1
2 BAHAGIAN: MENULIS KARANGAN Panduan Menjawab Bahagian C (Penulisan) Terdapat pelbagai jenis karangan yang perlu dipelajari oleh para pelajar dalam bahagian Kertas Penulisan Bahasa Melayu. Jenis-jenis karangan itu terdiri daripada: i. Karangan tidak berformat ii. Karangan berformat Karangan Tidak Berformat Fakta Autobiografi Melengkapkan cerita Keperihalan Tindakan Peribahasa Karangan Berformat Berita Catatan Laporan Surat rasmi Surat tidak rasmi Dialog/perbualan Ucapan Syarahan
3 Teknik-teknik Bijak Mengarang Bagi menghasilkan sebuah karangan yang baik terdapat beberapa teknik mengarang yang harus dikuasai oleh para pelajar. Teknik-teknik tersebut ialah: i. Memilih tajuk karangan yang mudah bagi para pelajar untuk mengarang. Pelajar mempunyai pengetahuan sedia ada serta dapat menguasai tajuk karangan tersebut. Memilih tajuk yang sukar akan menyebabkan pelajar akan ketandusan isi dan idea untuk mengarang ii. Fahami betul-betul kehendak soalan. Cuba cari fokus utama yang ditekankan dalam soalan karangan. Sekiranya pelajar tidak memahami kehendak soalan, pelajar akan cenderung menghasilkan karangan yang terpesong daripada kehendak soalan iii. Membuat rangka karangan terlebih dahulu sebelum menulis sebuah karangan lengkap. Rangka isi yang dibuat membantu pelajar menyusun isi mengikut keutamaan dan tidak meninggalkan isi-isi penting yang sepatutnya dikemukakan dalam karangan iv. Karangan yang telah siap dihasilkan haruslah disemak terlebih dahulu. Ini penting untuk memastikan tidak terdapat sebarang kesalahan dalam aspek-aspek bahasa. Sekiranya pelajar dapat mengesan serta membetulkan kesilapan, maka tidaklah banyak jumlah markah yang akan dipotong oleh pemeriksa karangan.
4
5 ANALISA SOALAN KERTAS PENULISAN BAHASA MELAYU UPSR 2016-2019 Analisa Kertas 2 UPSR SK ( BAHAGIAN C ) Tahun Bahagian C 2016 1 Cara-cara menghargai orang yang berbudi kepada kita. 2 Karangan Ucapan 2017 1 Karangan surat kiriman tidak rasmi. 2 Aktiviti-aktiviti Hari Kesihatan Sedunia. 2018 1 Karangan Melengkapkan cerita 2 Karangan Perbualan 2019 1 Karangan Laporan 2 Cerita tentang pengalaman semasa Hari Guru. 2020/2021
6 Autobiografi Panduan Menulis Karangan Autobiografi 1. Karangan autobiografi merupakan karangan tidak berformat. 2. Karangan ini adalah tentang riwayat hidup sesuatu benda. 3. Riwayat hidup yang diceritakan itu menyentuh peristiwa suka dan duka dari mula dihasilkan sehingga tidak lagi digunakan. 4. Karangan ini boleh ditulis dalam bentuk cerita yang menarik yang mempunyai unsur saspens dan dramatik. 5. Gunakan bahasa yang mudah, padat dan tepat. 6. Antara contoh soalan yang dikemukakan dalam karangan ini ialah menulis karangan yang bertajuk: a. Aku Sepasang Kasut b. Aku Sebuah Kereta c. Aku Sebatang Pensel d. Aku Sebiji Bola e. Aku Sekaki Payung
7 Contoh Tulis sebuah karangan autobiografi yang bertajuk “Aku Sebatang Raket Badminton “. Rangka Karangan: Pendahuluan: - latar belakang diri Isi-isi: - dijual di kedai peralatan sukan - dibeli sebagai hadiah hari jadi - digunakan setiap petang – bersukan - patah – tidak boleh digunakan lagi Penutup: - disimpan di dalam stor – sempit dan gelap Aku sebatang raket badminton. Aku diperbuat daripada kayu, plastik dan getah. Setelah siap dihasilkan, aku dimasukkan ke dalam kotak. Aku kemudiannya dihantar ke sebuah kedai peralatan sukan. Aku dipamerkan di dalam almari kaca. Ramai orang tertarik melihat reka bentukku. Mereka memujiku serta menyebut tentang hargaku yang agak mahal. Pada suatu hari, tiba seorang lelaki kaya ke kedai itu. Beliau tertarik melihatku. Tanpa banyak bicara, beliau terus membeli aku untuk anaknya. Aku dijadikan hadiah hari jadi anaknya. Tuanku yang baru seorang kanak-kanak yang aktif bersukan. Setiap petang tuanku akan menggunakan. Tuanku menggunakan untuk memukul bulu tangkis. Tuanku berasa bangga kerana dapat menunjukkan aku kepada rakan-rakannya.
8 Selepas beberapa bulan, aku tidak lagi seelok dahulu. Pada suatu hari, tuanku terjatuh semasa menggunakanku. Badanku patah. Aku tidak dapat digunakan lagi. Tuanku meminta ayahnya membelikan raket badminton yang baharu. Aku disimpan di dalam stor yang sempit dan gelap. Bau busuk di dalam stor itu sungguh menyeksakan. Tinggal aku selama-lamanya di dalam stor itu selagi tidak dibuang ke dalam tong sampah.
