20 Bangunan
Warisan
Di
Malaysia
Nama : Muhammad Ikhwan bin Suhaimi
Kelas : 4 Al-Razi
1. Bangunan Sultan Abdul Samad
Bangunan Sultan Abdul Samad adalah ibarat ‘icing on the cake’ untuk
bandaraya Kuala Lumpur. Bangunan ini tersergam indah di hadapan
Dataran Merdeka, anda boleh bersantai untuk menikmati
pemandangannya yang lebih-lebih lagi memukau jiwa pada waktu malam
sambil menikmati angin bandar.
Dibina pada abad yang ke-19 iaitu pada tahun 1893, bangunan ini
memiliki reka bentuk Moghul dan Moorish dengan pengaruh Islam
berdasarkan 3 buah kubah yang terdapat padanya.
Pada awalnya bangunan ini dikenali sebagai Pejabat Baru Kerajaan,
namun, pada tahun 1948, setelah Persekutuan Tanah Melayu terbentuk,
Bangunan Sultan Abdul Samad dinamakan sebagai Sekretariat
Persekutuan.
Pada tahun 1974 pula, pejabat-pejabat Kerajaan Negeri Selangor telah
dipindahkan ke
Shah Alam, dan sejak dari itu, bangunan ini telah diberikan nama yang
baru bersempena dengan nama Sultan Selangor yang memerintah dari
tahun 1857 ke 1898, Sultan Abdul Samad.
Alamat: Jalan Raja, City Centre, 50050 Kuala Lumpur
2. Masjid Jamek Kuala Lumpur
Siapa sangka di KL ini masih ada lagi sesuatu yang telah berusia lebih
daripada seabad dalam keadaan pembangunan yang rancak ni kan? Inilah
usia Masjid Jamek Kuala Lumpur yang dibina pada tahun 1907,
menjadikan ia sebuah masjid yang tertua di KL.
Seni binanya adalah berdasarkan reka bentuk Moghul daripada utara
India. Ianya telah direka bentuk oleh seorang pembantu arkitek, Arthur
Benison Hubbock.
Setelah menikmati ketenangan berada di sekitar masjid, anda boleh
melawat banyak lagi tarikan lain di sekitar contohnya China Town, Jalan
Tar dan Little India yang semuanya boleh dilawati dengan hanya berjalan
kaki dari sini.
Alamat: Jalan Tun Perak, City Centre, 50050 Kuala Lumpur, Wilayah
Persekutuan Kuala Lumpur
3. Muzium Telekom
Berjalan-jalan di KL tiba-tiba anda terlihat sebuah bangunan yang tak
ubah macam di luar negara, cukup unik reka bentuknya. Untuk
pengetahuan anda, muzium ini memiliki 2 rupa yang berbeza. Macam
mana tu? Bahagian bangunan yang menghadap Jalan Gereja memiliki
pengaruh seni bina Roman dengan 8 buah tiang yang tinggi. Manakala
bahagian bangunan yang menghadap Jalan Raja Chulan pula memiliki
gaya Eropah.
Muzium Telekom ataupun Muzium Telekomunikasi Negara adalah
lokasi di mana anda sekeluarga dapat melihat perkembangan dunia
telekomunikasi Malaysia dari tahun 1870-an sehinggalah ke dunia
moden.
Waktu Operasi: Setiap Hari (9.00am – 5.00pm) | Cuti Umum Tutup
Alamat: Jalan Raja Chulan, 50200 Kuala Lumpur
4. Muzium Diraja Negara
Terletak di Jalan Istana, Muzium Diraja Negara telah berdiri di sini sejak
dari tahun 1928 lagi. Bangunan yang bersejarah ini pada asalnya
merupakan rumah agam milik seorang jutawan Cina, Chan Wing.
Bangunan muzium ini telah direka bentuk oleh sebuah firma seni bina
Swan MacLaren yang terkenal dari Singapura.
