The words you are searching are inside this book. To get more targeted content, please make full-text search by clicking here.

SEJARAH BUGIS LINGGI DI NEGERI SEMBILAN

Discover the best professional documents and content resources in AnyFlip Document Base.
Search
Published by mkhishamma, 2022-07-23 06:58:33

Sejarah Bugis di Linggi

SEJARAH BUGIS LINGGI DI NEGERI SEMBILAN

Konvensyen Antarabangsa Dispora Bugis | 2011| International Convention Bugis Diaspora

SEJARAH BUGIS DI LINGGI, NEGERI SEMBILAN

Mohd Khairil Hisham bin Mohd Ashaari
Penulis Bebas dan Penyelidik Bebas

---------------------------------------------------------------------------------------------------------------------
ABSTRAK

Kemasukan orang Bugis ke Rembau telah membuka satu lembaran baru di dalam
sejarah Negeri Sembilan. Kedatangan orang Bugis ini diterima dengan baik, diberikan
penghormatan dan dilindungi oleh Penghulu Rembau. Namun, oleh sebab sistem
kemasyarakatan dan kehidupan yang berbeza dengan masyakarat Adat Perpatih maka
orang Bugis telah berhijrah dan akhirnya membuka Linggi. Pembukaan Linggi
membuktikan bahawa mereka mampu hidup walaupun berada di dalam kelompok
berbeza. Linggi wujud sebagai kerajaan sendiri, mempunyai sistem pentadbiran yang
teratur, sistem ketenteraan yang kuat dan mampu bertahan hampir selama dua ratus
tahun. Pengalaman dan perkembangan masyarakat Bugis Linggi telah membina satu
sistem kemasyarakatan dan kebudayaan Bugis Linggi yang tersendiri dan unik.
Masyarakat Bugis Linggi mengamalkan adat yang dikenali sebagai „Adat Linggi‟ atau
„Adat Muafakat dan Kebulatan‟. Adat ini amat berbeza dengan adat yang diamalkan oleh
masyarakat Bugis di Johor, Selangor mahupun Sulawesi. Ini menunjukkan seolah-olah
tidak sebarang perkaitan mahupun perhubungan dengan kelompok Bugis di luar Linggi.
Di samping itu, peranan dan kemampuan Linggi di dalam mengawal lalu lintas
perdagangan di Sungai Linggi menyebabkan Linggi sentiasa dicemburui oleh pembesar-
pembesar adat Negeri Sembilan dan juga Inggeris. Masyarakat Bugis Linggi dianggap
sebagai satu kelompok sosial yang kuat, mampu berdiri sendiri dan berjuang dengan
gigih di dalam apa jua keadaan dan cabaran demi untuk mempertahankan
kedaulatannya. Kemampuan Linggi membina sistem kemasyarakatannya sendiri

Konvensyen Antarabangsa Dispora Bugis | 2011| International Convention Bugis Diaspora

menyebabkan Linggi dihormati dan digeruni oleh rakan dan musuh. Apa jua cabaran
dan halangan yang berlaku di dalam kelangsungan masyarakat Bugis Linggi dan Adat
Linggi, Linggi telah berjaya memainkan peranan penting di dalam pembentukan Negeri
Sembilan moden.

---------------------------------------------------------------------------------------------------------------------
1. Pengenalan
Apabila kita membicarakan mengenai Negeri Sembilan, ramai pengkaji mahupun ahli
akademik akan mengaitkannya dengan Adat Perpatih dan Minangkabau. Negeri
Sembilan sering digambarkan sebuah negeri yang mengamalkan Adat Perpatih
sepenuhnya. Malah Negeri Sembilan digelar sebagai “Negeri Beradat”. Apa jua yang
dilakukan oleh masyarakat Negeri Sembilan akan dikaitkan dengan Adat Perpatih. Ini
menunjukkan betapa rapatnya Negeri Sembilan dengan Minangkabau. Ini tidak dapat
dinafikan kerana secara tradisinya, Negeri Sembilan dibahagikan kepada beberapa luak
iaitu Luak Rembau, Luak Sungai Ujong, Luak Johol, Luak Jelebu, Luak Tanah
Mengandong dan Wilayah Tampin. Ini menyebabkan ramai yang beranggapan bahawa
keunikan Negeri Sembilan adalah disebabkan oleh pengamalan Adat Perpatihnya.

Pendapat ini masih lagi boleh diperdebatkan dan diperbincangkan. Memang secara
umumnya, majoriti masyarakat Negeri Sembilan mengamalkan Adat Perpatih dan
merupakan penghijrah yang datang dari Tanah Minangkabau. Namun jika dilihat secara
terperinci, terdapat beberapa kelompok masyarakat yang bukan dari Tanah
Minangkabau berhijrah ke Negeri Sembilan dan mampu untuk membina ketamadunan
mereka yang tersendiri tanpa dipengaruhi walaupun berada di dalam kelompok
masyarakat Adat Perpatih. Salah satu masyarakat yang berjaya menempatkan
kelompok mereka di Negeri Sembilan dan memainkan peranan penting di dalam

Konvensyen Antarabangsa Dispora Bugis | 2011| International Convention Bugis Diaspora

pembinaan sejarah Negeri Sembilan moden ialah masyarakat Bugis. Masyarakat Bugis
telah berhijrah dari Riau ke Rembau dan akhir sekali menetap di Linggi sehingga
mampu mengawal perdagangan di Sungai Linggi.

Jika dilihat dari segi sosio politik masa kini, Linggi tidak mempunyai sebarang
kedudukan atau kepentingan di dalam pentadbiran Negeri Sembilan sama ada
pentadbiran adat atau pentadbiran moden. Ini amat berbeza pada satu dahulu ketika
Linggi berada di dalam zaman keagungannya. Linggi dianggap sebuah kuasa yang
terpenting di dalam mengawal perdagangan di Sungai Linggi sehingga menyebabkan
Inggeris, Dato‟ Kelana Sungai Ujong, Penghulu Rembau dan Dato‟ Syahbandar merasa
tergugat dan berusaha untuk menguasai pentadbiran Linggi. Linggi berjaya menonjolkan
kemampuannya mengawal politik Negeri Sembilan hampir 200 tahun sehingga ia
menimbulkan perasaan tidak puas hati di kalangan pembesar-pembesar adat di Negeri
Sembilan. Linggi sering kali terlibat di dalam peperangan mahupun persengketaan bagi
menentukan siapakah yang layak mengutip cukai dan mengawal perdagangan di Sungai
Linggi.

