The words you are searching are inside this book. To get more targeted content, please make full-text search by clicking here.
Discover the best professional documents and content resources in AnyFlip Document Base.
Search
Published by syahirah_ha, 2024-03-09 04:15:48

BUKU CERITA BOTOL KACA MISTERI

BUKU CERITA BOTOL KACA MISTERI

Botol kaca tol kaca SIRI HIKAYAT TELADAN syerah rozhan misteri TAHAP 2


Jalan cerita dan ilustrasi di dalam buku cerita ini adalah sebuah hasil karya oleh Nur Syahirah binti Rozhan Botol kaca tol kaca SIRI HIKAYAT TELADAN TAHAP 2 misteri Buku ini juga boleh dibaca secara atas talian melalui kod qr yang tertera : canva anyflip


KATA PENGANTAR Pertama sekali , Alhamdulillah , segala puji bagi Tuhan dan salam ke atas junjungan Rasul. Bersyukur ke hadrat ilahi kerana dengan limpah dan kurnianNya ini, saya berjaya menyiapkan buku cerita ini dengan jayanya dalam tempoh masa yang ditetapkan. Tidak dilupakan juga, penghargaan dan ucapan terima kasih kepada ibu, bapa, pensyarah, keluarga dan sahabat saya yang sentiasa berdoa dan memberi sokongan penuh secara langsung atau tidak langsung dan banyak membantu semasa proses menyiapkan buku cerita ini. Sekian, terima kasih. PRAKATA Buku ini dikhaskan buat pembacaan murid tahap dua di sekolah rendah. Cerita ini sarat dengan nilai murni dan pengajaran yang berguna kepada pembaca. Selain itu, buku ini juga menyediakan bahagian glosari untuk membantu pembaca memahami beberapa maksud perkataan serta menambah ilmu pengetahuan. Selain itu, buku ini turut menyediakan bahagianujian pemahaman untuk menguji kefahaman pembaca tentang cerita tersebut.


Buku cerita ini mengkisahkan tentang kehidupan Wan sebagai nelayan yang hidup miskin. Pada satu hari, Wan terpaksa pergi ke laut seorang diri tanpa datuknya. Wan menebar jala sebanyak tiga kali. Selepas menebar jala buat kali keempat, Wan terjumpa satu botol kaca misteri. Lalu, Wan membuka botol tersebut dan membaca sepucuk surat.


Di sebuah kampung nelayan terpencil, Wan tinggal bersama keluarga kecilnya di rumah kayu yang agak usang. Wan tinggal di situ bersama nenek dan datuknya yang sudah tua sejak ibu dan ayahnya meninggal dunia dalam satu kemalangan. 1


Sejak kecil lagi, Wan akan turun ke laut bersama datuknya pada setiap hari untuk menangkap ikan. Pada setiap hari, hasil tangkapan akan dibahagikan untuk dijual atau dimakan bersama. Wan gemar menggunakan serawan jala. Setiap kali ke laut, Wan akan menebar jala sebanyak tiga kali sahaja. Menurut kepercayaan penduduk kampung itu, setiap nelayan hanya dibenarkan menebar jala sebanyak tiga kali sahaja pada setiap hari jika tidak mahu ditimpa nasib buruk. 2


Pada suatu hari, Wan turun ke laut seperti biasa walaupun langit sudah mendung. Kali ini, Wan hanya turun ke laut seorang diri kerana datuknya sudah ditimpa sakit selama beberapa hari. Sebelum Wan keluar dari rumah, datuknya sudah berpesan, “Wan, ingat pesanan tok, tebar jala tiga kali sahaja ya.” Pesan datuk. “Baik, tok !” Balas Wan. 3


Setibanya di tengah laut, Wan menebar jalanya buat kali pertama. Wan menunggu dengan sabar sambil termenung. Wan teringat tentang kisah seekor Naga Sakti yang diceritakan oleh datuk. Wan turut teringat memori lamanya bersama ayah. Ayahlah insan pertama yang mengajar Wan menebar jala. Selepas seketika, Wan menarik jala untuk melihat hasil tangkapan. Wan mengeluh kecil, “Aduh, sikitnya ikan aku. Kena cuba lagi." 4


