POKOK HALIA BARA
INFO
Halia bara atau nama saintifiknya Zingiber officinale var. rubrum pula adalah sejenis
halia yang digunakan dalam perubatan tradisional.
Pokok halia bara sering dijadikan sebagai tanaman seri bagi kawasan rumah. Ia agak
berbeza dengan halia makan. Ia juga dikenali sebagai halia merah dan halia udang.
Dikatakan tanaman ini tidak mempunyai masalah kepada serangan serangga perosak.
Jadi, ia sangat sesuai digunakan bersama baja organik kerana ia mudah untuk tumbuh
dengan subur.
Hasil penemuan kajian yang dijalankan, pokok halia bara mempunyai pelbagai jenis
kandungan bahan aktif di dalamnya. Ia termasuklah sebatian phenol, terpenes,
polysaccharides, lipids, organic acid. Manfaat kesihatan oleh halia bara banyak
disumbangkan oleh kehadiran sebatian phenol iaitu gingerols dan shogaols.
Kebiasaannya, rizom halia bara banyak digunakan dalam rawatan tradisional
berbanding bahagian lain. Ia sering digunakan dalam rawatan untuk meredakan
bengkak kaki, membuang angin dalam badan, mengawal tekanan darah tinggi dan
melegakan lenguh badan.
KHASIAT
1. Merawat anti-radang.
Halia bara boleh mengurangkan radang akut dan kronik. Radang akut berlaku
secara tiba-tiba dan teruk tetapi radang kronik adalah radang yang berlanjutan
untuk tempoh masa 3 bulan atau lebih.
Gastrik adalah penyakit radang yang berlaku pada dinding perut. Asid dalam
perut akan mengikis lapisan dinding perut disebabkan mukosa pada dinding
tersebut sudah menipis. Halia bara dapat membantu mengurangkan masalah
radang ini dan melegakan ketidakselesaan perut.
Halia bara juga terbukti dapat mengurangkan sakit otot dan sakit sendi yang
berlaku disebabkan radang.
2. Antioksidan yang bagus.
Bahan yang terdapat dalam halia ini iaitu gingerol mempunyai antioksidan yang
tinggi. Antioksidan ini penting untuk melawan radikal bebas yang cuba
merosakkan sel-sel dalam badan sehingga terjadinya penyakit-penyakit.
Ia dapat menghalang sel kanser daripada menjadi aktif yang boleh
mengakibatkan pelbagai jenis kanser. Dengan sifatnya yang antioksidan,
penyakit seperti kanser dapat dicegah.
Selain itu, antioksidan bagus untuk kulit. Ia boleh melindungi kolagen daripada
kerosakkan, meningkat keanjalan kulit dan menggalakkan kulit muda. Dengan
ini, keremajaan kulit dapat dikekalkan.
3. Melawan jangkitan bakteria, kulat dan virus.
Kompound gingerol dan phenolic dalam halia akan menghalang pertumbuhan
bakteria Helicobacter Pylori di saluran penghadaman dan mengelakkan penyakit
berkaitan sistem penghadaman.
Halia bara mempunyai kompound zingeron dan shogaol. Ia bertindak melawan
jangkitan bakteria dan kulat. Pengambilan halia bara secara konsisten dapat
membantu badan meningkatkan imunisasi.
4. Mengawal kencing manis.
Halia bara juga berupaya mengawal paras glukosa dalam darah yang boleh
menyebabkan kencing manis.
Satu kajian telah dilakukan keatas pesakit kencing manis menunjukkan halia
bara mampu meningkatkan pengeluaran hormon insulin dan mengurangkan
paras glukosa semasa puasa. Ia juga boleh mengurangkan serum kolesterol,
serum triglyceride dan darah tinggi dalam pesakit kencing manis. Oleh itu,
komplikasi kencing manis seperti penyakit jantung dan darah tinggi dapat
dielakkan dan dikawal.
5. Mengurangkan risiko penyakit jantung dan darah tinggi.
Halia bara boleh mengurangkan pembentukan darah beku dalam saluran darah
yang boleh mengakibatkan serangan jantung dan stroke. Hal ini kerana darah
beku tersebut boleh menghalang oksigen untuk sampai ke organ-organ dalam
badan. Kajian dari Australia membuktikan halia bara mempunyai bahan anti-
coagulant (anti-pembekuan darah) yang sangat berkesan berbanding aspirin. Ia
juga boleh mengurangkan paras kolesterol dan meningkatkan tahap kesihatan
jantung.