Muzium yang dahulunya sebuah rumah kediaman ini memiliki keluasan
11.34 hektar. Rumah dengan gaya seni bina Palladian ini pada ketika itu
merupakan rumah agam dengan saiz yang tidak dapat ditandingi oleh
rumah lain di sekitar Tanah Melayu.
Bangunan ini kemudiannya telah diubahsuai dengan penambahan
bilangan bilik daripada 13 kepada 20 buah, balai mengadap, dapur untuk
memuatkan 100 orang, satu dewan santapan, empat bilik tetamu dan dua
balai kemasukan.
Alamat: Jalan Istana, Kuala Lumpur
Selangor
5. Istana Bandar (Alaeddin)
Dibina pada penghujung abad ke-19 dan siap pada tahun 1905, Istana
Bandar (Alaeddin) adalah sebuah peninggalan antik yang memiliki seni
binaan yang unik. Sewaktu pembinaan istana, tukang-tukang Cina yang
mahir turut terlibat dimana mereka menghasilkan ragam hiasan serta
ukiran dengan pengaruh Cina sendiri. Secara keseluruhannya, istana ini
memiliki pengaruh Islam dari Timur Tengah dan juga India.
Sekiranya anda ke sini, anda dapat melihat keindahan lanskapnya yang
dipercantikkan dengan kehadiran kolam-kolam di hadapan istana.
Untuk pengetahuan anda, istana ini pernah menjadi tempat bersemayam
Sultan Sir Alaeddin Sulaiman Shah dan permaisuri baginda sehingga
baginda mangkat pada 1889. Bangunan ini kemudiannya menjadi tempat
pertabalan sultan Selangor ke-7. Selepas kemerdekaan, iaitu pada tahun
1957, istana ini telah tidak digunakan lagi kerana pusat pemerintahan
mula dipindahkan ke KL.
Alamat: Kampung Sungai Ingat, 42700 Banting
6. Rumah Banglo (Hatter’s Castle) – Ladang Pulau
Carey
Kalau anda Google Hatter’s Castle ini, anda akan terlihat senarai list
yang tak ada kaitan dengan istana di Pulau Carey ni, tapi adalah senarai
tentang filem klasik British tahun 1940-an yang diadaptasikan daripada
novel hasil penulisan A.J. Cronin. Rumah banglo di Pulau Carey ini pula,
dinamakan dengan nama yang sama mungkin kerana ini novel
kegemaran pemiliknya.
Rumah indah ini memiliki reka bentuk Britain dan Perancis yang
diilhamkan oleh pengasas Pulau Carey iaitu Edward Valentine Carey
pada tahun 1923. Jurutera yang terlibat dalam pembinaannya
didatangkan dari Denmark iaitu C.L Gjorup.
Keadaan di sekitar rumah ini sungguh tenang dan penuh dengan
kehijauan, tidak jauh dari rumah ini terdapat sebatang pokok ketapang
dan pokok ara yang sangat besar. Walaupun sudah berdekad lamanya,
rumah ini masih dalam keadaan yang baik kerana dijaga oleh pemilik
ladang, Golden Hope Plantation.
7. Masjid Bandar
Masjid Bandar yang klasik ini telah dibina sebaik selesainya pembinaan
Istana Bandar (Alaeddin) iaitu pada tahun 1905. Jarak antara masjid ini
dengan istana hanyalah dalam 200 meter. Masjid yang dirasmikan pada
18 Jun 1924 ini pernah menjadi Masjid Negeri di Selangor. Untuk
pengetahuan anda, masjid ini mampu menampung 500 jemaah pada
satu-satu masa.
Mengenai reka bentuknya, Masjid Bandar memiliki reka bentuk yang
diinspirasikan dari seni bina pemerintahan Deli di Medan, Sumatera
Utara serta campuran antara seni bina Islam di Timur Tengah dan India.
Alamat: Jalan Istana Kampung Bandar, 42700 Jugra, Selangor
8. Kota Raja Mahadi
Terletak tidak jauh dari bangunan Majlis Perbandaran Klang, Kota Raja
Mahadi ini telah dibina oleh Raja Mahadi bin Raja Sulaiman ketika
kemuncaknya peperangan Klang iaitu pada tahun 1866. Peperangan
Klang berlaku akibat perebutan kuasa untuk memerintah daerah Klang
antara Raja Mahadi dan Raja Abdullah.