Hari semakin gelap. Wan menebar jala buat kali kedua. Kali ini Wan tidak menunggu lama. Selepas dua minit, Wan cepat-cepat mengangkat jala. Wan terkejut melihat hasil tangkapannya yang bagaikan bulan jatuh ke riba. Lantas, Wan terus menebar jala buat kali ketiga. Wan berdoa supaya hasil tangkapannya kali ini lebih banyak. Namun, dia berasa hampa apabila melihat jalanya yang kosong. Tanpa berfikir panjang, dia menebar jala buat kali keempat. 5


Tiba-tiba, guruh berdentum dengan kuat. Wan menarik jalanya dengan segera kerana terkejut dengan dentuman geruh. Wan sedih kerana jalanya masih kosong. Namun, dia menjumpai sebuah botol kaca pada jalanya. ‘”Botol kaca apakah ini? Ada surat di dalamnya”. Bisik hati kecil Wan. Tanpa berfikir panjang, Wan mencabut gabus pada botol itu dan membuka gulungan surat tersebut. 6


Botol kaca di laut biru, Hadiah misteri buat hamba, Naga sakti kami seru, Tiga hajat kami damba, Wan membaca isi surat tersebut dengan kuat. Hanya satu rangkap pantun sahaja yang jelas kelihatan kerana tulisan itu sukar dibaca. Tiba-tiba, sampan kayu itu dikelilingi awan yang tebal. Wan tidak boleh mendayung kerana dia tidak nampak arah tuju. Wan terdengar satu suara aneh yang memanggilnya dari belakang. “Wahai anak muda, siapakah gerangan kamu? Adakah kamu yang memanggil aku?” Kata naga. Wan memandang belakang dan terkejut melihat seekor naga yang boleh berkata-kata. 7


8 “Bu...Bu...Bukan saya”. Kata Wan dengan air muka yang ketakutan. “Adakah kamu yang membuka botol kaca tersebut.” Tanya Naga Sakti. “Ya...ya...saya.” Balas Wan. “Salam perkenalan. Akulah Naga Sakti yang tinggal di dalam botol kaca itu. Jadi, apakah hajat kamu yang pertama?” Tanya si naga. “Hajat? Apa maksudnya?” Tanya Wan.


9 “Kamu tidak tahu? Akulah naga sakti yang boleh menunaikan tiga hajat kamu. Kamu boleh meminta apa sahaja yang kamu inginkan.” Kata Naga Sakti. “Hajat? Apa sahaja kemahuan saya?” Tanya Wan “Ya. Apa-apa sahaja. Tetapi hajat kamu harus membawa kebaikan dan bukannya keburukan.” Balas Naga Sakti. Wan berfikir panjang untuk meminta hajat yang pertama. Lalu, Wan teringat akan datuknya yang sudah terlantar sakit di rumah selama beberapa hari.


“Wahai naga, adakah kamu boleh pulihkan datuk saya? Itu hajat saya yang pertama.” Kata Wan. “Boleh saja Wan. Mari aku bawa kamu pulang ke rumah untuk berjumpa dengan datuk kamu.” Balas Naga Sakti. Naga Sakti membawa Wan terbang di belakang badannya. Wan teruja sekali kerana dapat terbang tinggi di atas awan serta melihat pemandangan yang sangat cantik. Wan dapat melihat bukit bukau yang menghijau, lautan yang membiru dan rumah-rumah mewah di pelabuhan. 10


Wan sangat bersyukur dan gembira melihat datuknya sudah sihat. Naga tersebut memasuki botol kaca semula. Keesokan harinya, Wan membuka botol kaca tersebut dan membaca pantun itu sekuat hatinya. Lantas Naga Sakti pun muncul. “Wahai Naga, saya berhajat untuk berjumpa dengan ayah saya yang sudah meninggal dunia. Adakah kamu boleh kabulkannya ?” Tanya Wan. “Tiada masalah. Aku akan tunaikan hajat kedua kamu tetapi kita harus pergi pada waktu malam.”Balas Naga Sakti. 11


12 Pada malam itu, Naga Sakti membawa Wan ke tengah lautan. Tiba-tiba, seekor ikan lumba-lumba datang menghampiri mereka. “Wan? Ini ayah. Ayah dijelmakan menjadi ikan lumba-lumba untuk berjumpa dengan kamu.” Kata ikan lumba-lumba. Wan tidak percaya dengan apa yang dilihatnya. Wan menangis kegembiraan kerana dapat bertemu ayahnya. Ikan itu membawa Wan mengelilingi pulau sambil berbual panjang. Wan lega kerana dia dapat melepaskan rasa rindu terhadap ayahnya.


