UCAPAN TUAN GURU BESAR
HARI ANUGERAH KECEMERLANG 2022/2023
SEKOLAH KEBANGSAAN TUNJANG
Bissmillahirrahmanirrahim...
Assalamualaikum Warrahmatullahi Wabarakatuh…
Terima Kasih Saudari Pengacara Majlis,
Yang berusaha Datu’ Hj. Zulkifli @ Mohd Ros bin Ahmad, Yang Dipertua PIBG SKT,
Tn. Hj. Muhayuddin bin Hj. Ahmad, Naib Yang Dipertua PIBG SKT, Ahli-ahli Jawatan
Kuasa PIBG, Barisan Guru-guru Penolong Kanan, Guru-guru serta murid-murid yang
diraikan dan seterusnya ibu bapa serta para hadirin yang saya muliakan.
Izinkan saya melafazkan dan menzahirkan rasa kesyukuran ke hadrat Allah SWT kerana
dengan limpah kurnia dan inayahNya maka kita dapat berkumpul dalam dewan yang
indah ini bagi melaksanakan satu lagi agenda pendidikan yang diatur oleh pihak
pengurusan sekolah. Ucapan syabas dan tahniah kepada Jawatankuasa Pengelola Majlis
ini yang tentunya telah berusaha dengan gigih supaya majlis ini berjalan dengan lancar
dan teratur. Kita sedar, majlis seumpama ini amat perlu dijalankan untuk memberi
makna kepada kehidupan anak-anak yang bakal mewarisi masa depan Negara.
Para hadirin yang dirahmati Allah sekalian,
Saban tahun, pihak sekolah tidak pernah lupa mengadakan majlis umtuk meraikan
kejayaan cemerlang murid-murid dalam bidang kurikulum mahupun kokurikulum.
Malahan bagi saya. majlis ini diadakan khusus untuk meraikan para ibu bapa yang
sentiasa meletakkan kecemerlangan dan kejayaan anak-anak sebagai agenda pertama
dalam kehidupan mereka. Jadi pada kesempatan ini, saya bagi pihak sekolah ingin
merakamkam ucapan tahniah dan syabas bukan sahaja kepada murid-murid yang bakal
menerima anugerah malahan ibu bapa juga para guru yang menjadi nadi atau tulang
belakang sehingga membuahkan kejayaan untuk mereka.
Sebenarnya, kejayaan seorang murid tidak hanya terletak pada usaha dan kesungguhan
yang dimainkan oleh guru semata-mata. Kita sedar, bahawa guru-guru di peringkat
sekolah rendah perlu harus “Memberi”, agar murid-murid bersedia untuk “Menerima”.
Selain insan yang ibarat lilin yang membakar diri ini, ibu bapa dan guru perlu sentiasa
memainkan peranan penting untuk mencorakkan masa depan anak-anak mereka.
Malahan tuan-tuan dan puan-puan, pada saya yang paling utama kejayaan adalah terletak
pada diri murid-murid itu sendiri, agar sentiasa mempunyai komitmen dan motivasi diri
yang tinggi sekiranya ingin mengecapi kecemerlangan.
Sesungguhnya kita harus sedar bahawa dalam usaha menuju ke puncak, banyak laluan
sukar yang perlu ditempuhi. Pepatah Melayu selalu mengingatkan kita, “Di mana ada
kemahuan, di situ ada jalan”, “Hendak seribu daya, tak hendak seribu dalih”, “Kalau
tidak dipecahkan ruyung, manakan dapat sagunya.” Oleh itu para hadirin sekalian,
marilah kita sama-sama berganding bahu untuk mencipta kejayaan demi kejayaan buat
anak-anak kita. Pada saya, kejayaan anak-anak tuan-tuan dan puan-puan merupakan satu
anugerah kepada pihak sekolah dan ganjaran buat tuan-tuan dan puan-puan sebagai ibu
bapa mereka.
Kita sedia maklum, Pendemik COVID-19 telah menjejaskan keseluruhan institusi
pendidikan dan telah berubah daripada kelas bersemuka kepada kelas dalam talian.