9 Berita Panduan Menulis Karangan Berita 1 Karangan berita ialah karangan yang berformat. 2 Karangan memerlukan calon menjawab beberapa persoalan seperti berikut: a. Apakah yang berlaku? b. Di manakah berlaku? c. Siapakah yang terlibat? d. Mengapakah berlaku? e. Bagaimanakah boleh berlaku? 3 Bahasa yang digunakan mestilah mudah, padat, ringkas dan tepat. 4 Peristiwa yang ditulis dalam karangan berita mestilah logik dan munasabah. 5 Antara contoh soalan yang dikemukakan dalam karangan ini ialah menulis karangan yang bertajuk: a. Berita kemalangan jalan raya b. Berita kejadian banjir c. Berita kejadian rompakan d. Berita aktiviti gotong-royong e. Berita penyampaian sumbangan
10 Contoh Andaikan kamu seorang wartawan surat khabar. Kamu diminta menulis sebuah berita tentang kemalangan jalan raya. Tulis berita tersebut selengkapnya. Rangka Karangan: Pendahuluan: - Satu kemalangan telah berlaku di Jalan Sulaman. Isi-isi: - Kemalangan membabitkan sebuah kereta dan sebuah motosikal. - Penunggang dan pembonceng motosikal terbunuh. - Pemandu kereta bertembung dengan motosikal dari arah bertentangan. - Kesesakan lalu lintas berlaku dan berjaya dikawal oleh anggota polis trafik. Penutup - Saksi kemalangan diminta menghubungi pihak polis
11 Kota Kinabalu, 18 Mei – Satu kemalangan jalan raya telah berlaku di Jalan Sulaman, Kota Kinabalu awal pagi semalam. Kejadian tersebut berlaku sewaktu orang ramai sedang dalam perjalanan ke tempat kerja. Kemalangan tersebut membabitkan sebuah kereta dan juga sebuah motosikal. Kemalangan tersebut merupakan kejadian yang kedua berlaku di jalan tersebut. Pada awal bulan April, satu kemalangan ngeri juga berlaku di jalan yang sama. Dalam kejadian itu, penunggang dan pemboncang motosikal terbunuh. Mangsa mati di tempat kejadian kerana mengalami kecederaan yang teruk di bahagian kepala dan kaki. Pemandu kereta hanya mengalami kecederaan ringan. Kemalangan tersebut berlaku apabila kereta tersebut gagal memotong kenderaan di hadapan lalu bertembung dangan motosikal dari arah yang bertentangan. Pemandu kereta itu dikatakan memandu agak laju. Kemalangan ini telah mengakibatkan kesesakan lalu lintas berlaku di sepanjang Jalan Sulaman. Namun, kesesakan jalan raya berjaya dikawal oleh anggota trafik yang kebetulan berada berhampiran di tempat kejadian. Pihak polis meminta orang ramai yang menyaksikan kemalangan itu menghubungi pihak polis. Mereka boleh pergi ke balai polis yang berhampiran untuk memberikan keterangan lebih lanjut tentang kemalangan itu.
12 Fakta Panduan Menulis Karangan Fakta 1 Karangan fakta merupakan karangan tidak berformat. 2 Karangan ini memerlukan calon mengemukakan pendapat atau pandangan tentang sesuatu tajuk yang diberikan. 3 Calon perlu menghuraikan sesuatu isi dengan bernas. 4 Gunakan ayat yang ringkas, padat dan tepat. 5 Karangan fakta tidak boleh disampaikan dalam bentuk cerita. 6 Antara contoh soalan yang dikemukakan dalam karangan ini ialah meminta calon menulis karangan yang bertajuk: a. Kebaikan Membaca b. Faedah Menyertai Aktiviti Kokurikulum c. Cara-cara Belajar yang Berkesan d. Kepentingan Industri Pelancongan e. Cara-cara Mengurangkan Kemalangan Jalan Raya
13 Contoh Tulis sebuah karangan tentang cara-cara belajar yang berkesan. Rangka Jawapan: Pendahuluan: - setiap pelajar mengharapkan kejayaan dalam pelajaran Isi-isi: - menumpu perhatian semasa guru mengajar - membuat latihan dan kerja sekolah yang guru berikan - bertanya pada guru jika tidak faham - membuat ulang kaji Penutup: - kejayaan dalam pelajaran penting untuk masa depan
14 Setiap pelajar mengharapkan kejayaan dalam pelajaran. Kejayaan dalam pelajaran dapat meningkatkan potensi diri dan menggembirakan kedua-dua ibu bapa. Dalam usaha mencapai kejayaan cemerlang dalam pelajaran, para pelajar perlu mengamalkan cara-cara belajar yang berkesan. Antara cara-cara belajar yang berkesan ialah menumpu perhatian semasa guru sedang mengajar. Jika kita memberikan sepenuh perhatian, kita mudah memahami topik yang diajar oleh guru. Kita juga hendaklah menyiapkan latihan dan kerja sekolah yang guru berikan. Kita boleh menyiapkan latihan dan kerja sekolah sama ada di sekolah atau di rumah. Latihan dan kerja sekolah perlu disiapkan agar kita dapat mengetahui sejauh mana kita memahami topik yang telah diajar oleh guru. Salah satu cara belajar yang berkesan ialah bertanya pada guru jika tidak faham. Jangan bersikap malu bertanya sekiranya kita tidak memahami sesuatu topik yang diajar oleh guru. Kita juga hendaklah rajin membuat ulang kaji sama ada di rumah atau dii sekolah. Mengulang kaji topik-topik yang telah dipelajari dapat menguatkan pemahaman kita. Membuat ulang kaji amat penting terutama dalam menghadapi ujian atau peperiksaan. Mengamalkan cara-cara belajar yang berkesan dapat meningkatkan prestasi dalam pelajaran. Kejayaan dalam pelajaran amat penting untuk masa depan yang cerah.
15 Melengkapkan Cerita Panduan Menulis Karangan Melengkapkan Cerita 1. Karangan melengkapkan cerita merupakan karangan tidak berformat. 2. Karangan ini terbahagi kepada dua jenis, iaitu meminta calon melengkapkan cerita berdasarkan: a. perenggan awal b. perenggan akhir 3. Cerita yang ditulis mestilah bersesuaian dengan perenggan awal atau perenggan akhir yang diberikan. 4. Cerita yang ditulis mestilah cerita yang logik dan munasabah. 5. Calon boleh memasukkan dalam dialog dalam karangan ini. 6. Contoh soalan: Melengkapkan cerita di bawah. Aku terdengar bunyi yang amat kuat. Aku pun………… Mulakan karangan dengan “Aku pun ………………….”