Esoknya, Wan menceritakan kejadian itu kepada Adi dan Min. Mereka tidak mempercayai kisah itu dan mengejek Wan kerana masih menjadi nelayan dan hidup susah walaupun mempunyai botol kaca misteri. Selepas pulang, Wan segera menyeru Naga Sakti. “Wahai naga, saya mahukan harta yang sangat banyak kerana saya tidak ingin menjadi nelayan dan orang susah lagi. Saya mahu menjadi sultan dan memiliki rumah besar.” Kata Wan. Wan mahukan kemewahan harta benda untuk membuktikan kekayaannya kepada Adi dan Min. 13


“Kamu pasti? Ingat Wan, kemewahan harta tidak membawa kamu ke mana-mana. Sebaliknya ia menjadikan kamu seorang yang tamak.” Kata naga. “Ya, mestilah. Saya tidak mahu jadi miskin lagi.” Wan meninggikan suaranya. Dalam sekelip mata, asap gelap menyelubungi bilik itu dan mereka tiba di sebuah istana lama. “Lihatlah Wan, ini istana aku dulu. Aku adalah sultan yang tamak dan mahukan kemewahan sehingga aku lupa diri. Disebabkan sikapku, aku dihukum dan disumpah menjadi naga di dalam botol kaca buat selama-lamanya.” Kata naga. 14


“Aku melarang kerana aku tidak mahu kamu menjadi tamak dan lupa diri seperti aku.” Kata Naga Sakti. Semasa pulang, Wan hanya mendiamkan diri dan memikirkan kata-kata si naga. Mereka tidak menyedari bahawa mereka telah memasuki awan tebal yang sangat gelap. Kilat sabung-menyabung. Tiba-tiba, Wan ternampak cahaya yang sangat terang. Lalu, Wan dipanah kilat dan terjatuh dari belakang naga dalam keadaan tidak sedarkan diri. Naga Sakti segera terjun ke bawah untuk selamatkan Wan. 15


Esoknya, Wan terjaga dari tidur dan melihat dirinya sudah berada di rumah. Wan segera menyeru Naga Sakti dan memohon maaf. Wan turut memberitahu hajatnya yang terakhir. “Wahai Naga Sakti, hajat saya yang terakhir ialah, saya mahu membebaskan kamu dari sumpahan botol kaca buat selama-lamanya .” Kata Wan. Akhirnya, sumpahan Naga Sakti dalam botol kaca telah terbatal dan dia telah bertukar menjadi seorang manusia biasa. Naga Sakti berterima kasih kepada Wan kerana membebaskannya. Sejak itu, mereka hidup bahagia bersama-sama di kampung nelayan tersebut. TAMAT 16


17 Kita janganlah tamak dengan harta kerana ia boleh membuatkan seseorang itu lupa diri. Kita haruslah sentiasa berbuat baik kepada setiap makhluk di dunia ini. Kita haruslah saling bantumembantu sesama makhluk. Nilai & pengajaran


Glosari Terpencil - terasing dari yang lain Mendung - awan gelap / hampir hujan Dentuman - bunyi dentum kuat Gelisah - tidak tenang hati / risau Dijelmakan - muncul / masuk ke dalam tubuh manusia Bagaikan bulan jatuh ke riba (peribahasa)-rezeki yang datang secara mengejut 18 Menyelubungi - menutup/meliputi sesuatu


19 Ujian pemahaman 1. Siapakah watak utama cerita ini? 2. Apakah warna Naga Sakti? 3. Berapakah hajat yang boleh ditunaikan oleh Naga Sakti? 4. Apakah nilai murni yang anda dapati dalam cerita in? Jawapan *Wan *Merah jambu *Tiga *Tolong-menolong


Buku ini sesuai dibaca oleh murid tahap dua di sekolah rendah. Cerita ini sarat dengan nilai dan pengajaran yang berguna. Buku cerita ini mengkisahkan tentang kehidupan Wan sebagai nelayan yang hidup miskin. Pada satu hari, Wan terpaksa pergi ke laut seorang diri tanpa datuknya. Wan menebar jala sebanyak tiga kali. Selepas menebar jala buat kali keempat, Wan terjumpa satu botol kaca misteri. Lalu, Wan membuka botol tersebut dan membaca sepucuk surat. Hak Cipta Terpelihara. Karya dan ilustrasi adalah hak milik sepenuhnya oleh Nur Syahirah bt Rozhan


Click to View FlipBook Version