Kaedah pengajaran dan pembelajaran ini memberikan kesan terhadap tahap penguasaan
dan pencapaian akademik murid-murid kerana terdapat pelbagai cabaran dan halangan
seperti motivasi murid, masalah akses internet, dan kekurangan bahan belajar. Paling
terkesan berlakunya penurunan kemampuan membaca di kalangan murid Tahun 2,3 dan
4 yang menyebababkan keputusan PBD bagi Pertengahan Tahun ini juga kurang
memuaskan.
Bagi menangani masalah ini pelbagai program telah dan sedang dilaksanakan. Antaranya,
pihak sekolah di bawah Panitia Bahasa Melayu telah melaksanakan Program ‘Bimbinglah
Daku’ yang bermula pada September dan tamat pada Bulan November dan diteruskan
dengan Program “Bantu Membaca” yang dianjurkan oleh Kementerian Pendidikan
Malaysia bagi meningkatkan penguasaan membaca di kalangan murid-murid.
Seramai 128 orang murid terlibat dalam program ini dan Alhamdulillah seramai 64
orang murid telah melepasi tahap pencapaian kemahiran membaca.
Panitia Bahasa Inggeris juga telah melaksanakan ‘Program FINCO’ iaitu satu usaha
galakan membaca tajaan perbankan Malaysia. Matlamat Program ini adalah untuk
meningkatkan penguasaan Bahasa Inggeris dan mendorong minat membaca buku BI
dalam kalangan murid-murid.
Dalam meningkatkan kecemerlangan murid dalam mata pelajaran Matematik, guru-guru
Matematik telah menyediakan Key Chin sifir bagi setiap murid. Kelas tambahan bagi
Tahun 4, 5 dan 6 diadakan selepas waktu persekolahan dan Bilik Rekreasi Matematik
turut disediakan .
Panitia-panitia mata pelajaran yang lain juga telah menyediakan pelbagai program
peningkatan penguasaan murid ke arah kecemerlangan dan sahsiah murid.
Sepanjang Tahun 2022 SKT telah mencapai beberapa kejayaan yang cemerlang dalam
kokurikulum. Antaranya kejayaan-kejayaan yang dicapai ….
1. Pada 2 hingga 6 Disember baru-baru ini, Unit Uniform Pengakap telah menghantar
9 orang perserta ke Jambori 100 Tahun Pengakap Kedah dan Persaudaraan
Antarabangsa bertempat di UUM, Sintok. Peserta-peserta Jambori menerima Sijil
Penyertaan Antarabangsa.
2. 3 Disember 2022, SKT telah menjuarai Pertandingan Futsal CEO Cilik Piala al
Ambiaq Utara 2022 yang berlangsung di SK Felda Lata Selatan.
3. 22 November 2022, Kejohanan Olahraga Luar Musim Bawah 9 & 11 Tahun MSSD
Kubang Pasu 2022 PKG Tunjang.
Johan dengan membawa pulang 3 emas dalam acara Lontar Peluru, Lompat Jauh
dan 3 peserta memenangi pingat Perak dalam acara Lompat Tinggi dan Lompat
Jauh.
4. 20 dan 21 Julai 2022, Kejohanan Bola Tampar MSSD Kubang Pasu
Peserta perempuan seramai 8 orang berjaya memenangi Pingat Gangsa.
5. Pencapaian Bola Sepak MSSD Kubang Pasu
Muhammad Zunnur Amin bin Shukri memperoleh Pingat Perak peringkat MSSD
dan MSSD Kubang Pasu.
6. Nur Zafizah Aleesya telah memenangi Tempat Ke-2 acara Merentas Desa MSSD
Kubang Pasu dan Tempat Ke-25 MSSK Peringkat Negeri Kedah.