Kubu yang terletak di Bukit Kota ini tidak lagi digunakan sebaik dua
buah peperangan saudara berakhir.
Alamat: 60, Jalan Raya Barat, Kawasan 1, 41100 Klang
9. Bangunan Sultan Suleiman Shah
Bangunan Sultan Suleiman Shah adalah sebuah bangunan warisan
kebangsaan yang dibina pada tahun 1909 dengan reka bentuk kolonial,
dibina oleh arkitek bernama A.B. Hubback.
Pada asalnya, bangunan ini digunakan oleh British dan kemudiannya
bertukar tangan dengan pihak Jepun sewaktu Perang Dunia Kedua.
Selepas peperangan berakhir, bangunan ini telah digunakan oleh
beberapa pihak berkuasa tempatan sehinggalah ianya dijadikan sebagai
Galeri Diraja Sultan Abdul Aziz pada tahun 2005.
Waktu Operasi: Selasa – Ahad (10.00am – 5.00pm) | Isnin Cuti Umum
Tutup
Alamat: Bangunan Sultan Suleiman, 41000 Klang, Selangor Darul
Ehsan
10. Galeri Sultan Azlan Shah
Galeri Sultan Azlan Shah bertempat di dalam sebuah istana lama yang
dinamai Istana Ulu atau nama-nama lainnya Istana Kota, Istana
Cempaka Sari dan Istana Cinta Berahi, banyaknya nama untuk satu
istanakan?
Istana ini mula dibina pada tahun 1898 dan segalanya selesai pada tahun
1903. Bahan-bahan untuk membuat istana ini didatangkan daripada
negara-negara seperti India, Itali, Perancis dan dari Tanah Melayu
sendiri. Sewaktu pembinaannya, bahan-bahan binaan dari luar negara
telah didatangkan dengan menggunakan kapal-kapal dagangan yang
menggunakan Sungai Perak, manakala bahan tempatan pula diangkut
menggunakan gajah. Bayangkanlah suasana ketika itu. Pasti meriahkan?
Di dalam Galeri Sultan Azlan Shah ini anda dapat melihat pameran
pelbagai barangan peninggalan Sultan Perak yang termasuklah
pemberian-pemberian daripada luar negara, foto-foto salasilah kerabat
Diraja dan banyak lagi.
Alamat: Galeri Sultan Azlan Shah, 33000 Kuala Kangsar, Perak
11. Kellie’s Castle
Beraura misteri, Kellie’s Castle adalah sebuah bangunan bersejarah yang
dibina oleh seorang pengusaha ladang dari Scotland, William Kellie
Smith pada tahun 1915 untuk dijadikan sebagai lambang cinta kepada
isterinya serta untuk mengembalikan kenangan kepada rumah yang jauh
di Scotland.
Namun, sedihnya, pembinaan istana ini terpaksa dihentikan secara serta-
merta kerana Kellie telah mati secara mengejut pada tahun 1926.
Walaupun tidak 100% siap, istana ini dikatakan memiliki banyak ruang
rahsia yang termasuklah terowong-terowong bawah tanah.
Alamat: Kellie’s Castle, 31000 Batu Gajah
12. Masjid Ubudiah
Kalau anda nak tahu, Masjid Ubudiah ini juga dikatakan sebagai salah
satu masjid yang terindah di Malaysia. Datang dulu ke sini, baru anda
tahu betapa cantiknya masjid ini. Asalnya, masjid ini telah dibangunkan
kerana nazar Sultan Idris Murshidul Adzam Shah I, Sultan Perak ke-28
yang menjalankan pemerintahan dari 1887 ke 1916.