16 Contoh Tulis sebuah karangan berdasarkan perenggan di bawah : Aku berjalan kaki untuk pulang ke rumah. Dalam pertengahan jalan, aku terdengar bunyi dentuman yang agak kuat. Aku pun........ Mulakan karangan kamu dengan “ Aku pun...................”. Rangka Karangan: Pendahuluan: - Mencari arah kedengaran bunyi dentuman itu Isi-isi: - Sebuah kereta terbabas lalu merempuh pokok di tepi jalan - Pemandu kereta itu tersepit di dalam keretanya - Menelefon pihak polis dan ambulans - Mangsa dibawa ke hospital untuk menerima rawatan Penutup: - Pihak mengucapkan terima kasih - pulang ke rumah
17 Aku pun menoleh ke belakang. Aku mencari arah kedengaran bunyi dentuman yang kuat itu. Tidak jauh dari situ, aku melihat sebuah kereta di tepi jalan. Rupa-rupanya, kereta itu terbabas lalu merempuh sebatang pokok di tepi jalan. Kereta itu remuk teruk di bahagian hadapan. Aku segera berlari ke arah kereta itu. Aku melihat pemandu kereta itu tersepit di dalam keretanya. Pemandu itu tidak sedarkan diri. Kepalanya berlumuran darah. Hanya pemandu itu berada seorang diri di dalam kereta itu. Aku berlari ke pondok telefon awam. Nasib baik, telefon awam itu dapat digunakan. Aku segera mendail nombor balai polis dan pihak ambulans. Selepas itu, aku segera kembali ke tempat kemalangan itu. Dua puluh minit kemudian, pihak ambulans dan polis tiba di tempat kejadian. Pihak ambulans segera mengeluarkan pemandu itu dari tempat duduknya. Pemandu itu diusung masuk ke dalam ambulans dan dikejarkan ke hospital. Anggota polis yang tiba di situ menghampiriku. Anggota polis itu mengucapkan terima kasih kepadaku. Aku berasa bangga kerana dapat membantu mangsa kemalangan itu. Selepas itu, aku pun pulang ke rumah.
18 Keperihalan Panduan Menulis Karangan Keperihalan 1 Keperihalan merupakan karangan tidak berformat. 2 Calon diminta memberikan gambaran tentang tentang sesuatu situasi yang dinyatakan. 3 Gambaran yang ditulis mestilah menepati kehendak soalan. 4 Calon boleh menggunakan pengalaman sendiri, pengalaman rakan atau berdasarkan bahan bacaan untuk menggambarkan sesuatu situasi. 5 Karangan ini boleh disampaikan dalam bentuk cerita. 6 Antara contoh soalan ialah meminta calon menulis karangan seperti: a. gambaran suasana perkelahan b. gambaran di hospital c. gambaran pada Hari Kantin d. gambaran pada kejohanan sukan sekolah e. gambaran tentang aktiviti gotong-royong
19 Contoh Kamu telah mengikuti Program Kepimpinan Badan Pengawas yang dianjurkan oleh sekolah kamu. Ceritakan pengalaman kamu semasa mengikuti program tersebut. Rangka Karangan: Pendahuluan: - hari dan masa Program Kepimpinan Badan Pengawas diadakan Isi-isi: - Berkumpul di dewan sekolah - aktiviti-ceramah-motivasi-tugasan berkumpulan-riadah-persembahan - mendapat tip-tip-berguna-pemimpin-baik - meningkatkan keyakinan-gembira-berfaedah Penutup: - berjanji menjadi pengawas yang baik Pada hari Sabtu yang lalu, sekolah saya telah menganjurkan Program Kepimpinan Badan Pengawas. Program tersebut bermula pada 8.00 pagi dan 12.30 tengah hari. Semua peserta program diminta berkumpul di dewan sekolah. Kami berkumpul mengikut aliran masing-masing. Guru Disiplin, Encik Ruslan telah memberi taklimat tentang program yang akan diadakan. Antara aktiviti yang diadakan sepanjang program tersebut ialah ceramah motivasi, aktiviti berkumpulan dan riadah. Penceramah motivasi berjaya menyampaikan ceramah yang menarik. Kami mendapat banyak tip-tip yang berguna. Kini saya begitu memahami cirriciri seorang pemimpin yang baik. Melalui ceramah dan aktiviti yang dijalankan banyak maklumat telah disampaikan. Jika ianya diamalkan dapat membentuk disiplin yang baik dalam kalangan pengawas.
20 Kami berasa gembira dengan semua aktiviti yang dijalankan. Antara aktiviti yang menarik perhatian saya ialah aktiviti berkumpulan. Kami diminta menyelesaikan satu masalah. Kumpulan yang berjaya menyelesaikan masalah dengan baik dikatakan mempunyai ketua kumpulan yang berkaliber. Kumpulan saya telah berjaya dalam aktiviti itu. Kebetulan pula saya menjadi ketua bagi aktiviti tersebut. Program itu berjaya mengubah minda dan perlakuan saya. Saya berjanji akan menjadi pengawas dan pemimpin yang baik. Semua ilmu yang peroleh itu akan saya praktik dalam kehidupan seharian saya.
