20 Februari 1956 (Isnin)
Saya tinggal di Bandar Hilir, Melaka. Hari ini bapa
mengajak saya ikut bersamanya melihat Rombongan
Kemerdekaan yang akan tiba di padang Bandar Hilir.
Bapa memberitahu kepada saya bahawa Rombongan
Kemerdekaan ini adalah diketuai oleh Tunku Abdul
Rahman dan mereka baru balik dari London.
Setibanya kami di sana, ramai orang telah berkumpul
menantikan ketibaan Rombongan Kemerdekaan. Hampir
setengah jam kami menunggu akhirnya Rombongan
Kemerdekaan pun tiba. Saya melihat bapa saya terlalu
gembira dan terharu. Sementara itu, saya menangkap
gambar dengan gembira.
Kemudian, saya melihat Tunku Abdul Rahman naik ke
pentas dan membaca tarikh kemerdekaan iaitu pada 31
Ogos 1957. Selesai sahaja membaca, Tunku Abdul
Rahman melaungkan ‘merdeka’ diikuti oleh orang ramai
termasuk bapa dan saya.
30 Ogos 1957 (Jumaat)
Hari ini saya dan keluarga saya pergi ke Kuala Lumpur
untuk meraikan kemerdekaan. Pagi-pagi lagi kami
bertolak dari Melaka dengan menaiki teksi. Sepanjang
perjalanan, saya melihat banyak kenderaan awam yang
membawa bendera. Kami berehat di rumah saudara kami
di Bangsar.
Kami tiba di Padang Kelab Selangor pada lewat
petang. Ramai orang telah berhimpun di situ untuk
menyambut ambang kemerdekaan Persekutuan Tanah
Melayu. Tepat pukul 12:00 tengah malam saya
menyaksikan bendera Union Jack diturunkan dan bendera
Persekutuan Tanah Melayu dinaikkan. Saya melihat bapa
dan ibu menitiskan air mata semasa bendera dinaikkan.
Orang ramai bersorak gembira. Bapa juga bersorak
seperti mereka. Bapa memeluk saya dan ibu tanda
gembira. Dalam hati saya, saya berasa gembira apabila
semua orang bersorak.
31 Ogos 1957 (Sabtu)
Hari ini merupakan hari pengisytiharan kemerdekaan
Tanah Melayu. Saya dan keluarga menaiki teksi menuju ke
Stadium Merdeka. Saya melihat ramai orang berada di
Stadium Merdeka.
Saya mendengar ucapan wakil Ratu England.
Kemudian, saya melihat dokumen pengisytiharan
kemerdekaan diserahkan kepada Yang di-Pertuan Agong.
Tepat pada pukul 9:30 pagi, Tunku Abdul Rahman
membaca pengisytiharan kemerdekaan Tanah Melayu.
Laungan ‘merdeka’ sebanyak tujuh kali disambut oleh
orang ramai di Stadium Merdeka dengan penuh
semangat.
Sesungguhnya hari ini amat bermakna. Saya tidak
akan melupakan detik-detik yang penuh bersejarah ini.