2. Kemasukan Masyarakat Bugis Ke Negeri Sembilan
Sering kali berlaku kekeliruan di kalangan pengkaji di dalam mengkaji sejarah Linggi di
antara Kuala Linggi dan Linggi. Kekeliruan berlaku apabila Kuala Linggi ditulis sebagai
Linggi. Jika dilihat dari segi lokasi, ia berada di dalam kawasan yang berbeza dan jauh
antara satu sama lain di mana Kuala Linggi berada di Melaka dan berhampiran dengan
laut manakala Linggi berada di Negeri Sembilan dan berhampiran dengan sungai.
Namun begitu, aliran Sungai Linggi di Linggi menuju ke kuala di Kuala Linggi.

Konvensyen Antarabangsa Dispora Bugis | 2011| International Convention Bugis Diaspora

Ini jelas disebut di dalam Tuhfat Al-Nafis

“Sebermula kata sahib al-hikayat adalah di Kuala Linggi itu orang Bugis-Bugis
Selangor memulai memasang belat mengambil ikan. Maka datanglah suruhan
Penghulu Linggi ini minta hasil. Maka jawab Bugis itu, sehari-hari pada tempat ini
tiada diambil hasil kerana pekerjaanku ini bukannya di dalam Linggi, ikan di laut
mana-mana rezekiku masuklah ia dan mana-mana ia tidak lepaslah ia....” 1

Kenyataan di dalam Tuhfat Al-Nafis jelas menunjukkan bahawa Kuala Linggi berbeza
dengan Linggi. Ia juga menjelaskan bahawa Kuala Linggi telah mempunyai penempatan
penduduk lebih awal iaitu mungkin akhir abad 17 atau awal tahun 1700an manakala
Linggi hanya diduduki dalam tahun 1800. Linggi yang dimaksudkan di dalam kertas
kerja ini adalah Mukim Linggi, Negeri Sembilan.

Linggi merupakan salah satu daripada mukim yang terdapat di Negeri Sembilan di mana
ia terletak di dalam daerah Port Dickson. Keluasan Linggi adalah lebih kurang 176.6
kilometer persegi. Bilangan penduduk hanya seramai 8,161 orang2. Linggi terdiri
daripada 5 kampung iaitu Kampung Linggi, Kampung Permatang Pasir, Kampung
Pengkalan Durian, Kampung Tampin Linggi dan Kampung Barisan. Jika dilihat dari segi
kedudukan Linggi, ia bersempadan dengan daerah Rembau, daerah Seremban dan
Melaka yang hanya dipisahkan oleh Sungai Linggi. (Rujuk Peta 1)

Konvensyen Antarabangsa Dispora Bugis | 2011| International Convention Bugis Diaspora

Peta 1 : Peta Linggi 3
Manuskrip Imam Ambak dan Manuskrip Orang Yang Mula-mula Membuka Linggi
menerangkan bahawa Dato‟ Awaluddin4 dan Dato‟ Serilah5 bersama suaminya, Lebai
Kunut6 merupakan anak7 Daeng Chelak yang juga dikenali sebagai Sultan Alauddin
Syah8. Daeng Chelak dikatakan telah mengarahkan Dato‟ Awaluddin bersama Dato‟
Serilah dan Lebai Kunut pergi ke Sulawesi untuk mengambil harta pusaka yang
tertinggal ketika peperangan di sana. Dato‟ Awaluddin telah dilengkapkan dengan
kelengkapan peperangan yang mencukupi bagi melaksanakan hasrat Daeng Celak.
Ketika berlabuh di suatu tempat Dato‟ Awaluddin berbincang dengan Dato‟ Serilah dan
Lebai Kunut bersama-sama pasukannya memikirkan kaedah bagaimana untuk
mendapatkan barang tersebut tanpa berperang. Mereka bersepakat untuk
membincangkan corak pemerintahan yang harus dijalankan oleh pemerintah (Sultan)
berdasarkan Al-Quran dan Sunnah. Sesiapa yang mampu mengupas ayat Al-Quran

Konvensyen Antarabangsa Dispora Bugis | 2011| International Convention Bugis Diaspora

tersebut dengan baik dan tepat akan dianggap sebagai pemenang. Ayat Al-Quran yang
dipilih ialah :-

                       

Dan Sesungguhnya Kami telah memberi kepadamu (Wahai Muhammad) tujuh ayat
yang diulang-ulang bacaannya dan seluruh Al-Quran yang amat besar kemuliaan dan
faedahnya. (Surah Al-Hijr : 87)

Besar kemungkinan Dato‟ Awaluddin memikirkan bahawa mereka yang akan diperangi
merupakan sanak saudara mereka tambahan pula Dato‟ Awaluddin lebih
mengutamakan persaudaraan dan perdamaian. Ini mungkin disebabkan latar
belakangnya berpendidikan agama.

Di dalam pertandingan tersebut, pihak Dato‟ Awaluddin mampu memberi tafsiran yang
tepat apa yang dikatakan pemerintahan yang baik dan perkaitannya dengan ayat yang
dibaca. Oleh yang demikian, beliau dapat membawa pulang barang yang sepatutnya.
Setibanya di Riau, Daeng Celak menjadi marah apabila mengetahui bahawa Dato‟
Awaluddin mendapat harta tersebut tanpa peperangan dengan alasan ia memalukannya
sebagai Yang Dipertuan Muda Riau dan berketurunan Bugis. Ini adalah kerana ia
berlaku dengan tipu muslihat bukan dengan kekuatan ketenteraan. Dato‟ Awaluddin
telah diarahkan untuk memulangkannya semula. Ini telah menimbulkan perasaan
kecewa Dato‟ Awaluddin kerana Daeng Celak berkeras mahukan perkara ini
diselesaikan dengan peperangan. Ini menyebabkan Dato‟ Awaluddin, Dato‟ Serilah

Konvensyen Antarabangsa Dispora Bugis | 2011| International Convention Bugis Diaspora

bersama Lebai Kunut mengambil keputusan untuk keluar dari Riau dengan
meninggalkan segala identitinya dan mencari tempat kehidupan yang baru.

Sebagaimana dinyatakan oleh Manuskrip Imam Ambak :-

“ Maka muafakat keduanya mengatakan dia sangat benci kepada adat ayah
bondanya. Baik kita pergi mencari tempat yang sederhana dan kita pantangkan
daripada menyatakan pangkat Raja dan kita pantangkan semenda menyemenda
dengan Raja dan kita pantangkan semenda menyemenda dengan jariah orang
dan kita pantangkan memakai adat bugis melainkan kita mengikut adat kitab dan
sunah.”

