HARAPAN KELUARGA AFLAH SYAKIRAH VS IMPIANKU
Penulisan Kreatif: Cerpen Harapan Keluarga Vs Impianku Di keheningan subuh, hujan turun begitu deras, disambut dengan bunyi dentuman guruh menambah kegelisahan di wajah Arjuna yang berada di dalam bilik. Seusai menunaikan solat fardhu subuh, anak lelaki berusia dua puluh tiga tahun itu duduk di atas sejadah dengan tatapan kosong. Sejak kecil lagi, Arjuna tahu bahawa takdirnya ialah mewarisi syarikat perniagaan yang telah dibangunkan oleh keluarga ayahnya, semenjak zaman nenek moyang. Akan tetapi, dia mempunyai impian yang berbeza. Dia bertekad untuk mengungkapkan hasrat dan impian itu kepada ayahnya pada hari ini meskipun impiannya itu bakal meluluhkan hati dan mengecewakan harapan ayahnya. Arjuna merupakan anak bongsu kepada Dato’ Syed Mokhtar, seorang usahawan berjaya yang mempunyai syarikat perniagaan yang terkenal sehingga ke luar negara. Ayah dan abang sulungnya, Arif telah menjadikan syarikat perniagaan itu sebagai kebanggaan dan kejayaan keluarga. Mereka berharap agar Arjuna akan turut-serta dalam melanjutkan legasi keluarga yang telah wujud selama berpuluh-puluh tahun. Pagi menjelang, matahari bersinar begitu terang dan hangat. Namun suasana di dalam kediaman mewah Dato’ Syed Mokhtar sangat dingin dengan adanya penyaman udara. Di ruang tamu, Arjuna duduk berhadapan dengan ayahnya, Dato’ Syed Mokhtar. Ayahnya tersenyum bangga berbicara tentang bisnes keluarga, dan mengarahkan Arjuna untuk meneruskan perniagaan syarikat itu. “Ini adalah legasi keluarga kita, ayah mahu Arjuna mengambil alih dan menguruskan syarikat ini dengan abang Arif, ” kata ayahnya dengan nada tegas. Arjuna mengangkat kepalanya, riak wajahnya penuh keraguan, “Arjuna minta maaf, ayah. Arjuna menghargai segala usaha yang ayah, abang dan datuk lakukan. Arjuna tahu bahawa ayah ingin Arjuna dan abang meneruskan legasi keluarga kita, tapi Arjuna punya impian sendiri”. Dato’ Syed Mokhtar terpempan sejurus mendengar kata-kata anak bongsu lelakinya. “Apa maksud kamu, Arjuna?”. Arjuna menarik nafas sedalam-dalamnya sebelum menjawab, “Arjuna ingin menjadi seorang guru, ayah. Arjuna mahu mengajar dan membentuk generasi muda agar mereka mampu menjadi manusia yang berguna. Arjuna lebih gemar akan kehidupan seorang guru berbanding kehidupan sebagai seorang ahli perniagaan”.