Masjid yang didirikan di Bukit Chandan ini mula dibina pada tahun 1913
dengan kos sebanyak RM220,000 (pada ketika itu) dengan bantuan
seorang arkitek, A.B. Hubback dan kerja pelaksanaan pula oleh ketua
jurutera negeri Perak, Caufield.
Dapat dilihat masjid ini memiliki pengaruh seni bina Islam-India serta
bentuk segi lapan yang unik.
Alamat: Jalan Istana, 33000 Kuala Kangsar
13. Kompleks Sejarah Pasir Salak
Kalau anda suka melihat suasana rumah yang klasik, anda boleh melawat
Kompleks Sejarah Pasir Salak. Antara tarikan yang boleh dilihat di
sekitar kompleks ini adalah dua buah Rumah Kutai iaitu rumah tradisi
Perak, monumen J.W.W. Birch, meriam Lela Rentaka, kubu Datuk
Maharaja Lela dan kubur Sipuntum.
Mengikut sejarah, kawasan ini adalah tempat dimana residen Inggeris
pada ketika itu, J.W.W. Birch mati dibunuh oleh orang Perak, dan
disebabkan ini, Sultan Perak telah dibuang jauh ke Pulau Seychelles.
Alamat: Kompleks Sejarah Pasir Salak, Kampung Gajah, Perak
14. Muzium Perak
Terletak di Taiping, Muzium Perak ini merupakan sebuah muzium yang
tertua di Malaysia. Muzium dengan reka bentuk neo-klasikal Inggeris ini
telah dibina pada tahun 1883 oleh residen-residen Inggeris yang berada
di Perak pada ketika itu.
Antara barangan yang terdapat di sini adalah artifak-artifak peninggalan
Melayu di Perak, namun yang paling banyak terdapat di sini adalah
koleksi-koleksi botani dan zoologi yang melibatkan spesimen-spesimen
haiwan bersaiz kecil hinggalah kepada gajah.
Alamat: Jalan Taming Sari, 34000 Taiping, Perak
15. Kota A Famosa
Memang banyak bangunan bersejarah di Malaysia tetapi Kota A Famosa
boleh dikatakan yang selalu menjadi sebutan ramai. Kota A Famosa
adalah sebuah kota yang telah dibina pada tahun 1511 menggunakan
buruh-buruh paksaan sewaktu dibawah taklukan Portugis.
Namun begitu, kini, bukan keseluruhan kota ini dalam keadaan yang
sempurna, kerana satu-satunya struktur yang masih dalam bentuk asal
hanyalah pintu gerbang kota ini iaitu Pintu Gerbang Santiago. Dikatakan
bahawa pintu gerbang ini adalah struktur Eropah yang tertua di rantau
Asia.
Bangunan yang telah pun berusia lebih daripada 500 tahun ini masih
teguh berdiri kerana menggunakan antara jenis batuan yang paling kukuh
iaitu Batu Lada ataupun Batu Letrik yang agak sukar untuk dicari.
Waktu Operasi: Sepanjang Hari
Alamat: Jalan Parameswara, Bandar Hilir, 78000 Alor Gajah, Melaka
16. Baba Nyonya Heritage Museum
Nak tahu lebih banyak tentang komuniti yang unik Baba Nyonya?
Jangan lepaskan peluang untuk melawat Baba Nyonya Heritage Museum
sekiranya ke Melaka. Muzium ini pada asalnya merupakan tempat tinggal
bagi keluarga Cina, iaitu keluarga Chan yang datang untuk berniaga dari
tahun 1865 ke 1919.
Pada tahun 1985 pula ia mula dibuka sebagai muzium yang diuruskan
sendiri oleh generasi ke-4 keluarga ini. Dipamerkan di dalamnya adalah
perabot-perabot asal yang dipelihara dengan baik, yang masing-masing
memiliki ciri Baba Nyonya yang sangat cantik untuk diamati.