Ini merupakan persumpahan yang masih dipegang oleh waris Linggi sehingga kini di
mana mereka tidak mengangkat sembah ketika mengadap Sultan. Bukan itu sahaja,
waris Linggi dilarang berkahwin dengan keluarga raja dan menggunakan gelaran nama
seperti Raja, Tengku atau apa jua yang berkaitan dengan raja. Mereka juga dilarang
untuk berkahwin dengan golongan hamba bagi menjaga taraf kedudukan mereka
melainkan hamba tersebut telah dimerdekakan. Sekiranya ada waris yang berkahwin
dengan golongan hamba, keturunan waris itu tidak layak menyandang sebarang pusaka
Linggi dan tidak lagi dianggap sebagai waris.

Konvensyen Antarabangsa Dispora Bugis | 2011| International Convention Bugis Diaspora

Gambar 1 : Kawasan perkuburan hamba, pesalah dan waris Linggi yang melakukan
kesalahan berat.

Kedatangan kelompok Bugis ke Rembau diketuai oleh Dato‟ Awaluddin bersama
kakaknya Dato‟ Serilah, Lebai Kunut, suami Dato‟ Serilah bersama-sama pengikut-
pengikutnya. Pada peringkat awal, mereka menetap di Batang Tiga, namun disebabkan
telah wujud perkampungan masyarakat Bugis di Batang Tiga menyebabkan perasaan
tidak selesa di kalangan pengikut Dato‟ Awaluddin. Mereka berpindah dan membuka
perkampungan di Pengkalan Balak berhampiran dengan Kuala Sungai Baru, Melaka.
Sebahagian daripada pengikut Dato‟ Awaluddin dan Dato‟ Serilah menetap di Pengkalan
Balak manakala sebahagiannya meneruskan perjalanan bersama-sama Dato‟
Awaluddin dan Dato‟ Serilah ke Rembau. Mereka telah menyelusuri Sungai Linggi dan
Sungai Rembau sehingga mendarat di Penajis. Bagi mengelakkan sebarang
persengketaan dan salah faham di antara pengikut Dato‟ Awaluddin dan penduduk
Rembau, beliau telah berjumpa dengan Penghulu Rembau9 , Dato‟ Lela Maharaja10

Konvensyen Antarabangsa Dispora Bugis | 2011| International Convention Bugis Diaspora

Lulinsuh bagi mendapatkan keizinan untuk membuka perkampungan di Rembau.
Penghulu Rembau telah membenarkan Dato‟ Awaluddin bersama-sama pengikutnya
membuka perkampungan berhampiran Sungai Penajis iaitu Penajis Bandar11. Perkara
ini telah menimbulkan perasaan tidak puas hati di kalangan pembesar-pembesar adat
Rembau kerana mereka khuatir kemasukan masyarakat Bugis akan menyebabkan
pergaduhan. Pembesar-pembesar Rembau memahami sifat orang Bugis di dalam
menentukan corak pemerintahan di sesuatu yang didudukinya. Namun, Penghulu
Rembau telah dapat meyakinkan pembesar-pembesar adat di Rembau bahawa Dato‟
Awaluddin tidak akan bertindak untuk merampas kuasa. Penghulu Rembau juga
menghormati Dato‟ Awaluddin sebagai ahli keluarga Yang Dipertuan Muda Riau, Daeng
Kemboja yang pernah menetap di Pedas. Tambahan pula, sifat Dato‟ Awaluddin yang
sentiasa merendah diri dan tinggi ilmu agamanya menyebabkan Penghulu Rembau
membenarkan Dato‟ Awaluddin menetap di Penajis. Malah, Penghulu Rembau telah
melantik Dato‟ Awaluddin sebagai guru agama bagi keluarganya dan ahli-ahli
warisnya12.

Ketika di Penajis, Dato‟ Awaluddin merasakan masyarakat Bugis berada di dalam
keadaan tidak selesa dan tersepit. Ini disebabkan masyarakat sekeliling mereka
mengamalkan adat yang amat berbeza iaitu Adat Perpatih dan mereka sentiasa
dipandang sinis oleh orang-orang Rembau. Dato‟ Awaluddin memohon keizinan
daripada Penghulu Rembau untuk mencuba nasib dengan membuka perkampungan
baru. Penghulu Rembau memahami masalah yang dihadapi oleh Dato‟ Awaluddin dan
membenarkan Dato‟ Awaluddin membuka perkampungan baru di penghujung Sungai
Linggi.

Konvensyen Antarabangsa Dispora Bugis | 2011| International Convention Bugis Diaspora

Pada tahun 1770, Dato‟ Awaluddin, Dato‟ Serilah, Lebai Kunut bersama pengikut-
pengikutnya telah pergi ke satu kawasan lembah. Mereka telah membuka
perkampungan di kawasan tersebut dan mendapati kawasan tersebut tidak sesuai untuk
dijadikan perkampungan kerana sering dilanda banjir. Keadaan ini telah menyebabkan
Dato‟ Awaluddin kembali ke Penajis. Kepulangannya telah disambut dengan baik oleh
Penghulu Rembau, Dato‟ Lela Maharaja Lulinsuh.

Di penghujung tahun 1776, Marhum Janggut13 telah datang ke Kuala Linggi untuk
berjumpa dengan Penghulu Rembau, Dato‟ Lela Maharaja Lulinsuh dan Dato‟
Awaluddin dengan tujuan untuk membawa pulang Dato‟ Awaluddin, Dato‟ Serilah dan
Lebai Kunut pulang ke Riau. Tujuan membawa pulang Dato‟ Awaluddin dipercayai
adalah untuk membantu Riau berperang dengan Belanda dan juga ingin memastikan
peralihan kuasa jawatan Yang Dipertuan Muda Riau seterusnya berlaku dengan baik.
Permintaan Marhum Janggut ditolak dengan baik oleh Penghulu Rembau dengan
menyatakan :-

“Tidak menjadi keberatan bagi pihak kami sekiranya Paduka Tuanku ingin
membawa pulang Awaluddin ke Riau. Kami amat berbesar hati sekiranya
Paduka Tuanku dapat mengizinkannya tinggal bersama-sama kami di Rembau.
Telah kami anggapnya sebagai anak dan guru kami di Rembau. Kami serahkan
kepada Awaluddin membuat keputusan14.”