21 Surat Kiriman Tidak Rasmi Panduan Menulis Karangan Surat Kiriman Tidak Rasmi 1 Surat kiriman tidak rasmi merupakan jenis karangan berformat. 2 Alamat pengirim perlu ditulis di bahagian atas sudut sebelah kanan surat. 3 Tarikh ditulis di bawah alamat pengirim. 4 Tanda tangan dan nama pengirim ditulis di bahagian akhir surat di sudut kanan. 5 Mulakan karangan dengan ucapan salam dan bertanya khabar. 6 Isi-isi surat ditulis dalam perenggan-perenggan. 7 Akhiri surat dengan menyampaikan salam dan ucapan terima kasih. 8 Antara contoh soalan yang dikemukakan adalah seperti berikut: a. menulis surat untuk ibu ayah b. menulis surat datuk atau nenek c. menulis surat untuk abang atau kakak d. menulis surat untuk sahabat
22 Contoh Pada cuti sekolah yang lalu, kamu sekeluarga telah bercuti di sebuah pulau. Tulis sepucuk surat kepada sahabat kamu untuk menceritakan pengalaman bercuti tersebut. Rangka Karangan: Pendahuluan: - kata-kata pembuka bicara Isi-isi: - bertanya khabar - bercuti di Pulau Pinang – pergi ke sana menaiki bas - pengalaman menaiki feri – menginap di hotel - melawat tempat-tempat yang menarik Penutup: - ucapan terima kasih – harap dapat berjumpa
23 No. 22, Lorong Sutera, Taman Sutera, 56000 Kuala Lumpur. 17 SEPTEMBER 20__. Menemui saudara Haris yang kini berada di Besut, Terengganu. Apa khabar saudara? Semoga berada dalam keadaan sihat sejahtera hendaknya. Saudara, Terlebih dahulu saya memohon maaf kerana terlewat membalas surat saudara tempoh hari. Untuk pengetahuan saudara, saya sekeluarga baru pulang dari bercuti di Pulau Pinang. Tujuannya adalah untuk melawat tempat-tempat menarik di pulau yang dikenali sebagai “Pulau Mutiara “. Kami ke sana menaiki bas. Apabila tiba di jeti, kami menunggu feri untuk ke Pulau Pinang. Pengalaman menaiki feri sungguh menyeronokkan. Saya dapat melihat pemandangan perkampungan nelayan di tepi pantai dan melihat kapal-kapal besar yang terdiri daripada kapal dagang dan kapal percutian. Di Pulau Pinang kami sekeluarga kami menginap di hotel. Bilik penginapan kami mengadap ke arah laut. Kami dapat melihat pemandangan laut yang sungguh indah dari jendela bilik hotel. Kami juga melawat tempat-tempat menarik di Pulau Pinang antaranya Batu Ferringhi, Tanjung Tokong, Bukit Bendera, Padang Kota Lama, Muzium Negeri, Masjid Negeri dan Bukit Jambul. Pemandangan di kesemua tempat itu sungguh mempesonakan. Saya membeli banyak cenderahati. Pulau Pinang juga terkenal dengan makanan yang enak-enak. Makanan yang paling saya suka ialah nasi kandar dan pasembur. Cukuplah sampai di sini sahaja dapat saya coretkan. Kirimkan salam saya buat saudara sekeluarga. Semoga kita dapat berjumpa pada suatu hari nanti. Sahabatmu, Syafik
24 Surat Kiriman Rasmi Panduan Menulis Karangan Surat Kiriman Rasmi 1 Surat kiriman rasmi merupakan jenis karangan berformat. 2 Alamat pengirim hendaklah ditulis di bahagian atas di sudut kiri surat. 3 Satu garisan melintang diletakkan di bawah alamat pengirim. 4 Di bawah garisan melintang ditulis alamat penerima. 5 Tarikh ditulis sebaris dengan barisan akhir alamat penerima. 6 Tulis panggilan hormat untuk penerima surat. Panggilan hormat yang biasa digunakan ialah tuan atau puan. 7 Perkara atau tajuk surat perlu digariskan. 8 Tulis setiap isi surat dalam satu perenggan dan diletakkan nombor (2,3,4 atau 5 ) kecuali perenggan isi surat yang pertama. 9 Akhiri surat dengan ucapan terima kasih, tandatangan, nama penuh dan jawatan pengirim surat. 10 Contoh soalan karangan surat kiriman rasmi ialah meminta calon menulis surat untuk tujuan-tujuan seperti: a. menyatakan sebab tidak hadir ke sekolah b. memohon kebenaran mengadakan lawatan c. memohon kebenaran menggunakan dewan d. memesan buku-buku latihan e. mengadu masalah yang berlaki di kawasan tempat tinggal
25 Contoh Kelab Alam Sekitar sekolah kamu hendak mengadakan lawatan ke sebuah kilang membuat pensel. Sebagai setiausaha, kamu dikehendaki menulis sepucuk surat kepada pengurus kilang tersebut untuk memohon kebenaran. Tulis surat kamu itu dengan selengkapnya. Rangka Karangan: Pendahuluan: - alamat pengirim-alamat penerima-perkara surat Isi-isi: - memperkenalkan diri-setiausaha - Kelab Alam Sekitar - tujuan-melihat cara-cara membuat pensel - tarikh-masa-jumlah peserta lawatan - harapan-dibenarkan-jawapan segera Penutup: - tandatangan-nama-jawatan
26 Persatuan Bahasa Melayu, Sekolah Kebangsaan Taman Indera, 83000 Batu Pahat, Johor Darul Takzim. Pengurus, Syarikat Seri Pelangi, Jalan Parit, 83000 Batu Pahat, Johor Darul Takzim. 17 MEI 20__. Tuan, Memohon Kebenaran Mengadakan Lawatan Merujuk perkara di atas, Persatuan Bahasa Melayu, Sekolah Kebangsaan Taman Indera ingin memohon kebenaran untuk mengadakan lawatan sambil belajar ke kilang tuan. 2. Tujuan utama lawatan ini diadakan adalah untuk melihat proses menghasilkan pensel. Di samping itu, kami juga ingin bahan-bahan yang digunakan untuk menghasilkan pensel. 3. Lawatan sambil belajar ini akan disertai oleh lima orang guru dan empat puluh orang guru. Lawatan tersebut dijangka akan diadakan pada hari Sabtu, 8 Mei 2020. Masa lawatan adalah kira-kira 8.30 pagi. 4. Kami berharap pihak tuan dapat memberi maklum balas tentang permohonan kami dengan secepat yang mungkin. Semoga permohonan kami diluluskan dan perhatian pihak tuan amat kami hargai. Sekian. Yang menjalankan tugas, Asmida (ASMIDA ZULKARNAIN) Setiausaha, Persatuan Bahasa Melayu, Sekolah Kebangsaan Taman Indera.