Wajah ayahnya berubah dari senyum menjadi ekspresi marah dan kecewa yang mendalam. “Kamu tidak mahu mewarisi perniagaan keluarga kita? Kamu telah mengkhianati legasi keluarga kita!”. Tidak pernah sekali pun terlintas dalam fikiran Dato’ Syed Mokhtar bahawa anak bongsu lelakinya itu sanggup membelakangi tradisi keluarga kerana sejak dari kecil beliau melihat minat Arjuna dalam dunia perniagaan begitu mendalam. “Sekiranya kamu masih tekad dengan keputusan kamu, maka mulai hari ini kamu bukan lagi anak saya dan kamu tiada hak untuk tinggal di sini lagi!”. Mendengar kata-kata suaminya itu, Datin Suraya terus bangun dari duduknya. “Abang, cukup!” , kata Datin Suraya yang seakan tersentak mendengar kata-kata yang dilontarkan oleh suaminya kepada anak mereka. “Walau apa pun terjadi, Arjuna itu anak abang! Biarkan dia membuat keputusannya sendiri. Dia sudah cukup dewasa untuk menentukan takdir hidupnya”. Arjuna yang terkedu mendengar kata-kata ayahnya, mengambil keputusan sulit. Dia bergegas ke biliknya, mengemas pakaianya bersedia untuk meninggalkan rumah tersebut tanpa mengendahkan pujukan ibunya yang sedang menangis teresak-esak kerana enggan anaknya pergi. Arif, abang sulungnya, yang selama ini hanya berdiam diri dan melihat dari sisi, akhirnya bersuara, “Arjuna, tunggu. Fikir baik-baik apa yang sedang kamu lakukan. Jangan biarkan keputusan kamu hari ini menjadi sebuah penyesalan di masa hadapan”. Namun, Arjuna tetap tekad dengan keputusannya. Dia ingin merealisasikan impiannya dan mahu buktikan kepada ayahnya bahawa dia mampu berjaya dengan menjadi seorang guru. Tanpa menghiraukan situasi yang akan terjadi selanjutnya, dia pun pergi meninggalkan kediaman mewahnya itu, berbekalkan sedikit wang yang dia simpan sewaktu dirinya bergelar seorang pelajar. Dia mencari tempat menyewa yang sesuai dengan bajet yang ia miliki. Dengan tekad dan impian besar menjadi seorang pendidik, dia mulai mengajar di sebuah sekolah kecil yang terletak di luar bandar. Namun, hidupnya bukanlah mudah seperti yang disangkakan. Wang yang dimilikinya terbatas, dan dia harus bekerja keras untuk mencukupi keperluan hariannya. Setiap hari, dia berasa bahawa dia sedang menjalani impian sejatinya. Dua tahun berlalu, dan sepanjang tempoh itu Arjuna hidup sederhana sebagai seorang guru yang berdedikasi. Dia memiliki murid-murid yang bersemangat dan bercita-cita tinggi. Dia berasa bahagia kerana dapat memberi pengaruh positif kepada mereka. Namun, selama dua tahun itu dia merasa ada yang kurang dalam hidupnya. Dia merindukan keluarganya terutama sekali ibunya, Datin Suraya.
Sepanjang menetap di perkampungan itu, Arjuna telah berkenalan dengan seorang gadis bernama Cahaya. Persis seperti namanya, Cahaya telah memberi sinar baharu dalam hidupnya. Dia menggambarkan kecantikan Cahaya seperti bidadari. Gadis ayu, lembut dan baik budi pekerti itu tahu apa yang telah berlaku dalam hidupnya. Dia memahami betapa sulitnya keputusan yang diambil Arjuna, namun dia juga tahu bahawa keluarga adalah sebahagian penting dari hidup seseorang. Cahaya berkata, “Arjuna, tidakkah kamu merindukan keluargamu? Kamu adalah keluarga, dan meskipun ada perbezaan pendapat, kamu boleh dan harus bersatu kembali. Cubalah untuk berbicara dengan mereka, setidaknya ibumu. Jangan biarkan hubungan kekeluargaan kalian terputus begitu sahaja”. Arjuna, yang merasa tergerak mendengar kata-kata Cahaya, memutuskan untuk mengunjungi kembali keluarganya. Ia merasa bahawa dia harus memberi kesempatan untuk merajut kembali hubungan yang telah terluka. Ketika dia tiba di rumah, kelihatan ibunya sedang sibuk berkebun di laman hadapan rumah. Datin Suraya terkesima melihat kelibat anak lelaki yang amat dirinduinya. Air mata seorang ibu mengalir ketika melihat Arjuna. Dia berlari mendekati anaknya lalu memeluk dengan erat sekali, “Arjuna, akhirnya kamu pulang! Ibu sangat merindukanmu, anakku!”