Apabila mendengar kata-kata Penghulu Rembau, Marhum Janggut menyerahkan
keputusan untuk pulang ke Riau kepada Dato‟ Awaluddin. Permohonan ini telah ditolak
oleh Dato‟ Awaluddin dan beliau memohon agar tinggal di Rembau sebagaimana yang

Konvensyen Antarabangsa Dispora Bugis | 2011| International Convention Bugis Diaspora

dijanjikan ketika mereka keluar dari Riau. Mendengar jawapan ini, Marhum Janggut
menyatakan bahawa :

“Kalau begitu kehendak saudara kami, kami izinkan saudara kami tinggal
bersama-sama Paduka Dato‟. Jagalah ia sebagaimana Paduka Dato‟ menjaga
keluarga Paduka Dato‟. Jangan dihina, dicaci dan jagalah maruah mereka
seumpama maruah Paduka Dato‟. Berikanlah mereka kedudukan yang sesuai
dengan taraf keluarga kami kerana saudara kami adalah darah daging kami.” 15

Ini diperkukuhkan lagi dengan kata-kata Daeng Kemboja kepada Penghulu Rembau :-

“Jika Orang Kaya berkehendakkan Awaluddin ini tinggal bersama-sama Orang
Kaya di Rembau, benarkan dia memakai aturan dan adat sendiri tidaklah boleh
ia memakai Adat Tok Patih”. 16

Ini disebut di dalam perbilangan masyarakat Bugis Linggi :-

Meliang biar tembus
Memancung biar putus
Naik tidak bertangga
Turun tidak berpintu
Makan biarlah habis di sini
Linggi habis di Linggi
Bergajah Tunggal

Konvensyen Antarabangsa Dispora Bugis | 2011| International Convention Bugis Diaspora

Perbilangan ini bermaksud Dato‟ Awaluddin diberi kuasa penuh dan tidak boleh
diganggu oleh mana-mana pihak. Beliau akan menentukan corak pentadbiran
pemerintahan dan adat yang ingin diamalkan oleh masyarakat Bugis. Kelompok ini tidak
boleh dipaksa atau diminta mengikuti adat yang diamalkan oleh orang Rembau iaitu
Adat Perpatih. Ia telah dipersetujui oleh Penghulu Rembau. Dengan itu, Dato‟ Awaluddin
diberi satu kawasan untuk ditadbir sendiri. Namun, keadaan Dato‟ Awaluddin telah tua
dan uzur, beliau tidak lagi berminat untuk berhijrah bagi membuka kawasan baru.

Dalam tahun 1800, sekelompok masyarakat Bugis di Rembau yang terdiri daripada
anak, cucu Dato‟ Awaluddin dan Dato‟ Serilah seramai 7 orang telah memohon keizinan
daripada Penghulu Rembau untuk membuka perkampungan selaras dengan perjanjian
di antara Daeng Kemboja dan Penghulu Rembau. Kelompok ini diketuai oleh Lebai
Dolman dan pengikutnya. Mereka telah pergi semula ke kawasan yang pernah dibuka
oleh Dato‟ Awaluddin, Dato‟ Serilah dan Lebai Kunut sebelumnya.

Konvensyen Antarabangsa Dispora Bugis | 2011| International Convention Bugis Diaspora

3. Pembukaan Linggi
Nama Linggi berasal dari buritan di bahagian belakang kapal di mana ia ditemui oleh
orang yang membuka Linggi. Menurut Manuskrip Linggi bahawa ketika orang-orang
Bugis meneroka mereka telah berjumpa dengan bahagian belakang buritan kapal yang
dikenali sebagai Linggi. Oleh yang demikian, mereka mengambil keputusan
perkampungan yang baru dibuka dipanggil sebagai Linggi.

Ia juga dijelaskan oleh Gullick17 :-

“The name “Linggi” is said to come from the of a ship (linggi). The story goes that
the founder of the modern settlement found part of a ship when he was exploring
in 1783 and so the country takes its name”

Linggi mula-mula dibuka dan diteroka secara rasminya pada tahun 1800. Manuskrip
„Fasal Peringatan Orang Yang Mula-Mula Membuka Linggi” ada dinyatakan bahawa :-

“Sanat 1215, mula-mula Linggi dibuka Tok Lebai Dolman berdua beradik dengan
Tok Kanda Ali18 kemudian tidak berapa lamanya datang pula Tok Haji Kassim
bin Khatib Jamaludin anak Tok Awal”.

Manakala Manuskrip Membuka Linggi Imam Ambak19 menyatakan bahawa

.....Ada pun yang mula-mula berjumpa kelayakkannya itu iaitu Tok Sulung
Mahmud suami isteri dinamakan Pengkalan Kundang. Kemudian berjalan
sekaliannya mengulu maka berjumpalah mereka itu satu rumah orang namanya
Tok Suboh suami isteri halnya sudah lama di situ dia dari Negeri Sumatra. Maka

Konvensyen Antarabangsa Dispora Bugis | 2011| International Convention Bugis Diaspora

Tok Jenu dan Tok Ibrahim tinggallah di rumah Tok Suboh itu menanti kerana ia
sudah tuha. Kemudian berjalan mereka itu mengulu lagi maka berjumpalah Tok
Kekanda suami isteri akan tempat kelayakkannya dinamakan Kampung Hilir.
Kemudian berjalan mereka itu mengulu lagi maka berjumpa Tok Dolman suami
isteri akan tempat kelayakkannya dinamakan Kampung Tengah. Kemudian
berjalan mereka itu mengulu lagi maka berjumpalah Tok Haji Mohamad Kassim
suami isteri akan tempat kelayakkannya dinamakan Kampung Hulu. Kemudian
berjalan mereka mengulu lagi maka berjumpalah Tok Khatib Musa suami isteri
akan tempat kelayakkannya Kampung Telok Rumbia. Kemudian berjalan mereka
itu mengulu lagi maka berjumpalah Tok Noh suami isteri akan tempat
kelayakkannya dinamakan Kampung Tampin.”