27 Dialog Panduan Menulis Karangan Dialog 1. Karangan dialog merupakan karangan yang berformat. 2. Karangan dialog terdiri daripada beberapa jenis seperti: a. wawancara b. perbualan biasa c. temu ramah 3. Perbualan itu biasanya melibatkan dua orang. 4. Kedua-dua pihak salin bersoal jawab. 5. Bahasa yang digunakan adalah mudah dan ringkas. 6. Calon perlu menulis nama orang yang bercakap di sebelah kiri dan diletakkan tanda noktah bertindih (:) 7. Gunakan panggilan hormat yang sesuai. Contohnya: a. pak cik b. mak cik c. encik d. puan e. saudara f. saudari. 8. Calon perlu memerlukan karangan dialog dengan ucapan bertanya khabar. 9. Akhiri karangan dialog dengan ucapan terima kasih atau meminta diri untuk pulang. 10. Antara contoh soalan yang dikemukakan ialah meminta calon menulis: a. perbualan antara dua orang sahabat b. temu ramah dengan wartawan c. perbualan telefon
28 Contoh Kamu telah ditugaskan untuk menemu ramah kawan kamu yang dianugerahkan Anugerah Pelajar Terbaik. Tulis temu ramah itu dengan selengkapnya. Rangka Karangan: Pendahuluan: - ucapan sejahtera-memperkenalkan diri Isi-isi: - ucapan tahniah - cara-cara belajar - dorongan ibu bapa - bijak pengurusan masa Penutup: - ucapan terima kasih – semoga berjaya Azman : Selamat sejahtera. Saya dari sidang pengarang majalah sekolah. Bolehkah saya menemu ramah saudara? Halim : Boleh, apa salahnya. Azman : Terlebih dahulu saya ingin mengucapkan tahniah atas kejayaan saudara menerima Anugerah Pelajar Terbaik. Halim : Terima kasih atas ucapan itu. Saya pun tidak menyangka dipilih untuk menerima anugerah itu. Azman : Boleh saudara ceritakan bagaimana saudara mengamalkan cara-cara belajar yang berkesan? Halim : Saya menumpu sepenuh perhatian semasa guru mengajar. Ini penting agar kita dapat memahami apa yang guru ajarkan. Di samping itu, saya selalu membuat ulang kaji sama ada di rumah atau di sekolah.
29 Azman : Siapakah yang paling banyak memberi dorongan kepada saudara? Halim : Tentulah kedua-dua ibu bapa saya. Ibu bapa saya banyak memberi dorongan dan sokongan moral kepada saya. Mereka banyak membelikan buku-buku bacaan tambahan. Saya amat berterima kasih kepada kedua-dua ibu bapa saya. Azman : Saya dapat tahu, saudara juga amat aktif dalam bidang sukan. Saudara pernah dipilih sebagai Tokoh Olahragawan pada tahun lepas. Bagaimanakah saudara membahagikan masa antara pelajaran dengan bidang sukan. Halim : Saya membahagikan masa dengan membuat jadual. Dalam jadual itu saya bahagikan masa untuk belajar, bersukan dan melakukan aktiviti yang berfaedah. Azman : Terima kasih saya ucapkan atas kerjasama yang saudara berikan untuk menjayakan temu ramah ini. Saya berharap saudara akan terus berjaya dalam apa jua bidang yang saudara ceburi. Halim : Terima kasih.
30 Ucapan Panduan Menulis Karangan Ucapan 1 Karangan ucapan merupakan karangan berformat. 2 Mulakan karangan dengan mengucapkan ucapan terima kasih kepada pengerusi majlis. 3 Kemudian, diikuti dengan ucapan salam kepada para hadirin mengikut keutamaan pangkat. Contohnya dimulai dengan ucapan selamat sejahtera kepada guru besar, guru-guru, para ibu bapa, murid-murid dan diikuti dengan para hadirin. 4 Susun isi ucapan mengikut perenggan. 5 Gunakan bahasa yang mudah, ringkas dan tepat. 7 Akhiri ucapan dengan ucapan terima kasih. 8 Calon juga boleh mengakhiri ucapan dengan serangkap pantun. 9 Antara contoh soalan dalam karangan ucapan ialah meminta calon menulis: a. ucapan sempena Hari Guru b. ucapan sempena Hari Kanak-kanak c. ucapan sempena majlis perpisahan d. ucapan sempena majlis meraikan kejayaan e. ucapan sempena berpindah ke sekolah baharu
31 Contoh Kamu telah dilantik menjadi Pengerusi Persatuan Bahasa Melayu yang baharu. Kamu diminta memberi ucapan sempena pelantikan tersebut. Tulis teks ucapan kamu selengkapnya. Rangka Karangan: Pendahuluan: - ucapan terima kasih kepada Pengerusi Majlis – ucapan penghargaan kepada guru dan rakan-rakan Isi-isi: - terharu kerana diberi kepercayaan - merancang pelbagai aktiviti yang menarik - mengharapkan kerjasama - berjanji akan menjalankan tugas dengan baik Penutup: - ucapan terima kasih Terima kasih kepada Pengerusi Majlis, Guru-guru Penasihat Persatuan Bahasa Malaysia serta rakan-rakan yang dikasihi sekalian. Selamat sejahtera saya ucapan. Terlebih dahulu saya ingin mengucapkan terima kasih atas pelantikan saya sebagai Pengerusi Persatuan Bahasa Melayu yang baharu. Saya berasa sungguh terharu atas kepercayaan melantik saya sebagai Pengerusi yang baru. Tugas yang diberikan kepada saya ini merupakan satu amanah. Saya harus menjalankan amanah ini dengan sebaik-baiknya. Hadirin yang dimuliakan, Saya berjanji akan menjalankan beberapa aktiviti yang menarik demi menaikkan nama persatuan. Aktiviti yang akan diadakan akan dirancangn dengan teliti. Sekiranya semua aktiviti yang dirancang mendapat kelulusan pihak sekolah, saya dan ahli-ahli jawatankuasa akan melaksanakannya dengan sebaik mungkin.
