCTION OF PHALERIA
MACROCARPA ON URIC ACID LEVELS IN ELDERLY. Belitung Nursing
Journal, 4(5), 524-527.
5. Sundari, N., Soetikno, V., Louisa, M., Wardhani, B. W., & Tjandrawinata, R. R.
(2018). Protective effect of Phaleria macrocarpa water extract (Proliverenol)
against carbon tetrachloride-induced liver fibrosis in rats: Role of TNF-α and
TGF-β1. Journal of toxicology, 2018.