Jika dilihat manuskrip „Fasal Peringatan Orang Yang Mula-mula Membuka Linggi
menyatakan bahawa Linggi dibuka oleh Lebai Dolman dalam tahun 1800 dan diikuti oleh
ahli keluarganya yang lain. Manuskrip Membuka Linggi Imam Ambak juga menceritakan
pembukaan Linggi dilakukan oleh Lebai Dolman di mana ia menceritakan lebih terperinci
mengenai individu-individu yang membuka setiap kampung di Linggi. Manuskrip ini juga
menyatakan bahawa terdapat satu keluarga orang Minangkabau yang telah menetap di
situ. Perkara ini tidak mustahil jika dilihat di dalam pensejarahan Jelebu20 ada menyebut
satu keluarga orang asli yang berpindah ke Pengkalan Dian sekarang. Namun, keluarga
ini berpindah setelah kemasukan orang Bugis ke Linggi. Kekeliruan di dalam
menentukan sama ada orang Minangkabau atau orang asli adalah kerana orang asli
Negeri Sembilan telah mula menerapkan cara-cara kehidupan orang Minangkabau yang
berhijrah ke Negeri Sembilan.

Konvensyen Antarabangsa Dispora Bugis | 2011| International Convention Bugis Diaspora

Penghijrahan orang-orang Bugis dari Rembau ke Linggi merupakan titik tolak
pembangunan ketamadunan masyarakat Bugis Negeri Sembilan. Mereka bebas
mengamalkan adat resam yang dibina mengikut kesesuaian tempat dan kehidupan
mereka di Linggi. Mereka tidak lagi mengamalkan Adat Bugis sama ada di Sulawesi
mahupun di Riau dan juga tidak mengamalkan Adat Perpatih sebagaimana masyarakat
Rembau pada ketika itu. Mereka mengamalkan adat budaya mereka sendiri yang
dikenali sebagai “Muafakat bil Kitab wassunnati Qabulatan Minal Ustaz Ilamanati21” yang
membawa maksud “Muafakat Berteraskan Kitab Al-Quran dan Sunah Nabi s.a.w. dan
Berkebulatan juga Mentaati Ajaran Guru-guru”. Adat ini juga dikenali sebagai “Adat
Linggi, Adat Bermaharalela Berlandaskan Hukum Syarak22”

Selepas pembukaan Linggi yang diketuai oleh Lebai Dolman, ramai orang Bugis yang
menetap di Penajis telah berhijrah ke Linggi manakala ada yang masih menetap di
Penajis bersama-sama Dato‟ Awaluddin dan Dato‟ Serilah23. Ketika ini, mereka dipimpin
oleh Lebai Dolman sebagai Penghulu Linggi yang pertama. Lebai Dolman memerintah
selama 3 tahun bermula dari tahun 1800 sehingga tahun 1803. Dalam tahun 1803,
Lebai Dolman telah menyerahkan jawatannya sebagai Penghulu kepada bapa
saudaranya24, Juragan Abdul Rahman (1803 – 1820). Penyerahan ini disebabkan
kebolehan dan kemampuan Juragan Abdul Rahman25 di dalam perdagangan. Lebai
Dolman yakin dan percaya bahawa dengan perdagangan mampu menaikkan Linggi
sebagai sebuah kuasa yang mampu berdiri sendiri tanpa bergantung dengan mana-
mana pihak. Ketika zaman Juragan Abdul Rahman menjadi Penghulu, beliau telah
melantik menantunya, Mohd Kattas sebagai wakil beliau sehingga Mohd Kattas dikenali
sebagai Dato‟ Muda. Ini jelas apabila ada arahan26 yang disampaikan, orang Linggi akan
bertanya siapakah yang memberi arahan sama ada Tok Tua atau Tok Muda. Juragan
Abdul Rahman berusaha membersihkan Sungai Linggi bagi membolehkan pedagang

Konvensyen Antarabangsa Dispora Bugis | 2011| International Convention Bugis Diaspora

berdagang sehingga ke Sungai Ujong. Bagi menampung perbelanjaan membersihkan
sungai tersebut, Juragan Abdul Rahman telah mengenakan cukai kepada pelombong-
pelombong yang melalui Sungai Linggi. Ini menyebabkan Syahbandar Sungai Ujong
merasa hairan kerana kemasukan ramai pedagang ke Sungai Ujong. Beliau telah
mengarahkan pengikutnya menyiasat di sepanjang Sungai Linggi dan didapati terdapat
satu perkampungan di hulu Sungai Linggi. Dato‟ Syahbandar dapati Linggi ditadbir oleh
orang Bugis, anak Penghulu Rembau maka beliau telah memanggil Juragan Abdul
Rahman untuk berbincang. Peristiwa ini diterangkan di dalam perbilangan :-

“Linggi beribukan Rembau, berbapakan Syahbandar”

Oleh disebabkan beberapa peristiwa yang berlaku di antara Juragan Abdul Rahman dan
Raja Ali, Juragan Abdul Rahman menyerahkan pentadbiran kepada Dato‟ Mohd Kattas
(1820 – 1850). Oleh sebab beliau lebih dikenali sebagai Dato‟ Muda maka gelaran itu
kekal sehingga sekarang. Setelah itu, Juragan Abdul Rahman menetap dan meninggal
dunia di Tanjung Pinang27. Ketika pemerintahan Dato‟ Muda Mohd Kattas, Linggi telah
berjaya membina kekuatan yang tersendiri sehingga mampu mengawal perdagangan di
Sungai Linggi. Linggi juga menjadi satu kuasa tentera yang kuat pada ketika itu di mana
Linggi pernah turut serta di dalam beberapa peperangan yang besar seperti Perang
Rembau-Naning, Perang Sungai Ujong, Perang Simpang, Perang Linggi-Rembau dan
lain-lain. Dato‟ Muda Mohd Kattas telah berjaya membawa Linggi ke satu tahap di mana
sebarang perbincangan di antara Sungai Ujong, Rembau, Belanda, Inggeris, Naning
dan Lukut perlu melibatkan Linggi bersama.