32 Dalam menjayakan semua aktiviti yang akan dijalankan pada tahun ini, kerjasama semua ahli persatuan amatlah diharapkan. Kerjasama yang diberikan membolehkan aktiviti yang dirancang dapat berjalan dengan lancar. Sebelum saya mengakhiri ucapan ini, saya berjanji akan menjalankan tugas sebagai Pengerusi Persatuan Bahasa Malaysia dengan baik. Saya akan berusaha untuk menaikkan nama persatuan sama ada di peringkat sekolah atau peringkat luar sekolah. Sekian terima kasih.
33 Catatan Panduan Menulis Karangan Catatan 1. Karangan catatan merupakan sebuah karangan berformat. 2 Calon perlu menghasilkan sebuah karangan dalam bentuk catatan. 3. Antara jenis karangan catatan adalah seperti berikut: a. catatan harian b. catatan mingguan c. catatan bulanan 4 Sekiranya menulis karangan catatan harian hari, tarikh dan masa perlu ditulis. 5 Sekiranya menulis karangan catatan mingguan hanya menulis hari dan tarikh. Masa tidak perlu ditulis. 6 Antara contoh soalan karangan catatan ialah meminta calon menulis: a. catatan harian semasa cuti sekolah b. catatan aktiviti gotong-royong c. catatan aktiviti perkhemahan d. catatan Hari Sukan e. catatan Hari Kantin
34 Contoh Pada cuti sekolah yang lalu, kamu sekeluarga telah pulang ke kampung. Tulis catatan sepanjang kamu bercuti di kampung. Rangka Karangan: Pendahuluan: - bertolak ke kampung – menaiki kereta Isi-isi: - tiba di kampung – bersalaman dengan datuk dan nenek - mengikut datuk ke dusun buah-buahan - mandi di sungai - mendengar cerita nenek Penutup: - sedih – berangkat pulang Sabtu, 14 Mac 20….. Aku berasa gembira kerana akan pulang bercuti di kampung. Aku menolong ayah memasukkan barang-barang ke dalam bonet kereta. Adikku turut berasa gembira kerana sudah lama tidak pulang ke kampung. Perjalanan pulang ke kampong memakan masa lima kurang lima. Walaupun letih kami berasa gembira kerana tiba dengan selamat. Aku bersalaman dengan datuk dan nenek. Ahad, 15 Mac 20….. Aku mengikut datuk ke dusun buah-buahan. Datuk mengait buah rambutan. Aku memasukkan buah rambutan ke dalam bakul. Buah rambutan di dusun datuk sangat lekang dan manis. Aku makan sepuas hati.
35 Isnin, 16 Mac 20….. Aku meminta kebenaran ayah untuk mandi di sungai. Aku bersama beberapa orang budak kampung main di sungai. Air sungai itu tidak dalam. Airnya jernih dan sejuk sekali. Ada kanak-kanak yang sebayaku sudi untuk mengajarku berenang. Aku mendapat pengalaman yang sungguh menyeronokkan. Selasa, 17 Mac 20….. Setiap kali pulang ke kampung, aku tidak lepas peluang untuk menyuruh nenek bercerita. Nenek memang pandai bercerita dan mengetahui banyak cerita-cerita rakyat. Nenek telah bercerita tentang kisah Si Tanggang. Kisahnya sungguh menyayat hati. Ianya mengisahkan tentang seorang anak yang menderhaka kepada ibunya sendiri. Rabu, 18 Mac 20….. Aku berasa sedih kerana akan bertolak pulang. Aku mengemaskan barang-barang dan memasukkan ke dalam bonet kereta. Sebelum pulang aku bersalaman dengan datuk dan nenek. Kami bertolak pulang pada waktu pagi dan sampai pada pukul 3.00 petang.
