Teks Ucapan Alua-aluan Penganjur
Sempena
Perasmian Penutupan
Seminar Penyelidikan
PISMP Semester 8
pada
21 April 2021
Terima kasih pengacara majlis
Bismillahirrahmanirrahim.
Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh dan selamat sejahtera
Yang Berbahagia
Puan Hajah Nor Asilah binti Osman
Pengarah IPG Kampus Bahasa Melayu
Yang Berusaha
Dr. Nirwana binti Mohd Rashid
Timbalan Pengarah IPG Kampus Bahasa Melayu.
Yang Dihormati
Ketua-ketua Jabatan, Ketua-ketua Unit, dan Jawatankuasa Pelaksana
Seminar Penyelidikan Pendidkan dan para pensyarah.
Yang Dikasihi
Para pelajar semester 8, tuan-tuan dan puan-puan yang dirahmati Allah
SWT.
1. Pertamanya, marilah kita memanjatkan setinggi-tinggi syukur ke
hadrat Allah SWT. atas kurnia-Nya yang melimpahkan segala
nikmat kesejahteraan dan kesihatan kepada kita semua dan
mengizinkan kita hadir di Dewan Aminuddin Baki ini untuk
bersama-sama menyempurnakan Majlis Perasmian Penutupan
Seminar Penyelidikan Pendidikan Bahasa Melayu 2021 bagi pelajar
PISMP Ambilan Jun 2017.
2. Saya ingin mengambil kesempatan ini untuk merakamkan ucapan
tahniah kepada Jawatankuasa Pelaksana Seminar Penyelidikan
Pendidikan dan juga kepada semua pelajar PISMP Semester 8
yang telah berjaya menganjurkan seminar ini dengan kerjasama,
semangat sepasukan dan komitmen padu yang tinggi. Bagi pihak
Jabatan Pengajian Melayu, saya mengucapkan setinggiptinggi
penghargaan dan terima kasih kepada semua pensyarah penyelia
yang telah memberikan bimbingan, tunjuk ajar, nasihat dan
saranan kepada para pelajar sehingga mereka dapat
menyempurnakan kajian masing-masing. Terima kasih tidak
terhingga diucapkan kepada pihak pengurusan tertinggi atas segala
sokongan yang diberikan untuk memastikan seminar pada kali ini
berjaya dilaksanakan walaupun kita sedang dalam suasanan
Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB). Pematuhan
terhadap SOP tetap menjadi keutamaan kami agar semua selamat
dan terhindar daripada wabak berbahaya, Covid-19.
Hadirin yang saya kasihi sekalian,
3. Seperti yang kita semua sedia maklum, penyelidikan pendidikan
merupakan kajian yang dijalankan oleh pendidik untuk
mempertingkatkan pemahaman, pengetahuan pembelajaran dan
pengajaran bilik darjah serta untuk mengubah sesuatu amalan bilik
darjah. Pada masa ini, peranan guru sebagai seorang pengamal
dalam pengajaran dan pembelajaran telah jauh berubah
berbanding dengan zaman dahulu. Guru-guru sentiasa disarankan
untuk melibatkan diri dalam penilaian ke atas muridnya,
penggubalan kurikulum dan aktif dalam penyelidikan untuk
menyelesaikan masalah dalam bilik darjah.
4. Dalam konteks dunia pendidikan pada hari ini, konsep kurikulum
berasaskan sekolah dan penilaian berasaskan sekolah sedang
dikembangkan agar berlakunya reformasi dalam pendidikan.
Konsep guru sebagai penyelidik juga sedang dimajukan untuk
menggalakkan guru memberikan lebih perhatian ketika membuat
keputusan pendidikan di sekolah. Guru bukan sahaja berperanan
sebagai pengguna kepada hasil penyelidikan tetapi juga sebagai
pengeluar hasil penyelidikan yang mampu memberikan nilai
tambah kepada amalan sedia ada. Guru juga harus lebih peka dan
sentiasa meningkatkan pengetahuan dan kemahiran-kemahiran
asas dalam bidang penyelidikan.
5. Tema Seminar Penyelidikan Pendidikan Bahasa Melayu pada
tahun ini, iaitu ‘Penyelidikan Pendidikan ke arah Pemantapan
Kualiti PdP’ adalah amat sesuai dengan perubahan semasa dalam
dunia pendidikan. Peranan guru bukan sahaja merangkumi tugas-
tugas mengajar di dalam bilik darjah malah lebih daripada itu. Hal
ini adalah kerana, penyelidikan pendidikan yang dilakukan
bertindak sebagai alat latihan dalam perkhidmatan yang mampu
memberikan kemahiran dan pendekatan baharu serta
meningkatkan kesedaran kendiri. Selain itu, penyelidikan
pendidikan juga berfungsi sebagai wahana untuk menyerapkan
pendekatan inovatif dalam PdP.
Hadiran sekalian,
6. Penganjuran seminar penyelidikan Pendidikan pada setiap tahun
bukan sahaja menyediakan peluang kepada guru-guru pelatih
untuk berkongsi ilmu dan dapatan penyelidikan yang telah
dijalankan malah membantu para penyelidik berkongsi maklumat
dan hasil kajian dalam usaha mempertingkat mutu dan kualiti
pendidikan negara terutamanya dalam bidang pengajaran dan
pembelajaran. Oleh itu guru-guru pelatih tidak harus berhenti
melakukan penyelidikan di sini sahaja tetapi menjadikan
pengalaman ini sebagai satu platform untuk membawa perubahan
dalam dunia pendidikan pada masa akan datang.
7. Akhir kata, saya berharap segala usaha yang telah diambil untuk
menjayakan seminar ini dapat memupuk motivasi dan membuka
minda guru-guru pelatih agar melakukan perubahan dalam dunia
pendidikan melalui penyelidikan pendidikan yang berkualiti. Guru-
guru pelatih hendaklah mengaplikasikan ilmu dan pengalaman
yang telah diperoleh dengan lebih yakin apabila bertugas di
sekolah nanti. Saya percaya dan yakin bahawa penyelidikan yang
dilakukan bukan sekadar untuk memenuhi syarat lulus Ijazah
Sarjana Muda Pendidikan semata-mata tetapi untuk memperbaiki
amalan pengajaran di dalam bilik darjah secara lebih kreatif dan
inovatif sejajar dengan perubahan-perubahan semasa dalam dunia
pendidikan. Syabas dan tahniah saya ucapkan.
8. Sekian, saya sudahi dengan Wabillahitaufik Walhidayah,
Wassalamu’alaikum Warahmatullahi Wabarakatuh. Terima kasih.