Konvensyen Antarabangsa Dispora Bugis | 2011| International Convention Bugis Diaspora

Gambar 2 : Meriam ini pernah digunakan ketika peperangan Linggi-Rembau

Pada tahun 1850, selepas Dato‟ Muda Mohd Kattas meninggal dunia, Mohd Saleh telah
menyandang jawatan Dato‟ Muda bermula pada tahun 1850 – 1870. Walaupun ketika
pemerintahan Dato‟ Muda Mohd Saleh berada di dalam pergolakan politik, beliau masih
lagi mampu mengekalkan kewibawaan dan perdagangan di Sungai Linggi. Namun,
ketika inilah berlakunya pertukaran atau perubahan sistem perhubungan di antara Linggi
dan Rembau. Penghulu Rembau tidak berpuas hati dengan cara Dato‟ Muda Mohd
Saleh membahagikan hasil cukai di Sungai Linggi di mana beliau telah memberi secara
sama rata di antara beliau (1/3), Dato‟ Kelana Sungai Ujong (1/3) dan Dato‟ Syahbandar
Sungai Ujong (1/3). Penghulu Rembau beranggapan selaku ibu kepada Linggi, Rembau
berhak mendapat bahagian yang lebih berbanding dengan Dato‟ Syahbandar mahupun
Dato‟ Kelana Sungai Ujong. Perkara ini biasa berlaku di dalam sistem yang
mengamalkan sistem matrileneal di mana pihak perempuan mempunyai kuasa terhadap
pemberian harta. Ini telah membawa kepada peperangan di antara Rembau dan Linggi
dan menyebabkan Dato‟ Muda Mohd Saleh memutuskan perhubungan dengan Rembau
dan menjalinkan perhubungan dengan Sungai Ujong sebagaimana perbilangan :

Konvensyen Antarabangsa Dispora Bugis | 2011| International Convention Bugis Diaspora

“Linggi beribukan Bandar, berbapakan Kelana”

Gambar 3 : Kubur Dato‟ Muda Linggi ke-2 Haji Mohd Salleh bin Haji Amil
Dato‟ Muda Mohd Peral (1870 - 1870) telah dilantik sebagai Dato‟ Muda seterusnya
menggantikan Dato‟ Muda Mohd Saleh. Pada zaman pemerintahan Mohd Peral, Linggi
masih lagi mampu mengawal sistem perdagangan di Sungai Linggi walaupun terdapat
beberapa peristiwa yang menyebabkan kehilangan sebahagian daripada kuasanya.
Linggi mula kehilangan sepenuh kuasanya selepas Dato‟ Muda Mohd Bustam (1893 –
1912) meninggal dunia. Linggi tidak mempunyai Dato‟ Muda Lingi selama 20 tahun.
Perebutan dan persengketaan di kalangan waris-waris Linggi menyukarkan pemilihan
Dato‟ Muda dilakukan. Masing-masing menyatakan bahawa mereka lebih layak jika
dibandingkan dengan yang lain. Ini menyebabkan Inggeris telah membuat keputusan
untuk menggantung jawatan Dato‟ Muda Linggi. Ia berdasarkan kenyataan Douglas28
iaitu :-

Konvensyen Antarabangsa Dispora Bugis | 2011| International Convention Bugis Diaspora

“It is not necessary for the welfare of the country or even the district to have a
new Datuk Muda” 29
Inggeris menjadikan kenyataan Douglas sebagai asas untuk tidak menyokong
pelantikan Dato‟ Muda Linggi selepas kematian Dato‟ Muda Mohd Bustam. Inggeris
merasakan bahawa sekiranya Dato‟ Muda baru dilantik, ia akan menambahkan
kekusutan perebutan perdagangan di Sungai Linggi. Tindakan Inggeris amat difahami
bagi melindungi kepentingannya dengan alasan bahawa Linggi tidak memerlukan Dato‟
Muda seolah-olah ia tidak memberi kesan terhadap negara mahupun daerah. Inggeris
telah mula mengawal dan masuk campur di dalam sistem pentadbiran Linggi dan juga
Sungai Ujong.

Gambar 4 : Kawasan perkuburan Dato‟ Muda Linggi ke 3 Mohd Peral dan keluarga

Konvensyen Antarabangsa Dispora Bugis | 2011| International Convention Bugis Diaspora

Pada tahun 1912, satu usaha telah dijalankan oleh waris-waris Linggi bagi mewujudkan
semula jawatan Dato‟ Muda Linggi. Usaha ini berjaya di mana Dato‟ Muda Hassan Pok
telah dilantik sebagai Dato‟ Muda Linggi seterusnya oleh Dato‟ Kelana Sungai Ujong.
Namun, pelantikan ini telah menimbulkan perasaan tidak puas hati di kalangan waris
Linggi kerana ia dikatakan melanggar tatacara pelantikan Dato‟ Muda Linggi yang tidak
berlandaskan Adat Muafakat Linggi. Ia juga dikatakan bercanggah dengan apa yang
diucapkan oleh Penghulu Rembau kepada Dato‟ Syahbandar Sungai Ujong :-

“.....kami mengesahkanlah anak kami Datuk Muda Linggi yang beradatkan
muafakat kebulatan, naik tak bertangga, turun tak berpintu ertinya dahulu menjadi bapa
kemudian menjadi anak yakni dahulu guru kami kemudian anak kami maka kami
hormatkan seperti menyambut ibu dari atas rumah akan anak pada bapanya dari atas
tanah.....”30

Ia disokong oleh Dato‟ Syahbandar Sungai Ujong :

“..........kami mengesahkanlah anak kami Dato‟ Muda Linggi yang beradatkan muafakat
kebulatan melompat gajah tunggal ertinya dahulu menjadi mak kemudian menjadi anak
yakni dahulunya guru kami kemudian anak kami maka kami hormatkan jikalau melompat
ia seperti kuat harimau serta tenggelam perahu kami dan mengambor ia seperti kuat
gajah serta terdorong perahu kami tiadalah kami menyalahi akan dia dan maufakatlah
kita menggelarkan adatnya „Adat Maharajalela‟”.31

Masyarakat Linggi beranggapan bahawa mereka berhak menentukan apa yang berlaku
di Linggi dan siapakah yang akan dilantik sebagai Dato‟ Muda Linggi tanpa ada

Konvensyen Antarabangsa Dispora Bugis | 2011| International Convention Bugis Diaspora

gangguan pihak lain. Ini selaras pengiktirafan Penghulu Rembau dan Dato‟ Syahbandar
Sungai Ujong terhadap Linggi. Ini juga jelas dilihat Adat Muafakat Linggi mengambil
konsep demokrasi di mana keputusan majoriti akan diambil kira. Ini berbeza dengan
Adat Perpatih yang mengambil keputusan sebulat suara sebagaimana perbilangan
“Putih bak telur dikupas”.