36 Laporan Panduan Menulis Karangan Laporan 1 Laporan merupakan karangan berformat. 2 Karangan laporan adalah berkaitan dengan laporan sesuatu peristiwa atau aktiviti kelab/persatuan. 3 Mulakan karangan laporan dengan menulis tajuk laporan. 4 Isi-isi laporan disusun mengikut perenggan. 5 Tarikh laporan ditulis hendaklah ditulis di bahagian kanan. 6 Akhiri laporan dengan tandatangan pelapor, nama penuh pelapor, jawatan pelapor, nama sekolah atau kelab/persatuan. 7 Contoh soalan karangan laporan ialah seperti berikut: a. Tulis laporan berdasarkan aktiviti sukaneka b. Tulis laporan tentang Hari Sukan c. Tulis laporan tentang Hari Kantin d. Tulis laporan tentang aktiviti perkhemahan
37 Contoh Baru-baru ini kamu telah mengikuti lawatan ke Rumah Kebajikan Orang-orang Tua. Tulis laporan mengenai lawatan tersebut. Rangka Karangan: Pendahuluan: - hari dan tarikh lawatan diadakan Isi-isi: - tujuan lawatan diadakan - aktiviti-aktiviti yang dijalankan di Rumah Kebajikan Orang-orang Tua - jamuan perpisahan - pemberian cenderahati Penutup: - berangkat pulang – pengajaran daripada lawatan tersebut
38 Laporan Lawatan ke Rumah Kebajikan Orang-orang Tua Pada hari Sabtu, 9 Mei 20___ yang lalu, Persatuan Bahasa Melayu Sekolah Kebangsaan Taman Semarak telah mengadakan lawatan ke Rumah Orang-orang Tua di Nilai, Seremban. Lawatan itu disertai oleh lima orang guru dan empat puluh lima orang murid. Kami bertolak ke sana dengan menaiki bas. Kami tiba di sana kira-kira pada pukul 9.00 pagi. Kedatangan kami disambut oleh pengawai yang bertugas di rumah kebajikan tersebut. Kami dibawa melawat di dalam rumah kebajikan tersebut. Antara tempat yang kami lawatan ialah ruang menonton televisyen, bilik tidur, ruang makan, ruang bacaan dan tempat beriadah. Kami diberi peluang untuk berkenalan dengan penghuni Rumah Kebajikan Orang-orang Tua. Kami melakukan pelbagai aktiviti bersama-sama mereka. Antaranya menyanyi, menari, membaca buku, bercerita dan sebagainya. Perasaan gembira tergambar di raut wajah mereka yang dimamah usia. Sebelum pulang, kami disajikan dengan satu jamuan ringan. Kami turut memberi cenderahati berupa selimut, buku-buku dan makanan ringan. Mereka berasa sungguh gembira dan berterima kasih atas pemberian cenderahati itu. Kami tiba di sekolah kira-kira pada pukul 5.30 petang. Lawatan itu sungguh bermakna dalam dalam hidup kami. Kami sedar bahawa betapa pentingnya menjaga ibu bapa yang sudah tua kerana mereka memerlukan kasih sayang dan perhatian daripada anak-anak. Laporan disediakan oleh, 12 MEI 20____. Marzifah (MARZIFAH BINTI ISMAIL) Setiausaha Persatuan Bahasa Melayu, Sekolah Kebangsaan Taman Semarak.
39 Tindakan Panduan Menulis Karangan Tindakan 7. Karangan tindakan merupakan karangan tidak berformat. 8. Karangan tindakan memerlukan calon menyatakan tindakan-tindakan yang dilakukan berdasarkan situasi yang dinyatakan. 9. Tindakan-tindakan yang dinyatakan mestilah munasabah dan sesuai dengan keadaan yang digambarkan. 10. Gunakan bahasa yang mudah, ringkas dan tepat. 11. Karangan yang ditulis mestilah dalam bentuk cerita. 12. Isi-isi karangan mestilah disusun mengikut perenggan.
40 Contoh Kamu mengunjungi pameran buku yang diadakan di sebuah dewan. Ketika kamu sedang asyik memilih buku, kamu terlihat seorang kanak-kanak perempuan sedang menangis. Ceritakan tindakan-tindakan yang kamu lakukan untuk menemukan kanak-kanak perempuan itu dengan kedua-dua ibu bapanya. Rangka Karangan: Pendahuluan: - mengunjungi pameran buku yang diadakan di sebuah dewan – ingin membeli buku rujukan Isi-isi: - terlihat seorang kanak-kanak perempuan sedang menangis - memujuknya – bertanyakan sebab dia menangis - membawanya ke kaunter pertanyaan - pengumuman dibuat – kanak-kanak yang mencari ibu bapanya Penutup: - ibu bapa kanak-kanak itu gembira dapat bertemu semula dengan anak mereka Aku menaiki bas ke bandar untuk mengunjungi pameran buku yang diadakan di sebuah dewan. Aku berhasrat membeli buku-buku rujukan sebagai persiapan untuk menghadapi peperiksaan UPSR. Dewan itu dipenuhi dengan orang ramai. Terdapat banyak gerai yang pelbagai jenis buku. Aku bergerak dari satu gerai ke satu gerai. Tiba-tiba aku terlihat seorang kanak-kanak perempuan sedang menangis. Aku menghampiri kanak-kanak perempuan itu. Kanak-kanak yang dalam lingkungan umur enam tahun itu menangis teresak-esak. Aku memujuk kanak-kanak itu supaya berhenti menangis. Aku menanya sebabsebab mengapa dia menangis. Namun, dia tidak memberi apa-apa jawapan. Sebaliknya terus menangis sambil memandang ke kiri dan kanan.
41 Aku pasti bahawa kanak-kanak itu kehilangan ibu bapa yang turut berada di dewan itu. Aku membawa kanak-kanak itu ke kaunter pertanyaan. Aku ingin kerani di kaunter pertanyaan itu membuat pengumuman tentang ibu bapa kanak-kanak perempuan itu. Kerani yang bertugas di kaunter pertanyaan itu segera membuat pengumuman dengan menggunakan pembesar suara. Dia memberitahu tentang kanak-kanak perempuan yang kehilangan ibu bapanya. Kerani itu meminta ibu bapa yang kehilangan anak agar segera ke kaunter pertanyaan. Tidak lama kemudian, ibu bapa kanak-kanak perempuan bergegas ke kaunter pertanyaan. Mereka memeluk kanak-kanak perempuan itu dengan lega bercampur gembira. Ibu bapa kanak-kanak perempuan itu mengucapkan terima kasih kepadaku kerana telah menolong menemukan anak mereka.
42 Karangan Peribahasa Panduan Menulis Karangan Peribahasa 1 Karangan peribahasa merupakan karangan yang tidak berformat. 2 Calon perlu benar-benar memahami maksud peribahasa sebelum menulis karangan peribahasa. 3 Calon boleh karangan peribahasa dalam bentuk rencana dengan menghuraikan maksud peribahasa berserta dengan contoh-contoh yang sesuai. 4 Karangan peribahasa ini juga boleh dihasilkan dalam bentuk cerita. Cerita yang ditulis mestilah sesuai dengan maksud peribahasa. 5 Bahasa yang digunakan mestilah mudah, ringkas, padat dan tepat.
