Sekolah Menengah Agama Marang
telah ditubuhkan pada 1hb Julai 1958
hasil daripada satu perjumpaan
beberapa orang pemimpin Umno di
rumah Umno Marang pada 16hb
November 1956.
Satu jawatankuasa penaja telah
dibentuk yang dinamakan
Jawatankuasa Penaja Sekolah Arab
Marang . Jawatankuasa ini telah
mengambil keputusan memohon
kepada Jabatan Hal Ehwal Agama
Terengganu (JHEAT) untuk
menubuhkan sebuah sekolah arab di
Marang.
Sekolah ini telah berjaya beroperasi
menggunakan nama Sekolah
Menengah Agama Marang Terengganu
(SMAMT) di sebuah bangunan kawasan
Balai Polis Marang sebagai bangunan
sementara dengan bilangan muridnya
seramai 40 orang dan seorang guru
bernama Ustaz Haji Wan Abd Rahman
bin Long.
Gambar 1 menunjukkan bangunan
sementara sekolah ini. Setelah hampir 5
tahun beroperasi, sekolah ini telah
berpindah ke bangunan baru di tapak
yang ada sekarang.
Pada tahun 1964 sekolah ini telah
dirasmikan oleh bekas Menteri Besar
Terengganu iaitu Allahyarham Tan Sri
Ibrahim Fikri bin Mohamad.
Gambar 2 menunjukkan pintu masuk ke sekolah ini yang
kekal sehingga hari ini.
GAMBAR 2
Pembangunan fizikal secara
berperingkat terus diberi perhatian
oleh Jabatan Agama Hal Ehwal Agama
Terengganu dengan terbinanya sebuah
bangunan asrama puteri dan sebuah
bangunan makmal pada tahun 1976
dan boleh digunakan setahun
kemudian.
Seterusnya pada tahun 1982 sebuah
bangunan tambahan yang
mengandungi 8 bilik darjah dan sebuah
makmal sains telah siap dibina.
Pembangunan fizikal sepenuhnya
seperti yang ada sekarang, iaitu
asrama putera, bangunan sekolah tiga
dan 4 tingkat, kantin asrama, 2 buah
rumah guru, padang bola sepak,
bengkel kemahiran hidup, dan surau
telah siap sepenuhnya pada tahun 1992
dan telah diguna pakai sepenuhnya
pada tahun berkenaan.
Pertambahan fizikal ini berlaku
ekoran peningkatan permohonan
ibubapa murid yang meningkat setiap
tahun untuk belajar di sekolah agama.
Pada awalnya SMA Marang ini
merupakan institusi pendidikan
menengah milik kerajaan negeri
Terengganu yang diuruskan oleh
Bahagian Pendidikan, JHEAT.
Pada tahun 2006, kerajaan negeri
telah menandatangani Memorandum
Persefahaman (MoU) dengan kerajaan
Persekutuan bagi memperkasakan
pengurusan sekolah menengah agama
negeri dengan menjadikannya Sekolah
Menengah Agama Bantuan Kerajaan
(SABK).
Melalui MoU itu, SABK menerima
sumbangan daripada kerajaan
Persekutuan seperti bantuan
perkapita, gaji guru dan kakitangan,
makan dan minum penghuni asrama,
perkhidmatan kebersihan dan
keselamatan sebagimana ditetapkan di
bawah Akta Pendidikan 1996.
Selain itu SABK turut melaksanakan
Kurikulum Kebangsaan mengikut
standard ditetapkan oleh kerajaan
Persekutuan disamping melaksanakan
Kurikulum Pelajaran Agama
merangkumi Kurikulum Pelajaran
Menengah Al-Azhar (Thanawi) dan
Kurikulum I’dadi yang ditentukan oleh
kerajaan negeri.