Apa jua yang berlaku pada 1912, institusi Dato‟ Muda Linggi telah berjaya diwujudkan
semula dan seterusnya ia disandang oleh :-

1. Dato‟ Muda Linggi ke 5 Hassan bin Pok (1912 – 1936)
2. Dato‟ Muda Linggi ke 6 Syed Ahmad bin Syed Muhammad (1936 – 1959)
3. Dato‟ Muda Linggi ke 7 Yahya bin Abu Bakar (1959 – 1974)
4. Dato‟ Muda Linggi ke 8 Abu Zaharin bin Maulud (1974 - 1996)
5. Dato‟ Muda Linggi ke 9 Mohd Basri bin Omar (1996 – sehingga kini)

4. Kesimpulan
Linggi, walaupun sebuah wilayah yang terkecil di dalam Negeri Sembilan mampu
membina sistemnya tersendiri. Kemampuan orang Bugis bertahan di dalam sistem
kemasyarakatan yang berbeza dengan adat dan budaya Bugis begitu menakjubkan. Ini
jelas sebagai masyarakat minoriti di dalam masyakarat Adat Perpatih, mereka telah
menunjukkan bahawa mereka juga boleh berjaya dan menandingi orang lain. Namun,
disebabkan sikap tamak di kalangan pembesar-pembesar di Negeri Sembilan dan juga
perebutan kuasa di kalangan anak-anak Linggi telah menyebabkan tewas di dalam
pertempuran yang sengaja diwujudkan oleh Inggeris demi untuk mengaut keuntungan
terhadap hasil bumi Tanah Melayu. Kini, Dato‟ Muda Linggi dan pembesar-pembesar
Linggi tidak lebih sebagai simbol yang tidak pasti selama manakah sistem ini boleh

Konvensyen Antarabangsa Dispora Bugis | 2011| International Convention Bugis Diaspora

dipertahankan. Kuasa Linggi kini diletakkan di bawah Luak Sungai Ujong dan ungkapan
“Linggi Kerajaan Bergajah Tunggal” hanya tinggal ungkapan biasa dan tidak memberi
sebarang makna. Ramai yang tidak memahami maksud yang tersirat ungkapan
tersebut. Sewajarnya, waris-waris Linggi perlu memahami sejarah kehebatan
bagaimana Linggi itu bermula agar kelak ia boleh dipertahankan. Linggi tidak hanya
hebat dari segi perdagangan dan pemerintahan malah tokoh-tokoh yang dihasilkan oleh
Linggi juga perlu dibangga. Kejayaan tokoh-tokoh Linggi seperti Pendeta Za‟aba dan
lain-lain bukan sekadar untuk orang Linggi malah untuk orang Melayu keseluruhannya.
Di samping itu, pihak berkenaan perlu menyokong sebarang usaha penyelidikan
mengenai Linggi. Ini adalah kebanyakan sejarah Negeri Sembilan akan melibatkan
Linggi secara langsung atau tidak langsung.

Konvensyen Antarabangsa Dispora Bugis | 2011| International Convention Bugis Diaspora

Gambar 5 :Masjid Kariah Linggi yang dibina oleh Dato‟ Muda Mohd Peral

Gambar 6 : Fasal Peringatan Orang Yang Mula-mula Membuka Linggi

Konvensyen Antarabangsa Dispora Bugis | 2011| International Convention Bugis Diaspora

Gambar 7 : Dato’ Muda Linggi ke 9, Mohd Basri bin Omar

Konvensyen Antarabangsa Dispora Bugis | 2011| International Convention Bugis Diaspora

Nota Hujung

1. Tuhfat Al-Nafis, hlm 7

2. Bancian Penduduk Bagi Tahun 2010, Jabatan Perangkaan Malaysia.

3. Norhalim Ibrahim, hlm 2

4. Nama sebenar Dato’ Awaluddin adalah Raja Abdullah. Berdasarkan salasilah
keluarga di Beranang dan Lenggeng.

5. Nama sebenar Dato’ Serilah ialah Siti Nur Aminah. Manuskrip Salasilah Keturunan
Linggi (Jawi)

6. Lebai Kunut juga dikenali sebagai Daeng Kunut@Unut@Unuk

7. Dato’ Awaluddin dan Dato’ Serilah merupakan anak Daeng Celak dengan isteri lain
Dipercayai isterinya merupakan keluarga diraja Kesultanan Pagaruyung. Maklumat
ini ditemui ketika penulis berkunjung ke Pagaruyung di dalam ekspedisi menjejak
perjalanan anak-anak raja Pagaruyung ke Negeri Sembilan.

8. Tuhfat Al-Nafis, hlm 105

9. Ketika ini, Rembau masih lagi menggunakan nama Penghulu dan dianggap sebagai
Raja di Rembau. Jawatan Penghulu ditukar kepada Dato’ Undang hanya ditukar
setelah Inggeris berjaya menguasai Rembau. Ini berlaku ketika zaman pemerintahan
YTM Dato’ Haji Sulung.

10. Pesaka YTM Dato’ Undang Luak Rembau akan digilirkan di antara Biduanda Jakun
dengan gelaran Dato’ Lela Maharaja dan Biduanda Jawa dengan gelaran Dato’ Sedia
Raja.

11. Penajis Bandar merupakan pelabuhan di Rembau. Masih terdapat keturunan Dato’
Awaluddin dan Dato’ Serilah menetap di situ. Namun, agak sukar untuk dikenalipasti
kerana berlakunya asimilasi dengan masyarakat Adat Perpatih dan mengikuti sistem
kelompok suku.

12. Ahli waris bermaksud individu-individu yang berada di dalam kelompok Suku
Biduanda penyandang pusaka Penghulu Rembau / Undang Luak Rembau.

13. Daeng Kemboja juga dikenali sebagai Marhum Janggut.

14. Temu bual dengan Mohd Ali Dahlan, cucu Imam Ambak yang pernah mendengarnya
daripada Imam Ambak sendiri.

Konvensyen Antarabangsa Dispora Bugis | 2011| International Convention Bugis Diaspora

15. Manuskrip Fasal Peringatan Orang Yang Mula-mula Membuka Linggi dan Ketuhaan
dan Manskrip Membuka Linggi Imam Ambak

16. Surat Che’gu Abas Kepada D. O Port Dickson Tarikh 28.7.24 Yang Difail Dalam
D.O. P.D. 221/23.

17. MBRAS, Vol. XXII, hlm 54

18. Kanda Ali berkahwin dengan salah seorang keluarga diraja Selangor yang
bersemayam di Kuala Selangor. Beliau telah berhijrah dan membuka Kampung Teluk
Penyamun di Kuala Selangor. Beliau amat ditakuti oleh Belanda dan dikenali sebagai
Raja Lanun. Keluarga ini memegang jawatan Dato’ Penggawa Jeram.