Komponen yang terdapat dalam halia bara iaitu ginkgo dan bilberry membantu
menghentikan pendarahan apabila terjadi luka. Kaum cina mempercayai halia
bara boleh meningkatkan peredaran darah ke kaki.
Halia ini berupaya mengawal tekanan darah dengan mengurangkan tahap
tekanan pada jantung. 1 sudu kecil halia bersama air panas dipercayai berkesan
menurunkan bacaan darah tinggi.
CARA PENGGUNAAN
1. Melegakan lenguh badan.
Cara 1
Rizom halia bara dibersihkan dan direbus. Air rebusan dijadikan sebagai
minuman sekali sehari sehingga sembuh.
Cara 2
Rizom halia bara dijadikan satu daripada ramuan diracik, ditimbang, dan
dicampurkan bersama-sama dan dimasak dengan minyak masak sehingga
mendidih selama setengah jam. Minyak digunakan untuk mengurut atau apabila
diperlukan.
2. Melegakan sakit sendi.
Rizom halia bara dibersihkan dan direbus. Air rebusan diminum sekali sehari
sehingga sembuh.
3. Meredakan bengkak kaki.
Seruas rizom halia bara ditumbuk bersama-sama secekak bagi setiap jenis daun
ganda rusa, tutup bumi, pokok dewa, kulit jebak rimba, bawang merah, dan
bawang putih sehingga lumat. Sediaan ditempel pada bahagian kaki yang
bengkak.
4. Merawat patah.
Rizom halia bara ditumbuk bersama-sama kunyit hitam, beberapa helai daun
gandarusa dan jintan hitam. Ramuan dicampurkan dengan putih telur dan disapu
pada tempat yang patah kemudian dibalut menggunakan kain. Balutan dibuka
selepas beberapa hari dan diamalkan sekali sahaja.
5. Merawat gout.
Rizom halia bara ditumbuk bersama-sama halia, cekur, dan jerangau sebesar ibu
jari bagi setiap ramuan. Ramuan kemudian direbus dan dicampurkan bersama-
sama dua sudu cuka. Sediaan direbus sekali sehari sehingga sembuh.
6. Mengawal tekanan darah tinggi.
Cara 1
Rizom halia bara dijadikan satu daripada ramuan diracik halus, digoreng tanpa
minyak sehingga garing, dan dikisar menjadi serbuk jamu. Jamu dicampurkan
bersama-sama satu sudu asam jawa dan dilarutkan ke dalam air kemudian
diminum tiga kali sehari.
Cara 2
Rizom halia bara dijadikan satu daripada ramuan air mandian. Ramuan yang
telah dikeringkan disukat dalam lingkungan 200 g dan dibunjutkan dalam kain
kasa kemudian direbus sehingga mendidih. Air rebusan dijadikan mandian dua
hingga tiga kali sehari dan diamalkan sehingga penyakit semakin sembuh atau
berkurangan.
7. Rawatan komplemen kepada masalah buah pinggang.
Rizom halia bara dicampurkan bersama-sama buah petai belalang, lobak putih
dan kunyit hitam dibersihkan, dipotong dan dimasak dengan empat gelas air
sehingga surut menjadi segelas air. Sediaan diminum empat kali sehari.
8. Membuang angin badan.
Cara 1
Rizom halia direbus bersama-sama secubit jemuju, jintan putih, jintan manis, dan
sedikit halia makan. Air rebusan diminum dan diamalkan dua kali sehari
sehingga sembuh.
Cara 2
Rizom halia bara dicampurkan bersama-sama suntun, habbatus sauda, kunyit,
serai wangi, dan lada hitam. Semua bahan dikeringkan, dipotong halus, dan
dimasak menggunakan minyak kelapa selama sejam. Minyak digunakan untuk
mengurut badan.
Kesan sampingan
Wanita hamil perlu menggunakan halia dengan berhati-hati kerana keselamatannya
belum dapat disahkan sepenuhnya. Ia juga telah diperhatikan dan diketahui
menyebabkan reaksi alahan pada sesetengah orang apabila disapu pada permukaan
kulit.
GAMBAR
Pokok Halia Bara Rizom Halia Bara
Bunga Pokok Halia Bara Daun Pokok Halia Bara
RUJUKAN
Khazanah Perubatan Melayu Tumbuhan Ubatan, Jilid 2, Nik Musa’adah Mustapha et
al., Institut Penyelidikan Perhutanan Malaysia (FRIM)