43 Contoh Tulis sebuah karangan tentang peribahasa “Seperti kacang lupakan kulit”. Rangka Karangan: Pendahuluan: - Asmadi anak yatim piatu Isi-isi: - dipelihara oleh Encik Jalal dan Puan Gayah sebagai anak angkat - dijaga dengan penuh kasih sayang - melanjutkan pelajaran di luar negera - bekerja – lupa pada ibu dan ayah angkat Penutup: - sikapnya seperti kacang lupakan kulit Asmadi anak yatim piatu. Kedua-dua ibu bapa meninggal dunia akibat terbabit dalam suatu kemalangan jalan raya. Asmadi telah dihantar ke Rumah Kebajikan Anak-anak Yatim. Encik Jalal dan Puan Gayah sudah lama mendirikan rumah tangga. Namun, mereka tidak mempunyai cahaya mata. Encik Jalal dan isterinya telah ke Rumah Kebajikan Anak-anak Yatim. Mereka telah mengambil Asmadi sebagai anak angkat. Asmadi dipelihara dengan penuh kasih sayang. Dipelihara seperti menatang minyak yang penuh. Segala kemahuan Asmadi dituruti. Asmadi berasa bahagia dengan perhatian yang diberikan oleh kedua-dua ibu bapa angkatnya. Masa terus berlalu. Asmadi telah berjaya melanjutkan pelajaran ke luar negara. Semua perbelanjaan ditanggung oleh kedua-dua ibu bapa angkatnya. Asmadi memang seorang penuntut yang pintar. Dia berjaya menamatkan pengajian dengan mendapat keputusan yang cemerlang.
44 Setelah menamatkan pengajiannya, Asmadi pulang ke tanah air. Dia telah diterima bekerja di sebuah syarikat terkenal di ibu kota. Asmadi mula melupai kedua-dua ibu bapa angkatnya. Dia jarang menghubungi mereka untuk bertanya khabar berita. Encik Jalal dan Puan Gayah amat merindui Asmadi. Mereka tidak dapat menghubungi kerana Asmadi sering sibuk dengan urusan kerjanya. Asmadi telah melupai jasa kedua-dua ibu bapa angkatnya. Sikapnya seperti kacang lupakan kulit.
45 Karangan Syarahan Panduan Menulis Karangan Syarahan 1 Karangan syarahan merupakan karangan berformat. 2 Mulakan karangan syarahan dengan kata-kata aluan iaitu dengan mengucapkan ucapan terima kasih kepada pengerusi majlis, tetamu terhormat serta para hadirin yang ada dalam majlis syarahan. 3 Tajuk syarahan perlu dinyatakan dan dihuraikan secara ringkas. 4 Susun isi-isi syarahan mengikut perenggan. 5 Gunakan bahasa yang mudah, ringkas, padat dan tepat. 6 Calon perlu mengemukakan contoh-contoh yang sesuai untuk menguatkan isi syarahan.
46 Contoh Kamu dipilih untuk menyertai pertandingan syarahan antara kelas. Tajuk syarahan itu ialah “Punca-punca Kemerosotan Disiplin Murid Sekolah “. Tulis syarahan tersebut. Rangka Karangan: Pendahuluan: - kata-kata aluan Isi-isi: - pengaruh rakan sebaya - pengaruh media massa - kurang perhatian daripada ibu bapa - kurang didikan agama Penutup: - semua pihak perlu memainkan peranan
47 Selamat sejahtera Tuan Pengerusi Majlis, barisan pihak hakim yang arif lagi bijaksana, guru-guru dan rakan-rakan yang dikasihi. Pada pagi yang ceria ini, saya akan menyampaikan sebuah syarahan yang bertajuk “Punca-punca Kemerosotan Disiplin Murid Sekolah “. Hadirin yang dihormati, Masalah disiplin yang ditimbulkan adalah seperti gejala ponteng sekolah, menghisap rokok, membuli, peras ugut dan sebagainya. Antara punca utama berlakunya masalah disiplin ialah pengaruh daripada rakan sebaya. Ini kerana golongan pelajar suka bergaul dalam berkumpulan. Pengaruh media massa seperti rancangan televisyen dan majalah turut memburukkan masalah disiplin murid-murid sekolah. Rancangan televisyen umpamanya banyak menyiarkan rancangan dari negara barat yang banyak memaparkan adegan jenayah. Ibu bapa pada masa kini semakin kurang memberi perhatian kepada anak-anak mereka. Kesibukan bekerja untuk membina kehidupan yang baik menyebabkan ibu bapa mengabaikan tanggungjawab mereka. Kurang didikan agama juga menjadi punca berlakunya masalah disiplin muridmurid. Jika mereka mendapat didikan agama yang secukupnya mereka tidak akan melakukan perbuatan yang tidak bermoral. Sebelum saya mengakhiri syarahan saya, saya berharap semua pihak memainkan peranan penting agar masalah disiplin murid-murid sekolah tidak semakin buruk. Sekian, terima kasih.
48
49 LATIHAN 1 SOALAN: Ceritakan suasana kejohanan sukan tahunan di sekolah kamu. __________________________________________________________________ __________________________________________________________________ __________________________________________________________________ __________________________________________________________________ __________________________________________________________________ __________________________________________________________________ __________________________________________________________________ __________________________________________________________________ __________________________________________________________________ __________________________________________________________________ __________________________________________________________________ __________________________________________________________________ __________________________________________________________________ __________________________________________________________________ __________________________________________________________________ __________________________________________________________________ __________________________________________________________________ __________________________________________________________________ __________________________________________________________________ __________________________________________________________________
50 __________________________________________________________________ __________________________________________________________________ __________________________________________________________________ __________________________________________________________________ __________________________________________________________________ __________________________________________________________________ __________________________________________________________________ __________________________________________________________________ __________________________________________________________________ __________________________________________________________________ __________________________________________________________________ __________________________________________________________________ __________________________________________________________________ __________________________________________________________________ __________________________________________________________________ __________________________________________________________________ __________________________________________________________________ __________________________________________________________________ __________________________________________________________________ __________________________________________________________________ __________________________________________________________________ __________________________________________________________________ __________________________________________________________________ __________________________________________________________________