Waktu Operasi: Isnin – Khamis (10.00am – 5.00pm) | Jumaat, Sabtu
Ahad (10.00am – 6.00pm)
Alamat: 48-50, Jalan Tun Tan Cheng Lock, 75200 Melaka
17. The Stadthuys
The Stadthuys adalah antara tarikan di Melaka yang tak patut anda lupa
untuk singgahi sebab kat sinilah anda dapat bergambar dengan menarik
bukan sahaja oleh kerana reka bentuk dan warna bangunan ini, tapi juga
disebabkan oleh barisan beca yang penuh warna-warni dan berbunga-
bunga yang beratur panjang di dinding luar bangunan.
Dibina pada tahun 1650, The Stadthuys pada asalnya adalah penempatan
rasmi untuk Gabenor Belanda. Jangan terkejut, sebenarnya ketika zaman
Belanda, bangunan ini berwarna putih, namun pada tahun 1911, iaitu
sewaktu zaman penjajahan British, bangunan ini telah dicatkan dengan
warna merah seperti yang dilihat sekarang.
Alamat: Persimpangan bulatan Jalan Quayside, Admiral Street, dan Jalan
Chan Koon Cheng, Bandar Hilir Melaka
18. Independence Monument Museum (Memorial
Pengisytiharan Kemerdekaan)
Bangunan Memorial Pengisytiharan Kemerdekaan pada asalnya
digunakan sebagai tempat orang-orang atasan dan pegawai kerajaan
bersosial, namun selepas kemerdekaan, ianya dibuka kepada orang ramai
sebelum dijadikan bangunan memorial pada tahun 1985.
Bangunan yang dibina pada tahun 1911 ini kini menjadi tempat
penyimpanan pelbagai dokumen-dokumen, artifak, majalah, keratan
akhbar dan lain-lain lagi yang penting kepada negara dari zaman
Kesultanan Melayu Melaka sehinggalah Tanah Melayu mencapai
kemerdekaan pada tahun 1957.
Alamat: Memorial Pengisytiharan Kemerdekaan, Jalan Parameswara,
Melaka, Bandar Hilir, 75000
19. Istana Lama Seri Menanti
Pernah tak anda tertanya-tanya, apa maksud ‘Seri Menanti’ tu
sebenarnya? Untuk pengetahuan anda, Seri Menanti adalah nama 3
batang padi yang tumbuh di kawasan sekitar yang dinamakan sebagai
Padi Menanti ataupun ‘semangat padi yang menanti’. ‘Seri’ pula
bermaksud ‘padi’ di dalam bahasa Jawa. Baru tahu kan?
Istana Lama Seri Menanti ini adalah sebuah istana 4 tingkat yang dibina
untuk menggantikan Istana Pulih yang telah terbakar sewaktu Perang
Bukit Putus. Istana ini telah direka oleh dua orang tukang iaitu Taib dan
Kahar dengan arahan Yang di-Pertuan Besar yang mahu istana ini dibina
dengan reka bentuk alam Minangkabau.
Yang menariknya, istana indah ini telah dibina tanpa menggunakan
walaupun satu batang paku besi! Macam mana tu? Untuk menyambung
dari satu bahagian dengan bahagian yang lain, mereka menggunakan
sambungan kayu yang dinamakan pasak.
Alamat: Istana Lama Seri Menanti, Seri Menanti, Kuala Pilah
20. Rumah Putih
Rumah Putih adalah sebuah bangunan bersejarah yang dibina pada tahun
1912 oleh B.P. Habbach. Bahan asas yang digunakan dalam pembinaan
bangunan berwarna putih ini adalah batu-bata yang kemudiannya
dikemaskan dengan simen.
Bangunan dengan reka bentuk British ini, pada awalnya digunakan
sebagai pusat pentadbiran British sebelum dijadikan sebagai pejabat
kerajaan negeri yang kini telah pun dipindahkan ke bangunan baru.
Sekiranya anda ke sini, anda juga dapat melihat tugu peringatan yang
berdiri di hadapannya. Di samping itu, di dalam kawasan yang sama juga,
iaitu di hadapan bangunan ini, adalah kawasan di mana Hari
Memperingati Pahlawan diadakan setiap tahun.
Alamat: Berhampiran Wisma Negeri