. Arjuna memeluk ibunya dengan erat. “Maafkan Arjuna, ibu. Maafkan Arjuna untuk semua yang berlaku” , katanya dengan suara yang penuh sesalan. Ibu meraih wajah Arjuna dan berkata, “Tidak, Arjuna. Ibu tidak perlu permintaan maaf. Kami hanya ingin kamu pulang ke pangkuan kami”. Arjuna kemudiannya tercari-cari kelibat ayahnya. Arjuna bertanya tentang keberadaan Dato’ Syed Mokhtar, dan ibunya yang mulai terisak, tidak tahu bagaimana hendak memberitahunya. Dia memeluk Arjuna lebih erat lagi. “Ayahmu…..Ayahmu telah meninggal dunia tiga bulan yang lalu, Arjuna. Ayah telah didiagnosis menghidap kanser barah otak, setahun yang lalu”. Arjuna terduduk setelah mendengar berita tersebut. Perasaan bingung, kesal, dan rasa bersalah menyelubungi diri, menyebabkannya menangis teresak-esak. Dia merasa seperti seorang anak yang derhaka terhadap ibu bapanya. Tanpa berlengah masa, dia bertanya di mana kubur ayahnya terletak lalu bergegas ke sana. Setelah tiba di kawasan perkuburan, Arjuna berlutut di hadapan batu nisan ayahnya dan menangis. Arjuna seakan masih tidak percaya bahawa ayah yang dia sayangi telah pergi menghadap ilahi. “Maafkan Arjuna, Ayah. Maafkan Arjuna kerana tidak pulang lebih awal dan meninggalkanmu dalam
waktu yang sulit. Maafkan Arjuna kerana tidak bisa bersamamu saat ayah sakit” , esak Arjuna sambil memeluk batu nisan ayahnya. Ibu dan Arif datang dan cuba untuk menenangkan Arjuna. Mereka menghabiskan waktu yang lama di kubur ayah mereka. Melihat keadaan Arjuna yang mulai tenang, ibu menghulurkan sepucuk surat kepada Arjuna. “Arjuna” , katanya. “Ayah meminta agar surat ini diberikan kepada kamu jika suatu hari nanti kamu kembali.” Arjuna membuka surat itu, dan air mata mengalir ketika dia membaca katakata yang ditulis oleh ayahnya. “Ke hadapan anakku, Arjuna, Mungkin, pada saat kamu membaca surat ini, ayah telah pergi menghadap Sang Pencipta. Ayah tuliskan surat ini atas nama rindu yang besarnya hanya Allah yang tahu. Sebelum ayah lanjutkan, bacalah surat ini sebagai surat seorang ayah kepada seorang anak. Ayah tahu kamu pasti sedih dan marah dengan kata-kata yang ayah lemparkan kepada kamu pada hari itu. Tapi percayalah, ayah tidak pernah memaksudkan sepatah pun perkataan yang diucapkan. Maafkan ayah kerana tidak menyokong impian kamu untuk menjadi seorang guru. Ayah terlalu mementingkan diri sehingga terlupa untuk mempertimbangkan perasaan dan impian sebenar anak ayah. Ayah cuma mahu yang terbaik untuk anak-anak ayah. Ayah mahu Arjuna tahu bahawa ayah sangat bangga dengan keputusan kamu untuk menjadi seorang guru kerana pekerjaan tersebut merupakan pekerjaan yang mulia. Ayah harap kamu akan menjalankan tanggungjawab dan amanah itu dengan penuh berdedikasi. Arjuna, ayah minta maaf atas setiap perkataan kasar dan tindakan kasar yang pernah ayah lakukan padamu. Ayah harap kamu boleh memaafkan ayah. Semoga anak kesayangan ayah memperoleh kejayaan dalam setiap perkara yang dilakukannya. Yang merinduimu, Ayah.” Arjuna menutup surat itu dengan mata yang berkaca, “Ayah, Arjuna janji, Arjuna akan menjadi seorang pendidik yang berdedikasi, bertanggungjawab, dan sedia untuk memikul amanah yang diberikan sehingga mampu membuatkan ayah bangga” , katanya sambil memandang batu nisan ayahnya. “Arjuna juga akan membantu Arif menguruskan syarikat perniagaan keluarga kita, untuk menghormati ayah dan membangun kembali legasi keluarga kita”.
Mereka semua berdiri di sana, bersama-sama di bawah matahari yang terbenam, merajut kembali hubungan yang pernah terputus. Mereka menyedari bahawa keluarga adalah segalanya dan kasih sayang keluarga adalah sesuatu yang tidak ternilai harganya. Arjuna telah mempelajari bahawa impian dan tanggungjawab dapat saling beriringan. Dan pada akhirnya, warisan keluarga mereka bukan sahaja mengenai perniagaan, tetapi juga tentang cinta, sokongan, dan perpaduan keluarga yang tulus. -TAMAT-