19. Imam Ambak merupakan generasi ke 4 / 5 Dato’ Awaluddin dan Dato’ Serilah.
Beliau sempat berjumpa dengan orang-orang tua Linggi bagi mengumpul maklumat
mengenai pembukaan Linggi.

20. Luak Jelebu, hlm 13

21. Manuskrip Imam Ambak

22. Ibid

23. Dato’ Serilah telah berpindah ke Pengkalan Balak kerana merajuk apabila Lebai
Kunut berkahwin lain. Beliau menetap di sana sehingga meninggal dunia. Temu bual
dengan YM Dato’ Muda Linggi dan Mohd Ali Dahlan.

24. Salasilah Penyandang Pusaka Dato’ Muda Linggi

25. Juragan Abdul Rahman terlibat dengan perdagangan dan sering berulang alik ke
Melaka, Riau, Sungai Ujong dan Singapura.

26. Manuskrip Linggi

27. Penulis dimaklumkan bahawa Juragan Abdul Rahman dikebumikan di Tanah
Perkuburan Batu 6, Tanjung Pinang. Penulis pernah menziarahi makam tersebut
ketika lawatan ke Tanjung Penyengat pada tahun 2004.

28. Memangku jawatan Residen Sungai Ujong dari 11.8.83 sehingga 15.8.83

29. Fail SSNS/SU, ANM Misc 1134/93.

30. Manuskrip Imam Ambak

31. Ibid

Konvensyen Antarabangsa Dispora Bugis | 2011| International Convention Bugis Diaspora

Bibliografi
Al-Quranul Karim

A. Samad Idris, Abdul Muluk Daud, Muhammad Tainu & Norhalim Ibrahim (1994). Luak
Jelebu. Jawatankuasa Penyelidikan Budaya Muzium Negeri, Negeri Sembilan.

Abas Haji Ali, Rembau (1953), Sejarah Perlembagaan Adat dan Istiadatnya, Jabatan
Undang-Undang dan Perlembagaan Adat dan Adat Istiadat Melayu Rembau.

Abdullah Hussain & Khalid M. Hussain (2000). Pendeta Za‟aba Dalam Kenangan.
Dewan Bahasa dan Pustaka, Kuala Lumpur

Bland, R. N. (1895). Aturan Sungai Ujong. JSBRAS

Cave, J. (1989). Naning In Melaka : History, The Customs, Tribes & Clans, The War,
Independece. Monograf 16. MBRAS

Gullick, J. M. (1949). Sungai Ujong. MBRAS, Vol XXII. Part 2. Kuala Lumpur

Gullick, J. M (1992). Rulers and Residents Influence In The Malay States 1870 – 1920.
Oxford University Press, Singapura.

Gullick, J. M. (2003). A History of Negeri Sembilan. Monograf 33. MBRAS.

Konvensyen Antarabangsa Dispora Bugis | 2011| International Convention Bugis Diaspora

Hamid Abdullah (1984). Perubahan Sosial Di Kalangan Masyarakat Keturunan Bugis Di
Linggi dan Kesannya Ke atas Masalah Kepimpinan. Tesis Untuk Ijazah Doktor
Falsafah, Fakulti Sastera dan Sains Sosial, Universiti Malaya.

Jabatan Perangkaan Malaysia (2010). Laporan Bancian Penduduk Tahun 2010. Majlis
Daerah Port Dickson

Mohamad Said, Tan Sri, Dr. (1982). Memoirs Of A Menteri Besar. Heinemann
Educational Books (Asia) Ltd, Petaling Jaya.

Mohd Ali Dahlan (1976). Linggi Sejarah Perkembangan Sistem Politiknya Abad 19 Dan
20. Latihan Ilmiah B.A Hons, Jabatan Sejarah, Universiti Malaya.

Norhalim Ibrahim (1998). Sejarah Linggi : Pintu Gerbang Sejarah Pembangunan Negeri
Sembilan. Penerbit Fajar Bakti, Kuala Lupur.

Norhalim Ibrahim (1995). Negeri Yang Sembilan : Daerah Kecil Pusaka Adat Warisan
Kerajaan Berdaulat. Fajar Baki Sdn Bhd, Shah Alam.

Raja Haji Ahmad dan Raja Ali Haji (1982). Tuhfat Al-Nafis, V.Materson (ed.). Fajar Bakti
Sdn Bhd, Petaling Jaya

Shellabear, W. G. (1991). Sejarah Melayu (edisi 25). Penerbit Fajar Bakti Sdn Bhd,
Petaling Jaya

Konvensyen Antarabangsa Dispora Bugis | 2011| International Convention Bugis Diaspora

Winstedt, R & Josephine de Jong, (1954), A Digest of Customary Law From Sungai
Ujong. JMBRAS. Part XXVII Part 3. Singapore

Zaharah Ismail, (1983). Perang Naning : 1831-1832. Latihan Ilmiah Bagi Ijazah Sarjana
Muda Sastera (Kepujian), Jabatan Sejarah, Universiti Kebangsaan Malaysia.

Konvensyen Antarabangsa Dispora Bugis | 2011| International Convention Bugis Diaspora

Manuskrip
Manuskrip Catatan Cikgu Abdul Samad bin Zainuddin
Manuskrip Imam Ambak
Manuskrip Membuka Linggi Imam Ambak
Manuskrip Fasal Peringatan Orang Yang Mula-mula Membuka Linggi dan Yang
Ketuhaan.
Manuskrip Salasilah Keturunan Linggi
Manuskrip Salasilah Linggi Menurut Rashidah binti Dato‟ Muda Mohd Salleh
Manuskrip Ringkasan Asal Keturunan Orang Bugis Oleh Ahmad Muhammad Zain Al
Fathani
Salasilah Keturunan Dato‟ Awaluddin dan Dato‟ Serilah
Salasilah Penyandang Pusaka Dato‟ Muda Linggi
Salasilah Keluarga Raja Haji Susunan Raja Muhammad Asyura bin Raja Ibrahim
Salasilah Penyandang Dato‟ Penggawa Jeram
Surat Siaran Yang Ke 4, Mohd bin Said, Tan Sri, Dr.
Surat Siaran Yang ke 5, Mohd bin Said, Tan Sri, Dr.
Surat Siaran Yang ke 6, Mohd bin Said, Tan Sri, Dr.
Surat Siaran Yang ke 7, Mohd bin Said, Tan Sri, Dr.
Surat Siaran Yang ke 8, Mohd bin Said, Tan Sri, Dr.


Click to View FlipBook Version