MBPK juga telah membawa pelbagai kejayaan yang cemerlang dalam bidang
kokurikulum di peringkat sekolah, daerah dan negeri. Antara kejayaan MBPK ;
1. Kejohanan Merentas Desa
Nur’Ain Syakira binti Mohd Zuki … Tempat Ke-2 Daerah Kubang Pasu
Tempat Ke 10 Peringkat Negeri Kedah
2. Kejohanan e-Sukan Tracking
1. Muhammad Aliff Hakiem bin Ahmad Faizal… Johan Daerah Kubang Pasu
Ke-2 Peringkat Negeri Kedah
2. Nur Dahlia Balqis binti Mohamad Nizam … Johan Daerah Kubang Pasu
Ke-2 Peringkat Negeri Kedah
3. Kejohanan Olahraga
1. Nur’Ain Syakira binti Mohd Zuki menjadi Johan dalam acara 800 meter, 1500
meter kategori bawah 15 Tahun Perempuan peringkat Daerah Kubang Pasu.
Nur’Ain juga telah merangkul Pingat Perak dalam acara 4x400 meter peringkat
Negeri Kedah.
2. Nur Aisya binti Sah Rodzi.. Johan kategori 4x100 meter Bawah 12 Tahun
peringkat Negeri Kedah.
Untuk makluman tuan-tuan dan puan-puan, Sekolah Kebangsaan Tunjang juga telah
dianugerahkan sebagai Johan Kategori Sekolah Rendah dalam Pertandingan
Pengumpulan E-WASTE Peringkat Negeri Kedah.
Tahniah dan syabas saya ucapkan kepada yang berjaya. Saya amat berharap dengan
kejayaan-kejayaan ini, dapat mendorong dan menyuntik semangat murid-murid lain
untuk memperoleh kecemerlangan dalam bidang akademik mahupun kokurikulum pada
tahun hadapan.
Para hadirin yang dirahmati Allah sekalian,
Saya juga mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan tahniah dan syabas kepada
semua penerima anugerah pada hari ini. Saya sangat berharap agar kecemerlangan yang
ditunjukkan oleh para penerima akan menjadi pemangkin untuk murid-murid
mempertingkatkan mutu pencapaian mereka dalam bidang akademik dan bukan
akademik pada masa hadapan. Anugerah yang diberikan pada hari ini merupakan
penghargaan pihak sekolah kepada murid-murid yang telah menunjukkan prestasi
cemerlang dalam pembelajaran pada tahun ini. Tahap pencapaian yang ditunjukkan
sudah tentu boleh menjadi contoh serta ikutan kepada murid-murid lain untuk
meningkatkan pencapaian akademik mereka pada masa akan datang.
Para hadirin yang dirahmati Allah sekalian,
Saya pasti bahawa seluruh warga dewan pada hari ini sedar, bahawa murid-murid yang
kita raikan hari ini merupakan waris yang bakal mendukung impian dan harapan Negara.
Untuk itu, saya menyeru kepada hadirin sekalian agar dapat sama-sama berganding bahu
meningkatkan kualiti hidup sihat dalam kalangan anak-anak. Sihat yang dimaksudkan
bukan hanya tertumpu kepada kesihatan tubuh badan malahan kesihatan minda supaya
harapan dan impian tuan-tuan dan puan-puan akan direalisasikan sama seperti harapan
dan impian seperti mana yang telah termaktub dalam Falsafah Pendidikan Negara.
Maka saya ingin menyeru kepada diri saya dan tuan-tuan dan puan-puan sekalian,
marilah kita saling bergandingan bagi memastikan para penerima anugerah ini bakal
menjadi sebahagian warna-warna kegembiraan Negara pada masa hadapan dan bukan
merupakan secalit warna kehancuran atas kealpaan dan kelekaan kita. InshaAllah.
Akhir kata, sekali lagi saya merakamkan ucapan syabas dan tahniah kepada semua
penerima anugerah dan juga syabas kepada semua warga kerja yang bertungkus-lumus
menjayakan Hari Anugerah Cemerlang bagi Tahun 2022/2023 pada hari ini.
Wabillahitaufik Walhidayah Wassalamualaikum Warrahmatullahi Wabarakatuh.
Sekian, terima kasih.
TEKS UCAPAN
TUAN GURU BESAR
EN. MOHD ASSRI BIN MALIK
SEMPENA
HARI ANUGERAH KECEMERLANGAN 2022/2023
SEKOLAH KEBANGSAAN TUNJANG